"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, October 30, 2014

Indahnya pokok







Tiga hari saya di Tangkak.....my second home!

Seorang pelajar UKM membantu saya mengurus SmarTop preschool. Di waktu-waktu lapang dia akan bercerita mengaenai pokok. Dia pelajar jurusan Botany dan sedang melanjutkan pelajaran diperingkat sarjana dibidang itu.

Saya terpegun melihat gambar-gambar yang ditunjukan dan mendengari cerita-ceritanya bagaimana pokok-pokok bolih "menghibur" hati kita.
Dia menggunakan ilmu yang ada untuk membantu memilih pokok yang kami tanam dikawasan premis SmarTop. Sayang kurang menjadi kerana kami tidak merawat tanah sepenuhnya sebelum menanam pokok-pokok itu. 

Tak mengapalah. Itu satu cubaan creativity dalam menghias kawasan. Dengan dana yang terhad kami suka berangan-angan besar! Apa salahnya berhibur melihat pokok. Mereka juga bertasbih memuji Allah. Enatah bagaimana caranya alQuran tidak menceritakannya. Saya rasa amat kurang mensyukuri kerana jarang sekali berkesempatan menjiwai keindahan luar biasa ciptaan Allah






Maka saya mengingat kembali sedikit sebanyak pengalaman melihat pokok-pokok di dunia luar yang bermusim empat. Saya suka musim luruh dan dahulu banyak menyimpan gambar-gambar kembara berlatarkan pokok-pokok yang daunnya kemerahan dan kekuningan. Ia tinggal kenangan. 

Maka saya turunkan disini gambar-gambar pokok yang pernah ditunjukan pada saya oleh pelajar ini. (Ehsan Google) 

Sangat menakjubkan!

Rasa mahu memutar semula masa ke zaman saya suka kesana- sini menimba pengalaman di negara orang. Kini sudah diumur senja dan segalanya hanya melalui gambar-gamabr sahaja kerana kederat sudah tidak mengizinkan lagi.


MasyaAllah...cantiknya. Sebuah seni fotografi di gabung dengan keindah ciptaan yang maha Esa.


Itu sahaja. Rasa sayu.

....

Monday, October 27, 2014

Menghilang lagi......




Ini cucu saya, Akif namanya.

Ibunya memberi tahu ia "menghilang " dari sekolah. Alhamdulilah. Setelah berusaha bersama dengan guru sekolah, ia dijumpai di Police Station. Mengikut laporan polis, seorang anak  muda dengan motorsikal menghantarnya ke situ.

Kata anak saya mungkin keliru fahaman. Ia pergi membeli sesuatu sebelum ayahnya sampai dan bila ayahnya sampai dan gagal melihatnya di tempat biasa, ayahnya mencari bersama guru menaiki kereta. Akif kembali ke sekolah dan bila melihat kereta ayahnya tiada, dia ambil keputusan untuk pulang sendiri. Itu cerita dari mulutnya. 

Maka hilanglah dia, merayau-rayau katanya.

Akif budak yang baik dan boleh dikatakan bijak. Tetapi Allah kurnia sedikit "keistimewaan". Dia autistic. Kata ibunya sudah lama tidak menghilangkan diri. Akif sudah bolih dibiarkan main di halaman rumah tanpa dia bermain jauh. Dia sudah mula faham erti bahaya pergi berseorangan. Alhamdulilah. Mungkin hasil therepy yang diikutinya sedikit sebanyak memberi kesan. 

Alhamdulilah. Semoga hilangnya kali ini suatu yang luar dari kebiasaannya. Saya sangat khuatir dia diculik oleh anasir jahat dan disembunyikan untuk tujuan jenayah seperti yang sering terdengar diakhbar. Akif cukup sifat dan tidak menampakan sekali imbas bahawa dia bermasaalah. Lihat di foto ini dia kelihatan letih. Kata ibunya dia baharu dikejutkan oleh pegawai polis dari tidurnya dan masih mamun dan seperti kebingungan.

Saya mengharapkan pihak kerajaan memberi perhatian pada anak seperti Akif. Peratusan anak-anak autistic makin bertambah. Harus ada kajian mengapa begitu. Saya bertanyakan doktor kalau ia kesan keturunan darah keluarga. Katanya tidak, tetapi belum ada kajian yang memuaskan. Maka sementara itu kementerian Pendidikan bersama kementerian kebajikan harus diberi peruntukan yang mencucupi supaya boleh melatih ramai lagi pakar dan pendidik dan pengasuh yang boleh meringankan masaalah ibu bapa dan masyarakat. Hak asasi anak-anak istimewa janganlah diambil ringan. Kepada siapa lagi kalau bukan kerajaan ibu bapa mahu bergantung untuk diagnosis dan therepy yang professional dan memuaskan.

Anak-anak seperti ini masih terpinggir. Dasar kerajaan mengenai kanak-kanak masih elitist. Lihatlah program Permata Negara.......

...

Sunday, October 26, 2014

Semoga bahagia Teh sekeluarga



Untuk Atikah dan Hamzah,
 Dari Ayah Long dan Mak Long
Semoga bahagia hingga ke Syurga.
Sajak diambil dari blog PUISI ISLAM.
Pernikahan atau Perkahwinan,
Menyingkap tabir rahsia …
Isteri yang kamu nikahi,
Tidaklah semulia Khadijah,
Tidaklah setaqwa Aisyah,
Pun tidak setabah Fatimah …
Justeru Isteri hanyalah wanita akhir zaman,
Yang punya cita-cita, Menjadi solehah …
Pernikahan atau Perkahwinan,
Mengajar kita kewajiban bersama …
Isteri menjadi tanah, kamu langit penaungnya,
Isteri ladang tanaman, kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya,
Isteri adalah murid, kamu mursyidnya,
Isteri bagaikan anak kecil, kamu tempat bermanjanya ..
Saat Isteri menjadi madu, kamu teguklah sepuasnya,
Seketika Isteri menjadi racun, kamulah penawar bisanya,
Seandainya Isteri tulang yang bengkok, berhati2lah meluruskannya …
Pernikahan atau Perkahwinan,
Menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa …
Untuk belajar meniti sabar dan redha,
Karena memiliki isteri yang tak sehebat mana,
Justeru kamu akan tersentak dari alpa,
Kamu bukanlah Muhammad Rasulullah atau Isa As,
Pun bukanlah Sayyidina Ali Karamaullahhuwajah,
Cuma suami akhir zaman, yang berusaha menjadi soleh …

....

Nyong wong Jowo....



Saya keturunan pendatang, emak dan bapak dari Tanah Jawa dan saya lahir di Pontian Johor, Malaysia. Saya jawa tulin....Jawa totok kata setengah orang.

Kini kaum Jawa hampir pupus....atau sudah pupus. Semua di gelar Melayu. Sudah hilang Bahasa Jawa dan budaya Jawa. Ada yang berketurunan Jawa malu mahu mengaku dia Jawa. Saya kenal seorang pembesar sektor awam yang mengelak-elak diri bila kami bercerita mengenai Jawa dan 'keistimewaannya' Memang Jawa ada keistimewaan. Bukan takabbur tetapi itu yang dikata oleh kerajaan semasa memulakan projek FELDA diawal tahun tujuh-puluhan, abad yang lepas. Kalau peserta peneroka FELDA itu keturunan Jawa maka projek itu berjaya cepat kerana orang jawa berjiwa waja dalam berkerja yang memerlukan tenaga. Bukan saya yang kata. Boleh baca sejarah FELDA di Arkib negara.

Saya sayu bila bercerita mengenai keturunan berdarah Jawa. Bapak datang membanting tulang empat kerat membuka hutan. Emak bersamanya. Saya masih ingat tinggal dan bekerja dipinggiran hutan hanya untuk sesuap nasi dan sekeping bumbung dikepala.

Biarlah peristiwa-peristiwa itu tinggal di ingatan. Saya hendak cerita kisah semalam di majlis perkahwinan di Shah Alam seorang Professor Emiritus keturunan Jawa menikahkan anak perempuannya. Meriah sekali.



Saya masih ada seorang dua teman seperjuangan yang berketurunan Jawa. Kami ketemu di Majlis itu. Punya seronok buat seketika bila ia meminta penghibur lara menyayikan sebuah lagu Jawa. Bukan nyanyian itu yang menyeronokan saya, tetapi kedengaran bahasa Jawa berkumandang walaupun tidak didengari oleh semua. 





Sebuah Nostalgia.....buat seketika.

Saya tetap ingat bahawa kita orang Islam dulu barulah keturunan dan bangsa yang kita kira. Mengapa Melayu di negara kita malap tidak bermaya dan hidup meminta-minta? Orang lain pulak yang istimewa, hidup mewah tetapi Melayu ramai yang papa kedana. Itu pemerhatian saya.

Lantas ingin  saya mengatakan dan berseloroh "saya Jawa", Satu specie istimewa yang Allah kurnia. Rasanya begitu ye? Mohon maaf kalau salah tafsir keadaan sebenarnya. Begitulah manusia....mahu sahaja rasa "hebat" tidak mengira apa. Atau syok sendiri dan pastinya Allah melihatnya. Maka perlu bersederhana dalam mengenalkan diri dalam berbicara. Itu pesanan bonda, emak kesayangan setia. Tiada siapa yang sempurna. Tetapi  berusaha itu kewajipan semua. 

Berilmu, berusaha dan pasrah padaNYA. In sya Allah bila berjaya, tidak mendabik dada.

Selamat tinggal Jawa.....
Hanya Jawa di Tanah Jawa yang boleh "berbangga" ada negara. Semoga tidak ada bencana alam gegeran bumi yang besar yang boleh menelan pulau dan penduduknya. 
Semoga Allah tidak mentakdirkannya dan Jawa tidak hilang di dunia.

....

Friday, October 24, 2014

1 Muharam 1436


1st Muharam 1436 Hijrah 

May Allah bestow upon us His Grace
and unending Bounties.
May He grant us Wisdom, Happiness and Serenity.
and above all else, Iman and Taqwa.

Aameen.

.....

Sunday, October 19, 2014

Mencari-cari kekuatan mendidik insan kecil....




Dari awal minggu saya berada di Tangkak, Muar dan Johor Bahru cuba mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan kualiti perkhidmatan dan bagaimana hendak meyakinkan staff bahawa semua yang terlibat dalam membangunkan insan kecil harus berilmu dan berketerampilan. Hanya dengan ilmu (termasuk menjalin kasih sayang)  dan kesabaran sahaja dapat seseorang itu memikat hati anak kecil dan mengasuhnya ketahap yang kita mahukan. Ilmu amat perlu. Keterampilan fisikal juga amat penting.

Hasil dari net-working Ibu Norlida (melalui kursus-kursus yang dihadiri), kami pergi melawat sebuah Taska di Johor Bahru bernama Taska Anak Permata Ceria (TAPC). Pengusahanya ialah En Khairy seperti dalam foto di atas. Beliau seorang jurutera terlatih dari Leeds tetapi punya minat yang tinggi dalam bidang pendidikan hasil dorongan isterinya yang mengurus sama. Isterinya juga seorang jurutera dan kerana minat dalam bidang ini beliau mengambil diploma Pendidikan Awal kanak-kanak dari Leeds juga. Beliau bepengalaman bekerja di sebuah Institusi yang berkaitan dan bila kembali ke Malaysia mereka suami isteri menubuhkan TAPC dan kini sudah beroperasi selama empat tahun.

Saya amat tertarik hati dalam semua aspek operasinya dan membawa pulang ke SmarTop sedikit sebanyak apa yang kami lihat dan pelajari. Semoga Allah memberi kekuatan serba serbi untuk melaksanakannya.




Setelah sessi perbincangan, kami melihat-lihat sekeliling TAPC ini
 bagaimana ia mengimplementasi prinsip dan theory pendidikan awal
 kanak-kanak selama 4 tahun.




Dalam kawasan yang terhad TAPC masih mampu membuat tempat 
permaianan di luar bangunan.



Kebetulan kami sampai waktu tengah hari dan anak-anak sedang tidur. TAPC mengasuh seramai 51 anak-anak ketika ini.



Kami tertarik hati dengan katil kecil seperti ini yang diperbuat di negara China. 
Saya pernah melihatnya di sebuah institusi pra sekolah semasa saya melawat Yunan, China baru-baru ini. Suasana nampak kemas dan teratur.
 Anak-anak tidur nyenyak.







Tiga foto di atas saya rakam semasa kami di Yunan. Ini pra sekolah Islam di Yunan dan anak-anak fasih dan lancar menghafaz al Fatihah beserta maknanya. Saya kagum. Institusi ini adalah tajaan swasta dan Pemerintah tidak memberi apa-apa bantuan. Komitmen dan kerjasama penduduk setempat 
amat mengkagumkan. Ia harus dicontohi.




Kembali semula ke TAPC. Saya rakam beberapa sudut dan dokumen pengurusan yang akan kami contohi di SmarTop, in sya Allah.
 Kami akan olah mengikut keadaan semasa dan setempat. 
Stuktur sosio-ekonomi di Tangkak tidak sama dengan Johor Bahru.







Di peringkat bayi, susun aturnya juga menarik. Lebih menarik pada saya ialah apabila diberi tahu ibu-bapalah yang menyediakan peralatan tidur bayi 
dan mereka yang membasuhnya mengikut jadual yang ditetapka.
 Ini pembaharuan yang kami akan contohi bermula 2015 di SmarTop nanti.
 Ia akan mengurangkan beban pengasuh dari segi pengurusan dan mereka akan lebih fokus pada pendidikan dan permainan.



TAPC juga punya taman kecil binatang untuk menjana kefahaman anak-anak menyayangi makhul Allah yang lainnya. Di Yunan binatang ternakan untuk pemerhatian anak-anak termasuk lembu dan unta.


Sekembalinya dari Tangkak, saya bercerita dengan suami saya cadangan pembaharuan untuk tahun 2015. Saya mengimbas kembali kekuatan yang ada. Foto di atas menunjukan sebahagian ahli 'Parents Support Group' yang banyak membantu dan mungkin masa hadapan mereka tidak bersama kami lagi. Maka harus ada pemikiran baru terutamanya dari segi menjana dana untuk SmarTop. 

Tanpa prejudis saya ingin mencungkil pengalaman laluan kerjaya berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak. Saya teringat apa yang pakar Bank Dunia mengatakan semasa berbincang mengenai hasrat Kementerian Pendidikan mahu menubuhkan dan mengurus institusi pra sekolah seluruh negara. Ini cadangan pada akhir tahun tujuh-puluhan. Ketika itu mereka tidak minat membina pendidikan pra sekolah berasaskan kajian yang mereka percayai sebagai dasar. Katanya jika anak membangun dan membesar dalam keadaan sihat fisikal dan sihat emosi, ceria dan aktif, maka tidak perlu mereka hadir pendidikan pra sekolah. Kajian mengatakan anak-anak ini mampu mencapai kepintaran dan keterampilan sama dengan mereka yang menghadirinya dan akan setaraf dalam masa setahun dua.

Ketika itu kami tidak banyak bicara dan akur sahaja kerana tidak ada bukti nyata mengenai kekuatan pendidikan pra sekolah di Malaysia. Pakar Bank Dunia ketika itu lebih minat untuk program yang mempertingkat socio-skonomi keluarga supaya mampu melahirkan anak-anak yang kuat, sihat dan cergas.

Bila saya imbas kembali hal itu, saya fikir ia sudah tidak relevan kerana wawasan institusi pra sekolah kini sudah banyak berubah. Kebanyakan pra sekolah sudah tidak lagi menitik beratkan keterampilan  3R atau 3M  semata-mata tetapi mereka mahu membina minda dan emosi termasuk kefahaman dan penghayatan mereka mengenai mengapa mereka lahir kedunia ini, apa mereka mesti buat sekarang dan apa mereka mesti buat masa akan datang. Senario ini diolah mengikut kesesuaian umur anak-anak. Dengan perkataan lain pendidikan di pra sekolah juga mahu memberi kefahaman mengenai kebesaran Allah yang maha esa dan maha bijaksana. Dari seawal ini semua ilmu akan diintegrasikan dan disepadukan mengikut kemampuan.

Foundation penjanaan ilmu dan emosi yang kuat dalam umur seawal dua tahun akan dapat membina kematangan sesuai dengan proses pembesaran anak-anak tahun demi tahun.

Dalam ingatan saya Kementerian Pendidikan menubuhkan pra sekolah semasa saya belum bersara, tak silap saya awal tahun 2000. Saya berfahaman antara tujuannya ialah untuk memastikan ia selaras dengan dasar pendidikan negara seluruhnya. Tujuan asal ialah untuk melaksanakan program ini untuk semua anak-anak di seluruh negara, tetapi akhirnya perancangan itu tidak dapat di laksana sepenuhnya kerana kekangan kewangan. Namun keperluan untuk pendidikan pra sekolah masih menjadi satu kepentingan umum.

Berbagai institusi pra sekolah persendirian kini wujud di seluruh Negara. Ada yang mengiklankan sistem pendidikan yang digunakan dan ada yang mengiklankan bahasa asing yang dipelajari dan yang digunakan sebagai bahasa penghantar. Tetapi yang mampu menghantar anak ke jenis institusi seperti ini adalah terhad pada keluarga yang dikira berada kerana bayaran yuran agak tinggi. Dari pengalaman saya memantau cucu saya (berumur 2 tahun), rata-rata bayaran yuran adalah antara RM500-700 tidak termasuk yuran pendaftaran dan berbagai lagi bentuk bayaran yang di kenakan.  Bagi bayi pula bayaran adalah lebih dari itu.


Dalam senario begini, saya berpendapat bahawa bantuan kerajaan amatlah tidak memuaskan memandangkan pendidikan di peringkat ini adalah sama pentingnya. Contohnya bagi TASKA yang baru ditubuhkan, kerajaan memberi grant sebanyak RM20,000 untuk sekali sahaja. Maka pra sekolah persendirian terpaksalah bekerja kuat mencari dana untuk pembangunan dan operasi. Bayaran yuran tidak mencuckupi untuk semua jenis perbelanjaan.

Sebagai dasar pembaharuan, kerajaan telah menubuhkan Permata Negara untuk peringkat pra sekolah.  Dalam bajet tahun ini ia diperuntukan sabanyak RM 700 juta. Saya tidak nampak peruntukan bagi pra sekolah persendirian. Mungkin saya silap lihat.

Rakyat tidak membantah secara terbuka tentang kepincangan dasar ini. Saya berpendapat dasar ini amat ELITIST. Ia membina anak-anak pintar menjadi lebih pintar. Yang lain-lain terpinggir. Ini pemerhatian saya dan saya tahu ramai yang tidak bersetuju dengan saya.

SmarTop pre school adalah antara yang terpinggir. Saya yakin banyak lagi yang seperti SmarTop. Kami di pantau untuk lebih berkualiti dalam memberi perkhidmatan pada rakyat. Jika tidak lesen yang diluluskan boleh ditarik balik.

Maka saya bertanya seorang diri. Tanggong jawab siapa anak-anak ini ? Bolehkah Negara berlepas diri?


Tetapi SmarTop berbuat sesuatu bukan untuk di puji Negara, atau sesiapa jua sekali pun. Kami ada wawasan sendiri dan akan bermati-matian mencari dana untuk pembanunan dan operasi. Insya Allah akan kami bina kekuatan dalaman dan luaran. Asas penting dalam pendidikan adalah seperti ayat alQuran dalam surah Al Luqman.


A013
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
(Luqman 31:13) | 

Ini asas utama dalam pendidikan, maka inilah prinsip dan dasar utama di SmarTop Subur Fitrah.

Semoga Allah menunjuki jalan, memudahkan segala urusan dan meredhai usaha ini.
Aamiin ya Rabb...

...

Thursday, October 16, 2014

Hanya merakam secebis ingatan....




Saya hanya ingin merakam keberadaan dan kebersamaan  dua orang cucu sahaja di pagi Raya AidilAdha baru-baru ini. Alhamdulilah, kami masih dapat rasa bersyukur dan memadu kasih keluarga.

Sesunggunya Hari Raya Qurban telah berlalu lama. Daging qurban pun sudah habis dari simpanan dan telah dimunafaatkan dalam keluarga dan sahabat handai yang ada berdekatan. Di masjid pada hari penyembelihan lembu untuk Qurban, saya hanya membantu memotong bawang dan lain-lain rencah untuk masakan tengah hari bagi menjamu  mereka yang datang rewang. Sudah tidak ada kederat untuk duduk dilantai mengolah daging-daging untuk dibahagikan pada mereka yang tersenarai. Maka saya membuat kerja yang rengan-rengan sahaja.

Sudah 12 tahun bersara. Manakan sama dengan tenaga mereka yang muda. Maka hari itu saya seronok  mengeratkan silaturrahim dan pulang awal setelah menjamu selera.

Qurban dibuat pada hari Eidul Adha itu sendiri dan disambung pada hari pertama Hari Tasyrik. Ada dua-puluh dua ekor lembu yang memerlukan kerjasama dan sokongan ahli qariah untuk mengurusnya. Alhamdulilah, tiada masaalah. Suami saya mengurus satu kepala lembu yang dipilihnya dengan bantuan anak saya. Baru mereka tahu betapa rumitnya kerja. Tetapi mendapat otak kegemarannya membuat mereka senyum lega.

Tidak ada cerita luar biasa. Cuma saya muhasabah diri betapa cepat masa berlalu meninggalkan manusia. Berbagai rasa dijiwa mengingatkan destinasi akhir yang akan sampai bila-bila masa. Sekarang berada di Dewan Berlepas, kemudia di Dewan Transit pula untuk perhitungan seterusnya. Rasa cemas pun ada bila memikirkan sedikitnya  persediaan yang ada.

Semoga Allah masih menganugerah ruang dan peluang untuk tindakan sewajarnya, berkejaran memunfaatkan masa. Mohon belas kasihanNya, Tuhan Rabb yang Esa.


...

Friday, October 10, 2014

Belaian Kasih @ Taska SmarTop Subur Fitrah...




Mendidik dengan hati. 

Itu paksi strategy kami dalam mengasuh anak-anak dari umur dua bulan hingga enam tahun. Pengasasnya ialah Ibu Norlida yang mengetuai institusi pra sekolah SmarTop Subur Fitrah ini.

Alhamdulilah, beliau berpengalaman luas dalam bidang ini dan telah menghadiri berbagai kursus yang dikendali oleh PERMATA dan juga NGO Haluan. Ia telah membuat lawatan sambil belajar di beberapa Taska dan in sya Allah ia akan membawa kecerian dalam mengasuh anak-anak terutamanya di Taska kerana mereka dijaga dan diurus dari jam 7 pagi hingga 6 petang.



Mendidik dengan hati bererti guru dan pengasuh akan cuba menjana kesabaran dalam diri masing-masing kerana karenah setiap anak sememangnya kadang kala sukar di duga. Senyum harus selalu dan bila berdampingan rapat harus ada aura kasih sayang yang membuatkan anak-anak ceria dan tenang. Dari situ mudahlah anak-anak dipimpin untuk mempelajari sesuatu yang sesuai dengan umur mereka. Di bawah ini saya turunkan kata-kata bijak pandai dalam dunia pendidikan yang saya copy dari blog Ibu Norlida.

“Jika anak dibesarkan dengan celaan, ia belajar memaki. 
Jika anak dibesarkan dengan permusuhan, ia belajar berkelahi. 
Jika anak dibesarkan dengan cemoohan, ia belajar rendah diri. 
Jika anak dibesarkan dengan penghinaan, ia belajar menyesali diri. 
Jika anak dibesarkan dengan toleransi, ia belajar menahan diri. 
Jika anak dibesarkan dengan dorongan, ia belajar percaya diri. 
Jika anak dibesarkan dengan pujian, ia belajar menghargai. 
Jika anak dibesarkan dengan sebaik-baik perlakuan, ia belajar berlaku adil. 
Jika anak dibesarkan dengan rasa aman, ia belajar menaruh kepercayaan. 
Jika anak dibesarkan dengan dukungan, ia belajar menyenangi dirinya. 
Jika anak dibesarkan dengan kasih sayang dan persahabatan, ia belajar menentukan cinta dalam kehidupan”


Sekarang ini Ibu Norlida sedang giat melatih semua murobbiah semoga akan tercapai kepakaran dalam ruang yang terhad dari segi masa dan kewangan. Kami berusaha dan cuba melaksana creativity dalam proses meng"adopt dan adept".

Kami di prasekolah ini menjalankan Usrah dari masa kemasa, kalau munkin seminggu sekali untuk kami mendapat feedback dari semua pengasuh jika ada sesuatu proses yang perlu di baiki.Ada kalanya kami memberi feedback pada ibu-bapa mengenai perkembanan anak-anak mereka. Jika tidak kesempatan masa ibu-bapa boleh menulis dalam buku komunikasi yang kami sediakan. 

Bidang pendidikan adalah satu bidang yang kadangkala sulit untuk mendapat cosensus dalam mengendali sesuatu. tetapi kami beazam tidak berputus asa kerana apa jua masaalah yang timbul ia perlu diselesaikan dengan kerelaan dan keikhlasan, menepati prinsip mendidik dengan hati. 

Pendidikan di negara kita menjadi lebih rumit kerana rakyatnya berbilang kaum dan befahaman politik yang sukar dicari jalan tengahnya. Maka kami di SmarTop Subur Fitrah bertekad mendidik berasaskan pedagogi Islam yang kami pelajari dari mereka yang lebih arif dan berpengalaman yang telah lama berada dalam jurusan ini. Kami belum sempurna, namun kami sedang dan akan bekerja kuat untuk mencapai kesempurnaan.

Semoga Allah menganugerah pertolonganNya dan memudahkan segalanya.
Aameen.


....

Wednesday, October 8, 2014

"Life is Magical"....dengan pengorbanan.





Kelmarin petang saya membuka FB anak saya, Azrul Hassani. Banyak perkara yang dikongsikan dengan kekawannya. Antaranya ia menyentuh mengenai "Life is Magical".

Alhamdulilah, banyak nilai hidup dalam dunia yang penuh pancaroba ini yang saya boleh terima walaupun ada beberapa perkara yang saya belum jelas. Tetapi buat ketika ini saya jangka saya biarkan dia sendiri menyedari apa yang belum jelas dan belum kemas. Semoga Allah menunjuki jalan padanya. 

Saya perhatikan sepintas lalu bahawa dalam banyak perkara ia berfikiran positif dan berani mengambil risiko. Semoga ia ada kekuatan mental dan spiritual untuk menangani situasi di mana risikonya tidak menjadi. Dia kurang bicara dengan saya mengenai kerja-kerjanya. Mungkin kerana ia tidak mahu menyusahkan saya, saya kurang periksa. Mungkin juga kerana dalam umur senja begini ilmu dan pengalaman saya sudah tidak relevan dalam dunia persaingan yang sengit sekarang.

Saya hanya memerhati dan mengiringinya dengan doa.

Namun sebagai ibu saya tetap rasa khuatir kerana dalam kehidupan ini terdapat banyak penipuan....penipuan yang melanda dalam berbagai bentuk. Saya akui penipuan dalam dunia Cyber ini saya kurang arif. Maka itulah yang membuat saya lebih khuatir.

Semoga Allah memelihara.

Hanya melalui FBnya saya dapat mengikuti sedikit sebanyak perjalanan hidupnya dan kerjayanya. Kebelakangan ini ia mencuba scuba diving. Hanya gambar whatsApp yang saya terima. Aktiviti lasak sebegini bolih membuka minda. Tetapi apa tujuan sebenarnya saya ingin tahu dan akan bertanya bila bertemu santai satu hari nanti. Sering ia mengatakan pada adiknya supaya apa jua yang kita lakukan pastikan ada nilai tambah yang dapat dimunafaatkan. Alhamdulilah...mungkin ini satu ciri dalam "Life is Magical" yang dirasainya. Ia ada kaitan terus dengan sikap suka berqurban dan berani berqurban dan ikhlas berqurban. Saya rasa ia faham erti berqurban.....berqurban masa, tenaga dan harta jika ada. 

Dalam suasana Hari Raya Qurban, saya teringatkan pesanan ustaz pengajian tafsir yang saya ikuti. Berqurban itu mudah jika kita berada dalam keadaan serba senang dan serba boleh. Jika kita dalam keadaan sebaliknya kita mencari berbagai alasan. Allah suruh kita berbakti dan berqurban (berinfak) dalam apa jua keadaan, senang dan susah.
A133
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
(A-li'Imraan 3:133
A134
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
(A-li'Imraan 3:134

Semoga anak saya sentiasa beringat dan bertindak seperti yang tersebut dalam ayat-ayat di atas. Saya hanya mampu mengingatkannya dari masa kemasa dan semoga Allah memimpinnya ke arah itu. Semoga ia memahami erti ikhlas dan berpegang kuat pada hakikat bahawa semuanya adalah kurnia Allah. Manusia di uji dengan kesenangan dan kesusahan. Sering saya bercerita dengan anak-anak akan prinsip ini. Semoga Allah memberkati segala usaha ke arah mencari RedhaNya.

Semoga ia  tidak bertindak seperti mereka yang Allah sebut dalam ayat-ayat berikut:
A015
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"
(Al-Fajr 89:15) | 
A016
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
(Al-Fajr 89:16) |

"Life is Magical" dalam wadah dan ruang lingkup yang Allah telah sarankan dan gariskan supaya di patuhi.

Ada kalanya Allah menganugerah harta kemewahan, tetapi Allah tidak menganugerah padanya nikmat merasai kurniaan kemewahan itu. Ada kalanya Allah memberi nikmat pada mereka yang tidak ada kekayaan tetapi mereka ini sentiasa bersyusur atas segala ketentuan. Nikmat bersyukur melangkaui segala nikmat dalam ruang lingkup Tauhid.

Semoga hidup ini sempurna baginya dan bagi kita semua. Apa jua yang kita hadapai, kita harus kembali pada Allah kerana hanya itu jua kesudahan yang abadi bagi kita. Semoga Allah meredhai segala usaha.

Aameen ya Rabb...

Thursday, October 2, 2014

Redha diQurban.



Foto ehsan Google.

Islam telah menentukan Haiwan yang boleh di buat Qurban mengikut Syari'ah. Lembu dan Kerbau adalah diantara pilihan Muslim di Malaysia.

Tarikh 9 dzulhijah di Malaysia jatuh pada hari Sabtu. 
Maka puasa pada hari itu amat dituntut
 kerana ganjaranya amat besar sekali. 
Kita maklum bahawa ada khilaf untuk penentuan bila kita harus berpuasa. Adakah kita mengikut penentuan Negara Arab Saudi atau penentuan negara Malaysia sendiri. Mengikut ustaz saya Ust. Kariman mengatakan bahawa jumhur ulamak menentukan 
kita puasa mengikut ketetapan negara sendiri setelah ia 
meneliti dalil Naqli dan dalil Akli yang ada.

Maka saya sekeluarga  insya Allah berpuasa pada 
hari Sabtu, 4 Oktober bersamaan 9 Dzulhijah 1435.
 Semoga Allah meredhai dan 
menerimanya sebagai amal soleh.


Selamat menyambut Hari Raya Qurban.

....
Related Posts with Thumbnails