"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, May 31, 2015

Yakin dan seronok berusaha.....



Buah cempedak si buah nangka
          Kulitnya kasar bukan berduri
Jangan mudah berburuk sangka
                   Padahnya kembali ke badan sendiri


Bukan nak cerita buah cempedak atau buah nangka. Cuma ingin bercerita sedikit mengenai semangat seorang anak muda yang kini sudah pertengahan dewasa yang berkelulusan professional tetapi memilih mengurus ladang pertanian. Dia seorang akauntan tetapi bekerja sendiri. Saya mengenali ibu bapa isterinya yang tinggal sekampung dengan saya. Ada yang mengatakan rugi berkelulusan tinggi tetapi kerja sendiri jadi "pekebun". Masih ada dikalangan orang Melayu yang melihat kerja ladang itu "low class". Saya hanya senyum sendiri bila mendengar komen-komen seperti itu. Ini rata-rata kita dengari jika anak-anak Melayu berkelulusan tetapi memilih bersusah payah untuk berniaga. Perniagaan bukan kerjaya yang mudah, maka masih ada pandangan ramai bahawa kerjaya professional dalam bidang yang ia terlatih itu lebih mudah dan menguntungkan.

Itulah agaknya antara sebab Melayu masih ketinggalan dibidang ekonomi. Saya cuma fikir-fikir.....

Professional yang saya sebut di atas memilih profession peladang. Saya kurang arief apa yang dibuatnya tetapi setiap bulan Ramadhan ia akan infak untuk Iftar buah nangka masak yang lumayan banyaknya. Dan setiap hari Selasa  ia sekeluarga (termasuk keluarga besarnya ) akan menyediakan berbuka puasa untuk semua yang datang ke masjid waktu Maghrib seramai lebih kurang 50-60 orang setiap hari. Masakannya lumayan dan sedap-sedap. (Saya yang sentiasa menunggu hari Selasa waktu itu dan tahun ini saya rasa begitu juga).

Alhamdulilah. Mereka amat bermurah hati. Kerjanya tidak menampakan ia berpakaian segak dengan tie dan coat. Bila menghantar nangka dan lain-lain juadah ke masjid ia berpakain biasa. Senyum lebar bila nampak saya kerana saya kenal isterinya. Ganjaran dari Allah, hanya Allah yamg tahu. Cuma saya berpendapat orang Melayu harus mencontohinya. (Saya sudah terlambat dan hanya mendorong sanak saudara bertindak sedemikian rupa).

Yakin dan seronok dengan usaha sendiri dan jangan hirau jika ada orang memandang rendah.......

Dalam hal seperti ini suka saya kongsikan pengalaman saya dan partner saya dalam usaha membangunkan sebuah Tadika dan Taska ketika umur sudah senja begini. Ada juga kekawan yang komen bahawa usaha seperti ini tidak mendatangkan keuntungan besar, dan mungkin tidak ada keuntungan langsung. 

 "Berapa sen sangat untung, penat saje kita kerja", kata seorang darinya. Partner saya pernah cerita dengan saya. Kami berdua hanya senyum. Kami bukan mencari keuntungan wang ringgit. Biar Allah yang menilainya. Kami membangunkan Tadika dan Taska beraskan falsafah bahawa mendidik dari Hati yang beriman memberi kesan luar biasa pada anak-anak dan mendidik berasaskan prinsip mengenal Allah dari kecil lagi in sya Allah akan membuahkan hasil yang luar biasa mengenai jiwa fitrah yang kenal dan sayang pada Allah dan RasulNya. Maka yakin dan seronok kerana Allah sudah memadai.....

Dalam hal ini mari kita imbas kembali  kisah Nabi Nuh (Alaihisalam) bila ia membina kapal atas perintah Allah dan Nabi Nuh AS ditertawakan oleh umatnya kerana ia membinanya ditengah-tengah tanah daratan, jauh dari laut.


Gambar hiasan...bot nelayan di pantai di Pulau Belitung,
 dekat dengan pulau Sumatra.

Sebagai imbasan ringkas saya turunkan terjemahan ayat-ayat berkenaan untuk kita menilai diri dan berfikir-fikir berasaskan Ilmu yang Benar apabila kita ingin memberi komen atas sesuatu.

Surah HUD (11) ayat 38-45.
  • Dan mulalah Nuh membuat Bahtera. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh: "Jika kamu mengejek kami, maka sesungguhnya kami (pun) akan mengejekmu sebagaimana kamu sekelian mengejek (kami).
  • Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakan dan yang akan ditimpa azab yang kekal."
  • Hingga apabila perintah kami datang dan Tannur telah memancarkan air , kami berfirman: " Muatkanlah di dalam Bahtera itu daripada binatang, masing-masing sepasang dan keluarga mu kecuali orang yang telah terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkan pula) orang yang beriman". Dan tidak ada orang yang beriman yang turut bersama-samanya melaikan sedikit sahaja.
  • Dan Nuh berkata: "Naiklah kamu sekelian ke dalamnya dengan dengan menyebut nama Allah diwaktu belayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar maha Pengampun lagi maha Penyayang."
  • Dan Bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya , sedang anaknya itu berada di tempat yang jauh terpencil: "Wahai anakku! Naiklah (ke dalam Bahtera) bersama kami dan janganlah kamu berada bersam orang yang kafir."
  • Anaknya menjawab: "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!"  Nuh berkata: "Tidak ada yang melindumgi pada hari ini daripada azab  Allah selain Allah (sahaja) yang maha Penyayang." Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya, maka jadilah anak itu termasuk orang yang ditenggelamkan.
  • Dan difirmankan: "Wahai Bumi! Telanlah airmu dan dan wahai langit (hujan) , berhentilah." Dan air pun disurutkan, perintah pun diselesaikan dan Bahtera itu pun berlabuh di atas Bukit Judi dan dikatakan: "Binasalah orang yang zalim.
  • Dan Nuh berseru pada Tuhannya sambil berkata: "Ya Tuhanku , sesungguhnya anakku dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah hakim yang paling adil."

Sungguh besar pengajaran di sini. Jangan menyangka dan mendakwa kita tahu semuanya. Kita cuba laksana apa yang Allah tuntut, dan yang lainnya kita tawakal bulat padaNya. Kita diajar: Buat sahaja apa yang Allah suruh, pasti Rahmatnya bersama. Kalau ada masaalah pun kita bersabar dan terus berusaha. Yakin kan hati bahawa ALLAH ADA dan padaNYA sahaja kita bergantung harapan.

Semoga Allah memberkati usaha.
Aamiin ya Rabb.....

.....

Thursday, May 28, 2015

Pontian...bukan sekadar di hujung dunia.


Hari ini nama Pontian makin diketahui di mana letaknya. Dari Johor Bahru kalau ingin ke Tanjung Piai pun ramai yang akan melalui Pontian @ Pontian Kecil. Tanjung Piai itu letaknya di "Southern most tip of Asia". Kalau berada di situ bererti kita sudah berada paling selatan di benua Asia. Boleh rasa takjub dan rasa hebat.....




Saya berasal dari Pontian. Lahir dan di besrkan di Pontian. Kini sudah menetap di Petaling Jaya Selangor sejak mula bekerja dalam tahun 1974.

Sudah terlalu lama berhijarah.

Saya masih ada kakak dan sanak saudara di Pontian. Akhir sekali ke Pontian ialah awal tahun ini. Pontian dalam foto itu saya rakam semasa saya balik kampung dalam tahun 2010 dan untuk pertama kalinya ke Tanjung Piai. Pada saya Tanjung Piai cuma "indah kabar dari rupa". Tidak dibangunkan dengan baik ketika itu. Entahlah sekarang ini.....






Antara pemandangan di Tanjung Piai pada 2010.

Kini Pontian terkenal juga kerana Timbalan Menteri Kewangan  katanya adalah wakil rakyat Pontian di Parlimen yang sekarang banyak diperkatakan kerana "kebijaksanaannya" menjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi negara. Terkejut saya bila saya difahamkan YB itu dari pontian dan seorang yang berkelulusan baik di University. Ada yang berkata sendirian....biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.....Apa maksudnya saya kurang arif. Dan banyak sekali hal yang saya kurang arif mengenai kemerosotan ekonomi negara hari ini. Ada yang mengatakan kerana kewangan negara tidak di urus dengan baik. Tidak saya tahu.....

Namun tidaklah boleh kita menyalahkan seseorang kerana kekurangannya. Beliau  mungkin belum mendapat pengalaman sewajarnya dan belum diberi pendedahan secukupnya. Maka kita tunggu lihat kerana saya yakin pastinya ia akan membuat perubahan menepati tanggongjawabnya.

Cuma hari ini saya  merasakan sahaja kesannya sebagai rakyat yang kini sudah lama bersara dari perkhidmatan awam. Agaknya kalau saya masih bekerja beranikah saya berkata sesuatu mengenai kemelut ekonomi yang ada sekarang. Atau saya sama juga akan menikus.... sebab ramai bijak pandai dan orang politik pun hanya diam menikus. Masing-masing dengan sebab masing-masing dan kepentingan masing-masing. Kita dengar dan lihat......

Anak saya masih dalam perkhidmatan awam dan sering saya tanyakan apa reaksi pegawai awam mengenai kemelut ekonomi sekarang? Ia hanya senyum dan ada kalanya gelak dan berkata: "Mak bukan tak tahu sistem kita......."

Anak saya takut untuk berkata lanjut......!!!

Pada hari Selasa yang lepas saya bersama-sama hadir dalam majlis reunion murid-murid tua Sekolah Sri Perhentian di Pontian. Semasa saya meninggalkan sekolah saya, Pontian Government English School, dalam tahun 1964 selepas tingkatan lima, Sekolah Sri Perhentian Pontian baru bermula. Saya di jemput hadir kerana perjumpaan itu di adakan di dewan orang ramai di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya dan saya adalah antara jemaah di situ.

Ahli yang hadir adalah lebih 10 tahun muda dari saya dan saya hanya memerhati dan mendengari sembang santai mereka. Tidak ada yang bercerita hal negara. Ramai yang bercerita hal keluarga dan yang di sekeliling saya bertanyakan hal keluarga warga tua. Yang hadir lebih kurang 30 orang dan semuanya santai belaka. Tidak ada nama yang bergelar Dato atau Datin dan yang sepertinya. Saya berfikir agaknya orang Pontian suka duduk di pinggiran kerana itu lebih selamat dan selesa. Maka mudahlah YB Timbalan Menteri Kewangan itu mendapat laluan.  "Kepintaran" beliau tidak  ditandingani. Tetapi mungkin juga ada fakta-fakta lain.........Ustaz selalu berpesan jangan suka buruk sangka. Tidak ada manusia yang tidak ada kelemahan dan kekurangan. Semua kita ada masaalah yang zahir dalam berbagai bentuk. Ini termasuk saya.


Alahai Pontian......
Hanya bersantai di tepian laut. 
Rasa terkilan dan rasa bersalah juga menjadi rakyat Pontian
yang terkenal kerana sesuatu yang tidak menggembirakan.
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan  kaum itu yang berusaha mengubahnya. Hasil diakhirnya adalah hak mutlak Allah semata-mata.
Semoga anak cucu kaum kerabat saya sedang memikirkan.
Saya mendoaka semoga Pontian bertukar haluan, menepati tuntutan Fitrah yang Allah tentukan. Pimpinlah kami ya Rabb...

....

Tuesday, May 26, 2015

Awan mendung berarak rendah........





Apabila duduk termenung memikirkan hidup di 'tanah air' sendiri kebelakangan ini, makin rasa seperti sudah jauh lari dari rancangan awal untuk mengejar 'impian abadi'. Makin hari makin seperti awan mendung berarak rendah  dan saya memerhatikan sendiri langit mula menghitam. Tiupan angin makin kuat dan kebarangkalian akan hujan lebat hampir pasti. Jika berlaku semoga tidak mengundang banjir lebih besar dari yang pernah dialami dan mengakibatkan bencana yang luar dugaan. Masih terpaku ingatan betapa susah dan sulit hidup ini jika hilang haluan, hilang tempat pautan.

Semoga Allah melindungi dari berlaku. Begitulah ibaratnya kemelut pertarungan dan pertaruhan ekonomi dan politik dalam negara ini sekarang.

Kata pepatah budaya Cina: Ikan busuk dari kepalanya. Ia juga bererti sesuatu organisasi, sama ada keluarga, syarikat atau negara, kebobrokan dan kepincangan     bermula dari masaalah kepimpinannya. Contoh mudah pada organisasi keluarga. Sekiranya ibu dan bapa berakhlak mulia, berwawasan yang syar'ie dan rajin berusaha tanpa mengira penat lelah, bijak mengurus anak-anak dan pendidikannya terjaga, maka besar kemungkinan keluarga itu akan berjaya dan bahagia dunia akhirat dengan izin dan kehendak Allah yang sentiasa memerhatikannya. Jika tidak keluarga itu akan sentiasa dilanda kesulitan-kesulitan hidup yang kadang kala mendorong kepimpinan keluarga membuat keputusan dan mengambil tindakan yang akhirnya memusnahkan keharmonian hidup bersama.

Di negara kita sekarang saya merasakan kecelaruan Pentadbiran peringkat atasan sedang berlaku, terutamanya yang sedang hangat sekarang ialah di bidang ekonomi dan keselamatan negara. Saya bukan ahlinya maka saya hanya ingin berkongsi apa yang terasa didada. Penat juga memikirkannya kerana bimbang anak cucu yang masih muda dan masih kecil lagi..... bagaimana masa depannya.

Isu kewibawaan pemimpin amat saya geruni kerana jika Allah mahu menurunkan kesususahan atau musibah, semuanya akan merasainya. Saya berdoa apa yang sedang berlaku hanya merupakan satu impian ngeri dan hakikatnya tidaklah seperti yang dikhuatiri. 

Dalam sejarah berbagai bangsa dari beberapa abad yang lalu sudah  kita maklumi bagaimana kerajaan boleh runtuh dalam kemelut perebutan kuasa. Kita maklumi juga bagaimana negara boleh menjadi miskin dan papa kedana kerana pengurusan sumber ekonomi tidak diurus dengan rasa tanggongjawab oleh mereka yang diberi amanah untuk mengurusnya. Berbagai lagi yang sudah kita ketahui. Bunuh membunuh pun berlaku dan revolusi oleh rakyat menjadi fenomena untuk  menyekat kebebasan dan menjadikan hidup harian seperti hidup dalam penjara terbuka.

Rata-rata boleh kita rumuskan bahawa keruntuhan negara adalah disebabkan oleh nilai hidup yang dipegang oleh manusia  yang tidak mengenal siapa Tuhannya dan tidak percahaya bahawa hidup ini bukan berkesudahan di sini sahaja. Justeru untuk damai dan selesa kita harus kembali pada hukum Fitrah yang telah di gariskan oleh yang maha Pencipta. Jangan tunjuk pandai mengikut rasa hati dan pemikiran sendiri dan merasa angkuh dan sombong mendabik dada dengan kekayaan diri dan kuasa yang dimilikinya.

WaAllahu'alam. Saya manusia dan rakyat biasa. Semoga Allah belum murka yang tidak ada peluang dan ruang bagi kita untuk kembali padaNya. 

Ya Allah lindungilah kami dari musibah menimpa. Ampunilah kami dan tunjukilah kami jalan-jalan yang membawa pada RahmatMu semata-mata.
Aamiin ya Rabb.....

.....

Sunday, May 24, 2015

Dengar dan Lihat....





Sepertinya dunia sudah tua. Daun-daun sudah berguguran. Ibaratnya dunia ini sudah hampir pada usia yang Allah tentukan. Kita hanya mampu memikirkan.

Saya pun sudah tua, jauh melebihi setengah abad. Dahulu bila baru sampai setengah abad dan masih bekerja, minda belum memikirkan betepa pendek dan singkat usia dunia ini, dan usia diri sendiri. Kini sudah hampir mencecah 70 tahun, maka banyak yang perlu diambil tindakan segera walaupun kederat sudah tidak lagi seperti dahulu kala.

Rasa badan seperti tidak terdaya. Silap sikit imbangan badan menjadi mangsa dan tempuh hari jatuh ke lantai dari pangkin yang tidak disedari ada. Ingatan lupa bahawa  saya berada di rumah saudara dan besegera dengan rutin harian tanpa menyedari apa yang di sekeliling tidak serupa. Mujur juga hanya sedikit yang "cedera". Ibu jari kanan masih belum boleh berfungsi seperti biasa. Masih sakit dan belum mendapat rawatan urut dengan 'pakar' yang saya sudah biasa.

Hidup harus diteruskan......

Kebelakangan ini hati tersedih kerana saya kehilangan anak saudara yang istimewa hubungannya dengan saya. Saya mendengari pula beberapa teman semasa bekerja juga tiada dan seorang teman di pejabat dahulu kini sakit yang belum dapat saya ziarahi kerana sibuk dengan kebajikan ahli keluarga yang juga perlu di bantu segera.

Dalam pada itu saya juga kebingungan bila membaca dan mendengari berita-berita di media sosial yang berkaitan dengan integriti kepimpinan negara. Saya hanya mampu dengar dan lihat sahaja. Dunia sudah tua namun masih ada yang belum yakin hari-hari kita pun sudah dihitung panjangnya. Kata orang tua-tua: Takkan mahu hidup menongkat langit, mahu berkuasa, mahu bermewahan sepertinya dunia ini kita punya. 

Saya khuatir.......
Dan saya pasti juga ramai yang khuatir tetapi tidak mampu berbuat apa dari segi menukar stuktur kepimpinan yang ada. 

Maka kita dengar dan melihat sahaja....

Oh tidak !  kata seorang teman pada saya. Kita harus terus bermunajat dan memohon pertolongan yang maha Esa, yang maha Berkuasa atas segala-segalanya. Itu selemah-lemah usaha yang menunjukan kita tidak putus asa. Kita bersedia. Ujian Allah turun dalam berbagai rupa. Tetapi kita ingat juga Allah tidak menyusahkan hamba-hambanya dengan senghaja. Subhanallah ! Maha suci Allah dari sifat-sifat demikian cara.

Kemelut dalam negeri belum namapak penyelesaiannya. Belum namapak usaha pihak kepimpinan negara berbicara secara terbuka supaya rakyat rasa lega. Kerana kemelut dalaman belum terurai, kita tidak dapat bertindak sewajarnya menangani kemelut kemanusia dari jiran tetangga. Tentang isu pelarian mencari perlindungan, kita hanya seperti mendengari dan melihat sahaja. Kita bermewahan tetapi saudara kita kelaparan dan keselamatan mereka terancam. Ia  tidak langsung mencuit perhatian kita.

Saya rasa berdosa....
Namun saya rasa tidak cukup hanya mengatakan saya tidak berdaya. Masaalah ini terlalu besar buat saya. Kalau kita ditempat mereka......agaknya bagaimana rasa?

Agaknya bagaimana rasa ?.........




Dunia semakin senja.....Tanda-tanda akhir zaman semakin nyata. Kita masih bertangguh usaha.......

Bagaimana nanti bila sampai masanya kita dipertanggongjawabkan juga kerana hanya mendengar dan melihat sahaja. 

Soalan yang saya sendiri tidak ada jawapannya. Bila ada kepimpinan luar negara yang berkata: Di mana ada laungan Adzan di udara, di situlah Tanah Air kita,.....saya merasa gerun tersentak fikiran, seperti menggeletar tubuh badan mengapa saya hanya mendengar dan melihat sahaja.

Mereka yang jauh berusaha sedaya upaya mahu membela kemanusiaan yang dianiyaya. 
Adakah kita yang dekat gamak hati  hanya mendengar dan melihat sahaja.
Saya rasa berdosa.......

Subhanallah, Allahuakbar.

.....

Saturday, May 23, 2015

Seorang Pengemis, sentiasa sahaja mengemis.........





Kita mengemis dengan Allah swt.  Kita mengemis kasih sayangNya, mengemis padaNya semua yang kita perlukan sebagai manusia ciptaanNya yang lemah lagi amat fakir dalam semua segi. Rasa tidak layak,.......Namun  hanya padanya kita bergantung harapan dan cukup sudah Allah sebagai pelindung. Dia yang maha gagah perkasa.

Itu rintihan hati yang terpaku pada sanubari terutamanya apabila saya mengikuti perkembangan derita rawatan sakit anak saudara saya di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru baru-baru ini. Ia sudah pulang kerahmatullah hari Rabu 20 Mei yang baru lalu setelah hampir dua bulan menerima rawatan rapi. Satu peristiwa yang amat berbekas di hati saya. Sudah suratan Takdir yang maha Pencipta. Tidak sesaat awal dan tidak sesaat lewat. Sabab-musababnya ialah sakit diabetis yang kronik. Subhanallah.


Saya tempatkan diri saya seorang pengemis yang amat memerlukan pertolongan semoga anak saudara saya ini mendapat belas ihsaNYA yang luar biasa. Semoga ia sembuh seperti sedia kala adalah harapan menggunung dalam hati saya. Namun apakan daya. Saya rasa amat insaf dan rasa amat kerdil di sisi Allah. Semoga Allah menganugerah yang terbaik buatnya dan Allah meredhainya, mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkan Ruhnya bersama Ruh para solihin. 

Dia anak saudara tetapi ia juga adalah teman akrab sebab kami sebaya umur kerana dia anak kakak yang sulung dan kami membesar bersama di bawah satu bumbung kerana kakak sulung saya tinggal bersama Emak  setelah berpisah dengan suaminya. Kami pergi sekolah bersama, main bersama, menolong kerja rumah dan kerja kebun bersama-sama.  Walaupun kami tinggal berjauhan setelah masing-masing bekerja dan berumah tangga , kami tetap rapat mesra.

Kini saya rasa amat kehilangan. Foto di atas itu mengingatkan saya rupanya yang tenang menanggung sakit dengan senyap-senyap. Seperti ibunnya (arwah kakak sulung saya) ia tidak menyusahkan anak-anaknya.Tidak kedengaran mengeloh mengenai sakitnya, maka apabila perlu ke hospital keadaanya sudah amat tenat. Semoga ia menjadi penghapus semua dosa-dosanya dan Taman-taman Indah menantinya. Semoga kami bertemu di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahmat Allah semata-mata.

Aamiin ya Rabb......

Belum selang beberapa hari saya menemui Doktor pakar di IJN  (Institut Jantung Negara) saya mendapat berita yang amat memilukan hati saya. Berita yang menggembirakan saya mengenai jantung saya tenggelam begitu sahaja kerana amat rungsing memikirkan kemungkinan saya akan kehilangan anak saudara saya ini. Semoga Ketentuan Allah adalah yang terbaik baginya. Setiap yang hidup pasti mati. Itu disebut dalam alQuran. Tiada siapa yang dapat melarikan diri. Orang-orang solih bertaraf moqqarrabiin tidak risau menghadapi mati. Saya sendiri masih rasa takut.........

Walau pun saya rasa lega dan bersyukur jantung saya tiada masaalah, namun saya tidak melupai hakikat bahawa Kita mati maka Jantung berhenti dan bukan Jantung berhenti maka kita mati. Kematian tidak menanti tua atau muda, sakit atau sihat. Maka kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersedia. Semasa pemeriksaan di buat sebulan yang lalu saya amat khuatir kerana saya manusia biasa. Banyak tanggong jawab yang belum selesai dan rasa belum sempurna memenuhi syarat-syarat Pengabdian pada yang maha Pencipta. Hati ini masih selalu alpa, masih selalu terjebak-jebak dengan hal-hal yang tidak ada nilai tambah untuk mendekatkan diri padaNYA.

Maka setiap hari saya mengemis....
Minta diampuni, disayangi, minta diredhai olehNYA.Semoga sejahtera abdi dalam pelukan RahmatNYA.

Aamiin Ya Rabb....

.....

Tuesday, May 19, 2015

Mengenang budi Ustaz Abrar...


Ini Ustaz Abrar, kini Allahyarham Ustaz Abrar. Beliau meninggal muda 
setelah Allah sebabkan dengan sakit kanser.

Semasa saya di Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan,
Beliau di Jabatan Pendidikan Islam.
Kemudian beliau di lantik menjadi penolong Attache Pendidikan
 di Malaysian Student Departmrnt di negara Jordan.
Saya tidak banyak berinteraksi dengan beliau. 
Cuma semasa di Jordan bertugas rasmi,
 saya berhubungan dengannya kerana anak saya ingin mendaftar 
di mana satu University di sana.
Beliau banyak membantu dan memudahkan saya mendapatkan tempat 
anak saya di University Mu'tah. 

Anak saya dan pelajar-pelajar lain sukakannya kerana amat prihatin 
dengan kebajikan pelajar.
Saya senang hati selama mana beliau di sana. Malangnya beliau di salah tafsir
 tentang kegiatannya dengan pelajar. 
Saya mendapat tahu beliau diarah pulang.

Saya memahami kerja-kerja beliau. Selalu sahaja berhadapan
 dengan krisis yang sukar di tangani.Silap faham selalu berlaku kerana aktiviti pelajar di seberang laut ada berbagai rupa dan karenah.
 Pelajar dilarang berpolitik. Tetapi Kerajaan Malaysia membenarkan 
penubuhan Kelab UMNO. 
Maka sering ada pertelingkahan pendapat. 
Yang tidak bergabung dengan Kelab UMNO selalu sahaja disangka buruk. 
Maka kerana itulah Ustaz Abrar mungkin 
 tidak mendapat tempat di minda dan hati kepimpinan
kerana kurang berjaya menyatukan hati-hati pelajar.
Pada saya bukan Ustaz Abrar yang harus dipersalahkan.
 Pelajar-pelajar sudah matang
 dan bijak berfikir.

Itu yang saya rasai kerana saya bertanggungjawab
 mengenai naik pangkat dan tata tertib 
pegawai-pegawai di Bahagian Sumber manusia. 
Saya tahu apa yang rahsia dan apa yang nyata.
Tetapi saya telah bersara dahulu dan hanya dapat menyangka sahaja.
Tidak baik bersangka buruk. Semoga saya tidak terjebak dengan fitnah.

Apakan daya..... 
Kini Ustaz Abrar sudah tiada. Saya menghargai jasanya, 
yang rasmi dan yang peribadi. 
Beliau pegawai yang rajin dan berwibawa.
 Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan menerima kerja-kerjanya 
sebagai sebahagian dari amal solehnya.
dan  semoga Allah menerima Ruhnya dan menempatkannya
 bersama-sama Ruh para Syuhada', Sidiqin dan Solihin.

Aamiin ya Rabb...

......

Thursday, May 14, 2015

Dia masih berbakti....




Agenda bermusafir ke Gua Musang menemukan saya dengan berbagai detik istimewa dalam melalui tamadun manusia. Bukan sahaja saya dapat menjalin silaturrahim dengan penduduk kampung Felda tetapi saya dapat juga mengimbau kembli cara hidup kampungan yang telah lama ditinggalkan.

Ini haiwan yang masih berkhidmat pada tuan rumah "homestay" yang memberi kemudahan bermalam semasa kami di Felda Chiku 7 selama 2 hari. Tugasnya seperti dahulu kala juga.



Dia mahir memetik buah kelapa yang terdapat sedikit-sedikit di kampung itu. Ia berkhidmat bakti bukan hanya pada tuannya tetapi juga jiran tetangga dan siapa sahaja yang memerlukannya. Cara hidup bergotong royong atau tolong mrnolong seperti ini sudah tidak terdapat di bandar-bandar. Bukan maksud saya memetik buah kelapa tetapi gotong royong membersihkan masjid contohnya. Kita sudah terperangkap dalam budaya "nafsi-nafsi".....engkau hal engkau akau hal aku. Sedih juga memikirkannya kerana ramai manusia yang tidak lagi suka memberi khidmat percuma. Semuanya mahu dibuat secara upah. Budaya memberi tanpa mengharapkan balasan sudah rapuh sedikit demi sedikit.

Kita sudah banyak menjadi mangsa "consumerism". Semuanya mesti diterjemah dengan wang ringgit atau dengan kebendaan. Budaya infak tidak menjadi kebiasaan harian. Kita menunggu mengikut peristiwa tertentu. Mithalnya di bulan Ramadhan dan sepertinya. Secara umumnya kita sudah ketandusan dengan jiwa suka memberi. Ramai kita menanti di jemput atau dihubungi untuk memberi. Tidak ramai yang suka memberi tanpa diminta. Katanya takut mereka yang menampilkan diri sebagai dhaif sebenarnya hanya berpura-pura. Mereka menagih belas kasihan tetapi tidak mahu berusaha bermati-matian untuk berdikari sendiri tanpa meminta-minta. Itu mungkin ada juga betulnya.

Ada hadith sahih yang meriwayatkan seorang perempuan tua di Madinah, di zaman Rasulullah sallahualaihiwasalam, yang membuat kerja sukarela menyapu kawasan masjid dengan penyapu biasa kerana dia seorang yang miskin dan hanya mampu sumbangan menyapu kawasan masjid. Suatu hari Rasulullah tidak nampak perempuan tua ini dan baginda bertanyakan sahabat dimana gerangan dia waktu itu. Baginda diberitahu dia sudah meninggal. Rasulullah meminta ditunjukan pusaranya. Baginda ke sana dan berdoa. Katanya perempuan tua ini adalah ahli Syurga.

MasyaAllah. Nampk kecil sahaja sumbangannya. Tetapi keikhlasanya yang Allah nilai dan juga kegigihan usahanya.

Saya pun lemah dalam hal ini. Ayuh kita sama-sama menguatkan minda dan tekad dihati untuk berbakti walau kecil atau nampak remeh dan mudah saja pada mata ramai. In sya Allah di sisi Allah ia suatu yang besar asal sahaja ia lahir dari hati yang yakin beriman dan bertaqwa  padaNya dan berbakti semata-mata keranaNYA. 

Jom......


Taman Indah di perkarangan rumah Felda Chiku 7, Gua Musang.
Ini laman di depan rumah "homestay" di mana kami tinggal 2 hari secara percuma termasuk makan minum.
 Sungguh mulia hati tuan rumah, Miskin tetapi suka berbakti.
Semoga diberkati Allah jua.

...

Wednesday, May 13, 2015

Ku cuba ikut jejak Pejuang ....



Dari Allah kita didatangkan dan kepadaNya kita akan dikembalikan.


Sudah melebihi 3 bulan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Allah jemput kembali ke pangkuanNya. Saya yakin ramai lagi  yang terus rasa kehilangan walaupun ada juga yang rasa lega Allahyarham Tuan Guru sudah tidak ada di sampingan.

Saya masih rasa kehilangan......masih kerinduan mendengari suaranya.

Saya tetap ingat padanya dan semoga ingatan itu memperkuat hati saya jitu mahu sentiasa mencintainya, mencontohinya dan meneruskan perjuangannya....iaitu mendirikan Kebenaran kerana Kebenaran itu tetap Kebenaran dan ia tidak pernah  memihak pada sesiapa. 

Saya mula mengikuti jejak langkah TGNA  dalam politik awal tahun lapan-puluhan. Itupun bukan secara aktif tetapi hanya melalui pembacaan dan perbincangan tidak rasmi antara teman-teman sehaluan dan seperjalanan. Subjek 'Inernational Relations and politics' adalah salah satu kertas yang saya ambil semasa di peringkat Sarjana Muda di University Malaya dalam tahun akhir enam-puluhan. Maka gerakan politik dalam koteks pembangunan ummah di mana jua memang menjadi minat saya. Tetapi setakat minat sahaja dan saya langsung tidak aktif dalam politik dahulu dan sekarang. Namun saya tetap peka tentang politik. Saya berbincang hal politik dalam keluarga  termasuk keluarga besar saya semata-mata sebagai wasilah memahami apa yang berlaku di negara sendiri dan di negara luar sana.

Dalam Islam kita dituntut memelihara hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Maka saya percaya tidak lengakap hidup kita jika tidak ada kepedulian dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Tidak cukup hanya menjadi 'bystander atau spectator', tidak ada komitmen yang nyata dalam bentuk yang sesuai dalam konteks kemampuan diri dan kemampuan kerjaya.

Dari sejak saya memahami dan mengenali sedikit-sedikit apa itu politik dan dari pengajian mengenai Islam secara beransur-ansur, saya mula rasa tidak selesa berada di pinggiran dan menjadi pemerhati semata-mata, merungut-rugut sendirian.  Maka pada penghujung tahun 1986 saya memberanikan diri untuk masuk menjadi ahli PAS seumur hidup. "Card carrying member" semata-mata. Hanya beberapa tahun kemudian saya memberi tahu Boss saya bahawa saya memihak pada Pas setakat memegang kad keahlian sahaja. Saya masih ingat Boss hanya melihat saya tanpa berkata apa-apa......

Pada masa yang sama saya terdorong untuk menambah Ilmu, dan pada tahun 1985 -1987 saya menghadiri program Diploma Pengajian Islam di University Kebangsaan Malaysia disamping mengikuti kelas-kelas pengajian di sana sini di Petaling Jaya tempat saya tinggal. Saya juga mengikuti Diploma Islamic Studies di International Islamic University pada tahun 1990. Kedua-dua diploma itu diikuti secara sambilan di hujung minggu.

Bagaiman mahu mengikut jejak Tuan Guru Nik Aziz (atau siapa jua) jikalau tiada Ilmu sama sekali di dada. Kalau bukan kerananya pun, saya seharusnya menimba Ilmu kalau mahu berjaya Dunia dan Akhirat. Perjalanan hidup saya berliku-liku, ada kalanya tegelincir dan ada kalanya terbabas. Saya harus bangkit semula dan mencari jalan kembali pada jalan -jalan yang sah untuk mencapai hakikat yang Benar.  Maka menjadi lebih bermaknalah usaha saya mempelajari Islam di mereta tempat, cuba mengikuti guru yang Mursyid.

Namun saya menyedari bahawa ilmu saya  amat sedikit sekali, tidak mencukupi untuk memungkinkan saya berhujah atas apa jua dan di mana jua. Kata pepatah KALAU KAIL PANJANG SEJENGKAL, JANGAN LAUTAN HENDAK DIDUGA. Sangat tepat . Hanya saya bersemangat tinggi kerana beberapa teman di luar dan dalam perkhidmatan  memberi galakan dan menunjuki jalan bagaimana dan di mana mencari guru yang mursyid, dan Ilmu yang mana yang harus diberi keutamaan. Saya intai-intai juga Ilmu Tarekat dan saya mengikuti seorang guru hingga ke Hulu Dong untuk 'uzlah'. Saya sudah meninggalkannya untuk beberapa tahun kerana sudah kehabisan teman ke arah itu. Mula-mula saya tinggalkan kerana saya tidak mencukupi masa berkejaran seminggu sekali (paling tidak) untuk berzikir dan bersolawat secara kumpulan. Ketika itu saya berumur 44 tahun, tak silap saya. Kini saya sudah 68 tahun, tetapi masih jauh dari mencukupi untuk menerajui apa-apa tindakan seperti saranan TGNA. 

Perjalanan mencari Redha Allah bukan suatu yang mudah. Saya dan suami melalui berbagai kerumitan menduga kesabaran. Mugkin itu ujian Allah kerana redha Allah itu perlu didahului dengan maghfirahNYA. Suami dan saya bertekad untuk mendapat kurnia taubat nasha, apa jua harus diharungi.

Alhamdulilah....dengan izin Allah saya rasa agak dapat bertapak dari segi pendirian saya dalam menghadapi masaalah  sosial yang berkaitan, di kalangan staf dan keluarga vis-a-vis pergolakan politik dalam negara. Belum mencukupi tetapi tidaklah saya terkapar-kapar. Orang pertama yang saya cuba dekati dan menukar pendiriannya ialah Ibu saya sendiri. Alhamdulilah semoga Allah meredhainya dan semoga ia sedang beristirihat di Alam Barzah.

Sebenarnya tugas saya ketika itu tidak ada kaitan secara langsung dengan wujudnya PAS dan Tuan Guru Nik Aziz hinggalah ke satu masa saya di tugaskan khas mengurus lawatan YAB Perdana Menteri ke Kelantan untuk perasmian Jambatan yang di bina oleh kerajaan Persekutuan. Ketika itu saya bertugas di Kementerian kerja Raya dan hal-hal Majlis dan Protokol adalah di bawah tanggong jawab saya.

Lawatan itu adalah lawatan kali pertama  YAB PM setelah Kelantan jatuh ke tangan PAS dan suasana politik agak sensitif, pada rakyat jelata dan juga kakitangan perkhidmatan awam. 




Dalam kembara saya ke Kota Bahru dua minggu yang lalu, saya melihat sekali lagi rupa Jambatan Salor yang saya ditugaskan untuk mengurus Majlis Perasmian Jambatan ketika itu.

Foto disebelah kiri ini ialah permulaan masuk laluan Jambatan. Agak berdebar rasa di hati menyingkap kembali peristiwa Majlis yang hingga kini tidak dapat saya lupakan dan akan saya ceritakan dalam entry kali ini sebagai menganalisa hati budi manusia, dan adab berurusan dalam mentadbir jentera kerajaan. Dari peristiwa ini saya amat menginsafi diri.


Ini laluan di atas Jambatan Salor

Sudut pandang dari aras bawah.

Jambatan Salor melalui di atas Sungai Kelantan

Mengingat kembali peristiwa tahun awal sembilan-puluhan (1991)  hati saya berdebar kerana ia ada kaitan terus dengan sentimen saya berkaitan dengan tugas  Allahyarham TGNA ketika itu.

Saya menjadi pengerusi Jawatan Kuasa mengurus Majlis perasmian. Ia tugas biasa yang menjadi luar biasa kerana ia melibatkan TGNA ketua Kerajaan PAS Kelantan yang menang luar biasa dalam pilihanraya, dengan YAB  Dr Mahathir Perdana Menteri Malaysia di mana penyokong-penyolongnya rasa tercabar dengan kemenangan itu. 

Saya diminta oleh penyokong-penyokong kuat BN di Kelantan supaya majlis itu tidak menempatkan TGNA dalam satu khemah dengan YAB Dr Mahathir. Pelik sekali permintaan itu. Saya amat menjaga tata tertib majlis dan Protokol Federal dan Negeri, maka saya tidak menerima permintaan itu. Walaubagaimanapun saya sentiasa melaporkan apa yang berlaku pada Ketua Setiausaha Sulit PM supaya saya tidak dikejutkan dengan apa-apa yang akan membuat Boss saya di Kementerian Kerja Raya marah pada saya.

Untuk memendekan cerita,  semua hal protok selesai di mana TGNA duduk di kanan YAB Perdana Menteri.

Sebagai pengerisi saya meminta kerjasama semua ajensi kerajaan dan separa kerajaan untuk menjalankan tugas tanpa mengira pilihan hati. Ikut peraturan pentadbiran supaya semua berjalan licin.

Maka saya sendiri meminta Jabatan Polis lalulintas untuk memastikan laluan TGNA ke khemah Majlis boleh dilalui tanpa ganguan kenderaan awam. Demikian juga dengan laluan yang akan diambil oleh YAB PM Dr Mahathir.  Sampai hari dan waktunya saya berdiri di atas jalan di hadapan khemah membuat arahan-arahan yang perlu. Sepatutnya TGNA tiba sekurang-kurangnya 15 minit sebelum ketibaan YAB PM. Malangnya bila samapai detiknya TGNA tidak muncul lagi. Saya rasa nervous dan cemas dan saya cari ketua Polis yang bertanggongjawab hari itu. Katanya jalan di halang oleh kenderaan orang awam dan dia tidak dapat mengawal. Ini satu jawapan yang membuat saya amat marah kerana implikasinya ialah ada perbuatan "sabotaj" supaya TGNA lewat dan boleh memalukan.

Saya terdiam seketika dan hanya berdoa memohon pertolongan yang Maha Bijaksana dan maha Berkuasa.

Di takdirkan pula dari sebelah hala lauan YAB PM berbagai acara rasmi oleh penyokong YAB PM mengadakan 'mini Acara"  sendiri yang tidak dimaklumkan pada saya sebagai pengerusi persiapan. Itu juga membuat saya agak marah tetapi saya bersabar. Rupa-rupanya acara itu telah melambatkan ketibaan YAB PM ke  khemah Perasmian dan TGNA sempat sampai dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang satu kilometer. 

Subhanallah, Allahuakbar. Turun pertolongan dari Allah yang tidak saya sangka- sangka dan saya pasti penyokong BN pun tidak menyangka TGNA akan selamat sampai. Tidak nampak di wajahnya kepenatan. Dalam 2 minit Beliau menanti ketibaan PM, maka PM pun sampai.  Mereka berjabat tangan penuh senyuman dan beriringan turun  dan duduk di khemah untuk memulakan Majlis.

Saya bersyukur, dan rasa amat lega. Alhamdulilah. Kata orang "the rest is history......" Itu pengalaman dan merupakan peristiwa pahit manis dalam sejarah perkhidmatan awam saya.

Sejak hari itu senyap-senyap saya mengikuti apa jua berita mengenai TGNA yang termampu. Saya bertambah suka dan yakin padanya. Saya menghormati PM Dr Mahathir hingga kini. Biar Allah swt yang menyatukan hati-hati mereka. Peristiwa itu menjadi satu pengajaran pada saya dan cuba menghayati erti keyakinan pada pertolongan Allah, erti kesabaran dan erti maaf memaafkan. Saya masih ingat pada malam itu saya cuba lupakan penat dan stress yang saya alami. Saya ajak staff dan pegawai saya pergi makan durian sepuas hati. Alhamdulilah.....





Hati saya berbunga-bunga mengingt kembali peristiwa itu dan kini saya rasa amat kehilangan seorang mentor. Insya Allah saya akan cuba mengikut jejaknya... berkhidmat untuk kemanuasiaan kerana Allah. Dia mengajar supaya berani kerana Benar dan bertidak dengan Ilmu, Iman dan taqwa. Doa merupakan senjata yang unggul dan sentiasa berusaha untuk mencapai tahap Ehsan terhadap Allah dan semoga Allah meredhai dari dunia hingga akhirat dan menganugerah Suyrga FIrdaus tanpa hisab dengan RahmatNya semata-mata.

Apapun yang berlaku sekarang dalam perjuangan Parti yang dahulu didukung oleh TGNA, saya secara peribadi akan hanya Setia pada Kebenaran. (meminjam istilah Ustaz Hasrizal di Saifulislam.com). Saya mengikuti perkembangan dan perjuangan untuk menegakkan Kenenaran di Malaysia kini dan ada pertelingkahan pendapat dan strategy. Saya membaca dan memerhatikan.

Saya akan hanya Setia pada Kebenaran dan semoga Allah akan memelihara mereka yang Ikhlas pada Kebenaran kerana KEBENARAN tidak pernah memihak. Yang Benar tetap Benar.

Koleksi Gambar2 Dan Kata2 Tok Guru Nik Aziz's photo.

ALLAHUAKBAR!
...


Tuesday, May 12, 2015

Nikmat umur 68 @ 70





Ibarat pohon tua ini.....

Sudah amat tua dari rupa batangnya. Tetapi ia masih kuat mengharongi banjir besar di Kelantan dan Pantai Timur baru-baru ini. Ia tidak tumbang ! MasyaAllah......

Saya ambil foto ini semasa musafir saya ke Gua Musang dan Kota Bahru. Saya dan teteman berhenti minum di warung kecil di tepi jalan di bawah pohon ini di bandar Kuala Krai. 

Maka teringat umur saya seperti itu. Hari 12 Mei adalah hari lahir saya. Umur 68 @ 70 mengikut tahun Hijrah. Alhamdulilah...masih kesampaian hingga kini.

Amat tua......namun saya sentiasa berdoa mohon  semoga Allah menganugerah umur yang bermunafaat. Pohon ini masih berjasa. Rendang dan redup nyaman di bawahnya. Saya juga ingin berjasa semoga Allah  memberkati usaha saya. Kecil sahaja....semoga masih ada kederat dan kekuatan minda untuk terus mencuba dan bergantung harapan hanya padaNya.

Dalam al Quran Allah berfirman:
A005
Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
(Al-Hajj 22:5) |
Semoga umur tua saya bermunafaat, saya sihat dan tidak pelupa. Dan semoga Allah masih kurnia ruang dan peluang untuk berbakti kerana NYA semata-mata.


Subhanallh, Alhamdulilah, Allahuakbar.

Monday, May 11, 2015

Pulang menggamit kenangan....




Rasanya macam masih belum mahu pulang ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru. Masih belum puas melihat perubahan yang ada sejak ke sini hampir sepuluh tahun yang lalu. Tetapi hidup ini bukna sentiasa memberi kita peluang untuk melayan rasa hati. Tidak selalu kita dapat merasai seolah-olah hidup ini merupakan satu pilihan.

Seorang teman berkata: hidup kita ini hanya ada  dua pilihan. "IKUT atau MAUT". Bukan begitu. Ia hanya bermaksud buat yang Syari'e atau buruk padahnya.

Dalam perjalanan pulang kami singgah di Tanah Merah di kawasan Felda keluarga anak angkat kami. Widad namanya. Kami disambut oleh keluarganya penuh meriah dan kami dijamu laksa Kelantan yang amat istimewa masakan ibunya. Tiada bandingan sedapnya hingga malam itu saya tidak perlu makan malam sampainya kami di Gerik. Alhamdulilah.

Di bawah ini saya rakam buat kenangan foto keluarga yang memahami perjuangan anaknya.



Kasihnya Ibu membawa ke Syurga. Kasihnya saban masa, tidak kira.
 Ia seronok melihat anaknya kini dewasa dan punya fikiran menjadi pembela mereka orang di desa yang mahu membina hidup selesa, sekadarnya.
Bukan mahu hidup selesa hingga tidak mengira hak sesiapa,
 jiran tetangga atau siapa sahaja. 
Dia dilahirkan di desa Felda, hatinya terpaut luar biasa hingga jika ada sesuatu berlaku di desa Felda yang lain dia akan merasai seperti ia rasa itu desanya.
Maka kami ke Gua Musang mahu membantu mereka
 di desa Felda di gugusan Chiku.

Belum selesai tetapi kami harus pulang dan Widad akan membuat kunjungan berterusan membantu dimana diperlukan.



Waktu senja kami meneruskan perjalanan dan bermalam di Gerik.


Budget Hotel di Gerik. Malam itu jam 9 malam bebrapa Hotel sudah penuh. Maka kami pilih sahaja Hotel Sri Temenggong ini kerana takut jika memilih sangat kami terpaksa tidur di kereta. Itu bahaya.....



Esuk selepas Solat Subuh, kami terus bersiap dan meneruskan perjalanan. Namun kami mencari tempat makan untuk Sarapan. Hanya restoran Mamak ini yang sudah buka dan bersedia. Kami masuk senang hati menjamu selera. Roti canai, nasi lemak, Telur dan sebagainya. Di Gerik satu daerah yang asing bagi kami, sarapan seperti itu amat enak dan kami bersyukur atasNya. Alhamdulilah. Semoga pagi penuh barakah.

Ramai pelanggan pagi itu. Setengahnya mereka seperti kami nampaknya. Mahu meneruskan perjalanan. Malamnya saya kurang lenyak tidur sebab Gerik mengingatkan saya beberapa peristiwa semasa saya bekerja di Kementerian Kerja Raya dalam tahun akhir 1980an. Saya sering mendengari cerita-cerita para jurutera senior yang terlibat dengan pembinaan  Lebuhraya Timur Barat itu dan bagaimana mereka mengambil risiko berkhemah di lokasi walaupun mereka tahu tentera "komunis" ada di seberang batasan boundry sempadan Thailand. Saya pernah lalu di Lebuh raya ini  mungkin lebih 20 tahun yang lalu, tetapi sudah tidak kelihatan serupa sekarang. Sudah ada beberapa pekan kecil di perjalanan. Maka tidak rasa sangat khuatir jika terpaksa berhenti kecemasan. Satu kenangan.....

Semasa bersembang sewaktu sarapan, kami bertemu dan bersilaturrahim dengan penduduk tempatan. Kami jemput minum sama tetapi ia enggan dan ia mendekati tempat duduk kami seronok berkenalan. Sunggu ceria orangnya. Banyak yang diceritakan mengenai bandar Gerik ini dan ceritanya penuh lawak yang membuat kami riang. Dia memeperkenalkan dirinya sebagai Haji Halim. Katanya dia terkenal di Gerik sebagai seorang yang bolih memberi pertolongan jika ada keperluan khusus seperti tempat merawat kereta dan sebagainya. Itu indahnya bandar kecil. Tidak seperti bandaraya Kuala Lumpur atau Petaling Jaya dan yang lainnya. Masih ada budaya mesra yang boleh diharapkan. 

Usai makan dan bersembang mesra buat seketika, kami memohon diri untuk meneruskan perjalanan pulang. Kami singgah di Sungai Batu di Selama Kedah untuk ziarah saudara di kampung suami saya  sambil meninjau perkembangan memajukan tanah Pusaka warisan Allahyarham ayahnya. Sungai Batu tidak membangun seperti diharapkan dan jalanraya pun baru sahaja siap untuk kegunaan. Mungin sepuluh tahun lagi akan ada perubahan.



Pemandangan terakhir di Gerik dalam perjalanan pulang. Kami sampai di rumah jam 9.30 malam. Alhamdulilah. Kepenatan tetapi amat banyak yang kami mensyukuri  Nikmat Allah yang tidak terhingga.
Semoga kami masih ada ruang dan peluang untuk meneruskan perjuangan kecil kami membela rakyat biasa dan alam sekitarnya.

Aamiin ya Rabb...

....

Tuesday, May 5, 2015

Nikmat dalam bersabar @ Kota Bahru...




Bekerja menjadi keseronokan jika nowaitu kita betepatan dengan apa yang diajarkan oleh guru dalam mencari Keredhaan. Maka tidak perlu kita kata:"Berkerja sebelum berseronok. (work before pleasure)." Jika kita kata kita mahu Allah kurnia kekuatan Iman, maka bekerja itu bukan sahaja satu keseronokan tetapi ia juga suatu yang tidak memenatkan. 

Foto di sebelah adalah  antara kumpulan kami yang menyediakan Memorandum membantah perlaksanaan projek Kilang Simen yang Bersepadu di Gua Musang. Mereka berada di pejabat Peguam yang membantu kami dari segi undang-undang. Sebelum itu kami telah melihat Lapuran penuh oleh Syarikat yang akan melaksana projek tersebut yang di pamerkan di Pejabat Alam Sekitar cawangan Kelantan di Kota Bahru. Kami amat tidak berpuas hati kerana kaum penduduk dipinggirkan dan tidak diberi maklumat yang sewajarnya. Itulah sebabnya kami meminta bantuan Perundangan dari Peguam yang bertauliah supaya penduduk mendapat pembelaan yang saksama.


Ketua kumpulan kami berbaju kemeja putih memberi penerangan pada peguam. Saya mendengari dan mengambil perhatian untuk membantu penyedian memorandum itu. Saya hanya membantu tetapi ia memberi keriangan di hati.

Usai tugas di Pejabat Peguam kami pergi bersantai  melihat perkembangan di Rantau panjang. Amat berbeza sekali terutamanya ada pemeriksaan kastam tidak seperti dahulu yang mana kastam hanya bila kita menyebrangi Sungai Golok. Tempat yang dahulu kami biasa membeli belah sudah dikategorikan sebagai Zon bebas cukai dan keluar dari situ kastam ada hak memeriksa. Rasa sedikit kecewa, tetapi kami senyum sahaja kerana tiada upaya mengubahnya.



Kami singgah juga di Masjid Beijing. Cantik dan indah. Kami bersolat dan melihat-lihat di persekitarannya. Nampak bersih dan indah. Idea membina Tandas Awam yang menarik menjadikannya seperti dalam taman. Kami teruja dan suami saya dan teman mencatat di buku pelawat menhargai minda yang kreatif.






Tidak sah jika di Kota Bahru tetapi tidak ke Pasar Siti Khadijah. Maka setelah membeli sedikit ole-ole kami makan di tingkat atas. Hari itu amat panas dan Kota Bahru memgalami Black Out. Maka rasa amat panas. Namun penerokaan pasar adalah suatu yang menyeronokan walaupun kepenatan. Kami makan Mee Sup yang biasa sahaja . Namun rasa sedap tidak terkira. Nikmat Allah ada di mana-mana asalkan sahaja kehebatan Allah ada di hati kita. Kerana teruja, saya rakam hidangan udang yang besar-besar dan menyelerakan tetapi kami tiada upaya membelinya. Hanya menjamu mata. Alahai.....begitulah sifat satu perjuangan. Ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Saya tersenyum memikirkan. Setiap laluan ada pengajaran.









Ada beberapa tempat lagi yang kami di bawa melihat. Antaranya wakaf Che Yeh. Ada side-show yang luar biasa. Ada seorang pencinta Haiwan yang membiarkan anak kecil monyet bemanja-manja di tangan dan badannya. Maka anak angkat kami mencuba untuk pengalaman semata-mata. Saya perhatikan beberap anak remaja mencubanya juga. Ibu bapa peka supaya anak-anak menghayati erti kasih pada makhluk Allah yang digelar Haiwan. Alhamdulilah, masyarakat Malaysia sudah mula mengerti Haiwan perlu diberi hak-hak mutlaknya dan jangan dianiyaya.

Dalam keseronokan ada juga rasa tersedih.......Saya agak tersedih tidak dapat melawat rumah Allahyarham Tuan Gutu Nik Abd Aziz kerana kekurangan masa. Kami harus pulang kerana tugas di SmarTop menanti untuk ditangani segera.

Alhamdulilah, dan kami memanjatkan kesyukuran sentiasa kerana Allah memberi kederat melakukan apa yang dicita-cita. Usaha kami ini kecil sahaja. Namun kami sentiasa memohon mendapat keberkatan semoga masa di hujung senja ini tidak terbuang begitu sahaja. Entah esuk lusa kami tiada. Semoga Allah meredhai segalanya.

.........
Related Posts with Thumbnails