"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, November 30, 2010

UJAI @ THOMAS THE TANK ENGINE


Ini kisah cucu saya, UJAI.
Tidak akan lepas dari ingatannya jika berjumpa dengan mainan Thomas The Tank Engine. Sejak umurnya 3 tahun, ia "ketagih" Thomas. Saya marahkan Ibunya supaya jangan keterlaluan memfokus kepada Thomas. Anak saya yakin ini fenomena sementara sahaja. Tetapi kini sudah 5 tahun tetapi ia masih ghirah dengan Thomas.Bukan mainan sahaja Thomas, pakaian pun mahu yang ada gambar Thomas.

Sekarang Ujai sudah pandai mencarinya sendiri di website tertentu. Saya sendiri pun tidak ingat, tetapi Ujai boleh. Aspek 'games' yang diminati sekali. Saya rasa ini adalah kerana music latarbelakang amat mudah didengari dan disukai. Sungguh ceria dan dia boleh ikut sama dengan caranya sendiri.

Ujai dan Akif menjalin hubungan melalui Thomas

Sebenarnya saya kurang selesa dengan perkembangan ini. Hadiah yang istimewa untuknya seperti yang ada dalam gambar ini di beli oleh ibunya sebagai 'incentive' atau galakan padanya untuk tidak lagi memmakai diaphers berterusan selama 3 bulan tanpa gagal. Alhamdulilah,  dia berjaya, dan janji pun ditunaikan. Saya kata pada ibunya supaya tidak lagi terdorong pada mainan ini memandangkan ia akan ke sekolah tadika yang rasmi pada tahun hadapan. Fokusnya perlu diubah untuk mainan yang lainnya. Ibunya setuju. Katanya saya  tidak perlu bimbang. Tidak menjadi masaalah katanya sebab sebelum ini pun dia sudah ada berbagai permainan cuma ia suka Thomas kerana mungkin sebabnya semasa tinggal di Tokyo, Jepun selama 3 tahun selalu sangat naik keretaapi kemana saja. Anak saya tidak ada kereta dan kereta api sememangnya menjadi pengankutan utama.

Kalau beginilah trend anak-anak kecil sekarang, dan kemampuan ibu bapanya boleh menampung, maka sepatutnya ada pihak yang boleh menjadikan industri permaian seperti ini dikuasi oleh pengusaha tempatan, terutamanya anak watan. Upin dan Ipin adalah satu contoh. Seharusnya ada banyak lagi. Peranan siapakah ini agaknya?

Saya mengharapkan ada individu atau kumpulan atau syaruikat yang akan berbuat sesuatu yang dapat membuka minda kanak-kanak agar menjadi kreatif dalam suasana ceria yang dapat membina emosi stabil tetapi dalam masa yang sama  ia menjadi peka tentang siapa sebenarnya yang membuat atau mengizinkan dan menghendaki mereka jadi ceria dan seronok. Dengan lain perkataan bagaimana caranya daya kreatif dalam permainan dapat menyentuh minda mereka mengenai konsep yang maha Pencipta. Adakah diperingkat umur ini terlalu awal untuk memperkenalkan konsep kewujudan yang maha Pencipta. Mungkin pakar-pakar perunding dalam hal-hal pembangunan kanak-kanak dapat memperakukan sesuatu, terutamanya mereka yang peka tentang perlunya anak-anak kecil terpelihara ruhnya dari awal-awal lagi semoga menjadi seorang muslim yang bukan sahaja cemerlang dalam professionnya tetapi beriman dan bertaqwa dan mempunyai  semangat juang yang tinggi yang akan dapat membela maruah Islam sejagat.

Saya terfikir-fikir.......
"Bertaqwalah pada Allah dan Allah akan memberi ilmu."
Bagaimana dapat kita menterjemahkan ilmu ini untuk anak-anak yang akan mewarisi dunia ini hingga kesatu masa yang ditentukan dalam redha Allah.
Semoga ada yang membantu saya  berfikir-fikir.........

Monday, November 29, 2010

APABILA SEORANG KAKAK..........


..........HAMPIR SEPERTI SEORANG IBU.

Entah mengapa tahun ini saya terkenang banyak perkara dalam melalui EidulAdha. Saya teringat pengorbanan kakak saya yang tertua yang telah pulang ke Rahmat Allah 3 tahun dulu dalam usia 83 tahun. Beza umur dengannya lebih kurang 20 tahun. Kakak saya itu ibu tunggal dari muda lagi dan ia tinggal bersama emak dan bapak dan mengasuh 3 orang anaknya. Kakak saya inilah yang buat sarapan untuk kami  dan bekalan untuk ke sekolah. Oleh kerana kami ramai (termasuk anak-anak kakak saya yang no. 2) terpaksalah ia bangun awal pagi. Dia akan pergi menoreh dahulu dalam gelap-gelap dan bila hampir subuh ia akan balik untuk masak sarapan dan lain-lain tugas yang semestinya dibuat supaya kami kesekolah agak terjaga dan teratur. Kami semua berjalan ke sekolah sejauh hampir satu kilometer. Kami lapan orang kesemuanya yang agak sebaya dan tugas kakak saya seperti "house mother" dalam asrama.Kami membantunya bila pulang dari sekolah. Kami bantu cari daun-daun di belukar untuk bungkus tempe. Kakak saya ini pandai buat tempe dan ia dikirimkan di kedai untuk dijual dengan bayaran upah jual. Begitu pengorbanan seorang kakak.

Saya ingat pengorbanan kakak saya yang no. 2 semasa tinggal bersamanya semasa bersekolah Di English College di Johor Bahru di tingkatan enam dalam tahun 1965-66. Kakak ini juga telah pulang ke Rahmat Allah pada tahun 1981 ketika umurnya 53 tahun disebabkab 'stroke'. Semasa itu saya di US menghadiri pengajian Sarjana dan cepat-cepat saya tambah credit hours dalam satu semester supaya dapat segera pulang. Kakak ini amat istimewa bagi saya. Saya tahu dia amat sayang pada saya. Keluarga kakak saya ini  miskin dengan 10 orang anak. Suaminya seorang tukang kayu dan kerjanya membuat rumah-rumah di kampung.(Kg Melayu Majidee). Satu ketika yang tidak akan saya lupa buat selamanya ialah suatu hari dia datang ke asrama SIGS Johor Bahru dengan memikul sekantung buah rambutan untuk saya dan kawan-kawan dengan menaiki bas. Saya sudah lama tidak balik, dia 'kangen' dan dia hendak pastikan saya rasa buah rambutan di pokok di belakang rumahnya. Bayangkan dia sanggup pikul kantung (seperti guni) dan tidak rasa malu. Ketika itu tidak ada orang datang ke asrtama begitu cara. Anak-anak orang yang berada yang di ziarahi menaiki kereta melihat sahaja perihal kedatangan kakak saya yng sahih-sahih menampakan kakak saya "orang kampung". Dia nampak seronok saya terus sahaja bagikan buah rambutan itu pada kawan-kawan yang ada di sekeliling. Kemudian saya hantarkan dia pulang ke perhentian bas. Saya akan rasa amat sayu setiap kali saya mengingat peristiwa itu.

Kakak saya yang ke 3 kini hilang deria penglihatan kerana penyakit kencing manis. Pengorbanan istimewanya pada saya ialah usahanya menyalin buku-buku teks darjah satu dalam tahun 1954 untuk saya belajar mengheja dan membaca kerana kami tidak mampu untuk membelinya. Ketika itu saya belajar menggunakan "papan batu". Anak-anak dan cucu-cucu saya tidak akan mengerti pengorbanan seperti ini.






Banyak lagi kisah-kisah jalinan kasih sayang kakak-kakak pada adik bongsu. Tidak dapat saya ceritakan kesemuanya dalam blog ini. Hasil kegigihan mereka bersama emak dan bapak,  saya berjaya dalam pelajaran dan pendidikan walaupun tidak keperingkat cemerlang. Alhamdulilah. Allah kurnia kejayaan pada sesiapa yang dikehendakinya. Kita hanya perlu ikhtiar. Itu pesanan Allahyarham emak saya.

Gambar bersama kakak yang ke 4 dan ke 5 beserta anak saudara di Pontian
menjamu selera sempena juga meraikan ulang tahun perkahwinan saya.



Tahun ini saya ingin merakamkan detik-detik bersama kakak-kakak saya yang masih ada yang semuanya sudah menjangkau lebih 70 tahun. Saya tidak berpeluang berbuat begitu dengan kakak yang pertama dan kedua. Semoga cucu-cucu saya berpeluang membaca entry ini satu hari nanti dan semoga ia akan memahami erti kasih sayang saudara sekandung dan erti pengorbanan yang tua pada yang muda dan erti penghargaan yang muda pada yang tua. Kata Allahyarham P.Ramlee kasih saudara sama berada. Semoga dalam keluarga saya nanti kita tidak menilai kasih sayang dengan hal-hal kebendaan.

Semoga Allah meredhai semua usaha kami dan semoga emak dan bapak mendapat ganjarannya. Semoga Allah mengampuni dan meredhai. Ameen.

Thursday, November 25, 2010

FACEBOOK Bawa Bahagia.....

Dalam umur emas ini tidak menyangka pula kita boleh bertemu jodoh melalui Facebook. Itulah hakikatnya dunia alam maya kini. Saya sudah amat jauh ketinggalan dalam bidang teknologi komunikasi dan peristiwa cinta melalui Facebook adalah suatu yang berlainan bagi saya.



Pada hari Sabtu 20 November keluarga besar Che Uda  dari Sungai Batu Kedah dan Kuala Lumpur  pergi ke Pasir Gudang di Johor Bahru untuk merasmikan pertunangan seorang ahli keluarga. Kami semua tidak pernah ke Pasir Gudang termasuk saya sendiri walaupun saya berasal dari Pontian Johor. Lalu kami jadikan juga peristiwa ini sebagai aktiviti ikatan silaturrahim antara pupu-poyang (istilah orang kampung) Keluarga Che Uda. Suami saya jadi juru cakap dalam majlis yang sederhana tetapi meriah. Bila berkenalan di Facebook maka banyak tanya-menanya yang berlaku di luar majlis. Ada rasa seperti kurang selesa kerana belum mesra dan banyak fakta belum diketahui. Tetapi dengan kebijaksanaan ketua rombongan, alhamdulilah semuanya okay dan majlis pernikahan insyaAllah akan diadakan pada 25 February 2011. Suami saya mengingatkan supaya pertunangan tidak menjadikannya kebebasan untuk berjumpa diluar batasan syar'ie. Dalam pada itu juga ia menyarankan supaya persiapan untuk berumah tangga jangan hanya tertumpu pada persiapan majlis tetapi lebih penting dari itu ialah persiapan maklumat mengenai Islam yang dapat menjadi asas kebahagian yang sebenarnya.



Abang kepada bakal pengatin telah menyediakan tempat berehat dan bermalam di Tanjung Puteri Golf Resort. Sebanyak enam buah bunglow telah ditempah dan selain saya semuanya berseronok dalam suasana percutian. (Saya demam dan tidur sahaja di kamar). Malam itu mengikut cerita suami saya mereka menjamu selera makanan laut yang amat sedap-sedap belaka dan harganya amat berpatutan.Saya hanya menjilat jari.  Esuk tengah hari kami berangkat pulang. Tidak sempat saya menjelajah tempat yang agak istimewa itu.
Dalam perjalanan pulang kami singgah di Kampung Pasir dekat Masai untuk makan. Restaurant ini di tepi laut tetapi ia tidak seindah yang saya sangkakan. Walaubagaimanapun ia suatu pengalaman yang baik untuk generasi pelapis yang turut dalam rombongan kami.

Dalam melihat-lihat pembangunan yang ada di negeri Johor saya berfikir-fikir. Negeri Johor sememangnya maju jika dibanding dengan negeri-negeri lain. Tetapi saya masih mendapati bahawa penduduknya masih belum banyak berubah fikrah Islamiahnya. Ramai yang masih belum faham erti Tauhid dengan mendalam. Ramai yang masih berfahaman bahawa jika kita sudah buat ritual rukun Islam, maka sudah memadai. Dalam kaum kerabat saya pun demikian dan saya sentiasa cuba membuka minda tentang Islam sebaik mungkin supaya kita dilandasan yang sewajarnya. Dalam hal ini saya selalu menyesali diri saya kerana tidak mampu berbuat yang lebih dari itu. Semoga Allah mengampuni dan usaha saya yang sedikit mendapat redha Allah jua.

Sunday, November 21, 2010

KORBAN







Korban
Mudah ku katakan korban ku jelas
Mudah ku katakan korban ku ikhlas
Hati ku ini luhur
Niat ku ini tidak kabur

Namun bila hasutan datang berbaris-baris
Fikiran jadi celaru dan hati mudah terguris
Rupanya masih belum kental pautan iman,
Masih belum boleh sempurna  menghadap cabaran
 
Ya Allah
Mengapa mudah hati ini tersinggung
Mengapa mudah hati ini berderai menjadi kosong
Di mana kejituan letaknya ikrar yang dahulunya dijunjung
Bhawa korban ini hanya untul Tuhan ku yang maha  Adil  maha  Agong

Ya Allah ...
Kembalikan aku pada niat ku dahulu
Pelihara minda ku supaya tidak mudah celaru
Dengan bisikan Syaitan yang merayu-rayu
Ya Allah......
Aku tidak mampu tanpa pertolongan dari Mu.

Thursday, November 18, 2010

KEDAMAIAN @ KORBAN

Di Mekkah ibadah korban  dilakukan sejurus selesai menunaikan Hajj bermula hari Selasa. Kita Di Malaysia mula pada hari Rabu. Pada tahun ini entah mengapa saya terlintas untuk memikirkan sudut lain selain dari apa yang saya selalu terfikir sendirian.



Apabila saya menyaksikan buat petama kalinya penyembelihan Korban, saya terfikir: "Kalaulah aku yang jadi bintang korban itu, bagaiman  cara aku berfikir dan bertindak."  Nabi Ismail terus menyatakan keredhaannya apabila diberi tahu oleh bapanya tentang wahyu dari Allah swt.  Hatinya damai kerana itu perintah Allah walaupun ini bererti ia akan menemui ajalnya. Ketika itu belum tahu Allah akan tukarkan jadi kambing kibasy. Kedamaian pasrahnya "tentunya" dapat dirasai oleh ayahnya, dan tekadnya tidak berbelah bagi. Biasanya seorang bapa (atau seorang ibu) yang amat sayang pada anaknya akan redha mmenjadikan dirinya sebagai ganti.

Saya  setuju dengan seorang kawan di dunia cyber yang mengatakan bahawa sapi yang akan dikorbankan juga "pasrah bulat" pada Penciptanya. Saya bagaimana agaknya kalau sayalah yang jadi bahan korban, walaupun tidak sampai keperingkat mengorbankan nyawa. Ada  kalanya kita kata kita "jadi mangsa". Kadang-kadang kita kata: "rakyat harus berkorban untuk negara kerana ada objektif yang mulia dan baik yang sedang diusahakan untuk dicapai bersama." Saya rasa ini boleh kita fikir-fikirkan, atau mungkin ada pembaca yang sudah memikirkannya dan mahu mengongsikannya dengan saya dan kita semua.

Saya rasa kalau kita yakin seyakin-yakinnya bahawa pihak yang akan mengorbankan kita itu benar-benar bulat pasrah nya pada Allah yang maha pencipta dan maha berkuasa, maka pastinya kita akan rasa damai dan kedamaian itu tidak akan terganggu-gugat oleh apa jua sekalipun.
WaAllahu'alam.

Sunday, November 14, 2010

TEMPAT JATUH....

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG.....inikan pula tempat bermain......

Satu hari di bulan Oktober yang lalu saya pulang ke kampung di Pontian Johor. Mungkin inilah kali terakhir kami akan dapat melihat tapak rumah pusaka yang "tersergam" buat sekian lamanya.Anak kakak saya akan membina rumah nya di tapak tersebut. Saya seperti merayu di dalam hati apalah kiranya rumah  baru tidak dibina sekarang kerana ia amat "sentimental" buat saya dan kakak-kakak. Di situlah saya tinggal bersama Emak selepas tingkatan Enam. Sebelum itu rumah kami berbentuk tradisional dibuat daripada kayu papan.(Tidak ada gambar kenangan. Maklumlah ketika itu kami tidak mampu ada kamera). Itulah rumah pertama yang saya ingat di mana saya tinggal selama saya sekolah rendah dan menengah. Bapak saya meninggal semasa saya berumur 16 tahun dan tidak dapat melihat rumah yang Emak bina dengan kumpulann wang simpanan hasil menoreh getah dan sumbangan kakak-kakak yang sudah bekerja.




Rumah ini dibina pada tahun 1968 oleh Allahyarham abang ipar saya yang berkerja sebagai tukang kayu. Berbulan-bulan lamanya barulah siap.Ia menggantikan rumah tradisional yang telah usang.Rumah ini beratap zing dan dindingnya separuh batu, separuh kayu. Saya rasa amat seronok emak bina rumah itu kerana dibina juga tandas yang sempurna  Saya tinggal bersama kakak yang tua (seorang ibu tunggal) dan dia buat perniagaan kecil jual nasi lemak dan jual tempe'. (Saya sekarang tahu tempe yang baik dan berkualiti dengan melihatnya sahaja, Jasa baik kakak mengajar saya. Semuanya cara tradisional.) Kakak saya yang tua sekali kini telah meninggal dunia.

Di sebelah rumah, Emak bina sebuah rumah kecil untuk disewa.(Ini di bina dalam tahun tujuh-puluhan).  Dari situlah hasil pendapatan emak saya selain sumbangan kakak-kakak. Dahulunya kawasan itu ialah kawasan pokok getah. Saya masih ingat saya tolong kakak saya menoreh sebelum saya pergi sekolah. Awal-awal pagi lagi sudah bangun dan saya tolong pegang obor supaya nampak pokok yang hendak ditoreh  Kemudian bila sudah subuh saya balik untuk ke sekolah. Waktu itu mandi di kolam sahaja. Cuaca selalunya sejuk dan kadang-kadang saya tidak mandi, cuma basahkan kepala sahaja. Emak saya ingat saya sudah mandi. Bila ingat-ingat sekarang rasa sayu dan rindu suasana kasih sayang emak dan kaka-kakak.  Itulah saya rasa sayu anak buah saya nak runtuhkan rumah untuk buat rumah baru. Tetapi apakan daya..... tidak ada yang boleh kekal selamanya.


Pemandangan rumah dari jauh.

Sudut pandang jauh dengan rumah sewa bersebelahan

sudut padang dari hadapan

dari hadapan rumah melihat ke jalan raya (dahulunya jalan kampung).

pandangan dari jalan raya ke arah rumah


bunga-bunga di hadapan rumah berhampiran jalan

pokok-pokok warisan berpuluh tahun

Telaga buta, dahulunya sumber air untuk keperluan rumah.
Disekelilingnya pokok pisang yang hidup berterusan

kakak saya menunjukan jalan masuk warisan Wak Leman

Ini Lorong Sulaiman kini. Jalan diwakafkan untuk munafaat Emak dan Bapak

Setelah  Emak saya pulang ke Rahmatullah, rumah ini kakak sewakan pada seorang Ustaz di kampung. Kg. Parit Semerah adalah nama kampung saya. Rumah itu dijadikan tempat mengajar alQuran dan fardhu ain. Rumah itu Ustaz beri nama "Rumah Mulia". Semoga Emak dan Bapak saya dapat munafaatnya. Itulah sebabnya juga saya rasa agak sedih bila mengingatkan mungkin itulah kali terahir saya melihat rumah pusaka orang tua saya. Terlalu banyak kenangan untuk diceritakan. Walaupun hidup serba kekurangan dari segi kemudahan fisikal dan makan minum tetapi kami seronok. Saya tidak pernah rasa kekurangan kasih sayang dan perhatian. Di sisnilah tempat kami berkumpul setiap Hari Raya. Cucu-cucu emak saya akan datang beramai-ramai dan tiggal bermalam mengikut kemampuan. Amat berbeza rumah ada orang tua dengan rumah yang tidak ada orang tua. Bila saya pulang ke kampung hari ini saya tidur di rumah kakak saya yang berada disebelah belakang sejauh 50 meter sahaja. Kakak saya pada siang hari mengurus runag sendiri tetapi sebelah malam akan tidur di rumah Emak. Begitulah cara generasi kami mengjaga orang tua. Sekarang lain sedikit. Anak-anak terlalu sibuk dan tinggal jauh. Mungkin diperingkat saya nanti pun saya belum tahu bagaimana caranya. Kawan-kawan saya mengatakan nanti samapi giliran kita agaknya kita dihantar ke rumah orang tua-tua. Saya lawak kat kawan saya. Saya mengatakan: Tidak.....Kita tidak dihantar. Kita kena pergi sendiri. Kami pakat-pakat gelak dan dalam hati-hati kami berdoa  semoga fenomena ini tidak terjadi. Semoga anak-anak sekarang masih rasa sentimental mengenai orang tua-tua. WaAllahu'alam.

Rumah warisan kini disewakan dan Ustaz yang menyewa menamakan
"Rumah Mulia" 

 Korridor "Rumah Mulia"

Ini dua sudut pemandangan rumah kakak saya dari mana ia berulang- alik menjaga Emak saya.
pokok-pokok bunga yang menyerikan kawasan rumah.


Kenangan manis seindah bunga-bunga yang mendamaikan hati dan pandangan.

Ini rumah kakak seorang lagi yang berhampiran, 100 meter dari rumah pusaka.

Jalan pitas dari rumah kakak saya ke rumah pusaka. Banyak pokok ubi dan pokok turi
dan pokok pisang.

antara pemandangan Bandar Pontian kini. Hanya untuk kenangan bila sudah tiada 
kemampuan untuk berziarah ke kampung halaman.


Itulah sedikit coretan nostalgia Temapt Jatuh Lagi Di Kenang. Saya masih menaruh harapan saya masih dapat merasi nikmat kurniaan Allah. Emak dan Bapak saya tidak ada simpanan di Bank. Tetapi mereka bolih membeli kebun untuk diwariskan pada anak-anak, bolih pergi Haji dan lain-lain lagi. Bermula "From Skretch" datang dari tanah Jawa, dan berkat kegigihan dan doa yang berterusan, Allah kurnia yang terbaik . Alhamdulilah. Semoga Allah melimpah kasih sayangnya yang tidak terhingga bagi kami semua, di alam ini, di alam barzah dan nanti di alam akhirat. Ameen.

Friday, November 12, 2010

BILA NIKMAT DARI ALLAH MULA DIAMBIL BALIK..........

duduk dikerusi roda merenung masa depan sambil menanti penerbangan pulang
Semasa berada di Makkah dalam bulan Ramadhan yang baru lalu, suami saya ditakdirkan kena menggunakan kerusi roda untuk ulang alik ke Masjid dan untuk tawaf atau sa'i. Jejari dikakinya luka melecet dan sebagai pesakit diabetis, suami saya dinasihatkan oleh Dr  supaya jangan berjalan supaya tidak ada tekanan yang boleh memudharatkan lagi luka itu. Sememangnya satu pengalaman yang traumatik kerana dengan tidak disangka-sangka dirinya sudah dhaif dan kekurangan.Suami saya tidak mengatakan demikian. Saya yang dapat mengagak dan membaca apa yang tertulis diair mukanya. Walaupun fenomena ini dijangkakan  sementara, tetapi ia cukup serious untuk hatinya merasa bimbang tentang kesihatan masa hadapan. Saya pun rasa bimbang kerana saya orang yang terdekat dan apa jua yang berlaku pastinya saya juga yang harus bertanggong jawab. Ujian Allah datang dalam berbagai bentuk dan senyap-senyap saya berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan.

Fakta seperti  ini  memberi kejutan agar yakin betapa pentingnya menjaga kesihatan. Setibanya di rumah suami saya tidak membuang masa mencari ubat-ubat tradisional untuk mengatasi masaalah yang ada. Alhamdulilah, masaalah dapat di atasi sedikit demi sedikit. Kerusi roda tidak perlu digunakan. Tetapi suami saya  masih dinasihatkan oleh doktor supaya tidak memberi tekanan pada kaki. Antara yang dilarang ialah tidak memandu jauh kerana kaki menjadi bengkak yang amat sangat.

Inilah petanda yang amat nyata sekali bahawa garis penamat dalam larian hidup hampir tiba. Sebenarnya Allah telah memberi amaran sejak umur empat-puluhan lagi. (Amaran ini adalah untuk semua kita. Kalau tiada penyakit sekali pun, amaran-amaran yang lain pun sudah mula menjelma.)  Kesan penyakit diabetis tidak boleh dipulihkan. (not reverseable). Oleh itu berpada-pada dengan makanan manis, terutamanya jika ada sejarah penyakit itu dalam keluarga.


Nikmat yang Allah ambil balik sedikit demi sedikit adalah sebenarnya satu rahmat sebab Allah boleh merentap sekali gos akan segala nikmatnya jika dikehendaki olehNya. Allah maha pengasih, maha penyayang dan maha pemurah pada hambanya. Allah memberi ruang dan peluang untuk taubat nasuha atas dosa-dosa dan memulakan hidup berlandaskan syariah seberapa segera. Kita selalu dinasihatkan supaya jangan kita jadi mangsa kerana masa tidak menunggu sesiapa. Kita sahaja yang hanya yakin pada ilmu akan hakikat itu dan ramai antara kita yang belum berbuat sesuatu untuk menyambut kasih sayang itu. Bagaimana kita mahu sedar sepenuhnya kerana di sekeliling kita sentiasa ada penghalang dan petualang yang berkeliaran tidak kira masa.
Tetapi pilihan adalah pada diri kita. Allah memberi alternatif yang luas dan memberi kita fikiran yang luar biasa berbanding ciptaan yang lainnya. Kita mula hari ini kerana esuk belum tentu kita punya. Semoga Allah mengampuni dan memberi rahmatNya yang tidak terhingga.

Thursday, November 11, 2010

I DID IT MY WAY

Tema sebuah lagu yang pernah saya sukai suatu masa dahulu. Saya suka seni katanya. Saya teringat lagu itu bila menonton program "MEJA BULAT" di ASTRO AWANI baru-baru ini di mana anak saya Azrul Hassani menjadi salah seorang ahli panel. Semoga satu hari nanti apa jua bidang yang dipilihnya ia akan berjaya dengan limpah kurnia Rahmat dari Allah jua.


Saya hendak cerita sedikit  peristiwa saya mendidiknya. Semasa di peringakat sekolah menengah saya "menggalakannya" atau lebih tepat saya menyuruhnya mengambil jurusan Sains tulin. Saya agak sedar ketika itu bahawa dia tidak begitu minat bidang tersebut, tetapi saya rasa saya "pandai" dan mengatakan padanya bidang sains banyak faedahnya dan munafaatnya. Untuk memendekan cerita, ia ikut nasihat (arahan) saya. Saya cuba "justify" pilihan saya dengan mengatakan bahawa orang Islam amat ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi maka semestinya ada dorongan untuk anak-anak kita menerajuinya. Sebenarnya dalam pemikiran otak saya ketika itu, yang saya katakan pada suami saya ialah : Kalau orang Islam tidak maju dalam sains dan teknologi siapa yang akan merekabentuk satellite,  senjata-senjata canggih, jet-jet pengebom dan lain-lain lagi di mana negara Islam bergantung pada negara  Barat yang dengan sebab itu mereka menguasi minda dan ekonomi orang Islam. Kita jadi sasaran musuh tetapi tiada upaya berbuat sesuatu yang efektif atau berkesan.

Suami saya setuju dengan saya cuma dia takut nanti Azrul tidak berjaya atau nanti dia senyap-senyap akan "memberontak". Kita tawakal sahajala, saya katakan pada suami. Kita hanya dapat menolong dengan doa kerana dia di Sekolah Asrama Penuh dan tidak selalu dapat berhubung. Ketika itu Cell phone belum ada seperti hari ini.

Pengetua sekolahnya menghubungi kami ibu bapa apabila Azrul menghadapi  masaalah dalam mata pelajaran sains dan ini sedikit sebanyak  telah menyebabkan mata pelajaran yang lain pun terjejas. Dalam peperiksaan Cubaan, dia gagal. Kami menjadi amat bimbang . Tetapi dia "Steady". Seolah-olah itu perkara kecil. Dia bukan pelajar  straight A's, tetapi  "entah macam mana" ia masih dapat gred satu.Alhamddulilah. Kami lega.

Dalam dunia persaingan hari ini dia mengatakan: "orang yang tidak ada ijazah pun boleh berjaya. Contohnya Bill Gates. Emak jangan susah hati."   Sekarang ini bidang yang dipilih adalah dalam industri IT dan Komunikasi. Projeck Animasinya ada diterbitkan di RTM. Saya kurang arif. Tetapi saya mengikutinya dari masa ke semasa. "His success story is commendable up to this point," kata setengah pihak. Saya kurang arif dan kali ini kami  ikut sahaja. HE DID IT HIS WAY. Saya bersyukur dan semoga kejayaannya dapat di munafaatkan pada diri, keluarga, masyarakat dan Islam sejagat. Saya katakan padanya, "Tidak boleh dikira kejayaan jika kejayaan itu tida boleh dikongsikan".

Saya katakan lagi padanya, walau apa pun wawasan kita semestinya seperti Abd. Rahman Aouf, seorang ahli "koperat" sahabat Rasulullah yang sudah dijajikan syurga. Tiga perkara yang diutamakan oleh beliau dalam "professionnya" ia itu 1) memastikan quality kerjanya berkualiti tinggi, 2) Sentiasa menepati masa yang di tetapkan dan 3) Mengurus dana kewangan dengan cekap.Kesemuanya di laksana dalam wadah paradigma TAUHID. Keredhaan Allah yang amat utama. Kejayaan diluar paradigma ini hanyalah ibarat bayang-bayang. Ia akan luput dengan luputnya cahaya. Dan cahaya itu ialah NUR iman pada Allah.

Semoga Azrul, anak kami, mengikut jejak Abdul Rahman bin Aouf. Sumbangan dan perjuangannya dalam Islam amat luar biasa. Semoga Allah memudahkan laluan Azrul, memeliharanya supaya sentiasa di jalan yang lurus, tidak mengabaikan tanggongjawabnya  dan mematuhi segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dalam pada itu saya dan suami masih berdoa semoga ada anak-anak Islam yang komited untuk menerajui bidang penyelidikan dan pembuatan dalam jurusan sains dan teknologi dan juga lain-lain bidang yang diperlukan dalam kehidupan di dunia ini yang akan dapat  mengembalikan maruah orang-orang Islam. Semoga Allah memberi pertolongan dan melimpahkan rahmatNya yang tidak terhingga.
Ameen.

Monday, November 8, 2010

MEMBAWA MASAALAH KE DALAM SOLAT

 




Umur saya kini sudah masuk zone kritikal, iaitu lebih enam-puluhan. Bila berada dalam zone ini maka saya sentiasa diperingatkan supaya jangan lagha dan lalai. Ibarat  pokok yang daunnya sudah kering. Jangkaan gugurnya daun lebih mudah sekali tanpa tiupan angin.

Solat jangan hanya yang wajib-wajib sahaja. Yang sunat-sunat hendaklah di kira wajib pada diri sendiri. Itulah pesanan seorang teman Ustazah yang sering saya dengari.  Dan  apabila bercerita mengenai solat, kita hendaklah mengosongkan minda dan hati dan fokus semata-mata pada Allah, penuh mengingati.

Erti "mengingati"  Allah di dalam solat saya cuba sedaya upaya untuk menghayati. Belum berjaya sepenuhnya setakat ini. Ingatan masih mengembara ke sana sini, ingat berbagai perkara dan masaalah  yang seharusnya ditinggalkan jauh ke tepi. Berdirinya kita seharusnya setiap detik untuk mengabdi diri. Saya pujuk-pujuk diri ini semoga mengerti erti pengabdian yang dituntut oleh Ilahi

Pada satu malam pengajian ( pada pertama kalinya ) kami diberi penjelasan dalam sessi ceramah mingguan  bahawa kita boleh membawa "apa jua masaalah", terutamanya masaalah yang besar ke dalam solat. Kata Ustaz Solat adalah Wasilah untuk berdoa. Allah lihat diri kita dengan teliti ketika kita memanjatkan hasrat hati yang kita buat penuh khusyuk yang kita ulang berkali-kali. Allah perhati kesungguhan ini. InsyaAllah, kata ustaz akan Allah tunai mengikut apa yang terbaik pada diri mengikut kehendakNya yang maha bijaksana maha mengetahui.

Rasulullah menerima wahyu menukar Qiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram ketika dalam solat. Selalu sahaja Rasulullah mengharap-harap pertukaran Qiblat ini dan Allah menunaikannya. Kekhusyukan dan keikhlasan adalah ciri utama yang membawa doa kita dalam solat naik ke pangkuan Ilahi. Kata ustaz seharusnya  ada kebersentuhan "Hati" oleh pemohon kepada yang "menerima permohonan", iaitu Allah swt yang maha agong dan  maha tinggi. Maka akan terbukalah pintu keredhaan dan akan tertunailah permohonan, dengan Rahmatnya kepada hamba-hambanya yang Allah kasihi.

 Ya Allah,
Yang maha Pengasih, maha Penyang
Langit-langit dan Bumi luas terbentang
Aku keseorangan dalam  mencari penyelesaian
Hanya Engkau yang aku sembah dan hanya pada Engkau aku mohon pertolongan.
Wahai Tuhan, Pencipta sekian alam
Tanamkan dalam hati ini kekuatan dan keyakinan iman
Dan dalam minda ini keberanian dan keinsafan
Untuk bekalan ku mencari jalan terbaik meringan beban
Mengikut sunnah kekasihMu Nabi Muhammad saw yang Tersayang
Ya Allah.....
Yang maha mendengar segala rintihan
Limpahkanlah pada ku ilham untuk mendapat penyelesaian
Kerana tiada sesuatu yang bergerak melainkan Engkau berkehendakan
Walau sebesar zahrah sekalipun, semuanya  Engkau yang punya Engkau yang Mentadbirkan
Ya Allah,
Engkau Tuhan yang maha Perkasa dan maha Bijaksana
Jauhkan aku dari pemikiran dangkal yang membawa manusia ke lembah hina
Aku takut berlumba-lumba tetapi hakikatnya meraba-raba  dalam gelap gelita
Hanya untuk mencari penyelesaian hidup selesa di dunia
Ya Allah....
Kewujudan Engkau adalah benar, bertemu pengadilan Engkau adalah benar
Neraka itu benar, Syurga itu benar
  Peliharalah aku dan ibu bapaku dan keluarga ku dari kemurkaan mu
Semoga kesudahan  kami dalam keampunan dan keredhaan
Mendapat kurnian Taman-taman Indah Pilihan bersama semua yang kami sayang.
Allahuma Ameen, Ya Allah Ya Tuhan.

Friday, November 5, 2010

MICRO-MANAGING MY CHILDREN'S FAMILY







"You must be  something else!" says a friend when I told her that  when it comes to my children's family, I am not a mother-in-law. "Why so ?" she asked.  When I am not  a mother-in-law I feel more at ease to  talk, criticize and advise. The "stigma" on a mother-in-law as being "fussy" and "bossy" and sometimes being misunderstood as having "jealousy" could be avoided most of the times if we "change our label".

Itulah yang saya perbualkan pada  seorang teman  pada suatu hari mengenai pengalaman saya hidup bersama-anak-anak yang sudah berumah tangga dan mempunyi anak-anaknya sendiri. Anak sulung saya (perempuan) berumur 35 tahun dan mempunyai  3 orang anak. Anak yang kedua lelaki berumur 34 tahun dan mempunyai 2 orang anak. Yang bongsu lelaki berumur 29 tahun baru 4 bulan berumah tangga dan seorang anak dalam kandungan.

"I am a trainer and counsellor, not a mother-in-law," saya perjelaskan pada menantu perempuan saya. "InsyaAllah you will be less sensitive."

"Seorang teman lain memperingatkan saya supaya jangan banyak cakap sekiranya hendak berbaik dengan menantu. Kalau banyak cakap dia orang tidak suka. "Read their body language," kata kawan ini. Pada ketika itu saya senyum walaupun saya tidak setuju sepenuhnya. Dalam hati saya, "Kita ikhlas nak menegor mana yang tidak kena." Walaubagaimana pun saya akur dengan nasihat kawan saya ini. Dalam pada itu saya fikir-fikir cara terbaik bagaimana saya boleh "mewariskan" petua-petua rumah tangga yang saya pegang teguh.

sessi "mewariskan Petua-petua"

antara ahli "extended family" yang sesekali  termasuk juga dalam agenda "micro-managing".

"If I could give some good "prescription" to manage an office, surely I could do the same with some similar techniques for the home." Saya berfikir dan berbincang dengan suami. " Rumah tidak serupa dengan pejabat", kata suami saya. Saya setuju juga dengan kata-katanya, tetapi agak masih berdegil untuk mencuba juga dengan anak-anak yang berbagai karenah. Mereka pernah mengatakan secara diplomasi bahawa saya "tidak sporting". Itu bererti saya ini semacam "old -fashioned" . Saya tidak mengikut perkembangan zaman. Saya kata pada mereka, "Kalau mengenai cara hidup seorang muslim dan mukmin, tidak ada cerita old-fashion atau 'tak-sporting'. "Emak mengaku bahawa emak tidak 'up- to-date'  mengenai  hal-hal sains,  teknologi dan komunikasi, mengenail theory-theory ekonomi dan kemaknusiaan atau sepertinya. Tetapi kalau mengenai  hukum-hakam Islam, dia serupa sahaja  dari zaman Rasulullah saw hingga sekarang. Yang berbeza sedikit sangat. Itu pun bukan atas perkara-perkara pokok, dan ulama' yang membuat fatwa baru sememangnya ia ulama' yang di iktiraf keimanannya dan ketaqwaannya dan kewibawaannya.






Saya "lecture" anak saya ketika makan bersama dihujung minggu atau sesakali makan di luar meraikan sesuatu. Selain itu tiada kesempatan. Kadang-kadang terus bercakap di dalam kereta kerana waktu itulah dia orang tidak ada alasan hendak ke bilik air atau nak dukung anak atau apa jua. Dalam  "face-book" anak-anak, saya pernah menjumpai kata-kata bahawa prinsip yang mereka ikut adalah prinsip emak kerana " sudah kena lecture dengan Emak." Senyum bila membacanya. Semoga lambat laun mereka ikut juga nasihat-nasihat yang saya dan suami berikan.

Ramai kawan saya yang tidak bersetuju dengan cara saya kerana dikhuatiri saya seperti tidak memberi kebebasan berumah tangga. Tetapi bukan itu tujuan saya. Saya sekadar mahu mengatakan bahawa  petua-petua kebahagian rumah tangga  ada pada emak dan ayah kerana emak dan ayah sudah banyak melalui berbagai cabaran dan dengan itu telah menjumpai "formula" untuk mendapatkan penyelesaian pada masaalah yang ada. Emak dan ayah rasanya lebih bijaksana (wiser) kerana kami dulu makan garam, dan pastinya kami lebih banyak makan garam. Generasi anak kita lebik pandai dan bijak tetapi kurang bikjaksana. (They maybe smarter but not necessarily wiser. Wisdom comes with age.)

Akhir kata: saya banyak berpegang pada konsep barakah dalam rumah tangga. Hidup akan jadi aman damai sekiranya kita berlapang dada untuk mendengar nasihat. Tidak semestinya Emak dan Ayah padai dan betul dalam semua aspek. Cuma saya suka menasihati untuk sentiasa membuka ruang untuk berkomunikasi supaya dapat faham memahami dan tidak memendam rasa. Walau apa pun cara mengeratkan hubungan kasih sayang, emak dan ayah banyak berdoa semoga Allah melindungi dan sentiasa menunjuk jalan yang lurus. Semoga RahmatNya sentiasa bersama.
Related Posts with Thumbnails