"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, May 31, 2013

Tadika SUFI di persimpangan......





 
Kini hampir 6 bulan merentasi jalan.......
Jalan yang sempit kini melebar walaupun masih ada batu-batu kerikil yang belum dapat diratakan dan semak samun yang perlu dibersihkan.

Tidak mengapa kata hati kecil saya. Pastinya pertolongan Allah itu hampir. Itu yang kami pohon. Dengan keyakinan untuk mendirikan Kebenaran dan Kebenaran itu tidak pernah memihak apa pun keadaan, kami mohon belas kasihanNya.  Nowaitu kerana Allah  perlu pada pengabdian yang tidak mengira susah senang, tidak mengira keuntungan diri  dan hanya jitu mahu mengikhlaskan usaha mencari Keredhaan.

Kami mengurus anak-anak dan murobbiah seiringan. Kami mentarbiah murobbiah semoga melalui mereka anak-anak Sufi terdidik dengan baik selaras dengan misi dan visi Tadika Sufi. Jika kami gagal mentarbiah para murobbiah, maka wawasan kami ke atas anak-anak didik ditakuti terkandas dipertengahan jalan. Tidak mudah membuat dua tugasan serentak dalam keadaan kefahaman yang belum menyeluruh di kalangan pendokong wawasan. Namun  saya amat maklum bahawa proses memahami sesuatu dan menghayati sesuatu nilai bukan  berlaku sekelip mata. Malahan dalam setahun dua pun mungkin belum dapat  menampakan hasil yang memuaskan. Tetapi usaha harus beterusan kerana kejayaan  adalah milik Allah, milik kita hanyalah berusaha. Itu pun dengan izin dan kehendaknya jua.

Komitmen murobbiah saya perhatikan masih dalam peringkat awal. Tidak mengapa kerana kalau kita mahu menikmati secangkir teh yang luar biasa lazatnya pun kita memerlukan masa dan teh itu dirasai sedikit-sedikit dalam keadaan tenang dan santai. Bukan diminum secara terburu-buru.

Kefahaman konsep kurikulum bersepadu IHES pun masih dalam peringkat permulaan  kerana murobiah kami berlatarkan pendidikan umum yang berbeza dan dari keluarga yang mempunyai nilai-nilai hidup yang berbeza. Saya sendiri melalui berbagai fasa kefahaman untuk menghayati Islam yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan di warisi oleh ulama'-ulama' yang berdakwah tanpa mengenal penat lelah. Hingga kini pun saya masih di tahap jalan-jatuh. Maka murobiah kami yang rata-rata masih muda dan masih belum melalui berbagai pengalaman hidup, maka mereka belum cukup mengerti  bahawa dalam merentas perjalanan hidup, kita  perlu ada rasa mahu berkorban, mahu mendahulukan obektif bersama daripada kepentingan sendirian, mahu menyantuni kelemahan dan kekuatan seseorang dalam kalangan jemaah yang sama-sama berusaha ke arah yang satu, mahu maaf memaafkan dan sentiasa mahu memberi apa yang termampu.

Kita memerlukan masa dan istiqamah dalam amalan untuk 'tenggelam' dalam nilai ini seperti ahli sufi yang bermaqam tinggi mahu tenggelam dalam kewujudan Allah swt hingga dapat 'merasakan'  kewujudan Allah yang mutlak. Pengabdian kita harus 'selfless' untuk mendapat pancaran nur Iman kurniaan Allah pada hambanya yang terpilih. Maka kita bermunajat semoga Allah sampaikan kita ke tahap itu dan kita diterima olehNya sebagai hambanya yang sejati seperti disebut dalam ayat 27-30, Surah Al Fajr.

Di pertengahan jalan ini  ada murobbiah yang akan bertukar haluan ke Tadika lain mungkin mahu mengejar kemudahan yang SUFI belum bersedia memberi. Tetapi kalau SUFI mampu sekalipun, hasrat SUFI adalah untuk membina dan memantapkan potensi jiwa juang yang ada semoga  makin hari makin terserlah keinginan mahu maju kehadapan bersama para pejuang lain berkejaran mahu mendirikan Kebenaran walaupun keadaan sukar dan mencabar dan sentiasa kepenatan seharian. Tanggong jawab terhadap anak dan keluarga perlu dipikul serentak dan keinginan mahu bersantai ditangguhkan. Harus ada pengorbanan.

Namun SUFI dengan rela hati  akan melepaskan sesiapa jua  yang berhajat keluar. Semoga yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak keciciran. Semoga Allah sentiasa bersama.

SUFI juga berhati-hati tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa pun, murobbiah, pembantu am atau ibu-bapa pada anak-anak.  SUFI akan cuba sedaya upaya menjaga kepentingan pelanggan khususnya dalam usaha mahu membina generasi akan datang membesar sihat dan terdidik mengikut nilai-nilai Islam yang syumul. Maka  ada tindakan SUFI  yang ditafsir  sebagai tidak wajar. Tafsiran yang kurang tepat akan berlaku kerana di pertengahan jalan pasti ada yang belum jelas melihat natijah usaha yang dijalankan. Tetapi tidak mengapa. Kami bertawakal pada yang maha bijaksana dan kami yakin Allah maha mengetahui, maha melihat akan yang nampak dan yang tersembunyi. Kita memohon pertolongaNya dalam semua segi. Semoga Allah memudahkan. Ameen, Ya Rabb....

Maka SUFI akan menegur dan mengambil tindakan yang sewajarnya walau pahit sekali pun  atas sesiapa jua yang dirasai tidak dapat mengikut prinsip dan syarat-syarat perkhidmatan dan perkongsian yang kami persetujui bersama. SUFI akan cuba  menjaga hak anak-anak didik tidak dikurangi. Mendapatkan kepercayaan yang seimbang  dalam hal ini sememangnya tidak mudah. Semoga Allah menunjuki jalan.

Namun SUFI faham. Megubah dan membina nilai bukan seperti menukar pakaian. Susah untuk memastikan sejauh mana kefahaman tercapai. Setiap hari kami berfikiran dan memerhatikan. Kami cuba mendengari melalui lisan dan senyuman, cuba membaca yang tiada pada tulisan dan mengukur dengan keadilan. Kami sebagai insan kerdil juga menyedari usaha kami masih banyak kelemahan dan kekurangan. Kami cuba sedaya upaya mencari kesempurnaan tanpa menjejas prinsip kesejahteraan pada semua warga SUFI.  Maka laluan ini sukar bagi kami, semoga Allah memantapkan kesabaran. 

Ustaz sering berpesan: jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, jangalah cepat menyalahkan orang lain dan cepat menghukum. Kita lihat diri kita dahulu. Itu yang kami lakukan  penuh ikhlas dan semoga tindakan kami selarasa dengan saranan itu dan di hujungnya mendapat redha Allah jua.




Lebih kurang 2 minggu lagi kami akan membuat penilaian atas anak-anak sufi sejauh mana mereka telah dapat menghayati perlaksanaan kurikulum sepadu kami. Keutamaan kami memfokus kepada kebolihan membaca mengikut kemampuan  diri anak-anak yang berbeza dari seorang keseorang. Semoga Allah memudahkan.

Pertukaran dan peralihan seorang dua murobbiah sedikit sebanyak menjejas momentum  prestasi SUFI. Ini tidak dapat dielakan dan ia suatu yang lumrah. Tidak mengapa kerana sedikit sebanyak pastinya murobbiah yang pergi sudah mengenali erti pendidikan yang holistik dan sepadu dalam kurikulum dan aktiviti harian. Saya percaya  mereka  tidak menyedari bahawa mereka faham. Cuma mungkin belum cukup keyakinan. Kami yakin ada kesan positif walaupun sedikit,  cuma belum dapat merasainya dalam masa yang singkat. 

Sayang sekali SUFI terpaksa ditinggalkan.  Semoga mereka akan menjadi pencetus perubahan di tempat yang baru yang lahir dari jiwa yang sudah diperkenalkan bahawa memilih Islam perlu keseluruhan, bukan sebahagian dan sebahagian.

Kami mahu berbakti pada kemanusiaan sebagai wasilah mendapat Keredhaan. Iaitu Kemanuasiaan yang berTuhankan Allah swt yang satu. Tiada yang lain dariNya. 

Tunjukilah kami jalan dan turunkanlah pertolongan Mu, Ya Rabb....

....

Wednesday, May 29, 2013

Yang kecil selesa...


Dalam sebulan agaknya 7 hingga 10 hari, mungkin lebih, saya di Tangkak membantu kawan saya mengurus SmarTop Subur Fitrah Integrated Preschool (SUFI). Bila berada di KL saya akan ternanti-nanti bila suami saya dapat menghantar saya balik ke Tangkak. Biasanya ia akan menghantar saya dan berada di Tangkak sehari dua dan akan pulang ke KL untuk menyelesai tugas-tugasnya. Selagi terdaya insyaAllah ia akan terus berbuat sesuatu. Tidak ada konsep bersara dalam hidup seorang Muslim.





Kami baru pindah ke rumah lain di Tangkak untuk kontrak yang agak lama sedikit. Saya teruja di rumah baru ini kerana walaupun kecil ia amat selesa. Benarlah kata orang tua-tua. Keselesaan itu letaknya di hati bukan di badan.

Saya teringakan emak saya. Kakak-kakak saya dulu sering bercerita rumah yang bapak buat kecil sahaja dan beratapkan rumbia dan berlantaikan batang pinang, (lewat tahun sembilan belas tiga puluhan dan awal empat-puluhan). Bekalan air hanya dari perigi dan bekalan api hanya menggunakan minyak gas yang kami sebut minyak tanah. Saya yang bongsu dalam keluarga dan tidak merasakan tinggal rumah yang sedemikian. Kakak-kakak saya membesar dalam keadaan serba tidak mencukupi dan menerima seadanya. Saya kata rasanya mereka selesa dihati kerana bila bercerita mereka rasa seperti puas hati. Bila saya mula boleh ingat rumah bapak buat sudah berdinding papan walaupun lantainya tanah sahaja tanpa simin. Saya mula bersekolah pada tahun 1954 dan ketika itu barulah bumbung beratapkan zing dan bersimin di dapur dan lantai papan di ruang rumah sebelah atas. Alhamdulilah. Saya diajar erti hidup susah dan erti hidup senang. Apa jua ustaz kata ia adalah ujian. Semoga Allah meredhai.

Satu nostalgia....

Dalam foto di atas rumah kami yang ada kereta putih. Sewanya rm350/- sebulan separa furnished. Hotel di Tangkak yang agak sesuai untuk kami sewa tidak berminat menurunkan harga untuk kami tinggal seminggu dua. Entah mengapa.....

Rumah kami ini sering disinggahi saudara mara di Tangkak dan anak cucu teman saya. Anak saya datang hanya menghantar saya jika suami saya tidak kesempatan. Orang ziarah ke rumah kita membawa rezki dan meninggakan rumah kita mengurangkan dosa. Semoga Allah mengurnia yang terbaik.


Ini bilik tidur saya. Kecil dan hanya cukup untuk solat jemaah dua orang sahaja. Alhamdulilah, ia mencukupi. Teman saya menjadi Imam apabila suaminya solat di Masjid.

Tangkak adalah asalnya Kampung Baru Cina semasa zaman Komunis bermaharaja lela. Sekarang ini wakil ADUN adalah DAP dan BN wakil Parlimen. Sibuk dibincangkan bagaimana SPR menentukan sempadan-sempadan untuk rakyat mengundi (electoral boundary). Saya sudah tidak mahu lagi mendengar alasan-alasan yang diberi. Saya hanya berdoa semoga siapa jua yang memerintah akan terhidayah supaya tidak berlaku zalim dan benar-benar membela hidup rakyat. Kuasa adalah satu amanah, maka akan "binasa"  seseorang itu jika amanah diselewengkan. Semoga Allah mengampuni.

Itulah kami bersungguh-sungguh  membangunkan SUFI  walaupun dalam keadaan serba kekurangan  kerana mahukan generasi akan datang berilmu, beramal, beriman dan bertaqwa. Bibit-bibit akhlak mulia perlu ditarbiah dari kecil lagi, malahan dalam Islam dari  dalam kandungan ibu.. Semoga Allah menurunkan pertolonganNya dan sentiasa memudahkan usaha-usaha yang kami jalankan. 

Tiada kekuatan melainkan  kekuatan dariNya.
Anugerahkanlah kami kekuatan, Ya Rabb....

...

Monday, May 27, 2013

Jakun ...


Seperti orang jakun....memang jakun pun... tetapi terhibur.
Entah kenapa boleh terhibur....bukan terhibur, hanya tercuit hati.





(Kawasan Bukit Bintang waktu hampir Maghrib).

 Itu keadaan rasa dihati suatu petang bila terpaksa mengikut suami di hujung minggu terdahulu ke KL Plaza di kawasan  Bukit Bintang yang rupanya kini sudah diberi nama baru...Farenheit 88. Sepatutnya pulang ke rumah dari Putrajaya tetapi kerana kesuntukan masa saya terpaksa ikut suami bertemu rakan perniagaannya di sana.
Untuk mengelak rasa bosan  menanti  saya berlegar-legar di kawasan kedai-kedai yang sekarang di situ sudah berkonsep baru dari segi layout dan susun atur merchandisenya. Ia menampakan kelainan dari segi menarik perhatian pelanggan.
Terakhir saya ke kwasan tersebut sudah melebihi 20 tahun yang lampau.

Memang jadi jakun....agak terpinga-pinga dan terpaksa menyesuai diri bila berurusan dengan para jurujual yang muda dan bergaya. Kerana sudah rasa kekok diusia begini, maka saya hanya masuk satu, dua store sahaja. Semuanya tidak sesuai bagi saya. Ini tempat muda belia. Tidak kelihatan pengunjung sebaya saya.

Saya tersenyum sendirian. Betapa zaman sudah beredar. Tidak tahu nak fikir apa  dan hanya melihat reality yang ada dikalangan generasi muda. Setiap orang pernah muda suatu ketika. Maka ingatan saya lancar mengimbas kembali rasa jakun saya bila ke US diusia 20 tahun. Panjang ceritanya tetapi mungkin untuk entry lain kali. Pada rasa jakun waktu itu tersisip rasa inferior, rasa bingung dan kadangkala takut... maklumlah anak kampung yang belum melihat sepenuhnya  negara sendiri sudah diminta berdikari seorang diri di negara yang serba seribi amat asing bagi saya.

Bayangkan rasa jakun saya.....

Namun kali ini, walaupun agak 'terhibur' dalam 'kejakunan',  sebenarnya rasa khuatir menerjah hati saya yang teringatkan anak cucu yang juga muda belia. Ini reality mereka. Di Kuala Lumpur tiada yang selamat dari terjebak dengan cara hidup mewah dan bebas berkeliaran.

Dalam berfikir-fikir saya solat dan berehat di surau di tempat itu. Bersih dan sederhana besarnya. Sejuk sedikit hati saya bila saya melihat anak-anak muda Melayu masuk menunaikan solat. Pakaian Islamnya belum sempurna tetapi ingatan mahu solat memberi harapan pada saya suatu hari nanti semoga mereka menjadi lebih kemas aqidahnya. Tunjuki lah jalan, Ya Rabb.





Dengan harapan baru, saya pergi duduk di kedai 'Station Kopitiam'  menanti suami saya menyelesaikan kerjanya. Pengunjung yang datang pun orang-orang muda belaka dengan gaya-gaya fashion tersendiri.

Kemudian kami  pulang dalam kesibukan lalulintas di waktu senja. Suami saya hanya senyum lebar mendengar cerita saya. Itu baru tahun 2013. Sepuluh tahun dari sekarang entah bagaimana pula. Saya takut hendak menggambarkannya.

Kata ustaz jangan mudah-mudah kita befikiran kita sudah sejajar dengan kehendak Allah. Untuk memastikan kita di landasan yang benar, sentiasa menuntut ilmu, beramal dan bermunajat sungguh-sungguh semoga Allah sentiasa membimbing dan memberi hidayah.

...

Sunday, May 26, 2013

Teringat ....



Keindahan pokok-pokok menginatkan saya erti  sebuah kehidupan dalam perantaun,
menetap meraih pengalaman yang membawa kenangan tersendiri.
Kenangan yang hanya dirasai tetapi tidak dapat dikongsi kini.







Kenangan yang berakar umbi. Saya mahu melupai, semoga Allah meredhai
dan mendapat kurnia kesejahteraan dariNya yang abadi.

...

Monday, May 20, 2013

"Sawan Bunga"...




Saya suka bunga dan bunga-bungaan. Tetapi tidak mencari kesempatan untuk bertanam bunga walaupun rumah saya ada sedikit kawasan untuk tujuan itu. Di mana jua saya pergi, jika ternampak bunga saya akan rakam.

Dalam kembara kali ini Tour Leader kami seorang yang amat suka akan  bunga.


"Saya sawan bunga, Akak! Nanti saya tunjuk tempat banyak bunga. Tapi kali ini musim bunga sudah hampir habis.. Sudah tidak ada bunga mawar yang cantik-cantik. Giler saya Akak dengan bunga. Saya suuu...ka sangat".

Tersenyum saya mendengar kata-katanya. Dia sibuk mengambil foto bunga-bunga lebih dari saya. Dia masuk dalam Facebooknya. Dan di bawah ini saya rakam beberapa jenis bunga-bunga tetapi tidak tahu nama dan asalnya. Saya seronok melihatnya, semoga satu hari rumah saya dikelilingi bunga-bunga.


























"Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan?"

...

Sunday, May 19, 2013

Ingat pula akan kuda....







Dalam kembara di Bandar Budapest kami dibawa ke Hero's Square, sebuah memorial menghargai pahlawan-pahlawan silam yang mempertahankan negara dari angkara musuh, antaranya tentera Ottoman Turks pada suatu ketika.Patung pahlawan-phlawan silam naik kuda banyak sekali di letak di atas-atas bangunan. Betapa mereka menghargai jasa pahlawan-pahlawan ini. Mereka dipatungkan bersama kudanya. Kuda menjadi antara alat terpenting.

Maka saya teringat serta merta mengapa orang Islam di galakan padai menunggang kuda dan mengendalikannya  berbagai cara.


Ini patung The European Cowboy. Saya rakam untuk mengingatkan diri bahawa budaya pandai berkuda jangan diambil ringan. Malangnya ditempat kita ini kuda hanya untuk yang kaya, bagi bersukan bersuka ria. Bukan untuk persedian suatu hari nanti 
pasti keterampilan berkuda akan teruji juga.
Semoga kita bersedia.




 Ini kuda baka warna putih. Katanya kuda warna putih adalah antara baka kuda terbaik.  Kami ditunjukan sekali lalu tempat menjaganya ditengah bandar.

Alahai ! Saya hanya melihat-lihat. Tergantung fikiran di awang-awang.

Di tempat kita masih belum serious untuk melaksana tuntutan sunnah supaya pandai berkuda. Bila saya google, terdapat beberapa maklumat tentang ladang kuda di Malaysia ini. Ada juga di Kelantan. Ada juga tempat beriadah naik kuda. Tidak mahal katanya. Ada kuda-kuda yang diimport yang katanya baka yang baik, Arabian Stallion. Saya kurang arif. Cuma pengalaman sedikit bila saya bersama teman-teman membantu penubuhan sebuah sekolah menegah di Garut Indonesia. Kami dapat kerjasama peladang tempatan memberi khidmat mengajar pelajar-pelajar kami menunggang kuda.
 Usaha ini masih kecil dan semoga dapat diperbaiki.(lihat foto di bawah).


 Nyata fenomena ini belum meluas kerana kos yang tinggi. Semoga ada pemimpin atau investor/pelabur yang peka untuk Ubah pada yang sewajarnya. 
Agaknya kekurangan minat tentang perlunya berketerampilan dalam hal-hal kuda kerana tidak nampak di mana relevannya dengan keadaan sekarang. 
Kalau untuk berperang hari ini, 
bagaimana penggunaan kuda berperanan bersaing dengan teknologi perang yang canggih.
Alangkah baiknya kalau ada sesiapa yang dapat membantu memberi maklumat futuristik tentang kehebatan kuda dalam persainag kuasa tentera di dunia hari ini.

Semoga Allah menunjuki jalan. Ameen Ya Rabb.

...

Saturday, May 18, 2013

"Dreams Cost No Money"...

"If you never have a dream, how can you have a dream come true ?"
(Kata cikgu saya semasa saya sekolah menengah).

Maka saya mencuit hati sendiri dalam perjalanan saya di Eastern Europe  untuk memikirkan apa yang saya "miss" dalam hidup ini. Dulu-dulu saya suka bercerita dengan kawan-kawan bahawa saya suka membina rumah di lereng bukit menghadap pantai supaya dapat angin laut yang nyaman waktu malam.

Itu tinggal impian. Bila saya lihat pemandangan di sepanjang jalan seperti di bawah ini saya pun membina impian. "Inginkan"  rumah besar di negara yang ada empat musim untuk bercuti bila-bila masa saya suka.

Dalam entry ini saya hanya suka-suka berkongsi "impian". Impian sebuah rumah dalam sebuah ladang yang luas ditepi lereng bukit berhampiran dengan tasik. Cuba bayangkan.





Hanya impian. Tidak semestinya ia yang terbaik.  Walauapa pun tetap bersyukur dengan apa yang terbaik di sisiNya. Semoga habuan idaman di akhirat nanti  
melebihi segala impian. Redha Allah yang utama, cukup dengan kasih sayangNya.

Dreams Cost No Money.

Saya kata juga pada suami. Dia senyum lebar dan minta saya ambil foto semasa lawatan ke Show Room kereta mewah BMW. Saya kurang arif pasal kereta. Lihat sahaja foto-foto ini "menghibur hati" suami saya. He ! He!





The ultimate dream...The Phantom

Impian hanya seketika. Sampai di rumah tanggongjawab harus tidak dilupa.
Jangan membazir masa dan upaya. Jika kaya, infak pada yang memerlukannya. Masih ramai yang menanti di luar sana, hakikat hidup yang sebenarnya. 
Kata ustaz: Erti Hidup pada memberi semasa kesenangan atau kesusahan.

.....

Friday, May 17, 2013

Imaginasi yang "giler-giler"...






Dalam kembara kali ini kami diperkenalkan secara sepintas lalu denagan seorang akitek yang punya imaginasi luar biasa. Rekaan seni binanya berasaskan falsafah kita hidup seiringan dengan  alam sekeliling kita terutamanya pohon-pohon dan makhluk Allah yang tidak liar seperti burung-burung serangga dan sebagainya yang memeberi munafaat pada manusia secara langsung. Pohon-pohon mithalnya mengeluarkan oxygen. Maka kita digalakan banyak menanam  tumbuhan di sekeliling kita. 

Di sini saya rakam senibina rumah contoh yang ditunjukan pada kami. Nama akitek ini ialah Hundertwasser. Ia terkenal dengan ideanya yang luar biasa.




Bangunannya juga dicat berbagai warna dan tingkap-tinhkapnya tidak sejenis rupa, besar, kecil dan berbagai bentuk. Di perkarangan rumahnya juga pohon-pohon. Lihat foto di bawah ini.

Sayang kami tidak dibawa masuk melihat interior decornya. Agaknya exotic juga. Awesome kata setengah orang.

Saya suka kepada idea creative beliau. Lihat aspek itu sebelum membuat analisa negatif.


Rupa sebuah kedai menjual aneka barang mencontohi konsepnya.

Para pelancung berehat cuba menikmati kawasan sekelilingnya.
Alangkah bahagianya manusia jika aqal kurnian Allah ini bertepatan dengan tuntutanNya.
Maka persoalannya ialah apakah peranan kita untuk menegakkan Kebenaran Allah
di muka bumi ini seluruhnya.
Bolehkah kita berlepas diri dengan usaha yang kita telah lakukan yang pada diri saya amat sedikit sekali.
Sama-sama kita fikirkan dan kita cuba buat Perubahan supaya tiada penyesalan.
Bantulah kami, Ya Rabb, Kasihanilah kami, Ya Rabb.

...

Thursday, May 16, 2013

Peristiwa pautan hati dalam kembara.



CERITA ADIK ARIFF

Peristiwa dalam perjalanan bermusafir ada yang menyentuh hati membuat diri insaf betapa kasih sayang Ilahi itu merentasi segala yang terfikir oleh diri.

Seorang anak muda ada bersama rombongan kami. Ia istimewa. Usianya lewat remaja tetapi ia kelihatan  seperti hanya awal belasan tahun sahaja. Keluarganya nampak amat kasih padanya. Ia bersama ibunya, dua orang kakanya dan seorang anak saudara yang masih kecil yang berumur kelas Tadika. Layanan keluarga luar biasa terutama bila bermasaalah mahu dirinya selesa.

Arif namanya dan saya rakam foto bersama suami saya. Ia nampak bijak cuma lisannya agak berbeza tetapi cukup jelas untuk kami memahaminya. Adab perangainya saya perhati dan memuji dalam hati. Saya suruh ia panggil saya 'nenek' tapi ia lebih selesa panggil saya 'untie'. Seronok saya berkomunikasi. Teringat akan cucu-cucu saya yang juga dalam kategori istimewa. Kurniaan Allah anak istimewa hanya pada ibu bapa istimewa. Alhamdulilah anak saya peka dan tekun melayani anak-anaknya.



Ini Ariff dan Iman. Saya minta ia beraksi seperti patung disebelahnya. Karenahnya amat melucukan, satu-satunya saat yang menggembirakan hati saya kerana saya rasa dapat melayani anak istimewa. 

Rasa bahagia.

Iman disampingnya juga cuba bergaya. Iman anak kecil yang pandai bermain bersama Ariff dalam perjalanan yang kadang-kadang boleh membosankan kerana lama di dalam bas dari satu destinasi ke satu destinasi. Saya teruja dengan Iman, anak kecil yang sudah pandai membaca. Saya teringatkan Tadika SUFI saya di Tangkak, Johore. Ingin cerita nanti dengan teman seperjuangan saya.

  Sejambak bunga untuk ibu dan keluarga Ariff.
Semoga Allah memudahkan segalanya dan hidup dalam redhaNya.
Ameen.

CERITA DATO' RAHIM.

Saya dan suami seronok dapat berkenalan rapat denagn Dato' Rahim dalam musafir kali ini. Ia jiran sekampung dan qariah masjid Kg Tunku juga tetapi bila bermusafir sama barulah menjalin kemesraan yang dapat megeratkan lagi hubungan silaturrahim. Alhamdulilah.



Ia suka bercerita mengenai pengalamannya semasa berkerja dalam berbagai jawatan dalam perkihidmatan awam dan swasta. Cerita-ceritanya berkaitan dengan pembanuanan negara yang relevan dengan pengalaman kita bermusafir terutamanya di negara Jerman. Negara itu tidak asing baginya. Semasa bekerja dengan Syarikat Steadler yang mengexport teknologi membuat pensil ia selalu berulang alik ke Nurenberg, Jerman. Kini teknologi itu sudah outdated kerana semua orang sudah tidak menggunakan pensil  seperti dahulu. Teknologi IT mengambil alih semua kepentingan yang berkaitan.

Cerita-cerita sampingannya mengisi masa yang terluang dalam perjalanan. Kadang-kadang melucukan. Ia punya "sense of humour" yang luar biasa bagi saya.

Seperti saya dan suami ia juga kurang minat mengikuti setiap penerangan mengenai bangunan-bangunan sejarah. Maka bila saya mengeluh cepat-cepat ia mencadangkan kita duduk relax minum kopi dan tunggu berhampiran dengan tempat perhentian bas pelancung. Kami sembang-semban pengalaman berkerja dan musfir di luar negara. Terisi juga masa yang bermunafaat bagi saya. By the way, Dato Hashim is a cancer survivor. Sebahagian sembang santainya adalah berkenaan ujian Allah dengan sakit.

Duduk rehat sembang di cafe. Cuaca agak panas maka kami duduk di dalam.
Di luar pelancung sibuk berkeliaran. Kadang-kadang tercetus dalam hati kecil saya: Apa agaknya yang saya cari di sini !


CERITA DATO' ADNAN.

Dato' Adnan amat ngam dengan suami saya apabila cerita mengenai mencari hidangan istimewa tempatan untuk tukar selera. Jalan berbatu pun tak mengapa. Dalam keadaan hujan renyai pun tidak mengapa. Dato Adnan mudah memilih menu kerana sudah amat terbiasa memilih makanan idaman, terutama masakan arab yang berkaitan dengan kambing. MasyaAllah. Allah kurnia minat seseorang berlainan. 

Suatu ketika kami ke Restaurant Lebanon makan kambing. Jangan kira berapa kosnya kerana kita melancung dan mencari pengalaman yang unique di sana. Dibawah ini sebahagian tempat-tempat yang Dato' Adnan berkongsi pendapat mengenai menu makanan.







Di tempat yang sama ada juga makanan Turkey dan suami saya tidak lepas peluang untuk beli bawa balik ke hotel. Package pelancungan ini menempah hotel di luar bandar maka peluang untuk explore peristiwa tempatan amat terhad. Jika mahu puas hati maka mesti pergi melancung sendirian.



 Saya dan Dato' Adnan tidak membawa makanan yang cukup dalam package pelancungan 'Half Boarding' ini. Maka sentiasa minta Tour Leader untuk berhenti di tempat-tempat sesuai. Ramai ahli yang lain tidak bermasaalah seperti kami. Lain kali saya akan berfikir dua kali untuk jenis melancung makan sendiri ini kerana saya tidak minat jenis ini. Saya lebih suka "explore" cusine tempatan. Kan kita melancung.....!

 Ini hidangan kambing di restoran Syria dihidang bersama nasi arab atau nasi putih bersama
sejenis masakan seperti kari. Alhamdulilah. Lazat sekali.
(Senyap-senyap saya pasti teringat orang di Syria ada yang tidak makan
dan tidak minum berhari-hari kerana peperangan belum berhenti.
Ada rasa bersalah tetapi hanya simpan di hati).
 
CERITA PEKERJA BANGSA MAGHRIBI.

Saya dan suami teruja bila bertemu dengan pekerja dari Maghribi bila tersesat mencari bilik air. Ia bekerja di situ. Amat bersih tempatnya dan ia amat bersedia membantu. Ia boleh berbahasa Jerman tetapi kami berbahasa Inggeris. Maka kami memberanikan diri bertutur dalam bahasa Arab yang kami boleh sediki-sedikit tu. Alhamdulilah kami dapat berfahaman dan ia menunjukan arah mendapatkan makanan halal. Tetapi kami tidak lama di Frankfurt. Mungkin lain kali. 

Dalam saya rasa teruja, saya rasa tersedih juga kerana orang Islam berhijrah ke sini hanya mengambil tugas-tugas bawahan. Walaupun  pendapatan di sini lebih baik dari di Maghribi ia harus mencetus fikiran kita bagaimana mahu memertabatkan orang-orang Islam di mana jua ia berada. Kita fikirkan bersama. Saya di maklumkan juga di Jerman ramai orang Turkey. Mungkin lain kali ada kesempatan untuk berhubung Islam dengan Islam demi menjalin ukhuwah sedunia demi menegakan agama.

...
Related Posts with Thumbnails