"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, October 30, 2015

Biarkan dia makan.....






Hampir setiap pagi Jumaat setelah solat Subuh dan sessi tazkirah, suami saya akan bersama-sama teman masjid pergi minum pagi di restoran yang digemari. Kekadang saya ikut kerana itu lebih mudah bagi saya walaupun saya berseorangan. Suami saya kini berumur 68 tahun. Ia sering teringatkan ayah yang telah meninggalkan kami ketika umurnya 69 tahun.

"Abang hanya ada setahun lagi kalau ikut umur Ayah." Sering ia berkata terutamanya bila masa hendak makan. Ayah mertua saya selalu berkata: "Jangan larang ayah makan. Biar mati makan, jangan mati tak makan...". Ayah suka melawak.....

Ayah saya punya penyakit diabetis. Juga suami saya. Perangai makanya tidak jauh beza denagan ayahnya. Saya hanya mampu senyum dan sering saya kata: "Kita mati bukan kerana sakit. Tiba masanya , akan pergi juga kita. Yang penting kita jangan sesuka hati melanggar sunnatullah. Kita harus ikhtiar untuk sihat, walaupun akhirnya hidup dan mati itu ketentuan Allah. 

Mudah bagi saya berkata, tetapi selalu juga saya sendiri kecundang untuk berdisiplin dalam hal makan. Saya juga ada penyakit tiga serangkai. Bila duduk seorang diri sering saya memikirkan kematian.....

Bapak saya meninggal dunia dalam umur hampir 100 tahun, kata emak saya. Ketika itu saya berumur 16 tahun. Oleh kerana saya bongsu, maka jarang sekali atau tidak pernah saya dibawa berunding dalam hal-hal kesihatan keluarga. Cuma saya terpaku dengan ingatan bahawa agenda makan bukan suatu yang penting dalam keluarga saya. Makan mengikut seadanya. 

Emak saya meninggal dunia tahu 2004 ketika umurnya saya kira lebih kurang 95 tahun. Ia tiada penyakit kronik, semata-mata sakit tua. Tetapi saya tidak mewarisi kesihatan seperti itu. Emak saya tidak sering ke Doktor dan menjaganya di umur tua amat mudah. Allah maha Mengasihani. Alhamdulilah.

Melihat sejarah ini, suami saya kata ia akan pergi dahulu. Saya hanya senyum lebar kerana pada saya hidup dan mati itu hak mutlak Allah yang maha Pencipta dan maha Bijaksana. Kita hanya perlu bersabar, bersyukur, berikhtiar dan berdoa. Semoga Allah kurnia khusnul khatimah. Selain itu saya hanya suka berbisik padaNYA apa yang ada nun jauh di lubuk hati saya. Itu rahsia saya denganNYA., Allah yang maha Berkuasa atas segala sesuatu.....

Mohon keampunan Mu ya Rabb...Mohon kasih sayang Mu ya Rabb...
Mohon Syurga Firdaus Mu ya Rabb bersama semua yang aku kasih dan cinta......
Dengan Rahmat Mu jua ya Rabb....

Aamiin...


.....

Wednesday, October 28, 2015

HIJAU......






Alhamdulilah, pohon-pohon masih menghijau walau pun jerebu sudah amat berlarutan lamanya.

Cuaca berjerebu, ekonomi rakyat pun berjerebu.
Tetapi rakyat masih terus berharapan...........

Masih ada pautan keyakinan keadaan ekonomi akan pulih, walaupun ia akan mengambil masa yang agak lama. Tetapi ramai yang rasa cemas, khuatir kalau-kalau negara tidak dapat mengatasi masaalah yang dihadapai dan rakyat tidak akan dapat menahan kesabaran dan mungkin akan mengambil tindakan yang membahayakan keselamatan negara.

Esuk siapa yang tahu?....

Berbagai yang diperkatakan dalam sidang Parlimen. Rakyat hendak mendengari kata siapa.

Saya cuba mendengari sudut Hijau dan kehijauan .....
(A colour to be reckoned with), ini warna parti pembangkang PAS. Ia sedang bergolak kerana perbezaan pendapat dalaman yang kini sudah mencetuskan penubuhan Parti Politik yang baru.
Saya tidak bertujuan berbicara tentang fenomena ini kerana saya bukan pakar dan ilmu politik saya hanya secebis sahaja. Cuma saya ingin mengatakan bahawa saya tertarik dengan isi ucapan Presiden PAS dalam Parlimen dalam membahaskan Belanjawan 2016. Anda boleh mengikutinya di U tube.
Beliau bercakap beralaskan minda yang mentauhidkan Allah. Saya rasa agak lega, kerana saya yakin Allah maha Mendengar dan Allah maha Melihat. Semoga Allah  mengasihani rakayat dan menurunkan pertolonganNYA. Semoga di hujung jalan akan ada kesejahteraan. Jom kita muhasabah diri. Pasti kita juga  ada kesalahan dalam hal ini. Kita bertaubat, berusaha membuat perubahan yang sewajarnya dalam semua aspek kehidupan dan kita berdoa dan bertawakal.

Subhanallah, Allahuakbar !


........

Monday, October 26, 2015

Mengharapkan Bajet 2016?







Saya baru pulang dari kampung suami saya di Selama Kedah, khusunya di Kampung Sungai Batu. Kami ke sana atas hal keluarga dan saya mengambil kesempatan meninjau-ninjau apa perubahan yang berlaku dari segi pembangunan masyarakat setempat. Saya melihat beberap rumah penduduk yang amat dhaif yang memerlukan perhatian tindakan meyeluruh pemimpin politik.










Mungkin Bajet 2016 memberi harapan?

Kita lihat sterusnya setelah pembentangan nya Jumaat yang lalu. Ada penulis Blog yang mendapti isi pati Bajet 2016 tidak "secantik" apa yang tertulis dalam dokumen yang dibentangkan. Saya masih menaruh harapan akan berlaku sesuatu yang dapat menjamin kesejahteraan rakyat seluruhnya. Tetapi isu gaji minima RM 1,000/- sebulan pasti akan menjejas pembayaran gaji di Tadika yang saya urus bersama seorang teman di Tangkak, Johore. Apa lagi implikasi saya belum melihatnya secara total. Namun saya masih menaruh harapan.

Harapan apa ye? Tanya teman saya.

Harapan tidak putus asa kerana Allah ada dan kebergantungan kita hanya padaNYA.

Allah maha Melihat, maha Mendengar, maha Adil, maha Bijaksana dan maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kita berusaha, berdoa dan bertawakal.
Mohon PerlindunganMu ya Rabb....

....

Saturday, October 24, 2015

Ziarah jalinan kasih.....





Jalinan kasih semoga hingga ke Jannah.
Ini suami dan Chu Teh, emak saudara adik bongsu arwah ayah.
Tidak banyak bercakap tetapi hatibudinya amat menyerlah. Alhamdulilah.
Kini berumur hampir 85 tahun dan tinggal 
bersama anak-anak di Penanti, Penang.

Kami menziarahinya minggu lepas.
Satu ketika hampir 20 tahun yang lalu ia tinggal
bersama saya hampir 2 bulan.
Satu interaksi silaturrahim yang menyeronokan.
Kini uzur dan harus diurus sepenuhnya.
Semoga anak cucu akan terus berdamping dengan saudara tua.
Itulah kegembiraan orang tua-tua bila dikerumuni sanak saudara,
cucu cicit dari keluarga besar.
Semoga budaya ini tidak hilang ditelan zaman 
disebabkan perkembangan pesat teknologi komunikasi
dan dunia hiburan elektronik.
Mohon limpah kasih sayang Mu ya Rabb....


...

Friday, October 23, 2015

Kulim, Beseri dan Padang Besar yang mungkin anda tidak tahu......







Setelah selesai melihat lokasi tanah untuk tanam pisang, saya dan kekawan tidur di Tune Hotels, Kulim.  Hotel ini biasa sahaja dan kami yang bermusafir dengan buget yang rendah maka Tune Hotel menjadi pilihan. Jika tidak menggunakan tuala, pendingin udara, TV harga sebilik mampu terbayar. Alhamdulilah. Setelah penat berpeluh-peluh melihat lokasi tanah maka Tune Hotel amat selesa untuk rehat dan tidur malam yang nyenyak.

Esuknya kami siap awal untuk ke Kangar dan Padang Besar melancung sambil menziarahi Adik ipar teman yang bersama kami buat kali pertamanya. Kami makan di sebuah Food Court seperi Foto di bawah ini. Suasanyanya amat menceriakan hati dan hidangan makanan amat menyelerakan.

Kami namakan tempat ini THE KULIM RIVEIRA. Semacam tempat makan minum santai di negara Barat. Kami seronok sendiri dan berangan......
Kalau ada yang berminat carilah sendiri sebab saya dah lupa nama sebenarnya.



Oleh kerana musim Jerebu maka cuaca nampak redup dan "nyaman". Tetapi kami peka bahaya jerebu dan cepet-cepat kami makan dan beredar. Kami sarapan di situ dua kali kerana rasa amat selesa dan menyelerakan. Kata saya pada teteman: "tak mampu ke Europe, kita luaskan imaginasi kita di tempat ini ." Dalam umur dewasa tua ini kami tertawa seronok. Teringat peristiwa melancung semasa muda dahulu. Alhamdulilah. Allah kurnia menikmati anugeerah Rahmatnya.



Di Kangar kami menziarahi Adik teman saya. Ibu Norlida namanya. (Dahulu Ibu Norlida menjadi Guru Besar SmarTop Subur Fitrah yang sama-sama kami bangunkan di Tangkak, Johor. Terima kasih Norli.) Ini rumah "baharunya" setelah berkahwin semula dengan Ustaz yang yang juga berseorangan setelah kematian isterinya. Kami dijamu makan tengah hari yang amat menyelerakan.  Allah menyusun segalanya. Sebagai hamba kami menerima ketentuanNya penuh redha. Ustaz mengurus dan mengajar di MATRI dan pertama kalinya saya melawat institusi pendidikan itu yang telah wujud lebih dua dekad lamanya. Saya ketinggalan zaman.....

Kami tinggal di "Homestay" yang istimewa kerana kami di iktiraf tetamu dan bermalam secara percuma. Orang Perlis bermurah hati. Itulah antara ciri silaturrahim antara saudara seIslam. Alhamdulilah.....

Tidak lepas peluang.....
Kami ke Padang Besar juga walaupun tergesa-gesa kerana masa amat terhad. Sudah banyak perubahan kerana saya sudah lama tidak ke sana. Akhir sekali mungkin lebih 15 tahun yang lalu. Saya dapati membeli-belah tidak sangat menyeronokan kerana harga barangan sudah agak mahal. Penjual mengatakan ini adalah kerana nilai Ringgit Malaysia yang sudah merudum jatuh nilainya. Apakan daya. Kami rakyat biasa dan membeli sekadarnya.

Sekurang-kurangnya kami dapat minum air kelapa muda yang amat sedap dan menyegarkan. Nikmat Allah itu berbagai. Berlapang dada dan semuanya menjadi  lumayan yang tidak terhingga nikmatnya. Alhamdulilah.....



Dalam perjalanan pulang kami singgah di Kota Kuala Muda untuk menziarahi kenalan lama yang sudah menjadi seperti keluarga. Kami dijamu makanan laut kerana tempat itu terkenal dengan makanan laut yang banyak dan murah harganya. Kami juga dibekalkan dengan ikan dan udang untuk dibawa pulang. Alhamdulilah.....


Rumahnya sedehana sahaja tetapi hati budinya amat kami sanjung. Mak Teh kelihatan dikiri sekali dan Pak Teh yang berpakaian baju putih. Mereka muda sedikit sahaja dari saya tetapi tenaganya masih cergas, jauh lebih kuat dari kami. Kurnia Rahmat Allah itu berbeza. Allah maha Adil dan maha Bijaksana. Kita sahaja yang sering lupa untuk melihat apa yang tidak ada itu sebenarnya ada. Susah hendak diterjemah. Tidak mengapa.Semoga satu hari nanti Allah izin kita dapat menghayatinya.


Perjalanan pulang dari utara yang santai dan nyaman walau pun bejerebu.
Semoga Allah memberkati usaha kami.


.....

Thursday, October 22, 2015

Tanam pisang lebih baik?.....







Saya rasa amat penat dan kecewa mendengari karenah politik hari ini dan rasa pening memerhati jentera kerajaan bertindak seperti tidak bermaya dalam menangani masaalah yang ada. Rakyat seperti tidak dipedulikan.......
Namun saya yakin Allah sentiasa memerhati dan semoga saya bukan dari golongan orang yang berputus asa. 


Nilai duit Ringgit menjadi semakin kecil dan saya khuatir tidak lama lagi saya mestilah berbuat sesuatu untuk menampung kos perbelanjaan keluarga yang makin bertambah. Maka saya kata pada suami saya mungkin sudah sampai masanya kita jangan lagha bercerita politik dan berbincang hal kepimpinan yang tidak lagi meyakinkan kita dalam serba serbi. Kita rakyat biasa tidak banyak pilihan dan harus bersabar dan berusaha semampu mungkin untuk membuat perubahan.

Ujian Allah datang dalam berbagai rupa. "Kehilangan" harta negara yang belum ditentukan di Mahkamah Civil mungkin juga satu ujian bagi Rakyat. Semoga kesabaran rakyat akan berterusan dan negara tidak ditimpa musibah. Semoga Allah gantikan kesemuanya dengan sesuatu yang lebih baik.

Sementara itu.....Jom kita usaha tanam pisang untuk selesai masaalah ekonomi keluarga. Tanah pusaka cukup untuk memulakan usaha sendirian. Jangan biarkan tanah jadi belukar dan tidak berhasil. Sudah sampai masanya kita mengambil satu tindakan yang insyaAllah dapat membantu ekonomi keluarga termasuk keluarga besar.


Maka minggu lepas suami dan saya dan kekawan rapat menaiki Alphad pergi ke Kedah untuk melihat kemungkinan dapat menjadikan tanah pusaka di kampung Selama Kedah di terokai untuk menanam pisang. Seorang anak muda yang minat dengan hal-hal pokok dan tanaman ikut sama. Dia pelajar dibidang botany yang hampir menyelesaikan pengajiannya diperingkat Sarjana. Diharapkan dia dapat membantu usaha tanam pisang ini sebaik yang mungkin.









Foto-foto di atas adalah antara lokasi tanah yang boleh di bangunkan. Ini bukan usaha yang mudah. Kami harus meyakinkan Syarikat keluarga yang berpotensi untuk membantu kami terutamanya dari segi kewangan. 

Kata kunci kami ialah "mesti usaha". Jangan duduk sahaja dan mengharapkan pihak kerajaan membantu rakyat. Saya sebagai rakyat pun sudah mula rasa bahawa kepimpinan kita sekarang tidak cukup kepedulian untuk membela rakyat. Kita harus berusaha sendiri. Dalam hidup kita ini Allah menganugerah intelek dan Allah menganugerah pilihan disamping Allah menurunkan ujian. Maka kita harus sentiasa muhasabah diri.

Lawatan yang di buat ke tapak merupakan langkah awal. Semoga Allah membuka jalan dan menurunkan pertolongan. Membiarkan tanah tanpa apa-apa usaha pun bukan sikap yang bijak. Mungkin berdosa kerana pembaziran sumber yang sudah Allah kurnia.

Disamping tanam pisang kami juga sedang melihat kemungkinan mempelbagai tanaman. Semoga usaha ini membawa barokah. In sya Allah saya sambung cerita ini apabila sudah menampakan kemajuan. Doakan kami demi kesejahteraan ummah.......


.....

Wednesday, October 21, 2015

Huzaifah mula mengetuk pintu dunia awal remaja...







Lama saya tidak bercerita hal cucu kesayangan.
Huzaifah @ Ujai....
Kini umurnya 10 tahun dan sudah menampakan perubahan dari segi kesukaan aktiviti hariannya. Pada siapa yang belum tahu suka saya maklumkam cucu sulung saya ini disahkan anak istimewa, iatu dalam kategori ADHD - Attention Deficient Hyperactive Disorder.

Antara kekurangannya ialah ia tidak dapat mengawal daya fokus dalam melaksana sesuatu tugas. Akibatnya ialah kita akan menghadapi kesukaran dalam usaha mahu mengajar dia melaksana sesuatu tugasan. Antara contoh yang mudah ialah kita sukar mahu mengajarnya membaca dan menulis kerana ia susah memberi tumpuan masa yang secukupnya. Dia mudah bosan dan mudah jemu dalam sesuatu gerak kerja. Dia terlalu aktif dan tidak suka duduk diam.

Alhamdulilah, setelah lebih setahun ia mendapat bantuan professional dari pakar dalam bidang mengurus "children with special needs", maka kini Huzaifah sudah menampakan banyak kemajuan. Saya selalu berhubung dengan ibunya untuk mengikuti perkembangannya. Dan sering juga menziarahinya di hujung minggu atau ibunya akan membawa anak-anaknya ke rumah saya bila dia kesempatan.

Sekarang dia sudah tidak banyak menagih dari saya untuk membelikannya mainan seperti Lego, kereta mainan dan sebagainya walaupun dia kurang menumpu menghabiskan sesuatu rekaan Lego. Kesukaan dan minat mainannya sudah berbeza sedikit dari minat adik-adiknya. Kini ibunya memberitahu saya Huzaifah sudah ada minat baru. Maka bila terepist professional itu mahu membina daya fokusnya melalui bermain bola rugby, ia amat seronok. Tak kiralah walau tubuhnya masih belum menampakan potensi pemain bola rugby kerana ia amat kurus. Jurulatih atau coachnya memberi motivasi padanya supaya lebih berdisiplin dalam amalan pemakanan supaya badan jadi mantap.

Latihan main rugby ini  merupakan usaha serampang dua mata. Permainan itu dapat membantu membina fokus dan dapat juga memperbaiki kelemahan fisikalnya yang kurang setabil dalam mengendali diri bila membuat pergerakan lasak.

Kami sekeluarga bersyukur amat sangat Allah memberi ruang dan peluang untuk mendidik dan mengasuh Huzaifah untuk menjadi individu yang normal sebaik mungkin. Saya turunkan di sini beberapa foto Huzaifah dengan coachnya Cikgu Rashid dan kekawannya. Semoga apabila daya fokusnya bertambah baik selaras dengan kematangan umur, Huzaifah boleh diajar dengan lebih intensif lagi untuk membaca alQuran dan diajarkan ilmu Fardhu Ain yang lainnya.








Sesungguhnya tiada ciptaan Allah yang sia-sia dan kami sekeluarga redha dengan ketentuanNya. Huzaifah terpilih untuk menjadikan kami sekeluarga lebih bersyukur dan bersabar. Dia punya kelemahan tetapi dia juga punya kekuatan asalkan sahaja kita mahu melihatnya dengan mata hati dan membuka minda untuk sentiasa berlapang dada.

Kata guru kelasnya mungkin tahun hadapan 2016 ia boleh ditempatkan di kelas murid-murid normal Kami berdoa apa jua keputusan pihak sekolah ia adalah yang terbaik bagi Huzaifah. Cuma saya katakan pada ibunya mungkin kami bolih rundingkan ia ditempatkan di sekolah lain yang tiada kelas khas anak-anak istimewa semoga tidak ada rasa prejudis dari guru biasa atau dari rakan sebayanya dalam kelas biasa yang normal. Maklumlah masyarakt umumnya belum benar-benar dapat menghargai kelainan yang Allah kurnia bagi setiap individu. Subhanallah.....

Kami akan terus berusaha, berdoa dan bertawakal pada yang maha Pencipta.
Buat sementara waktu kami ambil tindakan selangkah demi selangkah dengan memohon dari Allah apa yang terbaik bagi Huzaifah.......

Aamiin ya Rabb....


.......

Tuesday, October 20, 2015

Masa itu milik Allah....








Semasa Allah mencipta Alam ini kita mesti yakin bahawa Allah maha mengetahui sepenuhnya fenomena masa. Allahu Rabbulalamiin.... Maka masakan kita boleh kata: Saya tak ada masa, saya tak cukup masa, terlalu banyak yang hendak dibuat, mana nak cari masa dan berbagai lagi keluhan yang didengari. Semuanya seolah-olah mahu membela diri bahawa ketidakcukupan masa bukan salah kita sendri.

Begitulah manusia. Mahu sahaja mengatakan pihak lain bersalah, atau  pihak lain tidak cukup peduli dan berbagai lagi. Saya sendiri mengakui diri saya pun selalu terkantoi dengan fenomena ini. Maka apa yang perlu kita lakukan.

Berbagai cara yang saya alami untuk "memanjangkan" masa.

Mula-mula seorang teman saya mengatakan kita harus ada "check list" dalam mengendali kehidupan atau senarai semak supaya kita tidak lupa. Jika tidak lupa maka kita boleh menjimatkan masa kerana tidak terkial-kial cuba mengingatkan apa lagi yang perlu dilakukan. Jangan ingat kalau kita muda kita tidak perlu check list sebab ingatan masih kuat. Kita perlu........

Setelah ada check list maka mudahlah kita menyenaraikan perkara yang perlu diberi perhatian khusus. Ini boleh mengelakan kita membuat sesuatu yang penting tetapi tidak urgent atau mendesak. Kita harus bijak membezakan perkara apa yang penting dan mendesak dari  perkara penting tetapi yang tidak mendesak. Yang penting tetapi tidak mendesak bolehlah kita tangguhkan. Dan kita boleh tangguhkan juga perkara yang tidak penting walaupun mendesak. Selalu sahaja kita dikelirukan dengan cara kita berfikir kerana kita boleh dipengaruhi oleh kata-kata manis seseorang yang pandai mengarah kita membuat perkara yang tidak penting dan tidak mendesak.

Dalam alQuran Allah bersumpah dengan masa. Ini bukti masa itu hak Allah dan kita harus bijak mengurusnya.








Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
A001
Demi Masa!
(Al-'Asr 103:1

A002
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
(Al-'Asr 103:2

A003
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-'Asr 103:3




TIME IS THE ONLY COIN IN YOUR LIFE.
IT IS THE ONLY COIN YOU HAVE, 
AND ONLY YOU CAN
DETERMINE HOW IT WILL BE SPENT.
BE CAREFUL LEST YOU LET OTHER PEOPLE SPEND IT FOR YOU.

*** Carl Sandburg.


Saya pernah diingatkan oleh seorang teman bahawa 

"TIME IS GOD GIVEN".
Kalau masa itu milik Allah, maka saya sekarang yakin bahawa Allah
boleh menganugerah pada kita rupa bentuk masa 
dan berapa panjamg masa itu.

Secara logik saya memikirkan bagaimana Ulama' silam yang menulis

berbagai kitab yang kita kagumi dan kita munafaatkan
hingga sekarang dapat menyempurnakan penulisan mereka
dalam umur mereka yang sama
dengan umur umat zaman ini. Dan ketika itu tidak ada teknologi canggih
untuk memudahkan kerja-kerja penulisan dan penyemakan,
termasuk kerja-kerja penyelidikan.

Saya yakin Allah menganugerahkan keistimewaan
pada mereka berasaskan Iman dan Taqwa mereka.
Dengan lain kata, saya yakin Ruh mereka
suci bersih dan tahap keikhlasan mereka amat tinggi yang tidak 
dapat kita orang biasa melihat dan mengukurnya.
Kata teman saya check list
yang terpenting dalam pengabdian kita pada Allah ialah
sentiasa memeriksa kekuatan Ruh kita di sisi Allah
yang maha Besar dan maha Tinggi kedudukannya.

Saya ingin bicara setakat ini sahaja kerana apa jua perkara mengenai Ruh,
kita perlu mengaji di hadapan guru yang mursyid kerana
Allah di dalam alQuran berfirman yang bermaksud
Allah memklumkan manusia sedikit sahaja.
Dengan izin dan kehendaknya, 
Allah anugerah jalanNya menuju padaNya......
Kita memohon dariNya.

Wallahua'lam.
Semoga Allah menunjuki kita jalan menujuNya dan mendapat
anugerah RahmatNya yang tidak terhingga.
Mohon keampunan Mu....
Aamiin ya Rabb.....


.....
Related Posts with Thumbnails