"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, September 28, 2013

Secebis cerita Puchong...







Yang berpantang anak tetapi dalam membantunya saya seperti berpantang juga kerana saya buat pilihan untuk  ikut sahaja apa yang termampu dalam menyediakan makanan supaya dapat  menjimatkan masa. Masa adalah suatu komoditi yang amat berharga  bagi saya dalam perjalanan hidup yang amat singkat ini. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kederat untuk mengaktifkan diri dan dapat mengisi kekosongan-kekosongan dalam pengabdian yang belum tercapai hingga kini. Semoga Allah membuka ruang dan peluang untuk meneruskan tanggung jawab yang masih belum selesai. Dan siapa yang boleh kata sudah selesai ?........

Dalam kepenatan seharian teringin juga dihati untuk menjelajah dan melihat perkembangan pembangunan di daerah Puchong ini. Dalam tahun tujuh-puluhan semasa saya di kementerian pendidikan, Puchong yang saya tahu ketika itu adalah ladang getah yang amat luas dan saya masuk ke daerah Puchong beberapa kali berunding dengan Pemaju Perumahan bagaimana sekolah-sekolah Tamil dapat di pindahkan dan diganti dengan yang baru tanpa menjejas kebajikan rakyat keturunan Tamil di situ. Ini bukan suatu yang mudah. Proses pembangunan dengan isu-isu politik yang tidak mudah selesai memeningkan kepala pelaksana projek sekolah di mana jua. Waktu itu saya pernah menyuarakan pendapat mengapa kita perlu bina sekolah rendah Tamil sedangkan menteri-menteri India dan orang-orang besar parti pun tidak ghairah menghantar anak-anak  mereka ke sekolah Tamil. Tiada jawapan telus dan tulus.

Ketika itu pun saya mengatakan pada teman-teman dari JKR siapa yang ingin duduk di Puchong ini...."tempat jin bertendang". Sekarang saya tersenyum sendirian melihat pembangunan yang pesat. Saya percaya sudah tidak ada lagi jin bertendang. Perumahan sudah melaut luasnya.. Mencari rumah anak saya di Puchong Prima pertama kalinya pun sulit walaupun menggunakan GPS. Ini kerana pembangunan di Puchong agak tidak menentu dari segi perancangan Bandar.

Sejak hari ketiga bersalin saya menemani anak saya ke Pusat Kesihatan Kecil kerana masaalah sakit kuning bayi baru lahir. Jelas Puchong menggambarkan 1 Malaysia tulin. Semua keturunan bangsa jelas ada. Tetapi rata-rata saya perhatikan ini kawasan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah. Saya menunggu satu jam setengah untuk anak selesai berurusan. Saya rasa lama. Tetapi agaknya itu biasa sahaja. Alangkah bahagianya jika kerajaan dapat mengurangkan masa menanati giliran. Baru betul slogan: Rakyat didahulukan. Malaysia Negara kaya minyak. Seperti nikmatnya tidak dirasai sama.

Dicelah-celah kesibukan jaga 5 cucu, saya ajak anak putar-putar di kawasan kampung asal berhampiran kawasan perumahan anak saya. Tidak nampak seperti kampung tradisional Melayu....sudah 'moden'. Apa yang menarik perhatian saya ialah masih ada Sekolah agama  dan tadika Islam. Agak teruja juga memikirkannya dari segi dari mana datangnya pelajar-pelajar memandangkan kawasan kampung makin kecil. Ada juga rumah anak-anak yatim. Entah mengapa tiba-tiba saya rasa tersedih jika  anak yatim harus ditempatkan dalam satu institusi. Terpisah dari kasih sayang ibu. Tidakkah ada cara lain menjaga kebajikan anak-anak yatim ini. Bukan di Puchong sahaja. Di mana jua. Kita harus fikirkan fakta kasih sayang. Bukankah Malaysia kaya........hulurkan wang perbelanjaan yang mencukupi supaya tidak terpisah kasih sayang. Ada teman mengatakan saya tidak berdiri di bumi nyata....

Entah berapa hari lagi saya perlu bermukim di Puchong. Semoga Allah memudahkan segala urusan urusan kerana saya perlu pulang segera ke Tangkak pula.

Mohon pertolongan Mu ya Rabb....

...

Thursday, September 26, 2013

Pilihan...yang memerangkap.

Saya berfahaman bahawa dalam menjalani hidup ini ada yang dikira pilihan dan ada yang dikira takdir. Namun apa jua pilihan ia adalah atas izin dan kehendak Allh jua. Ada pilihan yang Allh redha dan ada yang Allah murka.
 


Rata-rata manusia suka memilih sesuatu yang cantik dan indah, yang memberi kedamaian hati dan minda. Tetapi fenomena cantik adalah terletak pada mata dan hati seseorang dan lebih tepat lagi cantik dan indah itu akan menjadi lebih syahdu jika dilihat dari mata hati, iaitu mata hati yang mengerti bahawa kecantikan itu adalah milik Allah jua. Dan oleh kerana ia milik Allah maka apa jua yang kita idamkan dan lakukan seharusnya tidak lari dari hakikat ini, iaitu dalam kita menikmati kecantikan dan keindahan seharusnya kita menjadi lebih dekat pada Allah


Maka saya suka berkongsi satu peristiwa seorang yang suka menghias rumah dan akan sanggup berkorban masa dan keselesaan diri demi kecantikan. Sering saya berbincang dengannya mengatakan apalah kecantikan jika kita kehilangan masa untuk mencantikan diri di sisi Allah. Baiklah kita hias rumah sekadarnya dan masa itu kita rebut untuk mencari ilmu yang dapat membawa kita berdamping dengan yang maha Pencipta dan semoga mendapat redhanya.


Ditakdirkan ia seorang yang berada dan hidup mewah dan boleh mendapatkan khidmat pembantu dan khidmat tukang kebun. Tetapi ia enggan berbuat demikian sebab katanya ia tidak akan puas hati dengan kualiti kerja mereka. Ia sudah megalami jalan itu.  Maka ia lebih rela membuat semuanya sendiri, dari dalam rumah hingga membersihkan kolam renang dan menjaga taman sekeliling rumah.


Selalu ia mengadu penat bila ada kesempatan sembang dengan saya. Sesekali saya nasihat juga supaya mengubah cara. Ia seorang yang sensitif  maka saya harus hati-hati. Sekarang ia berumur 58 tahun, tak silap saya, dan saya rasa risau juga nanti tidak kesempatan untuk berbuat sesuatu yang lebih bermunfaat dari segi pengabdian diri kerana kesibukan menjaga rumah. 


Demi kecantikan, tingkap dan pintu rumah tidak ada grill besi. Sudah beberapa kali rumahnya dimasuki orang dan ia  menjadi bingung  dan bersedih hati. Malahan seperti fobia untuk meninggalkan rumah beberapa hari. Jarang sekali ia akan ikut suami out-station, walaupun di luar Negara kerana takut rumah dimasuki orang dan nanti pokok-pokok akan mati lantaran tidak disiram air dan dibaja secukupnya. 


Subhanallah, bisik hati saya. Allah mengurnia harta yang lumayan tetapi ia menjadi sepert penjara baginya tanpa disedarinya. 


Semoga ia akan menginsafi diri dan saya akan terus memujuknya supaya mengubah pendirian hidup dengan iringan doa.Semoga Allah memberi petunjuk kerana Dia maha pengasih maha penyayang. Ia seorang yang murah hati,  rajin mengeratkan silaturrahim dan sentisa berhemah bila berbicara.

Saya sendiri pun masih banyak kelemahan dan kekurangan dan berkongsi cerita ini semoga dapat memberi peringatan pada diri. Tiada manusia yang sempurna dan kita mencari kekuatan dari sahabat handai sebagai wasilah. Hanya Allah jua tempat kita bergantung. Namun untuk itu kita perlu ada ilmu untuk membedah siasat kelemahan dan kekurangan yang ada. 

Biarlah kurang sempurna di dunia asalkan di akhirat Allah redha dan kita sejahtera bahagia di sisiNya.
Memohon keampunan Mu ya Rabb....


...

Wednesday, September 25, 2013

Fatima Sufiya...



The latest arrival - Fatima Sufiya, my ninth grandchild from Sara and Azrul. Alhamdulilah.

Born 2.77 kg, she is my fifth grand daughter. No fancy name this time - Just Fatima, easy to call and easy to remember. My daughter has just had a new maid and I decided to help out. I am now in Puchung Prima since Saturday and helped out in cooking the daily meal. No big deal but I am happy and celebrate my own ability to be on my feet and take time out today to write this little note.

My brother in-law (ayah Tam) smiled when my husband told him I am helping to bathe the baby daily. Actually I haven't done that this time around because the maid is quite capable and I just supervise her making sure she does not take short-cuts.

What can a 66 year 0ld do ?
Plenty, my dear....psyching myself up to do the daily chores as well. I reminded myself of the 64 year old American woman who swam from Cuba to Florida and a 74 year Japanese woman who climbed Mount Everest. I am sure I could do just as well if I tried harder. Who would believe me ?....

So in a minute I will take the baby out and sit under the  morning sun to help cure the mild jaundice, normal of a new born.

Next week insyaAllah  I will  be moving on to Tangkak to start on our detail program for next year. May Allah grace us with good tidings.

....

Saturday, September 21, 2013

....mencari Laksa Power.




Pemandang dari tigkat atas rumah tumpangan di Langkawi.

Melancung ke Langkawi untuk mencari Ikan Segar. Itu tujuan asalnya bila seorang teman yang  baru balik dari sana membawa cerita ia mengikuti aktiviti memancing ikan dan makan ikan bakar yang segar hampir setiap hari. Tetapi saya dan suami tidak mampu beraktiviti begitu. Kami mengikut anak ke Langkawi mengambil tugas "baby-sitting" sementara ia bertugas rasmi. Maka tidak ada ruang dan peluang untuk pergi memancing.


Maka kami hanya makan di restoran mencari ikan segar. Alhamdulilah, dapat juga habuan ikan segar walaupun cara memasaknya kurang menepati selera. Dalam hati kecil saya berkata: tidak mengapa.....ikut rezki. Tetapi di Restoran Wan Thai kami berpuashati. Alhamdulilah. Nikmat kurniaan yang maha memberi rezki jua.


Setiap hari selepas sarapan yang agak lewat,  kami belegar-legar di Pantai melihat pembangunan yang makin pesat. Akhir sekali saya dan suami ke Langkawi ialah lebih 3 tahun yang lalu. Banyak perbezaan....Di Pantai Cenang sudah seperti tempat yang asing bagi saya. Ramai pelancung asing berkeliaran. Suami saya mencari teman yang punya sebuah Motel. Oh....masih beroperasi dalam gelombang saingan yang hebat menarik pelanggan. Namun mereka gigih dan masih bertahan. Alhamdulilah.








Antara aktivi menarik di Langkawi bagi saya kali ini ialah mencari Laksa Power yang di rekomenkan oleh pengusaha kereta sewa tempatan. Nun di belakang Lapangan Terbang, katanya. Anak perempuan saya yang memandu kereta. Berusaha sungguh mencari Laksa Power ini. Boleh berhenti di pejabat polis untuk bertanyakan arah. MasyaAllah. Hendak seribu daya. Akhirnya jumpa juga....

Gerai Laksa Power



Sedap sekali. Alhamdulilah. Isi dan qualitinya sempurna dan hanya rm5/-semangkuk. Kami bungkus juga bawa balik untuk ulang makan.


Di tepi Pantai air kelapa muda yang menjadi pilihan. Harganya rm4/- sebiji.  Kami berbaris kerana laksa power amat popular. Cuma tempatnya tidak begitu selesa. Kebersihan pun kurang terjaga. Ini budaya 1 Malaysia yang belum boleh dipuji kesungguhannya. Di mana silapnya ?...didikan di rumah, di sekolah atau tidak cukup penguawat-kuasaan di tempat umum. Setiap kita harus peka hal ini kerana kebersihan amat dititikberatkan dalam Islam.


Cucu saya lenyak tidur tetapi kami bawa juga turun kereta dan baringkan atas meja kosong. Laksa power punya tarikan...




Pada pandangan saya Rakyat masih terpinggir di tempat sendiri. Belum benar-benar dapat rasa rakyat didahulukan. Bekalan kemudahan air bersih secara teratur tidak kelihatan.  Anak saya buat komen: Macam mana depa basuh peralatan ye? Saya kata jangan tanya, makan sahaja dan doa semoga tidak sakit perut. Alhamdulilah, semua beres. Kami memahami kesulitan pengusaha kecil di situ. Maka esuknya kami datang lagi,  dan  kali ini  makan Laksa Ikan Sekoq di gerai yang lain pula. Juga sangat sedap tetapi tempatnya pun kurang selesa. Kalau tidak ada pokok besar dan rendang sememangnya tempat itu tidak ramai pelanggan kerana cuaca Langkawi agak panas juga.



Anak saya kata: romantik juga mak tempat ini. Beza pendapat dua generasi....

Pantai-pantai di Langkawi sememangnya cantik. Tidak ramai yang mandi. Tetapi tidak ada papan tanda mengatakan bahaya untuk berenang. Kami tidak berani dan anak dan cucu saya hanya berjalan di gigi air bermain buih ombak.



Kasihnya Ibu...bersusah payah berkongsi masa bekerja dan bercuti...

Waktu yang lain anak-anak saya sibuk membeli belah. Saya ikut sahaja. Suami saya teruja dengan set 'cutlery' dan membelinya. Diumur senja sudah tidak banyak keperluan. Anak-anak saya membeli pinggan mangkuk import. Saya senyum sahaja. Teringat waktu diri muda dahulu. Sesekali berpesan juga jangan terlalu ghairah membeli barangan. Simpan duit sikit untuk infak, satu fakta penting dalam berkongsi nikmat yang Allah beri. "Erti hidup pada memberi". Kali ini mereka pula yang senyum....


A133
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
(A-li'Imraan 3:133) | 
A134
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
(A-li'Imraan 3:134) | 

Pergi ke Langkawi dimusim cuti umum (Hari Malaysia) seronok dan tidak seronok sebab terlalu ramai pelancung. Pelanucung asing pun ramai juga. Tahun 2014 adalah tahun melawat Malaysia. Tetapi saya kecewa sedikit di KLIA sewaktu boarding kerana dewan dibuka terlalu lambat dan kami terpaksa tunggu lama diluar tanpa ada kerusi untuk duduk. Bagi yang muda itu tidak menjadi masalah. Saya penat berdiri kerana lutut dan pinggang sudah agak bermasaalah. Saya kurang arif sama ada sekarang caranya begitu jika menaiki Malaysia Airline. Takut nanti iklan perlancungan hanya indah khabar dari rupa. Semoga semua ini sudah diambil kira....





Penumpang berdiri-diri rasanya hampir sejam. Kerusi yang sedikit (4 atau 5) dimonopoli oleh yang datang dulu dan mereka tidak bergerak menghadap komputer. Agaknya mesej yang nyata ialah: kalau tidak larat, duduklah di rumah sahaja ? 


Walau apa pun, alhamdulilah dapat bersama anak saya Azrul yang selalu sahaja sibuk bekerja 25 jam sehari. Kami bertukar-tukar pendapat mengenai perancangan hidup harian dan masa hadapan. Kata pepatah Inggeris: Life is not a bed of roses...Kita menjalani hidup ini hendaklah dengan penuh kesedaran bahawa semuanya adalah milik Allah. Kita tetap bersyukur sama ada kita dapat atau tidak dapat apa jua yang diidamkan.


Nikmat hidup bukan semestinya Allah kurnia segala yang mewah dan mahal. Laksa power pun sudah mencukupi untuk merasakan kasih sayang Allah yang maha bijaksana mengurnia yang terbaik di sisiNYA.


Mohon keampunan Mu ya Rabb...


.....

Friday, September 20, 2013

Belajar ambil peduli....





Dalam wacana Solidarity Wanita untuk Mesir dan Syria, saya teruja dengan kehadiran wakil wanita Syria seperti dalam foto di atas. Dan mereka juga sangat menghargai usaha Wanita IKRAM membantu mereka dalam perjuangan menegakan keadilan dalam Kebenaran. Mereka melafazkan ikrar juang dalam bahasa Arab untuk dikongsi, tetapi saya terkial-kial kerana tidak mahir berbahasa Arab.

Dalam konteks ini saya selalu menggalakan anak-anak dan anak-anak buah saya supaya menggalakan anak-anak mereka mencintai bahasa asing juga terutamanya Arab kerana itu Bahasa AlQuran dan bahasa yang amat perlu untuk perjuangan global. Denagan teman-teman saya juga  katakan yang sama semoga orang Malaysia boleh berbahasa sekurang-kurangnya tiga lagi bahasa asing. Di sekolah kebangsaan saya dimaklumkan kerajaan sudah mula melaksana Mandarin walaupun bilangan guru yang dihantar ke University Beijing masih terhad. Saya berdoa pihak yang berkuasa bertindak lebih telus dan tulus supaya program memperkasa sistem pendidikan tidak hanya sekadar dibibir. (Smart talk without smart action will bring us to no where). Dalam alQuran pun Allah tegur mereka yang berkata sesuatu tetapi tidak ditepati. Lihat Surah 6 As Saff  ayat 2-3.
A002
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
(As-Saff 61:2) | 

A003
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
(As-Saff 61:3) | 
Antara yang saya teruja dalam sessi wacana itu ialah kerana dapat bertemu teman-teman lama dan kenalan sejak saya bersara yang aktif dalam kerja-kerja NGO. Saya galakan orang muda di mana sahaja saya ada peluang berbicara supaya ambil bahagian dalam aktiviti NGO dan jangan menunggu hingga hidup selesa. Pengorbaban harus sekarang bukan bila sudah kurang kemampuan diumur dewasa tua seperti saya. Sekurang-kurangnya jadilah ahli NGO sekarang dan menjadi sukarelawan sesekali pun jadilah. Yang penting ialah perubahan minda dan tindakan insyaAllah akan menyusuli dari masa kemasa.





Antara yang saya ketemui ialah teman-teman seperti dalam foto di sebelah ini. Seorang teman yang bertudung hitam membawa kedua anak remajanya bersama.

Ini proses belajar ambil peduli.

Anak-anak ini sering dibawa keaktiviti NGO terutamanya yang khusus bagi anak-anak. Alhamdulilah. A journey of a thousand miles start with the first step. Teman saya yang berbaju kelabu aktif dalam IKRAM dan Pertubuhan Mawaddah Malaysia terutamanya dalam program di Gaza, Palestine. Alhamdulilah.

Ayuh ke medan berjuang mengikut kemampuan....
Mohon pertolongan Mu Ya Rabb....Tunjukilah kami jalan.
Ameen....

....

Thursday, September 19, 2013

SOLIDARITI Wanita......mengapa perlu peduli ?





Perdana Menteri Turkey, Erdogan berkata yang bermaksud: "Untuk peduli kita hanya perlu jadi Manusia".

Terharu dalam suasana yang mengundang kesedaran, keinsafan....

Hari Sabtu 14 Sept yang baru lalu saya  ke majlis wacana yang bertujuan menggerakan usaha wanita di negara ini membantu wanita Mesir dan Syria khususnya dan semua wanita di mana jua mereka berada umumnya tidak mengira warna kulit keturunan dan agama. Seiring dengan ini ialah membela anak-anak kecil dan bayi-bayi yang sangat rapat hubungannya dengan wanita sebagai ibu.

Syabas saya ucapkan pada Wanita IKRAM dan semua yang bergabung dengannya atas usaha ini.



Wanita menjadi "alat dan senjata peperangan" di mana jua di muka bumi ini. Ramai wanita yang mengangkat senjata dan duduk di barisan hadapan dalam perjuangan tetapi ramai juga yang diseksa dan diperkosa kemudian dibunuh bukan semata-mata kerana hawa nafsu tetapi kerana mahu memusnahkan keturunan dan lebih dari itu mahu menghapuskan bangsa (ethnic cleansing) dari muka bumi ini. 

Ada dua sessi wacana dalam bentuk "eye witness" yang menarik perhatian saya. Satunya berceritakan pengalaman diri kerana tinggal amat hampir dengan Lapangan Rabiatul Adawiyah. Beliau menunjukan juga video yang menunjukan bagaimana kesan pihak tentera membantai rakyat Mesir.(Ini pernah dilihat di U Tube). Video yang menyayat hati. Berbagai rasa menerkam di dada. Terasa ingin bersama dalam perjuangan yang menuntut keadilan dari semua segi dalam perjalanan mencari Redha Allah. Itu secara ringkasnya yang dapat saya katakan. Hal ini telah banyak dikatakan dalam forum-forum dalam dan luar negara. Tetapi siapakah yang benar-benar ambil peduli ?



Saya teringatkan juga akan pelajar-pelajar Malaysia yang balik dan ada yang berfikir-fikir untuk menyambung pengajian di negara lain, yang lebih aman dan lebih selamat. Bagaimana fikiran anda?  Haruskah kita tinggal di Mesir dan mempelajari dan mengalami  sendiri erti perjuangan atau lari dari kenyataan. Di Malaysia kita bersyukur kerana negara aman dan rakyat dapat berbuat apa sahaja yang diinginkan. Rasa amat bertuah. Tetapi ada kalanya saya terfikir : Siapakah  yang "lebih beruntung dan bertuah " dari segi pengabdian diri pada Allah? Orang yang hidup penuh ujian di negara yang sedang bergolak atau kita yang hidup aman damai di Malaysia ? 

Kita fikirkan bersama dan bagaimana kita juga boleh berjuang di "Ground Zero" walaupun kita tidak bertapak di tempat itu.

Dalam sessi yang lain dalam wacana tersebut ada diceritakan kumpulan sukarelawan yang pergi ke pinggiran Syria dan mereka memberi gambaran bagaimana perlarian syria di sempadan Turkey menjalani hidup yang amat getir. Kita melihat seperti mereka kesusahan yang amat sangat. Hakikatnya memang susah kerana tidak cukup makanan, tidak ada bekalan air bersih dan tidak mendapat bekalan elektrik yang berpanjangan. Ramai para hadirin yang saya lihat menitiskan air mata. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Tetapi habuan dihari kemudian hanya Allah yang maha mengetahui.



Dalam rombongan ini dua wanita Ikram turut sama. Syabas pada ketua rombongan yang berumur 63 tahun.Ia kelihatan masih gagah, masih gigih mahu berjuang di hadapan. Mereka bukan semata-mata pergi seperti mengikuti "Disaster Tourisam". Mereka meneliti apa yang perlu dilakukan dan kembalinya ke Malaysia mereka mengatur program bagaimana pertolongan boleh disalurkan.

Saya menulis entry ini kerana rasa seronok ramai wanita muda dalam golongan pelapis yang tampil sebagai pemimpin yang bersemangat untuk meneruskan perjuangan yang merentas sempadan agama, bangsa dan keturunan. Alhamdulilah. Dibawah antara contoh yang dapat saya rakam.


Ustazah Maznah, ketua wanita Ikram kini.

Para panel yang terlatih dan professional dalam bidang masing-masing.

Dan bukan calang-calang kebolehan 'berpidatu'.

Bijak berhujah......

Bijak merumuskan isi perbincangan...

Barisan pelapis dan pendukung perjuanagan

Anak-anak remaja mengambil bahagian dan  sekali gos
mereka mempelajari erti perjuangan serta selok belok mengaturkan strategy perlaksanaan.

Antara sikap yang ingin dibina ialah menghargi pengorbanan wanita dalam ketegasan mahu mendirikan keadilan. "Cubit peha kiri peha kanan sakit juga". Itu yang perlu dirasai supaya dapat mendorong tenaga untuk membantu. Jika mampu bantu dengan perbuatan, atau dengan perkakataan dan jika tidak mampu berdoalah semoga Allah melindungi pihak yang benar dan satu hari nanti, insyaAllah akan tercapai keamanan dan kesejahteraan yang tulin.

Tolonglah kami ya Rabb...
Kurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam barisan kami ya Rabb.....
Kami memohon redha Mu ya Rabb.
Ameen...

....

Friday, September 13, 2013

EGOnya masih mudah tersinggung.....





Mengimbas kembali Ramadhan......

Di bulan Ramadhan Allah mudah buka pintu Rahmatnya dan kita peka kewujudan kita sebagai hamba.....hamba yang serba fakir di sisi yang maha Pencipta dan maha Berkuasa. Sepertinya Ego kita dapat kita humban ke tepian dan kita meraikan hakikat keinsanan. Dapat kita terapkan di lubuk hati kita bahawa kita serupa sahaja. Hanya Iman dan Taqwa yang membezakan kita. Maka dibulan puasa kita boleh membawa diri-diri kita beriftar di masjid di mana rata-rata tidak ada Protokol seperti hari-hari biasa. Jika tidak berhidang juadah hari itu, kita dengan senyuman beratur panjang menunggu giliran, bertegur siapa dengan sesiaapa jua yang di hadapan atau di belakang kita. Jalinan silaturrahim tidak memerlukan karenah protokol.

Saya perhatikan keadaan seperti itu hampir setiap hari beriftar di masjid di bulan Ramadhan. Tenang dan seronok  dan makan bersama-sama seadanya. Makan pun harus cepat-cepat sebab hendak Solat Maghrib. Betapa kita menghargai masa !

Begitu juga cerita yang saya dengari dari teman-teman dan anak-anak buah yang kadangkala terserempak berjumpa di tempat-temapat awam seperti pasarraya atau ketika duduk bersama membaca alQuran di Masjid atau mencari dana untuk mereka yang memerlukan.


Indah sungguh Ramadhan..

Kini kita sudah ditinggalkan...

Apabila sudah berlalu Ramadhan ada diantara kita yang berubah kembali seperti tidak melalui Ramadhan. Anjakan Iman dan Taqwa tidak dapat dipertahankan. Saya amat khuatir  diri saya pun begitu. Bila kunjung mengunjung dan bertemu dengan sanak saudara masih kedengaran ahli keluarga yang buat rungutan-rungutan yang tidak sedap didengari. Agak tersedih dihati. Fikiran saya mengatakan itu kesemuanya berkisar atas ketidaksempurnaan mengawal perasaan hati. Ego kita belum cukup lembut. Kita masih mahu melayan protokol sosial. Kadang-kadang protokol kita tidak selari dengan Adab.

Alkisah, saya terserempak dengan seorang yang demikian. Katanya hatinya amat remuk kerana ada anak-anak saudara tidak lagi menegur siapa dengannya dan tidak ambil hirau akan keberadaannya. Ia mengaggap anak-anak buah ini amat kurang beradab dan menyalahkan kedua ibu-bapanya yang tidak pandai mendidik anak. Maka ia mengambil keputusan untuk tidak mahu ziarah-menziarahi keluarga yang terlibat. Ia tidak teringin memanjangkan silaturrahim. Ia mendakwa  ia tidak memutuskan silaturrahim tetapi cuma tidah mahu memanjangkannya.


Saya bingung mendengarinya...


Maka saya menyelitkan hujah bahawa tugas mendidik anak-anak muda terutamanya dari sanak-saudara sendiri adalah tugas utama keluarga besar (extended family). Kesilapan kecil jangan kita besar-besarkan. Kita terima anak-anak buah kita seadanya kerana semasa kita muda dahulu pun bamyak kesilapan yang kita lakukan. Maka dewasa tua inilah kita menginsafi diri dan boleh berlebih kurang dengan tindak-tanduk anak muda kerana mereka masih dalam proses menjalani tarbiah Islamiah sedikit demi sedikit. Kita tunjuki sahaja jalan bagaimana mahu menjadi insan mulia di sisi Allah.


Saya katakan kita harus mensyukuri apa yang kita ada dan menginsafi diri melihat apa yang tiada. Sekadar tidak ditegur siapa oleh anak-anak saudara adalah agak lumrah pada anak-anak muda sekarang. Saya pun sedih melihat fenomena ini, tetapi apakan daya.  Hubungan mata dan hati amat berkurangan kerana minda terlalu fokus pada hubungan dengan rakan sebaya melalui teknologi canggih kini. Mereka lupa pada golongan umur yang tidak sehaluan minat dalam melalui kehidupan. Nilai kekeluargaan dan nilai sosial sudah banyak beza.


Pada hari itu hujah saya tidak relevan.  Katanya saya hanya mahu menegakan benang basah. Saya senyum dan menukar tajuk bicara dan bertukar tempat duduk untuk memberi laluan pada perbualan yang lain pula.

Demikianlah hati manusia yang belum sempurna. Yang tua dengan pemikirannya, yang muda dengan karenahnya. Mungkinkah ada titik pertemuan ? 

Saya menginsafi diri dan bertekad akan terus mendidik hati sekurang-kurangnya hingga ketahap boleh mempengaruhi  hati-hati orang lain (anak-anak)  demi mencari redha Allah. Semoga Allah kurnia keinginan ini.


Mohon keampunan Mu Ya Rabb....


....

Wednesday, September 11, 2013

Deria Melihat.......





Menghargai mata ....kurnia Allah yang tidak ternilai harganya. Allah kurnia pendengaran jauh lebih awal dari penglihatan. Kita lihat pada setiap bayi. Walaupun sepertinya melihat kita, namun penglihatannya  masih samar-samar. Allah kurnia  nikmat pendengarannya  dari dalam kandungan ibunya lagi.

Itu muqadimah cerita saya mengenai mata.


Saya ke Hospital UMMC petang semalam  untuk pemeriksaan kali kedua keadaan mata saya kerana saya diabetik. Alhamdulilah. Dr kata okay. Tetapi ia memberi amaran keras untuk menurunkan tahap gula dalam darah saya. Rasa tidak sedap dihati.


Pemeriksaan selesai dalam masa dua jam. Itu saya kira agak cepat. Perlahan-lahan saya melangkah menuju ke arah Hentian Taxi. Bermacam yang terfikir. Pagi ini darah saya 8.4. Pagi makan nasi lemak. Waduh.....rasa agak kesal. Harap-harap saya beringat....


Kakak  saya yang baru meninggal dunia hilang deria melihat juga kerana diabetis. Selama lebih 5 tahun ia langsung tidak nampak. Kasihan. Tetapi jiwanya besar. Ia banyak hafalan dan sentisa menghafaz apa yang ia ingat. Terinfgat akan diri. sendiri. Terlalu sedikit hafalan ayat-ayat al quran. Sepanjang perjalanan dalam teksi ke rumah  saya bertekad mahu mengubah cara makan harian. Semoga ada kekuatan menahan kehendak makan. Saya terfikir untuk tidak menyimpan kuali dirumah supaya tidak makan jenis bergoreng. Teringat juga untuk tidak menyimpan apa jua jenis minuman 3-in-1 atau menyimpan gula. Kalau ada tetamu, barulah  pergi beli di kedai. Pernah saya lakukan sekejap beberapa tahun lalau tetapi tidak ada kesabaran untuk berkorban. 


Saya fikir-fikir untuk cuba lagi.


Seorang teman saya baru disahkan diabetik. Dia rajin makan ubat-ubatan tradissional. Juga suami saya. Tetapi saya penakut ubat dalam bentuk minuman. Mengapa ye?


Cerita berkatan mata,  saya ada seorang teman se Masjid yang telah menerima dua kali transplant. Sekali  dahulu dalam satu masa. Ia menghidap penyakit yang terjadi pada orang yang berketurunan darah campuran dengan kulit putih,  (Caucasion). Rupanya bila di susur galur tok-neneknya  adalah orang Belanda. Kedua-dua transplant dibuat melalui Hospital Mata Hussin Onn di Petaling Jaya. Lama juga ia menanti penyumbang mata.  Satu demi satu operasi dilakukan. Mengikut ceritanya pembedahan itu amat rumit. Mata yang kedua tidak sebaik mata yang pertama. Sekarang teman saya itu  tidak boleh ruku' dan sujud seperti normal dan amat berjaga-jaga matanya tidak terkena asap atau habuk atau cuaca terlalu panas. Maka kini ia tidak selalu masak-memasak. Mujur suaminya agak expert di dapur. Anak-anak tinggal jauh.


Satu ketika saya melancung ke Morocco dan dia ikut bersama  Bila saya melihat ia mesti menitiskan  ubat ke mata selang beberapa jam, barulah saya terasa amat sangat menghargai anugerah mata dan penglihatan. 


Berkaitan dengan itu saya dimaklukan ada fatwa mengatakan kita boleh membuat tawaran untuk menghadiahkan mana-mana anggota yang sesuai pada yang memerlukan. Saya membacanya  dalam Blog "Saifulislam.com"  Dia ialah Ambassador Organ Donor. Tagline blog beliau "Erti Hidup Pada Memberi".Tanyalah padanya. Keadaan umur saya sudah tidak memenuhi syarat. Saya kempen pada anak-anak. Belum berjaya setakat ini....


Maka hari ini saya memperbaharui tekad untuk mengawal diabetis saya...justeru memelihara deria penglihatan saya.


Subhanallah...

Mohon kekuatan  dari Mu Ya Rabb....

...

Monday, September 9, 2013

Sunni-Syi'ah...... Saya yang Confused ?...






Mula-mula saya berhadapan dengan isu Sunni- Syi'ah ialah pada awal tahun sembilan puluhan (1990's). Pada pertengahan sembilan puluhan pula saya memegang tanggongjawab mengurus Biasiswa di Kementerian Pendidikan. Ketika itu Kementerian menghantar pelajar-pelajar ke Timur Tengah dan United Kingdom dengan harapan mereka terus berminat menjadi guru.

Ramai pelajar terutamanya yang kami hantar ke United Kingdom terpengaruh dengan fenomena kahwin Mut'ah. Ketika itu saya pun sangat 'blurr'  dengan isu itu kerana tidak faham apa itu Syi'ah dan kurang faham apa itu Sunni. Maka pada suatu hari apabila semua Ajensi yang menghantar pelajar ke luar negara di minta menghadiri taklimat mengenai isu ini oleh Majlis Keselamatn Negara, di Jabatan Perdana Menteri, saya tidak lengah-lengah lagi setuju menghadirinya sendiri. Ada jabatan yang hanya menghantar wakil.

Untuk memendekan cerita, banyak ilmu yang saya dapati dan agak faham apa yang perlu dibuat oleh pegawai-pegawai untuk membendung masaalah yang timbul. Semua Kementerian berkaitan diminta memberi taklimat pula kepada pelajar-pelajar yang berlepas ke luar negara supaya tidak terjebak dengan fenomena yang bahaya itu.

Ketika itu saya kurang yakin saya cukup ilmu.....Ilmu yang saya dapat dari mengikuti kursus Diploma Pengajian Islam di UKM (1987) dan Diploma Islamic Studies UIA (1990) belum mencukupi untuk tujuan itu.
Maka saya mencari khidmat pihak yang lebih arif.

Di hujung kursus 2 minggu itu kami diminta memberi komen atau bertanya soalan apa jua untuk memastikan dapat menjalankan tugas dengan baik. Saya ingat lagi  saya cuba mengemukakan perkara berikut:

1).  Ini pertama kali saya menghadiri taklimat Sunni-Syi'ah dan dalam masa kurang 2 minggu saya mendakwa bahawa saya belum faham kesemuanya isu Syi'ah.

2).  Sebenarnya saya pada masa yang sama pun tidak banyak ilmu tentang Ahli Sunnah wal Jamaah. Ilmu yang ada setakat apa yang diajarkan di sekolah agama hingga darjah khas di negeri Johor. Itu pun tidak mendalam. Di dalam perkhidmatan kami tidak pernah dituntut untuk menghadiri apa jua kursus tentang Islam. Kursus-kursus tambahan yang saya ikuti hanyalah secara sukarela.

3).  Saya percaya ramai pegawai ketika itu yang sama dengan status saya. 

4). Maka saya katakan pada Urusetia Majlis Keselamatan Negara eluklah pegawai-pegawai kerajaan diberi peluang menghadiri kursus-kursus mengenai Islam yang diaturkan oleh JPA seperti mana JPA mengurus kurus-kursus lain untuk menentukan pegawai-pegawai mempunyai ilmu yang mantap bukan sahaja untuk membendung pengaruh Syi'ah tetapi juga dapat digunakan untuk memastikan dasar-dasar kerajaan tidak bercanggah dengan tuntutan hukum-hakam dalam aliran Ahli Sunnah wal Jemaah.

Pemerhatian dan cadangan saya agaknya kurang jelas maka saya tidak mendapat sambutan yang menggalakan dari mereka yang hadir taklimat dan juga dari Urusetia.

Saya pun diam dalam kecewa dan hanya membelai hati yang tidak seronok.......

Kebetulan pada waktu itu saya mengenali pegawai khas kepada Pemegang Mohor Besar Raja-Raja dan menceritakan perihal yang berlaku dikalangan pegawai dan pelajar mengenai isu di atas. Saya bertanya kemungkinan Majlis Raja-Raja memberi arahan kepada JPA untuk memastikan pegawai-pegawai diminta hadir juga kursus berkaitan Islam. Lama juga saya merisik risik hal ini kerana dari segi protokol kedudukan saya amat jauh di bawah. 

Pegawai khas itu tidak dapat megemukakan idea saya jauh ke atas. Saya faham. Pengurusan kerajaan banyak peraturan dan protokol.

Hasilnya tiada apa-apa....
Sekali lagi saya diam dalam kecewa dan hanya membelai hati yang tidak seronok.......

Saya kurang arif hari ini  apakah pendirian JPA vis-a-vis isu-isu Islam dan kursus-kursus khas mengenainya yang ada kaitan dengan good governance. Mungkin ini tidak dikira penting kerana dahulu pun saya pernah diberitahu oleh boss bahawa ilmu Islam harus cari sendiri-sendiri. 

Apa yang saya tahu di media masa soal Sunni-Syi'ah makin hangat diperkatakan dan Bloggers juga memberi pendapat masing-masing. Saya membaca Harakah tetapi tidak dapat memahami dengan jelas hala tuju PAS dalam senario ini. Berita-berita tidak rasmi juga mengatakan bahawa ada beberapa pemimpin masyarakat  mendukung fahaman Syi'ah. Maka saya terfikir sendirian adakah dasar tidak mahu menyokong Amerika menyerang Syria oleh PAS itu disebabkan ada pemimpin yang mendukung perjuangan Syi'ah. Atau adakah sebab-sebab lain?

Itulah saya sendiri pun confused. Pada anak-anak saya agak berani berhujah apa yang saya pegang sebagai benar. Anak-anak pun mendengari apa yang diperkatakan  di luar. Maka kini saya sedang mengatur pemikiran dan fahaman saya mengenai Syi'ah....

Semoga saya di jalan yang benar.

Akhirnya saya beri dengan dorongan pada anak-anak supaya sama-sama berdoa berasaskan ayat-ayat berikut:



A005
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
A006
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
A007
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


.....

Saturday, September 7, 2013

Menjalin komitmen di Tangkak....

Hari ini Syawal terakhir, bersamaan 6 September. Maka saya ingin juga rakam peristiwa saya berhari Raya di Tangkak, bukan di Pontian kampung asal saya. Di Tangkak saya berdagang...

Biasanya dalam berhari Raya kita sisipkan semangat bersilaturrahim. Kalau maksud silaturahim hanya berkunjung, bersalaman dan bertanya khabar, menjamu selera dan  bercerita topik yang ringan-ringan, saya takut tidak ada nilai tambah dalam pertemuan dan dalam temu bual pada hari itu. Saya sentiasa khuatir kita melepasi masa begitu sahaja. Maka fikiran saya sentiasa ingat bagaimana mahu memunafaatkan masa sebaiknya.

Saya merasai di mana jua saya berada saya suka membawa konsep silaturrahim untuk meliputi bicara santai mengenai masaalah harian atau apa jua yang akan meningkatkan kefahaman erti hidup yang harus didukung oleh kita semua sebagai penganut Islam. Jika perlu kita cerita juga bagaimana kita menyelesaikannya. Saya sentiasa peka bagaimana saya dapat berbuat demikian dalam perbualan yang berlangsung di mana jua saya berada.




Di pertengahan Syawal saya berpeluang berhari Raya di rumah Imam Besar Masjid Bandar Tangkak. Penuh sesak rumahnya dengan tetamu. Pastinya beliau disukai ramai. Maka saya dan rakan beredar sebentar ke kedai berhampiran dengan masjid  menunuggu dewan rumah reda sedikit. Di sana kami bertemu dengan ahli SmarTop yang juga menanati masa sesuai untuk ke rumah Ustaz. Sempat juga kami minum segelas juice kerana cuaca panas walau pun sudah menjelang malam. Tetap rasa seronok walau pun menunggu....

Ustaz dan ustazah pandai melayan tetamu. Saya rakam foto kenangan dengan isterinya. Ia Ustazah sukarela di SmarTop untuk beberapa jam seminggu. Alhamdulilah. Anak-anak belajar menghafaz penuh minat.

Impian kami semoga dapat ustazah seperti ini sepenuh masa.

Selain rumah ustaz, saya dan teman yang sama-sama mengurus Tadika SmarTop juga berhari Raya ke rumah murobbiah yang berkelapangan. Alhamdulilah meriah sekali berkenalan dengan keluarga mereka. Rata-rata kami jauh lebih tua dari mereka dan sempat bersembang dengan menyelitkan satu dua petua hidup dan kehidupan. Pada kami setiap saat adalah persedian untuk hari akhir. Semoga Allah terima sebagai ilmu yang dimunafaatkan.
Ini rumah Murobbiah Shamsiah. Kami duduk menanti waktu berbuka puasa kerana ada diantara kami dan juga tuan rumah yang puasa Khamis dan habuan buka puasa bersekali dengan kuih muih raya. Sudah lama tidak makan bubur som-som. Rasa terbuka selera. Alhamdulilah. Di bawah ini Shamsih dan saya. Baik orangnya dan suka membantu. Semoga berterusan.


Kemudian beredar pula ke rumah saudara sepupu teman saya. Disebalik kuih-muih Raya kami juga dapat habuan makan durian King di rumahnya. Bertuah dapat menjamu selera sampai puas. Alhamdulilah. Teman saya tidak berapa minat durian. Saya tidak segan-segan menghabiskannya. Mujur tuan rumah faham. Di bawah ini anjung rumahnya waktu malam. Saya terpegun dengan keindahannya.




Di waktu malam tamanya pun cantik. Mesti rakam untuk kenanagan.


Ini ex-murobbiah kami bersama suaminya. "teacher mama" nama glamournya. Pandai dengan anak-anak. Tetapi rata-rata anak-anak punya karenah masing-masing yang perlukan perhatian yang berlainan. Cuma kita perlu kesabaran dengan penuh kasih sayang. Kemesraan masih terjalin walaupun sudah tidak bersama di Taska kami. Alhamdulilah.
Ini di rumah Teacher Atiqah.(duduk di bawah 2 dari kiri). Meriah. Ada beberapa rumah yang kami kunjungi kami di jamu dengan hidangan ubi kayu dengan sambal tumis atau ikan masin. Teruja dan satu nostalgia bagi saya. Saya membesar dengan ubi kayu, keladi, keledek dan apa jua makanan kampungan. Maka saya teringatkan emak saya buat seketika. Penat lelahnya membesarkan saya tidak dapat saya ceritakan semuanya. Doa saya semoga bersama emak di Syurga Firdaus. Ameen.






Ini di rumah teacher Farah (no. 3 dari kanan). Ibunya yang duduk di atas kerusi. Seronok mendapat penghormatan seorang ibu. Bukan di sini sahaja. Di semua rumah murobbiah, ibu masing-masing ada bersama. Selain kasih Rasulullah saw, tiada yang lebih dari kasih ibu. Saya teringat kata ustaz: Jika kita melayan, menjaga dan mera'i ibu sebaik mungkin, ia adalah jalan pintas ke syurga. Semoga kita semua dalam golongan itu. Rindu akan emak...


Ini di rumah teacher An (guru mandarin berdiri kanan sekali). Hanya sebentar bersama SmarTop tetapi kemesraan serupa juga. Alhamdulilah. Di rumahnya terhidang laksa johor. Saya orang Johor tapi tidak pernah mencuba memasaknya. Saya tiada kemahiran masak-memasak dan saya pasti anak-anak saya tidak akan ingat saya kerana masakan saya. Hari itu saya makan laksa hingga terduduk.....

Itu sahaja yang saya berkesempatan buat rakaman. Semoga sedikit sebanyak jalinan silaturrahim dapat juga mengikat komitmen dan kekuatan dalam mendukung perjuangan menegakkan Kebenaran.

Jemputan makan di rumah 'kak Ngah' malam sebelum kembali ke Petaling Jaya tidak saya rakam kerana rasa tidak selesa pada malam itu lantaran terlalu banyak makan pada siangnya. Minta maaf Kak Ngah. (Kak Ngah adalah pengasas Subur Fitrah. Terkenal di Tangkak sebagai Che gu Nortipah).

Semua orang ada cerita masing-masing berhari raya. Ada juga teguran setengah kumpulan yang mengatakan Rasulullah saw tidak berhari raya demikian rupa, maka mengapa orang Malaysia buat begitu. 

Tiada jawapan sekarang....mungkin dilain kali....

Mohon keampunan Mu Ya Rabb...

....

Friday, September 6, 2013

LEDANG......bukan sekadar ada Gunung


Gunung Ledang


Foto ehsan Malaysian Traveller.com 

Terkenal......

Daerah Ledang kini membangun pesat. Bandar yang terbesar ialah Tangkak. Dari remaja lagi saya ingin mendaki Gunung itu tetapai entah mengapa cita-cita tidak tercapai. Sikap tangguh menangguh adalah sabab-musababnya. Di umur kini saya tidak ada peluang...

Namun Ledang bukan terkenal dengan gunungnya sahaja. Bandar Tangkak untuk beberapa tahun kebelakangan ini terkenal sebagai pusat membeli belah kain ela dan kain langsir. Namun populariti itu kini diambil alih oleh bandar Nilai 3 dekat dengan Seremban. Saya kurang arif perkembangan seterusnya.

Sejak akhir 2012 saya berada di Tangkak agak lama dalam sesuatu masa. Ada kalanya hampir 2 minggu. Saya menumpang rumah sewa teman saya. Kami menubuhkan SmarTop Subur Fitrah Integrated PreSchool di Jalan Hassan. Enrolmen yang ada sekarang turun naik dalam lingkungan 60-65 orang. Saya telah menulis mengenainya dalam beberapa posting yang lalu.

Cuma kali ini saya rasa teruja ingin berkongsi pengalaman cuba memperkenalkan Bahasa Mandarin pada anak anak di Taska berumur 2-3 tahun dan di Tadika berumur 4-6 tahun.

Itu janji kami pada Ibu-Bapa anak-anak. Kami memperkenalkan Bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin. Kami mendapat seorang guru berketurunan Melayu yang sedang belajar di University Beijing dan ia di Tangkak kerana bercuti panjang. Maka ia bersetuju mengajar anak-anak SmarTop. Kami hanya mahu ia mengajar nyanyian dalam bahasa Mandarin kerana itu paling mudah untuk anak-anak ingat dan akan terus ingat hingga dewasa. (Seperti saya ingat lagu 'twincle-twincle little star hingga kini).



Ini Teacher An dan ibunya yang kami rakam semasa kunjungan Hari Raya dan mengucapkan selamat maju jaya kerana ia akan pulang ke Beijing awal September. Teman saya pengasas SmarTop menghadiahkannya alQuran terjemahan dalam bahasa Mandarin. Semoga sama-sama kami mendapat munafaatnya.

Antara yang diajarkan oleh teacher An dalam masa yang singkat ialah nyanyian "tiger" dan terjemahan Syahadah ke dalam bahasa Mandarin. Alhamdulilah. Anak-anak Tadika dapat mengikutinya dengan baik. Hanya saya yang masih terkial-kial. Semoga mereka akan ingat sampai bila-bila.

Teacher An diganti pula dengan Teacher Leng. Ia keturunan Cina Malaysia dan fasih Mandarin. Kini ia mengajarkan beberapa nyanyian bermula dengan 'happy birthday' dalam Mandarin. Ia juga mengajarkan istilah nama untuk anggota badan kita. Ia juga mengajar mengira 1-10 buat permulaan. Kami percaya sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Falsafah kami bukan untuk anak-anak terus hebat dlalam mandarin tetapi unuk membuka minda supaya suka Mandarin dan semoga bila remaja dewasa nanti salah satu bahasa yang akan ditumpu perhatian adalah Mandarin. Kita sudah lama ketinggalan. Dunia kini sudah melihat kekuatan ekonomi negara China. Kita harus beri asas untuk anak-anak generasi akan datang semoga mereka mampu berdakwah dalam Mandarin dan mampu bersaing dalam semua bidang.





Ini Teacher Leng dalam kelas. Ia mesra dengan anak-anak dan pandai berhubungan dengan kami dan sabar mengajar guru-guru kerana bila ia tiada nanti murobbiah kami lah yang akan meneruskan apa yang sudah diajarkan supaya tidak lupa.

Alahai.....kecil sangat usaha kami dalam membina potensi anak-anak kecil ini.

Namun kami sentiasa mengingatkan diri-diri kami bahawa kami adalah sebahagian dari usaha membina sebuah Tamadun.........tamadun yang menjunjung Kebenaran alQuran supaya bertapak kuat di muka bumi ini.

Setiap kali kami bermesyuarat dengan murobbi dan staf SmarTop selalu sahaja kami mengaitkan usaha yang kecil ini ibarat membina sebuah rumah. Setiap komponen adalah penting dan mesti wujud kukuh dan tegap. Jikalau tidak rumah itu akan sendeng dan jika naik tanpa pembinaan foundation yang kukuh pasti ia akan runtuh.

Di Bandar Tangkak ini sudah wujud berbagai Tadika dan Taska. PERMATA PINTAR adalah yang terserlah dan ia popular kerana mengambil sempena pengasasnya, iaitu isteri YAB Perdana Menteri. Saya belum pernah mengunjunginya. Ingin tetapi belum jumpa laluan....

SmarTop mengambil contoh dari Ikon Pendidikan Negara, Professor Hasni dari ADNI EDUCATION CENTER. Beliau mempelopori pendidikan dengan konsep "Integrated and Holistic Education System (IHES)". Banyak lagi yang perlu kami lakukan. Alhamdulilah setakat ini kami telah dapat bernafas sedikit kerana sokongan jitu dari masyarakat setempat dan rakan-rakan seperjuangan jauh dan dekat. Keluarga kami juga menjadi pendukung prinsip "Quranic Generation development Program" yang mana di hujung sistem pendidikan seperti ini akan melahirkan pelajar-pelajar yang berketerampilan dan berakhlak mulia. 

Alahai....setakat Tadika dan Taska sumbangan kami amat kecil sekali. Tetapi kami yakin 
"A JOURNEY OF A THOUSAND MILES STARTS WITH THE FIRST STEP". Dan kami yakin Allah sentiasa melihat usaha hamba-hambanya, bukan hasilnya semata-mata. Semoga Allah meredhai...


Perjalanan ini jauh semoga pertolongan Allah dekat....

Dalam usaha menuju destinasi salah satu cara ialah memastikan hubungan rapat dalam jemaah dan masyarakat. Maka kami  mencuba sedaya upaya menjalin kemesraan dengan masyarakat setempat dengan mengambil bahagian mengikut kemampuan dalam aktiviti Masjid dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Masyarakat setempat terutamanya ibu-bapa anak-anak SmarTop harus diberi fahaman bahawa mendidik anak-anak yang berbagai potensi ini perlu kerjasama yang rapat. Mendidik anak adalah tanggongjawab bersama.

Kata pepatah Inggeris: "It takes the whole village to raise a child".


Maka baru-baru ini kami mengadakan Rumah Terbuka sempena Hari Raya AidilFitri. Kami jemput juga jiran-jiran sekolah termasuk  semua keturunan. Majoriti penduduk bandar Tangkak adalah keturunan Cina dan kami bertekad usaha ini adalah sebahagian dari proses dakwah, serampang dua mata,  yang harus kami jalankan walaupun sedikit demi sedikit.




Kumpulan alQuran Bandar Tangkak berselawat beramai-ramai menyerikan majlis.


Sebahagian dari tetamu yang terdiri dari keluarga KOHATSA.
Keluarga ini banyak menyumbang pada SmarTop.

Dalam kesibukan beramah mesra saya sempat bermesra dengan anak-anak Tadika kami yang datang bersama ibu-bapa. Di bawah ini adalah antaranya. Saya teruja mengajar mereka simbol baru perjuangan. Hakikatnya tidak baru cuma simbolnya sahaja yang baru. Saya katakan pada mereka bahawa  sekarang kita boleh tunjuk begini bila-bila masa kita suka.






Pastinya mereka tidak faham. Tidak mengapa. Kita semua mula dengan tidak faham. Buat dulu, pertolongan Allah itu hampir. Semoga demikian. Ini lambang ikrar jiwa merdeka, jiwa yang mahukan kebebasan dan keselamatan dan kesenangan hidup mengikut lunas-lunas yang Allah tentukan. Saya terpanggil untuk meyebarkan perjuangan Ikhwan Muslimun kerana itu adalah perjuanagan kita juga. Mesir adalah bumi Ambia, maka ia adalah bumi kita juga.

Mungkin kita di Daerah Ledang, tetapi perjuangan kita adalah  di mana jua dan kita tetap bersama dengan golongan yang mendirikan Kebenaran. Demi Kebenaran, membujur lalu - melintang patah.

Itu maruah kita.

Hanya pada Mu kami berserah, Ya Rabb....


...
Related Posts with Thumbnails