"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, October 31, 2013

..."Lite Thinking".




Eid Adha telah  sebulan berlalu. Muharam pun hampir tiba. Kebelakangan ini 'bersembang' lebih sikit dengan teman-teman dan beberapa perkara tercetus di minda. Antara certia-cerita yang di sembangkan membawa ingatan peristiwa lembu. Lembu qurban dan lembu berbagai. Ada teman-teman yang berkata penuh perasaan supaya kita janganlah mempromosi susu lembu kerana nanti perangai macam lembu. Rasulullah saw suka susu kambing. Mungkin kita perlu fikirkan untuk lebih minum susu kambing dari susu lembu. Seorang pakar pemakanan berkata bahawa susu kambing itu lebih hasiatnya dari susu lembu.

Tidak juga kita diibaratkan macam kambing jika malas berfikir-fikir.

Dari cerita lembu saya sendiri terfikir lain-lain cerita berkaitan lembu. Dan banyak peristiwa berlaku di negara sendiri yang harus diketahui, suka atau tidak suka. Ada yang berkaitan dengan lembu.....

Antaranya ialah pemilihan ketua wanita sebuah parti politik. Ia pernah dikaitakan dengan scandal lembu tidak lama dahulu. Nyata sekali ramai ahli yang menganggap  dia tidak bersalah dan yakin akan intergritinya. Maka ia terpilih lagi. Jangan mudah berburuk sangka.....kata setengah orang. Sebarkan fikiran positif, insyaAllah yang negatif akan berubah rupa untuk kebaikan semua. Namun ada juga yang berfikiran mungkin kita sudah ketandusan bakat dan ketandusan semangat. Kita menyerah kalah dan ikut sahaja.

Saya ingin berlepas diri kerana tidak tahu secukupnya untuk membuat apa-apa ulasan. Yang saya gamak untuk bersuara hanya setakat mengatakan bahawa ramai antara kita yang mudah lupa. Dan selalu benar kita sembunyikan fakta-fakta negatif seperti kata pepatah Inggeris kita longgokan sahaja masuk bawah karpet dengan keyakinan lambat laun akan lenyaplah ia. Saya khuatir fenomena ini akan melarat-larat jika tidak di tangani dan seperti daging busuk jika ia tidak ditanam akan menjadi racun yang membahayakan.

Kemudian saya dengari juga cerita-cerita pemilihan tokoh-tokoh untuk menerajui parti ternama di negara kita sekarang. Ada yang suka...dan ada yang tidak suka. Ramai yang hanya melihat dipinggiran. Itu lumrah perangai orang politik. Cuma kita harus ingat "Allah maha mendengar dan maha melihat yang nyata dan tersembunyi". Maka setiap ahli harus tahu tanggongjawab semoga di hujung kehidupan nanti ada jawapan pada setiap persoalan. Ya...pada setiap persoalan!

Saya bukan orang politik tetapi rasanya saya tidak dapat berlepas diri dari persoalan sepertinya kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa secara langsung atau tidak langsung kita terlibat dalam masaalah di negara kita ini kerana setiap kita dikehendaki dan diberi kuasa memilih siapa pemimpin kita kalau kita sendiri tidak mampu menjadi pemimpin atau belum bersedia menjadi pemimpin.  Sudahkah kita berbuat sesuatu untuk 'membetulakan' apa jua bentuk kepincangan di sekeliling hidup kita....?   Walau kecil sekali pun, sudahkah kita berusaha kearah itu. Terutamanya individu-individu  yang Allah kurnia akal fikiran yang lebih, tenaga yang lebih dan kemampuan yang lebih. Pastinya terangkul dalam kapasiti itu ialah tanggongjawab yang lebih untuk berusaha lebih, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk masyarakat dan dunia sejagat......untuk kemanusiaan.

Dalam hal ini saya juga rasa saya belum dapat membela diri sepenuhnya dan dapat berlepas diri darinya.....

Kemudian timbul pula cerita bajet 2014. Saya kurang prihatin untuk membaca dan mengikuti sepenuhnya isi Bajet 2014 itu. Maka sebab itulah saya tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan bila ditanya teman-teman reaksi saya mengenainya. Yang mudah, dapatlah saya faham. Orang-orang bersara dapat rm250/-.  Tak terkata. Senyum sahaja...........Kalau tak suka, maka saya akan dikatakan tidak bersyukur. Kalau terima dan ucap terima kasih pada pemimpin negara,  saya dikata pula tidak punya minda kritikal. Kan Malaysia ini negara kaya. Kenapa dan mengapa keadaan ekonomi kita tidak mampu memberi habuan lebih dari itu. Ada kalanya rasa tersedih juga hidup di negara yang kaya hasil-mahsulnya tetapi tidak dapat merasai nikmat kekayaannya seperti yang sewajarnya. 

Namun teringat juga teguran kawan supaya jangan asyik merungut dan tidak bersyukur dengan apa yang ada. Jangan asyik bertanya mengapa pihak berkuasa tidak dapat  meriangakan hati rakyat biasa seperti saya dan orang-orang kampung saya walaupun ada dasar rakyat didahulukan. Lihat di negara lain yang sentiasa dilanda berbagai bencana. Jangan tidak bersyukur......

Tetapi bersyukur itu tidak bererti duduk diam dan terima sahaja apa yang berlaku. Nanti kita cerita konsep bersyukur dilain kali, insyaAllah.

Dalam kesibukan mengisi waktu yang tinggal sedikit ini saya masih mengambil berat tentang ekonomi rumahtangga anak-anak saya. Harga barangan dan perkhidmatan makin hari makin bertambah. Pendapatan keluarga terhad.  Anak-anak buah saya ramai yang belum dapat pekerjaan yang memuaskan untuk menyara hidup, walaupun setengahnya ada kelulusan kolej dan universiti. Jika ingin memulakan kerja sendiri, atau perniagaan sendiri seseorang itu perlu juga dana untuk permulaan. Ini juga sukar diperolehi kerana tidak ada harta sebagai cagaran. Sistem yang dikatakan mudah bagi industri kecil dan sederhana pun bukan semudah yang dikatakan. Saudara Along berkeliaran "mahu membantu". Saya amat kasihan pada yang memerlukan.....

Jadi, siapa yang salah ye ?
Rumit.....
Namun setiap kita perlu tanya diri sendiri.....

Mohon keampunan Mu Ya Rabb...
Mohon petunjuk dan pertolongan Mu Ya Rabb....

....

Monday, October 28, 2013

Lencongan........





Saya dan suami ikut anak perempuan saya berkerja ke Alor Star baru-baru ini dan menolong 'baby sit' salah seorang anaknya yang dibawa.

Anak saya ajak melencong jalan dan keluar di Exit Bukit Tambun. Dia iklan pada saya di situ ada jetty untuk ke Pulau Aman.  Cantik pemandangannya. Banyak tempat yang belum saya jelajah di negara sendiri, maka saya setuju melencong jalan .

Sememangnya ada tempat makan yang menarik "The Ridge" adalah salah satunya. 



Saya putar-putar sebentar sebelum duduk menunggu hidangan. Hari itu hari Ahad. Tetapi tidak begitu ramai pengunjung yang datang. Tempat itu cantik tetapi agak sunyi. Namun saya rasa nyaman kerana angin bertiup segar.

Ini suami saya. Asyik mendengarkan cerita -cerita anak saya yang pernah ke hujung dunia sebelah  sini sebelum ini dengan keluarganya. Kami sampai ketika hari hampir senja dan cuaca agak mendung. Dari sini nampaklah Pulau Pinang. Di foto atas kelihatan kelong-kelong nelayan yang mencari rezki di laut.Suatu pemandangan yang awesome...

Bercerita pasal kelong, saya pernah menjelajah kelong di lautan berhampiran Pontian Kecil semasa remaja dahulu mengikut abang dan kakak ke Pulau Pisang. Ketika itu remaja suka ke Pulau Pisang untuk berkelah. Waktu itu tidak takut berada di laut.(Tidak takut di mana jua).  Tetapi kini saya tidak boleh gambarkan naik bot, walaupun bot besar, berjam- jam mengharong gelombamg. Saya keturunan Jawa pendatang tetapi keberanian tidak dapat menandingi keberanian emak saya. Allahyarham emak saya serba berani. Agaknya saya hanya mewarisi 80% keanjalannya. Kalau tanya pada emak  saya rasa dia akan kata cuma 60%. Saya perasan sendiri.... Tetapi Alhamdulilah, saya tidak begitu penakut dan suka "berkeliaran" mencari sesuatu yang terlintas dihati.

Sebenarnya kita tidak perlu pergi jauh-jauh untuk meneliti dan menghayati keindahan ciptaan Allah yang mengurniakan berbagai nikmat. Namun apa yang kita lihat tidak sepenting keadaan mata dan keadaan mata hati yang melihatnya. Jika jiwa kosong dari mengenali siapa yang maha Pencipta maka akan kosonglah pemandangan mata kita. Jika kita tidak mengenali kekuatan yang maha Berkuasa maka tidaklah dapat kita mengerti elemen kemanusiaan dalam hidup ini. Maka dunia kembara tidak banyak makna jika kita hanya melihat-lihat dan mengambil foto dengan kamera yang canggih tetapi tidak terdetik sedikit pun aura penglihatan kita dalam konteks kebesaran Allah yang mengurnia Rahmatnya ke sekelian Alam. 

Saya rujuk ayat alQuran berikut untuk mengimbas sedikit antara maksud melihat kekuasaan dan kebesaran Allah.

A046 Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
(Al-Hajj 22:46


Itu adalah antara fikir-fikir yang berlaku bila melencong-lencong dari laluan utama. Dalam hidup harian kita pun, kita sering membuat lencongan atas berbagai sebab. Ada lencongan mandatori ada juga lencongan yang santai-santai. Jika ia suatu yang mandatori, ikut sahaja tanpa banyak soal jika ia dituntut kerana sebab-sebab keselamatan dan sebagainya. Tetapi kadang-kadang kita buat lencongan untuk mencari alternatif laluan hidup yang kurang bermasalah. Antara contoh mungkin melibatkan mereka yang memilih hidup sendiri jika dipaksa untuk berpoligamy. Ini isu sensitif tetapi lencongan juga yang terpaksa dihadapi.

Dalam konteks fakta apa yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah (the smaller will within the bigger Will), saya sudah melalui berbagai asam garam hidup dan berpandangan bahawa lencongan dalam hidup mungkin membawa lebih munafaat walaupun lencongan itu bererti satu laluan yang membawa perjalanan yang lebih jauh, lebih rumit dan melibatkan berbagai kos yang tinggi. Itulah yang kita sebut risiko dalam semua tindakan mencari ketenagan hidup. Kita buat lencongan dengan doa dan tawakal. Tetapi kalau melencong hanya untuk kesenangan dunia semata-mata, maka risiko mencari hidup sejahtera mungkin membawa padah yang tidak terduga.


Berbagai lencongan wujud dalam "road map" kehidupan kita. Janganlah khuatir membuat lencongan asalkan sahaja apa yang kita lakukan semasa melencong itu suatu yang syar'ie. Kita tumpu (stay focus) pada matlamat hidup mencari Redha Allah. Mudah-mudahan kita redha dan Allah meredhai.

Ameen ya Rabb...

...

Friday, October 25, 2013

Yang ditakuti,....terjadi.






Setiap detik hidup kita Allah sentiasa perhatikan. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita walau dalam tempuh sesaat pun.

Maka kita perlu usaha sedaya mungkin, doa semoga usaha kita Allah terima dan kemudian tawakal dan redha dan bersyukur atas apa jua ketentuanNya.

Minggu lepas saya ziarah ibu saudara suami saya sebelah ayah di Sungai Batu, Selama Kedah. Ia kini terlantar akibat jatuh di bilik air. Kakinya patah dan doktor tidak dapat berbuat sesuatu kerana faktor umur. Ia sudah lebih 80 tahun dan dinasihatkan untuk banyak berehat. Di hospital ia diajar bangun duduk. Tetapi kerana rasa ketakutan dan kesakitan, ahli terepi tidak mampu menolong kerana ia mengeraskan diri. WaAllahu'alam. Itu ceritanya. Semoga is selesa walaupun uzur dan Allah mudahkan segalanya. Semoga anak-anaknya bersabar dan berhemah kerana menjaga orang tua adalah juga suatu ujian. Bila Allah redha, itu adalah jalan pintas ke syurga, itu pesanan ustaz dari masa ke masa.

Maka saya teringat diri sendiri. Dua bulan dulu saya jatuh di tangga tetapi hanya terlepas dua mata tangga sahaja. Tapak kaki saya licin akibat diabetis dan mudah tergelincir. Alhamdulilah, saya masih mampu berjalan seperti biasa. Inilah yang ditakuti bila sudah lanjut usia.

Cuba jangan jatuh.....doktor menasihatkan. Tetapi diusia ini saya sering berkejaran bila buat sesuatu. Bila sihat saya rasa seperti muda dan tidak menyangka sistem sudah tidak selancar dulu. Mata kabur, rambut gugur, lutut kendur.....maka jangan berkejaran. Nanti tersungkur.

Subahanallah, Alhamdulilah, Allahuakbar.
Sentiasa beringat akanNya, semoga Allah pelihara.
Ameen ya Rabb.

....

Wednesday, October 23, 2013

Jika ke bilik air pun ......







Tidak kira bagaimana kita menghiasnya, fungsi bilik air adalah sama sahaja.

Tetapi di kediaman "the rich and the famous"  mungkin berlainan sedikit. Biarlah dia berlainan.

Saya terdorong mencatat sedikit fikir zikir mengenai bilik air apabila seorang pendakwah ketika berceramah mengenai kehidupan, ia berkata:
       " Rata-rata ditempat awam kita dikenakan bayaran apabila ingin menggunakan bilik air. Bilik air adalah tempat  untuk melepas hajat dan kemudian kita beredar dari situ. Ada tempat yang bersih dan cantik tetapi ada juga tempat yang kotor dan memalukan. Apa jua keadaan, pada hari ini pengguna bilik air awam dikenakan bayaran. Maka jika ingin ke Syurga, jangan harap kita boleh masuk free-free. "

Begitu lebih kurang maksudnya.

Tersentuh juga minda saya mendengar kenyataan itu lalu terfikir untuk bercerita pada guru-guru di Tadika SmarTop saya di Tangkak.



Pada hari Ahad dua minggu lalu saya ke Tangkak. Hilang rindu seketika melihat anak-anak bersemangat mengikuti program dan aktiviti yang dijalankan. Pada petang Isnin kami mengadakan  sessi perbincangan terutamanya mengenai disiplin diri  yang harus ada pada setiap murobbiah. Kami adakan seperti sessi motivasi, memahami bahawa janganlah melihat tugas murobbiah di Tadika itu suatu usaha yang kecil. Bukan ibarat melukut di tepi gantang. Ia adalah sebahagian "core business" dalam membina sebuah Tamadun seperti yang di tuntut dalam Islam. Tiada suatu yang kecil dalam Islam jika nowaitu kita ialah mencari keredhaan Allah dan Syurga adalah destinasi akhir perjalanan hidup ini.

Kalau ke tandas memerlukan usaha, apatah lagi ke Syurga. Tidak boleh ada sikap sambil lewa. Menghargai masa dan bekerja dalam jemaah adalah antara yang terpenting selepas mengisi Ilmu di dada.

Alhamdulilah sessi perbicangan dan motivasi diri berjalan dengan memuaskan. Saranan guru besar yang penuh erti dan emosi menyentuh hati-hati murobiah dan saya dapat merasai komitmen yang jitu dalam mengertkan kerjasama dalam menjalankan tugasan harian.

Tiada ganjaran tanpa usaha. Dan kita tidak akan dapat memberi sesuatu yang kita sendiri tidak ada sesuatu itu dalam diri kita. (You cannot give what you do not have). Maka kita harus bekerja kuat membina sikap positif dalam diri dan yakin bahawa tugas di Tadika bukan tugas kecil, biar apa orang lain kata. Ibarat Allah kurnia 5 jari tangan dan ia tidak sama besarnya dan panjangnya. Semua jari perlu berfungsi untuk menjalankan tugas demi mencapai apa yang di rancang dan diminati. Allah maha adil dan bijaksana dan tidak ada ciptraannya yang sia-sia.

Dengan kata lain, setiap kita punya tugasan yang berlainan tetapi semuanya adalah dalam ruang lingkup tanggongjawab yang  sama dalam usaha menegakan Kebenaran Allah. Maka di Tadika SmarTop kami menggalakan guru dan staff berbuat sesuatu untuk mengkayakan usaha kearah itu.

Antara tugas sampingan yang menjadi sebahagian penambah baikan suasana kerja ialah melukis mural di dinding sekolah. Di bawah ini adalah contoh yang dimulakan oleh seorang murobbiah bersendirian. InsyaAllah untuk yang seterusnya akan ada kerjasama yang lebih bermakna.







Kalau seekor burung boleh dilatih saya yakin SmarTop boleh mengembelingkan tenaga semua guru dan staff ke arah misi dan visi yang telah ditentukan.

Dari sudut tugasan staf am pula, saya kagum dengan keperhatinan mereka untuk berfikir sendiri apa yang mereka harus lakukan tanpa arahan pihak pengurusan. Dalam hal ini saya dapat memerhatiakan tanaman pokok-pokok yang dapat memberi munafaat. Antaranya seperti tanaman serai, pokok daun kari, pokok daun kesum, pokok betik dan pokok pisang. Ada juga pokok limau nipis dan pokok buah kedondong.







Usaha-usaha ini sedikit dan nampak kecil. Semoga Allah kurnia sesuatu yang memberi munafaat yang besar. Kami yakin pada prinsip: USAHA,  DOA dan TAWAKAL.

Mohon pertolongan Mu ya Rabb....
Semoga mendapat kurnia Syurga Mu tanpa hisab.
Ameen...

....

Sunday, October 20, 2013

Si Kecil ini Aizel namanya...





Aizel  Dania Hani  nama penuhnya. Cucu yang ketujuh kalau tak silap kira.  Setiap cucu ada kekurangannya  dan ada keistimewaannya.

Ia kurang rapat dengan saya. Selalu melihat saya dengan wajah sangsi penuh wasangka. Lihat jelingannya. Ia tidak percaya dia boleh bermanja dengan saya. Agaknya itu difikirannya. Saya selalu merenung tajam padanya jika ia asyik menangis.....tidak pasti noktahnya.

Entah mengapa ia mudah tersinggung rasa bila mamanya lambat melayannya. Karenahnya susah dijangka apa sebenar kehendaknya. Mamanya nanti duduk hingga lama memujuk rayu agar ia diam dan kembali riang. Alhamdulilah, mamanya penyabar orangnya dan lembut tutur katanya. Allah menguji hambanya berbagai cara.

Tetapi bila Aizel rasa riang, seperti tanpa prasangka, ia akan mendekati saya membawa buku-buku  satu demi satu minta saya membacakannya atau minta saya bercerita mengikut gambar-gambar yang tertara. Kekadang hingga saya penat ia belum jemu juga. Aizel baru melepasi dua tahun tetapi percakapanya jelas berbanding cucu lain yang sama peringkat dengannya. Teruja saya mendengari bicara bualnya dengan mamanya. Tidak berhenti bertanya.

Ia penghibur hati saya selama saya tinggal bersamanya di Puchong Permai menjaga adiknya, baby Fatima Sufiya. Anak-anak tidak berdosa dan tingkah lakunya menduga kita orang dewasa. Kadang kala saya terfikir tidak perlu pergi jauh mahu menyaksi keindahan hikmah Allah atas ciptaannya. Kasih sayangNya mudah dirasai kalau kita tidak asyik tertanya-tanya seperti kurang percaya. Subhanallah, maha suci Allah senghaja mahu menganiyaya. 

Semoga Aizel membesar membawa bahagia. Semoga ia menjadi anak yang soleh dan cemerlang, berjaya sejahtera dunia akhirat selamanya.
Ameen, ya Rabb.

...

Friday, October 18, 2013

Luluhnya hati di Puchong.....





Saya dan suami solat sunat Eid Adha pagi itu di sebuah surau kecil di kawasan rumah anak saya di Puchong Permai.
Jemaah perempuan tidak ramai. Maklumlah ini kawasan generasi muda dan pastinya sibuk dengan anak-anak di rumah. Saya toleh kiri dan kanan dan sohih saya sahaja yang rupa tua dikalangan mereka.




Usai solat saya melihat-lihat keliling surau dan nampak 4 ekur lembu yang akan diqurbankan. Alhamdulilah. Kecil bangunan surau tetapi besar jiwa jawatankuasanya dan jemaahnya. Imam surau juga muda, kata suami saya. Tetapi khutbahnya dapat memukau minda. Yang penting dia bercerita mengenai syirik dan berpesan jangan terjebak sedikit pun. Saya perhatikan kemudahan dan peralatan masjid amat berkurangan sekali. Kemudahan sajadah pun amat terhad. Tetapi jemaah lelaki melimpah hingga ke khemah di luar. MasyaAllah. Saya dapat merasai semangat sayang pada Islam.





Di rumah anak, saya berehat dan bersembang mahu mendengari cerita-ceriti hidup anak sekeluarga yang jarang-jarang dapat peluang bersama lama seperti hari itu setelah solat sunat Eid Adha. Tidak banyak yang dapat diceritakan. Saya simpati dengannya kerana agak lama juga ia menghidap sakit tulang belakang yang kronik. Maka tidaklah ia dapat bergiat cergas. Namun ia cuba berusaha solat awal waktu di surau atau masjid. Semoga kesihatannya pulih segera.

Hinggalah ke petang.....

Cuaca nampak seperti mula mendung. Cepat-cepat saya mengangkat barang-barang masuk kereta. Cucu-cucu masih kecil maka saya buat kerja sendiri. Saya perlu pulang ke Kg. Tunku menyambung tugasan yang menunggu untuk dibereskan. 

Alahai....rasa tidak bertenaga. Tapi apakan daya. Yang dahulu didahulukan.

Hampir sebulan saya di rumah anak di Puchong. Sarah baru melahirkan dan saya membantu semampunya dalam masa pantang. Baby Fatima Sufiya lahir sihat tetapi kini masih bertarung dengan sakit kuning yang berpanjangan. (prolonged jaundice) yang tidak pernah saya saksikan. Bersyukur semasa diuji, sering sahaja saya diingatkan. Semoga Allah memperkenan doa-doa keluarga dan sahabat handai dan Fatima sihat segera dengan Rahmat Allah jua.

Eid Adha kali ini saya seronok dapat berkampung di Puchong Permai. Riuh rendah dengan gelak ketawa cucu-cucu yang belum faham erti berqurban. Cuma riang ria berkejaran dan bersilat berbagai ragam. Mereka berlawanan sama sendiri hingga kedengaran jeritan tangisan kerana ada yang tewas dalam menunjukan siapa hebat berebut mainan. 

Itu fitrah manusia saya kira. Mahu tunjuk siapa berkuasa. Ada sifat tamak tidak mahu berkongsi mainan dan suka ria bersama.

Kadang-kadang seharian saya perhatikan telatah cucu-cucu dan bertanyakan diri: Sikap dan sifat yang ada pada mereka adakah dipelajari atau semula jadi. Saya rasa kedua-duanya sekali. Umumnya bila dewasa trait yang sama wujud, cuma berbeza rupa dan cara. Hanya iman dan taqwa yang dapat membezakannya. Saya rasa begitu.

Anak menantu saya di Puchong berumur 29 tahun dan sudah ada 3 puteri dan satu putera. Belum berpengalaman dalam banyak perkara dan saya ambil kesempatan bercerita-cerita perihal hidup berkeluarga. Alhamdulilah, ia nampak selesa bertimbal balik dan gelak ketawa bila kedengaran lucu dalam cerita-bual saya. Ia memilih menjadi suri rumah sepenuh masa walaupun ada pilihan untuk bekerja seperti teman-teman diUITM dimana ia belajar dalam bidang Imaging. Saya dapat merasakan terjalin kemesraan. Itu hikmah duduk lama bersama dan buat seketika saya lupakan  kerja-kerja saya di Tadika SmarTop Tangkak yang perlu ditunda. 

Semasa saya bekerja dan belum ada anak yang berumah tangga, sering saya dan teman-teman bercerita-cerita jenis menantu yang saya suka. Hebat kriterior yang saya senaraikan hingga semua gelak ketawa dan berkata: Keliling dunia 10 kali pun puan, tidak akan jumpa manusia dalam senarai yang yang puan cari itu. Saya pun gelak sama. Manakan ada dua manusia serupa. Saya suka menantu yang seperti saya.

Syok sendiri......

Saya katakan menantu saya harus ada  sifat-sifat positif keturunan Jawa kontrak yang berani mengharung gelombang lautan untuk sesuap nasi dan kepingan bumbung dikepala. Saya tahu itu tidak realistik. Mana ada keturunan Jawa tulin sekarang ini.

Maka saya tertawa sendiri dihati....

"Jangan ego," kata kawan saya waktu itu. Hubungan manusia harus berasaskan kasih sayang yang tidak mengira balasan. Kita yang tua harus mahu bertolak ansur dan bersikap membina kerana setiap manusia dalam satu keluarga harus lengkap melengkapi, barulah sempurna. Dan semoga anak-anak bersabar dengan orang tua yang mudah lupa.

Jika Fatima Sufiya terus sihat, mungkin saya tidak akan berada berpanjangan di Puchong. Masa amat terhad sekali dan banyak tugas yang harus disempurnakan di Tadika SmarTop kerana penghujung tahun sudah terlalu hampir. Maka dalam umur yang ada kini, saya memacu diri takut tidak kesempatan kerana garis penamat tidak dapat dikompromikan.

Mohon keampunan Mu ya Rabb....

Monday, October 14, 2013

Ayuh kita berqurban....




Image carian google.
Lambang mencari Cinta Allah.
Cinta teragung....

Esuk di Malaysia Hari Raya Qurban. Nabi Ibrahim AS mengorbankan anak tercinta.
Kita bagaiman ye ?

Masih berkira-kira harta,
Masih berkira-kira masa......
Masih berkira-kira, terus berkira.....
Takut nanti tidak kecukupan
Takut nanti hilang keselesaan....

Ayuh kita sama-sama berserah bulat pada Tuhan
Allah yang maha Pencipta dan maha Kasih Sayang,
Pastinya apa jua yang kita qurbankan 
Akan Allah gantikan dengan yang tidak terduga difikiran.

Tetapi jangan difikirkan sangat akan ganjaran
Kerana cinta tulin tiada mengharap balasan
Biar berkecai tulang belulang,
Mengalir darah merah menakutkan,
Kita hanya nampak Allah yang memerhatikan
dan kita mahu bernaung dalam RedhaNya yang berkekalan.
Semoga Allah sampaikan.....
Dengan limpah RahmatNya yang tiada sempadan.

Ayuh....kita berqurban.


....

Sunday, October 13, 2013

PROTOKOL......


Saya tidak suka banyak protokol, dulu pun sekarang.
Tetapi protokol ditakrif juga sebagai adab dalam tatacara hubungan manusia.

Maka saya akur.





Lewat minggu lepas saya mengheret diri sedayanya  untuk berjumpa dengan seorang pegawai awam yang berkedudukan tinggi dan penting di Putrajaya. Selepas 10 tahun bersara saya kurang minat untuk berhubung dengan sesiapa jika ia melibatkan banyak protokol.

Entah mengapa....

Tetapi hari itu saya heret juga dua belah kaki ini untuk 'memanjat'  bangunan yang amat tinggi bagi umur seperti saya. Saya berkepentingan dengannya maka saya memujuk diri untuk berjumpa menghadapnya dengan harapan ia boleh membantu. Saya mengenali pegawai ini secara peribadi maka sebab itu kalau boleh saya tidak selesa waktu telah bersara ini untuk minta pertolongan darinya. Itu sifat saya, baik atau pun tidak baik.....


'Kebiasaan' dulu semasa sama-sama bekerja kini bukan lagi satu kebiasaan. Itu satu fitrah terutamanya apabila jarang sekali berhubungan.

Apabila sampai di pejabatnya saya diminta menulis butiran peribadi dan tujuan berjumpa dengannya. Hari itu adalah program hari berjumpa pelanggan maka saya tidak membuat temujanji yang khusus. Memadai 'berbaris' menanti giliran. Tersenyum sendirian teringatkan detik-detik waktu bekerja dahulu dimana saya boleh masuk sahaja tanpa temu janji.

Pegawai bertugas meminta banyak maklumat yang saya kira tidak perlu jika saya berjumpa sendiri dengannya. Tetapi saya nyatakan juga serba ringkas. Itulah 'patuhnya' orang awam pada penjawat awam...

Selepas lebih kurang 15 minit seorang pegawai yang wajahnya agak senior menghampiri saya dan mengatakan bossnya minta saya membuat penjelasan masaalah padanya. Berdetik seketika  seperti tidak puas hati mendapat layanan begitu. Kalau hari berjumpa pelanggan, maka saya harus diberi peluang berjumpa berhadapan dengannya. Maka saya dengan penuh bahasa protokol 'merayu' agar dapat berjumpa juga. Agaknya tidak dapat mereka menolak dan meminta saya duduk hampir dengan pintu untuk masuk.

Agaknya saya menunggu dalam 10 minit dan saya dihampiri dari belakang tempat saya duduk. Ia senyum lebar bertanyakan khabar. Lega sebab apabila berjumpa berhadapan  ia seperti dahulu. Riang dan informal. Minda saya tidak lagi tertanya-tanya sama ada kedudukan tinggi dalam masyarakat mengubah peribadinya. Alhamdulilah, ia santai.

Berjumpa dengannya penting sebagai ikhtiar saya menyelesai satu masaalah besar.  Saya tersenyum dihati apabila teringat kata Ustaz Pahrol:  "Jangan berkata pada Allah masaalah itu besar, tetapi katakan pada masaalah bahawa Allah itu maha besar." 

Pergantungan saya tetap pada Allah dengan usaha dan doa dan tawakal. Semoga Allah kurnia yang terbaik bagi saya di sisiNya.

Peristiwa kecil ini diperhatikan oleh anak saya yang menemani saya dan menunjukan tempat. Anak saya adalah juga penjawat awam. Saya katakan padanya: Janji tetap janji. Hati pelanggan harus dijaga. Dan pelanggan sentiasa betul, suka atau tidak suka, berpangkat atau tidak berpangkat.

Saya diminta menulis sedikit nota untuknya supaya dapat dilihat dengan lebih jelas dan ia mengatakan ia akan berbuat sesuatu yang wajar dengan kedudukannya. Saya segera mengucapkan ribuan terima kasih, senyum lebar sambil permisi untuk beredar.

Peristiwa pagi yang unik setelah bersara 10 tahun. 

Semoga Allah menurunkan pertolonganNya dan semoga saya tetap bersyukur apa jua natijahnya. 

Mohon keampunan Mu Ya Rabb....

....

Thursday, October 10, 2013

Cakap-bual ketika di klinik .....







Kebelakangan ini saya kena berulang alik dari Puchong ke HUKM dan klinik Premiernya di Bandar Tasek Selatan menguruskan masaalah cucu Fatima Sufiya yang belum lega dari sakit kuningnya walaupun sudah hampir 3 minggu.

Usaha ini mudah  dan ringan bagi kami kerana Allah kurnia kenderaan untuk memudahkan perjalanan. Bayangkan bagi rakyat yang kurang upaya bagaimana mereka menyelesai masaalah ini.Namun Allah itu maha adil dan maha bijaksana. Pastinya setiap kita Allah mudahkan berbagai cara mengikut kehendakNya. Alhamdulilah masih ada ruang dan peluang  untuk berikhtiar.

Kadang-kadang terdetik juga dalam hati bila laluan jalanraya memaksa saya merangkak dalam kenderaan. Pastinya lenguh kaki yang usang ini. Kemudian berpusing-pusing pula untuk parking. Kepala juga merasai sakitnya. Terfikir-fikir kalaulah Allah uji dengan yang lebih berat dari ini...

Tetap bersyukur,  nasihat teman saya.

Ramai sekali pelanggan di Klinik HUKM  Premier. Katanya begitu hampir setiap hari. Selepas menunggu hampir sejam sampailah giliran Fatima. Lega sebentar tetapi terkejut sedikit bila masuk menemani anak saya dalam bilik yang kecil untuk pemeriksaan. Amat kecil sekali untuk 2 orang doctor berjumpa pesakit dan dicelah-celah itu menunjuk ajar pula doctor-doctor muda untuk berbagai pengkhususan. Di situ ada juga seorang jururawat bertugas. Kemudian ada pula sebuah katil untuk memeriksa pesakit. Maka saya keluar kerana amat tidak selesa. Saya takut dikira  menggangu pula. Sebenarnya saya ingin mendengari bersama masaalah yang dihadapai dengan harapan dapat membantu anak saya sebaiknya.

Saya duduk di luar sebaris dengan pelanggan lain. Saya berbual dengan wanita muda disebelah saya dan menyatakan pemerhatian saya bahawa bilik pemeriksaan itu terlalu kecil. Ia senyum sahaja. 

Saya rasa tersendiri dan bersendirian......

Saya renung bilik  yang kecil itu dan terbayang kesempitan zahir dan batin yang mungkin ada. Saya terfikir sama ada keadaan yang tidak selesa berbanding setengah  klinik yang saya pergi, menjejas kecekapan dan keberkesanan yang diharapkan oleh pelanggan dan juga  kepuasan kerjaya bagi doctor-doctor yang terlibat.

Dalam saya berfikir-fikir, dan bercakap seorang diri, saya terdengar seorang pelanggan / pesakit 3 kerusi dari saya bercerita tentang masaalah lama menunggu berjumpa doctor dengan seorang pesakit lain disebelahnya. Katanya ini disebabkan kurang bilangan doctor berkhidmat kerana ramai doctor yang lari ke sektor swasta untuk mencari pendapatan yang lebih tinggi. Ia kata bahawa penjawat awam ramai yang bersikap mementingkan kebendaan. Disebut olehnya termasuk guru-guru yang tidak mahu berkhidmat di luar Bandar.

Amboi....mudahnya bercakap. Panas telinga saya mendengarinya kerana analisa seperti itu boleh mengelirukan. Saya hanya melihatnya bercakap penuh keyakinan. 

Saya diam sahaja...

Saya merasai rakyat Malaysia rata-rata dididik sukakan keselesaan. Maka pastinya mereka mencari keselesan dalam hidup........

Mengapakah tidak di sebut pemimpin-pemimpin yang mencari keselesaan dalam hidup hingga terjebak dengan penyelewengan dan rasuah. Pastinya ia takut berbual terang-terangan. Atau ia seorang yang naïve.... Ini suatu masalah Negara yang belum ada tindakan yang benar-benar tegas.

Kan  "Kita akan menuai apa yang kita semai". Masaalah ini memerlukan penyelesaian yang menyeluruh. Pemimpin perlu ada integriti yang boleh ditauladani oleh rakyat. Barulah kita boleh mencapai kemajuan dan dalam masa yang sama rasa selesa sejahtera di mana jua. 

Semoga cucu saya sembuh segera dan saya boleh menyambung rutin harian saya termasuk tugasan di SmarTop Tangkak.

Mohon keampunan Mu, ya Rabb.....

Saturday, October 5, 2013

PUJI-MEMUJI......






Saya buka computer awal sabtu pagi kerana agak lega sedikit cucu kurang seorang untuk diawasi. Alhamdulilah hujan lebat malam tadi membuat pagi rasa dingin dan nyaman. Rasa amat segar dan  saya rasa terdorong untuk membaca apa berita-berita terakhir di Malaysia kini. Menjaga anak berpantang dan cucu-cucu yang belum faham mengambil sepenuh masa yang makin hari makin berkurangan. Maka dapat sedikit peluang masa untuk membaca membuat rasa teruja.

Saya suka membaca blog "outside the box" dengan minda terbuka, dan dari situ melarat-larat membaca beberapa blog berkaitan. Antara yang menarik perhatian saya ialah mengenai perkembangan ekonomi Negara, turun naik saham dan kadar pulangan atas pelaburan yang dibuat oleh Negara melalui GLC dan ajensi-ajensi sepertinya.

Saya berfahaman Laporan Odit Negara memuji prestasi Khazanah Malaysia sekali gos berpuas hati dengan pihak pengurusannya. Tetapi saya rasa pelik mengapa blog-blog yang saya baca tidak setuju dengan pujian yang dipaparkan oleh Odit Negara. Berita- berita yang memuji Khazanah Malaysia adalah ibarat 'masuk bakul angkat sendiri'. 

Ia dikira memuji diri kerana anugerah yang diiktiraf sebagai suatu anugerah luar biasa adalah diberi oleh pihat consultant antarabangsa yang  berkepentingan dengan perkembangan pembangunan ekonomi di Malaysia. Adakah udang disebalik batu. 

Pada asalnya saya tidak menaruh curiga atas pujian-pujian itu tetapi bila pihak consultant berkenaan menyebut dasar Malaysia yang "Rakyat didahulukan" ia berbunyi seperti pujian-pujian itu adalah seperti satu PR exercise,  atau "window dressing". Budaya puji memuji perlu kerana sama-sama berkepentingan.

Saya mahu berfikiran positif atas pujian ini kerana saya kini rakyat biasa yang mahu nampak hasilnya di peringkatan bahawan, iaitu diperingkat rakyat biasa dapat merasainya. Kebelakangan ini rata-rata kita dapat merasakan kenaikan harga barang-barang  dan perkhidmatan lantaran kenaikan harga minyak. Dan rakyat belum dapat merasai sewajarnya hasil dari pelaburan-pelaburan Negara yang dikatakan berjaya dan membawa keuntungan, setengahnya keuntungan luar biasa.

Saya bawakan contoh pengalaman diri sendiri. Sebagai warga emas yang kurang sihat, maka saya selalu juga ke hospital. Perkhidmatan di hospital membuat orang sakit bertambah sakit kerana terpaksa menunggu lama untuk berjumpa dengan doctor pakar, kadang-kadang hingga 3 jam. (dientry lepas saya dan cerita anak dan cucunya di Jabatan psaikatri HUKM juga satu contoh).

Kelmarin saya membawa seorang cucu yang lain pula (yang baru lahir) ke Jabatan Padiatrik kerana Jaundicenya. Kami kesana atas saranan bertulis rasmi oleh Pusat Kesihatan daerah Puchong, Batu 14. Kami ke HUKM kerana itu terdekat yang mudah bagi kami. Setelah bersusah payah dalam jem di jalan dan bersusah payah mencari tempat parking kami diarah untuk ke Bandar Tasik Selatan di HUKM Premier sebelum dapat berjumpa doctor di Jabatan Padiatrik HUKM. Bagi rakyat seperti saya yang kurang mobile membawa bayi, ini suatu prosidur yang logic tapi tidak memudahkan. Dengan rasa kecewa kami membawa kes bayi ke Jabatan Kecemasan  kerana sudah 2 minggu bayi kurang aktif dan jarang-jarang menangis kuat. Arahan yang sama diberi tetapi saya  memberanikan diri mereyu-rayu supaya ia dapat berjumap doctor di HUKM hari itu juga sebelum prisidur lain seterusnya dibuat. Alhamdulilah Allah mudahkan dan dipendekan cerita kami berjumpa doctor   setelah hampir  dua setengah jam kerana kami bukan kes kecemasan. Tidak mengapa itu soal kecil walaupun untuk itu kami dikenakan bayaran rm50 kerana bukan kakitangan kerajaan.

Setelah pemeriksaan sedikit oleh doctor di klinik kecemasan kami dinasihatkan juga untuk pergi ke HUKM Premier. Kami sudah kepenatan dan ikut sahaja arahan, walaupun berbagai soalan ada dikepala.

Kalau di Lembah Kelang begini rumit prosidur kesihatan, agaknya bagai mana di daerah-daerah pendalaman. Kakak-kakak saya di Pontian Johor selalu bersungut malas untuk  ke hospital daerah kerana jarang sekali memuaskan untuk dapat segera jumpa pakar. Suami kakak saya kencing manis dan kini telah pun meninggal dunia.

Maka berceritalah sama sendiri kekecewaan tidak nampak lagi hasil dasar "rakyat didahulukan"....
Alangkah sedihnya...

Yang dapat pujian pasti lega gembira...
Rakyat biasa masih ternanti-nati dan tertanya-tanya....

Kita hanya menantikan pertolongan Allah yang maha mengetahui dan maha bijaksana,

Semoga bahagia akhirnya...

.....

Thursday, October 3, 2013

Dia menangis....







Anak perempuan saya menangis mendekati saya yang sedang menunggu giliran berjumpa doctor psaikatri kanak-kanak di HUKM. Saya menemani anak saya kerana cucu saya disyaki sebagai hyperaktif dan kadang kala perlu seorang untuk  mengawasinya semasa ibynya berurusan di kaunter.

"Mengapa menangis" saya tanya agak cemas.

Dia tidak menjawab terus mencuba menahan sedihnya atau mungkin stressnya.

"Nurse kata kena postpone appointmen sebab Doktor yang patut memeriksa Huzaifah cuti. Tidak ada doctor lain,"

Saya terdiam agak bingung dan simpati dengan masaalahnya.

Jam 6.30 pagi dia sudah ambil saya di Puchong untuk menemaninya ke hospital HUKM di Ceras. Dia tinggal di Putrajaya. Appoitmen pada jam 11 pagi tetapi terpaksa pergi awal takut tergendalala dengan jem di jalan raya dan susah pula mencari parking. Bukan kaya untuk guna khidmat "valet parking".

Tak apalah," saya katakana. "Bersabar."

"Mana boleh sabar, Mak. Hari ini boss dah susah payah bagi cuti untuk bawak Huzaifah. Huzaifah pun dan cuti sekolah. Lagi pulak dan tunggu 6 bulan untuk jumpa doctor di HUKM yang diperakukan oleh doctor pakar kanak-kanak di hospital Putrajaya. Lama tu Mak. Lagi pulak guru kelas Huzaifah sudah 'bising' banyak kali bertanyakan mengapa tidak pergi kelas khas di sekolah kerajaan. Huzaifah susah dikawal. Dia kurang daya focus dan perlu perhatian dalam mengajarkan skill yang diperlukan, mengira membaca dan menulis."

"Kalau gitu kita hantarlah ke sekolah kerajaan kalau sekolah swasta tak nak terima,"

"Tak boleh Mak. Sekolah kerajaan perlukan pengesahan Huzaifah seorang OKU secara rasmi sebelum system kerajaan boleh terima. Kalau tak, masuk kelas biasa."

"Tak ape lah masuk kelas biasa," saya mencelah.

"Tak boleh Mak. Kat kelas biasa bilangan murid besar. Mana guru boleh tumpu pada Huzaifah. Kat sekolah swasta sekarang bilangan murid dalam kelas kecil. Dapatlah guru tumpu lebih pada Huzaifah walaupun ia sukar baginya. Kalau kat sekolah pendidikan khas barulah dapat perhatian sikit. Itu harapan kita."

"Oh....kalau gitu kita rayulah nurse untuk bagi juga jumpa doctor hari ini juga."

Dalam pada itu nama Huzaifah dipanggil lagi. Anak saya cepat-cepat pergi ke kaunter. Dalam 10 minit ia menghampiri saya lagi dan kali ini dengan sedikit senyuman.

"Nurse bagi jumpa doctor jam 2.30 petang nanti lepas rayu-rayu. Dia akan ikhtirkan juga dapat seorang doctor.
"Alhamdulilah, "  saya lega sikit walaupun rasa agak susah kena tunggu hingga jam 2.30 petang sebab saya kurang sihat dengan perut meraggam.

"Tak apalah, Mak tunggu". Nak buat macam mana. Tetapi dalam hati saya merungut juga mengapalah kerajaan tidak melatih bilangan doctor yang mencuckupi. Bukan Malaysia kurang calon-calon yang pandai. Tiap-tiap tahun beratus lulus dengan deretan gred 'A'. Malaysia pun bukan Negara miskin. Kata pepatah: "Malaysia is not a banana nation". Malaysia bukan Negara 'sengkek'. Tapi susah benar nak jumpa doctor pakar.

Kami di Jabatan psaikaitari lenbih kurang 4 jam. Dari 10 pagi hingga jam 2 petang. Huzaifah tidak duduk diam. Ibunya punya daya ketahan lebih dari saya. Kami pergi makan, beli ice cream, beli mainan dan membawanya tempat bermain kanak-kanak untk melepaskan masa 4 jam itu. Selepas zohor kami beredar ke ke bilik rawatan jumpa doctor.

Alhamdulilah, satu fasa selesai. Kami berbincang dengan doctor selama lebih sejam. Sambil berbincang sambil doctor memerhatikan perilaku Huzaifah. Guru di sekolah perlu memberi laporan khas sebelum doctor boleh membuat diagnosis yang akhir. Apointmen yang akan datang ialah sebulan dari hari itu. Semoga tidak ada penangguhan.

Anak saya dapat tersenyum.....

Anak saya ini punya seorang lagi anak istimewa. Humaidi namanya. Ia ostistik. Alhamdulilah anak saya ini kuat juga pemikirannya dan kuat daya ketahanannya. Tetapi kadang-kadang mengangis juga untuk lepaskan stress. Saya cuba membatu secuckup mungkin...

Kata teman-temannya. "Hanya ibu istimewa Allah kurnia anak istimewa...".  Sejuk hati saya mendengarnya dan berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan. Tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia.
Saya teringat ayat alQuran:
                                  
A191
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
(A-li'Imraan 3:191) | 
 
Kami naik shuttle bus ke tempat parking. Jam sudah hamper pukul 4.00 petang.

Itulah sehari bersama Huzaifah....
Semoga ia membesar dewasa menjadi hamba Allah yang solih dan cemerlang. Ameen.

.....
Related Posts with Thumbnails