"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, December 31, 2014

Diakhir 2014 hati lega bersama Cikgu tercinta....





Jam 12 tengah hari tadi saya dan suami bergesa menuju sebuah restoran masakan Barat di Petaling Jaya untuk makan tengah hari bersama guru saya semasa di tingkatan 5, lima puluh tahun yang lalu. 

Rasa amat teruja....

Sebenarnya sudah lama saya berhajat mahu menghadiahkan beliau sebuah alQuran sebagai satu cara "soft dakwah" baginya. Maka bila ia bersetuju dengan jemputan saya, amatlah teruja rasa di hati. Tidak tertunggu rasanya bila ia meletakan 31 Disember untuk bertemu.

Saya menjemput juga seorang teman baik yang sama bersekolah dengan saya dan juga jiran saya di kampung untuk berserta. Lagi teruja bila dia bersetuju menjemputnya dengan kereta kerana Cikgu saya ini sudah berumur 76 tahun dan kurang sihat. 

Namanya Miss Tan Lee Kiang. Dia mengajar kelas saya dari Tingkatan 3 hingga tingkatan 5 di Secondary English School Pontian ketika itu. Saya tidak bertemu dengannya sejak 1964 hingga lah saya bekerja di Kementerian Pendidikan dan semasa itu ia bertugas di Bahagian Perkembangan Kurikulum, sekitar tahun sembilan-puluhan.

Miss Tan di sayangi semua murid. Nampak begitu kerana ia sangat suka membantu tanpa kira siapa kita. Saya amat menghargai komitmennya hingga kini kerana hanya Miss Tan sahaja yang meminjamkan anak muridnya buku-buku cerita bahasa Inggeris kerana Library di sekolah amat kekurangan buku-buku berkualiti ketika itu.. Saya disuruh baca buku Enid Blyton setiap minggu dan buat ringkasan. Saya kekadang ambil sahaja dari summary di belakang buku kerana tidak habis membaca. Saya sebenarnya lebih suka bersukan dan masa belajar amat terhad sekali. Seorang guru pasti tahu murid yang rasa "pandai-lebih". Cuma pasti guru buat tak tahu sebab ia tahu membaca ringkasan adalah lebih baik dari langsung tidak membaca.

Bila meneropong kebelakang, saya tersenyum sendirian.




Kami duduk makan dan bercerita panjang mengenai hidup secara umum. Kami cerita juga guru-guru yang sudah "gugur" dari senarai. Rasa bercampur-campur di hati kerana saya sendiri pun sudah masuk dalam senarai menunggu di dewan berlepas. Cuma berharap ada penagguhan masa.

Kami tidak banyak bercerita mengenai hidangan makan yang dinikmati. Kami lebih bercerita tentang bilangan mereka yang sudah tidak ada bersama lagi. Ada semacam rasa khuatir. Kemudian kami gelakan diri masing-masing.

Miss Tan tinggal berseorangan. Ia tiada anak atau sanak saudara yang boleh tinggal bersamanya. Tetapi saya katakan padanya bahawa pada hakikatnya kita semua berseorangan. (We are essentially alone). 

Terkejut saya bila Miss Tan kata: No....We are never alone. God is watching over us.
Saya terkejut lega kerana Miss Tan percaya pada Tuhan. Saya larut berfikiran sendiri bagaimana saya mahu katakan padanya saya ada sebuah hadiah Istimewa untuknya....AlQuran....

Saya memberanikan diri dan berkata tergagap-gagap dan terputus-putus: Miss Tan, I would like to pay your kindness to me as a teacher by giving you a special book. This is the alQuran. I would like you to read it, if you like. I choose this as a gift because this is the best gift I could think of.

Sebenarnya saya tidak berapa ingat apa yang saya katakan kerana saya rasa haru takut-takut ia akan memberi reaksi yang diluar jangkaan saya. Apa yang saya ungkapkan di rumah di hadapan suami saya tidak dapat saya katakan dengan jelas. Rasa hampa pada diri....lantas teringat bahawa Allah yang berkuasa atas segalanya. 

Miss Tan senyum....tetapi seakan-akan senyum tawar. Namun ia berkata: Thank you Ngasobah. You are the second person that has given me the Quran. 

Ia mengambil Quran yang saya letak di hadapannya dan di masukan dalam bag plastik di sisinya.

Dia tidak komen panjang dan hanya mengatakan bahawa ada banyak persamaan antara Islam dan Christianity.

Saya mengangguk dan dengan hati yang terketar-ketar saya minta ia membacanya bila dia suka. 

Teman saya tidak berkata apa-apa.....
Agaknya dia sendiri pun tidak tahu bagaimana mahu berkata apa-apa kerana selama ini bila kami berkumpul dan bersembang tidak pernah kami bercerita mengenai hidup beragama dan hidup berTuhan. Hanya cerita-cerita politik dan hal-hal professional dan lain-lain sepertinya.

Nyata sekali proses berdakwah bukan suatu yang mudah terutama kepada seseorang yang kita kenali dan hormati. Saya ada rasa begitu tetapi saya mahu mencuba. Semoga Allah memberi laluan dan memberi peringatan padanya.

Hanya itu yang dapat saya lakukan.

Sejurus itu kami bersiap untuk beredar. Saya peluk Miss Tan seperti biasa sebelum ini di mana jua. Dia beri tahu pada suami saya bahawa saya selalu peluk dia bila berjumpa semasa bekerja dahulu. 

Saya senyum dan berkata dalam hati semoga Allah membuka hatinya untuk kembali padaNYA.




Teman saya , Tamyes dan isteri menghantarnya pulang. Miss Tan kata kita berjumpa lagi bulan Mac ini untuk meraikan Hari Lahirnya. In sya Allah saya dan Tamyes akan aturkan dan saya akan cuba follow-up dengan perkembang "Soft Dakwah" saya. Nyata saya tidak "berbakat" memikat hati. Namun saya berdoa Allah memberi peluang pada saya berbakti untuk kemanusiaan dan terpenting sekali ialah membawa manusia mengenal Allah dan kembali pada Fitrah.

Maka beredarlah 2014.
Sebentar lagi akan muncul 2015, Allah mengizinkan.

Terhiba di hati....tetapi juga rasa lega dapat memberinya alQuran.
Semoga Allah kurnia kemampuan dan kekuatan untuk terus berusaha mendirikan dan membela Kebenaran.

Mohon keampunan Mu ya Rabb...


........

Tuesday, December 30, 2014

Berkejaran juga kerana Cik Ti.....






Orang sibuk berkejaran kerana banjir, menolong atau di tolong. Semasa banjir terbesar di Johor beberapa tahun dahulu saya dan dua tiga orang kawan dengan 4-wheel drive "melawan banjir" membantu, kononnya. Kami bawa barang makanan, peralatan susu bayi tikar, pakaian dan sepertinya. Tidak banyak, sekadar yang termampu.  Kini saya sudah tidak begitu upaya secara fisikal. Melihat dan membantu mengikut apa yang terdaya sahaja. Namun tetap rasa insaf dan tersedih di hati.

Beberapa hari dahulu saya "berkejaran" ulang alik ke Tangkak untuk menentukan perancangan bagi tahun 2015 berjalan lancar. Alahamdulilah. Walaupun merangkak-rangkak mencari dan menyediakan itu ini, kami usahakan juga demi pendidikan insan yang bermula dengan mengenal Allah sebagai objektif utama.

Kebelakangan ini saya menaiki bas kerana saya dapati perkhidmatan bas agak selesa dan saya boleh mengurangkan kos operasi. Tetapi dua hari dahulu saya menaiki kereta bersama teman saya. 

Seronok meluncur santai walaupun hujan rintik-rintik. Dalam cuaca sedemikian kami tetapi mengingati saudara-saudara kita yang terperangkan dalam banjir. Semoga dapat bersabar dalam melalui ujian Allah ini dan semoga natijahnya ialah kita dapat menghampirkan diri pada Allah. Allah itu maha Pengasih dan maha penyayang. Tiada ujianNya yang melebihi RahmatNya.






Di pertengahan jalan kami berhenti di tepi Lebuhraya.

Untuk apa?

Untuk ambil buah Pong kerana buah ini tidak disukai oleh makhluk Allah yang bernama tikus.(Cik Ti / Mak Menti). Bukan niat mengkhianati, cuma minta mereka ke tempat lain mencari makan dan bukan di rumah kami. Manusia juga di uji Allah dengan penciptaanNya yang serupa ini. Tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia. Semua ada sebabnya dan Allah sahaja yang maha merancang dan maha mengetahui segalanya.




Dalam hujan gerimis teman saya tetap mahu mengambil buah itu kerana didapati berkesan. Sudah beberapa kali teman saya berhenti seperti itu, kali ini saya bersama. Tetapi saya duduk di kereta sahaja merakam perihal dua suami isteri mencari jalan mendapatkannya.

Pokoknya sederhana besarnya. Maka boleh di capai dengan tangan buah-buah yang rendah. Lihat teman-teman saya berusaha dalam hujan renyai. Sebenarnya salah memberhentikan kereta bukan kerana kecemasan. Tetapi kami takrif menghalau makhluk "perosak" juga sebagai kecemasan.



Haa!... dapat capai sebiji.
Ia seperti buah epal hijau yang besar sedikit.
..


Buah-buah pong ini katanya beracun, maka tikus tidak suka.
Boleh diletak di bawah almari atau di selit dapur.
Di mana pun bolleh jika tidak ada anak kecil yang suka discover benda baru.
Maka  hati-hati menggunakannya.

....

Sunday, December 28, 2014

Taman Widat






Widat adalah seorang pelajar peringkat Sarjana di bidang Botany. Dia ceria orangnya dan suka melawak. Apabila balik kampung dan di tanya ia kerja apa, katanya ia kerja tukang kebun.

Satu jawapan yang unik kerana biasanya tukang kebun itu adalah kerjaya seorang lelaki.

Namun saya seronok mendengari cerita-ceritanya yang sukakan pokok dan bunga-bunga. Bila tamat pengajiannya nanti mungkin ia boleh jadi seorang ahli landskap yang berjaya.

Di sini saya turunkan foto beberapa jenis bunga yang di tanam di halaman kecil di rumah baru saya dan teman saya di Bandar Baru Tangkak. Jangan tanya saya nama pokok-pokok bunga itu. Saya tidak catat bila dia bercerita.












Terima kasih, Widat. Lain kali kita bina pula Taman di kawasan SmarTop.
Ia boleh jadi asas pendidikan ilmu sains di peringkat anak-anak tadika.
Semoga menjadi kenyataan.


......

Saturday, December 27, 2014

BANJIR TERBESAR 2014 - Sentuhan Doa





Bismilahirrohmanirrahim
Selawat dan salam keatas junjunganNabi Muhammad SAW, keluarga baginda,
dan Sahabat-sahabat Baginda.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Waliy, Ya Mukmin, Ya Aziz...
Engkau lindungilah kedua ibu bapa kami, Adik beradikkami, Sahabat-sahabat kami,
Dan semua penduduk di negeri Kelantan, Trengganu, Pahang,
Perlis dan Perak yang terkena musibah banjir ini.

Ya Mutakabbir, Ya Sami', Ya Bashir....
Sesungguhnya kami semua hamba-hamba Mu yang lemah,
Kami tidak berdaya menanggong ujian dari Mu,
Sesungguhnya Engkau Ya Allah maha Berkuasa di atas sesuatu...
Ya Malikul Mulk,

Ya Malik, Ya Muhaimin, Ya Matin,
Engkau perintahkanBumi Mu menelan airnya,
Engkau perintahkanlah langit Mu berhenti mencurahkan airnya,
Sesungguhnya kami amat lemahuntuk menanggong ujian daripada Mu,
Ya waaliy.....

Ya Rahim, Ya Basith, Ya Rofi....
Kasihilah kami semua...
Kami memohondaripada Mu, Redakanlah bencana ini...
Ya Mani'
Dan lindungilah kami semua, 
Ya Qowiy, Ya Qadir..
Daripada perkara-perkara yang buruk.

Ya Allah,
Sesungguhnya Engkau tidak akan menimpakan sesuatu kepada kami melainkan sebagai peringatan kepada kami,
Di atas dosa-dosa dan kelalaian kami kepada Mu.

Ya Allah, Ya Tawwab...
Sesungguhnya kami telah menzalimi diri-diri kami,
Ampunkanlah kami,
Sesungguhnya Engkau maha Pengasih lagi maha Penyayang.

Ya Allah, Ya Hafidz...
Jangan Engkau biarkan hati, iman kami terpesong
Dan lalai sehingga melupakan tanggong jawab kami kepada Mu,
Rahmati kami semua ya Allah.

Ya Allah...tiada Tuhan melainkan Engkau
Dan Nabi Muhammad SAW itu Pesuruh Mu
Ya Allah, Ya Ghoffur, Ya Mujib
Perkenankanlah dan Kabulkanlah doa kami....

Aamiin.....






Catatan: Foto dan Doa dari kiriman whatsApp Kekawan .Terima kasih.


....

Thursday, December 25, 2014

Penyerahan Diri......





Hari Rabu dua minggu lalu saya menerima jemputa ke majlis kesyukuran dan dalam majlis itu kami mengucapkan selamat jalan pada teman dan juga tuan rumah untuk menunaikan ibadah Umrah. Semoga Allah kurnia Umah mabrur, selamat pergi dan selamat kembali dengan izin Allah.

Ia akan membawa adik-adiknya untuk pergi sama. Sungguh murah hati teman saya ini. Ia beringat untuk sama-sama berkongsi rezki dengan adik-adik yang berumur lima-puluhan yang kurang kemampuan berbanding dirinya. Alhamdulilah. Semoga semangat mahu bersama mendapat Redha Allah dan bertemu di Syurga terus bersemarak dalam diri kita semua.

Oleh kerana saya yang tertua maka mereka meminta saya memimpin doa. Saya bukan ahlinya, tetapi sebagai teman yang tertua saya menerimanya.

Tersebak di hati mengingati bahawa Umrah adalah ibadah yang hampir sama dengan Ibadah Haji melainkan beberapa rukun yang berlainan. Namun hasrat mahu jadi tetamu Allah tetap sama. Dan lebih dari itu, kita mahu diiktiraf sebagai hambanya yang sejati seperti yang di sebut dalam surah Al Fajr ayat 27-30 seperti beriKUT:

Wahai jiwa yang tenang
Kembalilah kepada Tuhan mu dengan hati yang redha dan di redaiNya
Maka masuklah dalam golongan hamba-hamba Ku
Dan masuklah ke dalam Syurga Ku.


Apabila pulang dari majlis, saya berehat santai seketika. Teringat kali terakhir saya umrah di bulan Ramadhan 2010. Rindu rasa ingin ke sana lagi. Semoga Allah perkenan. Di cela-celah santai berseorangan saya teringat catatan saya sekembalinya Umrah waktu itu. Ingin saya kongsikan di sini.



PENYERAHAN DIRI

Sampai ketikanya aku mesti pulang.
Mengundur diri dari rumah Mu yang tidak mungkin luput dikenangan
Ziarah sebentar ibarat burung terbang mencari dahan
Berehat sebentar melepas lelah sebelum meneruskan pencarian...
Mengibarkan semula sayap menegakan pendirian
Mencari kedamaian di Bumi Allah semoga tidak kecundang,
Semoga di hujung pencarian ini dapat mendakap kesejahteraan
Kurnia Rahmat Ilahi yang dipohon dicari selagi kederat mampu bertahan.

Aku Tawaf selamat tinggal penuh keharuan, kesedihan, sendirian
Seperti tidak mahu aku lepaskan saat-saat pertemuan yang inin aku abadikan
Semoga air mata jadi bukti ketulusan, keluhuran dan kesetiaan
Di hadapan Mahkamah Perbicaraan Mu kelak yang tidak ada pembelaan
Oleh suami, anak, keluarga atau teman.

Wahai Tuhan....belum puas aku mengadu kekerdilan diri
Seperti belum terluah semua isi hati dan masaalah yang ku hadapi saban hari
Lidah ku kelu untuk menyebut amalan keji yang menggunung tinggi
Hanya maghfirah Mu yang ku pohonkan semoga dapat mengubati
Betapa hati ini menanggong penyesalan yang tidak henti-henti

Berat beban yang ku bawa, tetapi aku malu menzahirkan kesemuanya
Namun aku tahu tidak ada yang tersembunyi , semuanya nyata
Kerana diri ku ini Engkau yang cipta
Wahai yang maha Esa...

Engkau maha Mendengar, maha Melihat dan maha Mengetahui isi hati ini
Aku berpaut pada sifat Mu yang maha Pengasih dan maha mengasihani,
Aku janjikan taubat nasuha, tiada upaya membela diri
Hanya Redha Mu yang ku kejar ku cari
Semoga di Akhirat nanti aku Kau iktiraf sebagai Hamba sejati.


.....

Tuesday, December 23, 2014

SmarTop - hasrat membina "Lovable" kids.





Anak ini mahu disayangi. Menagih sayang dengan air mata. Air mata itu bukti ia cinta dan mahu diambil peduli dalam dakapan manusia.

Dengan air mata jugalah ia mahu berkata bahawa ia mampu menyayangi siapa jua. Cuma ia belum mengerti bagaimana mahu menzahirkannya kerana ia belum tahu bagaimana mahu bicara. Hanya perasan hatinya terhurai dalam tangsian yang ia mampu menyatakannya.

Tangisan yang penuh makna.....

Bila sahaja ada sentuhan kasih dari ibunya, akan riang hatinya dan serta merta lerai air matanya. 

Cuma kita yang dewasa sering alpa dan sering tenggelam dalam dunia sendiri yang hampir tidak mahu peduli untuk mengerti sayang itu fitrah hati yang Allah kurnia lahirnya insan ke dunia .......

Maka di SmraTop Subur Fitrah antara misi utama kami ialah mengasuh dan membina anak-anak semoga mengerti rasa sayang seorang insan pada dirinya dan ia mengerti untuk tersenyum dan gelak ketawa menghargainya.

Maka persoalannya ialah bagaimana kita boleh menjalin naluri  rasa sayang itu dan menjelmakan hasrat bahawa seseorang insan itu boleh sesama  sayang menyayangi .

Pada hari Ahad yang baru lepas ini kami ahli Lembaga Pengurusan SmarTop bermesuarat untuk persediaan bermula sessi tahun baru 2015. Majoriti ahli murobbiah dan staf kami sudah menghadiri kursus anjuran Permata dan juga kursus anjuran NGO Haluan menerusi "Little Abd Program". Partner saya dalam Pengurusan menghadiri satu hari sessi program ini dan telah dapat memahami apa yang harus dilakukan oleh mereka yang menghadiri kursus sepenuh masa. Saya tidak hadir tetapi telah berpeluang membaca beberapa maklumat yang diedarkan dan rasa puas hati dengan isi kandungan kursus terutamanya bagaimana mereka boleh merancang dan mengimplementasikan aktiviti harian di SmarTop Subur Fitrah pra-sekolah yang kami kendali.

Saya hanya menambah sedikit imput. Disamping membina " intellectual kids", "saintific kids" dan sebagainya, kita harus juga  membina "Lovable Kids" dalam proses mengasuh dan mendidik anak-anak kecil yang fitrahnya belum ternoda dengan anasir negetif. Kasih sayang antara semua makhluk Allah adalah suatu yang amat dituntut. Dan asas utama dalam hal ini ialah anak-anak kita harus dididik dalam hal mengenal Allah secara berterusan supaya anak-anak dapat menghayati hakikatn pengabdian diri pada Allah secara sepadu dan secara total.Saya yakin inilah pemangkin usaha untuk menjalin rasa kasih sayang di jiwa insan....kasih sayang yang tulus dan tidak terikat dengan naluri mahu sentiasa menjaga kepentingan diri sendiri terpelihara.

Saya menekankan pada murobbiah supaya anak-anak diambil perhatian dengan kata-kata yang memberangsangkan dan dengan sentuhan kasih sayang. Jika ada yang "tidak kena" berlaku maka kesalahan adalah pada pengasuh dan bukan pada anak-anak itu. Maka minda pengasuh tidak boleh bersikap prejudis dan harus menerima hakikat bahawa kurniaan Allah pada setiap anak tidak serupa. Sebab itulah di SmarTop kita katakan kita membina potential anak-anak mengikut Fitrah kurniaan Allah, (nurturing each child's potential) sebaik mungkin.

Saya mengingatkan diri dan para pengasuh bahawa tidak ada kurniaan Allah yang sia-sia. Kita harus memahami setiap kelainan yang wujud pada anak-anak dan membina dan mendidik mereka secara berlainan dimana perlu. Proses ini sememangnya satu proses yang rumit dan kekadang sukar. Maka itulah kita memerlukan kesabaran dan Ilmu.

Ilmu menerusi kursus dan pembacaan buku dan bertukar-tukar pemikiran dan pengalaman dari institusi Tadika dan Taska yang lainnya menjadi strategy kami di SmarTop supaya kita tidak mengecewakan harapan para ibu bapa. Kami yakin, demi kesejahteraan ummah, anak-anak perlu didedahkan dengan elemen "Love and Tolerance" dalam kehidupan dari kecil lagi semoga bila dewasa nanti unit keluarga akan erat dan tidak mudah berpecah belah dan masyarakat juga tidak mudah berpecah belah hingga merugikan semua pihak. Lebih dahsyat dari itu ialah kita mungkin mengundang kemurkaan Allah.(Semoga Allah melindungi).

Semoga Usaha kami ini Allah berkati dan menjadi amal soleh kami selagi hayat dikandung badan.
Aamiin.

....

Thursday, December 18, 2014

Jalinan kasih anak kembar...



Sejarah Legacy Wak Leman. 
Pertama kali menerima ahli keluarga kembar serupa.

Dapat cicit saudara kembar serupa perempuan. Seronok sakan dua hari yang lalu bila cucu saudara dari kakak saya yang telah meninggal dunia datang berziarah buat kali pertamanya.

Allah anugerah saya ramai cicit saudara, alhamdulilah. Yang tertua dari kakak sulong saya telah pun berumur awal dua-puluhan.Tetapi ini pertama kali saya meraikannya di rumah saya. Kesemuanya di Johor dan oleh kerana mereka sibuk atas berbagi hal, baru ini dapat peluang bersembang dengan anak-anak muda yang tidak menyangka Allah kurnia anak kembar.

Dua Si comel ini diberi nama Qisya Safiya dan Qisya Sofiya. Cantik dan lebih mirip rupa ibunya. Tidak mengapa sebab yang pentingnya mereka sihat-sihat belaka. Jika Allah kurnia tidak sihat sekalipun, pastinya ada hikmahnya yang tersendiri. Saya cuba berdakwah semoga anak-anak muda dapat melihat rezki kurniaan Allah dari berbagai sudut. Semoga kita dapat menghargai apa jua kelainan yang Allah kurnia kerana tidak ada kurniaan Allah dan tidak ada ciptaanNYA yang sia-sia.

Saya pun mengambil kesempatan bercerita serba sedikit bagaimana menjadi ibu bapa cemerlang, bagaimana mendidik anak dan bagaimana kita mengambil kira wujudnya Atuk lelaki dan Atuk perempuan dalam hidup berkeluarga. Jika kita ambil peduli pada orang tua, pastinya Allah kurnia ganjaran luar biasa bila mereka sendiri meningkat umur tua. Itu yang menjadi harapan kita semua. Semoga keluarga tua tidak rasa terpinggir....

Bercerita dengan anak-anak muda mengenai petua hidup berkeluarga tidak boleh panjang-panjang sekali duduk. Cerita sedikit sahaja dan semoga mereka berfikir-fikir selanjutnya bila menghadapi realiti hidup harian.

Semoga Allah mengurnia taufik dan hidayah dan semua sifat-sifat mulia mengasuh dan mendidik anak semoga menjadi anak-anak yang soleh dan cemerlang dan dewasa nanti menjadi ahli masyarakat yang boleh menyumbang untuk kesejahteraan ummah sejagat.
Aameen.....

....

Monday, December 15, 2014

Khuatir...




Saya bimbang khuatir...

Kebelakangan ini banyak sangat saya medengari hal-hal negatif mengenai kepimpinan negara.
Tentang keadaan ekonomi negara yang diperkatakan oleh bijak pandai bahawa ia sedang merudum menjunam. Kalau belum ke tahap itu pun sudah banyak tanda-tanda ia akan sampai...

Saya tidak tahu sama ada kekawan saya rasa bimbang dan khuatir juga memandangkan kehidupan masa hadapan anak cucu seperti kegelapan.
Negara banyak hutang...mereka yang kaya dan terkaya katanya seperti tidak peduli dan hidup mewah berhibur sakan..

Kata seorang teman: 'Jangan bimbang Allah kan ada... Takkan Dia diam membiarkan!"
Tetapi bukankah kita diwajibkan berusaha kerana sunatullah tetap berjalan...
Siapa yang akan dipersalahkan.

Saya rasa cari siapa yang akan dipersalahkan sahaja bukan keutamaan tindakan. Mereka yang berwibawa dan waras zahir batin harus mencari jalan menukar kepimpinan jika itu yang dipandang wajar.

Tetapi saya takut ingin berbicara panjang...
Kerana saya bukan ahlinya dan cuma seorang pesara yang sudah ketinggalan.
Ketinggalan banyak hal...

Maka eluk saya diam..
Berdoa sahaja Allah akan menurunkan pertolonganNYA yang membela mereka yang beriman dan mahu kedamaian...tanpa mengira status sosial, warna kulit dan keturunan.
Allah tegakan seorang pemimpin yang mencontohi Junjungan, yang berakhlak mulia tiada tandingan.

Sekian...
Semoga Allah masih memberi ruang dan peluang..
Untuk balik pe pangkal jalan...
Dan benar-benar hidup dalam Pengabdian....

....

Saturday, December 13, 2014

Kejayaan untuk siapa....





Maka dia berjaya terpilih untuk tahun 2014. Tahniah.Segala puji hanya bagi Allah jua.

Dan satu majlis gilang gemilang diadakan untuk meraikannya dan yang lain-lain juga.

Katanya berpotensi dan boleh "menguasai dunia". (Saya lihat dari simbol trophy seperti di foto). 

Siapa yang memilih adalah adalah soalan yang patut juga terjawab kerana manusia kini tidak berbuat sesuatu tanpa timbal balik yang sama menguntungkan atau lebih menguntungkan.

Ini fikiran seorang pesara yang sudah "out of circulation" tetapi masih boleh fikir dan suka fikir-fikir demi kepentingan....

Kepentingan siapa ye?

Itulah yang sedang difikirkan.....

Di dunia hari ini manusia mencari popularity berbagai cara. Atau lebih tepat agaknya kalau kita kata manusia mencari pengaruh kuasa berbagai cara....kuasa ekonomi, kuasa politik atau kuasa apa sahaja asalkan ia boleh menghasilkan kesenangan hidup luar biasa.

Kekadangan saya berfikiran buruk sangka. Tetapi saya bukan suka berburuk sangka tetapi saya amat peduli jika sesuatu yang berlaku memerangkap diri tetapi tidak disedari dari mula lagi. Kita bolih merasa kita terpilih kerana kepintaran kita dan kehebatan usaha kita. Ini membuat rasa di hati lega dan amat puas buat seketika. Tetapi sebenarnya ada kemungkinan kepintaran kita itu di tonjolkan untuk suatu muslihat yang susah dikenali atau di kesan sepintas lalu. Mungkin hakikat sebenarnya kita diperguna atau diperalat untuk objektif kepentingan suatu golongan dengan cara yang sangat "subtle" atau halus yang sukar di jangka.

Kepentingan apa ye?....

Perlahan-lahan kita fikir dan zikir.....

Dalam kemelut mencari pengaruh, manusia akan berbuat apa sahaja asalkan bahagia buat dirinya. 

Mungkin apa yang saya fikirkan ini tidak relevan dalam konteks mencari pengaruh untuk berkuasa atau untuk mengumpul harta dunia. Dan mungkin tidak relevan juga dalam konteks "Dia terpilih".  Mungkin saya terlampau terpengaruh dengan cerita-cerita korporat luar negara yang berbuat sesuatu yang katanya untuk masyarakat dan negara tetapi akhirnya semuanya penipuan belaka. Keuntungan diri dan family yang menjadi agenda utama. Semata-mata kerana tamak-haloba mengikutkan nafsu yang tidak pernah mengenal siapa Tuhannya.


Maka saya harus berhenti setakat ini sahaja supaya tidak dikira saya negatif membabi-buta kerana suka syak wasangka. Namun saya akan terus memerhati sendirian perlahan-lahan.........  
Semoga Allah memelihara yang benar kerana Kebenaran tetap Kebenaran dan IA tidak pernah memihak pada sesiapa.

Allah jua yang maha Mengetahui dan maha Bijaksana...
Semoga yang menjaga Kebenaran akan dilindungiNya.

Demikian adanya!

....

Friday, December 12, 2014

Dia mencuba juga....walaupun otistik.





Dua hari dulu anak perempuan saya mengirim berita lalu Whatsapp mengenai anak-anaknya yang di bawa ke Karnival Cuti Sekolah Bank Rakyat di Alamanda, Putrajaya. Saya teruja melihat gelagat cucu-cucu  yang di beri peluang bebas bermain dalam environment yang terkawal. Seperti yang pernah saya cerita, dua orang cucu saya ini adalah istimewa, seorang Otistik dan seorang lagi ADHD. Mahasuci Allah, semuanya ada hikmahnya.

Sebagai satu perkongsian di bawah ini saya turunkan beberapa shot foto untuk ingatan saya. Di kiri ini, yang berbaju hitam membelakang kamera, yang berbaju belang dan yang di hujung kiri berbaju hitam adalah cucu-cucu saya.

Sebenarnya saya syok sendiri. Maka saya asyik melihat foto-foto di bawah ini.



Ini Ujai yang sulung berumur 9 tahun. 
Terepist professional swasta sedang cuba melatihnya supaya bersikap sabar dalam menjalankan sesuatu tugasan. Semoga ia berjaya dibantu untuk masa hadapanya yang lebih teratur dan ia dapat berdikari.


Ini Asim berumur 6 tahun.
 Dia anak yang ketiga dan ia normal seperti anak-anak lain. Tetapi oleh kerana abang-abangnya sangat aktif, maka ia terikut sama. Maka perhatian Ibu harus juga tertumpu padanya supaya tidak keterlaluan. 




Yang saya ingin ceritakan khusus kali ini ialah Akif. Ia disahkan "mildly autistic" dan menghadiri kelas khas di sekolah biasa. 

Saya menjaganya semasa ia dilahirkan di Tokyo 7 tahun yang lalu. Saya menjaganya selama dalam pantang dan ketika itu tidak kelihatan kelainannya. Sekarang pun jika kita tidak tahu latar belakangnya, kita akan menyangka ia anak yang normal. Tetapi apabila melihat tantrumnya jika ia tidak mendapat kemahuannya, maka kita akan berfikir sedikat mengapa ia demikian. Akif juga punya sumber tenaga luar biasa walaupun sudah lewat malam. Ia akan dibenarkan ibunya berlari di dewan dirumah, panjat kerusi melompat dan sebagainya supaya ia menghabiskan tenaganya. Selepas itu baru ia boleh tidur. Kalau tidak ia akan berjaga hingga larut malam.





Ibunya bercerita bahawa dalam Karnival itu anak-anak tidak dibezakan latar belakang. Siapa sahaja boleh mengambil bahagian dalam apa jua permainan yang di aturkan. Maka Akif memasuki pertandingan bermain LEGO. Pertandingan ini diadakan dalam 3 sessi. Satu sessi ada 10 peserta. Maka kesemuanya ada 30 peserta.


Akif memang minat dengan LEGO dan apa jua permainan yang berkaitan dengan alat yang berpasang seperti senjata mainan dan jenis-jenis kenderaan mainan.



Kelihatan di sini hasilnya sedang dinilai. Pertandingan itu ialah berbentuk FREE STYLE dan mesti berhenti selepas 30 minit. Sebenarnya Akif tidak tahu konsep masa lagi. Cuma ayahnya yang ada di sisi meminta ia fokus dan buat yang smart, bila diarah berhenti, Akif berhenti.

Itu yang di lakukan kata ibunya.....Dan akhirnya Akif di isytihar pemenang Pertama.
Teruja saya membaca ceritanya dalam whatsapp. Saya membaca berkali-kali seperti tidak percaya Akif boleh menang kerana pertandingan itu tidak mengira anak iatimewa atau anak normal. Tidak ada point handicap yang diberi.


Ini Masterpiece Akif.

Saya merenong foto ini buat beberapa ketika dan dalam hati saya rasa sebak dan terharu gembira Akif ada potensi kreatifnya yang tersendiri yang terbukti mendapat penghargaan penyelia hakim pertandingan. Hadiahnya ialah "4 Annual Premium Passes to Legoland for two adults and two children worth rm3,000". Bukan kerana hadiahnya saya termenung, tetapi saya rasa insaf mengingat kembali Qudrat dan Iradat Allah. Ia bukan terletak di mulut kita sahaja  dalam menyatakan keyakinan kita. 

Saya masih dalam peringkat 'Ilmu Yakin' dan terfikir-fikir bila akan sampai maqam 'haqqul yakin' ? Peristiwa ini mengejutkan minda dan hati saya.

Saya berkata di hati: "Allah tarik sedikit sifat normalnya, tetapi Allah bagi balik lebih, sangat lebih dari apa yang di tarikNYA. " Saya yakin anak-anak lain yang seperti denagnnya punya keistimewaan yang luar biasa yang Allah mahu kita melihatnya dan meyakinkan diri bahawa Allah maha Bijaksana, maha Mengetahui dan maha Adil terhadap semua ciptaanNYA. Tidak ada ciptaaNYA yang sia-sia....

Ya Allah, Kami memohon ampun kerana lalai dalam melihat limpah kurniaan Mu yang berbagai rupa. Kekadang ingat dan sedar, tetapi kekadang terbabas juga. Kami mohon Taufik dan Hidayah Mu sentiasa Ya Rabb...
Semoga Limpah Rahmat Mu membuat kami lebih jitu dalam pengabdian pada Mu....Engkau yang maha Besar, maha Agong dan maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Mohon limpah kurnia kasih sayang Mu ya Rabb...
Aameen...


......

Thursday, December 11, 2014

Mencari Ehsan Zakat....





Setelah penat berfikir-fikir bagaimana hendak menyelesaikan kekurangan sumber dana untuk pembangunan dan operasi bagi Tadika SmarTop, kami bersetuju untuk "mencuba nasib" memohon mendapat sumbangan Zakat dari Jabatan Agama Islam Johor.

Maka pada hari Ahad yang lepas kami menaiki kereta ke Johor Bahru untuk merundingkan masaalah kami dengan Jabatan Zakat dan Baitul Mal. Kami tiada temu janji tetapi mencuba terus untuk berjumpa dengan pegawai berkenaan. 

Hari Sabtu dan Ahad (malahan petang Jumaat) bukan hari dan waktu  terbaik untuk Ke Johor Bahru kerana jalan raya amat sesak dan orang ramai pun bersesakan kerana ramai penduduk Singapura yang datang berkunjung untuk berbagai keperluan membeli belah atau menziarah pesakit-pesakit di hospital atau berbagai lagi urusan. 

Aduhai Malaysia !........
Kadar pertukaran wang Malaysia yang merosot nilainya menjadikan Johor Bahru tempat tumpuan untuk apa sahaja oleh penduduk Singapura. Katanya ada kemungkinan nilai Ringgit Malaysia akan terus merosot. Saya kurang arif tetapi tetap rasa bimbang.
Siapa yang rugi dan siapa yang untung kita fikir-fikir bersama....

Walau sukar memandu kami tetap menumpu mencari Pejabat Jabatan Agama Islam itu. Dengan izin dan kehendakAllah kami dapat bertemu dengan pegawai berkenaan setelah bertanya berbagai tempat untuk kepastian. Bayangkan pegawai pesara Kerajaan kali ini berurusan sebagai warga biasa. Hanya mampu tersenyum melihat karenah manusia sekeliling yang sama-sama berurusan.

Sambutan oleh pegawai berkenaan amat memberangsangkan. Kami bercerita mengenai SmarTop dari segi falsafah, misi visi dan juga kurikulum dan ko kurikulum. Kami sebutkan apa yang kami perlukan dari segi pembanunan dan operasi. Alhamdulilah....pegawai berkenaan faham dan menunjukan sikap mahu membantu. Mudah sahaja kami memberi penerangan kerana kebetulan beliau sudah mengenali Adni Islamic School yang mana kami telah mencontohinya dari mula penubuhannya lagi. Kami sebut nama Professor Hasni atau Pak Hasni dan beliau pun cepat memahami tujuan kami menemui beliau.

Kami bersyukur Allah memudahkan perjumpaan itu. Kami berpisah setelah lebih kurang 45 minit berbincang. Beliau akan membuat pertimbangan sewajarnya.

Dengan rasa lega kami meninggalkan pejabat tersebut. Dengan kelegaan itu kami rakam foto sebagai kenangan. Kami telah berusaha. Berjaya atau tidak kami mendapat sumbangan zakat dari Pejabat itu tidak merisaukan kami lagi. Allah hanya menuntut kita berusaha. Hasilnya adalah perogatif yang Maha berkuasa dan maha Pemberi Rezki. 

Semoga Allah memudahkan urusan kami demi pendidikan terbaik bagi anak-anak generasi akan datang yang kami ingin bina naluri mereka mengenal Allah yang maha Pencipta dari usia kecil lagi.


Kami di dataran Bangunan Jabatan Agama Islam Johor dan beredar dari tempat itu penuh harapan. Namun kebergantungan kami hanya pada Allah jua. Semoga Allah memberkati....Aamiin.

.....

Wednesday, December 10, 2014

Menjejak Lagenda Gunung Ledang.



Lebih seminggu saya berada di Tangkak cuba menutup akaun SmarTop bagi tahun 2014 dan membuat perancangan terperinci bagi tahun 2015, in sya Allah. Dalam keadaan sumber kewangan yang terhad maka agak sukar juga mengendali  tugas dan dengan perubahan staf dan guru kami Lembaga Pengurus harus lebih tabah menghadapai segala kemungkinan.

"Tak ape....Allah ada.... kita jangan bimbang. Usaha sahaja dan yang lainnya kita bergantung harap pada Allah." kata teman saya.

Saya senyum dan hati saya fokus pada usaha dan memohon pertolongan Allah. Maka di celah-celah usaha,  kami mengambil masa merai tetamu dari Muar dan bandar berhampiran yang dahulunya belajar di Sultan Abu Bakar Girl's School. Ini tetamu teman saya dan saya bersetuju membantunya membuat persediaan mencari tempat dan menyediakan sedikit jamuan.





Dengan kereta kami memandu ke tempat yang kami jangka akan dapat menarik minat tetamu-tetamu itu yang semuanya pun sudah dalam golongan warga emas. Saya tabik melihat kederat teman-teman saya ini kerana masih ada kesanggupan bersusah payah memandu dan berjalan-jalan di kawasan yang agak berbukit dan agak jauh dari tempat letak kereta sambil membawa makanan untuk "picnic" katanya.

Saya rakam di sini tempat "randevous" kami. pokok-pokok menghijau dan amat sejuk di pandangan mata. Alhamdulilah....Allah masih kurnia nikmat melihat antara keagonganNya di muka bumi ini.



Hari itu hujan renyai-renyai dan Gunung Ledang diseliputi awan.



Ada chalet untuk di sewa, tetapi kami hanya berada di situ setengah hari sahaja. Melihat keindahan taman sudah cukup meyegarkan minda.





Di bawah ini adalah kumpulan warga emas SAB Old girls. Masing-masing punya cerita-cerita yang menyeronokan hati mereka. Saya hanya beserta di pinggiran. Namun saya seronok mendapat teman-teman baru. Saya berasal dari Pontian Johore dan ada juga kumpulan seperti itu dan pada bulan Jun yang lalu telah mengadakan 50 tahun bersama. Saya agak terkilan tidak dapat hadir sama kerana pergi melancung ke Yunan. Insya Allah tahun hadapan mungkin  masih ada peluang berjumpa.


Kami beredar pulang dan makan tengah hari di rumah kami di Bandar Baru Tangkak......masih kepenatan.

Alhamdulilah .....dalam kesibukan kami dapat merehatkan minda buat seketika. 
Semoga pengeratan silaturahim dapat menemukan hati-hati yang mahu berbakti pada ummah demi mencari keredhaan Allah. Teman saya mencari peluang "berdakwah" pada tetamu yang bukan Islam secara cerita-cerita santai mengenai hidup dan kehidupan. Semoga Allah menunjuki jalan dan jika ada yang terbuka hati dan minda untuk menerima Islam, semoga Allah menerima itu sebagai amal soleh kami juga.



Tetamu Satu Malaysia.

....

Tuesday, December 2, 2014

Why is she living alone?....






Sebuah lagi cerita di kampung tempuh hari. Ada yang lucu dan ada yang membuat hati saya sebak.

Ini dua orang kakak saya di kampung. Keduanya sudah solo kembali dengan kembalinya suami ke Rahmatullah. Yang tudung putih 79 tahun dan yang tudung merah 76 tahun. Mereka tinggal berdekatan tetapi bersendirian. Anak cucu berhampiran jika memerlukan. Alhamdulilah mereka masih sihat dan boleh mengurus diri.

Kami sering berkongsi kisah-kisah anak cucu dan cara mereka membawa diri masing-masing. Ada yang sangat ambil tahu hal ibu tetapi ada yang kurang ambil tahu. Itulah ujian di hari tua. Tetapi kami memahami dan bepegang pada prinsip kebergantungan kita hanya pada Allah jua. Anak-anak adalah hiasan hidup. Semoga Allah memberi Taufik dan Hidayahnya pada semua dan bahagia di akhirnya.




Kisah lucu cucu saya Akif yang otistik ini. Ia bermasaalah tetapi tetap mengembirakan kami dengan karenahnya dan sikap pembawaan dirinya. Bila berjumpa kakak-kakak saya, tercetus soalan:

"Why do they look old? "
"Why are we visiting old people? " seperti tidak mengiktiraf saya juga tua......

Senyap-senyap dia tarik tangan saya ke satu sudut dan tanya: " Why is she living alone?"
Bila saya katakan suaminya sudah meninggal, ia bertanya "Why do people have to die?"

Tergamam saya nak menjawab, tetapi jawab juga lah dalam dui-bahasa. 




Ini tiga orang cucu yang saya bantu lebih dari yang lain sebab dua darinya istimewa. Kami tidak senghaja mengajar bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi mereka mendengari sendiri dari TV dan games di You Tube.Mereka lebih terampil berbahasa igggeris, dengan slang pulak. Namun demikian saya risau kerana banyak unsur tidak baik dalam kedua-dua media itu tetapi kami sukar memantaunya kerana kekangan masa dan tiada pembantu rumah untuk sama-sama mengawasinya. Itu cara anak saya membela diri. Saya hanya tercengang kebingungan dan kerisauan.





Suami dan saya menziarahi juga abang ipar saya di Kota Tinggi. Ia sudah melangkaui 80 tahun. Rasanya ia berumur 83 tahun. Baru setahun duduk berseorangan setelah kakak saya meninggal dunia.

Soalan yang sama di tanya oleh Akif:
" Why are you living alone ?" Dia tanya bertalu-talu kerana abang ipar saya tidak faham bahasa Inggeris. Sayalah terpaksa berdialog dengannya.

Peristiwa ini menyedarkan saya betapa anak-anak di bandar (Putrajaya bagi cucu-cucu saya ini) jarang-jarang sekali nampak orang tua dan bertemu dekat dengan orang tua, dan bercakap-cakap dengan orang tua. Setengah budak tidak bertanya. Anak-anak yang normal pun saya perhatikan tidak bertanya sedemikian. Tetapi bagi Akif, antara perangainya yang luar biasa ialah ia sangat lebih bertanya. Tidak mengira masa dan tempat dan pada siapa jua. Dan kekadang pertanyaannya seperti tidak bersopan.
contohnya: 
"Why are you fat? (sambil memgang perut orang yang tidak dikenali itu).
" How come you don't have teeth?" pernah juga ditanyakan pada orang tua.

Ibunya pening dan saya pun pening.Bukan tidak mengasuh dan mendidik dengan baik. Tetapi mungkin caranya tidak sesuai dengan sifat seorang yang otistik. Anak ini mengikut fitrahnya. Tidak tahu maka dia bertanya. Di sessi terepinya dia di ajar bersopan. Ada caranya bagi terepist professional ini. 

Akif pun punya kecenderungan sekssual yang luar biasa berbanding cucu lain. Antara nya dia akan tarik tanga cucu perempuan saya dan tidak membenarkan adik beradiknya hampir dengannya untuk bermain sama. Subhanallah....... Setiap saat saya bersama cucu-cucu yang ini, ia akan sentiasa membuat saya mengingatkan kebesaran dan kekuasaan Allah dan saya akan bertanyakan diri sendiri sejauh mana kesabaran saya dalam sama-sama mendidik mereka ini.

Selain soalan yang boleh membuat kita termalu, Akif pantas bertanya apa sahaja. Perkataan-perkataan ilmu sains yang didengarinya akan terus ditanya. 
"Embah, bacteria itu apa? Kenapa tak boleh nampak kuman?
"Embah, apa bean sprouts?
"Embah, Why do you ask Ujai to Solat?".....macam-macam lagi.

Akif juga sangat aktif. Sumber tenaga dari mana saya kurang pasti. Immaginasinya juga amat luas dan ia suka bercerita denag caranya sendiri yang kadang kala sukar untuk difahami.

Kadang-kadang saya kata pada ibunya: Akif yang kurang cerdik atau kitakah yang tidak pintar berfikir melebihi fikiran anak-anak? 

Subhanallah, Alhamdulilah, Allahuakbar !....
Kami hamba Mu yang Dhaif ya Rabb...
Bantulah kami, Kasihanilah kami...Kami ingin merasai dan menjiwai kasih sayang Mu melalui anak-anak istimewa ini....
Engakulah yang maha Pengasih maha Penyayang, maha Bijaksana dan maha Adil pada semua hamb-hama Mu...
Kami mohon keampunan atas kekurang dan kesilapan menyantuni anak-anak ini....
Semoga mereka membesar dalam peliharaan istimewa dari Mu ya Rabb....
Aameen...


...

Monday, December 1, 2014

Sekolah agama tidak terbela ?




Antara tujuan saya balik kampung ialah untuk ziarah anak saudara perempuan saya yang juga sudah hampir dua tahun kami tidak bersua muka. Khabarnya dia sudah mula lupa-lupa. Dia sebaya dengan saya, anak arawah kakak sulung saya. Maka saya tinggalkan semua "kerja". Suami dan saya ke Kota Tinggi setelah menziarahi teman di Johor Bahru. Anak saudara saya ini tinggal bersama anak perempuannya, seorang guru di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, di Air Tawar Dua, di kawasan Felda.

Saya rakam foto ini semasa hendak pulang. Hati saya berat untuk pulang dan kalau boleh ingin tidur semalam untuk berbual-bual dengannya. Apakan daya .... rumah anaknya ini yang di kira Rumah Guru, adalah kecil dan tidak mungkin kami boleh berkongsi bilik. Rumah ini di bina oleh kerajaan Negeri Johor dan tersedih di hati saya kerana sudah kelihatan terlalu uzur. Jika ada ribut taufan saya tidak hairan jika ia tumbang, atau terbang bumbungnya. Ini kenyataan. 

Saya simpan di hati tidak komen apa-apa kerana menjaga adab bersaudara. Tetapi saya amat kecewa dengan sikap kerajaan negeri Johor yang berjanji mahu mendahulukan Rakyat, tetapi janji itu tidak ditepati.

Penduduk kampung tidak mengerti hak asasi mereka. Maka dengan keadaan demikian saya tidak hairan jika ada golongan penduduk yang memandang rendah guru-guru sekolah agama kerana tidak bergaji mencukupi untuk hidup sederhana. Bukan hendak bermewah-mewah tetapi pastinya mahukan rumah yang tegap yang menjamin keselamat keluarga, dengan izin Allah.

Inilah sikap kerajaan yang buat fikiran saya serabut kerana ramai saudara mara saya yang tinggal di kawasan Felda. Kalau rumah itu di bawah urusan Felda sekalipun, ia masih merupakan tanggung jawab kerajaan Barisan Nasional. 

Bayangkan betapa dhaif !....sejak tertubuhnya Umno di Johor dan BN diundi oleh rakyat untuk berkuasa. Dan Allah kurnia Malaysia negara yang kaya dengan berbagai sumber.

Bukan saya tidak bersyukur dan bukan saya mahu berpolitik, tetapi jika politik tidak mengindahkan agama, maka saya rasa khuatir bencana akan menimpa. Sejarah sudah membuktikandari zaman dahulu lagi...

Walau apa pun pemerhatian saya,  saya ingin menggembirakan anak buah saya ini bahawa saya ingin menolong seberapa yang boleh. Tetapi tidak tercapai kesemuanya...

Hari itu suami dan saya cuba menggembirakan anaknya yang dapat 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSRnya. Kami ucap tahniah dan memberi hadiah yang tidak sepertinya. Kami ingin memberi keyakinan padanya bahawa masih ada keluarga yang menghargai pengorbanannya.



Ini foto sebahagian anak-anaknya bersama anak buah saya yang seorang lagi yang tinggal di Air Tawar Satu. Di bawah ini foto cicit saudara saya yang ingin kami bina jati dirinya. InsyaAllah sudah ada sikap ke arah itu dan semoga Allah memudahkan urusan persekolahannya. Ia masih suka tinggal dengan ibunya dan tidak mohon sekolah berasrama kerana ia mahu menamatkan Darjah Khas Sekolah Agamanya. Seronok saya mendengarnya kerana dia sendiri sudah pandai membuat pilihan. 

Mengenal Allah secukupnya itu penting untuk meneroka hidup seterusnya.




Di celah-celah rasa bersyukur atas segala kurniaan Allah yang tidak terhingga nikmatnya, saya teringatkan perbincangan saya dengan adik ipar saya di Kuala Lumpur yang mahu mempromosikan sebuah sekolah Times International School tajaan orang-orang kaya dari Turkey.

Saya mendengarinya penuh minat kerana saya suka mempelajari apa yang baru dari segi strategi dan proses pendidikan generasi pelapis. Saya kurang tertarik dengan misi dan visinya  yang tersurat dan beberapa hal lain. Tetapi saya tinggalkan dahulu perbincangan di sini kerana pendidikan adalah komitmen dan cita rasa penaja dan pengurus maka saya tidak ada hak mengkritiknya.

Prinsip saya mudah sahaja. Dari mula lagi kita harus mendidik anak-anak kecil termasuk remaja untuk mengenal Allah, Rabb sekian alam. Ilmu lain akan dapat diajarkan penuh barakah. Formula kejayaan mudah sahaja.

Ilmu + Taqwa = Kejayaan (dunia akhirat). Kedua-duanya harus menyerap sepadu. Bukan seiringan. Dan tidak ada jalan pintas baginya.
Ini formula Adni Islamic School yang saya promosikan di mana-mana. Juga sekolah yang sepertinya.

Saya berkeyakinan masaalh dunia hari ini ialah kerana manusia tidak mengenal Allah sebenar-benarnya. Allah maha mencipta setiap jiwa, Rabb yang mentadbir sekelian alam untuk kesejahteraan manusia. Tetapi ramai manusia yang hanya menggunakan aqal semata-mata tanpa berasaskan alQuran dan Hadis jujunjungan besar Nabi kita, Muhammad salahhualaihiwasalam. Dan saya secara pribadi sedang mencuba sedaya upaya ke arah mencari redha Allah jua. Semoga Allah masih memberi ruang dan peluang sebaiknya bagi saya dan keluarga.

Sampai di sini dahulu. Nanti kita cerita dilain entry, insya Allah. Semoga Allah menganugerah taufik dan Hidayahnya untuk diri, keluarga dan semua yang benar-benar mahu mencari Redha Allah. Semoga apabila samapai hari kita di hadapkan di mahkamah yang maha Agong kita tidak ada penyesalan lagi. Ketika ini saya masih khuatirkan akan diri saya dan keluarga saya (jauh dan dekat) takut  tidak dapat melepasi detik-detik seperti yang Allah sebut dalam Surah AtTaghbun....iaitu Hari penyesalan.

Kami memohon keampunan Mu ya Rabb.....
Aamiin...


....
Related Posts with Thumbnails