"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, July 28, 2009

Bilakah habisnya tanggong jawab seorang ibu.

  Anak Dan Menantu, Ujai dan Akif

Suatu hari seorang teman yang bertaraf ustazah yang mengajar pada ku al Quran (terjemahan Harfiah) mengeluh dan berkata, "tak boleh habis tugas kita sebagai ibu. Walaupun dah kahwin ada saja yang kita nampak tak kena. Nak marah tak boleh sebab dah bersuami, kata setengah orang Tapi Kak Mah (nama teman ini) tak peduli. Hukum kata kalau nampak kemungkaran, kita boleh tegur."

Seorang teman lagi berkata pada ku,"Kalau kita nak selamat dengan menantu dan jadi mak mertua yang baik, mulut banyak tutup. Jangan cerewet. Takkan sama cara kita dengan cara depa tu." Ada pulak yang kata,"kalau nak betul-betul popular dengan anak dan menantu, jangan duduk sekali bila dah berumah tangga. Duduk asing-asing itulah yang terbaik. Lagi pun kita masih kuat lagi. Kalau dah tak daya barulah kita duduk sekali."

Seorang kawan yang lain berkata pula," Kita ikut contoh Mak kita dulu-dululah. Menegur secara hikmah." Tapi yang seorang lagi berkata,"apa itu hikmah. Senang cakap aje. Nak terapkan konsep hikmah bukan mudah. Sebab itu eluk diam saja. Kita buat yang agak patut sudahlah."

Bila kita fikir-fikir sememangnya banyak pendekatan yang boleh dicuba guna. Anak saya pernah berkata pada saya sebelum berumah tangga dahulu, "Mak, sekarang ni zaman cyber generation gap makin jauh. Mak setuju?" Lebih kurang begitu dia bertanya. Saya mengatakan padanya, "generation gap ini hanya wujud sepetutnya kalau kita lihat dari segi teknologi untuk kegunaan harian. Macam Mak ni, kalau suruh guna komputer bermacam-macam memang Mak tak tahu. Kalau suruh urus alat-alat elektronik pun Mak tak pandai. Tapi kalau kita cerita pasal NILAI-NILAI MURNI dalam hidup tidak sepatutnya ada generation gap. Sebab kita bercakap berlandasan Quran dan Hadith. Dia tidak berubah daripada mula sampai qiamat nanti." Terdiam dia sekejap tapi tak bincang lanjut. Saya pun tak tanya balik setuju atau tidak. Sebab pasti panjang hujah-hujahnya.

Saya lebih mirip menyimpulkan bahawa tanggung jawab kita pada anak dan menantu tidak akan habis hingga kita mati. Cuma kita tidak mahu jika ada apa masalah nanti, kita pula yang disalahkan.

Strategi mana yang kita pilih ikutlah firasat seorang ibu yang sentiasa minta hidayah dari Penciptanya. Mohon Allah mudahkan segalanya.

Monday, July 27, 2009

Anak Jawa belajar Bahasa Orang putih

 WALAUPUN KETURUNAN JAWA, MALAYSIAKU INDAH

Masih belum puas menulis sentimen anak keturunan Jawa. Bukan apa..... Dua hari dulu biras ku yang berkerja sebagai guru memberi tahu bahawa ada kemungkinan Kementerian Pendidikan akan mewajibkan semua pelajar lulus Bahasa Inggeris untuk mendapat sijil penuh. Agak terkejut juga bila mendengarnya kerana takut pelajar di kampung-kampung seperti aku dulu akan menjadi mangsa. Kalaulah dasar ini dilaksanakan, semoga kementerian sudah menyediakan guru yang terlatih yang cukup bilangan nya, dan boleh di hantar kemana-mana mereka diperlukan. Kerana aku tahu dahulu semasa aku berkerja di kementerian ,bilangan guru yang terlatih yang duduk di bandar-bandar memang ramai kerana ikut suami.

Aku masih ingat pada masa dulu, baru saja lepas Merdeka, kita semua sekolah Inggeris, walaupun mulanya sekolah Melayu. Kebetulan yang mengajar aku isteri guru besar yang ketika itu dari Australia.Dia  pandai bercakap Melayu. Tapi sangat garang. Jadi kerana takut, aku hafal sahaja apa yang dia ajar, walaupun kadang kala tak faham. Tetapi aku dapati sistem yang aku buat sendiri macam berkesan untuk diri ku. Dari situ aku dapat ingat perkataan-perkataan dan bagaimana menggunakannya.

Dan bila orang Melayu sendiri mengajar, aku guna sistem yang sama. Ini semacam jalan pintas. Tetapi rasanya sistem ini tak ikut pedagogi dan lain-lain teknik pengajaran dan pembelajaran.

Apa yang aku ingin kongsikan di sini pasal belajar bahasa "orang putih" ialah perlunya ada guru yang penuh dedikasi. Semasa di sekolah rendah guruku gunakan rotan untuk yang tidak mahu mencuba. Dia guru Melayu tetapi tak mahu cakap melayu.Cik Gu Hifny namanya, sekarang telah meninggal. Kami kena denda kalau cakap Melayu. Ditingkatan tiga aku mendapat seorang guru keturunan China yang baru lulus University. Dia amat baik hingga sekarang, Miss Tan Lee Kiang namanya. Bagi budak-budak miskin macam aku dan beberapa budak Melayu  (Jawa) lain, dia pinjamkan buku sebab Library di sekolah pun tak ada buku yang mencukupi. Aku masih ingat tiap-tiap minggu mesti habis baca buka Enid Blyton. Kemudian Cik Gu akan tanya di kelas apa yang disebut dalam buku itu. Tapi aku guna teknik aku juga. Aku hafal ringkasan yang sudah tertulis di buku itu. Tukar sikit-sikit aje. Dia tahu aku menghafal. Tetapi sekurang-kurangnya dia tahu aku berusaha. Sebenarnya aku menghafal semua subject, terutamanya history dan Geography.Jadi dalam periksa Senior Cambridge waktu itu aku boleh dapat credit 6  dalam Bahasa Inggeris. Walaupun  6 aku rasa puas sebab aku "Jawa  kampungan" berasal dari tepi hutan tapi boleh cakap orang putih. Tapi Sastera Inggeris aku dapat credit 5. Agaknya fluke. Fluke tak fluke ke aku dipilih jadi Pengerusi English and Malay Literary and Debating society di sekolah itu. Agaknya sebab dipilih aku hentam keromo bila bercakap. Tetapi bila menulis kucar-kacir. Tak kiralah aku sekarang boleh bercakap dengan agak baik, alhamdulillah. Agaknya rahsianya ialah keturunan Jawa suka memberanikan diri. Jadi di sekolah aku menonjol walaupun tak pernah dapat "A", dan tak dapat Grade Satu pun.Tapi tak rasa malu. Ini Jawa yang tak tahu rasa malu.

Tapi kalau cerita pasal guru, dulu dan sekarang lain. Sekarang kena beri bayaran insentif, baru ada semangat hendak berbakti. Tapi rasanya pasal cerita hendak berbakti pada rakyat, semangat itu sekarang sudah jauh luntur. Ramai yang memandang kebendaan. Rakyat Malaysia sudak salah didikan. Berapa kerat agaknya yang benar-benar ikhlas berkerja untuk berbakti. Kalau sekarang disebut berkerja kerana Ibadah.Agaknya boleh dikira dengan jari, dari peringkat atas hingga ke bawah, tidak kira bidang profesyen apa.Tapi pemerhatian ini mungkin tidak tepat kerana tidak ada bukti kajian dibuat. Hanya pemerhatian rambang.

Mungkin yang menjadi masaalah sekarang bukan budak keturunan Jawa tetapi mungkin anak-anak keturunan orang Asli. Aku berpengalam menjadi sukarelawan asrama anak-anak orang Asli. di Kuala Lumpur. Sememangnya mereka bermasaalah. Lagi bermasalah jika dibanding dengan anak-anak keturunan Jawa yang duduk di tepi  hutan  seperti aku dulu.

Tak tahulah apa yang akan terjadi.Usahaku sekarang ialah membantu sebuah NGO (Pertubuhan Mawaddah Malaysia) melaksana secara sukarela program ENGLISH IS FUN untuk anak2 keluarga pendapatan rendah di kawasan Shah Alam. Di sini kami tekankan untuk berani bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun salah-salah. Teringat pengalaman semasa kecil dulu. Walaupun dibuat secara kecil-kecilan kerana kekurangan kewangan, ibu bapa amat menghargai usaha kami dan menhantar anak-anak walaupun berjalan kaki.
Semoga Allah terus membantu dan memberkati usaha ini dan anak-anak Melayu Islam (ada lagi ke Jawa?)  akan mendapat tempat yang sewajarnya di dunia dan sejahtera di akhirat.


Pakatan Kebajikan Islam (PAKATAN) Kg. Tunku -MELIHAT JAUH


Hari Ahad 26 Ogos PAKATAN, sebuah badan NGO, telah mengadakan Mesyuarat Agongnya yang ke 38 sejak penubuhannya.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Di Pertua dan ahli-ahli jawatankuasanya yang berkerja kuat untuk memastikan PAKATAN terus relevan kerana ada fungsi yang terpenting, iaitu pendidikan anak-anak dalam Din Islam. Ia menyenggara kelas Tadika Islam dan Kelas Fardu Ain dengan kerjasama JAIS. Saya pernah menjadi Setiausaha Kehormatnya dari 2004-2006 dan sedikit sebanyak saya memahami masaalah-masaalah yang mesti dilalui kerana peruntukan kewangan yang terhad dan banyak aktiviti yang perlu dilaksana. Kebanyakan ahli Jawatankuasa adalah ex-civil servant dan ada yang agak senior dalam jawatan dahulunya..

Dalam mesyuarat pada hari itu Jawatankuasa telah membentangkan proposal untuk membangunkan semula kompleks PAKATAN yang dikenali sebagai Balai Islam yang juga berfungsi sebagai Masjid. Tetapi sekarang Masjid Baru telah dibina dan Balai Islam adalah untuk Pendidikan Islam dan Kebajikan Am.

Dalam proposal tersebut Jawatankuasa telah telah menunjukkan pespektif arkitecture yang mengambil kira keperluan yang ada dan menambah apa-apa jua yang perlu . Tinggi bangunan itu ialah 3 tingkat sahaja atas tanah yang lebih kurang setengah ekar, (tak silap saya).

Saya tidak mengambil perhatian atas butiran terperinci, kerana saya sudah berfikiran bahawa proposal itu amat konservatif, memandangkan tanah adalah asset termahal dan apa jua yang kita ingin bangunkan perlulah mengambil kira pembangunan masa depan. Masa depan di sini bukan hanya bermaksud sepuluh tahun atau dua puluh tahun tetapi mungkin 50 tahun. atau mungkin lebih. Balai Islam yang ada sekarang pun sudah hampir 40 tahun. Berhampiran dengan Balai Islam pun rumah-rumah yang berhadapan dengan jalan utama yang semakin hari semakin sibuk sudah mula dibina semula untuk premis perniagaan. Pastinya mereka telah mendapat kelulusan dari pihak yang berkenaan. Saya percaya lama-kelamaan ia akan menjadi seperti rumah-rumah di Jalan Maarof, di Bangsar sana. Dan selepas itu mungkin menjadi seperti Kg. Baru di Kala Lumpur.

Isunya di sini bukan untuk berangan-angan Mat Jenin kalau hendak membina bangunan 10 tingkat seperti dicadangkan oleh seorang ahli. Tetapi isunya ialah kita mesti berfikiran "futuristic". Kalau bukan kita yang berfikir generasi yang mewarisi kawasan tersebut mungkin tidak mendapat munafaatnya. Sudah tentu bangunan 10 tingkat memerlukan pembiayaan yang amat tinggi bagi sebuah NGO untuk menanggongnya. Tapi sekarang ini ada berbagai cara "financing" yang boleh ditinjau. Kalau kita kurang mahir kita dapatkan ahli yang mahir atau anak-anak ahli yang kebanyakannya menjadi berbagai professional.

Apa yang saya hendak tekankan di sini ialah "our creative thinking must be expanded" kerana kita NGO dan bukan badan kerajaan. Sudah sampai masanya, mungkin "long overdue" untuk jangan sentiasa "defensive" dalam pendekatan kita dengan mengatakan bahawa kita ada building by-laws yang perlu dipatuhi. Tetapi bukankah undang-undang dan peraturan-peraturan tersebut boleh kita tukar. Pasti ada cara untuk menukarnya. Lihat saja pembinaan sebuah kondominium sederhana berdekatan dengan Kg Tunku yang telah dibina hampir dengan 'high tension wire' yang saya diberi tahu ia membahayakan keselamatan dan kesihatan. Bukanlah kita hendak meniru perbuatan yang tidak sempurna, tetapi kita perlu tinjau jauh-jauh akan berbagai kemungkinan yang ada dihadapan kita. "NO PAIN NO GAIN". Anak-anak kita sekarang kita bina untuk jadi "ULULALBAB". Maka kita walaupun sudah menjangkau umur warga Emas kita masih berkemampuan untuk memulakan diri kita. Allah menilai kita dari usaha kita bukan hasilnya. Kalau pun kita dijemput Allah sebelum projek ini bermula, insyaAllah kita mendapat pahlanya seolah-olah kita yang menyempurnakannya. Itulah 'TEAM WORK" dalam Islam. Sama seperti kita membantu pejuang-pejuang Islam berperang di Bumi Jihad, terutamanya di Plaestin, kita dijanjikan pahala yang serupa walaupun kita hanya mengumpul dana untuk kita hantar kepada mereka.

PANDANGAN YANG JAUH, SEJAUH MUNGKIN

Saya sebenarnya mengingatkan diri saya supaya tidak terbelenggu dengan peraturan- peraturan yang tidak lagi memberi munafat. Sejak saya berkerja dahulu saya lebih suka memikirkan perubahan-perubahan jangka panjang. Sebab itu Boss no. 1 saya semasa saya bersara dia mengakui bahawa saya ada idea tapi dia terpakasa "meneutralize" saya kerana tidak selari dengan dasar dan peraturan yang ada. Dan saya pun tidak dinaikkan pangkat seperti rakan-rakan saya. Tetapi saya redha atas tindakan itu kerana setiap pejuang semestinya melalui jalan-jalan yang sukar. Dan saya tetap berpegang bahawa hanya peraturan dan hukum -hukum Allah yang tidak boleh di tukar ganti. Kalau kita dikatakan bodoh dan tidak realistik dalam pemikiran kita, tak apa. Sebab jika kita lihat di dunia industri dan perniagaan ia mungkin bermula dan idea yang semcam bodoh. Tetapi kalau dihalusi dan dihalusi, dan memohon pertolongan Allah, saya yakin yang terbaik akan dapat dihasilkan. Mungkin bukan untuk kita tapi untuk generasi akan datang.

Akir kata saya mohon maaf jika menyinggung mana-mana pihak yang membaca blog saya. Dan saya pun sentiasa memohon ampun pada Allah atas segala kelemahan saya. Ustaz saya mengatakan : "Hidup itu nikmat, Mati pun nikmat. Pada mereka yang sentiasa bertaubat".

Wallahua'lam.

Wednesday, July 22, 2009

New look

New look for the blog with some additional features, and introducing my dear Huzaifah, Ujai for short. In this picture he was just a year and a half and this was taken when I was visiting him in Tokyo. I was then taking care of his  baby brother Akif dalam pantang. Ujai was born in 2005 and I was taking care of him soon after when my daughter had to go and take up her masters at Waseda University. He is our first grandchild and that is why he is getting all the attention.
My series of From Embah to Huzaifah are my personal notes for him and subsequent  (insyaAllah) grandchildren to read.

Ujai, inspirasi mawaddah

Tuesday, July 21, 2009

NOSTALGIA - kisah aku membesar dan dibesarkan.

Aku akan sentiasa ingat. Dan setiap kali teringat aku akan termenung jauh dan kadang kala mengininkan untuk kembali ke era aku dibesarkan.

Aku membesar di bawah pokok-pokok getah dan dicelah-celah kebun nenas yang melaut luasnya. Kebun getah ini di Penerok Pontian dan lokasinya di pinggiran hutan, yang aslanya juga hutan tetapi sudah ditebang dan dibersihkan dan ditanam pohon getah oleh Allah Yarham bapak ku dan rakan-rakannya yang kesemuanya datang dari Tanah Jawa. Itu cerita Emak ku. Bapak ku pendiam orangnya dan dia cuma cerita sedikit-sedikat asal usulnya. Katanya dia datang ke Malaya ketika itu dalam umur dia sudah dewasa. Bila ditanya bila dia dilahirkan, dia cuma tahu bahawa ketika hujan abu yang paling besar di Indonesia, dia sudah bujang dan sudah kuat kerja. Ini cerita kakak ku pada ku. Aku tidak dengar sendiri kerana aku anak bongsu dari lapan orang adik beradik dan bapak ku pulang menemui Allah ketika aku berumur 16 tahun. Bila aku kira-kira, hujan abu paling besar ialah ketika meletupnya gunong berapi Krakatoa, yang paling terbesar ketika itu, ia itu dalam tahun 1883.

Begitu jauh dan lampau asal usul keturunan ku. Emak ku pun dari Tanah Jawa tapi mereka berkahwin di sini. Kakak-kakak ku tidak banyak tahu tentang emak ku dari asal usul dan keturunan. Cuma umurnya jauh lebih muda dari bapakku. Bila bercerita-cerita tentang keluarga kami adik beradik agak kesal kerana tidak banyak bertanya tentang salsilah keluarga. Bila diingat-ingat kami tidak bertanya agaknya kerana kami semasa kecil dan remaja dan belia amat rasa malu jadi keturunan Jawa. Katanya Jawa makan katak kering. Di sekolah dan di Kampung kami selalu rasa terpinggir kerana kami keturunan Jawa.

Tetapi bila difikir sekarang, sebenarnya fakta itulah yang membuat kami berkerja kuat untuk memajukan diri. Pesanan bapak ku yang paling aku ingat: "Kita miskin, tapi jangan sampai mintak-mintak". Maksudnya, kata emak ku, kita miskin, tapi jangan sampai kena minta sedakah. Walaupun miskin harga diri aku kira amat tinggi waktu itu. Walau pun aku "Jawa makan katak kering", aku akan menjadi orang berpelajaran. Alhamdulillah aku punya Emak-Bapak yang punya 'wawasan' punya cita-cita. Biarpun makan ubi keladi, dan makan nasi sehari sekali, aku adik beradik bersekolah, dan mereka yang "tidak makan katak kering" jauh ketinggalan. Ini semua berkat doa orang tua ku yang mengharong lautan Selat Melaka menggunakan tongkang untuk "berhijrah" mencari kemajuan, walaupun ketika itu cuma dikatakan mencari sesuap nasi sehari dan berteduh barang sejenak.Semua kakak ku boleh membaca dan menulis menekala ramai rakan sebaya ketika itu tidak tahu. Ini dari sebelum Perang Dunia kedua lagi. Kakak ku yang tertua dilahirkan akhir tahun Sembilan belas-dua puluhan. (1920's). Dia meninggal ketika umur nya 83 tahun setahun dulu.Jasa kakak-kakak ku pada aku, akan ku kenang selamanya.

Itulah rasa nostalgia bila nampak pokok getah dan kebun nenas. Diri ku sendiri semasa sekolah rendah terpaksa menolong kakak ku menoreh getah waktu gelap-gelap lagi. Bila tanah mula cerah, aku lari pulang ke rumah untuk mandi dan pergi sekolah. Waktu itu mandi dikolam yang dalamnya bapak ku juga bela ikan keli dan lain-lain. Sekarang aku senyum sendirian bila mengenang kena mandi di kolam kerana kadang-kadang tidak mandi pun dan cuma basahkan kepala sedikit kerana takutkan ikan-ikan. Emak pastinya tahu "pembohongan" waktu itu cuma dia macam tidak kisah mungkin kerana aku perlu pergi sekolah cepat-cepat kerana mesti berjalan kaki lebih satu kilometer jauhnya dari sekolah. Waktu itu Bapak sudah membeli sekeping tanah berhampiran dengan sekolah yang agak sudah digelar 'bandar' iaitu Bandar Pontian.Namun tanah di Penerok tetap diusahakan oleh Emak ku.

Aku menolong Emak ku menoreh getah "sepenuh masa" musim cuti sekolah. Tidak pernah rasa terpaksa bila disuruh bungkus kain baju untuk menumpang di rumah saudara membantu Emak tersayang. Mana kenal rasa terpaksa kerana bila menoreh di Kg. Penerok ramai kawan-kawan sebaya. Bila habis menoreh kami pergi memancing ikan bila musim nya. Kalau tidak kami ke pinggir hutan ambil sayur-sayur segar yang hidup melata dan kadang-kadang buah-buah juga yang ditanam kecil-kecilan oleh saudara sekampung, seperti buah labu buah temikai dan pastinya nenas sarawak yang masak ranum. Ketika itu tak pernah makan ikan segar Cuma ikan bilis dan ikan masin. Rasa seronok kalau dapat goreng telur. Kami sekeluarga makan ayam dan daging hanya setahun sekali, iaitu waktu Hari Raya sahaja. Daging korban tidak pernah didengari.Maklumlah kami kaum "pendatang" kalau diistilahkan hari ini.

Kebun getah waktu itu seperti tanah "belukar" penuh semak samun. Bukan estet macam sekarang. Kalau kita berjauhan kita tidak nampak orang yang berdekatan. Jadi kalau ada babi hutan atau harimau tidak akan kita nampak. Tetapi pengalaman nampak harimau tidak ada cuma dengar cerita. Tapi babi hutan dan monyet atau kera, itu perkara biasa. Tidak rasa takut pun. Emak ajarkan pada ku untuk pukul baldi dengan pisau toreh supaya jadi bising, ditambah dengan jeritan mulut supaya lari babi-babi hutan dan tidak menggangu kami menoreh getah. Hairan nya kalau difikirkan sekarang ini mengapa rasa takut dengan binatang-binatang itu. Agaknya "alah bisa tegal biasa". Ular pun katanya banyak tetapi hanya berpengalaman sekali bila ada ular sawa (agaknya) di dilubang di tepi pokok betul-betuk tempat emak menoreh. Rasa tergamam dan cuma melihat. Tetapi Allah pelihara. Emak tidak tahu dan terus berlalu dari pokok itu. Kami selamat. Alhamdulilah. Peristiwa ini tidak pernah luput dari ingatan.

Aku bukan sahaja menolong menoreh getah, tetapi disuruh membuat kerja-kerja "domestik" seperti mencari kayu api, menggeraji kayu api, memikul kayu api balik ke rumah. Aku juga menolong angkat air dari perigi dan bila masuk bekalan air di jalan besar, aku menolong memikul baldi air balik ke rumah. Jauh nya lebib kurang 100 meter. Emak tidak ada kemampuan mendapatkan bekalan air terus kerumah. Hanya dalam tahun enampuluhan (1960's) barulah mampu bekalan air ke rumah setelah 2 orang kakak ku menjadi guru. Ketika itu Emak menjaga Bapak yang uzur dan aku pun tidak lagi menoreh getah dan dapat menumpu pada pelajaran lebih sedikit. Jasa kakak-kakak ku sekali lagi aku rakamkan dan hanya Allah yang dapat membalasnya.

Ketika aku kecil, kami tidak punya radio dan tidak ada bentuk hiburan yang lain. Sesekali kalau hendak dengar radio Emak hanya ada kesempatan waktu malam, kerana hendak mendengar 'Bangsawan di udara'. Kita guna api colok dibuat dari daun kelapa kering untuk ke rumah jiran terdekat yang jauhnya lebik kurang 1oo meter. Bukan tidak teringat ketika itu kot-kot terserempak dengau harimau, tetapi sebab nak mendengar radio hilang semua rasa takut. Kalau kami hendak digelar "jakun" maka jakunlah kami. Bila terkenang peristiwa ini agak rasa sayu kerana sememang nya kami keluarga miskin. Tetapi kemiskinan tidak pernah menghalang kami rajin berkerja. Bukan puji diri. Tetapi ini hakikat warisan Bapak dan Emak yang datang jauh dari Tanah Jawa.

Ketika itu YB Tan sri Sardon Jubir jadi idola kami. Jawa boleh jadi menteri. Kami menumpang "rasa hebat". Kalau Jawa boleh jadi menteri pasti kita boleh jadi apa yang kita cita-citakan dengan izin Allah. Orang sudah tidak lagi mengatakan "Jawa makan katak kering". Tetapi tiada siapa dalam keluarga kami yang jadi menteri atau aktif dalam politik, kerana Allah Yarham Bapak sangat menekankan nilai harga diri yang tinggi. "Tidak kira kerja apa, janji ia kerja yang halal" itu pesanan Bapak. Perkataan yang selalu digunakan ialah "perihatin". Dalam budaya Jawa pendatang macam kami ini "perhatin" itu ialah nilai yang penuh mencerminkan kerajinan, keikhlasan, amanah, tanggongjawab, tolong menolong dan apa-apa lagi yang positif yang membuat kita berdikari dan boleh "walk tall" di mana-manapun. Walaupun nama Jawa, kita berwibawa. (Bukan puji diri, tapi macam puji diri, hee...heee). Jawa tetap Jawa. Namun wasiat Islam tetap diabadikan. Bapak adalah "Tok Guru" kecil-kecilan. Dia mengajar fardhu 'ain, dan sedikit sebanyak memimpin sessi -sessi berzikir beramai-ramai.Dia mengajar dalam Bahasa Jawa.Kitab-kitab nya berbahasa Jawa. Ada yang masih tersimpan oleh kakak. Oleh kerana ramai yang buta huruf, banyak kitab-kitab itu dalam bentuk syair yang boleh diajar untuk di hafal. Kakak-kakak ku banyak yang dihafal, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan hati, yang ada kaitan dengan tassauf.

Semasa aku kecil dan remaja, tidak banyak yang aku fahami ilmu tasawuf yang diajarkan oleh Bapak. Emak hanya pengikut. Tetapi kini fahamlah sikit-sikit. Ilmu fardhu ain banyak aku belajar disekolah agama kerajaan negeri, sebab ketika itu bapak sudah terlalu uzur untuk mengajar dan kawan-kawan Emak dan Bapak pun sudah ramai yang uzur atau telah meninggal dunia. Dewasa ini banyak perkara yang aku lihat semula terutamanya tentang ilmu Tauhid. Ilmu yang diajarkan disekolah agak sederhana dan amat tidak mencukupi. Dan pendekatan pengajaran agama pun amat tidak seperti yang sewajarnya. Iaitu, ilmu fardhu ain dan ilmu yang sekarang kita gelar ilmu akademik, diasing-asingkan. Seolah-olah untuk jadi pakar perubatan, kejuruteraan , ekonomi dan apa jua pun, ilmu aqidah semacam tidak ada kaitannya. Ini kelemahan sestem pendidikan dan banyak yang aku jadi keliru dan banyak juga yang aku terjebak dengan perkara-perkara larangan. Aku telah memohon ampun dan akan terus memohon ampun dan bertaubat dengan Allah swt agar didikan Emak dan Bapak tidak jadi sia-sia. Agar aku digolongkan dalam kategori anak-anak yang soleh dan semoga doa ku untuk Allah Yarham Emak dan Bapak kesampaian.

Semoga catatan kecil kisah aku membesar dan dibesarkan ini dapat menjadi bahan renungan Huzaifah dan cucu-cucu yang lain.Yang baik buat tauladan dan yang tidak buat sempadan. Betapa hari ini kehidupan telah menjadi amat mudah berbanding dahulu dan semoga warisan ketahanan jati diri dapat di hayati (internalized). Aku selalu berpesan pada siapa jua terutama anak-anak, bahawa tiada jalan pintas dalam mencari kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup. Cuma kita mesti bijak (be street smart) dalam pendekatan kita dan selalu berdoa agar Allah swt memberi taufik dan hidayah Nya dan memudahkan segala-galanya. Nawaitu mesti betul, dan proses pun mesti betul. Mohon Taubat setiap ketika, setiap hari kerana manusia tidak sunyi dari kesilapan. Dalam nostalgia ada rasa kemanisan, dan ada juga rasa kesedihan. Semoga yang manis Allah terima sebagai amal soleh dan yang masih tergoris rasa sesalan dan kesedihan Allah terima Taubat nasuhah ini semoga akhirnya Allah terima aku dan Emak dan Bapak dan semua yang aku sayang sebagai hamba-hambaNya yang sejati dan Allah jemput masuk ke dalam syurganya yang abadi.
Keluargaku - antara detik-detik ceria, Syawal 1429H

Thursday, July 16, 2009

DARI EMBAH KE HUZAIFAH ...NIKMAT MENEMANI DAN MENJAGA ORANG TUA


Hari ini selepas sessi Tai chi Embah sambung berjalan cepat dengan seorang kawan sambil bercerita-cerita tentang exercise yang mana dalam Tai Chi yang baik untuk elak barah payudara 'breast cancer'. Cerita punya cerita, timbul kisah jaga orang tua dan masaalah-masaalah yang berkaitan dengannya. Antara nya ialah menjaga orang tua yang tidak upaya dan terpaksa terlantar di atas katil sahaja. Masaalah utama ialah mengelak luka disebelah belakang badan, iaitu timbul ruam kerana panas. Ia boleh menhidap "bed sore".

Dulu Embah ada pengalaman menjaga Mak Tua dan Tok Kulim, dan sesekali jaga Mak long di Kota Tinggi. Mak Tua berumur lebih 90 tahun. Walau pun terlantar dia tidak kena 'bed sore' sebab dia boleh berkalih dan pusing badan sendiri. Tok Kulim dan Mak Long umur lebih 80 tahun dan ada kesan 'bed sore' sebab dia tidak boleh memusingkan badan sendiri. Mujur Allah kurnia rezki lebih dan boleh beli tilam yang khas untuk tujuan mengelak bed sore ini, alhamdulilah. Jadi Embah pun beritahu kawan Emabah mengenainya sebab dia ada saudara yang sakit tua dan terlantar.Ramai juga orang yang tidak tahu ada tilam untuk kawal 'bed sore' ini.

Menjaga orang tua memerlukan kesabaran dan tugas ini lebih mudah kalau kita berniat ibadah dan memberikan kasih sayang yang sewajarnya. Embah betul-betul jaga Mak Tua  cuma selama setahun sebelum ia meninggal dunia. Sebelum itu tidak menjaga sepenuh masa kerana Embah masih kerja. Embah kemudian ambil keputusan untuk cuti setengah gaji kerana menjaga waris terdekat. Ofis Embah potong Gaji sebanyak RM 6,000/- sebulan. Ada kawan yang kata supaya ambil orang gaji dan nurse. Tidak perlu bayar sebanyak itu. Embah memang ambil 2 orang pembantu Indonesia. Embah kata pada kawan Embah, tidak sama kita  yang jaga banding dengan pembantu atau nurse yang jaga. Orang tua sangat sensitif dan dia lebih selesa kalau kita yang jaga.Orang tua tak pernah minta dijaga, kita mesti faham sendiri. Iras air mukanya kita tahu dia tenanag kalau kita ada di sebelahnya, baring dengannya dan urut-urut badannya.

Inilah pengalaman yang Embah nak kata pada Ujai. Orang tua bukan perlu dijaga sahaja. DIA PERLU DITEMANI. Dia seronok kita sembang-sembang. Dia tidak rasa kesunyian, malah dia tidak rasa takut. Embah tahu dia tak rasa takut sebab kalau Embah tidak ada disamping, dia suruh pembantu panggil. Embah sentiasa ada dirumah cuma kadang-kadang Emabh ada di atas berurusan dengan Tok Ayah.

Selain dari sembang-sembang Embah baca Quran. Mak Tua kurang pendengaran, jadi Embah buat macam 'loud speaker' dengan menggulong surat khabar dan letak dekat dengan telinganya.Baru dia boleh dengar. Bila penat Embah pun tertidur di sebelahnya. Kadang-kadang Pembantu yang tidur. Kebetulan Embah dapat pembantu yang rajin dan penyayang. Mak Tua sentiasa bersih. Embah kena buat dua orang untuk mandikan. Kita angkat Mak Tua  duduk dikerusi roda dan bawa ke bilik mandi. Pembantu guna sarong tangan bila mencuci najis Mak Tua. Emabah guna tangan sendiri. Pembantu itu tanya kenapa Embah tak guna sarong tangan. Embah kata dulu Mak Tua cuci Embah masa kecil-kecil dia tak guna sarong tangan pun. Jadi Embah pun tak guna. Pembantu Embah senyum saja. Dia Mak Kita. Tidak ada apa yang kotor.

Kemudian kita "solekan" Mak tua. Letak wangi-wangian dipakaiannya. Sebab itu pembantu pun seronok. Embah ada pembantu lain untuk masak dan kemas rumah. Jumlah RM6,000/- sebulan boleh dapat 6 orang pembantu senang-senang. Tapi tidak akan sama dengan kita buat sendiri.

Belaian kasih - Allah Yarham Mak Long, kakak sulung Embah
Embah kata jaga orang tua adalah satu nikmat, bukan saja cakap. Embah renong Mak Tua, ingat dulu masa kecil dan remaja kita kerja di bawah pokok getah, kita pergi mancing ikan, tangkap belut , tangkap belalang dan lain-lain. Kita terkejar-kejar kena hujan untuk cepat ambil cecair getah dikebun, semuanya ingat kembali. Bila kita dah berjaya, tak kan suruh pembantu jaga dia.

Mak Ram, kakak Embah, dia yang paling banyak jaga Mak Tua. Bila Mak Tua duduk dengan Embah, Mak Ram rayu pada Embah dia yang hendak jaga terus. Sebab dia kata seronok ada orang tua walau pun kerja bertambah. Emabah macam berebut dengan Mak Ram pulak nak jaga Mak Tua. Tapi sebab Embah yang bongsu, Mak Ram pun mengalah. Tapi Mak Ram selalu juga datang ke Kuala Lumpur tengok Mak tua. Dia kata tak seronok tak ada Mak Tua.Mak Su pun seperti Mak Ram. Mereka berdua yang banyak tengok Mak Tua.

Itulah nikmat menemani orang tua dipenghujung umurnya. Jika kita amati, Allah sebenarnya nak mendidik hati-hati kita menjaga orang tua. Bila kita bersabar kita dapat satu kurniaan nikmat yang orang lain tidak dapat kerana dia tidak mampu atau senghaja dia tidak mahu menjaga orang tua . Mereka tidak mengalami  keindahan sentuhan orang tua yang sudah tidak bermaya dalam menyatakan kasih sayangnya. Embah rasa orang yang tidak rapat dengan orang tua dan tidak menemani orang tua tidak dapat menghayati proses penuaan yang pasti setiap kita melaluinya kalau Allah panjangkan Umur.Proses penuaan adalah proses persediaan bertemu dengan Allah swt. Cuba kita fikir-fikirkan.

Bukan itu sahaja. Oleh kerana Mak Tua ada rasa tidak selesa dan doktor pun tak tahu nak buat macam mana, maka Embah bawa dia berjumpa "doktor tradisional", takut-takut  Mak Tua kena gangguan. Sebab bila kita Lemah, makhluk halus suka menggangu. Terutamanya bila umur kita semakin dekat dengan akhir hayat kita. Itu yang Embah diberi tahu oleh ustaz-ustaz yang berpengalaman. Ini semua Embah anggap sebagai Allah hendak memaklumkan kita betapa luasnya ilmu di dunia ini dan Allah pun kata kita kena ikhtiar kalau kita sakit. Tidak kira sakit apa sekalipu. Mendapat ilmu adalah juga satu nikmat dari Allah. Sebab kadang-kadang ilmu tidak diperolehi dari buku-buku sahaja.Cuma kita perlu pastikan ia tidak bercanggah dengan aqidah Islam.

Embah juga jaga Emak Tok Ayah. Kita selalu sebut Tok Kulim sebab nak bezakan dengan Tok PJ, iaitu ibu pada Tok Mak Anjang. Tok Kulim sebelum terlantar duduk dengan Embah. Cuma bezanya Tok Kulim pelupa dan cara kita menjaga nya berbeza. Lagi pula Tok Kulim sakit kencing Manis. Mak Tua tidak, cuma sakit tua semata-mata.

Yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan, yang erat dimesrakan - Keluarga Allah Yarham Tok Kulim sewaktu ulang tahun pertama Ujai

Embah cuba menambah ilmu mengenai sakit pelupa, iatu dari buku-buku yang agak boleh dipercayai dan juga dari internet. Terutamanya Embah cuba mempelajari bagaimana hendak mengendalikan karenah dan sensitiviti orang tua yang pelupa. Setengah orang kata itu penyakit "nyanyok". Embah lebih selesa sebut sakit pelupa sebab ia menjauhkan kita dari sifat prejudis pada orang-orang yang "nyanyok". Apabila kita menemani dan menjaga orang-orng yang pelupa kita harus sentiasa ingat supaya tidak menidakkan apa yang ia kata, sebab padanya itulah yang betul. Kita cuma cari laluan lain untuk mendapat kata sepakat jika kita hendak menyuruh ia berbuat sesuatu. Mithalnya jika ia tidak mahu mandi, jangan kata kalau tak mandi itu busuk dan sebagainya. Kita katakan kita kena mandi sebab nanti anak kesayangan nya akan datang, eluklah mandi. Atau guna lain-lain strateji yang membawa kesan positif.

Nikmat yang Allah bagi dalam menemani dan menjaga orang pelupa ialah kita dapat merenungi dan menghargai kurnia Allah yang paling mahal, iaitu otak dan sekali gos aqal kita. Betapa Allah mahu membezakan aqal yang sihat dan yang kurang sihat dan mahu menguji hambanya atas kekurangan-kekurangan yang ada. Seperti kurniaan Allah yang lain. Jangan kita sombong bongkak kalau kita cerdik pandai. Jangan kita meminggirkan, jauh sekali menghina, mereka yang kurang cerdik dan kurang pandai. Allah tidak memberi kurnia yang sama dan kerana itu Allah tidak menguji kita dengan cara yang sama. Jangan kita ambil aqal kita sebagai suatu yang sudah lumrahnya. Tidak, tidak boleh. No, do not take it for granted. Menjaga orang pelupa benar-benar menyedarkan Embah betapa Allah mahu Embah cepat-cepat menambah amal ibadah sebelum ilmu luput dari aqal. Namun kita perlu berdoa dan munajat agar kurniaan ini akan berpanjang dan memberi munafaat kepada kita dan kepada orang lain.

Menemani dan menjaga orang-orang tua mendidik kita untuk memahami sebenarnya erti berkongsi Rahmat Kurniaan Allah. Ini juga satu nikmat. Ramai manusia yang tidak faham apa itu perkongsian hidup. Kita amat berkira, walaupun dengan ibu bapa. Ramai antara kita yang berdampingan dengan orang tua, tetapi amat takut untuk menjadi tua. Hinggakan ada yang berdoa supaya janganlah tua nanti kita menyusahkan anak-anak. Embah kurang selesa mendengar doa-doa seperti itu sebab seolah-olah kita tidak redha menjaga ibu bapa kita. Seolah-olah menjaga mereka itu suatu bebanan dan kerana itulah kita tak mahu anak kita terbeban dengan kita. Cuba kita biasakan berfikir bahawa kita bukan menjaga sahaja, tetapi kita menemani mereka, dan kita meraikan mereka. Maka mungkin kita ubah doa kita, Ya Allah jadikanlah hubungan ku dengan orang tua ku terutama di akhir-akhir hayat mereka ini suatu nikmat hidup bagi ku dan bagi mereka. Jadikanlah saat-saat ini suatu yang menimbulkan keriangan yang berpanjanan dan nikmat ini juga diwarisi oleh anak-anak ku, kerana aku tahu tiada yang Engkau jadikan di muka bumi ini sesuatu yang sia-sia.

Itu saja Ujai. Cuba fahami apa yang Embah kata. Wa allahua'lam.

Wednesday, July 15, 2009

"WALK YOUR TALK" says the Al Quran.

Chapter Sixty One (SURAH AS_SAFF) Verse 2 and 3.
In the name of God, the most Gracious, the most merciful.
(2) O YOU who have attained to faith ! Why do you say one thing and do another? *1
(3) Most loathsome is it in the sight of God that you say what you do not do!

Footnote by the translator, Muhammad Asad
*1 - "why do you say what you do not do?" In the first instance, this may be an allusion to such of the Prophet's Companions as had retreated in disorder in their battle stations at Uhud despite their previous assertions that they were ready to lay down their lives in the cause of God and his Apostle.
In a wider sense, the passage is addressed to all those who claim that they are willing to live up to anything that the Divine writ declares to be desirable, and then fall short of this determination.

Let us walk briefly through these verses .I said briefly because I am not a scholar in Islam. Neither am I conversant in the Arabic language to be able to say more than what has been said by renounced scholars.

I came upon these two verses when discussing with friends on how frustrating things can be when we are not able to follow many arguments made by common individuals or world leaders on matters that affect the safety of the world, which you and I cannot escape the subject matter. Half the problem of the world, if not most of it, that we now face lies in the fact that many people do not mean what they say, and they do not say what they mean if and when they are pushed to a corner. They used disguises and other techniques to convince listeners that what they are saying is the truth, nothing but the truth.

Therefore the only hope that we have in solving any problem, is in leaders and their followers who truly and sincerely and strictly adhere to the teachings of Islam.

May God Allah grant us the strength and wisdom to be able to see and differentiate what is right and what is wrong and to recognize hypocrisy. And may Allah make us true to our words and deeds.
Related Posts with Thumbnails