"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, July 30, 2010
JANGAN LIHAT HANYA YANG TERDEKAT
Terus sahaja saya katakan bahawa kita manusia sering tidak sabar dan sering tidak dapat melihat keseluruhan fakta tetekala kita dalam keadaan tidak stabil. Keadaan tidak setabil ini boleh disebabakan oleh berbagai masaalah sama ada masaalah peribadi, masaalah keluarga atau masaalah kerjaya.
Dari pengalaman saya, sifat kurang sabar ini adalah disebabkan kita kurang ilmu, semua jenis ilmu terutamanya yang berkait terus dengan hakikat kewujudan manusia. Ia itu kita harus mengenal diri, mengapa kita diciptakan dan siapa pencipta kita. Sifat sabar bukan sesuatu yang dapat kita bina dalam masa yang singkat. Selain dari ilmu ialah soal penghayatan. Dan penghayatan bukan dilalui secara mendadak.
Saya terpanggil untuk bicara ringkas dalam hal ini kerana baru sebebtar tadi seorang ahli keluarga telah mengucapkan kata-kata yang kurang bijak dari segi sudut kemesraan keluarga. Mungkin kerana ia kecewa mengenai sesuatu hal atau mungkin sedang bermasaalah mengenai kerja atau talian keluarga yang rumit. Dalam ingatan saya hadis ada mengatakan kalau kita marah dalam keadaan berdiri, maka duduklah. Kalau sedang duduk maka baringlah. Ini akan dapat meredekan nafsu amarah kita. Ada yang mengatakan kita harus pergi berwudhu kerana ini akan menghalau syaitan yang sentiasa suka memporak-perandakan manusia.
Banyakan beristighfar, dan semoga kemarahan akan reda. Walau apapun saya berharap incident ini tidak terpendam dalam hati. Dalam hidup jangan lihat yang keruh. Lihat yang jernih. Lihat diri sendiri sebelum menilai orang lain. Prinsip ini adalah untuk semua.. Semoga akan ada proses muhasabah diri semua pihak dan ada sikap tolak ansur dan maaf memaafkan.
Ada banyak perkara yang ingin saya perkatakan. Mungkin dilain entry. Semoga Allah memberi taufik dan hidayahNya dan memberi pertolongan dan menganugerahkan RahmatNya yang tidak terhingga.
Allahuma Amin.
AKIF...CUCUKU ISTIMEWA.
AKIF,
Malam tadi Embah rasa sedih sebab lihat Akif seperti tiada yang mahu. Akif lahir di bumi Jepun dan kini umur 3 tahun. Semasa lahir Embah ke sana jaga ibu semoga Akif terjaga seperti abang Ujai yang Embah jaga dari lahir hingga umur 6 bulan. Akif pun rupa macam anak Jepun tetapi setakat ini Akif belum menampakan "kehebatan" seorang Jepun. Emabah tahu, takkan sama Melayu dengan Jepun.
Akif belum boleh bertutur seperti anak umur 3 tahun. Tetapi Embah tahu Akif belum sampai masa nak tunjuk Akif pun boleh. Tunggu tengok, insyaAllah Akif boleh. Embah doa Akif boleh. Sedikit masaalah sekarang sebab Akif belum banyak bertutur. Maka cara Akif minta perhatian lain dari yang lain. Akif dilihat agak kasar dan Akif tidak faham bahawa kadangkala tindakannya menyakiti dan menyusahkan orang lain. Embah selalu kata bahawa akif ini perlu perhatian khusus dan kita perlu bersabar untuk memahami bahawa dia adalah seperti anak lain, nak rasa dikasihi dan nak tunjuk dia sayang kat orang lain. Akif mahu berkomunikasi seperti anak-anak lain. Cuma 'sentuhannya' sedikit kasar kerana dia suka menggigit, membaling, menerkam, menumbuk dan lain-lain seperti itu. Maka kita semualah yang perlu memahami perilaku Akif yang berlainan. "Pertuturan" cara "unik" itu kita harus tahu menterjemahkannya. Adalah kurang sesuai kita label Akif seperti kasar dan membahayakan orang lain. Dia perlu perhatian tambahan. Dengan perkataan lain seperti dia "menagih" sesuatu yang istimewa dari kita di sekelilingnya. Bukan apa, dia cuma menagih kasih sayang yang perlu kita lahirkan secara luar biasa.
Tak apalah Akif. Embah jaga Akif semampu mungkin.Kata setengah orang Akif Otistik. Tetapi ibu telah bawa ke doktor pakar dan disahkan Akif normal, tidak ada Otisma. Dia cuma lambat dalam "fine motor"nya sahaja. Akif perlu belaian intensif untuk meyakinkan kebolehannya adalah normal. Belaian yang intensif boleh mendorong daya upaya untuk menambah pertuturan. Tetapi ibu dan ayahnya terlalu sibuk. Embah dah kata beberapa kali Akif mungkin akan mencapai kemajuan bertutur jika ia dihantar ke nursery yang baik. Mungkin sentuhan kasih sayang anak-anak lain dan pengasuh di nursery akan memberi dorongan positif dan akan nampak perbezaan yang di cita-citakan. Embah berdoa ayah dan ibu akan berkorban lebih untuk Akif, wang ringgit dan apa jua yang diperlukan demi pembangunan diri Akif setaraf denagan anak-anak lain. AKIF KECIL CUMA SEKALI DAN SEKEJAP. Semoga ayah dan ibu akan faham hakikat ini dan tidak akan sambil lewa dalam melayani keperluan Akif.
Setiap kita Allah uji dengan berbagai ujian. Tetapi Allah anugerah kita dengan berbagai kemudahan dan kesenangan. Maka ingatlah ayat alQuran surah Ar Rahman:
MAKA NIKMAT ALLAH YANG MANA SATU YANG HENDAK KAMU DUSTAKAN.
Thursday, July 29, 2010
MENSYUKURI NIKMAT ALLAH
Sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah, saya diajar supaya sentiasa mengamalkan doa berikut yang di ambil dari alQuran surah alAhqaf ayat15 yang bermaksud:
Allahuma Amin."Wahai Tuhanku, ilhamkan lah daku supaya bersyukur akan Nikmat Mu yang Engkau kurniakan pada ku dan kepada ibu-bapa ku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai: dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunan ku; Sesungguhnya aku bertaubat kepada Mu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang yang menyerah tunduk kepada Mu".
Wednesday, July 28, 2010
AIR KOPI ASAH PARANG
Antara anak Acheh yang baru berumah tangga dan datang menziarahi kekuarga di sini.
Air kopi asah parang....itulah nama yang anak-anak Aceh saya namakan pada minuman kopi yang kurang serbuk kopinya kerana sudah kehabisan kopi tetapi malu mahu mengatakan demikian. Kalau kita biasa dengan kehidupan di kampung warna air asah parang adalah kelabu cokolat, kerana bercamour karat. Tapi kami minum jugak air kopi 'special' itu sambil sembang santai mengenai hidup dan kehidupan, terutamanya mengenai perkembangan dakwah di Malaysia dan di Indonesia. Kami suka sembang hal itu dengan harapan suatu hari kami dapat menyumbang dalam program dakwah dengan cara yang lebih canggih dan berkesan.
Budaya minum kopi di Malaysia sudah berbeza dahulu dan sekarang. Semasa tahun 50an, 60an, dalam ingatan saya mium kopi di kedai-kedai hanyalah untuk orang-orang separuh umur. Setelah penat kerja seharian ada diantara kaum bapa yang pergi ke warong-warong atau ke kedai India Islam (sekarang kita panggil "mamak") untuk minum kopi dan sembang-sembang sambil merokok. (Waktu itu rokok belum diharamkan. Kini sudah, tetapi masih ada yang merokok). Kemudian dalam tahun 70an (dari ingatan saya) ramai orang melayu yang pergi minum di kedai Cina Hailam. Di situ ada juga mamak jual roti canai dan lain-lain. Ketika itu kopi "O" atau kopi susu sahaja yang dijual. Ada juga pegawai-pegawai kerajaan, mungkin juga swasta yang pergi ke situ untuk minum kopi dan snak sebagai "coffee break" pejabat.
Selepas tahun 80an budaya kopi seperti melalui proses "revolusi". Minum kopi merupakan seperti budaya orang professional dan intellectual. Mana tidaknya. Semasa saya masih berkerja sudah ada bermacam-macam tempat yang mengundang siapa jua yang termampu untuk datang minum kopi. Starbuck, Coffee Bean dan bermacam lagi. Di tempat-tempat ini harga secawan kopi bukan rm 2/-. Sekarang ini bertambah banyak tempat-tempat yang "berbudaya" minum kopi. Ada kemudahan wireless internet pula. Antara nama-nama yang saya teringat ialah "Old Town White coffee, Ali Cafe, Kopitiam dan lain-lain. Maka orang-orang muda, eksekutif berbagai peringkat akan mengunjungi tempat itu, setengahnya untuk bercerita pasal bisness dan ada juga yang sembang-sembang memperluas "networking" masing-masing. Ini yang saya ingat di awal tahun dua ribu semasa saya masih berkerja. Sekarang pastinya lain. Saya pun tidak lagi ke tempat-tempat seperti itu.
Maka cara saya cuba mengikuti perkembangan anak-anak muda ialah melalui, antara lain "Facebook" atau laman Blogger, dan lain-lain sepertinya. Apa yang menakutkan saya tentang perkembangan minda ialah ramai anak-anak muda yang BERCERITA KOSONG. Semata-mata hanya ingin tahu apa yang terkini tentang kawan-kawan. Ini tidak salah. Tetapi cara celoteh itu jarang-jarang sekali membawa mesej yang mengajak diri-diri mendekati Allah. Takutnya ia hanya "chit-chat kosong" yang bererti kosong dalam konteks membawa diri ke medan amal makruf nahi mungkar yang berpaksikan pada Iman dan Taqwa.
Ini suatu pemerhatian rambang tetapi sudah cukup untuk saya rasa khuatir.Saya telah melalui ranjau-ranju jalan yang mereka ini sedang lalui dan saya takuti mereka akan terjebak sekiranya tiada pihak yang menarik perhatian mereka untuk mengubah strategi networking mereka. Seharusnya perkembangan teknologi dilihat sebagai cara kita menghayati kebesaran Allah, Kekuasan Allah dan Qudrat dan IradatNYa. Jika ini dilupai maka kerugianlah jawapannya.
Semoga anak cucu saya membaca entry saya ini dan membuka fikiran baru. Yang tua sememangnya tua. Tetapi Orang tua ada kebijaksanaan. Kebijaksanaan hanya melalui pengalaman.Alhamdulilah. (There is a difference between being smart and being wise. Young people are smart and intelligent. But they lack the wisdom which come with years of life.)
Sekarang ini saya selesa minum kopi "air asah parang" bersama anak-anak muda yang memahami erti perjuang dalam hidup, visi dan misi kehidupan yang wadahnya kebenaran yang termaktub dalam Islam. Semoga anak cucu tidak membiarkan waktu berlalu kekosongan dan semoga menyedari hakikat bahawa masa itu Ibadah. Ibadah tidak tunggu tua, kerana kita tidak tahu bila kita akan dipanggil ke sana buat selamanya. Allah telah kurnia banyak kemudahan dan keselesaan hidup.
MAKA NIKMAT ALLAH YANG MANA SATU YANG HENDAK KAMU DUSTAKAN.
Sunday, July 25, 2010
SEMUANYA BERTASBIH.
Hati kecil ku sering berbisik-bisik, kalaulah kucing ku boleh bercakap, kerusi meja ku boleh berbicara, tumbuh-tumbuhan di sekeliling ku boleh berkata-kata, pastinya aku akan ditegur betapa kurangnya aku bertasbih mengingati Allah. Sebenarnya selalu sahaja aku memotivasi diri untuk lebih fokus kepada penyucian minda dan hati tetapi hasilnya masih jauh kebelakang. Sudah agak lama juga aku tahu mengenai firman Allah swt mengenai hal ini tetapi aku belum mendapat tahap kekhusyukan yang sewajarnya.
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujinya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh Dia maha Penyantun, maha Pengampun." Surah Al Isra' ayat 44.Ada setengah pendapat mengatakan bahawa kita harus bertasbih sebanyak munkin kerana dengan itu kita terbantu untuk khusyuk di luar solat. Kalau kita khusyuk di luar solat maka mudahlah kita khusyuk di dalam solat. Semoga Allah mengurniakan hati-hati kita menjadi lembut dan sentiasa mensyukuri segala nikmatnya SEMOGA KITA RAJIN BERTASBIH.
Friday, July 23, 2010
ARUS PERJUANGAN - PERANAN BAGI YANG LANJUT USIA
Baru-baru ini saya berkesempatan berbincang-bincang dengan sekumpulan warga muda umur 30an dan awal 40an. Seronok berbincang dengan kumpulan yang penuh semangat untuk aktif bukan sahaja membangun keluarga sendiri untuk mencapai kecemerlangan dunia akhirat, tetapi juga kumpulan ini aktif dalam membina barisan orang-orang muda yang serious dalam perjuangan menegakan Kebenaran seperti yang dituntut dalam alQuran dan Hadis.
Antara kumpulan golongan muda yang berbicara.
Kami berbincang beberapa perkara dan antara yang menarik perhatian saya ialah mengenai wawasan rakyat Malaysia untuk negara Malaysia. Tetapi ini bukan bererti kami taksub dengan isu-isu Malaysia hingga kita lupa isu mengangkat dan menjunjung kedaulatan Islam. Ia hanya menjadi sebahagian perbincangan sokongan. Kalau semua negara Islam di dunia ini bersatu dalam wawasan mentauhidkan Allah sebagai asas perjalanan hidup maka pasti pertolongan Allah itu hampir.
Tetapi di mana letaknya golongan lanjut usia dalam arus perjuangan ini. Satu soalan yang saya rasa agak sususah dijawab di hadapan mereka yang lanjut umur, kerana kebanyakan mereka dalam golongan lanjut umur ini sudah mula tidak mengambil tahu apa yang ada di luar sana. Ramai yang dalam golongan umur saya hanya sibuk ke masjid-masjid sahaja dam menambah ilmu munkin kerana semasa muda dahulu disibukan dengan kerja-kerja duniawi sahaja. Maka banyaklah ilmu yang diperolehi tetapi ditakuti tidak kesempatan untuk mengimplementasi ilmu tersebut. Entahlah. Mungkin salah telahan saya ini kerana pemerhatian sangat rambang dan pasti ada kelemahaqn dari segi kesahihan fakta.
Saya mengambil kesimpulan tersebut kerana ada suara-suara golongan muda yang mengatakan seperti : "Kita tinggal diaorang kalau diaorang tidak dapat memahami atau tidak boleh menerima pendapat-pendapat terkini dalam masaalah yang kita hadapi. Almaklum, dulu keadaan lain, sekarang lain, tapi kalau diaorang tetap dengan pendapat dulu, elok kita tinggalkan sahaja."
Saya agak "tersinggung" juga dengan kata-kata seperti itu. Mungkin saya terlalu sensitif dan tidak lagi realistik dalam menghadapi fenomena baru dalam arus perjuangan. Tetapi saya agak selesa bila ada golongan yang mengatakan: Jangan kita cepat-cepat "write-off " diaorang. Itu tak betul juga. Kita mesti buat kajian yang betul-betul rapi dan komprehensif sebelum kita membuat kesimpulan atas sesuatu perkara. Jangan kita ikut persepsi individu atau kumpulan semata-mata. Ini kadang kala "bias", berat sebelah. Contohnya, mesti ada kajian mengapa Singapura terpecah dari Malaysia, yang dahulunya Bumi Isalm tetapi sekarang bukan Bumi orang Islam. Dalam pertarungan kuasa, prinsip apa yang terpakai. Dan bermacam-macam lagi soalan yang perlu dijawab berasaskan kajian yang menyeluruh. Bukan atas sentimen kepartian sahaja. "Oleh kerana itu keputusan party saya, maka saya tetap sokong." Kalau begitu sikap kita, maka kita tidak akan dapat membuat pembetulan atas masaalah -masaalah yang serupa. Sentimen dan pengalaman boleh menjadi suatu yang negatif dalam proses membuat keputusan. Kita bukan sahaja buat kajian, kita lihat juga sirah Nabi Muhamad saw dan Sahabat-sahabat baginda dalam mencari penyelesaian.
Kalau sudah ada kajian, dan fakta-fakta yang logik dan benar dapat dirumuskan (yang logik tidak semestinya benar) , barulah kita boleh tinggalkan mereka yang tidak mahu membuat perubahan. Memang ramai antara kita yang takut hendak berubah sebab banyak kepentinaga yang akan terjejas, tetapi perubahan perlu kalau kita pasti yang dahulu itu silap. Sebab itulah kita dituntut Berhijrah kalau menemui jalan buntu.
Saya boleh terima pendapat itu. Terutamanya kalau perbincangan-perbincangan itu patuh dengan prinsip Islam. Ajaran Rasulullah didahulukan, prinsip perjuangannya dicontohi. Doa dan munajat pada Allah tidak putus-putus. Hanya Allah yang maha bijaksana dan pertolongan dariNya sahaja yang kita pohon.
Maka saya berkata pada kawan saya : "Kalau golongan lanjut usia hendak sentiasa dianggap relevan, maka kita harus menjadi, antara lain, seperti AsSyahid Sheikh Ahmad Yassin seorang pejuang Palastine dan lain-lain sepertinya. Sudah tidak bermaya dari segi fisikal, tetapi Yahudi tetap takut padanya dan dia dibom dari udara.
Wahai sahabat-sahabat saya yang lanjut usia, kita bagaimana?
Semoga Allah memberi keampunan atas kelalaian semasa muda dan semoga masa yang tinggal sedikit ini Allah anugerah Rahmatnya dan membuka peluang dan ruang untuk kita bersama dengan golongan muda mara kehadapan dalam perjuangan menegagakan Islam. Di celah-celah kesibukan, kita hiburkan hati semoga kita termasuk dalam kategori golongan orang yang disebut dalam hadis berikut:
"Daripada Anas ra bahawa Rasulullah saw bersabda: Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba ia akan mengangkat sebagai pegawaiNya. Para sahabat bertanya: Bagaimana cara Allah mengangkatnya sebagai pegawai?, Rasulullah menjawab: Allah akan memberikan kepadanya Taufik untuk mengerjakan sebuah amal soleh, kemudian Allah mengambil nyawanya ketika masih melakukan amalan tersebut." (HR Ahmad dan Hakim)Allahuma Amin.
Thursday, July 22, 2010
RASUAH - SUATU PENYAKIT
Allah berfiraman yang bermaksud:
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya; dan mereka mendapat azab yang pedih, kerana mereka berdusta.
Dan apabila dikatakan kepada mereka 'janganlah berbuat kerosakan di Bumi', mareka menjawab, 'sesungguhnya kami orang-orang yang berbuat kebaikan',
Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang berbuat kerosakkan, tetapi mereka tidak menyedari".
Surah Al Baqarah, ayat 10,11 d1n 12.Hati yang berpenyakit bukan bererti hanya hati orang MUNAFIK seperti permulaan maksud topik ayat-ayat tersebut. Penyakit mencakupi semua jenis penyakit termasuk pelanggaran nilai-nilai yang ditetapkan oleh agama Islam. Kerana hasratnya bermula dari hati. Ia mengakibatkan alam ini boleh rosak dan sesuatu negara boleh porak peranda.
Pada 11 Julai baru-baru ini saya nampak 'bill board' seperti di atas yang saya rakamkan dengan camera telefon saya. Ia terletak di tempat kami 'Check-in' di kaunter Air Asia, di Jakarta. Saya tersenyum dan agak kagum Indonesia mahu terang-terangan menerima kelemahan dan cuba membenteraskannya dengan cara yang agak telus. Ini membuat saya berfikir-fikir dengan kedudukan di negara kita Malaysia. Kepimpinan kita telah berulang-ulang kali mengingatkan bahaya jenayah Rasuah. Maka ditubuhkan ajensi-ajensi seperti Badan Pencegah Rasuah (dahulu, sekarang mungkin atas nama lain dan banyak lagi ajensi yang berkaitan dengannya)) dalam usaha membenteras rasuah. Saya mengakui ada keberkesanan, tetapi hanya pada yang kecil kecilan. Itu yang disuarakan oleh rakyat di media massa jika berpeluang atau dalam seminar-seminar atau dalam ceramah-ceramah politik. Parti pemerintah pun mengakuinya dan menyarankan supaya ini diberhentikan serta merta. Tetapi saya secara peribadi belum nampak hasilnya. Mungkin tidak diceritakan atau mungkin diceritakan tetapi saya kurang membaca dan kurang bergaul dengan kumpulan-kumpulan yang tahu mengenai masaalah ini.Jangan nanti kita dikatakan seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan lurus. WaAllahua'lam.
Saya berdoa semoga ada sesaorang yang berpengaruh yang membaca blog saya ini, Saya ingin mencadangkan 'bill board' seperti di atas diletakan di tempat-tempat strategik, terutamanya di pejabat-pejabat mereka yang kebarangkalian potensi Rasuahnya tinggi. Saya percaya mereka dapat mengambil peringatan. Pilih kata-kata yang dapat menyedarkan diri akan bahaya rasuah. Mana tahu akan berkuranganlah kerugian kerajaan yang disebabkan fenomena ini. Maklumat mengenai rasuah di negara ini ada dalam pengetahuan pelabur-pelabur luar negara. Kalau kita tidak buat 'bill board' seperti di atas, mereka pun akan tahu. Ada badan-badan yang mengawasi perilaku budaya sesebuah negara.
Rakyat ada yang bertanya dan saya sendiri pun tertanya-tanya kemanakah pendapatan hasil mahsul kita disalurkan dan dibelanjakan. Negara ini Allah swt anugerah kekayan bumi yang amat lumayan, alhamdulilah. Tidak ada pula ribut taufan dan banjir besar-besaran. Tidak ada gunung berapi, tidak ada tumpahan minyak, tidak ada kebakaran hutan dan sebagainya. Negara kita Allah amat pelihara. Tetapi kenapa kita masih merasakan ketidak kecukupan kewangan dalam mengurus dan mentadbir negara. Walaupun demikian rakyat hidup seperti tidak merasakan kekurangan ini. Takut-takut ini istidraj kerana kadar kemungkaran agak tinggi tapi negara kita aman damai. Cuma saya perhatikan yang miskin masih miskin dan aktiviti penyelidikan dalam berbagai bidang belum ke tahap yang membanggakan. Mungkin saya tidak tahu. Tolonglah sesiapa beritahu saya bahawa saya tidak perlu bimbang dengan masaalah rasuah di Malaysia.
Rasuah sama dengan perbuatan Mencuri. Perasuah mencuri dari mereka yang lemah. Jika perasuah itu Isalm, tidak takutkah pada pembicaraan dihadapan Allah nanti di akhirat. Dosa rasuah tidak boleh hapus dengan hanya mohon ampun pada Allah. Perasuah semestinya mengembalikan apa yang di curinya. Jika orang Islam senang dengan budaya rasuah, orang bukan Islam pasti tidak akan segan silu. Maka apa akan jadi pada negara kita ini. Sesuatu perbuatan mungkar akan ditutup dengan satu perbuatan mungkar yang lain, seperti orang berbohong. Maka perbuatan rasuah ini akan bertali-tali. Siapa yang akan memberhentikannya? Siapa yang akan mengawalnya?
Doa saya semoga Allah mengganti perasuah-perasuah ini dengan orang-orang yang benar-benar berakhlak mulia dan berintergriti tinggi.Tidak kira di mana mereka berada, dalam kerajaan atau swasta. Semoga Malaysia selamat dan sejahtera hingga ke anak cucu turun temurun.
AllahumaAmin.
Tuesday, July 20, 2010
MENGGAPAI HARAPAN AKU TERPILIH
Dua atau tiga hari lalu baru teringatkan Raden Galoh yang saya kenal hanya melalui pembacaan blognya (onebreastbouncing). Hari ini 19 Julai, khabarnya Allah telah menjemputnya pulang. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya dan Allah meredhainya dan menempatkan ruhnya bersama ruh orang-orang yang soleh.AlFatihah.
Berita pemergianya menyentuh rasa dan pemikiran saya kerana sekian lama saya membaca blognya dan sekian lama saya menginsafi hakikat bahawa akhirnya kita semua akan pulang kepadaNya. Apa jua pedih peri yang kita rasakan adalah RahmatNya dan kasih sayangNya yang kita sering tidak mengerti. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadanya kita semua akan dikembalikan.
"Menggapai harapan aku terpilih" adalah antara seni kata lagu yang dirakamkan bagi mengingati bagaimana ia melalui hari-hari dalam hidupnya mengurus Cancer yang Allah takdirkan baginya. Jalan pulang pada yang maha Pencipta adalah berbagai. Ada yang sakit dan ada yang tidak sakit. Saya juga sakit-sakit, bukan Cancer tetapi penyakit "tiga serangkai". Kini jantung saya sudah mula menampakan kesannya. Tetapi Alhamdulilah, dengan ini Allah memberi amaran untuk jangan lalai bagi perjalanan seterusnya.
Dalam beringat-ingat dan berusaha untuk tidak lalai, saya dan suami bercadang untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadhan ini. Sudah lama saya ingin menjadi tetamu Allah pada bulan puasa tetapi hingga kini belum kesampaian. Urusan perjalanan masih belum selesai dan hari-hari yang tinggal amat sedikit untuk keselesaan. Sepertinya saya khuatir saya tidak terpilih menjadi tetamu di bulan mulia ini. Takut bercampur harap, itu sahaja yang saya mampu untuk memujuk hati dan berdoa sepuas hati.Semoga saya terpilih sebagai hamba setia yang berkeyakinan tidak berbelah bagi.
Kerinduan untuk menjejak kaki di Bumi Suci hanya Allah yang mengetahui. Dirasakan di situlah nanti saya dapat berbicara dari hati kehati, menyatakan masaalah dan memohon diterima taubat nasuha sepanjang hidup ini dan memohon saya terpilih untuk dianugerah redhaNya dan merasai dakapan kasih-sayangNya yang tidak terhingga.
Namun saya renungkan juga hakikat erti nama-nama allah dan sifat-sifatnya yang tertinggi dan ketahap infinity. Saya yakinkan minda dan hati nurani ini bahawa redha Allah tidak semestiny melalui jalan-jalan di Bumi Suci, melutut sujud dan menitis air mata tanpa henti. Rahmat Allah dan kasih sayangNya ada di langit-langit dan di bumi di mana jua kita mengabdikan diri dengan penuh ikhlas dan penyerahan yang bulat dihati. Maka jika saya diterima sebagai tetamu di bulan Ramadhan ini, saya akan rasa gembira dan bersyukur Allah meanugerah ruang dan masa untuk diri ini dan suami. Jika tidak saya yakin perancangan Allah adalah terbaik kerana Dia zat yang maha suci, maha menganugerah dan maha mengetahui. Dia juga zat yang maha adil dan maha mengasihani. Kegembiraa dan kesyukuran tidak akan berbelah bagi kerana kita hambanya dan seharus redha atas apa jua pilihanNya. Jika kita meningkatkan Iman dan Taqwa dan beramal soleh dan menghidar kemurkaanNya, pasti RahmatNya akan terserelah bagi kita. Pengabdian diri tidak semestinya di Tanah Suci. Cumanya kita rindu sebab itu tempat yang istimewa warisan nabi-nabi yang dulu. Semoga rasa " menggarap harapan aku terpilih" bukan setakat tetamu di Baitullah semata, tetapai diakhir hayat nanti semoga "aku terpilih sebagai hambanya" seperti dalam Al Quran, surah Al Fajr ayat 27-30.
" Hai jiwa yang tenang kembalilah pada tuhan Mu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, Maka masuklah dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah dalam SyurgaKu".Amin.
Monday, July 19, 2010
MY LATE FATHER ONCE SAID..........
Allahyarham bapak pernah berkata dan selalu berpesan dengan maksud : "Kita miskin tapi jangan sampai minta-minta". Bapak saya seorang pendatang dari Tanah Jawa dan semua pesanannya dalam bahasa Jawa. Kami bertutur dalam bahasa Jawa di mana-mana. Emak saya pun pendatang dari Jawa dan saya seronok berketurunan Jawa. Tradisi bekerja kuat tanpa mengira kepenatan mengalir dijiwa saya. Rupa-rupanya pesanan itu bukan sahaja bermaksud supaya rajin berkerja agar tidak jadi peminta sedekah tetapi juga membawa mesej yang lebih mendalam dan jauh. Bapak saya pernah bercerita di seorang santri (pastinya di Pasentren, walaupun tidak dikatakan begitu). Maka dengan berkerja kuat saya pasti dia berharap agar kita memenuhi sebahagian besar perintah Allah supaya istiqamah dalam kerja-kerja yang baik dalam proses pengabdian pada Allah.
Hari ini saya menjumpai semula gambar Allahyarham bapak saya apabila saya mengemas barang-barang untuk disusun semula.Inilah sahaja gambar yang saya ada dan yang keluarga saya ada. Sayu saya bila teringat saya tidak banyak mengenali bapak saya ini kerana ia pulang keRahmat Allah pada tahun 1964 semasa saya berumur 16 tahun. Gambar ini diambil di studio ketika hendak membuat passport Haji dalam awal tahun 1962. Alahai ! Manalah kami ada kamera waktu itu.....
Ketika itu perjalanan menunaikan Haji bagi penduduk Johor adalah melalui Singapura dengan kapal laut. Saya ingat pergi menghantarnya tetapi amat sedikit yang saya faham mengenai pemergian itu. Saya anak yang bongsu dari lapan orang adik beradik yang semuanya perempuan melainkan seorang abang di atas saya. Sebagai yang bongsu saya hampir tidak pernah dirundingi dalam apa jua hal keluarga termasuk menjaga kesihatan semasa tua.
Bapak saya berasal dari Solo di Indonesia. Saya difahamkan begitu. Kakak-kakak saya tidak pernah bertanya selebih dari itu maka saya pun kurang tahu asal usul yang lainnya. Memang sudah adat keluarga bahawa anak-anak tidak berani banyak bercakap samaada dengan emak atau bapak. Tetapi saya ingat kakak-kakak saya selalu mengejek-ejek saya kerana saya suka tidur disebelah bapak bila ada peluang. Kononnya saya anak manja. (Tentu kakak-kakak saya jealous) Oleh kerana saya bongsu saya ingat saya dapat "keistimewaan" sedikit. Saya dapat makan sama dan kadang-kadang saya ikut pergi kenduri sama walau pun saya perempuan.
Saya membesar banyak dengan bapak saya. Emak saya terpaksa ke kampong lain mencari rezki di sana sebagai penoreh getah. Semasa musim cuti sekolah saya bersama dengan Emak saya. Dengan emak saya pun saya dididik kerja kuat. Katanya nanti besar (dewasa) kita boleh hidup senanag. Sebenarnya saya tidak pernah rasa tertekan kena kerja kuat, asal sahaja saya dapat peluang main dalam celah-celah menghabiskan kerja. Saya masih ingat lagi makan di bawah pokok getah dengan sambal tumis ikan bilis dan ikan kering dan asam pedas nenas sahaja. (nenas percuma.ambil sahaja di kebun). Waktu itu makan ikan bilis dan sotong kering adalah untuk orang miskin kerana harganya murah. "Ikan ribu-ribu" kata kakak saya waktu itu untuk ikan bilis. Sekarang saya kata "masyaAllah" nikmat makan tidak semestinya di hotel 5 bintang atau di tempat-tempat lain yang mewah-mewah. Nostalgia pada saya bila makan sambal tumis ikan bilis dan ikan kering.
Memang benar kata orang bahawa budaya pendatang adalah untuk "survival". Bagaimana untuk hidup dan terus hidup. Kaum pendatang yang sekarang pun begitu. Tetapi kami dulu tidak seperti sekarang. Tidak pernah kedengaran waktu itu orang pendatang merompak dan penyamun. WaAllahua'lam.
Dengan minda "suvivorlist" bapak saya bukan sahaja bekerja bercucuk tanam ubi keladi dan keledek,(untuk makan dan untuk dijual) tetapi ia juga mengambil upah bekerja menggali parit untuk menanadakan sempadan antara tanah kebun milik orang-orang persaorangan. Saya seronok kerana di parit-parit itulah saya dapat tangkap ikan termasuk belud. Selain itu bapak saya membela beberapa ekor kambing dan ayam. Ia hanya dibantu oleh kaka-kakak saya. Kesemua usaha ini adalah untuk menentukan supaya kami tidak bergantung pada orang lain, dan dapat menghantar anak-anak ke sekolah. Legacy ini mahal bagi diri saya dan keluarga. "We take pride in being self sufficient". Itu yang saya katakan pada anak-anak saya sekarang untuk diambil tauladan.
Tetapi sekarang ini saya mengatakan bahawa budaya "self sufficient" tidak mencukupi untuk mendukung tanggong jawab sebagai seorang Muslim mukmin.Jika kita lihat sirah sahabat-sahabat Rasulullah saw, kebanyakkannya kaya-kaya dan dapat menginfakan kekayaan untuk orang lain yang memerlukannya. Tetapi walau apa pun yang kita buat, kita harus mempunya sikap sanggup bersusah payah, sanggup berperit-perit dan sanggup berkongsi apa jua dalam keluarga dan dalam jemaah. Walaupun bapak saya hanya dapat menurunkan legacy kuat berkerja, tetapi itu merupakan kualiti jati diri yang perlu ada untuk menjana usaha kegiatan yang lain dan asas bagi membolehkan "jump-start" bagi kegiatan yang keperluannya amat mendesak.
Itulah sedikit catatan Legacy bapak saya. Bapak saya sentiasa megatakan pada anak-anak supaya jangan banyak tidur dan jangan banyak makan. Nanti jadi orang "teledor", iaitu pemalas, hatinya mati dan suka menumpang hidup dengan orang lain. Makan bukan satu agenda besar dalam keluarga saya. Saya masih ingat bila balik sekolah rendah ketika itu saya akan terus ke kebun dan membakar ubi keladi untuk makan. Makan nasi jarang sekali kerana kami kurang mampu. Tapi berkat usaha dan kesabaran dan doa, saya membesar sihat. Alhamdulilah. Mampu bersukan, mampu belajar dan boleh bersaing dengan anak-anak bukan anak pendatang.
Saya bersyukur dan sekarang ini selalu memohon ampun untuk diri, emak dan bapak dan keluarga. Semoga Allah terima saya sebagaai hambaNya dan doa saya untuk emak dan bapak kesampaian. Semoga amal yang tidak sepertinya ini Allah kira sebagai amal soleh dan emak dan bapak juga mendapat munafaatnya. Dan semoga kami bertemu nanti di taman-taman syurga pilihan.
AllahumaAmin.
Saturday, July 17, 2010
AVERROES INI NAMA APA?
Pagi-pagi 2 Julai yang lalu saya bergegas ke hospital untuk temu janji dua-bulanan dengan pakar 'cardiologist'. Hari itu tamat kajian mengenai jenis ubatan untuk jantung saya yang bermasaalah. Kod kajian diberi nama AVERROES. Sudah 2 tahun saya merelakan diri menjadi bahan kajian tetapi tidak pernah tertanya apa itu Averroes.
"Averroes ini nama apa?" saya bertanyakan jururawat yang sedang mengurus saya apabila saya bersetuju sekali lagi untuk menjadi bahan kajian seterusnya.
"Takkan you tak tau. Shame on you." katanya mengusik kerana saya telah mengatakan padanya bahawa saya pesara perkhidmatan awam di Kementerian Pendidikan.
"Janganlah gitu, malu saya. Cakaplah," saya mendesak.
"He's a muslim scientist from Spain," dia berkata memandang muka saya dengan senyum sinis.
"Oh, ia ke? Nanti balik saya rujuk kat internet. "
Dia senyum lebar seolah-olah mengejek saya kerana benda mudah saya tidak tahu. Saya tidak rasa marah kerana saya lama menjadi bahan kajian dan jururawat ini sudah menjadi seperti kawan karib. TETAPI APA SALAHNYA TIDAK TAHU, ASALKAN SAJA KITA MAHU AMBIL TAHU. JANGAN KITA TIDAK TAHU TAPI MALU BERTANYA.
Saya balik ke rumah dan terus mencari apa dia Averroes melalui google. Rupanya Averroes ialah nama yang diberi oleh Barat bagi Ibnu Rushd. "Kalau Ibnu Rushd, saya pernah dengarlah," saya berkata kuat-kuat seorang diri. Saya seronok nama itu digunakan bagi kod kajian kerana pada saya itu satu penghormatan pada seorang tokoh dalam berbagai bidang dan terkenal dalam sejarah Islam. Cuma saya agak kesal kenapa tidak digunakan nama IBN RUSHD sebagai kod kajian. Hospital ini adalah Hospital University di Malaysia. Kepimpinannya orang Islam dan negara ini negara Islam. Kenapa malu atau takut menggunakan nama Islam. Nama ini akan serta merta menunjukan ia nama Islam. Tetapi, apa ada pada nama? Mungkin ada yang bertanya demikian. Pada apa jua, nama melambangkan berbagai keistimewaan. Dalam kes ini nama boleh memberi kesan pada jati diri sesaorang, terutamanya dalam bidang Sains dan Teknologi. Ia membuktikan orang Islam tidak lekeh, orang Islam boleh menerajui kepimpinan dalam apa jua bidag sekalipun.
Bukan begitu? Mari sama-sama kita fikirkan dan buktikan.
Friday, July 16, 2010
SAYANG PALESTINE 5 .... di mana jua
Kali ini (awal Juali 2010) saya dan suami bersama YBhg. Dato Safaruddin (selaku penasihat Aman Palestine) dan isteri telah pergi ke Kemaman, Trengganu untuk bersama dengan sebuah parti politik yang ingin menyampaikan sumbangan wang ringgit kepada rakyat Palestine melalui Aman Palestine, iaitu sebuah NGO yang bergiat gigih untuk membantu membebaskan Palestine dan Masjid Al Aqsa dari cengkaman Yahudi LA.
Apa yang menarik perhatian saya ialah hakikat bahawa sumbangan boleh datang dari mana dan dari siapa jua kerana ini bukan sahaja isu aqidah, tetapi adalah juga isu kemanusiaan. Isu membantu Palestine perlu ditangani di luar sempadan bangsa dan agama. Saya percaya NGO seperti Aman Palestine adalah berkecuali dari hal-hal politik menerusi parti politik. Tetapi gandingan usaha harus digalakan demi membela mereka yang dizalimi.
Apa yang menarik perhatian saya ialah hakikat bahawa sumbangan boleh datang dari mana dan dari siapa jua kerana ini bukan sahaja isu aqidah, tetapi adalah juga isu kemanusiaan. Isu membantu Palestine perlu ditangani di luar sempadan bangsa dan agama. Saya percaya NGO seperti Aman Palestine adalah berkecuali dari hal-hal politik menerusi parti politik. Tetapi gandingan usaha harus digalakan demi membela mereka yang dizalimi.
YBhg. Dato' sedang menunggu acara penyampaian sumbangan
Gambar kenangan di sekitar majlis penyampaian.
Berusaha untuk mendapatkan sumbangan buakan suatu yang mudah. Kadang-kadang kita boleh terjebak dengan perselisihan faham antara pihak yang berkaitan dan kadang kala ada pergeseran dari segi menentukan strategy dan bentuk sumbangan. Walau apa pun secara amnya saya berpendapat kerja-kerja amal seperti ini akan menjadi sia-sia kalau kita tergelincir nowaitu. Usaha seperti ini akan menjadi 'counter productive' kalau kita mahu menonjol diri dan mahu mempopularkan NGO yang kita anggotai. Usaha-usaha NGO seharusnya bertindak secara lengkap melengkapi. Tidak sepatutnya timbul isu meminggirkan mana-mana NGO semata-mata kerana perbezaan pendapat yang boleh diselesaikan melaluyi perbincangan hati kehati oleh hati-hati yang berjuang sema-mata kerana Allah jua.
Masaalah yang membabitkan setengah-setengah negara Islam dari segi mendapatkan pertolongan dan kerjasama sudah cukup rumit bagi rakyat Palestine. Ada negara-negara yang kita lihat semacam tidak suka Palestine bebas, tidak suka melihat kebangkitan Islam.Sama-sama kita berdoa semoga Umat Islam bersatu padu dalam membenteras kezaliman Yahudi dan sekutu-sekutunya. Sama-sama kita ingat kembali Al Quran surah An Nur ayat 55. Kemenangan hanya pada yang benar-benar beriman, beramal soleh dan tidak mensyirikan Allah walau sedikit pun.
Masaalah yang membabitkan setengah-setengah negara Islam dari segi mendapatkan pertolongan dan kerjasama sudah cukup rumit bagi rakyat Palestine. Ada negara-negara yang kita lihat semacam tidak suka Palestine bebas, tidak suka melihat kebangkitan Islam.Sama-sama kita berdoa semoga Umat Islam bersatu padu dalam membenteras kezaliman Yahudi dan sekutu-sekutunya. Sama-sama kita ingat kembali Al Quran surah An Nur ayat 55. Kemenangan hanya pada yang benar-benar beriman, beramal soleh dan tidak mensyirikan Allah walau sedikit pun.
WaAllahua'lam.
Wednesday, July 14, 2010
KAGUM
Sungguh fokus perhatian kanak-kanak ini kepada apa yang sedang dibacanya di atas bas sementara menunggu penumpang yang lainnya. Saya ambil gambar tanpa dihiraukan olehnya.Saya sebenarnya tertarik hati dengan perbadi sopan dan berhemah diri walaupun ia baru berumur 9 tahun.MasyaAllah, saya kagum dengan cara ia berinteraksi dengan bapanya dan adiknya dan kami semua yang berpangkat datuk dan nenek kepadanya. 'Jihad' adalah namanya, iaitu Jihad 'Abdillah bin Musa. Saya terpegun mendengar nama itu buat kali pertamanya ia digunakan. Dan saya seronok kerana ia bersama rombongan kami ke Garut untuk "soft opening" Situwangi Boarding School pada minggu ini.Ia datang bersama ayahnya yang kami panggil sebagai Ustaz Musa. Beliau adalah anatara yang menyumbang kepakaran mengenai bagaimana melaksana kurikulum bersepadu untuk Sekolah ini yang juga berpaksikan pada budaya pasentren. Adiknya juga ikut sama dan ia berumur 6 tahun dan Ustaz Musa memberi nama Royyan Abdillah. Ia bererti pintu syurga bagi orang-orang yang berpuasa dan amalannya Allah redhai.
Ia dilahirkan pada bulan Ramadhan. Royyan juga berwatakan sopan dan tertib. Ini tidak bererti mereka pendiam dan tidak responsive. Sebaliknya, mereka menunjukkan kelincahan mereka ketika diajak berbual dan bermain 'game' semasa di dalam bas. Cukup bijak dan cerdik.Gambar disebelah kanan, saya rakamkan semasa di Garut untuk kenanagn dan untuk saya ceritakan pada cucu-cucu saya melalui blog ini. Semoga ada munafaatnya. Saya tidak begitu selesa bercerita dengan anak-anak bagaimana menjadi ibu-bapa yang prihatin terhadap membina dan mendidik akhlak dan keterampilan anak-anak. Saya berumur 63 tahun dan anak-anak merasakan saya terlalu banyak "bercakap" dan di Face Book saya terbaca mereka akan gunakan istilah "sessi ceramah" bila lepas mendengar "leteran" saya. Tidak mengapa kerana saya hanya menjalankan tanggong jawab. Biar Allah yang menilai, tidak ada isu 'bias' atau 'double standard' atau apa jua. Orang muda sekarang lebih yakin dengan apa yang diperkatakan di alam cyber berbanding dengan apa yang dikatakan terus terang oleh orang-orang tua. Hadis ada mengatakan bahawa anak yang dilahirkan adalah seperti kain putih. Ibu bapanyalah yang mewarnakan mereka untuk jadi Yahudi, Nasrani atau orang yang beriman. Saya sendiri suka muhasabah diri. Mungkin saya sendiri tidak sampai ke tahap yang sewajarnya sebagai orang tua.
Walaubagaimana pun saya tetap kagum dengan anak-anak yang menyertai rombongan ke Garut baru-baru ini. Mereka mudah disuruh membaca doa dan bernasyid memuji Allah. Lebih kagum lagi bila mereka itu amat mudah menurut arahan apabila tiba saat untu solat. Jihad dan Royyan hanya perlu di cuit bahu mereka dan ditunjukan tempat sejadah untuk terus patuh berdiri berjemaah. MasyaAllah. Semoga mereka menjadi pejuang pelapis membela hak orang-orang Islam dan menegakkan kebenaran.
Anak-anak harapan.
Solat berjemaah, walaupun masuk masbuk
Tidak perlu pakaian telekung, apa jua asalkan menutup aurat.
Tuesday, July 13, 2010
GARUT.....memacu usaha mengejar cita-cita.
Pada 8 Julai, subuh-subuh lagi kami telah bertolak dari Jakarta untuk ke Garut, sebuah daerah ke arah Bandung dan memakan masa empat atau lima jam setelah mengambil kira kesesakan jalan raya dan istirihat sebentar. Garut merupakan sebuah daerah dilereng bukit bukau yang agak tinggi dan udaranya amat nyaman. Ia agak dingin diwaktu malam dan pendudunya rata-rata adalah pekebun.
Di Garutlah letaknya Situwangi, sebuah perkampungan yang telah dipilih untuk dibina sebuah sekolah dengan kurikulum yang terpadu. Yayasan Situwangi menamakannya Situwangi Boarding School. Sekolah ini mula di rancang pada Oktober 2009 dan kini beberapa bangunan telah siap untuk memulakan pendaftaran pada minggu kedua Julai bagi seramai 30 orang untuk permulaan. Pengasas sekolah ini bercita-cita untuk menerajui pendidikan Islami di rantau ini yang mampu membina generasi Rabbani yang soleh, professional, hafal al Quran dan melahirkan pemimpin-pemimpin yang berjiwa waja, berjati diri dan boleh menjana perubahan bila diperlukan selaras dengan tuntutan Tuhan yang maha Esa.
Antara ahli pelaksana projek
Perbincangan Di Tapak
Mudir no. 2 dari kanan dan Timbalannya di kiri sekali.
Bangunan Masjid didahulukan.
Bangunan asrama yang akan digunakan untuk bilik-bilik darjah juga buat permulaan.
Pembinaan bangunan yang lain nya.
Mengakhiri lawatan dan perbincangan.
Dalam perjalanan pulang dari Garut, saya banyak berfikir-fikir sama ada saya akan dianugerah peluang oleh Allah untuk datang sekali lagi dan melibatkan diri seterusnya.Saya berdoa semoga usaha ini menjadi sebagai jambatan ukhuwah antara teman-teman di Malaysia dan di Indonesia. Juga ia menjadi sebahagian dari usaha menyatukan ummah kearah satu perjuangan, iaitu menegakkan Islam dan mendapat keredhaan Allah yang maha berkuasa.
Di bawah ini saya rakam coretan fikir-fikir saya semasa dalam perjalanan pulang.
GARUT,
Nama mu terselit dihujung dunia.....
Tiada yang peduli akan keindahannya
Bila disebut GARUT tidak ramai yang tahu apakah dia.
Tetapi bagi ku nama itu membawa bahagia
Ia menggamit semangat korban dan semangat juang
Dan di situlah erti sabar diperjelaskan dan dapat dirasakan
Di Garut....
Impian ku untuk membina sebuah Pasentren hampir menjadi kenyataan
Walaupun impian itu hanya merupakan sebahagian
Kerana di Garut aku hanya menyumbang waktu dan pengalaman
Allah belum mengurnia bagi ku harta kekayaan yang lumayan.
Tetapi setakat itu pun sudah cukup bagi ku mendapat kepuasan
Bersyukur atas segala nikmat kurnia Allah yang maha pengasih maha penyayang.
Umur ku mungkin tidak kesampaian
Melihat hasil sepenuhnya melahirkan warga yang pintar, soleh dan berwawasan
Membela marwah dan membela kedaulatan Islam
Agar manusia tunduk mengabdikan diri seperti yang di seru melalui alQuran.
Hanya doa yang mampu ku panjatkan
Semoga Allah melimpahkan keampunan dan keredhaan.
Jalan-jalan menuju Ilahi dalam keadaan kita redha dan Allah meredhai
Tidak serupa bagi semua diri
Tetapi yakinlah ....
Kasih sayangNya meliputi semua yang di langit-langit dan di bumi
Apalah keperitan dan kepedihan yang dilalui di dunia ini
Kalau nanti di Hari Penentuan kita bahagia dan Syurga menanti
Lalu nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan?
Tuesday, July 6, 2010
SAYANG PALESTINE 4 -- pejuang pelapis
Dengan limpah kurnia Rahmat Allah kita ada pejuang pelapis untuk membebaskan Palestine dan Masjid Al Aqsa. Alhamdulilah. Tetapi kita tidak akan tunggu hingga anak-anak ini membesar. Demi Al Aqsa, kita akan bekerja kuat untuk capai azam itu sekarang. Sudah lebih 60 tahun Israel merampas hak asasi orang-orang Palestine dan menggangu ketenteraman Masjid Al Aqsa. Kita tidak akan duduk diam. (Hey Israel bedebah! Jangan ingat kami mengalah.Agaknya begitu kata Hang Jebat kalau dia masih hidup)
Lihat betapa khysyuk dua anak remaja ini mendengar
peristiwa serangan Israel.
Pada malam Isnin 5 Julai, di Masjid qariah Kg. Tunku, Petaling Jaya kita mendengar cerita sebenar pencerobohan regime Zionist Israel dari seorang saksi yang menyertai konvoy LL4G baru-baru ini, ia itu Hj. Nor Azman bin Hj. Shamsudin dari NGO Haluan. Saya insaf kerana saya tidak mendapat peluang berjuang seperti mereka di kapal Mavi Marmara baru-baru ini yang cuba membawa masuk barang-barang peri kemanusiaan kepada rakyat Palestine dan khususnya bagi Gaza. Israel adalah kaum yang tidak boleh dipercayai. Mereka pendusta. Lihat ayat-ayat Al Quran yang menceritakan betapa mereka itu bersifat pengkhianat.
Hadis mengatakan siapa jua yang membantu mereka yang berperang FiSabililah mempertahankan bumi Islam, maka orang itu juga mendapat habuan seperti mereka yang gugur syahid di medan perang. Penduduk Kg. Tunku diseru tampil kehadapan membantu mengikut kemampuan masing-masing. Dan sama pentingnya ialah supaya kita mendidik anak-anak dan cucu-cucu supaya berilmu dan beramal dan dewasa nanti mereka akan sungguh-sungguh komited dengan perjuangan Islam. Dalam kapal tersebut seorang yang telah syahid ialah remaja berumur 19 tahun. Semoga Allah menerima matinya sebagai syahid. Semua jenazah wangi-wangi belaka. Maka kami disarankan supaya jangan takut menegakkan hak kerana kita dipihak yang benar walau pun Amerika dan sekutunya mengatakan mereka itu terrorists. Ingat kita pada Salahuddin al Ayubi, pemimpin para pejuang yang dulu pernah membebaskan Palestine dan Masjid al Aqsa. Antara sebab orang Islam tidak kuat bertahan kerana iman dan taqwa kita mula menurun. Maka kita diingatkan supaya membina iman melalui ilmu dan amal. Semoga Allah akan memberi pertolongan dan memberi kemenangan yang berkekalan.
Amin.
Thursday, July 1, 2010
SAYA "A WILLOW TREE".
Apabila seorang teman mengatakan bahawa asSyahid Hassan Al Banna menyeru agar kita hidup seperti pohon yang buahnya manis, lantas saya teringat semasa bekerja dahulu nama 'kembar' saya ialah 'willow tree'. Ini hasil suatu kursus muhasabah dan motivasi diri yang dikendalikan oleh syarikat perunding antarabangsa yang dikendalikan oleh seorang 'clinical psychologist' berbangsa Amerika berketurunan Afro.
Pada permulaan kursus itu pakar psikologi ini meletakan peserta yang rata-ratanya berjawatan tinggi kesatu tahap yang amat rendah dari segi kebolehan memimpin, membuat keputusan, kreativiti dan sebagainya. Kami di anggap 'no class', 'no style' dan 'no future'. Boss-boss yang menjadi peserta memberontak, rasa malu dihati dan ada yang meninggalkan kelas tanpa tunjuk sebab dan tanpa memberi tahu sesiapa. Ada yang rasa geram dan menangis selepas sessi selesai. Tetapi ada juga yang 'steady'. Saya sendiri rasa biasa sahaja. Alhamdulilah, mungkin kerana saya pernah berada di Amerika beberapa ketika dan agak memahami juga cara berkomunikasi dan cara pengendalian watak sesaorang oleh orang Amerika.
Sebenarnya pendekatan secara psikologi itu adalah suatu strategi supaya peserta dapat mengenali diri dengan lebih mendalam lagi, faham akan kekuatan dan kelemahan dan selepas itu barulah boleh menghadapai masaalah pengurusan yang berbagai rupa cabarannya. Kami melalui satu sessi memahami diri dan diakhir sessi itu kami memilih nama bagi diri sendiri yang menggambarkan siapa kita yang sebenarnya. Nama yang kita pilih seharusnya melambangkan intipati watak kita dan kesungguhan kita yang dengannya ia boleh membawa kita ke suatu tahap pencapaian apa jua objektif yang kita letak sebagai keutamaan dalam usaha pencapaian matlamat dalam organisasi kita. Prosesnya memakan masa beberapa sessi hingga ke tahap kita dapat menginsafi diri. Diakhir sessi saya pilih nama simbolik diri saya sebagai "a willow tree".
Gambar ini bukan pohon yang dinamakan 'willow tree'. Saya ambil gambar ini semasa saya dan teman "kembara" ke Sri Lanka. Ia mengingatkan saya tentang 'willow tree' yang hidup di negara-negara atas angin. 'Willow tree' pohonnya amat rendang dan dedaunnya melampai kebawah, cantik sekali. Selalunya ditanam ditepi-tepi sungai dan ditepi tasik di taman-taman yang terjaga rapi.
Saya gemar melihat pokok-pokoka.Tetapi saya tidak melihatnya dari sudut sains kerana saya tiada ilmu dibidang itu. Cuma saya suka pokok kerana saya dilahirkan di kampung dan membesar di kampung. Semestinya berjalan sebatu dua sebelum dapat menaiki bas atau apa jua kenderaan. MasyaAllah, rupa-rupanya Allah membina kekuatan diri dan saya mengharungi kedewasaan tanpa banyak masaalah dari segi menghadapi kesusahan dan kesulitan dalam hidup.
Mungkin penerangan saya mengenai kursus ini di mana akhirnya saya memilih "willow tree" agak susah difahami oleh pengunjung blog saya. Sebenarnya saya cuma ingin memberi tahu bahawa saya ini sedikit-sebanyak ada ciri-ciri "willow tree". Saya bukan seperti pohon Enau yang melepaskan diri keatas supaya mencapai cahaya matahari bagi dirinya sendiri sahaja. Sedikit sebanyak saya suka menolong mereka yang memerlukannya. Alhamdulilah Allah melorong saya ke situ. Perumpamaannya adalah seperti pohon "willow"yang rendang dan dedaunya melampai kebawah. Ia menarik perhatian orang untuk datang berteduh dari cuaca yang panas. Di bawahnya redup dan udara agak nyaman. Orang Barat kata pohon ini "graceful and refined". Saya suka menambah pada rupanya yang"elegant" dan dedaunya tidak berguguran hingga terkumpul dan menjadikan kawasan sekelilingnya nampak serabut. Gambar di atas sedikit sebayak ada mirip "willow tree".
Bila keadaan redup orang mudah rasa terpanggil dan datang, iaitu datang hampir padanya. Kadang-kadang untuk berpiknik dan bersantai di bawahnya. Binatang-binatang kecil yang jinak pun suka duduk di bawah pokok ini mencari apa jua makanan yang sesuai. Ini sedikit sebanyak memberi gambaran akan diri saya. Saya ingin mudah menjadi tempat bernaung diri jika ada masaalah. Itulah yang saya katakan dalam kursus apabila diminta menjelaskan pilihan nama "willow tree" itu. Ia hanya sebagai perumpamaan (analogy). Pada ketika itu seandainya saya boss, pembantu-pembantu saya tidak perlu rasa gusar masuk pejabat saya untuk penjelasan masaalah dan berbincang. Orang awam pun mendapat peluang berjumpa tanpa banyak protokol. Cara saya mudah. "I am client friendly'. Tanpa mereka siapalah saya, merupakan falsafah tersembunyi. Saya suka jika teman-teman disekeliling saya boleh menganggap saya sebagai "a shoulder to cry on".
Dalam kursus itu ada yang memilih nama"sunshine" untuk menggambarkan mereka menerangi hidup siapa jua yang memerlukan. Ada yang memilih nama "possibilities" untuk mencabar diri supaya tidak rasa teragak-agak untuk mencuba perkara-perkara baru dalam tugas dan hidup harian. Ada yang melilih nama "Lion" untuk meyakinkan diri bahawa ia tidak perlu gentar berhadapan dengan sesiapa pun, kerana jika kita bersikap berani maka banyak masaalah boleh diselesaikan. Ada juga yang memilih nama "love" untuk menyatakan dia sentiasa bersedia untuk berkongsi nikmat apa jua yang sesuai mengikut kemampuan dan mengikut keperluan. Dan ada bermacam-macam lagi nama yang terpilih. Di akhir kursus pserta-peserta tidak lagi rasa marah. Semua setuju kita dapat perspektif baru dalam dunia kepimpinan dan pengurusan.
Saya catat pengalaman ini dalam blog saya sebagai satu perkongsian hakikat hidup bahawa kita boleh memujuk dan mendidik diri untuk menjadi sesaorang yang bersikap positif. Kursus itu cuba meyedarkan peserta bahawa jika ada sikap negatif pada diri seperti sombong, kedekut, malas, bengis dan sebagainya, maka kita harus menyingkirkan sikap itu jika kita mahu berjaya memimpin dan mendorong untuk mencapai matlamat dalam organisasi atau keluarga. Kursus itu mengajar bagaimana caranya menyepadu usaha ke arah itu. Cuma pendekatannya bukan pendekatan Islami. Tetapi ada nilai-nilai yang universal yang boleh dicontohi. Hari ini saya bercerita pada anak-anak mengenai pengalaman saya yang masih relevan. Maklumlah kursus itu dtjalankan pada awal tahun sembilan-puluhan. Mereka tidak perlu "reinvent the wheel". Semoga cerita-cerita saya memberi munafaat sedikit sebanyak dan semoga bila saya berpindah alam nanti, Allah kira itu sebagai ilmu yang dimunafaatkan.
Saya sentiasa memohon ampun atas kesilapan dan kekurangan, dan semoga Allah menerima amalan saya sebagai amal soleh dan Allah meredhai dan memberkati.
Amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)