"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, June 8, 2013

"Sudah Solat ?"...








"Akak dah Solat?" tanya  adik seorang teman yang datang berkunjung di pejabat tadika SmarTop Subur Fitrah di Tangkak.
Eh...dalam hati saya, mengapa pulak tanya soalan seperti itu, walhal saya jarang-jarang bertemu dengannya.
"Sudah, akak dah solat. Tapi terlambat. Tidak diawal waktu." saya menjawab santai.

"Jangan marah Kak ya, saya nak biasakan bertanya begitu bila berjumpa sebab Saidina Umar (RA) pun bertanya begitu dengan sesiapa yang ia jumpa."
"Oh...gitu ke? Terima kasih bagi tahu akak. Akak belum pernah dengar."
"Ya Kak.. Kita kena pentingkan soal Solat. Dah solat baru buat yang lain."

Alhamdulilah. Saya dapat satu Ilmu dan bila balik ke rumah saya biasakannya  dengan ahli keluarga.

Sempena peristiwa Isra' dan Mi'raj saya ingin kongsikan ilmu ini. Ia nampak seperti perkara kecil tetapi ia suatu yang besar. Dalam peristiwa Nabi Muhammad SAW mi'raj, saya di sini hanya ingin mengingat semula arahan wajib untuk bersolat lima waktu. Allah menjemput istimewa Nabi Muhammad SAW untuk "memberi tahu sendiri" rukun Islam yang terpenting ini. Yang lain melalui perantaran malaikat Jibril.  Barulah saya dapat mengerti kaitannya dengan 'budaya' bertanya sudah solat atau belum.

Sehubungan dengan ini 2 minggu yang lalu Ustaz  Kariman menekankan dalam satu kelas pengajian bahawa Solat adalah Rukun Islam yang tidak boleh gugur dalam apa jua keadaan. Puasa, zakat dan menunaikan Haji boleh gugur jika ada sebab-sebab yang syar'ie. Tetapi Solat langsung tidak boleh ditinggalkan walau dalam keadaan susah atau uzur sekalipun.

Kata ustaz lihat ayat 37, Surah Ibrahim.

 

A037
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
(Ibrahim 14:37

Kata ustaz:  Ayat di atas antara lain jelas menunjukan pentingnya solat. Nabi Ibrahim (AS)  berdoa semoga  zuriatnya (dan umatnya) akan dapat bersolat walaupun keadaan sekeliling adalah padang pasir kering kontang tanpa apa-apa tanda yang memudahkan kehidupan. Diakhir doa barulah ia menyebut buah-buahan, satu sumber makanan. Hatinya bulat jitu bahawa denagn sempurnanya solat masaalah yang lain akan Allah tunjuki jalan bagaimana mahu menyelesaikannya.

Maka Ustaz berpesan jangan kita melalaikan solat semata-mata kerana kita ada hal yang lebih penting (mengikut fikiran kita). Saya pun  teringat semasa bekerja dahulu solat tidak menjadi sebahagian dari agenda mesyuarat. Sering sahaja mesyuarat melepasi waktu solat. Siapa yang peka dan komited dengan perintah Allah akan senyap-senyap keluar, solat dan kemudian kembali bermesyuarat.
Allah telah mengingatkan pada kita supaya jangan khuatir tentang rezki hinggakan  berkerja untuk mendapat rezki terpaksa meninggalkan solat, walhal Allah telah berjanji Rezki akan ditunaikan olehNya. Lihat ayat-ayat di bawah.
A056 Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Adz-Dzaariyaat 51:56
A057 Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.
(Adz-Dzaariyaat 51:57) |
A058 Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Adz-Dzaariyaat 51:58) | 

Saya menulis entry ini untuk anak cucu saya khususnya. Saya percaya ramai yang sudah tahu maka entry ini adalah semata-mata suatu peringatan.
Jika mahu penerangan lanjut boleh hubungi Ustaz Kariman. Beliau sempat bercerita bahawa antara Tuan Gurunya ialah Allahyarham Professor HAMKA.  Beliau tetap akan bertanya pada anak dan pelajar yang lain sama ada sudah solat atau belum walaupun anak sudah amat dewasa dan pelajar-pelajar juga sudah dewasa.
Saya tidak mahu terkandas dalam hal ini dan mohon keampunan atas segala kelemahan dan kelalaian dan segala dosa. Dalam mengingatkan orang, pasti saya akan ingat akan diri sendiri.

Ampunilah kami, Ya Rabb...
...

2 comments:

Makbonda61 said...

Alhamdulillah,ilmu baru juga untuk saya,membudayakan pertanyaan "sudah solat?" Selama ini pertanyaan itu dianggap mengganggu sensitiviti sesaorang.

Mari kita budayakannya.

ngasobahseliman said...

Jom Simah...kita sama-sama. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan..

Related Posts with Thumbnails