"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, April 25, 2015

Ibarat dipaksa lari pecut 100 meter...






Temu janji di IJN sentiasa mendebarkan. Berhari-hari sudah sibuk memikirkan apa yang akan dilakukan  pada 24 haribulan nanti. Untuk bertenang maka hati ini cuba sentiasa menghayati bahawa tiada kekuatan melainkan kekeuatan Allah jua. Dia yang maha Tinggi. PadaNya kita berserah diri.

Awal pagi saya sudah bersarapan ringan. Tidak boleh minum kopi atau teh atau apa sahaja yang boleh mengganggu pemeriksaan Jantung ini yang masaalahnya  masih belum dapat dikesan. Jam 9 pagi sudah siap terpacak berdiri dihadapan tempata pesakit menanti giliran. Hati rasa berdebar-debar. Pesakit-pesakit lain pun nampak demikian dari pemerhatian saya yang cuba mencari ketenangan.

Jam 10 tibalah giliran. Tiub dipasang ditangan oleh pembantu Doktor yang saya kurang pasti nama jawatan.  Dia senyum memberi penerang proses yang akan dilakukan dan cuba meyakinkan bahawa ia mudah sahaja dan akan masa beberapa jam sahaja. Saya menjeling Fail yang dipegangnya. "Nuclear Cardiology" kalau tak silap ingatan saya.

Beberapa jam ? Hati tambah khuatir tetapi tidak terdaya menanyakan mengapa demikian. Ikut sahaja, tadi di luar suami saya cuba memberi sokongan.

Kemudian saya diminta menunggu di luar untuk proses berikutnya. Ini yang menakutkan kerana saya mendengari pesakit yang terdahulu memberi tahu pengalamannya yang dirasai tadi di dalam. Saya diam dan hati saya sibuk membaca itu ini untuk memberanikan diri mentekadkan ini sebahagian dari erti hidup dalam perjuangan. 

Tibalah masanya saya diarah berbaring di atas katil yang disediakan. Sikit sahaja, jangan bimbang. Mak Cik akan rasa seperti penat kerana saloran-saloran jantung akan berkembang untuk kami pastikan apa sebenarnya yang menyebabkan dada kesakitan. Makcik akan rasa susah bernafas dan mungkin perut dan kepala akan rasa sakit sedikit kerana itu kesan sampingan.

Saya mengaanggukan kepala, faham. Tetapi sebelum saya bernafas dua tiga tarikan, saya sudah mula rasa penat.

Penat.....Ibarat dipaksa lari pecut beratus meter dalam kiraan orang yang ketakutan. Memang rasa seperti semput dan dada agak sesak sedikit dirasakan. Tak apa, katanya lagi. Hanya 4 minit sahaja. Empat minit seperti 40 minit bagi saya memejamkan mata cuba seperti mahu proses ini dipercepatkan. Kasihan pada diri......

Habis 4 minit saya masih rasa tercungap-cungap walaupun saya kata sudah mula reda dirasakan. Saya cuba meyakinkan diri seolah-olah sudah tamat "penyeksaan". Tetapi petugas ini amat faham karenah pesakit dan terus sahaja ia memberi suntikan ubat untuk melawan kesesakan. Alhamdulilah, pernafasan mula reda dan saya diminta menanti di luar untuk "scanning" dalam jangka masa yang ditentukan.

Selepas itu proses yang seterusnya tidak lagi mendebarkan. Saya cuba relaks dan dalam menanti beberapa jam, saya dan suami keluar makan. Selera saya tidak terbuka dan hanya makan sedikit supaya tidak timbul masaalah yang lainnya.

Proses ini siap setelah hampir 6 jam seperti yang telah dijangkakan. Alhamdulilah, saya tidak ada trauma ketakutan yang menjejaskan. Keputusannya akan diberitahu apabila bertemu doktor pakar nanti pada 19 Mei yang akan datang.

Saya dan beberapa teman bercadang bermusafir ke Kelantan sejurus habis pemeriksaan. Tidak cukup kederat dirasakan dan insyaAllah esuk saya akan teruskan plan yang sudah diaturkan. Begitulah laluan hidup dan dalam jangka masa yang makin tipis ini, saya berdoa saya masih diberi kesempatan oleh Rabbul Jalil yang maha menentukan.




Semoga kita bertemu dalam lima atau enam hari lagi. Semoga masih ada ruang dan peluang untuk terus berbakti. Kita berdoa pada Ilahi semoga Allah kurnia yang terunggul di sisiNya di dunia dan di akhirat nanti.

Aamiin....ya Rabb....

Foto ehsan Whatsapp....



.....

Thursday, April 23, 2015

Behold ! Beautiful Sunrise....



An early morning awesome surprise.

I looked out of my bathroom window one quiet lonely morning,
And there it was.....
A beautiful sunrise which I never noticed all these years.

Wordless and a feeling of utter numbness,
My heart is filled with wonder and guilt.
I looked everywhere to witness the greatness of God's creation,
It is only literally one breath away.
And if only I use my heart to see...
Beauty is indeed  from within.

Fill our heart with Love and gratitude
For our Creator..
Life is Peace.

Subhanallah, AllahuAkbar.

.....

Tuesday, April 21, 2015

Stretching Time.@ memanjangkan masa.....




Antara jam termahal di dunia. Boleh mencecah harga berjuta Ringgit. Ini hasil carian Google. Lihat sendiri harganya. Di Malysia jam ini juga antara minat orang-orang kaya. 
(Foto Ehsan Google Search).

Tetapi isu memanjangkan masa atau bagaimana kita boleh  "stretch " time@masa tidak ada kena mengena dengan memakai jam tangan yang mahal-mahal. Jam mahal atau murah tidak akan mampu menambah keperluan masa walau sesaat sekalipun. (Time waits for no man).

Setiap kita rata-rata  sememangnya sentiasa ketinggalan masa. Tetapi jika kita kurang kepedulian dengan matlamat hidup, maka kita tidak risau kalau kita kehilangan masa. Kita akan rasa seperti hidup ini tidak memerlukan kita berkejaran. Mengapa perlu riasu, esuk kita masih boleh sambung kerja. Tidak ramai antara kita yang takut dan khuatir seandainya esuk kita tidak ada di bumi ini lagi, tidak akan ada lagi impian untuk dikejar dan tidak ada lagi keseronokan dan keriangan yang terpaku di minda untuk menceriakan hati kita.

Yang ada ialah reality kematian. Setiap jiwa akan menemui maut. Itu pasti. Tetapi ramai juga antara kita yang tidak mahu bercerita mengenai maut. Kata mereka itu sikap orang yang mengalah dengan ribut kehidupan. Sebenarnya sikap itu salah. Kita harus mengingat kita akan menemui maut bila-bila masa sahaja, dan hakikat itulah yang akan mendorong dan memacu rentak kehidupan kita. Kalau kita merasakan kita tidak ada masa maka kita akan sentiasa berjaga-jaga, tidak malas dan tidak akan menangguh keraja tanpa sebab-sebab yang mnasabah dan menangguh kerja ikut suka semata-mata.





Sejak bersara saya merasakan masa menjadi bertambah pendek......terlalu pendek. (Ibarat pokok, tidak lagi menghijau. Daun-daun mula layu kering).  

Amat melesat pemikiran yang menjangka nanti bila bersara kita akan banyak masa untuk buat itu dan buat ini kerana tidak ada sesiapa yang boleh mengarah dan memarahi kita. Silap.....sangat silap pemikiran itu. Bila umur meningkat, keupayaan tenaga menurun. Keupayaan pemikiran mungkin tidak cepat menurun berbanding kemampuan fisikal. Untuk sesetengah orang perkara sebaliknya berlaku. Situasi mana yang berlaku dahulu itu tidak penting kerana hakikatnya ialah bahawa umur yang kian bertamabah, pasti bererti kemampuan tenaga dan fikiran akan berkurangan. Proses ini amat cepat pada sesetenagh orang dan agak lambat pada sesetengah orang yang lain. Namun rata-rata hanya segelintir manusia yang melepasi batasan umur tujuh puluhan atau lapan puluhan yang cergas seperti dahulu kala. 

Kita tidak dapat mengembalikan masa. Kita tidak akan dapat mengembalikan tenaga dan pemikiran cergas seperti dahulu kala. Maka kita harus berbuat sesuatu mengikut apa yang kita upaya. Masa tetap 24 jam bagi semua. Bagaimana dapat kita meanjangkannya?

Saya hanya ingin berkongsikan satu fakta dari berbagai pengalaman hidup saya.  Kata teman saya: Only Busy People has the Time. Ah.....berat kenyataan itu. Kami berbicang panjang bagaimana mahu menterjemah dan mencari pencerahan maksud kata-kata itu.

Saya hanya ada satu contoh yang saya ingin ceritakan pengalaman saya. Saya dapat memanjangkan masa dengan memendekan proses kerja harian saya, seperti saya akan masak untuk makanan harian saya dengan penyediaan satu jenis lauk dimana kesemuanya dalam satu adunan sahaja. (A one dish meal) Protein dan sayuran dan apa-apa lagi saya masak sekali. Ini jalan pintas untuk mendapat kekuatan fisikal tanpa banyak masa di dapur. Jangan pentingkan makan yang sedap-sedap yang memerlukan masa yang lama di dapur kerana rasa sedap dan enak itu hanya dapat dirasai dari dalam mulut hingga ke tekak sahaja. Kesedapan dan keenakan itu sekejap sahaja dirasai. Ibarat sekelip mata. Maka fikirkan lah kembali.

Saya juga tidak akan mengemas rumah setiap hari sehingga tidak ada abuk di jari kalau kita mengelap permukaan meja atau apa sahaja peralatan di rumah kita. Kesihatan kita tidak mungkin terjejas dengan sedikit abuk atau sampah permainan cucu-cucu kita di ruang tamu atau di bilik tidur kita di mana mereka mahu bermanja dan tidur sama. Maka saya akan meneruskan dengan rutin harian saya tanpa ambil kira sangat serabut yang sedikit di mata. Kalau saya perlu membaca saya akan terus membaca barang sejam atau dua dan menulis apa yang saya ingin catat dalam "diary" saya. 

Saya tidak gaduh mahu berpakaian yang "in Style" seperti sesetengah orang. Pakai sahaja seadanya, yang cepat dan yang sesuai bagi umur saya. Seorang teman sebaya saya mengatakan dia tidak akan membeli tudung yang "sophisticated" dan memerluakn masa memakainya. Katanya dia akan pakai yang siap sarung dan boleh segera ke kelas pengajian atau ke mana shaja tanpa banyak masa terbuang. Katanya: Kalau nak berzikir pun tak ada masa, maka apa perlunya kecantikan diri semata-mata untuk kepuasa hati sahaja. Pakai sahajalah yang sederhana dan syar'ie. Cukuplah.

Maka seminggu yang lalu saya amat sibuk, tidak sesibuk orang muda tetapi sibuk dalam konteks masa seorang di umur senja. Pada pagi Khamis yang lau selepas kelas pengajian pagi itu saya berkejaran bersiap untuk ke Tangkak dan Johor Baharu. Kami singgah di UKM menjemput Widad (anak angkat kami ) yang ingin ikut bersama. Kami terpaksa menunggu kerana ia belum selesai menghadiri interview untuk menjadi Fellow di Asrama kediaman di University itu. Seronok mendengari ceritanya sepanjang perjalanan ke Tangkak. Sambil mendengar sambil kami bertukar-tukar pemahaman prinsip hidup. Semestinya ada nilai tambah dalam apa jua yang kita lakukan untuk tidak membazir masa.

Sejurus Maghrib kami berhenti untuk berbuka puasa di R&R Air Keroh Melaka   dengan memilih makanan yang mudah supaya jimat masa untuk sampai dan berehat kerana keesukan harinya kami akan ke Johor Baharu menziarahi anak saudara yang sakit tenat dan terlantar di Hospital Sultan Ismail.




(Di Perkarangan Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru).

Mencari lokasi pun sudah satu masaalah tetapi kami akhirnya sampai jam 12.30 tengah hari. Cara lawatan terhad kerana ia di Wad Jagaan Rapi. Tersedih di hati melihatnya menanggung kesakitan dengan bermacam-macam wire dipasang di badan. Saya mengingati diri tentang perlunya menggunakan masa sepadat mungkin kerena hakikatnya masa adalah suatu bahan yang amat berharga. Bila kita sakit, masa menjadi sangat-sangat terhad bagi kita. Kita semua adalah diambang maut tidak kira tua atau muda. Hanya Allah yang maha mengetahui hikmahnya kerana hanya Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani hamba-hambanya. Kita dikehendaki bekerja hingga ke akhir hayat kerana ada muslihatnya. Dalam hadith dikatakan: Jika kita diberi tahu esuk akan Qiamat dan kita ada sebiji benih di genggaman tangan kita, maka kita disuruh menanamnya. Ada ganjarannya. Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Adil pada kita semua.






(Di halaman rumah Anis dan Dadi di Kg Melayu Majidee, Johor Bahru).




Selepas lawatan Hospital, kami mencari rumah anak buah di kampung Melayu Majidee untuk bersilaturrahim di samping mencari peluang untuk sesuatu projek perniagaan seorang teman. Kampung Melayu Majidee  bukan sebuah kampung seperti ingatan saya semasa tinggal di rumah kakak saya semasa saya belajar di English College sebelum tinggal di Asrama SIGS. Maka lama juga kami mencari rumahnya kerana bangunan canggih-canggih sudah mengisi ruang-ruang yang dahulunya tanah kosong atau rumah-rumah kampung sahaja. Sambil-sambil itu sempat juga saya "merungut-rungut" memikirkan siapa agaknya yang mendapat keuntungan dan keselesaan dalam pembangunan yang pesat itu. Dalam celah-celah perbualan saya tanyakan juga pada anak buah saya sama ada mereka pergi mengaji ilmu akhirat dan beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sedih bila mendengari bahawa agak susuah mencari guru di bidang itu. Saya tidak kesempatan bercerita panjang tetapi akan saya susuli kerana tiada gunanya membangun tetapi ketinggalan masa untuk beramal mencari bekalan ke akhirat.






 Gambar antara mereka yang hadir dalam perjumpaan 
Parents Support Group SmarTop. (Puan Hayati menghadap kamera).


Kami pulang ke Tangkak lewat petang dan kemudian "rehat semalaman". Esuknya kami ada perjumpaan dengan ibu bapa di bawah program "bersama Parents Support Group". Seorang wakil Pengasas Program Little Abd kami jemput untuk memberi penerangan pada Ibu Bapa dan berinteraksi untuk mendapat pencerahan konsep kurikulum yang mereka pelopori di Tadika dan Taska Islam di Lembah kelang. Nama beliau ialah Puan Hajah Hayati Mahmud. Mereka aktif di bawah naungan NGO Haluan Malaysia. Semoga bermunafaat kerana mendidik anak tidak mencukupi guru terlatih tanpa sokongan dan kerjasama Ibu Bapa di rumah. (It takes the whole village to raise a child). Itu antara strategy kami dan bekerja kuat semoga kecerdasan dan penddidikan akhlak anak-anak dapat disemai dari umur kecil lagi. Melentur buluh biar dari rebungnya. Alhamdulilah, walaupun bilangan ibu bapa yang berkesempatan tidak ramai, tetapi mereka yang hadir menunjukan minat yang tinggi dengan  mengemukakan komen dan cadangan yang bernas. (Together, Yes We Can). Itu Tag Line yang saya suka guna.



Bergmbar kenangan berehat sebentar
 setelah selesai berurusan di Pejabat Zakat Johor Bahru.

Esuknya kami ke Johor Baharu lagi untuk membuat kerja-kerja susukan di Pejabat Zakat dan Baitul Mal di Johor Baharu. Satu pengalaman yang mencabar berhadapan dengan anak-anak muda kakitangan kerajaan yang kurang kemahiran dan pengalaman. Tetapi kami dengan semangat ingin mendidik walau di mana sekalipun, kami tetap akur dengan sistem yang ada walaupun masih banyak yang boleh diperbaiki. Dari Tangkak perjalanan mencari Pejabat pun merupakan suatu usaha yang berat bagi kami, tetapi kami bersabar walaupun kami  mendapat jawapan yang belum boleh kami kira menggembirakan. Kami akan membuat susulan lagi dalam masa yang terdekat ini. 

Proses yang meletihkan......terutama bagi kami dalam umur senja ini.

Tetapi kami tidak akan berputus asa. Kami akan datang lagi hingga dapat sumbangan zakat bagi  Tadika Pra Sekolah dan Taska Islam  SMARTOP yang sedang kami laksana sekarang ini. Rezki Allah yang kurnia  maka kebergantungan kami hanya padaNya sahaja.

Kemudian sebagai acara santai kami berputar-putar di Johor Baharu cuba memahami selok belok jalan-jalan yang makin rumit bagi saya. Kemudian kami singgah di Pagoh di pusat rempah ratus kepunyaan Syarikat NASUHA SDN BHD. 





Kami mencuba sedikit hidangan ringan yang katanya berperisa tempah ratus 
yang sedap-sedap. Datanglah sendiri untuk mencubanya.

Kami pulang lewat petang. Kepenatan....amat kepenatan. Makan malam percuma di D'Arab Cafe di Shah Alam memulihkan tenaga, drengan izin Allah,  untuk program esuknya. Alhamdulilah. Semangat memberi antara petanda tidak merugikan masa. 
Itulah catatan ringkas mengejar masa dan usaha "menambah" masa. In order to stretch time, we must cram time to the point of no return.

Allah bersumpah dengan masa. Kita hayati firmanNya.
Semoga kita redha dan Allah Meredhai. 

......

Wednesday, April 15, 2015

Dia ibu @ super mom ?........




Ini cerita anak perempuan saya. Allah anugerah 5 orang anak padanya  dan semuanya lelaki, hero-hero belaka. Yang tua dan yang kedua Allah kurnia  mereka istimewa. Dalam masyarakat kita, mereka disebut juga anak OKU. Huzaifah yang tertua dalam kategori ADHD (Attention Deficient Hyperactive Disorder) dan Akif dikira anak Otisma. Di gambar sebelah kiri ini mereka di bawa beraktiviti bersama-sama anak- anak dalam Persatuan istimewa yang lain, terutamanya yang Otisama. Hari itu hari lahir Akif dan ia dira'i bersama anak-anak lain. (Foto-foto ini kiriman anak saya).



Pada saya saat-saat seperti ini amat penting bagi mereka dan bagi saya sebagai Embah atau nenek mereka. (Saya ada menulis mengenai mereka dalam entry saya sebelum ini). Huzaifah  berumur 10 thun dan Akif 8 tahun. Mereka belum mahir seperti anak biasa dalam membaca dan mengira. Mereka memerlukan kesabaran ibu-bapa yang agak luar biasa.





Yang penting ibu-bapa redha dan terus berusaha. Mereka tidak "menyimpan" anak-anak di rumah sahaja kerana malu anak-anak mereka OKU. Mereka beraktiviti bersama dan berunding bersama atas beberapa masaalah yang serupa. Cuma masyarakat biasa  yang kurang peka dan membiarkan mereka bersama mereka yang OKU sahaja. Kepedulian untuk membantu belum lancar seperti diharapkan. Tetapi kommuniti yang Istimewa ini  saya perhatikan tidak rasa kecewa kerana mereka yakin Allah menjadikan mereka ibu-bapa terpilih untuk memengurus, mengasuh, mendidik anak-anak Istimewa. Selalu saya katakan pada anak saya bahawa Allah tidak mencipta mereka sia-sia.

Alhamdulilah dan saya sentiasa bersyukur anak perempuan saya tidak duduk diam. Ia sentiasa  berusaha bagaimana mahu mendidik dan mengurus anak supaya dewasa nanti mereka boleh berdikari tanpa ibu dan ayah di samping. Saya amat memahami seharian suntuk ia sentiasa sibuk. Bila ditugaskan keraja luar ia akan membawa anak-anaknya di bantu oleh suaminya (di mana sesuai) dan bila ada pembantu rumah, oleh pembantunya. Rumahnya tidak sentiasa kemas seperti rumah orang lain. Seperti kapal tongkang pecah. Bila saya komen, dia masih  mampu senyum tertawa.

Pakaiannya tidak bergosok. Ia memilih yang boleh "drip dry" basuh terus pakai. Namun baju anak ke sekolah mesti bergosok kemas. Itu satu disiplin yang saya rasa baik kalau dapat berterusan. Kini ada pembantu sementara dan dia dapat mencari masa pergi exercise untuk tidak jadi obese. Sikap yang memerlukan tenaga untuk sentiasa berkejaran. 

 Bila saya pergi waktu cuti dan hujung minggu, kenalah saya membantu serba sedikit mengikut kederat yang ada. Saya perhatikan menyediakan makanan adalah antara tugas yang rumit kerana kesukaan mereka amat berbeza. Anak yang normal juga punya karenah yang mengikut perangai abang-abangnya. Ini menjadikan tugas ibu lebih rumit. Itulah saya rasa kagum juga dengan anak saya ini. Alhamdulilah Allah kurnia tenaga dan akal fikiran yang membuatnya agak relaks walaupun seharian tugasnya berat berbanding keluarga biasa.

Anak saya ini  masih mampu bertemu teteman bersilaturrahim,  mengikut suaminya dalam kumpulan pengajian kelas agama dan apa jua yang terdaya. Saya  perhatikan  "Balancing-Act" yang luar biasa. Alhamdulilah Allah kurnia kekuatan dan kesihatan. 




Foto berbasikal ini saya amat suka melihatnya. Teringatkan semasa saya menjaga Akif yang baru dilahirkan di Tokyo 8 tahun yang lalu. Anak saya champion berbasikal walaupun  semasa bersekolah kemahirannya amat terhad, Selalu sahaja jatuh dan luka. Di Tokyo ia pergi kemana pun  untuk grocery dengan basikal sahaja. Pernah juga barangan yang dibeli hilang ditinggalkan di basikal semasa membeli barang yang lain. Cerita seperti ini jarang kedengaran bagi orang Jepun. Tetapi ia berlaku. 

Saya tinggal bersamanya di Tokyo selama hampir 3 bulan semasa ia berpantang melahirkan Akif. Kenderaan baginya di Tokyo hanya basikal untuk destinasi dekat. Jika perlu membawa Huzaifah begitu keadaannya seperti foto di atas.  Semasa Akif bayi ia menggendong Akif seperti orang Jawa menggendong anaknya dengan kain batik lepas Indonesia. Alat Gendong yang modern tidak terdaya membeli kerana Biasiswanya terhad. Dia tidak rasa kekok atau malu tidak bergaya macam ibu-ibu muda di bandar raya yang hebat itu. Dia di University Waseda mengikuti pengajian Sarjana. Itu fokusnya . Waktu itu anaknya belum disahkan istimewa. Doktor masih memberi harapan anaknya normal. Hanya di Malaysia pengesahan akhirnya di lakukan oleh pakar tempatan.

Semoga Allah terus memberi ruang dan memudahkan menjaga dan mendidik anak-anak ini. Ada ibu-bapa yang lebih usahanya kerana peringkat "keistimewaan" anak-anak berbeza. Anak saya menjaga dua sekali gos membuatnya kekadang keletihan. Saya menjadi "mangsanya" untuk berkejaran membantu. Kekadang ia minta pertolongan adik beradik sepupu yang tinggal berhampiran untuk membantu terutamanya semasa Akif berumur 4 atau 5 tahun kerana selalu sahaja ia lari "menghilangkan diri" bila mendapati pintu rumah tidak berkunci. Ini antara ciri anak Otisma. Alhamdulilah kini sudah hampir  melepasi masaalah itu setelah mengikuti program therapi......dengan izin Allah jua.

Saya memerhati kesibukan anak saya penuh empathy dan simpati. Walau apa pun, saya bersyukur ia dapat menjalani dan melalui kehidupan secara sederhana. Dia menyedari bahawa susahnya dia, masih ada orang yang lebih susah darinya. Kami berkongsi falsafah hidup yang amat berlainan dari orang lain kerana situasi kami berlainan. Semoga Allah sentiasa bersama dan memudahkan segalanya, bukan kami sahaja tetapi setiap ahli kommuniti anak-anak dan dewasa istimewa.

Aamiin ya Rabb....


HARDSHIP AND EASE WALAK HAND-IN-HAND IN THIS WORLD, 
AND EMBRACING THEM BOTH AS BEING FROM THE SAME 
BENEVOLENT SOURCE ENSURES THAT 
WE WALK WITH GRATITUDE FOR OUR BLESSINGS
AND GRATEFULNESS FOR OUR CHALLENGES.

SHEIKH HAMZA YUSUF.


...

Sunday, April 12, 2015

Hanya pada Guru....






Kami tersesat-sesat jalan untuk ke Royal Selangor Golf Club hari semalam. Bukan susah pun tetapi untuk warga Emas perjalanan yang mudah pun boleh jadi susah. Dari Kg Tunku ke Bukit Kiara hanya setengah jam sahaja yang diperlukan, tetapi kami mengambil masa hampir sejam.

Untuk apa ke sana dalam umur sebegini. Ah! ! kami meraikan Hari lahir Guru-Guru tersayang  yang sudah lebih 50 tahun kini sejak saya tamat tingkatan lima di Pontian Governmant English School, Johore.  Mereka berumur genap 77 tahun. (Guru kami yang lain ramai yang sudah kembali dahulu).

Generasi kini tidak hairan peristiwa yang saya ingin kongsikan kali ini. Apa ada pada Hari Kelahiran....Apa ada pada Guru?

Itulah bezanya dahulu dan sekarang. Guru adalah yang terhebat bagi kami. Dia marah, dia rotan, dia baling buku, dia dera murid berdiri lama dan berbagai lagi.....kami tetap sayang guru. Sebab guru marah hari ini.....esuk dia senyum seolah-olah semalam tidak ada apa-apa berlaku. 






Guru kami yang duduk di tengah, Ms Tan Li Kiang dan yang berdiri di tengah itu Mr Peter namanya. Dahulu memang kita panggil begitu....sekolah Inggeris lah katakan.  Suami saya di kiri sekali dan di kanan sekali itu Tan Sri Sulaiman Mahbob, orang kampung saya semasa di Pontian. Kami semua "graduate" tingkatan 5 bersekali melainkan Zainal yang berhijrah ke MCKK di tingkatan 4. 

Class of 1964 pada  tahun lepas mengadakan jamuan makan malam agak meriah sekali. Genap 50 tahun bertemu berpisah dan bertemu lagi. Saya hanya melihat foto yang ditunjukan oleh Tamyes yang berpakaian baju putih. Tan Sri Sulaiman junior setahun dan Chua yang duduk di kiri itu junior dua tahun. Suami saya tidak berkenaan. Dia menemani saya kerana saya kurang mengerti tempat itu.

Birthday cake yang di atas itu kiriman teman sekelas kami yang sekarang menetap di Singapura. Terima kasih Keng Feng. Saya bercakap dengannya di telefon sambil menikmati cake yang amat sedap sekali.  Zainal juga menumpang semangkok kerana hari Lahirnya jatuh pada hari itu. Yang rajin menghubungi setiap kami ialah Tamyes, Zainal, Dato Isa dan Ibrahim.Ibrahim berdiri dua dari kiri dan di kirinya ialah Dato Isa. Lawak orangnya dan tidak berhenti tertawa sepanjang kami bersama. Ibrahim agak pendiam. Zainal menjadi regu Isa membuka berbagai cerita.

Itulah perjalanan hidup. Sistem pendidikan waktu itu dapat menjalin kemesraan antara kaum. Dulu hingga kini. Ada kalanya abang Keng Feng bernama Keng Jee yang menetap di Australia mencari masa menghadirkan diri dalam perjumpaan kami. Hebat kemesraan kami.

Alhamdulilah. Namun kini saya tidak mahu mengatakan sama ada sistem kita dapat menjalin "pautan kasih" seperti itu. Kita tanya diri kita masing-masing.

Namun kami sedar bahawa Kurniaan Allah tidak serupa. Maka kami bersyukur pada apa yang ada. Semoga ada hikmahnya walaupun kami berlaianan agama. Allah itu maha Bijaksana dan kami memohon dikurnia rahmatNya sentiasa.



.....

Friday, April 10, 2015

Yang Benar Tetap Benar !





Yang benar tetap benar. Yang batil tetap batil. Kita selalu dengar ungkapan ini.

Kebelakangan ini kita selalu terdengar atau mendengar betapa riuh suasana di Malaysia mengenai kenaikan barangan dan perkhidmatan yang menjejas ekonomi rakyat biasa. Saya ikuti juga perbalahan fakta kewangan (high finance) dan pelaburan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Saya tidak memahami semua fakta tetapi merasai seperti ada yang tidak kena dengan keadaan ekonomi dan politik negara. Tuduh menuduh pun saya dengari, mahu atau tidak mahu, sedar atau tidak sedar.

Seperti boleh rasa cemas melihat masa depan Negara kita. Kemana Rakyat akan dibawa dan sejauh mana kemelut ini benar atau hanya khabar angin.

Walau apa pun saya cuba mententeramkan fikiran sendiri. Saya berdoa semoga Allah menerunkan Taufik dan HidayahNya pada peminpin disemua peringkat untuk melihat kelemahan dan kekuatan diri berdasarkan tuntutan syar'ie. 






KEBENARAN TIDAK AKAN MEMIHAK. Ada sokongan atau tiada sokongan, ada bantahan atau tiada bantahan, Kebenaran tetap Kebenaran. Contohnya: Kita beriman bahawa Allah itu Esa. Dia yang maha Pencipta dan maha Berkuasa atas segala tiap-tiap sesuatu. Percaya atau tidak percaya, itu hakikat. Kebenaran yang mutlak. Allah tidak rugi kalau ada bantahan dan  Allah tidak untung  kalau ada  sokongan sekali pun. Allah tetap Allah dengan segala Kebesarannya dan Kekuasaannya. 

Maka dalam kita memperkatakan masaalah yang ada di negara ini, saya tidak bingung atas fakta KEBENARAN. Cuma agak hairan memikirkan ada orang-orang termasuk pemimpin yang masih mahu berselindung sana dan mahu berselindung sini. Bukankah Allah maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi, maka mengapa perlu berhelah dan berhelah dan terus berhelah.

Saya sebenarnya rasa kasihan pada mereka yang tidak menerima hakikat bahawa Allah maha Tahu apa yang benar dan apa yang salah. Kalau tidak ada pengakuan di dunia ini, kita tidaka dapat melarikan diri di akhirat nanti.......hari Penyesalan yang tidak akan ada penolong atau penyokong. Saya sendiri bimbang kalau-kalau saya tidak dapat berlepas diri kerana saya telah terlibat atas sebab saya menggunakan kuasa mengundi.

Peliharalah kami ya Rabb........
Kami hamba-hamba yang kerdil yang bergantung pada belas kasihan Mu. Janganlah kami dihukum kerana kelemahan kami dan kesalahan kami. 
Kepada Mu sahaja kami mengabdikan diri.
Mohon keampunan Mu ya Rabb...

.....
Foto hiasan Pohon unik ehsan Widaat.  

....

Thursday, April 9, 2015

Malang - tiada siapa dapat menjangka........







Anak dan cucu-cucu saya tersadai di jalan kerana kereta rosak.(beberapa hari dahulu). Dia mengirimkan di whatsapp foto ini dan dia  rasa khuatir anaknya akan ketinggalan masa pada hari sukan Tadikanya. Saya katakan padanya tidak mengapa kalau tertinggal kerana peristiwa seperti ini pun mengajarkan anak-anak erti "sabar" melalui kesusahan dalam hidup. Manusia tidak dapat menduga kesemua yang akan berlaku. Apa latihan sekalipun ia harus dari kecil lagi.

Baru-baru ini juga seorang teman sekampung telah tergelincir jatuh di 'driveway' rumahnya semasa dia hendak bersegera naik kereta kawan untuk ke kelas pengajian agama. Didapti kemudianya di hospital bahawa patah di bukulalinya agak serious. Katanya kena masukan screw. Kini di Hospital tetapi saya belum berpeluang menziarahinya. Apalah saya ni! Amat tidak mobile.....

Saya agak terpegun sebentar bila mendengari berita ini kerana kata teman seorang lagi inilah kali pertama ia ingin ke kelas pengajian agama. Allah uji dengan halangan yang sememangnya memerlukan kesabaran dan mencari kefahaman mengapa sesuatu itu berlaku. Tafsiran teman luaran jangan diguna sebagai ukuran. Boleh didengar tetapi jangan pegang sepenuhnya, sebab Allah yang maha Mengetahui dan maha Menentukan.

Apa jua kemalangan sememangannya tiada siapa dapat menjangka. Kebelakangan ini Malaysia ditimpa berbagai kemalangan dan Allah turunkan berbagai ujian. Saya masih terkesan dan selalu sahaja teringat-ingat dan tertanya-tanya pada diri sama ada saya nanti dapat berlepas diri bersabit dengan apa yang berlaku di negara kita Malaysia ini.


Sama-sama kita doa semoga Allah sentiasa memelihara kita semua.


Kemalangan baru-baru ini yang berlaku berkaitan Helikopter yang terhempas juga membuat saya terfikir-fikir. Saya mengenali Allahyarham J. Jarjis semasa saya bekerja dahulu pada awal tahun  lapan-puluhan. Semasa itu Allahyarham adalah konsultant kami bagi beberapa projek pembangunan di Kementerian Pendidikan. Dalam ingatan saya projek pembinaan beberapa polyteknik. Mudah bergurau orangnya. Kami selalu dalam mesyuarat di Kementerian atau di tapak projek. Rasa tersedih juga bila mendengar berita yang malang itu. Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan Ruhnya bersama-sama Ruh para Solihin. Aamiin ya Rabb.........

Selepas tamat projek dengan jayanya, saya tidak lagi terjumpa dengannya. Hanya mendenar berita-beritanya di media massa. Namun saya terus ingat wataknya yang mudah berjenaka. 

Semoga Allah membantu kita mengambil iktibar atas apa jua kemalangan yang menimpa kita atau menimpa orang lain. Kekadang Allah menyentuh diri kita denagn kemalangan kecil untuk kita kembali padaNya, atau untuk kita besegera meneruskan kerja-kerja kebajikan dan tidak lagha dengan kerja-kerja yang tidak ada munafaat atau tidak ada nilai tambah yang dapat membantu kita di akhirat nanti.

Sama-sama kita beriktiar, berusaha, berdoa dan bertawalal pada yang maha Pencipta. Hanya Allah jua yang maha Berkuasa atas tiap-tiap segala sesuatu.

Mohon keampunan Mu ya Rabb....


Foto lokasi kemalangan ehsan whatsapp.
.....

Tuesday, April 7, 2015

Kita silap sebenarnya.......






Ini Huzaifah....a lone Ranger. Cucu saya ini  anak istimewa (OKU) dalam kategori ADHD ( Attention Deficient Hyperactive Disorder). Ibunya bawa sahaja bersamanya dengan adiknya  bila mengikuti program oleh Persatuan Otisma. Kasihan dia........
Kata ibunya kalau ada Persatuan, sememangnya dia ingin join sekali. Huzaifah harus dididik berinteraksi terancang dan teratur supaya dapat mengawal perilakunya yang sangat aktif. Ibunya menghantar untuk terepi oleh sebuah Syarikat Swasta. Yurannya mahal dan anak saya tidak mampu menghantarnya selalu.

Huzaifah di tahun 4 di kelas khas di sekolah Kebangsaan biasa di Putrajaya. Saya selalu bertanyakan pada ibunya perkembangannya. Kurang  memuaskan bagi saya. Mungkin saya terlalu berharapan tinggi dan latihan guru pendidikan khas oleh Kementerian Pelajaran tidak seperti yang saya harapkan. Saya tahu sedikit sebab dahulu saya bertanggongjawb atas Sumber Manusia seluruhnya di Kementerian itu dan ramai guru yang memilih Pendidikan Khas kerana tiada pilihan lain. Tetapi saya sudah bersara hampir 12 tahun, maka senario kini saya tidak mengikutinya. Semoga lebih baik.

Saya bertanyakan anak saya bilakah Huzaifah akan "sesuai" untuk diintergrasikan /di'immersekan' di kelas biasa yang sama umurnya. Gurunya masih belum berani untuk berbuat demikian. Saya seperti rasa sangsi akan penilaian ini. Saya bimbang guru lebih suka mengasingkan kerana lebih mudah mengendalikannya. Tempuh permulaan untuk diintergrasikan memerlukan usaha pemerhatian dan pengendalian yang rumit dan memerlukan kepedulian yang lebih sedikit. Ini fikiran saya. Ini tahun kedua Huzaifah di kelas Khas OKU dan entah bila ia akan dapat diberi peluang untuk cuba bersama anak-anak yang normal. Dia masih 'lone Ranger'.......

Sementara itu  dalam masyarakat kita anak OKU atau dewasa OKU tidak mendapat peruntukan kerajaan yang sewajarnya. Maka terpinggirlah kumpulan ini. Ini kerana manusia berkepentingan mengikut kehendak masyarakat yang biasa shaja. Ini lumrah dunia. Ibu bapa anak OKU harus berusaha sendiri dan cerita peminggiran mereka pernah diutarakan di media massa. Tetapi kurang kepedulian dari mereka yang sepatutnya bertanggong jawab.

Kata seorang doktor semasa saya membantu anak saya berurusan di Hospital Kerajaan, anak ADHD ini jika tidak diberi perhatian sewajarnya dari umur 3 atau 4 tahun dan juga berterusan, maka besar kemungkinan ia akan jadi "Mat Rempit" bila dewasa muda nanti. (Semoga Allah pelihara dan jauhkannya). Doktor itu tidak melawak. Ini pemerhatian professionalnya. Ramai anak-anak ADHD ini yang otak pintar, tetapi jika tidak ada pertolongan professional, mereka tidak dapat diajar ilmu yang setaraf dengannya dengan mudah. Mereka kurang daya Fokus.  Maka itulah ada yang tidak lulus peperiksaan awam yang diambil oleh anak-anak normal.  Masyarakat kata mereka ini 'bodoh'. Kita silap sebenarnya........

Huzaifah boleh membaca perkataan yang pendek dan sederhana panjang . Tetapi kalau perkataan yang panjang ia lambat mengenal dan membacanya. Guru dan Ibu-bapa harus sabar mengajarnya. Belajar mathematic pun begitu. Kalau tidak tahu membaca, manakan ia boleh belajar yang lainnya ! Saya difahamkan ada guru yang membiarkan anak-anak seperti ini bersendirian berbuat suka hatinya di bilik darjah kerana bilangan murid dalam kelas adalah besar dan mereka yang bermasaalah seperti ini biasanya tidak mendapat pemerhatian guru atau ciri perilaku anak seperti ini tidak diketahui oleh guru berkenaan. Sekarang saya faham bahawa setengah ibu-bapa akan malu mahu mengatakan anaknya bermasaalah dan tidak berusaha mendapatkan rawatan professional. Takrif OKU amat memalukan  dalam pemikiran sesetengah ahli masyarakat dan mereka tidak  mahu mendapatkan pertolongan profesional.(They are in self-denial).

Semoga satu hari nanti kerajaan akan lebih peduli dengan masalah OKU supaya mereka mendapat perhatian yang sewajarnya, iaitu yang lebih adil dan saksama. 

Namun saya yakin Allah yang maha Pengasih dan maha Penyang dan maha Mengetahui serta maha Adil dan Saksama punya perancangannya sendiri. Fenomena OKU adalah ujian bagi semua yang terlibat. Namun kita juga harus bersyukur kerana Allah memberi perhatian yang lebih.  Kita berusaha dengan penuh redha semoga Allah meredhai. 
Aamiin ya Rabb.....


....

Sunday, April 5, 2015

Rezki dari langit.....





Ini kisah seorang teman sebaya yang dirundung malang buat seketika. Suatu hari teman akrab saya ini Allah uji berbagai ujian, tetapi tidak seberat ujian yang tiba-tiba seperti tidak mencukupi "wang di saku" untuk berbelanja. Tidak mencukupi simpanan kecemasan. Biasanya jika ada sesuatu masaalh dia akan menalipon saya dan menceritakan apa yang sedang dihadapi. Jika masaalah itu serious dia akan mohon sekadar apa yang dapat saya bantu. Kami sama faham memahami.

Kali ini saya tidak mendengari ceritanya untuk beberapa hari dan saya rasa kerisauan juga kerana saya tahu dia dalam perjalanan agak jauh dengan anak cucu untuk cuti-cuti Malaysia di musim cuti sekolah. Tetapi oleh kerana saya ketika itu demam agak berat maka saya tidak ada kederat menaliponnya. Setelah beberapa hari mendiamkan diri, teman saya menalipon saya mengatakan kereta yang dipandu anaknya mengalami kerosakan yang agak teruk dan menjejaskan perjalanan. Dia hanya meminta bantuan anaknya sahaja dan setelah masaalah selesai barulah dia membuka cerita yang agak rumit saya mendengarinya.

Tetapi dia dan suami masih boleh "relax" dan bercerita santai dengan saya. "MasyaAllah", kata saya di mulut dan di hati. Dalam keadaan terdesak mereka masih tenang. Bila di tanya dari mana mendapatkan pertolongan "ongkos" yang agak tinggi untuk menyelesai masaalah, ia menjawab : "Pertolongan dari langit"....Rezki dari langit, maksudnya. Dengan doa mereka dan cucu-cucu  dan ikhtiar anak,  masaalah dapat diselesaikan, untuk jangka pendek dan jangka panjang. Kurniaan Allah tiada siapa boleh menjangka. Apa yang dihadapi agak rumit pada saya kerana ia membawa cucu-cucu yang masih kecil dan belum memahami kesulitan seperti itu.

Dipendekan cerita, ia pulang ke rumah lega. Cucu-cucu masih dapat menikmati keseronokan bercuti bersama keluarga. Saya pun lega kerana masaalah kewangan yang agak rumit nampak seperti mudah diselesaikannya. 

Maka saya berfikir-fikir  dan melihat kembali janji Allah mengenai rezeki. Saya ingin kongsikan di sini sebagai maklumat tambahan pada diri-diri kita manusia yang sering lupa. Khusus untuk diri sendiri yang sering lupa dan dalam umur senja kini saya perlu  selalu berwaspada. Dalam sebuah blog saya terbaca mengenai bagaimana mengundang rezki dengan mudah. "My Ibrah" nama blog itu. Saya salinkan dibwah ini secara ringkas. Sila lihat di blog itu untuk penjelasan lanjut.

(Gambar hiasan.   Bekerja kuat berbakti pada tanah mencari rezeki.)


  1. Menyempatkan diri beribadah.
  2. Memperbanyak Istighfar.
  3. Tinggalkan perbuatan dosa.
  4. Sentiasa ingat Allah.
  5. Berbakti dan mendoakan Ibu-Bapa.
  6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah.
  7. Tunaikan hajat orang lain.
  8. Banyak bersolawat.
  9. Buat kebajikan banyak-banyak.
  10. Berpagi-pagi.
  11. Menjalin silaturrahim.
  12. Kekal berwudhu.
  13. Bersedekah.
  14. Bertahajud dan solat Dhuha.
  15. Bersyukur pada Allah.
  16. Mengamalkan zikir dan bacaan alQuran.
  17. Berdoa.
  18. Berikhtiar sehabis-habisnya.
  19. Bertawakal.
Blog itu menyebut sumber sebagai: http://www.hanan.com.my/

Rezki dari langit. Di Bumi kita berusaha dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa rezki Allah turunkan pada manusia dalam berbagai bentuk. Antaranya ialah kurniaan ilmu dan kesihatan tubuh badan dan fikiran. Tidak terkira nikmat Allah yang kita terima dan lalui. Cuma kita manusia sering lupa mensyukuri.

Saya ingin mencontohi teman saya ini dan mereka yang istiqamah dalam melakukan saranan yang tersenarai di atas. Semoga Allah memberi kekuatan pada kita semua ke arah itu.
Aamiin ya Rabb....

....

Thursday, April 2, 2015

Sokongan....2nd April, WORLD AUTISM AWARENESS DAY.




Hari ini 2hb April telah diiktiraf oleh Badan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai hari World Autism Awareness Day seDunia. Marilah sama-sama kita memahami masaalah-masaalah semuaa yang terlibat dalam mengendali mereka yang tergolong dalam kategori Otistik.

Allah kurnia Rahmatnya berbagai cara dan berbagai bentuk. Di Malaysia mereka yang otistik di kira sebagai mereka yang kurang upaya OKU. Namun kita harus mensyukuri semua kurniaan Allah kerana tidak ada ciptaan makhluk Allah yang sia-sia. Ini disebut dalam alQuran surah Ali Imran, ayat 191. Maka janganlah kita rasa terpinggir jika salah seorang dalam keluarga kita yang dilahirkan otistik.

Kebolehan mereka dan keterampilan fikiran mereka adalah berbagai. Namun pasti ada hikmahnya. Kita bersyukur dan berusaha mendidik dan membina mereka sebaik mungkin semoga mereka bolih berdikari sebaik mungkin. Kita yang Allah kurnia kesempurnaan semoga berjiwa besar dan membantu sebaik mungkin.

Seorang cucu lelaki saya juga otistik dan mengikut anak perempuan saya seorang jurulatih renang bila mengetahui ada anak-anak istimewa dalam kumpulannya, ia memberi latihan percuma dan tidak mengenekan bayaran seperti yang dikenakan pada anak-anak normal. Alhamdulilah. Ia berjiwa besar dan memberi sokongan moral.

Marilah sama-sama kita membantu mereka yang memerlukan. Bukan pada komuniti Otisma sahaja, tetapi pada semua yang kurang upaya dan memerlukan bantuan. 

Semoga Allah melimpahkan Rahmatnya pada semua.
Aamiin ya Rabb...

....
Related Posts with Thumbnails