"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, November 29, 2015

Jangan bergerak seperti gunting, bergeraklah seperti jarum.....







Sekarang saya sudah tidak aktif dalam NGO. Hanya selepas bersara saya bergerak dan kini sudah kepenatan! Saya nasihatkan anak-anak saya supaya aktif membangun dan membela masyarakat dari umur muda lagi supaya tidak kerugian seperti saya, seperti pohon ini wujud tunggal. Bijak pandai mengatakan, biar kita salah tetapi dalam jemaah dan jangan betul tetapi berseorangan......

Namun dua hari dulu saya hadir perjumpaan sebuah NGO yang menyahut jemputan Biro Muslimah Masjid untuk bersilaturrahim sambil membincangkan beberapa isu yang dihadapi. Mulanya saya menjangka akan ada perbincangan hangat, mungkin juga panas atas dua atau tiga hal yang membuat beberapa ahli tidak selesa duduk diam dan telah membangkitkan pendapat yang mengguris hati beberapa ahli. 

Tersenyum sendirian saya apabila melihat cara beberapa ahli yang berpengaruh cuba sebaik mungkin memandu keadaan agar dalam perbincangan tidak ada sesiapa yang mahu menonjolkan diri dalam mengusulkan cadangan yang boleh membawa perpecahan hubungan baik antara dua pihak yang bergerak atas nama kebajikan Islam.

Teringat saya kata-kata orang tua: Jangan bergerak seperti gunting - laju maju kehadapan tetapi akhirnya memisahkan. Biarlah bergerak seperti jarum - sakit menyusuk tetapi akhirnya ia mencantumkan. Indah sekali pepatah ini. Amat tepat pada pandangan saya untuk dipegang oleh mana-mana kumpulan yang mendakwa berbuat sesuatu kerana Allah swt semata-mata. 

Dalam apa jua gerakan perjuangan, harus ada keyakinan untuk bersabar dan bertolak ansur dalam melaksana sesuatu. Seharusnya semua ahli tidak keliru dalam memahami asas perjuangan. Dalam senario pergerakan politik hari ini, banyak yang dapat kita buat iktibar. Walaupun sebuah NGO itu kecil dan dan pergerakan aktiviti masjid juga kecil secara relatif, kita harus tahu dan bijak mengenal pasti apa yang benar dan apa yang tidak benar. Allah maha melihat dan maha mendengar. Allah juga maha mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi. Jika kita yakin dan berpegang kuat dengan hakikat ini, maka apa jua perjuangan akan membuahkan sesuatu yang bermunafaat pada ahli dan pada masyarakat dan negara.....dengan izin dan kehendak Allah jua.

Di akhir perjumpaan pada hari itu saya saya rasa amat lega kerana barisan kepimpinan dapat menyatupadukan pendapat yang berbeza. Kalaupun dalam hati sesetengah ahli masih belum ada kepuasan yang sebenarnya, tetapi pada zahirnya  semua yang hadir akur pada  prinsip-prinsip kerjasama yang di utarakan. Alhamdulilah.

Pokoknya hati mesti bersih, bulat berpandukan tuntutan Allah dan tidak ada kepentingan diri. Insya Allah akan ada pertolongan Allah. 


.......

Friday, November 27, 2015

Kisah cucu...





Ini anak perempuan saya dengan dua orang anak istimewanya. Akif di kiri ada otisma dan Ujai di kanan yang ada ADHD. 

Kami suka bercerita mengenai mereka semoga ada anak-anak lain yang sama dengannya tidak malu-malu bermesra sama dengan keluarga yang punya anak-anak istimewa kerana anak-anak ini perlu diber pertolongan intensif semoga mereka membesar seperti anak-anak biasa. 

Tiada ciptaan Allah yang sia-sia dan tiada kurnian Allah yang tiada hikmah disebaliknya. Akif suka dengan sesuatu yang berlainan walaupun ia perlu berusaha. Ujai biasanya tidak kisah mahu berlaianan kerana ia lebih suka pada suatu tugasan yang mudah supaya ia bebas dengan masanya sendiri. Kedua-duanya tersangat aktif dan kurang dapat menumpu pada pelajaran akademik kerana pembelajaran akademik perlu fokus masa yang agak lama bagi sesuatu tugasan. Anak saya sedang berusaha dengan apa jua kemampuan yang ada untuk mendapatkan pertolongan professional dari individu atau ajensi swasta yang mempunyai kemahiran untuk membatu mereka dari umur seawal mungkin. Ujai akhirnya disahkan ADHD dalam umur 7 tahun dan Akif disahkan otistik pada umur 5 tahun. Anak saya mula awal membawanya ke klinik pakar Kerajaan, tetapi oleh kerana kekurangan pakar dalam bidang ini maka itulah sebabnya terepi dimulakan agak lewat sedikit. Umur 3 tahun adalah sebaik-baik umur untuk memulakan terepi.

Apa sekali pun, alhamdulilah. Pasti ada baiknya. Redha pada segala ketentuan Allah adalah prinsip utama dalam hidup hambaNYA.

Maka kata ibunya pada minggu 'creativity' di sekolahnya Akif mereka pakaian kartun "Sponge Box" dan memakainya. Tetapi Ujai hanya pakai baju baru dan pakai topi berlagak seperti seorang pelancung kaya katanya.





Saya hanya mendengari ceritanya dan melihat foto dalam Whatsapp keluarga. Mujur ada kemudahan ini dan dapatlah saya sebagai Embahnya (nenek) mengikuti perkembangan hidupnya. Sering saya membantu tetapi kebelakangan ini saya sibuk sedikit dengan aktiviti silaturrahim saya yang lainnya.

Pengalaman saya dengan cucu-cucu ini dapat membantu saya mengenal pasti secara kasar anak-anak kecil yang memerlukan perhatian lebih sedikit semasa di Tadika dan Taska SmarTop Subur Fitrah di Tangkak yang saya bangunkan dan urus bersama seorang teman akrab saya. Dengan cara penuh hikmah saya menasihati guru-guru dan pengasuh di SmarTop supaya tidak menganggap semua anak-anak adalah sama dan serupa. Kita perlu hati-hati dan cuba maklumkan pada ibu-bapa dengan cara yang terbaik yang kita tahu supaya ibu-bapa tidak tersinggung. Maklumlah ramai yang memandang rendah pada anak-anak yang disahkan "oku". Mereka perlu disahkan demikian jika mahu bantuan kerajaan. Sayangnya pengesahan seperti itu menjadi stigma pada sebahagian anggota masyarakat. 

Sayang sekali.......

Semoga ramai yang akan tampil kehadapan membantu kerana masalah ini harus di tangani bersama jika kita tidak mahu mereka menjadi masaalah keluarga dan masaalah masyarakat bila dewasa kelak. Apa pun, kita lihat ini sebagai kurniaan ujian dari Allah. Kita usaha, berdoa dan bertawakal semoga Allah mengurnia RahmatNya yang tidak terhingga yang tidak ada dalam sangkaan manusia.
Aamin ya Rabb.

.....

Thursday, November 26, 2015

Kesukaan Emak saya....






Siapa yang selalu kita rindui ?
Pastinya Emak. Tak kira berapa umur kita.
Kita tetap rasa kita masih kecil dan emaklah segala-galanya.
Lebih sembilan bulan ia memelihara kita dalam kandungan 
penuh kesabaran dan kasih sayang.

Seorang teman mengirimkan pada saya imej yang di atas.
Lantas saya teringatkan emak. Sebab emak suka zikir 
dengan nama Allah yang ini.
Semasa saya menjaganya di akhir-akhir hayatnya 
saya akan menyebutnya rapat ditelinganya sebab sudah kurang deria pendengarannya.
Kekadang saya gulong surat khabar dan buat seperti pembesar suara. Satu hujung ditelinganya
 dan satu lagi di mulut saya.
Saya zikirkan dan selalunya ia akan tertidur dengannya.
Sayu hati mengingatinya.
(Bapak saya meninggal semasa saya remaja.)

Imej yang kedua saya google dan ini timbul

 dalam blog Ati Ross.
zhablumminallah wa Habluminnas.

Al Latheef bermaksud Allah maha Halus.

Kita disarankan berakhlak dengannya dalam perkataan dan perbuatan.
Berlemah lembut dalam segala urusan kita di mana jua.
Jika kita suka berzikir dengannya, insya Allah kita akan dilapangkan dari segala kesempitan.

A063
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian makhlukNya).
(Al-Hajj 22:63)  

A103

Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
(Al-An'aam 6:103

Itu antara ayat-ayat yang berkaitan dengan Al Latheef. 
Semoga Emak saya (dan Bapak saya ) sejahtera di Alam Barzah dan Semoga Allah kurnia Rahmatnya yang tidak terhingga dan kami berkumpul nanti di Syurga Firdaus.  Aamiin.
......

Tuesday, November 24, 2015

SMARTOP Pre School - Mahu jadi pintar, bijak dan berakhlak mulia.....





Kebelakangan ini masih ada teteman yang bertanyakan mengapa sdaya bersusah payah menubuhkan sebuah Pra Sekolah di Tangkak jauh dari rumah saya.

Maka sempena Hari Konvokesyen pada 20 November yang lalu, izinkan saya mengulang cerita misi dan visi SmarTop Subur Fitrah untuk  yang ingin tahu. 

SmarTop ditubuhkan pada tahun 2013. Tetapi kami mula bekerja keras dari September atau Oktober 2012 lagi. Pak Hasni, pengasas Adni Islamic Schools, datang dan melihat premis sekolah ini di Tangkak, Johor dan menasihati kami bagaimana SmarTop boleh ditubuhkan walaupun beliau tahu kami kekurangan serba serbi. Ia suka kalau kita menumpu lebih sikit untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kerana rata-rata itu kelemahan orang Melayu.

Dengan berinspirasi Adni Islamic School, kami bertekad mencuba terus. Kami merangkak-rangkak penuh kesabaran sesudah memahami bahawa mendidik ke arah mencari redha Allah itu bukan suatu yang mudah. Setahun selepas itu kami bergabung dengan seorang ahli NGO HALUAN yang aktif untuk melatih dengan lebih sistematik lagi guru-guru dan pengasuh kami. Tanpa guru yang berkemahiran dan berketerampilan, tidak mungkin perancangan yang dirangka dapat dilaksana dengan jayanya.

Prinsip utama SmarTop ialah kami ingin menanamkan di hati sanubari anak-anak kecil bahawa kita dicipta oleh Allah maka kita wajib kenal Allah, sayang Allah dan Rasulullah untuk hidup sejahtera di atas muka bumi ini. Kami ingin memulakan mendidik hati-hati kecil ini untuk merasai bahawa kita yakin akan kewujudan Allah tanpa perlu melihat sesuatu yang aneh dahulu. Di sekeliling kita adalah bukti Allah ada dan kita mulakan mendidik bahawa kita harus mematuhi arahanya dan larangannya, kerana kita Cinta padaNya.

SmarTop ada kurikulum akademik dan ada kurikulum khusus agama dan kami olah sebegitu rupa ia menjada bersepadu dan holistik. Ini satu paradigma yang bukan mudah hendak dilaksana kerana latihan guru dan pengasuh belum mencukupi dan kami belum mampu menulis buku teks kami sendiri. Kami masih menggunakan apa yang ada di pasaran dan memilih yang paling sesuai untuk mencapai objektif kami.

Kami di SmarTop cuba menekankan kebolihan berfikir. Kami menggalakan anak-anak bertanya soalan  kerana dengan bertanya mereka berfikir dan ilmu yang diperolehi dapat difahami dengan lebih jelas lagi. Kami cuba melaksana kaedah bahawa Ilmu bukan sahaja dipelajari tetapi bagaimana Ilmu itu dipelajari. Semoga bila dewasa nanti mereka boleh membuat pilihan prinsip hidup dengan lebih bermakna lagi. Dalam proses pembelajaran kami cuba tidak menekan daya mengingat semata-mata tetapi kami juga menekanan cara berfikir kerana kebolihan berfikir amat penting dalam proses membuat pilihan. Kami juga menggalakan anak-anak berkomunikasi dengan baik. Ini elemen penting dlam proses membesar.

Kami di SmarTop ingin berkongsi dengan ibu bapa bahawa apa yang kami ajarkan dan cara kami mengajarkan bukan dengan tujuan supaya bila mereka  melalui proses pembelajaran dewasa nanti tujuannya bukan semata-mata mahu cemerlang dalam Ilmu akademik tetapi mereka ini boleh memimpin diri dan boleh memimpin teman-teman sebaya yang akhirnya nanti mereka akan menjadi pemimpin keluarga dan masyarakat dengan nilai-nilai yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

Kami cuba mendidik nialai-nilai ini secara yang sesuai dengan anak-anak. Kadangkala kita melalui cerita dan kadangkala melalui permainan, (role play). Kami masih banyak kekurangan, dan belum perfect dalam kaedah kami. Semoga Allah melihat kami sebagai gigih mencuba dan memberkati usaha-usaha kami.

Maka dalam semangat inilah kami mencuba adegan Pentomime dalam persembahan di Hari Konvokesyen. Ini adalah idea guru-guru kami sendiri dan kami di peringkat pengurusan amat kagum dengan usaha gigih mereka dan kami amat menghargainy.

Adegan ini ialah mengenai Muhammad Al Fatih, ikon sejarah di Turkey. 


Siapakah Muhammad Al Fatih
Nama sebenar Baginda ialah Muhammad bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid. Baginda telah dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi (833H) di Adrianapolis (sebuah bandar bersempadankan Turki – Bulgaria).
Baginda dikenali dengan gelaran ‘Muhammad Al Fateh’ kerana kejayaannya membebaskan kota Constantinople.
Baginda telah menaiki takhta seawal berusia 19 tahun lagi apabila menggantikan ayahandanya Sultan Murad II. Baginda telah memerintah empayar yang begitu luas selama kira-kira 30 tahundi antara tahun 1451–1481M. Baginda merupakan seorang   negarawan yang ulung dan seorang panglima tentera agung yang telah memimpin sebanyak 25 kempen peperangan. Baginda telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 (855H) ketika berumur 49 tahun.


Adegan Pentomime. Al Fatih berbaju hitam.






Dalam ucapan khas En. Rosman Pengerusi Parents Support Group telah menyatakan rasa puas hatinya melihat SmarTop melaksana tanggong-jawabnya. Berucap mewakili ibu bapa beliau menyatakan juga bahawa usaha mendidik anak-anak semoga membesar dengan didikan berakhlak mulia adalah suatu tindakan yang terpuji. En Rosman juga gembira guru-guru memilih ikon Al Fatih sebagai contoh untuk dikuti dalam sudut kepimpinan. Semoga anak-anak akan membesar denaga rasa berjati diri, berani dan bersikap amanah. Ia mengatakan tidak ada gunanya seseorang itu bijak dan pintar tetapi tidak bertanggong jawab dan berintegriti. Maka melentor buluh harus dari rebungnya.

Kami diperingkat pengurusan menghargai sokongan yang diberi oleh semua ahli dalam Parents Support Group dalam sama-sama melaksana apa yang terbaik bagi SmarTop. Seorang professional dalam bidang pendidikan, En Rosman selaku pengerusi,  menasihati kami juga supaya memandu perlaksanaan kurikulum agar dapat memenuhi kehendak syarat-syarat kemasukan sekolah kerajaan apabila anak-anak memasuki tahun satu pada tahun 2016 kelak. Kami akan ambil perhatian atas saranan itu dan semoga tahun 2016 akan menemukan SmarTop dengan prestasi yang lebih cemerlang.


......

Sunday, November 22, 2015

3 TAHUN Pra Sekolah SmarTop....Ibarat sekelip mata.





Tahun ke 3 mengadakan Hari "Konvokesyen". SmarTop Subur Fitrah Integrated Pre School merupakan sebuah Jihad Pendidikan bagi saya dan teman akrab saya.

Semoga Allah menerimanya sebagai amal soleh untuk dikongsi juga buat  ibu dan ayah kami.

Kami memulakannya dengan penuh harapan ia akan menjadi sebuah pra sekolah pilihan penduduk setempat, untuk mengisi ruang kosong dalam pendidikan yang belum ramai berpeluang menerokainya. Kami membanunkannya berinspirasikan Adni Islamic School, bukan sahaja bersepadu tetapi juga holistik. (Saya pernah menceritakannya dalam entry saya yang lama dahulu).



Tahun ini 13 orang sahaja yang berjaya menamatkan pendidikan pra sekolah bersama kami. Kecil sahaja bilangannya, tetapi ia suatu yang besar dalam kepuasan kesyukuran yang kami panjatkan pada Ilahi. Alahamdulilah. Kegembiraan kami hanya Allah sahaja yang mengerti kerana pra sekolah ini bermula dengan sumber yang amat terhad. Walaupun sudah ada bangunan, tetapi ia memerlukan kerja-kerja pembaikan dan perlu juga kerja-kerja pengubahsuaian, disamping membeli alat-alat kemudahan mengajar dan mendidik, iaitu alat-alat pengajaran dan pembelajaran.

Kami berusaha kuat dengan iringan doa yang tidak putus-putus semoga Allah memudahkan segalanya. Saudara mara, adik beradik dan sahabat handai tampil membantu kami dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan fikiran. Alhamdulilah. Kami berpegang teguh pada janji Allah yang bermaksud : "Buat sahaja apa yang Aku suruh, Rahmat Ku akan bersama....." Alhamdulilah. 

Pengalaman kami dalam bidang ini juga terhad. Tetapi tidak ada pengalaman tidak bererti kita tidak boleh buat. Allah beri akal fikiran dan Allah beri pilihan. Allah beri banyak kemudahan asal sahaja kita berusaha bersungguh-sungguh dan nowaitu tekad hati tidak lain selain kerana Allah. Kami mengendali pra sekolaha ini tanpa apa-apa keuntungan. Kami hanya mengharapkan redha Allah semata-mata. Sebagai pesara perkhidmatan awam, maka kami kenalah berjimat ceremat semoga dapat mengumpul jimatan untuk disalurkan ke sekolah ini. Tidak banyak jimatan yang kami ada tetapi kami mengharapkan keberkatan usaha itu dari Allah semata-mata.

The rest is history, kata 'orang putih'. 

Kami terus bersyukur dan Allah memudahkan dengan mendapat guru dan staf yang memahami kedudukan sekolah ini. Mereka juga terdiri dari anak-anak tempatan yang sanggup berkorban bersusah payang demi satu perjuangan.....jihad pendidikan. Tukar ganti guru dan staf sememangnya berlaku. Namun Allah bagi jalan untuk mengatasinya.

Bukan tidak ada masaalah....Masaalah pasti ada. Ada masaalah yang mudah dan ada yang rumit. Biasanya kami kena mencari sumber tambahan luar untuk membayar gaji kerana ada ibu bapa yang lambat membayar yuran. Kami terima seadanya. Kerana niat kami ialah infak atas nama kebajikan bagi mereka yang memerlukan. Dengan penuh debaran hati hampir setiap hujung bulan, kami dapat juga menjelaskan bayaran gaji. Amat bersyukur, Alhamdulilah.

Kita juga mendapat pertolongan dalam bentuk 'soft loan' dari beberapa teman yang kuat kedudukan kewangannya dan kami mesti menjelaskannya. Kekadang terlajak tempuh, tetapi dapat ihsan untuk menunda sebulan dua. Alhamdulilah,  kami sudah biasa dengan masalah semasa kami masih bekerja dahulu dan bolehlah kami mengawal stress. Kepenatan tenaga juga ada. Namun bila ada kemajuan, walaupun kecil, walaupun sedikit, ia membuat hati riang. Sepertinya hilang penat lelah.

Maka itulah tiga tahun wujudnya SmarTop ia ibarat sekelip mata. Allah maha pengasih dan maha penyayang. Kami dihiburkan sedikit demi sedikit dan kami terus berusaha.

Umur kami juga sudah meningkat dan baki umur yang ada pun makin tipis. Sekarang kami sudah dapat mengenal pasti siapa yang akan mengambil alih pengurusan sepenuhnya apabila kami sudah kehabisan kederat. Dan sekarang kami sedang memberinya latihan 'hands on' dan membina potensi yang ada padanya untuk menjadi pengurus yang cemerlang serba serbi, iaitu pengurus yang memahami pentingnya pendidikan awal kanak-kanak. Alhamdulilah. Semoga akan ada kesinambungan dari segi misi dan visi dan semoga akan tercapai niat dan cita-cita kami, iaitu membina minda dan hati anak-anak untuk mengenal Allah dan berkeyakinan diri dari awal lagi.

Semoga Allah menganugerah segala kemudahan dan keberkatan demi pembangunan kesejahteraan ummah. Aamiin ya Rabb....




Ini barisan kami, guru dan staff.
Untuk kenanagan pada 20 November 2015.


........

Saturday, November 21, 2015

Termenung seketika....



Saya termenung seketika melihat foto ini
kiriman seorang teman....
Indah sekali, masyaAllah !

.....

Tuesday, November 17, 2015

Merakam pertemuan yang tidak disangka......








Ketentuan susunan Allah dalam 
perihal hidup kita itulah yang terbaik.

Pada Sabtu yang lepas anak saudara saya, Azrain mengadakan "jalan-jalan mari makan ke rumahnya" sambil meraikan emaknya sempena Hari Lahirnya yang ke 76.






Yang istimewanya ialah Azrain menjemput sungguh-sungguh saya empat beradik datang untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan memandangkan umur-umur kami sudah amat senja. 

Maka sampailah kami untuk makan tengah hari. Laksa johor dan nasi dengan asam pedas istimewa air tangan kakak saya . Ramai yang datang termasuk anak cucu, ipar duai dan keluarga besar Azrain dan isterunya. 

Dalam foto ini dari kiri kakak saya yang tertua yang masih ada. Kami 8 beradik dan kini tinggal empat sahaja. Kakak saya  Sutiah berumur 81 tahun, Ramlah berumur 78 tahun abang tunggal saya Amat Suyoto berumur 74 tahun dan saya bongsu berumur 70 tahun. Kesemua umur mengikut kiraan kalendar tahun Hijriah. 

Alhamdulilah. Jurang perbezaan pendapat dan cita rasa dalam menjalani liku-liku hidup kini sudah tidak jauh. Kami lebih memahami antara satu sama lain dan telah dapat menerima kelemahan dan kekurangan setiap diri kami dan kami sudah "boleh" ambil yang jernih dan buang yang keruh.

Kita bukan hendak ke mana lagi diumur lanjut ini dan saya amat bersyukur....kami semua bersyukur sudah dapat melihat riwayat hidup emak dan bapak kami dan lebih memahami hati budi mereka berdua dan apa yang mereka berdua mengharapkan dari kami. Kami lupakan sahaja pahit getir perbezaan prinsip antara kami dan kami ambil yang manis-manis sahaja. Semuanya kerana Allah semata-mata.

Maaf bermaaf-maafan adalah utama dan doa-doa kami selari semoga Allah mengampuni segala silap salah dan dosa-doasa kami dan kami mengharapkan semoga dilimpahi Rahmatnya yang tidak terhingga dan kami mendapat anugerah kasih sayangNYA dan dapat berhimpun semula nanti di Syurga Firdaus kesemuanya...... Dengan RahmatNYA semata-mata.

Aamiin ya Rabb.....


.....

Monday, November 16, 2015

My Beautiful Fatima Suffiya....



Masya Allah. Fatima Suffiya is beautiful
 and she is always cheerful.
She is 2 years old and she is my 9th grandchild. 
Alhamdulilah.
 May Allah most High grace her with Divine Guidance until 
JannatulFirdaus.
 Aamiin.

........

Sunday, November 15, 2015

Pulang dari kembara kepenatan....




Setiap yang bermula akan berakhir.
Pada pagi 7 Nov. kami bersiap untuk bertolak ke Padang Besar. Cepat-cepat kami membeli apa-apa yang perlu untuk diri dan ole-ole keluarga dan pada jam 2 petang sampailahlah kami di Immigration point. Alhamdulilah.

Rasa syau juga berpisah dengan kenalan baru kami warga Thai yang telah bersungguh-sungguh berusaha membuat lawatan kami suatu yang tidak akan dilupakan. Amat bersyukur Allah ketemukan kami  dengan mereka dan semoga usaha mereka merapatkan hubungan kami dengan  masyarakat Islam di negara Thai menjadi sebahagian dari amal soleh mereka.

Teteman saya berpelukan dan bersalaman berpisah dan semoga bertemu lagi. Insya Allah di Malaysia. Ribuan terima kasih kami ucapkan pada mereka. Hanya Allah yang membalas segala kebaikan mereka.

Ini dalam train ets dalam perjalanan pulang dari Padang Besar. Kemudahan train selesa walaupun ramai penumpang. Mungkin eluk jika KTM membenarkan penumpang membawa makanan ringan sekadarnya untuk membuat perjalanan lebih selesa.

Lima jam ke KL Sentral rasa seperti tidak sangat lama. Boleh membaca dan boleh berfikir-fikir. Tidur seketika pun boleh. Nikmat Allah itu tidak terkira. Alhamdulilah.



Pemandangan di lur train berbagai keadaan. Saya hanya ingin kongsikan foto ini. Kelihatan aman dan nyaman. Pemandangan yang lain seperti apa yang dapat dilihat dalam perjalanan menaiki kereta atau bas. Ramai kita yang sudah biasa. Mungkin berlainan bagi pelancung.





Sepanjang perjalanan musafir di negara Thai kami tinggal di hotel sederhana....sesuai bagi pelancung bajet rendah. Asal sahaja ada hawa dingin dan bilik air yang selesa....cukuplah. Alhamdulilah.....bila dapat  tempat boleh membaca dan ada ruang mencukupi untuk sujud lama sebagai hamba di mana jua. Sekadar untuk mengejar kembali  apa yang ketinggalan di siang hari.....dalam usia sebegini.

Dalam perjalanan kami, kami melalui sebilangan masjid, tiga atau empat. Kami hanya berhenti pada dua sahaja, di Songkhla dan Satun. Di restoran yang besar ada kemudahan Musolla. Kurang selesa tetapi mencukupi. Asalkan sahaja tujuan kita ialah pengabdian diri, di mana jua. Allah maha mengetahui dan hati-hati kita yang di perhati. Semoga yang baik Allah terima yang tidak baik Allah ampuni dan kita dikurnia bimbingan hidayah yang berterusan hingga keakhir hayat kita. 

Walau pun dalam kembara, ustaz pesan jangan sampai alpa. Entahkan jemputan atas kita datang tiba-tiba. Maka Fikir zikir setiap masa. Semoga RahmatNya atas kita tidak terhingga.



Bila kepenatan dalam perjalanan, kami berhenti seketika. Saya suka rekomen pada kawan-kawan kembara mungkin ingin berhenti yang ada kemudahan selesa seperti R & R kita di Malaysia. Kami berhenti di Station Gas yang ada perkhidmatan AMAZON Cafe. Bilik airnya bersih dan selesa. Kemudian boleh minum kopi jika suka. Ada tit-bits halal, ada yang tidak halal, namun selesa dan boleh duduk santai seketika. Suami saya tidak lepas peluang minum kesukaannya sambil melihat pelanggan lain bercerita. Saya juga minum kopi kesukaan saya, dan memerhati cara hidup mereka yang berbeza budaya.





Pemandangan pohon getah sepanjang jalan membawa ingatan nostalgia. Saya membesar dan dibesarkan di kawasan ladang getah. Tidak teratur seperti ini. Dahulu kebun getah semak samun dan generasi sekarang sudah tidak mengerti lagi pengorbanan penoreh getah satu ketika dahulu sebelum Merdeka dan selepas Merdeka.
Generasi siber sekarang mungkin tidak mengerti apa itu kemiskinan dan apa itu pengorbanan. Maka itu antara sebab Allah suruh Taddabur alam semoga lebih memahami syi'ar Islam dan keindahannya.


Dalam kepenatan saya masih ambil masa merakam  apa jua 
mengikut kederat tenaga.
Ini selfi sebagai kata penutup kembara musafir kali ini.
Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan dan pintu Redhanya sentiasa terbuka
 untuk kita dan anak cucu kita hingga ke Syurga.
Aamiin ya Rabb......


......

Saturday, November 14, 2015

Menjejak kaki di bumi Krabi....




Krabi adalah tujuan destinasi yang mula-mula saya fikirkan dalam musafir ini. Walaupun kami ada 7 hari kesemuanya, namun kami hanya ada satu malam dan setengah hari sahaja di Krabi.

Tidak perlu saya cerita banyak mengenai Krabi kerana iklan Penerbangan Air Asia sudah mencukupi. Kami hanya mampu lalu putar-putar sahaja kerana tidak banyak masa. Kami di bawa ke Aonang (Bay of Women). Di sini tempat peranginan. Di Krabi ada banyak pulau-pulau dan kami diberi tahu banyak Holiday Resorts dibina. Ramai pelancung datang berduyun-duyun untuk ke Pulau yang diminati.

Kami hanya melihat.......
Berhenti sebentar di kedai-kedai untuk membeli ole-ole dibawa pulang.
Mungkin lain kali datang lagi untuk menjelajah pulau-pulau pulak.




Pantainya cantik dan bersih. Memang tidak puas datang sebentar. 
Kalau 4 hari di sini pun saya rasa tidak mencukupi kerana banyak yang perlu dialami dan bukan setakat melihat-lihat sahaja.
 Saya suka bermusafir dan berbual-bual dengan orang tempatan atau denagan pelancung lainnya. Tetapi tidak ada ruang dan peluang buat kali ini.
 Tidak sempat untuk duduk-duduk Ngopi dan sembang-sembang.
Mungkin ada baiknya juga supaya kami tidak lagha.


Barisan pelancung berbaris membeli tiket untuk ke pulau.
Di bawah suami saya "bergaya" dengan pelancung dari Malaysia.






Di lobby hotel dan di hadapan hotel di Krabi sebelum berangkat pulang.






Di perjalanan pulang kami melalui taman gajah seperti ini 
dibuat dengan batu.
 Kami berhenti seketika untuk rehat dan berlegar-legar.
 Kami tidak ada maklumat apa signifikan tempat ini sebenarnya 
dan tidak cukup masa membaca maklumat yang ada di dinding batu itu.

Sejenak di Krabi menjadi kenangan. Kami berpatah balik ke Hatyai
untuk pulang ke Padang Besar. Perjalanan agak jauh dan
 kami tiba di Hatyai hampir waktu senja.
Kerana sudah kepenatan kami tidak memilih sangat
 hotel yang kami ingin bermalam.
Di Hatyai banyak hotel yang sederhana yang selesa 
seperti yang kami pilih pada mula-mula kami tiba. 
Yang ini kurang sedikit tetapi tidak mengapa.
 Satu pengalaman yang berbeza, semoga ada hikmahnya.

Esuknya setelah membeli belah sedikit untuk kenangan 
kami menuju Padang Besar.
Alhamdulilah. Sempurna perjalanan kami hingga kini.


.....

Friday, November 13, 2015

Silaturrahim di Pulau Babi.....





Dari Satun kami dibawa ke Daerah Trang. Perjalanan dengan Van biasa sahaja dan kami terus ke Jetty untuk ke Pulau Babi.

Terkejut bila diberitahu kami akan ke Pulau Babi.

Kenapa nama Babi. Jangan hairan kata tuan rumah yang membawa kami.Sejarahnya di pulau itu satu masa yang lampau sememangnya banyak babi. Dan babi bukan suatu yang luar biasa dari sudut penerimaan masyarakat Thai. Di Malaysia sahaja rasa pelik akan nama itu.

Jika difikir panjang saya rasa kita tidak perlu rasa ganjil sangat kerana Babi juga adalah makhluk yang Allah cipta. Dan tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia. 

Kami menaiki bot waktu hampir Maghrib dan perjalanan bot tidak sampai sejam lamanya. Saya rakam pemandangan yang indah, walaupun saya sendiri rasa tidak selesa naik bot tanpa "life jackets". Tetapi di Thailand itu perkara biasa.

Kami pergi ke Pulau Babi bersama dengan Ustaz yang saya ceritakan dalam entry saya sebelum ini. Walaupun sudah berumur 58 tahun tetapi ia masih kuat dan cergas. Dia ingin menunjukan sekolah agama Islam swasta yang dibinanya di Pulau Babi itu.



Pemandangan dari Jetty diwaktu senja.





Kami bermalam di Chalet di Sukron Andaman Beach Resort semalam sahaja. Suami saya suka tempat itu dan selepas Suboh duduk mengelamun sendirian di tepi Pantai. Chalet-chalet di sini banyak disewa oleh pelancung "orang putih". Kekadang berbulan lamanya kata penyelia resort itu. Heran juga saya mendengarnya. Mungik elok juga kita tahu apa tujuan mereka......

Pulau Babi ini hampir 95% penduduknya adalah orang Islam. Tetapi kita susah membezakan dengan yang bukan Islam kerana di daerah-daerah yang kami lawati ramai yang belum menutup aurat. Dan kami diberitahu sebab itu Ustaz amat bergiat untuk membina sekolah dimana ada peluang dan ruang. Semoga usaha ustaz Allah berkati.

Malam itu kami makan di rumah Ustaz yang ada di Pulau, dan esuknya kami bersilaturrahim dengan penduduk tempatan. Kami makan pagi di warung seperti yang banyak wujud di Pulau itu. Ramai yang tahu berbahasa Melayu Thai. Saya tidak faham sepenuhnya tetapi seronok berjenaka bersama. Beberapa pelanggan bertanyakan khabar kami dari mana. Mareka nampak seronok bersalaman.



Hidangan pagi hampir sama di mana-mana. Ada kuih muih dan ada meehoon dan nasi berbagai cara masakan. Saya hanya pilih kuih muih dan berkongsi mee hoon dengan suami saya. Harganya sangat berpatutan dan teteman saya yang lain nampak enjoy menjamu selera.

Kami menaiki kenderaan teksi motorsikal dimana 3 atau 4 orang boleh duduk jika tiada barang. Saya sangat teruja menaikinya. Kadang kala laju dan ia membuat saya khuatir. Teringat saya kembara di Sudan menziarah anak saya yang belajar Bahasa Arab di sana awal tahun 2000. Pengakutan yang penduduk biasa guna juga hampir serupa itu. Teksi beroda tiga dan pemandunya selalu memandu laju. Ada yang pernah terbalik. Itu membuat saya takut.




Selepas makan dan sembang-sembang kami menuju ke Sekolah yang dibina oleh Ustaz. Bangunannya cantik seperti sekolah kerajaan di Malaysia. Malangnya sekolah ini terpaksa diberhentikan buat sementara waktu kerana satu blok bangunan itu telah dibina di atas tanah kerajaan tanpa disedari. Satu perundingan sedang dijalankan untuk menyelesaikan masalah yang ada. Semoga berjaya.

Sayang sekali. Begitulah akibatnyan jika sistem pentadbiran belum dapat mengesan data-data yang ada. Namun Sekolah ini di gunakan seminggu sekali oleh Ustaz untuk mengajar orang-orang dewasa yang sememangnya amat memerlukan majlis ilmu di Pulau itu. Ustaz menjemput pensyarah atau guru yang lainnya juga kerrana ia teramat sibuk. Sekolah ini dibina denagan bantuan Kerajaan Kuwait dan kerajaan Thai memberi per capita grant seperti sekolah-sekolah agama swasta yang lainnya.

Maka saya katakan pada suami saya dan teteman yang ada bahawa inilah yang perlu kita bantu dengan apa jua cara yang boleh. Mungkin kita boleh ceritakan pada orang-orang kaya di Malaysia untuk membantu Islam di daerah ini. Mereka semua saudara kita. Kami amat menginsafi diri dan semoga Allah menunjuki jalan menuju redhaNya.





Kami dihidangkan makan tengah hari awal hari itu oleh keluarga Ustaz kerana kami harus beredar ke destinasi yang lainnya. Ustaz juga sibuk kerana ia harus ke Narathiwat bertemu dengan pihak yang boleh membatunya dalam usaha mencari dana pembanunan sekolah.

Selepas makan kami putar-putar dengan teksi motosikal keliling Pulau Babi. Kami berhenti meninjau-ninjau kegiatan orang pulau yang ramai menjadi nelayan.  Satu pengalamn yang luar biasa buat saya dalam umur lanjut sebegini. Dapatlah, insya Allah, saya berpesan-pesan pada anak cucu apa erti berusaha, bersabar, bersyukur, berdoa dan bertawakal. Kita di Malaysia kadang-kadang leka dibuai kemewahan dan perlu disedarkan betapa kita alpa tentang tanggongjawab kita dengan rezki yang melempah ruah berbanding orang Islam di Thailand. Namun mereka lebih gigih membangunkan Islam memandang mereka kaum minoriti di Negara Thai yang bukan negara Islam.

Semoga Allah menurunkan Rahmatnya yang tidak terhingga. Aamiin.....




Selamat tinggal Pulau Babi.
Kami menaiki bot waktu hampir tengah hari kembali ke Tanah Besar untuk ke Krabi.

.......
Related Posts with Thumbnails