"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, March 31, 2015

Mati, maka jantung berhenti...bukan sebaliknya.....


Figure A is an overview of a heart and coronary artery showing damage (dead heart muscle) caused by a heart attack. Figure B is a cross-section of the coronary artery with plaque buildup and a blood clot resulting from plaque rupture.




Foto Ehsan Google search.








Saya bertemu Doktor di IJN (Institut Jantung Negara) hari ini. Tidak lama saya menunggu, sekadar 45 minit lebih kurang.

Saya telah ada temu janji dengan seorang pakar dan saya rasa agak lega kerana ingin tahu apa sebenarnya  masaalah jantung saya kali ini. 

Bika saya masuk di biliknya, ia sedang membaca laporan saya. Itu kiraan saya. Saya berdiri seketika menanti arahannya.

"Sila duduk", katanya. Saya duduk. Suami saya menemani saya kerana saya kurang kederat untuk memandu sendirian.
Doktor bertanya soalan-soalan yang telah saya cerita semasa saya diperikasa di Unit Kecemasan dua minggu yang lalu. 

  • Sakit di mana.
  • Ketika mana sakit.
  •  Tidur atas satu bantal atau dua atau tiga bantal.
  • Adakah sakit bila tarik nafas.
  • Sekarang makan ubat apa.
  • Berbagai.......saya dah lupa.
Sebelum ditanya selanjutnya saya bercerita apa yang telah di lakukan oleh Doktor saya semasa saya mengikuti satu kajian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Saya telah buat ingeogram (maaf salah ejaan) lebih kurang 2 atau 3 tahun lalu dan didapati tidak ada saluran yang bermasaalah. ECG saya pun clear dan normal. Panjang juga saya bercerita. Tetapi semuanya hanya dikira sebagai maklumat latar belakang kerana dia merupakan lapuran lisan sahaja. Tidak ada data dan maklumat rasmi yang lainnya. Maka ia tidak boleh membuat apa-apa keputusan apa sebenarnya masaalah saya.

Saya rasa sedikit kecewa bila Doktor memberi gambaran bahawa kes saya perlu diperiksa semula, mengikut prosidur IJN. Saya diminta setuju dan lantas diberi surat kebenaran untuk ditanda tangan kepada Doktor untuk berbuat apa yang difikirkannya sesuai dengan masaalah saya. Doktor menyebut prosidur teknikal tetapi saya sudah tidak ingat. Saya yakin pada kepakarannya dan bersetuju serah sahaja atas budi bicaranya. Saya tidak ada pilihan kalau mahukan rawatan.

Doktor memberi tahu saya bahawa ia tidak akan memberi apa-apa ubat pada saya hari itu kerana kes saya kabur dan saya alah dengan Asprin. Terdiam seketika dan hanya melihat mukanya kerana saya kehairanan mengapa tidak diberi ubat walhal saya rasa Janyung saya bermasaalah. 

Kepada siapa lagi saya harus mengadu hal?  Saya di kira sakit tetapi tidak sakit......?

Kemudian Doktor menyebut mengenai heart attack. (Doktor banyak berbahasa Inggeris, mungkin kerana saya banyak bertanya dalam bahasa Inggeris). Saya minta penjelasan lanjut. Rasa bimbang juga mendengarinya.

"Walaupun saya tidak memberi apa-apa ubat, tidak bererti awak tidak akan kena heart attack."

Mula-mula saya takut bercampur bingung. Kemudian cepat-cepat saya beristighfar memohon ampun, memohon Allah memudahkan urusan saya menjaga jantung saya. Saya lihat terus muka doktor dan entah mengapa saya senyum. Bukan saya senyum padanya. Saya senyum sendirian kerana waktu itu juga saya teringat apa kata Ustaz saya mengenai Jantung.

Mungkin saya sudah cerita sebelum ini dalam blog saya mengenai peranan otak dan peranan jantung dalam tubuh kita. Jantung sahaja organ dalam tubuh yang tidak boleh dan tidak dapat diarah oleh Otak kita. Jantung bertindak sendirian. Jantung tidak mengikut arahan otak. Ustaz mengatakan itu tandanya bahawa Jantung kita kenal Allah walaupun otak kita mungkin tidak kenal Allah. Allah berurusan terus pada Jantung, dalam bahasa kita. Maka tup..tup... saya terkata pada Doktor:

"Tak apelah doktor kalau tak ada ubat. Saya pun yakin bahawa umur kita Allah sudah tahu bila akan samapi detik akhirnya. Kita mati, maka Jantung berhenti....Bukan Jantung berhenti baru kita mati."

Ustaz kata bila sampai waktu dan detiknya, Allah akan arah Malaikat ambil nyawa kita. Pisahkan Ruh dari badan. Bila sudah ada arahan itu maka Jantung akan ikut arahan dan berhenti. Tetapi dari segi kebiasaanya kita tidak mengetahui apa yang kita tidak dengari, iaitu hal-hal yang ghaib. Maka kita merasakan seolah-olah Jantung berhenti baru kita mati.

Saya rasa doktor tidak faham "bebelan saya". Saya pun terus bangun untuk beredar dan tunggu diluar untuk membolehkan doktor menulis apa yang perlu ditulis untuk membolehkan  saya mendapatkan tarikh temujanji yang akan datang. Doktor senyum bila saya mengucapkan terima kasih. Tidak dapat saya duga apa yang ada di fikirannya mengenai  apa yang saya katakan.

Sepanjang perjalanan pulang saya terus berfikir-fikir apa hikmahnya saya harus terus merasakan "discomfort" di dada saya hingga saya bertemu lagi dengan doktor pada 19 Mei setelah menjalani satu prosidur pada 24 April ini. Itu pun hanya Allah yang maha tahu.

Suami saya kata: Allah uji sedikit supaya kita bersabar dan yakin (betul-betul yakin) bahawa hanya Allah yang maha mengetahui mengenai ciptaanNya. Ilmu yang ada pada doktor pun hanya sekelumit yang diizinlkn untuk manuasia menjalani hidup di dunia ini. Tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah. Dan tidak akan bergerak sebutir zahrah pun kalau Allah tidak mengizinkannya.

Kini saya lega setelah berfikir dengan Hati dan bukan dengan Otak semata-mata. Semoga Allah menganugerah keampunanNya dan memudahkan urusan hidup saya hingga samapi Temujanji denganNya dan Allah kurnia yang terbaik di sisiNya. 

Aamiin ya Rabb....

.....

Sunday, March 29, 2015

IBU atau cucu ?......






Ibu atau cucu....mana satu diberi keutamaan?

Dilemma keluarga yang dihadapi kini. Melihat wajah-wajah cucu ramai nenek yang terpaksa membuat pilihan yang kadang kala menghiris hati Ibu tanpa di sedari. Kalau disedari sekalipun, ada yang mencari berbagai alasan untuk memilih menjaga cucu dari menjaga Ibu.

Ini pemerhatian saya dan saya yakin ada yang setuju dan ada yang tidak.

Banyak sudah diperkatakan dalam masyarakat kita betapa seorang Ibu hidup susah bersendirian kerana anak-anak beralasan tidak dapat menjaga ibu di rumah ibu kerana sibuk menjaga cucu. Entahlah.......adakah pengecualian anak terlepas dari tanggongjawab menjaga Ibu kerana ia terbeban menjaga cucu. Ada yang hanya beralasan kerana tugas menjaga Ibu lebih sukar dari menjaga cucu kerana kekadang menjaga Ibu yang uzur memerlukan pengorbanan keselesaan diri sendiri. Pada Ibu yang uzur, seorang anak kenalah membersihkan najisnya dan membasuh peralatan tidur sekurang-kurangnya setiap dua hari. Kekadang setiap hari. Itu pengalaman saya menjaga emak saya.

Ada yang mampu mendapatkan pembantu rumah atau mendapatkan jururawat berdaftar yang memberi perkhidmatan professional denagan bayaran tertentu. Teman saya ada yang menggunakan jururawat seperti ini dan membayar mengikut jam. Kekadang perbelanjaan boleh mencecah RM3k - RM5k sebulan. Ada yang mampu tetapi beralasan tidak mampu.
Alangkah ruginya sikap sebegini.

Dalam alQuran sudah jelas dituntut anak menjaga ibu bapa yang tua. Kita tidak boleh berkasar pada mereka. Dan menjaga orang tua sebagai ibu bapa kita adalah kewajipan yang tidak bersyarat. MESTI.

Dalam sebuah hadith di ceritakan bahawa Rasulullah sallahualaihiwasalam melarang seorang anak muda dari pergi berperang (jihad) kerana ia ada Ibu yang tidak ada waris lain untuk menjaganya. Begitulah hukumnya. Saya rasa tidak ada mana-mana nas yang kita boleh mendahulukan cucu berbanding Ibu. Ibu mesti didahulukan. Biarkan cucu pada ibu bapanya. 

Emak saya meninggal dalam  umur lebih kurang 94 tahun. Dia tiada penyakit kronik. Maka Allah mudahkan menjaganya. Allah mudahkan saya dengan seorang pembantu. Saya amat bersyukur. Cuma saya perlu mengangkatnya ke kerusi roda untuk mandi sehari sekali. Pada petang hari saya hanya mengelap tubuhnya. Saya hanya sempat menjaga tepat setahun. Itu pun saya bercuti khas menjaganya. Kalau tunggu bersara saya tidak ada peluang langsung. Saya ambil alih menjaganya dari kakak-kakak saya di kampung. Alhamdulilah. Dulu selalu saya minta emak saya memaafkan semua anak-anak atas kelemahan dan kekurangan menjaganya. Semoga Allah mengampuni emak dan bapak saya dan kami semua. Bapak saya meninggal ketika saya berumur 16 tahun. 

Amat rindu sekali teringatkan mereka. Hanya mampu berdoa semoga bertemu lagi di Syurga Firdaus tanpa hisab denagn Rahmat Allah semata-mata. Aamiin ya Rabb.

.....

Saturday, March 28, 2015

Berbakti pada tanah.....



Ini Widad. Sukarelawan membantu Pra sekolah SmarTop Subur Fitrah di Tangkak yang selalu saya ceritakan sebelum ini. Lihat betapa gembiranya dia memeluk setandan pisang yang berjaya di tanamnya di pinggiran bangunan sekolah dengan bantuan pekebun yang kami panggil Pak Yusop untuk membuat lubang-lubang yang diperlukan. Kini sudah mendatangkan hasil. Alhamdulilah.

Widad adalah pelajar sarjana di bidang Botani di UKM dan ia datang ke Tangkak untuk membantu apa yang sesuai baginya.

Hari selasa yang lepas kami ke sana untuk melihat beberapa perkembangan baru untuk tahun ini terutama ingin melihat kemajuan anak-anak dalam kelas Hafazan. Tetapi tidak tercapai kerana guru yang dikhaskan cuti sakit. Maka kami melihat kebun pisang yang warga SmarTop rasa bersyukur ada aktiviti sampingan untuk mempelbagai pengalaman hidup.


Ini sebahagian kebun yang ada...... sekangkang kera


Hebat besar hasil sulungnya. Alhamdulilah. Kami goreng buat kerepek pisang dan makan kongsi-kongsi. Rezeki yang dikongsikan semoga membawa barakah. Saya bawa pulang sebiji untuk tunjuk pada suami bahawa usaha kami Allah kurnia hasil memuaskan. Sebenarnya saya syok sendiri. 



Ini "hiburan"  buat widad dan saya dan juga partner saya di SmarTop. Kalau benar-benar menjadi kami ada cadangan ingin menggunakan padang untuk tanam pisang sebagai usaha menambah dana sekolah. Sedang berfikir-fikir.........

Mengurus pra sekolah pada tahun ini agak rumit sedikit dari segi kesetabilan pengambilan staf dan guru. Tetapi kami yakin setiap yang susah pasti ada senangnya. Demikian dalam al Quran disebut secara nyata.




(96-5)  Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
(96-6)  Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

Maka sekarang kami bersabar dan berusaha. Menanam pokok pisang adalah usaha sampingan. Semoga ia menjadi pembuka jalan.




Ada tujuh pokok yang berbuah seperti di atas dan anak-anak pokok pisang sudah mula membesar untuk dialihkan tempat . Tidak kurang dari lima belas bilangannya. Semoga Pak Yusof dapat membantu segera.


MAKA NIKMAT ALLAH YANG MANA YANG HENDAK KAMU DUSTAKAN


.....

Friday, March 27, 2015

Sebab Coffee......


Senja di Kuala Lumpur........masih di tengah-tengah trafik yang menghala entah ke mana. Saya ingin pulang segera........
Malam itu rasa  kepenatan dan selera makan tidak menentu. Maka saya ikutkan hati dan minum coffee, coffee yang pahit dengan sedikit susu manis. Setelah siap rutin saya malam itu, saya cuba tidur awal tetapi mata saya masih terjegeh luas. Mungkin sebab coffee.


Masa muda dahulu coffee tidak menjadi hal dalam melayan mata untuk tidur. Kali ini saya terkebil-kebil susah untuk memejamkan mata. Sunyi  dan berbagai ingatan masuk difikiran. Tetapi yang meleret-leret teringatkan cerita dalam blog "Dengan basikal aku menjelajah". Saya suka mengikuti blog ini. Saya memang suka berbasikal kerana semasa sekolah selain jalan kaki, emak belikan basikal bila lulus tingkatan tiga. Hadiah yang tidak akan saya lupakan. Ia "second hand" sahaja, tetapi istimewa buat saya. Basikal mengubah cara hidup remaja saya. Saya lebih aktif bersukan dan suka berbasikal jauh-jauh melihat rumah kekawan di kampung lain. Bila ingat kembali, itulah pembuka fikiran.........

Blogger berbasikal ini mengembara ke negara-negara yang jarang-jarang dikunjungi pelancong. Sesiapa yang suka mengembara ikutilah blog ini. Ia mengajarkan manusia apa erti berdikari dan erti mensyukuri. Anak-anak muda dan dewasa muda saya rekomen ikuti blog ini.
Saya juga suka mengembara. Semasa umur akhir duapuluhan saya memberanikan diri mengikuti seorang teman  berjalan-jalan "tanpa tujuan". Saya di US ketika itu.  Tidak perlu saya cerita lanjut sebab tidak ada pengajaran selain dari memberanikan diri untuk mencari pengalaman baru. Saya pernah di UK memandu tanpa lesen denagn seorang teman dari London ke Scotland. Kami melencong juga ke jalan-jalan di kampung-kampung yang pada saya amat memikat pandangan. Ia sebuah ingatan yang makin hari makin kabur.......

Niat hendak menjadi pengembara tinggal begitu sahaja kerana tidak ada sesiapa yang menggalakan meneruskan niat itu. Saya tidak menyesal cuma sesekali terfikir apa akhirnya hidup ini jika saya telah membuat "pilihan" hidup selain dari apa yang saya lalui sekarang ini. Tetapi  sekarang ini saya sedaya upaya akan melarikan diri dari melayani lintasan-lintasan fikiran seperti itu. Cukup.


Shaykh Hamza Yusuf in Malaysia's photo.


Ini akibah minum coffee berlebihan........Atau ada sebab-sebab lain? Tiba-tiba malam tadi semasa saya mengikutu ceramah Shaikh Hamza Yusuf di youtube ada satu tajuk "Coffee in Islam". Eh biar betul cerita ini. Maka saya buka dan tersenyum seorangan  mendengarinya. 
Rupanya ia menjawab satu pandang seorang yang hadir dalam ceramahnya mengenai tidak dapat tidur malam. Shaikh Hamzah mengatakan elok tidak dapat tidur malam walaupun keran coffee kerana di umur dewasa kita sememangnya digalakan untuk mengurangkan tidur malam. Elok bagi dewasa untuk beibadah dan bermunajat pada Allah ketika waktu malam, terutama dua-pertiga malam. Bersyukur coffe membantu kita untuk berjaga dan memunafaatkan masa.

Memunafaat masa......bukan berjaga berfikiran yang tidak memberi nilai tambah.

Alangkah berlainan fikiran orang yang berilmu dan suka menghampirkan diri pada Allah. Maka saya bertekad mahu sebanyaknya berjaga malam. Semoga Allah menurunkan pertolongannya untuk memudahkan saya beramal berjaga malam. Sudah selalu kedengaran saranan ini tetapi saya belum dapat membiasakan diri. 

Ingat coffee.....ingat berjaga malam dan beramal.
Mudahkan kami ya Rabb....
Aamiin.


nota: foto Shaikh Hamzah Yusuf ehsan Google.

.....

Monday, March 23, 2015

Menterjemah Cinta...





Bunga Mawar lambang cinta....antara manusia dan manusia yang hatinya sudah disisipi naluri berbagai budaya.........

Maka apa erti cinta...

Tersentuh di hati ingin bicara cinta seorang teman yang punya prinsip memegang erti cinta yang luar biasa....cinta antara diri dan suaminya.

Ia berumur 51 tahun dan diceraikan suaminya hampir tiga tahun yang lalu kerana suaminya berkahwin dengan seorang wanita lain yang dianggapnya lebih baik dari dirinya. Ia lebih muda dan lebih lincah perwatakkannya. Teman saya ini pernah meyakinkan saya bahawa ia redha menjadi isteri tua dan dengan rela hati  memaafkan suaminya kerana ia yakin suaminya memalingkan dirinya  semata-mata tergoda dan bukan memilih kerana akhlaknya. "Derita"  hatinya bukan suatu yang mudah difahami, namun ia tetap setia dan yakin suatu hari nanti ia akan kembali padanya. Walau apa sekali pun, ia amat yakin bahawa  apa yang Allah takdirkan baginya pasti suatu yang terbaik baginya di sisi Haliknya.

Sebelum bercerai mereka tinggal berjauhan, amat berjauhan merentasi lautan. Dia menyebut pada saya jarang-jarang sekali suami pulang melihat keadaan, dan bertanyakan khabar langsung tidak ada  dalam kiraan. Selalu ia tinggal berseorangan dan keseorangan. Sesekali dia cerita juga demikian. Dahulunya ia guru terlatih di sekolah menengah  kebangsaan dan bersara awal kerana mahu menumpu membantu urusn perniagaan suaminya yang selalunya kesibukan. Apabila suaminya jarang pulang, ia minta izin suaminya untuk menyertai kami berurusan dalam bidang pendidikan supaya fikirannya sibuk dengan suatu yang bermunafaat berpanjangan.  Ada sekali ia mengatakan pada saya: "Kak, suami saya dah dikidnap orang...dah lama tidak kedengaran, berhadapan pun tidak..."  Saya kagum kerana ia berkata dengan senyuman. Saya perhatikan ia sentiasa tenang, redha hatinya jelas terbayang di air mukanya yang tidak pernah muram. Mungkin kerana ia banyak membaca dan masa lapangnya tidak terguna untuk menghasihani diri berpanjangan. Dia juga suka berurusan dengan badan-badan sukarela yang sehaluan dengan fikrahnya sejak dahulu hingga sekarang. Dan kesibukan itu saya percaya telah membuatnya  cerdas untuk bersilaturrahim dengan kekawan. Ia pandai menyimpan rahsia hati dan pada kami semua ia banyak berkorban.

Bicara di atas  adalah seperti bicara biasa dalam masyarakat kita kini. Agaknya sudah banyak diceritakan dalam novel sastera atau dalam drama TV di mana jua.  Dalam keluarga besar saya, peristiwa seperti ini ada juga terjadi.

Di mana ada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan....

Ada ahli keluarga yang mudah menerima dan tidak kurang pula yang hanya senyum bila ditanya. Ada yang berfalsafah, dan ada yang ingin memerhati sebelum bersuara. Berbagai reaksi dan berbagai rasa. Itulah manusia.......

Sering kita dengari di kuliah-kulih terbuka atau di laman sosial yang kini makin rancak membicarakan fenomena-fenomena seperti ini yang masih dianggap "controvercial". Ini adalah salah satu darinya. Secara peribadi saya juga mendengarinya  dengan fikiran terbuka kerana Islam membenarkannya. Cuma ada suara-suara yang agak terkilan kerana mungkin mereka berpendapat syarat-syarat ketat yang dimaktubkan tidak diambil kira oleh sesetengah mereka yang mengambil tindakan untuk keselesaan dirinya sahaja. Entahlah....hanya Allah yang maha mengetahui segalanya.

Teman saya ini redha semata. Itu yang kami lihat dan di hati hanya Allah yang maha Bijaksana mengenalinya. Beberapa teman mahu meregukan dia denagn pihak yang difikirkan sesuai dengannya. Sering ia bersahaja mengatakan ia masih ingat pada "Si Dia" dan lebih suka bersendirian hidup mengingat detik-detik gembira mereka bersama. Memori sangat indah padanya tidak mungkin boleh dilupakan begitu sahaja. 

Namun.....
Satu hari kami agak "terkejut" mendengari bahawa ada lamaran yang membuka hatinya. Dipendekan cerita,  kini mereka sudah diijabkabulkan dan semua keluarga dan sahabat handai sudah rasa lega dan amat gembira kerana dia sudah bertapak di bumi nyata. Dia kata pasti dirinya tidak akan ingat lagi pada "Si Dia".  Yang pergi biar pergi mengapa hati di biarkan "tersiksa". Itu saya yang kata. Di hatinya sering ia bercerita bahawa biar Allah yang menentukan apa akhirnya. Kebahagiaan adalah milik Allah, semuanya milik Allah. Maka kita tidak perlu berduka nestapa tentang sesuatu yang telah hilang dari kita. Dia yakin dalam apa jua, kalau kita redha dan sentisa bersyukur dengan kurniaan yang maha Pencipta, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik darinya.

Itulah  cerita teman saya, yang ada caranya sendiri  menterjemah cinta. 






Alhamdulilah, semoga ia terus bahagia di bawah lindungan kasih sayang yang maha Esa. Cinta manusia ada yang boleh "membawa" ke Syurga dengan izin dan limpah rahmatNya. Ada yang Allah uji dengan panas terik dan hujan ribut buat seketika. Disangkan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari........

Mungkin hujan berpanjangan. Tetapi Allah kurnia pelangi diakhirnya. Pelangi di mata dan pelangi di hati semoga untuk selamanya.

Suami saya mengenali teman saya ini. Dan sesekali saya bercerita mengeni fenomena poligami yang ahli masyarakt kita selalu memperkatakannya. Ada yang membawa hujah dari  hujah-hujah yang biasa didengarinya. Ada yang benar-benar mahu mempertahankan tindakanya dengan membawa hujah yang katanya dari alQuran dan Hadith yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa jua. Ada yang kebingungan tertanya-tanya mengapa pentadbiran syarat-syarat dan proses mengenainya dalam negara kita kurang kemas dan kurang memihak pada isteri yang sudah ada terlebih dahulu dari yang kedua dan yang  ketiga dan yang seterusnya. 

Sehubungan dengan ini saya pernah dipinjamkan sebuah novel Tauhid oleh seorang teman lama yang berjodol "SEBARKAN CINTA MU"  yang ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd. Noordin yang diterbitkan oleh PTS dalam tahun 2012. Beliau adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ijazah pertama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dan Ijazah Sarjana dibidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Beliau juga punya kelulusan lain yang berkaitan yang membuat saya yakin akan kesahihan penulisannya.


Saya belum membaca sepenuhnya tetapi apa yang saya baca  sudah cukup untuk saya mengukir semula fahaman saya mengenai poligami yang dahulunya saya terima dengan hanya mengunakan fikiran dan emosi. Dalam buku ini ada banyak fakta yang ditakrif oleh penulis yang membuat saya mahu mengkongsikan bacaan buku ini. Antara yang menarik perhatian saya ialah Rasulullah salallahualaihiwasalam menggambarkan "tidak serononya rasa hatinya jika anak perempuan kesayangannya di sakiti. (fahaman saya dalam konteks poligami). Ini jarang mahu diperkata oleh pihak yang mahu mencari keselesaan dirinya sahaja.

Bacalah sendiri buku ini untuk menilai kesahihannya, atau sekurang-kurangnya untuk tahu bahawa ada beberapa fakta yang tidak pernah kita dengar. Rupa-rupanya adalah Hdith yang diiktiraf sahih baginya yang boleh memberi kefahan yang lebih mendalam.

Sering juga saya mendengari orang lelaki mengatakan bahawa junjungan kita Nabi Muhammad salallahualaiwasalam suka akan tiga perkara. Dan yang ketiga ia suka akan perempuan. (He loves women). Dan ini digunakan sebagai sumber bukti bahawa poligami itu sememangnya sesuatu yang amat digalakan mengikut "sunnah" Nabi kita. Dahulu apabila saya mendengarinya saya mendiamkan diri sahaja dan tidaklah saya suka berbicara membabi buta. Diam itu lebih baik.....

Kebetulan baru-baru ini saya mengikuti sebuah siri ceramah dalam you tube oleh Shaykh Hamzah Yusuf mengenai hal ini. Sila rujuk"Women Shariah and Islam" yang dirakam pada tahun 2013. 
Beliau mengatakan fakta Rasulullah (SAW) suka wanita bukan dalam konteks hubungan jasad lelaki wanita (sexuality) tetapi dalam konteks bahawa Rasulullah (SAW) mahu mengutarakan bahawa beliau amat menghargai sifat-sifat unggul wanita terutamanya dari segi sifat kasih sayang dan belas kasihan dalam mengendali sebuah keluarga. Rasulullah amat kagum dengan sifat-sifat itu dan mahu mengatakan pada ummatnya supaya sama-sama menghargami anugerah ini dari Allah pada kaum lelaki yang rata-rata kaum lelaki agak kekurangan.

Saya tidak mahu berlebihan hujah kerana takut keterlaluan dalam bicara sesuatu yang bukan ahlinya. Rujuklah sendiri.






Cinta adalah suatu perasaan yang amat peribadi. Ini pendapat saya sahaja. Sukar hendak diperkata atau dibicarakan. Ia terserlah dalam tindak tanduk seseorang dan pembawakan diri seseorang. Selalunya jika seseorang itu benar-benar ikhlas dalam cinta ia akan terzahir tanpa disedarinya. Cinta bukan sesuatu yang diperkata dibibir. Ia perlu pembuktian....pada Allah yang maha Pencipta terutamanya. Cinta kita hanya relevan dalam paradigma Iman dan Taqwa, pada sesama manusia dan semua makhluk dan ciptaan Allah yang lainya. Mungkin dilain bicara kita cerita penterjemahan Cinta yang lain pula......

Cinta itu indah....seindah mawar, malah tidak terkata. Kita lihat semula nama-nama Allah yang terkait denganNya........sifat maha kasih dan maha sayang (ar Rahman dan ar Rahim).


Apalah manusia.....

Saya pun manusia, penuh dengan segala kekurangan dan kelemahan.......
Seorang sang suami  dari keluarga besar saya pernah berkata mengenai "menduakan cinta": Saya tak sanggup menjadi sebab isteri saya dimurkai oleh Allah hanya sahaja saya berkahwin lagi dan isteri saya tidak lagi setia pada saya dan mengambil tindkan yang tidak syarie dan menjejaskan dirinya di hadapan Mahkamah yang maha Agong. Kalau saya kahwin lagi belum pasti masaalah saya selesai semuanya tetapi saya mengundang masaalah lain. Mungkin sebab itu juga kedudukan saya sebagai suami tidak lagi selari dengan kehendak Allah. Mungkin seronoknya sebentar, tetapi padahnya berpanjangan. Saya kasihan isteri saya!

Akhir kata, saya tidak ada apa-apa lagi yang hendak saya katakan. Sama-sama kita bertekad menyelesaikan masaalah tanpa mengundang masaalah lain. Sama-samalah kita mohon petunjuk Allah semoga apa jua tidakan yang kita lakukan ada nilai tambah yang kita redha dan Allah pun meredhai. 

Semoga Allah mengampuni dan melimpahi kita semua dengan Rahmatnya yang tidak terhingga.
Aamiin ya Rabb.

....

Thursday, March 19, 2015

Demam sedikit rasa takut......




Sudah lima hari saya demam dan batuk, agak serius dalam pengalaman saya. Saya tidak ke klinik perubatan dan hanya makan ubat batuk yang anak perempuan saya kata ia mujarab. Lagi pulak saya rasa tidak cukup kederat untuk bangun membawa diri ke klinik.

Alhamdulilah. Ini hari keenam dan rasa agak lega sedikit walau pun selera makan belum pulih sepenuhnya. 

Saya berseorangan di rumah dan otak saya memikirkan beberapa hal yang Allah pertemukan untuk di lalui dan difikir-fikir hikmahnya. Ini timbul kerana sebelum saya mula demam saya dapat tahu seorang teman akrab sudah sebulan sakit di hospital. Hj Kassim namanya. Saya rapat dengan isterinya juga kerana dahulu kami bertugas di kawasan pejabat yang sama. 

Saya menaliponya dan isterinya yang menjawab lantas bercerita suaminya sakit agak rumit yang melibatkan otak dan berbagai lagi. Berita ini agak membuat saya rasa tersedih kerana seorang teman akrab yang lainnya (Hj Yunos) sudah meninggalkan kami. Saya berjanji pada isterinya untuk menziarahinya selepas saya menziarahi cucu saya di Putrajaya yang juga sakit dan belum tahu apa masaalahnya. Tiba-tiba ia tidak boleh berjalan dengan betul dan sedang di uji berbagai kemungkinan termasuk rumatism.(lebihkurang begitu). Semoga tidak serius.

Dua hari saya di rumah anak di Putrajaya dan kini di Petaling Jaya. Bertekad untuk tidak memanjakan diri saya melihat-lihat kerja saya yang tertangguh di SmarTop. Nanti pada 23 Mac saya insyaAllah akan ke Tangkak untuk bersama anak-anak dan ibu papa mereka pergi 'outing' melawat planetarium di Melaka dan juga program renang yang sudah lama tidak saya sertai. Semoga saya terus sihat.

Saya masih teringat-ingat teman akrab ini dan isterinya memberitahu saya bahawa ia peka dengan apa yang berlaku pada dirinya. Cuma ia tidak dapat bercakap dengan terang, mungkin kerana otaknya mengalami sedikit pendarahan. Maka kata isterinya eluk saya datang sendiri menziarahinya. Ia kenal pada kawan-kawan yang datang cuma tidak dapat bercakap rancak. Semoga saya dapat pergi secepat mungkin. Terasa sedih juga di hati. Ujian Allah datang dalam berbagai rupa dan semoga saya dapat menerima dan rasa redha jika Allah turunkan ujian sepertinya. 

Perihal jantung saya belum selesai lagi dan IJN menetapkan 31 Mac untuk bertemu pakar. Ditambah dengan demam sedikit entah mengapa saya rasa takut juga jika ada sesuatu yang memerlukan tindakan pemulihan yang lebih serious. Namun saya diam terkebil-kebil berfikiran sendirian. Seorang dua teman mendoakan semoga saya cepat sembuh. Aamiin.


Tetapi saya belum berdoa untuk cepat sembuh kali ini kerana terfikir-fikir kisah Nabi Ayub (AS) yang Allah uji sakit kudis di kepalanya untuk beberapa lama. Bila isterinya menyarankan agar ia memohon pada Allah supaya cepat sembuh, ia enggan kerana rasa malu tidak sabar dengan ujian Allah. Kesabaran itulah yang meningkatkan derjat seorang hamba pada Haliknya. Maka saya cuba bertenang kerana amat teringin mencontohinya  dan saya berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan saya, termasuk mengurus jantung saya. Aamiin, ya Rabb....

Lima hari demam, maka lima harilah aktiviti saya terhenti. Teringat masa umur muda dahulu, bila demam ia tidak berapa menimbulkan pemikiran jika demam berterusan. Ia menjadi sebab untuk menangguh aktiviti, kekadang yang agak penting pun ditangguh. Tetapi diumur amat senja ini, saya cuba bangun tangkas dan tidak mahu melengahkan diri sebab baki umur tinggal amat sedikit dan amat terasa keperluan besegera menyelesaikan apa yang patut supaya tidak meninggalkan apa-apa yang boleh dikesali. 

Namun saya menyedari ini hanyalah satu usaha. Allah jua yang mengetahui segalanya dan Dia yang maha menentukan. Kita hanya mohon belas kasihanNya dan pengampunanNya.
Aamin ya Rabb...

......

Friday, March 13, 2015

Redup.......



Redup itu nikmat, Panas pun nikmat
Panas itu nikmat, Hujan pun nikmat
Lalu........
Hidup itu nikmat, Mati pun nikmat.
Cuma kita belum mengerti secukupnya kurniaan nikamt Allah yang sebenarnya,
Allah itu maha Pencipta dan tidak ada ciptaanNya yang sia-sia.
Allah itu maha Mengetahui dan maha Bijaksana,
Kita hanya perlu yakin dan ikhlas dalam pengabdian diri padaNya.
Mengikut jejak Rasulullah saw, tanpa ragu tanpa soal jika soheh riwayatnya.

Maka mengapa kalau hujan kita kata cuaca buruk,
Kalau panas terik kita mengeluh, berlarian mencari teduh.

Kalau ribut taufan hati kita berdebaran, kita takut, 
Kalau banjir besar kita cepat-cepat mencari tempat bertaut,
Kalau dilanda tornedo dan tsunami kita  kalang-kabut,

Kalau meletup gunung berapai kita berkejaran mengelak bencana, 
Kita hilang bicara dan hanya mengeluh bingung belaka.

Apabila dilanda kezaliman perang kita cepat tuduh-menuduh, 
Sesama manusia kita tiada belas kasihan dan nyawa menjadi rapuh.
Maka ada manusia "menyembah" manusia berbondong-bondong takut
Hilang harga diri, pada manusia mereka melutut.

Kerana ramai dari kita yang masih menggunakan aqal semata
Belum sempurna mengenal Allah yang maha Pencipta.

Tetapi ada juga yang tidak sekongkul, berani mara membalas bela
Nyawa Allah yang kurnia, Iman di dada menjadi perisai menentang senjata.

Ada yang memekik: "Di mana Tuhan ! Mengapa kami dibiarkan ?"
Menganggap nyawa itu hak dan Allah hanya sampingan.
Subhanallah.......maha Suci Allah
MencariNya bila terkandas meminta  pertolongan
Tetapi nada sombong masih terus kedengaran, keras di dalam,

Bila Allah turunkan pertolongan
Mereka masih tidak iktiraf itu satu Kurniaan.
Masih berkata itu suatu kebetulan.
Maka di mana letaknya jiwa Ihsan? 
Tidak cukup hanya mengaku aku Islam dan aku beriman
Kalau belum yakin bahawa Allah maha melihat dan maha menyaksikan
Atas semua yang jelas dan yang disembunyikan.

Redup di hati....redup difikiran, 
Semoga tenang tidak berganjak mencintai Kebenaran,
Taat setia semoga dapat sampai ke peringkat 'haqqul yakin' atas Kurniaan

Memahami ikrar 'Alastu bi Rabbikum, bala! Syahidna'
Di Syurga Firdaus semoga terpilih 'bertemu' denganNya, selamanya.
Kurniaan nikmat yang tidak terhingga dari Allah yang  maha Esa.


Aamin, ya Rabb...


.....

Wednesday, March 11, 2015

Saya pura-pura .....




Pagi Selasa yang ceria.

Saya ke Pusat Perubatan University Malaya sekali lagi. Tetapi pagi ini saya tenang dan sepanjang perjalanan berbual santai dengan suami saya mengenai warna-warni hidup harian.

Saya "kiv" kes jantung saya dan hari ini ke PPUM untuk menawarkan diri menjadi seorang sukarelawan menjadi bahan kajian untuk satu penyelidikan dalam kes pesakit Diabetis. Lebih kurang begitu...lebih kurang. Saya baru menawarkan diri dan sebelum diterima saya kenalah menjalani pemeriksaan kencing dan darah. Apa yang akan dilihat saya kurang arif tetapi saya akur dengan peraturan yang ditentukan.

Cepat sahaja proses itu selesai dan saya pun keluar menanti suami saya untuk pulang. Saya menuju ke deretan kerusi-kerusi untuk menunggu kenderaan. 

"Assalamualaikum...." saya ucapkan pada dua orang wanita yang sudah sedia duduk. Seorang nampak seperti warga emas dan seorang lagi saya kira dia warisnya, anak atau menantu.

Yang tua yang sememangnya sudah memerhati saya menjawab salam dan kami bersalaman. Saya duduk dan menalipon suami saya. Perempuan yang tua ini asyik melihat saya dan tersenyum lebar.

"Jumpa doktor ke?" dia bertanya.
Tidak....saya jumpa nurse untuk ambil darah," saya menjawab sambil menunjukan padanya bekas suntikan yang ada dilengan saya.

"Ohh.....sakit apa?" ia terus bertanya. 
"Saya ada macam-macam penyakit..." saya menjawab santai sambil melihat wajahnya.
"Achik sakit apa?" saya bertanya kembali, sebagai adab perbualan orang-tua-tua.
"Mak chik pun sakit macam-macam....Mak Chik dari Perlis, ubat dah habis. Anak bawak sini untuk ambil ubat...."

"Ohh.... eluklah", saya kata dengan senyum cuba bersimpati padanya.
Wanita ini seperti ingin bersembang seterusnya, bertanya pada saya tinggal di mana dan berbagai soalan yang berkaitan sakit. Ia bercerita betapa sukanya kalau ia sihat dan dapat pergi menunaikan fardhu Haji. Saya pun bercerita bahawa saya sudah ke Makkah dan terserlah di wajahnya betapa ia iri hati dengan cerita saya.

"Giliran saya tahun 2017," katanya. "Tapi anak-anak tak dapat temankan saya. Harap-harap anak kakak dapat pergi sama." dia berkata dengan nada berharap yang amat sangat.

"Umur berapa sekarang.....nampak macam sihat tapi kena ambil ubat" dia mengulang soalan yang tadinya tidak saya jawab.
"Oh...dah tua, saya 68 tahun."

"Eh...macam muda saje tak kan dah 68?" sepertinya ia kurang percaya. "Saya pun dah 68. Samalah kita."

"Tapi nampak muda...betul ke ni?....Apa rahsianya...? Tiba-tiba anak menantunya mencelah. Dia duduk berhampiran dan mendengari celoteh dua orang warga emas.

"Betul....tidak ada rahsia. Saya pura-pura buat tak sakit. Saya sebenarnya takut sakit.....tapi saya buat tak layan fikiran saya. Saya buat macam tak sakit....". Saya kata dengan sedikit gelak ketawa.

Teman kenalan baru ini terus gelak seperti tidak percayakan cakap saya. Saya turut seronok mentertawakan diri sendiri.....mana munkin boleh pura-pura tak sakit.

Tiba-tiba merekla bangun untuk beredar. Katanya anaknya sudah menunggu dan mereka perlu ikut.

Saya bangun untuk bersalaman....tandanya saya seronok berbual dengan mereka. Tersentuh hati saya bila teman baru ini memeluk dan mencium saya. 
"Saya pun nak belajar pura-pura....pura-pura sihat. Nak pegi Mekah 2 tahun lagi." dia berkata bersemangat.

Dia melepaskan pelukan dan beredar dipimpin oleh aanak menantunya. Rasa sayu seketika. Saya tidak menyangka kata-kata saya memberi kesan padanya. Allah maha Mengetahui maha Bijaksana.

"Saya doakan Allah mudahkan...." dan melambaikan tangan saya....berpisah.

Saya lihat dia samapai hilang dari pandangan kerana ramai orang di hospital pagi itu. Pagi yang ceria menjadi agak muram dalam ingatan, betapa saya menginsafi diri......

Semoga Allah mengampuni kami....teman pesakit di persimpangan.
Aamiin....

.....

Monday, March 9, 2015

Karenah Jantung Ku....



ALLAH KATA MATI, MAKA JANTUNG BERHENTI.
BUKAN JANTUNG BERHENTI BARU KITA MATI.

Jam 3.30 pagi empat malam yang lalu, saya rasa kejjutan sakit di dada saya sebelah tengah. Ketika itu saya baru sahaja duduk di atas katil untuk tidur awal sedikit dari biasa. Tiga kali kejutan itu mengasak saya dalam masa tiga atau emapat minit....entah. Sepertinya sekejap...tapi menakutkan saya. Mungkin kerana selalu sahaja membaca penulisan-penulisan mengenai serangan jantung....

Panik..? Ye, agak panik juga....

Lantas saya menggerakan suami saya yang sudah tidur untuk menghantar saya ke Hospital. Kemudian ia menggerakan anak lelaki saya dan denagan mengambil sweater kami terus sahaja memandu menuju University Malaya. (PPUM).

Ruang Kecemasan agak lengang. Denagan jalan bersendirian saya menlangkah ke dewan tempat Saringan Pesakit. Sudah tidak ada kerusi roda untuk kegunaan saya. Saya senyum sahaja dalam hati. Sudah tidak rasa panik kerana sudah hampir dengan pertolongan. Hampir lupa bahawa pertolongan itu datangnya dari Allah. Khuatir sedikit, itu sahaja. Manusia....sering lupa!

Saya diminta menunggu sebentar. Degup.......saya terasa sedikit kejutan lagi di dada saya. Saya diam cuma memohon pada Allah semoga dimudahkan. Dalam lima minit seorang nurse mengambil maklumat dari saya seperti bila mula terasa, adakah saya pening, adakah saya berpeluh, adakah saya muntah yang mana  jawabnya semuanya tiada. Kemudian saya dibawa ke bikik pemeriksaan ECG dan setelah selesai saya menunggu sebentar sebelum saya dibawa masuk ke Bilik yang lain pula untuk berjumpa doktor.

Saya minta izin untuk ke bilik air dan setelah itu saya di arah untuk ke dewan menanti untuk pendaftaran dan kemudian ke dewan menanti giliran pula. Agaknya semasa saya di bilik air nurse sudah melaporkan pada Doktor dan sudah melihat rekod ECG saya.

Saya berfikir agaknya kes saya tidak kritikal maka saya diarah menanati di dewan umum dan bukan di bilik Trauma. Sejam saya menanti, tidak ada pergerakan pesakit yang saya lihat. Sepertinya hanya 2 orang doktor sahaja bertugas. Saya mula merungut dalam hati.

Dua jam....tiga jam......tidak ada panggilan giliran saya. Pesakit lain makin ramai menanti. Ada yang saya perhati lebih tua dari saya dan lebih uzur. 

Saya menanti lagi. ......Jam 3.30 pagi saya dipanggil masuk berjumpa doktor. Hampir emapt jam saya menanti. Rasa resah...rasa takut semuanya ada. Tetapi apakan daya . Saya tiada kemampuan untuk ke Hospital Swasta.

Doktor Wan yang memeriksa saya. Pertanyaan yang sama....
Kemudian saya mengambil ECG sekali lagi sebab katanya doktor mahu kepastian kalau sebenarnya  ini kes Jantung. Protokol pemeriksaan membuat saya resah juga. Lepas lebih kurang 10 minit saya berjumpa Doktor lagi. Katanya ECG saya biasa. Tekanan darah saya tidak terlalu tinggi. Boleh terima. Besar kemungkinan ini bukan kes jantung. Ia mencadangkan saya mengambil darah untk pemerikasan lanjut.

Untuk perikasa apa? saya bertanya. Kata doktor ia ingin tahu kalau "cardiac enzyme" ada dijantung saya. Tetapi saya semestinya menunggu 2 jam lagi untuk keputusan. Saya rasa kecewa diminta menanti lagi. Waktu itu jam sudah pukul 4 pagi. Tidak berfikir panjang saya tidak setuju dan tanpa berunding lanjut saya katakan saya tidak daya menanti 2 jam lagi. Kalau ada tempat perbaringan mungkin saya terdaya. Tetapi duduk di atas kerusi saya tidak terdaya. Saya warga emas, ..... Dan dalam jua jam akan masuk waktu Solat Subuh.

Saya buat kata putus dan pulang ke rumah tanpa keputusan muktamad apa sebenarnya yang terjadi pada jantung saya.

Saya berehat sepanjang hari........
Esuknya saya rasa seperti biasa....

Tetapi awal subuh semalam saya rasa kejutan itu sekali lagi. Saya katakan pada suami eluk saya pergi ke IJN untuk mendapat kepastian.
Maka setelah minum pagi alas perut suami dan anak menghantar saya ke IJN. Protokol yang biasa. Saya diminta buat ECG sekali lagi dan mengambil darah untuk pemerikasaan. Saya diminta menunggu dan diberi maklumat bertulis  bahawa kes seperti saya tidak kritikal. Anggaran masa menanti satu  jam. Oleh kerana tidak ada kes yang kritikal di Emergency, maka saya berjumpa doktor dalam masa setengah jam.

Alhamdulilah cepat......bukan hampir 5 jam seperti di PPUM. Kami diberithu ia memakan masa lama kerana protokol mengambil maklumat berubah untuk sistem maklumat yang baru. Saya diam. Tetapi hati merungut kerana pesakit tidak dapat didahulukan. Itu di PPUM.

Di IJN cepat sekali. Doktor melihat saya tenang sahaja. Katanya besar kemungkinan jantung saya normal setelah melihat laporan ECG dan darah. Fikiran saya pening tetapi rasa lega....alhamdulilah.
Kalau bukan kes jantung, kes apa ye? Mengapa saya diberikejutan seperti itu di dada saya.

Doktor kata tidak perlu apa-apa ubat dan tarikh berjumpa doktor akan ditentukan masa terdekat ini untuk rawatan dan pemerhatian susulan.

Itulah karenah jantung saya. Pastinya Allah mahukan saya berfikir sesuatu. Entahlah.....
Yang pasti saya akan teruskan kerja-kerja yang sudah diaturkan untuk tahun ini. Mudah-mudahan saya sihat. Ustaz kata tunggu berehat di akhirat nanti. Jangan manjakan diri di sisni. Bersara bukan untuk bersantai. Ia untuk diguna mencuba menyelesaikan apa yang sewajarnya untuk bekalan. Bila sampai masanya ia tidak sesaat cepat dan tidak sesaat lambat.

Semoga Allah mengapuni segala ketidaksempurnaan dan Allah kurnia iktiraf Hamba pada saya. Semoga di Syurga Firdaus akhirnya.....dengaan RahmatNya semata-mata.
Aamiin....

....

Wednesday, March 4, 2015

Melihat diri seketika......





Tiba-tiba bermonolog....
Warna ungu melambangkan kasih. Dahulu semasa remaja saya katakan ia sebagai "the symbol of secret love". Fikiran mahu terbabas.

Kini sudah diperbatasan umur menanti jemputan, entah sebentar lagi entah bila giliran jemputan Ilahi pula. Maka saya selalu dinasihatkan jangan lagha.....

Alhamdulilah..... Allah memberi peringatan bahawa tiada lagi masa untuk bersangan-angan dan berfikir-fikir yang tidak membawa munafaat untuk kehidupan kini dan masa akan datang.

Sebenarnya saya baru sahaja sampai pulang dari hospital mengambil ubat-ubatan untuk dua bulan. Kali ini tidak lama menunggu panggilan giliran mungkin kerana orang-orang keturunan Cina masih sibuk menghabiskan cuti perayaan. Saya menalipon anak untuk datang mengambil saya seperti biasa di Pusat Perubatan University Malaya.(PPUM). Saya boleh sahaja mengambil teksi tetapi saya kekadang suka dijemput anak supaya membolehkan saya menunggu sambil melihat dan meneliti dan menginsafi diri melihat pesakit-pesakit yang sibuk mengambil ubat ditemani waris atau datang berseorangan seperti saya.

Ada yang menaiki kerusi roda di tolak oleh anak atau suami /isteri. Ada juga yang ditolak oleh pembantu rumah orang Indonesia. Saya bersyukur kerana masih agak sihat dan masih sempurna ingatan untuk pergi seorang. Saya tidak suka memandu kereta kerana tempat pakir sangat terhad dan sering membuat saya stress mencari ruang yang kosong.

Saya perhatikan ada yang namapak tergesa-gesa mengurus pesakit yang sudah tidak upaya, ada yang nampak bersahaja dan ada juga yang nampak tidak punya kesabaran kerana menunggu lama sementara kerusi roda dipulangkan ke tempatnya. Karenah si sakit berbagai rupa dan tidak asing juga bahawa karenah yang sihat juga bolih menyentuh perasaan pesakit yang lumrahnya menagih kepedulian yang setia dari waris terutamanya anak-anak yang dari kecil dijaga.

Di celah-celah masa menanti, teringat saya dua minggu dulu saya terkejut bila saya dapati seorang teman saya sudah jelas menghidap sakit pelupa. Kami sebaya dan dia sudah tidak mengenali rupa wajah  saya walaupun sering juga kami berhubung di talipon. Subhanallah. Saya hubungi seorang teman lain untuk mendapatkan bantuannya mencari waris terdekatnya supaya tidak membiarkan dia tinggal berseorangan. Pengalaman saya menjaga ibu mertua saya yang pelupa sudah cukup untuk saya menginsafi diri dan menghargai apa itu ingatan. (the power of a good memory). Saya khuatir teman saya ini lupa jadual mengambil ubat dan lupa hendak memadam api di dapur. Saya dan dua tiga teman yang lain akan berusaha sentiasa menghubunginya supaya dapat membatu sewajarnya. In sya Allah. Semoga Allah memudahkan urusan kami semua.

Lama juga saya menanti anak saya tidak kunjung tiba. Mula resah di hati takut-takut ada kesesakan yang tidak dijangka. Mulut saya komat-kamit cuba menenangkan perasaan dengan mengingati Allah yang pasti maha mengetahui apa yang dalam perancanganNya. Cuma manusia  (seperti saya) yang sering lupa. Penentuan Allah tidak  lambat dan tidak cepat walau sedetik pun  jika sudah sampai ketetapanNya. 

Secara sedar dan tak sedar saya rasa seperti jantung saya berdebar...
Entah mengapa rasa seperti agak penat menanti. Saya pujuk diri supaya bersabar dan meneruskan berfikir-fikir. Teringat pulak apa kata seorang Ulamak tentang jantung kita. Degupan jantung kita itu seperti ia bertasbih: "A   llah, A...llah, A...llah".....(Lihat Sheikh Hamza Yusuf dalam u tube mengenai Jantung kita). Jantung kita kenal pada Allah. Kebetulan saya baru tamat menjadi bahan kajian mengenai jantung saya oleh sekumpulan penyelidik di PPUM. Jantung saya selalu sahaja berdebaran pantas dan kajian ubatan yang saya volunteer adalah mengenai fenomena itu. Jantung merupakan satu-satunya anggota badan kita yang tidak dikuasai oleh otak kita. Perilaku anggota kita semua mengikut arahan otak melainkan jantung. Ini suatu perkara yang kita harus berfikir-zikir.........Allah maha Pencipta.

Saya releks sebentar........

Saya memandang jauh setiap kereta yang lalu di hadapan saya. Tidak nampak kereta merah yang saya nanti tiba. Fikiran saya bukan diam sahaja. Saya perhati kereta-kereta yang lalu lalang kebanyakannya  kereta yang sederhana dan yang kurang dari itu. Tidak seperti kereta-kereta yang berkunjung ke Hospital swasta yang saya lihat bila menziarahi teman pesakit di sana. Banyak kereta mewah-mewah menghantar dan mengambil pesakit. Itulah corak hidup di dunia. Allah kurnia dan Allah duga berbagai cara. Cuma kita manusia harus sedar kewajipan kita sebagai hamba. Jika kita ingat kesemuanya milik Allah jua, maka kuranglah kita rasa seperti kurang harga diri dan sikap-sikap negatif yang lainnya. Bila Allah uji dengan sakit, atau dengan apa jua, itu tandanya Allah sayang pada kita.......tercetus ingat kata-kata ustaz.

Anak saya tidak kunjung tiba. Setelah berhubung kembali, saya mengambil keputusan untuk menaiki teksi sahaja. Maka tamat di sini sahaja fikir-fikir saya.Belum sampai ke mana saya lihat diri saya. Yang pasti masih banyak yang belum sempurna dan masih banyak yang perlu dibina.  Semoga Allah sentiasa memudahkan dan menunjuki jalan yang diRedahiNya. Kita hamba dan Allah jua yang maha berkuasa. Kita mohon belas kasihanNya dan semoga di Syurga Firdaus tempat kembalinya kita. Aamiin.....

.....
Related Posts with Thumbnails