"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, November 22, 2017

Meredah hujan demi cucu.....







Kini musim hujan. Ramalan kaji cuaca mengatakan ribut taufan akan berlarutan mungkin hingga Mac tahun hadapan. Walauapapun semoga Allah ada rancangan yang terbaik di sisiNya bagi kita semua.

Saya tidak menghiraukan sangat ramalan apa pun kerana saya akan buat ikut kesempatan yang ada. Ini tidak bijak tetapi begitu jadinya.Maka hujung minggu lepas saya bawa cucu "menghibur hati" naik MRT pergi makan Satay Samuri di Kajang. Suami ikut serta untuk kawal selia cucu-cucu yang belum faham erti keselamatan.

Sampai sahaja di perhentian Stadium Kajang, hujan turun mencurah-curah. Tidak ada payung ditangan. Rasanya seperti mahu patah balik. Rupanya suami saya tidak saya sedari bertanyakan seorang anak muda yang baru masuk kereta untuk keluar dari Parking kekalau boleh tolong hantar kami ke Restoran Samuri Satay yang dekat sangat dengan Station MRT itu.

Alhamdulillah. Anak muda yang berbudi pekerti..... membantu kami. Semoga ramai anak-anak muda yang seperti itu. Saya positif dengan perangai anak-anak muda dan semoga perangai dan perilaku dewasa tua menjadi tauladan.




Dalam hujan pasti rasa lapar. Berbaloi melihat selera 
cucu-cucu makan.Habis kesemuanya. Alhamdulillah.





Rasa terhibur dengan cucu-cucu. Alhamdulillah. Saya sememangnya tidak pernah naik MRT. Saya dibantu oleh anak angkat saya yang hari itu punya kelapangan. Sudah lama dia ajak saya naik MRT kalau hendak tahu perkembangan pengankutan di KL kini. Teringat saya 50 tahun dulu...... pertama kali saya naik kereta api bawah tanah di New York. 
Saya berumur 21 tahun dan memang masih JAKUN waktu itu 
dengan apa jua yang ada di sana.
Waktu itu cuti musim panas dan saya diajak teteman dari Ripon, Wisconsin ke Boston "mencari pengalaman" hidup.
Pendekan cerita, saya tinggal dengan kenalan baru di Boston. Dia Brazilian dan ada pengalaman lebih dari saya.
 Satu hari dia ajak saya jalan-jalan ke New York.
Sebuah nostalgia hidup kerana banyak yang saya tidak tahu dan saya keliru dan bingung cara turun naik train laju itu. Saya terpisah dengan teman saya. Berdebar-debar......Rasa agak ketakutan seorangan di subway  New York di kawasan Ghettos.
Akhirnya kami bertemu semula. Panjang ceritanya. 
Mungkin cerita lain kali.




Termenung sebentar sahaja sebab karenah cucu yang sentiasa membimbangkan. Susah hendak bawa dia duduk diam. Saya bersabar kerana itulah karenah budak. Semoga menjadi dewasa yang berdisiplin dan berakhlak mulia.

Bukanlah murah naik MRT ke Kajang dan balik. Lebih kurang rm15 bagi dewasa umur emas. Tapi hari itu merupakan hari yang membawa ingatan semula waktu muda banyak tenaga.
Kini waktu sudah singkat dan saya harus berkejaran membuat persediaan untuk ke destinasi yang lebih kekal. Semoga Allah menunjuki jalan dan pengalaman yang ada akan membuat saya lebih bijaksana membuat pilihan dalam hidup.
Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan.

......

Ilham pertunanagan kini....








Dua minggu dulu suami dan saya menghadiri majlis pertunanagan anak seorang teman akrab di Sungai Merab Dalam, di Bangi Selangor. Rasa teruja apabila  masuk ke ruang tetamu di rumahnya sedia terhias sebuah pelamin teratur indah. Saya jarang sekali ke majlis seperti ini sejak umur keemasan ini. Zaman saya dahulu tidak ada seperti ini.(Atau saya tidak ada pengalaman. Malah di zaman anak saya pun tidak demikian.) Upacara menyarung cincin pertunanagan dibuat dibilik sahaja dan hanya saudara terdekat yang menyaksikannya. Kini seluruh rombanagan menyaksikan upacara itu.





Kata sesetengah orang tetua waktu itu pertunangan dikira hal keluarga terdekat sahaja. Katanya jika ditakdirkan pertunangan itu tidak sampai kejinjang pelamin setelah dihijabkabulkan maka tidaklah ia menjadi suatu yang dikira aib atau memalukan keluarga. Kini zaman dan budaya sudah berubah. 

Saya lebih suka cara lama........

Tidak mengapa. Apa cara pun tidak mengapa asalkan sahaja ia sederhana.

.........

Tuesday, November 21, 2017

Mendaki Umur....



Man Sitting on the Mountain Edge
Foto atas ehsan carian google.






Ibarat mendaki Gunong.....
Bila berlatih "mendaki" dari awal umur, maka mudahlah ia.


Kelmarin saya hadir dalam satu 'get together'  makan-makan untuk silaturrahim teman-teman seangkatan. Selain dari cerita sedapnya hidangan tuan rumah, ada yang bercerita pengalaman melancung dan ada yang bercerita kehebatan atau karenah cucu-cucu.

Yang menarik hati saya untuk mencelah bercerita sama ialah apabila ada yang mempromosi ubat-ubatan untuk merawat sakit yang biasa-biasa dirasai..... iaitu sakit lutut. Saya juga ada masaalah lutut tetapi buat masa ini tidak ambil berat sangat sebab ada masaalah diabetis yang lebih perlu perhatian.

Rata-rata kami dalam kumpulan ini berumur lewat 60an atau awal 70an. Maka sedikit sebanyak "sakit penuaan" itu sememangnya ada. Semasa belum mencapai garisan umur ini, ramai kami yang tidak mahu percaya bahawa halikat itu akan tiba juga. (Seperti bersikap self-denial). Cuma bezanya serious atau tidak serious. 

Bila mendaki umur ada yang tidak mahu membuat pemeriksaan doktor dari awal-awal lagi. Mungkin rasa konfiden ia sihat tetapi saya rasa ramai yang takut menghadapi hakikat bahawa sudah sampai zon "menanti tibanya jemputan dari yang maha Pencipta". Seorang yang saya kenali rapat kini berumur 55 tahun tetapi tidak mahu berurusan dengan doktor tentang masaalahnya. Diabetisnya menjangkau 19 point bila diukur scara kasar. Hari-hari begitu tetapi ia merasai sudah mencukupi dengan makan ubat yang diberi oleh doktor klinik biasa. Saya cuba menakut-nakutkannya akibat tidak mahu bejumpa doktor pakar Tetapi saya belum berjaya. Semoga Allah menunjuki jalan.

Semasa berumur 40 tahun ramai kita yang masih merasai kita ada waktu yang panjang untuk bersedia menemui yang maha Agong, yang maha berkuasa di Langit dan di Bumi. Kita dibuai keselesaan dan beramal soleh belum menjadi sebahagian dari agenda hidup. Apabila mula merasai kesan-kesan umur tua kita tidak ambil peduli hingga kesatu masa yang sudah tidak ada pilihan lain. Ubat-ubatan biasa sudah tidak mujarab dan hati sudah mula gundah dan khuatir. Tetapi ramai yang masih berdegil dan tidak mahu menghadapi reality sebenarnya.

Ramai juga yang mencontohi rakan-rakan yang sebaya umur yang mendengari nasihat melalui postings di Whatsapp atau lain-lain media eleltronik. Saya mengikuti juga posting-posting itu dari kekawan sebaya. Saya hanya baca tetapi tidak berapa setuju dengan cara-cara kita menjalani hidup yang sewajarnya diikuti sebagai seorang Muslim Mukmin. Cara mencari ketenangan dalam hidup mengikut akal manusia biasa tidak sama dengan apa yang diajarkan oleh Islam.
Contohnya, bersembang santai tanpa tujuan dan mendengari musik hingga larut malam bukanlah caranya. 

Kita harus mendekati rakan-rakan yang dapat membawa kita dekat dengan Allah. Tiada manusia yang tiada kelemahan termasuk diri sendiri. Tetapi kita sendiri yang harus menukar haluan. Umur 40 bukan muda. Esuk lusa kita mungkin tiada. Saya pulak sudah 70. Maka saya cari kekawan yang yang kuat dan bertenaga dan bijaksana membatu saya mendaki umur yang makin hari makin sukar laluannya. Saya selalu mengingatkan diri dan minta kekawan menarik saya supaya rajin mencari Ilmu dan rajin mencari ruang untuk bersiap sedia ke alam yang kekal abadi. 

Ayuh kita semua ke jalan itu..........
Ayuh kita bantu membantu dalam mendaki umur.
Mohon hidayah MU ya Rabb.



.........

Wednesday, November 15, 2017

Kita masih juga lalai........







Dua hari dulu suami dan saya balik kampung  ziarah  jenazah bapa saudara yang meninggal dunia pada pagi Ahad 12 Nov. Dia meninggal semasa solat subuh atau sejurus habis solat subuh. Anaknya kedngaran ia seperti jatuh dari kerusi untuk solat. Ia dikejarkan ke hospital terdekat tetapi dikatakan ia sudah tiada lagi.
Mengikut cerita sebegitu saya yakin ia mendapat "Khusnul Khatimah". 

Kami tiba lepas waktu Dzohor dan di maklumkan jenazah akan dikebumikan selepas solat Asar.

Ramai yang hadhir. Saaudara mara dan kenalan sekampung bergilir-gilir datang ziarah. Saya rasa terharu dan tersedih kerana saya rasa rapat denga Allahyarham dan ahli keluarganya. Dulu kami sering ziarah menziarahi tetapi apabila umur meningkat lanjut kami berziarah hanya pada majlis perkahwinan atau semasa hari Raya. Jika mendapti tidak sihat pun kami cuba ziarah juga.

Begitu lumrah hidup kita......

Namun hari itu saya  rasa agak tidak selesa apbila ada diantara kami yang berziarah bersembang seperti biasa. Penghormatan jenazah di lakukan dengan membaca ayat-ayat suci AlQuran. Begitu yang saya perhatikan.......
Di sesetengah tempat amalan seperti ini ada sedikit pertikaian kerana tidak ada dalam Sunnah katanya. Biasanya saya diam sahaja kerana tidak cukup ilmu untuk berbahas. Perbahasan agama bukan ikut sesuka hati.

Maka mereka yang sibuk sembang saya mendengari...... tetapi tidak menyumbang idea melainkan apabila ditanya. Saya menjawab ringkas sahaja kerana pada saya semasa jenazah belum selesai diurus, seharusnya kita berzikir di hati dan mendoakan Ruh yang telah diangkat pergi. Ustaz kata kita buat ulang-ulang kali. 

Memang dirasai agak penat menumpu pada keberadaan Jenazah di atas rumah. Namun saya ingat pesanan supaya diam. Cerita hal-hal hidup dan kehidupan boleh dibuat waktu lain. Sekurang-kurangnya kita duduk diam dan menginsafi diri kerana semua kita mesti melalui hakikat Manusia mesti mati, tiada pengcualian. Janganlah bersembang hal anak cucu, hal siapa sudah berumah tangga siapa belum, siapa dah masuk university dan bekerja di mana dan berbagai. Ada kalanya kedengaran gelak ketawa yang tidak seharusnya berlaku.......

Diam adalah lebih baik.
Itu pendapat saya........

Jika waktu seperti ini kita masih lalai, saya secara peribadi takut kita akan terus lalai. Janji mati tidak ada tarikh ditentukan. Ia akan jadi tidak sesaat awal dan tidak sesaat lewat.....


.......

Tuesday, November 14, 2017

Group KUTU......





Nanti dulu....saya katakan pada suami saya. Saya bukan nak cerita pasal kutu jalan atau kutu jalanan. Tetapi saya ingin cerita group kutu yang saya jadi ahli baru-abru ini.
(Dalam pada itu janaglah kita berburuk sangka dan menghina kutu jalan atau kutu jaianan jika kita tidak pernah dan belum pernah mendekati mereka dan cuba memahami dan membantu mereka.)

Kutu saya ialah dalam konteks apa yang orang Johor sebut main undi. Ramai yang sudah tahu cuma istilahnya berlainan.
Sejak bersara dan membangunankan SmarTop Subur Fitrah Pre School 6 tahun dulu, saya  masuk kumpulan Undi membayar rm500 sebulan bersama-sama dengan kenalan penduduk Tangkak Johore. Tujuan saya membantu diri dan membantu mereka yang berkepeluan secara mendadak, kerana Allah. Dalam group ini tidak semua membayar rm500. Ada yang membayar kurang dari itu dan ada yang membayar lebih dari itu. Ia ditadbir oleh Kak Tipah, pengasas pra sekolah yang saya sebut di atas. Kita akan dapat bayaran ikut tarikh yang ditentukan mengikut caruman kita. Pandai Kak Tipah ini. Kita boleh mohon mencepatkan giliran dan boleh melewatkannya, ikut kemampuan dan ikhlas hati.

Saya juga diaajak seorang teman masuk satu lagi Group Kutu. Ini group mereka yang berada dan mewah pendapatan. Caruman saya (dengan susah payah) hanya rm 500 sebulan. Teman-teman yang mewah membayar 1k atau 2k tanpa masaalah. 

Yang bagusnya group ini ialah masing-masing memberi peluang siapa yang perlu dahulu, maka ia didahulukan. Setiap bulan kami berjumpa untuk agihan Kutu dan membuat program Tazkirah dan makan-makan sedikit untuk sentiasa ingat Rezki itu kurniaan Allah dan dalam pada itu kita mengeratkan silaturrahim. Kita cuba faham dan memahami masaalah ahli dan sentiasa kunjung mngunjung ahli yang sakit atau yang memerlukan pertolongan.

Dalam group ini kami juga membuat kumpulan dana tabungan Kebajikan dari caruman kutu untuk diagihkan pada yang perlu. Ada urusetia yang mengenal pasti sesiapa jua yang memerlukan untuk terus mengagihkan mengikut budibicara kumpulan kekawan yang memegang tanggujawab tugas ini. Saya tabik pada mereka yang meluangkan masa dan tenaga untuk menginfak masa dan tenga demi mengangkat maslahah ummah.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah semangat membantu oleh teman-teman saya. Saya sendiri jauh ketinggalan. Tadika SmarTop saya antara penerima sumbangan dari group ini. Alhamdulillah. 

Group ini ahlinya makin tahun makin kecil kerana itulah lumrah hidup. Ramai kekawan yang sudah dijemput dahulu menemui yang maha Pencipta. Kami yang tinggal akan cuba terus berbakti pada yang memerlukan. Walaupun sedkit semoga Allah memberkati usaha yang kerdil ini. 

Mohon Redha Mu ya Rabb.....


.......

Sunday, November 12, 2017

Seperti kehilangan seorang abang dalam keluarga...


8hb NOVEMBER 2017
Tarikh yang tidah akan mudah dilupakan.
Pada jam 9 malam lebih kurang kami mendapat berita bahawa Tuan Hj Ismail Awng telah pulang keRahmatullah.
Ia berumur 83 tahun.



Beliau ialah teman akrab suami yang saya amat rapat jua dengannya dari lebih 20 tahun yang lalu.
Isterinya kami panggil nama kesayangannya Kak Bedah.
Allahyarham telah meninggal dunia di 
Hospital Sungai Buluh, Selangor.

Terduduk sebentar bila mendengari berita itu walaupun kami sudah menjangkanya kerana Allahyarham 
telah sakit agak lama...


Akhir sekali kami keluar makan bersama atas 
jemputannya ialah pada bulan Ogos yang lalu. 
Dua foto di atas saya rakam di sebuah restoran kesukaannya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, saya mengnalinya sebagai seorang yang amat prihatin akan kebajikan kekawan.
Kelas pengajian di rumahnya diadakan dengan harapan kekawan dapat munafaat tuan guru yang ia yakini boleh membimbing semua yang hadir.
Bilangannya tidak ramai kerana mahu memberi
peluang soal jawab dengan lebih sempurna.
Kelas ini berterusan hingga dia dimasukan ke Hospital
sebelum dijemput pulang oleh Penciptanya.
Semoga Allah menerima semua amal baktinya yang kami tahu dan kami tidak tahu.

Secara peribadi juga ia sering menasihati suami dan saya
jika kami menghadapi masaalah yang rumit.
Amat bijaksana orangnya dan sentiasa mesra dengan siapa jua yang dikenalinya.
Saya dan suami merasa amat kehilangan.
Allahyarham seperti saudara tua, seorang abang dalam keluarga. Bila-bila masa dia mahu mendengari masaalah yang ada dan nasihatnya amat berharga.

Namun hakikatnya Allah jua tumpuan kita.
Allah jua yang maha tahu dan maha bijaksana.
Kita semua hambaNya. Dari Allah kita didatangkan dan kepadaNYA kita dikembalikan.
Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosanya 
dan menempatkan Ruhnya bersama Ruh para syuhadak, 
Sidiqqiin dan Solihin.

Aamiin ya Rabbalalamiin.


............

Saturday, November 11, 2017

Pulau Karimun .. A Reunion weekend Getaway.



Selepas acara Makan Malam Reunion Class of 64, Government English School Pontian, esuknya kami buat rombongan
 melancung ke Pulau Karimun.
Ini bot yang kami naiki ke Tanjung Balai, Pulau Karimun, Indonesia.
Dalam umur tujuhpuluhan, naik bot jadi satu keterujaan.




Untuk sampai ke Terminal Feri kami harus berjalan kakii. Jauh juga. 
Mungkin 300 meter jauhnya. Beg pakaian dan keperluan kami kecil sahaja.
 Maka berjalan kaki itu tidak sangat memberatkan.




Kami berkumpul di dewan menanti. Mr Kumar, ex guru yang 
dapat bersama kami
bercerita perilaku muridnya (iaitu kami) waktu itu
dan kami gelak ketawa. Mr Kumar sekarang berumur 86 tahun.
Macam susah percaya dia berumur 86 tahun sebab masih kuat dan tidak pelupa.
Masih boleh melawak dengan kami semua.
We love you Mr Kumar...


Ini sebahagian dari kami dalam boat yang kami naiki. Perjalanan mengambil masa hampir sejam sahaja. Kami tidak mabuk laut. Cuaca baik dan
amat menyeronokan.


Ini kawasan menanti selpas pemeriksaan Imigresen. Tanjung Balai Karimun is a free Port, (pelabuhan bebas cukai).
Cepat prosesnya dan tidak memenatkan walaupun ramai penumpang
dari penduduk tempatan.



Ini suami saya dan sebahagian dari ahli rombongan. Cuaca agak panas.
Tetapi okay, masih boleh senyum.... alhamdulillah.


Saya rakam diri. Rasa teruja pergi ke tempat yang tidak pernah saya tahu walaupun saya orang Pontian, dari lahir dan membesar hingga tamat sekolah.


Dibawah ini saya beri gambaran sedikit mengenai Pulau Karimun 
dari carian Google.

Karimun is located just off the east coast of Sumatra, guarding the southern entrance of the busy Straits of Malacca. It lies west of Batam and to the southwest of Singapore and is the furthest west of the Riau Islands.
Its proximity to Singapore has made the islands quite affluent and busy. Its main town, Tanjung Balai is a bustling port town with a lot of commerce, boosted by tourists from Singapore and Malaysia, however, it must not be confused with the two Tanjung Balais in North Sumatra province, essentially a much larger city also known as Tanjung Balai Asahan and an international port. Technically, there is both an independent city of Tanjung Balai formerly part of Asahan Regency and an adjacent district still within Asahan Regency, where the port lies. However, like Batam and Bintan, Karimun is also listed as a Free Trade Zone area.

Several companies operate frequent ferries between Tanjung Balai and Kukuppontian in the southwestern part of Johor.
  • MV Ocean Indoma ferries leave Kukup at 1145 and 1700. From Tanjung Balai, ferries leave at 0930 and 1430.
  • New ferry service operated by Esnergy Enterprise Sdn. Bhd. (Tel: +60-7-4288181 in Batu Pahat, +62-777-324355 in Tanjung Balai) links Tanjung Balai and Batu Pahat, the 2nd largest city in Johor State. From Batu Pahat, ferries depart at 0900, 1200 and 1500. Tickets cost RM70/95 one-way/return (excluding RM10 port tax/boarding fee). From Tanjung Balai, ferries leave at 0800, 1100 and 1400 and cost Rp 170.000/240.000 one-way/return (excluding Rp 10.000 port tax/boarding fee).
MAPS Needed


Ini group foto kami ambil di Lobby hotel sambil menunggu kenderaan
 untuk lawatan luar.


Ini di hadapan restoran kami makan tengah hari.
Pulau karimun pada saya tempat yang tidak banyak menarik perhatan saya. 
Cuma pnduduknya ramah dan kami dapat layanan yang baik semasa makan.


Salah satu pantai yang kami kunjungi. Sepi sahaja dan 
tidak banyak pengunjung.


Tetapi di tengah bandar jalan sibuk sekali. Hampir macet.
Hari waktu kami mahu pulang menaiki bot, hujan amat lebat.
 Hampir basah kuyup.
Tetapi kami masih boleh gelak ketawa mengingatkan apa yang berlaku semasa makan dan naik kenderaan di jalan-jalan yang tidak begitu membangun.


Ini pejabat di hadapan Hotel kami tinggal. Saya rakam untuk ingatan bahawa saya berada di Indonesia.....(satu nostalgia kerana Allahyarham bapak berasal dari Solo). Amat dekat dengan Kukup.


Ini dewan makan Hotel. Saya rakam semasa bersembang santai dengan salah 
seorang ahli waktu sarapan pagi. Tiada yang luar biasa dalam pakej pelancungan ini. Namun kami seronok dan tidak habis-habis cerita 'hidup dan kehidupan' dan juga cerita anak cucu. Di celah-celah itu kami cerita juga kekawan yang sudah pergi dulu dan gugu-guru kesayangan
yang tidak dapat bersama lagi.


Saya nak rakam Mr Kumar dengan suami dan saya.........


Tetapi tiba-tiba yang lain datang tumpang semangkuk. Mr Kumar masih kuat
 ingatan 'and has a good sense of humour.' Di Reunion yang
lepas 2015 dia hadhir dengan isteri. Tetapi tahun lepas
 isterinya meninggal dunia. kini dia suka bersama kami.


Ini kekawan saya yang kuat bercerita hal-hal lama. Semua kuat melawak dan 
kumpulan sentiasa penuh gelak ketawa.


Mungkin ini kali terakhir saya hadhir reunion.
Tahun depan sudah mula diaturkan lawatan ke Chiengmai pula.
Umur kita siapa yang tahu.
 Semoga baki umur yang ada ini bermunafaat dan diberkati Allah jua.
Aamiin ya Rabb......


.............

Friday, November 10, 2017

Class of 64 reunion.... Saya buat jemputan Istimewa.








Pontian Kecil kini....sudah ada beberapa tempat yang menarik. Identitinya sudah tidak seperti tahun 1960an.

Saya terasa seperti orang asing setiap kali balik kampung.






Di sini kami adakan Reunion,  perjumpaan majlis makan malam.
Seramai 29 ahli hadir. Ada yang berhalangan di saat-saat akhir.
Kecil sahaja tetapi kami rasa meriah.


Kelihatan seperti makan dibawah cahaya bulan purnam. 
Teman saya kata "Dinner by candle light"
Apa pun, kemeriahan makan dan bersembang santai amat  menyeronokan.
Hebatnya hampir setiap ketika kami sembang dalam bahasa Inggeris,
ada yang sembang slang American, Australian ..... tapi slang Melayu dan Cina pun ada. 
Dan  mereka melawak dalam bahasa Inggeris juga.
Itulah kesan dasar pendidikan waktu dulu.
Apa baiknya atau buruknya kita nilai sendiri.
Sekarang ini sudah amat berkurangan kumpulan seperti ini.
Reunion jadi berasingan, Melayu dengan Melayu dan sebaliknya.
Gambaran 1 Malaysia hanya Indah pada kata,
Saya tidak yakin ada pada rupa.
90% ahli yang hadir adah keturunan bukan Melayu.
Dan ramai mereka adalah professional dalam bidang teknikal
dan ahli koporat....Tetapi ramai kini sudah bersara.




Menu makan biasa sahaja,
tetapi seronok melawak membuat makanan habis tidak terasa.




Dalam gelap-terang cahaya samar-samar, saya rakam diri sendiri.
Ada sedikit rasa tersedih kerana kekawan Melayu tidak dapat dihubungi.
Bilangannya sedikit dan mereka menghilang tiada berita....


 MY INVITATION

Antara acara malam itu ialah ahli-ahli boleh tampil ke hadapan
 berkata sesuatu mengikut apa yang ada di hati. 
Saya di suruh mula kerana saya yang mencadangkan ada acara itu.
Saya rasa agak gementar sebab apa yang saya cadang katakan pastinya tidak dalam jangkaan sesiapa.

Saya sentiasa mengingatkan diri saya apa jua yang saya buat harus dapat membawa kita hampir pada Allah. Walaupun sembang dan gelak ketawa pastinya ia tidak bermakna jika ia tidak disandarkan pada hakikat bahawa semua itu usaha kosong jika tidak dalam konteks
mentauhidkan Allah.
Maka saya kata denga ringkas sahaja:

"Dear friends, I have a special invitation for you All tonight. 
(Saya lihat ada yang tercengan melihat saya).
I hereby stand before you and in humility
I am inviting you to ISLAM. This may sound an abrupt invitation.
Please pardon me and bear with me.
I have been thinking about this ever since we got together again some 4 years ago. I owe this to you, out of my sincere heart.
I am saying it again. I am inviting you to Islam.

Please do not  judge Islam by the way the Muslims think and behave or by the protocol practiced by a Muslim Government.
They may not represent totally what Islam is all about. 
Judge ISLAM by the Book...AlQuran and Hadiths. That is the Teachings of Prophet Mohammad (pbuh).
Let me tell you one fact that many of you do not know. We were all born Muslims. In the Spriritual world before we were born into this world we have already taken our Oath that Allah is our One God.
All of us has taken that Oath  and this is stated in the alQuran. But we went our separate ways the minute we were born.
So tonight I am inviting you all to come back to Islam.
Please come back to Islam.
Thank you.

Kemudian saya duduk...rasa terharu dan sedikit khuatir kerana saya amat takut cara saya tidak mndapat sambutan.
Tetapi hati saya cuba meyakinkan diri saya bahawa kita hanya buat jemputan itu dan lainnya kita pasrah shaja pada Allah.
Yang wajib hanya usaha menyebarkan KEBENARAN.
Yang lainnya itu keja Allah.

Sambil saya berjalan duduk kembali di tempat saya, saya dapat 
rasakan senyap sunyi buat seketika.
(agaknya ketik itu Malaikat berlalu..... andaian sahaja.) 
Acara lain diteruskan dan tamat dalam jam 11 malam.

Esuknya di kumpulan Whatsapp  group ini saya tulis seperti berikut:



"Dear All, Friends at heart....
Since yesterday my day has been quiet. No Hi, how are you...., no laughter, no smiles, no food sharing....all quiet. Just me trying to recall all th wisdom I gather from friends of over 50 years.... I miss you all.
In my quiet moments I think of sharing a special bridge that can connect us together till the end of life and beyond. That night I invited you all to Islam.
Islam is the Bridge that guarantees us meeting again in the hereafter. 
I say this sincerely with lots of Love. We were all born Muslims.
Please come back to Islam. We can have the fun talk, the laughter, the smiles by the Grace of God into eternity."

Tiada siapa menyambut jemputan saya. Tidak mengapa. Yang penting saya sudah buat jemputan. Yang lain itu kerja Allah. 



Semoga ada munafaatnya suatu hari nanti.
Aamiin ya Rabb.....



.....

Monday, November 6, 2017

Reunion... dua dalam satu.




Sejak saya meninggalkan Pontian Secondary English School pada tahun 1964, hanya dua kali saya hadir class reunion..... pada tahun 2015 dan 2017. Sebelum itu saya tidak dapat dijejaki oleh kumpulan kekawan yang menganjur acara Reunion itu.

Dua reunion ini diadakan di Pontian, tempat asal kami dilahir dan dibesarkan. Saya teruja dan mengikutinya. Setiap kali menghadiri saya bertandang di rumah kakak saya.... balik kampung dengan "homestay" istimewa. Rumah tinggalan emak dan bapak sudah dirobohkan setelah keluasan tanah difaraidkan. Demikian lumrah hidup.

Setiap kali saya pulang kampung saya akan melihat-melihat sekeliling rumah kakak saya. Pokok dedaun ubi kayu adalah kegemaran utama. Ada juga pohon daun tenggek buruh, limau nipis, cicli padi dan berbagai lagi untuk kegunaan masak harian. Indahnya duduk di kampung......

Di atas itu rumpun pokok bunga puding yang sentiasa segar di hadapan rumah kakak saya. Saya tidak miss ambil foto.... mengenang masa pulang dulu ada emak untuk bermanja. Kini tiada.... Bapak saya meninggal semasa saya berumur 16 tahun dan tidak punya kamera waktu itu untuk merakam sejarah kluarga.... 







Bila balik kampung kakak akan masak  lauk-lauk kesukaan saya. Selalu kami akan buat bersama juga masaakan yang arwah emak suka dan tidak akan miss mengingatinya. Ada kalanya juga saya bawa kakak keluar makan. Kali ini kakak yang seorang lagi tidak sihat dan hanya kakak seorang sahaja yang kami bawa. Hari itu hari Jumaat dan di Pontian tidak banyak kedai makan Melayu yang buka. Hanya satu yang sudah siap masak dan kami makan ikut selera yang ada. Suami saya tidak miss masakan asam pedas kepala ikan. Alhamdulillah.....

Kami bawa pulang lauk untuk kakak yang seorang lagi......
Dalam hati rasa sayu kerana keberadaan seperti ini tidak akan lama berterusan memandangkan kakak saya berumu 82 dan 78..... adat kata demikian. Namun saya berdoa semoga umur kami panjang dan bermunafaat jua.




Keesukan harinya suami dan saya akan menghadiri Reunion Dinner dan di ikuti pula dengan melancung ke Pulau Karimun melalui pulau Kukup. InsyaAllah saya sambung cerita ini nanti.
Sementara itu saya rakam foto kakak saya berumur 78 tahun untuk ingatan anak cucu dalam keluarga besar semoga sentiasa mendoakan kesejahteraan kami.



Aaminn ya Rabb......


.........
Related Posts with Thumbnails