"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, October 7, 2011

JEJAK MENCARI-CARI SALAHUDDIN




" A Journey Of A Thousand Miles Starts With The First Step"

Kebelakangan ini saya rasa amat sedih dan kecewa dan juga agak marah terhadap sikap setengah-setengah negara di dunia ini  mengenai penubuhan negara berdaulat, Palestine. Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya di Security Council, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Begitu zalim ! Double Standarad yang negara-negara Islam tidak berupaya berbuat apa-apa. Dengan mudah negara-negara yang tidak memahami Islam telah  membuat berbagai ulasan mengenai "Arab Spring". Rata-rata mereka menganalisa bahawa rakyat negara Arab mahukan  "Democracy" dan dalam minda mereka adalah  Demokrasi ala Amerika Syariakt dan/atau  negara-negara yang fikrahnya sama sahaja.  Saya rasa pasti ada cerita yang selainnya tetapi tidak ada Media yang boleh dan dapat membuat ulasan dari sisi pandangan yang lain. Kalau ada pun ia tidak mendapat liputan yang luas. Semoga apa yang berlaku di negara-negara tersebut adalah satu proses pembersihan dan semoga akan lahir dan wujud suatu kuasa yang benar-benar mahu mendaulatakan alQuran dan hadith.

Saya tidak berputus asa untuk mencari jalan semoga Kebenaran yang Hak akan terserlah pada suatu hari nanti. Itu janji Allah.  Saya merasai manusia hari ini  belum mahu bersungguh-sungguh  mencari jalan itu. Ramai yang  hanya  mencari Pembenaran. Walhal  kita seharusnya menegakan Kebenaran. Saya amat sedar bahawa menukar minda dan membentuk kefahaman yang betul bukan suatu yang mudah dan bukan sesuatu yang boleh dibuat oleh individu atau kumpulan yang kecil.  Usaha ini seharusnya mendapat dokongan sebahagian besar umat manusia di dunia ini sebelum kenyataan ini tercapai. Tetapi "A journey of a thousand miles, starts with the first step". Semoga ramai  yang akan berusaha memulakan langkah pertama ini. Sebenarnya ramai yang sudah memulakan, cuma seharusnya ada kesedaran supaya ramai lagi yang akan mengambil jalan ini dengan penuh komitmen dan penuh tekad bahawa kita hanya perlu berusaha serta berdoa dan pertolongan Allah itu dekat, kerana Dia maha memerhati, maha mendengar dan maha berkuasa atas segala sesuatu.

Maka apabila saya diajak bersama untuk ke Garut lagi  bermula 1 Oktober  hingga 6 Oktober saya rasa teruja. Kami sekali lagi melawat  Situwangi Boarding School  untuk memantau perkembangannya setelah kohort kedua pengambilan murid selesai pada Julai yang lepas.Saya rasa seperti saya pergi mencari Salahudin dengan harapan akan lahir seorang pejuang sepertinya untuk menerajui pembelaan maruah orang-orang Islam sejagat. Saya merasai seperti tugasan ini satu hari akan melahirkan "Salahudin Al Ayubi" seorang pejuang Islam yang membebaskan Masjid Al  Aqsa dari penjajah kuffar dalam kurun sembilan belas. Kini Al Aqsa dijajah lagi oleh Yahudi Zionis, suatu kaum yang amat zalim. Tetapi di mata Amerika mereka itu tidak zalim dan sebaliknya menuduh Palestine yang zalim dan merangkum semua warga Islam sebagai tidak boleh di percayai.

Sejarah Islam telah melahirka ramai pejuang. Antara yang terdekat dengan zaman kita adalah seperti Umar Mukhtar di Libya yang melawan penjajahan Itali, Syed Khutub yang tidak putus asa walaupun dipenjarakan dan beberapa tokoh di Tanah Air  kita seperti Tok Kenali dan sebagainya. Selain itu Islam telah melahirkan panglima Sains dan Teknologi seperti Al Kindi, Ibnu Rushd dan ramai lagi.

Fikiran saya buat seketika memfokus pada Salahaudin Al Ayubi kerana ia bukan berbangsa Arab tetapi berani melawan kufar dan membebaskan Palestine, sebuah wilayah Arab. Di Malaysia selalu sahaja ada orang yang mengatakan mengapa kita yang bukan Arab "menyibukan" diri mahu memperjuangkan kepentingan Arab. Mereka lupa bahawa perjuangan di Palestinr melibatkan pembebasan  Masjid Al Aqsa, hak asasi orang Islam di mana jua. Tambahan pula kita umat Islam seharusnya rasa kasih sayang sesama orang Islam hingga ketahap apabila dicubit peha kiri, peha kanan sakit juga. Salahudia Al Ayubi berbangsa Kurdish tetapi perjuanganya melampaui batasan kebangsaan. Itulah tokoh pejuang yang harus kita contohi. Itulah antara doa saya mengenai membentok core pemimpin  yang bermula dari Situwangi Boarding School, sebuah sekolah integrasi Islam.





Maka di Situawangi Boarding School kami memantau prestasi pelajar semoga nanti lahir tokoh-tokoh Islam yang akan bangkit membela maruah Islam. Buat sementara waktu oleh kerana adanya beberapa kekangan kemudahan fisikal, maka tumpuan kami adalah pada hafazan Al Quran. Tetapi  di dalam perancangan yang menyeluruh, kami  insyaAllah akan memastikan pengajaran dan pembelajara ilmu akademik yang lain seperti matematik, sains , bahasa antarabangsa dan teknologi maklumat akan menjadi antara fokus yang terkuat dalam membentuk individu pelajar ke arah melahirkan berbagai tokoh yang akan menerajui kepimpinan Umat Islam.

Antara tunas harapan kita menjadi pembela Islam. 
'Jihad'  (di kanan) adalah nama pelajar tahun satu peringkat  menengah
yang  sudah mula memahami semangat seorang peminmpin dan pejuang kebenaran.
Semoga ia diikuti oleh yang lainnya.


Dalam tugasan kali ini kami juga melawat dua buah sekolah peringkat menengah untuk bertukar-tukar fikiran dan maklumat bagaimana kami dapat membentuk jaringan yang bererti dan berkesan ke arah melahirkan tokoh-tokok ilmuan dalam semua jurusan pendidikan termasuk bahasa-bahasa antarabangsa. Gambar di sebelah kanan ini ialah Sekolah Darul Quran Internasional di Bandung. Kami dimaklumkan apabila mereka tamat dari Sekolah ini mereka kuat dengan asas-asas ilmu Islam dan dalam masa yang sama boleh memohon untuk belajar dibidang Ilmu akademik yang lain di Timur tengah atau di Eropah atau yang seperti dengannya.


Gambar dirakam semasa sessi taklimat dan soal jawab di sekolah tersebut.



Kami juga melawat sekolah  "Kafilah Internatioanl Islamic School"  di pinggiran Kotaraya Jakarta untuk tujuan yang sama. Team kami meliputi Mudir Situwangi boarding School (di kiri sekali) dan wakil dari Yayasan Situwangi yang merupakan pihak yang terpenting dalam usaha membangunkan sekolah yang kami  diajak membatu menubuhkannya. Berbagai perkara yang kami bincangkan dan saya rasa yakin Sekolah ini mempunyai masa depan yang cemerlang kerana pendokomg-pendokongnya menampakkan komitmen yang tinggi. Apabila jami berinteraksi dengan pelajar-pelajar, mereka sangat responsif menjawab soalan-soalan yang dimajukan tanpa rasa malu atau teragak-agak.  Wajah-wajah yang ceria juga meyakinkan saya bahawa pelajar-pelajar ini seronok berada di tempat ini.

Sebahagian dari pelajar-pelajar yang menunjukan imej 'internasional'

Sekolah ini didokong oleh penaja yang kuat dana kewangannya. Mereka antara lain  mempunyai projek Oil and Gas, Food Catering dan Travel and Tours yang berdaya maju. Bilangan pelajar telah meningkat lebih dari 95 pelajar dan ramai yang diberi biasiswa penuh. Alangkah bahagianya dan beruntungnya  pelajar-pelajar  di Malaysia jika tampil  ramai lagi Dermawan yang bersungguh-sungguh  mahu menegakan  konsep pendidikan Islam berintergrasi dengan struktur pengurusannya yang agak bebas selaras dengan visi dan misi sekolah seperti itu. Ini bermakna bahawa pihak Kementerian Pendidikan seharusnya sanggup melihat semula dasar-dasar mengenai pendidikan yang akan dapat benar-benar melahirkan pelajar yang seimbang dan sepadu  dari segi ilmu Fardhu Ainnya dan ilmu Fardhu Kifayahnya, dan tidaklah seperti melepas batuk ditangga sahaja  seumpama apa yang saya alami semasa saya berkerja dahulu. Dengan ini insyaAllah akan lahir juga pelajar-pelajar yang berjiwa waja, berketerampilan, berani dan boleh menerajui kepimpinan dalam perjuangan menegakan Kebenaran. Mungkin di sinilah  tempat lahirnya seorang lagi "Salahudin". Allah maha memerhati dan menguji hati-hati mereka yang mengatakan dirinya beriman.

Selain berbincang kami dibawa melihat sekeliling kampus. Saya merakamkan  pemerhatian saya  di bawah ini sebagai renungan bersama. Di sekolah ini program Jati Diri pelajar agak impressive dan boleh di contohi. Bukti pihak pengurusan sekolah mahu pelajar-pelajar yang 'all rounder' mereka membina gelanggan Footsal yang besar secara tertutup .
"Siapa Yang Enggan Merasakan Letihnya Belajar 
Akan meneguh Payahnya Kebodohan Sepanjang Hidupnya".
Imam Shafie.


Kerana Kita Bukan Pasentren Biasa.
Kurikulumnya mengikut Departmen Pendidikan Indonesia, dan mereka juga ada kurikulum dan ko-kurikulum yang dbentuk sedemikian rupa supaya pelajar-pelajar 
akan berjati diri dan boleh mandiri.
Ini adalah antara ciri-ciri pemimpin dan pejuang.



Kemudahan fisikal Sekolah ini tersergam megah dan menjadi daya pendorong 
agar pelajar-pelajar membina daya saing yang positif.

Dalam perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Jakarta- Bandung- Garut, Kami bermalam di Harris Hotel  di Jakarta dan Hotel Darul Tauhid di Bandung. Saya bersyukur di Harris Hotel kami menumpang tarbiah di Surau yang dikendalikan oleh kumpulan bakal Hujaj. Seorang usatz memberi kuliah subuh dan ini menambah semangat kami dalam perjuangan yang memerlukan tumpuan minda ini. Di bawah ini saya rakamkan kumpulan kami bersama mereka.



Di Masjid Darul Tauhid kami juga solat berjemaah waktu subuh. Ada kuliah subuh  pada pagi lainnya oleh pengasas pasentren di situ, iaitu Ustaz Agim, tetapi saya tidak hadir kerana kepenatan. Dalam perjuangan "mencari-cari Salahudin", kami perlu penguatan semangat dan sessi seperti ini memberi peluang muhasabah diri dengan lebih jelas lagi.




Perjalanan kami cuba menjejak mencari-cari Salahudin berhenti buat sementara waktu di sini. Kerja-kerja mendokumentasi hal-hal pengurusan berjalan terus. Sebeum pulang kami bertemu dan berbincang-bincang dengan ketua Yayasan Situwangi untuk mengatur strategi dan program seterusnya. Kejayaan tidak datang menggolek. Saya katakan pada teman seperjuang  semoga Allah memberi pertolongan dan kami sihat untuk terus menyumbang bakti. Diumur senja sebegini, kami harus kerja cepat kerana sudah sampai zon kritikal. Semoga Allah akan kurnikan kebikajsanaan dan kekuatan dan semoga kami mendapat keampunan dan keredhaannya. InsyaAllah kami akan ke Garut lagi awal November.  Semoga kami sihat dan bertenaga. Kejayaan adalah hak Allah. Tanggong jawab kita untuk berusaha sedaya upaya, dengan Rahmaynya semata-mata.



...

Saturday, October 1, 2011

DIMANA ANAK KU






Ini kakak saya sakit terlantar di rumahnya di Kota Tinggi. Saya rakam gambar ini di perayaan bulan Syawal yang baru lepas.  Ia di jaga oleh seorang pembantu  warga asing kerana anak-anak semuanya sibuk dengan tugas kerjaya yang tidak nampak bila akan reda kesibukannya. Dalam hal biasa Allah mengurnia masa 24 jam bagi semua. Maka sempat atau tidak sempat tidak boleh disebabkan kerana kesibukan kita dan kita tidak cukup masa. Tiadanya kesempatan adalah kerana  kita tidak meletakan  aktiviti mera'i ibu itu sebagai aktiviti yang harus diberi keutamaan. Maka mudah sahaja kita mempertahankan diri dengan mengatakan kita tidak kesempatan.

Kakak saya ada 3 orang anak kandung dan seorang anak angkat. Namun ia tidak pernah mengatakan yang seorang itu anak angkat kerana padanya kasih sayangnya tidak berbelah bagi. Ia mengangkat anak itu sejurus selepas ia dilahirkan dan kesemua proses persekolahan dan lainnya tidak mengira pertalian darah. Tetapi saya perhatikan kakak saya ini Allah uji dengan kasih anak. Seorang anaknya hampir tidak peduli dengan emaknya. Menziarahi sakit seperti orang biasa menziarahi temannya. Tidak tidur bermalam, dan tidak sampai sehari pun dan itu pun hanya sekali  dua sejak kakak saya jatuh sakit yang serious hampir dua tahun yang lalu. Ia tinggal lingkungan 50 kilometer sahaja. Hari Raya tidak pulang langsung. Kasihan saya pada anak ini kerana Allah beri peluang jalan pintas masuk syurga tetapi diabaikannya. Allah berjanji surga itu ditapak kaki ibu (dan bapa) dan jika anak-anak menjaga kedua orang tuanya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang, maka Allah janjikan Syurga. Semoga anak-anaknya dan cucunya ada membaca blog saya ini dan akan terbuka hati untuk mengambil peluang akan janji Allah itu.

Semoga mereka juga membaca alQuran Surah Al Israk , ayat 23 yang bermaksud:
"Dan Tuhan mu telah memerintahkan dan mewajibkan supaya kamu mengesakan DIA semata dalam beribadah dan Dia menyuruh supaya berbuat baik dengan kedua ibu bapa, terutamanya ketika keduanya telah berumur lanjut, janganlah kamu merasa bosan dan susah terhadap sesuatu yang kamu lihat dari keduanya dan janganlah kamu mengatakan "UF" iaitu perkataan buruk yang paling rendah tingkatnya dan janglah kamu melakukan perbuatan jahat, tetapi pergaulilah keduanya dengan lemah lembut dan katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Kakak saya bersedih tetapi saya selalu memujuk hatinya dengan mengatakan kita ada Allah, dan kebergantungan kita adalah pada NYA sahaja. Anak angkatnya pun seperti biasa-biasa sahaja. Tidak menampakan kesungguhan merawat emaknya yang telah mengasuhnya hingga berjaya dalam persekolahannya dan menjadi pendidik bangsa di sekolah. Saya selalu bertanyakan pada pembantu sama ada anak-anak sering BERULIT dengan ibunya. Ia hanya senyum. Tidak mahu bercerita. Tidak bercerita saya kira itu suatu yang tidah indah ceritanya. Saya diam sahaja dan tidak bertanya lagi. Saya hanya mampu berdoa di akhir-akhir hayatnya ini Allah kurnia keselesaan dan keredhaan, penuh dengan kasih sayang dan Rahmatnya.

Tidak ada manuasia yang sempurna dan pastinya sebagai manusia biasa kita semua ada kelemahan dan kekurangan. Kakak saya pun begitu juga. Tetapi anak-anak tidak boleh melihat kelemahan ibu sebaga senjata untuk tidak memperdulikan keselesaan hatinya dan hidupnya. Kasih pada ibu dan ayah tidak bersyarat. Kalau mereka bukan Islam sekalipun, tanggong jawab kita padanya tidak berubah, melainkan  atas hal-hal yang syarie.

Saya menulis perihal ini dengan penuh kesedaran bahawa semua kita, termasuk saya,  tidak kalis masaalah seperti ini. Sama-sama kita berdoa  semoga Allah memberi petunjuk kepada semua kita supaya beringat-ingat  akan kewajipan kita. Semoga Allah mengampuni segala dosa, kelemahan dan kekurangan dan semua kita mendapat rahmatNya yang tidak terhingga. Ameen.


...

Friday, September 30, 2011

MINDA DIUMUR SENJA

Senja di Lebuhraya dari Johor ke Utara

Perjalanan hidup di waktu senja sungguh nyaman dilihat dari luaran. Hakikatnya hanya sendiri yang tahu dan hanya Allah yang berhak menilai. Di bawah ini saya catat pemerhatian saya yang sekilas pandang menenai PERJALANAN MINDA DIUMUR SENJA. Bilangan yang  saya perhati adalah tersangat rambang dan pastinya ia menjadi kurang tepat. Saya catat semata-mata  untuk fikir-fikir sahaja.
Gambar-gambar yang saya paparkan di bawah ini adalah gambar hiasan,dan tiada kena mengena dengan penulisan saya. Semoga maklum jua.

 .






Antara wajah-wajah sahabat diumur senja. 
Saya rakam dalam majlis silaturrahim Syawal 1432/2011.
Tajaan Tuan Hj Saadulah di Hotel Singgahsana PJ.
.........

Minda diumur senja berbagai rupa.
Yang aktif ada, yang telah mula lupa-lupa pun ramai juga.
Ada yang sentiasa ke Masjid berdoa semoga baki hidup ini selesa, bahagia,
Tenang menanti giliran seperti yang dijajikan oleh yang maha Esa.

Yang masih sibuk di rumah sahaja pun boleh diduga fikirannya
Masih mahu menyusun jadual harian seperti muda sediakala
Mahu bersantai kerana badan masih sihat harta pun ada
Kenapa mesti asyik mengingat mati, itu sikap "fatalistic" katanya

Fikirannya masih seperti mereka yang mempengaruhi mindanya ketika muda,
Jarang sekali ke majlis ilmu, dulu, sekarang dan mungkin selamanya.
Tidak menyedari hidup ini mati akhirnya, bila-bila masa sahaja
Mereka menyangka jika tidak memikir mati, maka mati itu boleh ditunda

Ke padang golf dan ke club house masih dalam  ingatan sentiasa
Bukan tak boleh...boleh, tetapi biarlah berpada -pada
Ibadah yang lain janganlah terpinggir kerana kita kesuntukan masa
Takut bila dipanggil untuk ke Sana kita belum bersedia

Waktu di rumah relax dan santai pun biar berpada
Tak perlu lagi menonton drama yang tiada faedah untuk umur senja
Berkejaranlah menambah ilmu dan beramalah supaya tidak kecewa
Lantaran ibadahnya hanya solat, puasa dan  membaca Yaa Sin dan tahlil sekali sekala

Ada yang sibuk saban hari mengikuti Ustaz mencari ilmu di sini sana
Rasa penyesalan yang tidak terkira kerana dahulunya tidak yakin ia berguna
Hinggalah ibu-bapa yang lanjut usia terbiar di rumah dengan bibik sahaja
Hingga lewat petang baru pulang kepenatan dan tidaklah bersembang dengannya

Ada juga yang beringat,  lalu dari muda lagi sudah mula bersedia
Hidup ini sementara dan malaikat Izrael akan tiba tak tentu bila
Masanya tertumpu pada ibadah dan berbakti sesama manusia tidak mengira masa
Harta yang ada diinfakkan, tinggal sedikit sahaja untuk diri dan warisnya


Yang dahulunya suka berpolitik kini tidak aktif dan dikira  bersara
Tetapi mindanya tetap tebal dengan kefahaman yang diikuti dahulu kala
Kalau fahaman itu betul, insyaAllah bahagialah ia di dunia dan juga di sana
Jika tersasar dan tidak mahu muhasabah, maka dikhuatiri menerima bencana.

Ada yang aktif dalam kerja kebajikan, alhamdulilah semoga amal bakti diterima
Ikhlas berkhidmat pastinya ganjaran berganda-ganda
Tetapi kekadang ada yang masih terperangkap dengan fikiran lama
Ikut prosidur kerja seperti dahulu tanpa mahu mengubah cara

Di umur senja sewajarnya tidak lagi terikat dengan tata kerja yang mengikat minda
Harus berani berbuat sesuatu asal sahaja prinsip Quran dan Hadith terjaga
Berani kerana benar dan semangat perjuangan harus ada
Bukan semata-mata mahu mengisi masa takut dikata: dengan masyarakat tidak mesra

Mohon maaf corat-coret ini berhenti di sini sahaja
Takut terlanjur fikir Allah pasti tidak suka
Tujuan coretan untuk pesanan pada diri jangan lihat yang tiada
Allah maha bijaksana, pasti ada perancangan bagi yang belum berusaha

Sama-sama doa dipanjatkan saban hari saban masa
Allah maha pengampun dan semoga terhapus bersih segala dosa
Jangan melihat hidup ini kita akan terus berkuasa
Alam Barzah menanti semoga Allah mengasihani, meredhai jua.


....


Tuesday, September 27, 2011

DILEMMA SEORANG TEMAN







Tiada siapa yang  sempurna melainkan Nabi kita Muhamad saw. Tetapi kita boleh berusaha mencari kesempurnaan iaitu menjadi manusia sempurna sebaik mungkin. Untuk menjadi sempurna, kita harus bermula dengan mencari ilmu.Itu pesan Ustaz saya.

Tetapi  apa yang saya ingin kongsikan di sini  bukan proses mencari ilmu, justeru kesempurnaan. Saya ingin kongsikan di sini ialah merenungi  sikap seorang teman yang  ia  seperti  merasakan  sudah mempunyi ilmu yang mencukupi untuk dikira sempurna.  Sekali imbas itu pemerhatian saya. Atau mungkin juga ia rasa belum sempurna tetapi merasakan ia masih banyak masa untuk mencapai kesempurnaan. Tetapi mungkin juga ia rasa tidak sempurna tetapi merasakan dirinya sudah berbuat amalan baik yang banyak yang boleh  mengimbangi  amalan yang tidak sempurna itu. Dengan lain perkataan ia beranggapan nanti bila dihisab ia sepertinya yakin timbangan berat pada amalan yang baik boleh menampung   timbangan ringan  amalan yang tidak baik itu. Saya rasa ini kurang tepat. Ustaz saya mengatakan, kita  masuk Syurga bukan kerana amalan baik kita melebihi amalan tidak baik. Kita ke Syurga kerana kita tidak berdosa atau pun kita berdosa tetapi dosa-dosa kita sudah dibersihkan. Ini bererti amalan yang buruk itu mesti dicucikan dahulu di Neraka, barulah kita ke Syurga. Atau pun kita bertaubat dan Allah terima taubat kita. Maka kita masuk Syurga. Itu pun sebenarnya dengan Rahmat Allah semata-mata. Maka kita harus memahami konsep Hisab itu sepenuhnya. Sebab itu doa kita ialah: Ya Allah kurniakan bagi ku kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan jauhkan aku dari api neraka.

Alkisah, teman saya  ini dahulunya sekerja dengan saya (perempuan) yang  kini hidup berseorangan kerana ia memilih untuk tidak berumah tangga. Selepas bersara ia berkerja secara kontrak dengan sebuah syarikat swasta yang berkaitan dengan kesihatan diri. Dia seorang pakar makanan dan pemakanan (nutritionist)  maka kerja di swasta mudah sekali. Semasa ia berkerja saya bertanyakan bagaimana  solat di pejabat. Dengan mudah juga ia mengakui bahawa dia tidak solat zohor, asar dan maghrib kerana selalu pulang lewat dari pejabat. Katanya tidak ada tempat sesuai di pejabat kerana majikannya bukan Islam. Adiknya pernah mengatakan pada saya bahawa jika dalam perjalanan musafir juga ia tidak bersolat. Katanya semua solat boleh diqadhakan. Saya katakan padanya pendapat itu kurang tepat. Ia tidak bersetuju dengan saya kerana itu sudah diajarkan oleh bapanya dari semasa remaja lagi. Bapanya adalah seorang imam di kampung dalam tahun limapuluhan. Ia merasai itu sudah mencukupi. Bila saya mengajaknya ke majlis ilmu, ia senyum sahaja tetapi tidak mengatakan setuju atau tidak. Teman saya ini sekarang berumur 77 tahun dan hanya bergaul silaturrahim dengan adik beradik dan teman-teman bukan Islam.

Harta peninggalan ibu-bapanya agak lumayan juga  dan saya rayu agar harta yang banyak itu diinfakkan  pada sekolah agama rakyat yang dhaif atau apa jua yang seperti dengannya. Ia senyum lagi dengan air muka yang memberi erti ia tidak setuju. Ia tidak berminat  kerana katanya tempat-tempat seperti itu tidak pandai mengurus kewangan dengan bijak. Maka ia  telah menderamakan sebahaginnya kepada sebuah hospital swsata yang bertunggakan agama Nasrani. Ia lebih yakin itu lebih munafaatnya. Saya terdiam, terkaku untuk berhujah panjang lebar. Mungkin kerana ia jauh lebih tua dari saya.

Bila saya menzirahinya dari masa kemasa untuk  silaturrahim dan ingat mengingati akan masa hadapan yang tinggal sedikit ini, ia tidak memberi saya kesempatan untuk berbicara mengenai hal-hal dakwah. Ia terus bercerita tentang pengalaman kerjanya  yang dahulu dan mengenai keluarga dan sanak saudaranya yang mencapai kejayaan dalam hidup. Saya amat tidak selesa dan kecewa dengan diri sendiri kerana tidak ada upaya menegur pendapatnya.

Saya  rasa khuatir saya dikira belum menjalankan tanggong jawab saya sebagai sahabat yang semasa berkerja dahulu saya amat rapat dengannya. Suatu masa dahulu saya membuat keputusan untuk menziarahinya hanya  jika saya tahu dia kurang sihat. Tetapi saya khuatir  tindakan saya ini tidak betul. Namun saya mendoakan supaya saya sendiri Allah tingkatkan Iman dan Taqwa dan mempunyai kekuatan untuk membantunya kerana saya amat khuatir sasaran hidupnya kurang tepat.

Beberapa hari yang lalu saya menziarahinya untuk "berhari Raya" dan mohon maaf atas segala kesalahan. Saya dapati ia kurang sihat dan saya dapati  juga dia agak risau kerana tiada pembantu rumah yang sesuai dengannya. Saya diberi tahu bahawa pembantu dari Kampuchea tidak sebaik yang dari Indonesia, Itu pengalamanya. Maka selalu sahaja ia berurusan dengan pihak Immigresen untuk mendapatkan seseorang yang sesuai. Saya simpati dengannya. Saya merasakan  emosinya seperti kurang setabil.  Saya terfikir fikir mengapa Allah tidak memudahkan urusannya. Saya takut untuk berkata apa-apa kerana saya sendiri pun tidak sempurna dan  sering bermasaalah. Cuma saya mengharapkan dia mahu pergi ke majlis ilmu dan bersilaturrahim dengan teman-teman yang beragama Islam.

Saya mencatat perihal di atas dengan kesedaran bahawa hanya Allah yang berhak menilai diri seseorang itu. Allah yang maha mengetahui, maha bijaksana, maha adil dan maha mengasihani. Saya hanya insan kerdil yang banyak kekurangan dan kelemahan.

Saya  seperti dalam dilemma cara apa saya harus ambil untuk mendapatkan munafaat bersama dalam hubungan persahabatan kami. Saya hanya mampu berdoa.

Ya Allah aku mohon keampunan dan redha Mu. Dan limpahkanlah keredhaan Mu pada ku dan padanya jua.
Ameen.


...

Friday, September 23, 2011

TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN.....




Antara tugas saya diumur senja ini ialah menghayun buaian cucu, membantu mengasuh mengikut masa yang terluang dan kemampuan tenaga yang ada. Alhamdulilah Allah masih kurnia kekuatan untuk membantu buat masa ini. Tetapi hingga setakat mana, tidak akan saya ketahui. Yang pastinya besar kemungkinan saya tidak sempat melihat cucu ini ke umur remaja. Tetapi itu  semua adalah ketentuan Allah.

Di zaman ini saya rasa orang atau ibu yang menghayun buaian seperti saya ini hampir pupus. Sekarang ini ada yang telah menggunakan kuasa letrik. Ada yang menepuk-nepuk bayi hingga tidur, dan berbagai cara lagi.

Jika amalan menidurkan bayi dibuaian sudah hapir tidak berlaku lagi, maka saya ingin bertanya sama ada pepatah Inggeris yang mengatakan : THE HAND THAT ROCKS THE CRADLE, RULES THE WORLD, boleh diguna pakai buat hari ini.  Apakah ertinya sekarang. Sambil menghayun buaian biasanya kita mendodoikan bayi dengan zikrullah yang mudah-mudah, syair orang-orang tua yang mendidik hati atau  dengan nasyid yang bersesuaian. Saya kurang pasti semua ini makin hari makin juga pupus.

Kebelakangan ini pula sudah ada program TV yang ditaja ASTRO, Baby TV, saluran 618. Pengasuh anak saya suka meletakan cucu saya dihadapan program ini kerana katanya musik yang dialunkan menggamit ketenanagan jiwa baby dan ia mudah tidur.  Anak saya yang lain pun kata begitu. Anak-anaknya  diperingkat 'toddler' pun mudah direhatkan dan mudah tidur..Mereka mudah menikmati muzik yang dialunkan, mudah bertenang dan mudah juga tidur waktu malam. Saya terdiam. Bagaimana mahu membuktikan  kesahihannya.  Yang pasti pada saya ialah pengaruh ibu yang membentuk peribadi bayi dan ana-anak kecil makin berkurangan. Tidak seperti dahulu. BIBIK memainkan peranan yang terpaksa diterima. Saya terfikir-fikir. Bagaimana mahu mengembalikan peranan ibu sepenuhnya dalam mengasuh dan mendidik anak-anak.

Waktu dahulu (dalam 15-20 tahun yang lalu)  kerjasama keluarga besar, seperti ibu mertua, mak saudara dan sebagainya mudah diperolehi dan bantuan tidak menjadi masaalah besar. Maka jalinan kasih sayang masih tulin berbanding dengan jalinan kasih sayang seorang BIBIK. Fikirkan.

Saya tanya pada anak saya : "Does it help or does it hurt?". Dia senyum tanpa jawapan. Sudahkan ada kajian mengenai kesan Baby TV kepada pembesaran bayi dari segi pembangunan minda dan emosi. Kita sudah sogokkan TV dari umurnya beberapa bulan. Mungkinkah ini akan membawa kesan negatif atas kebolehan ia berkomunikasi dengan ibu dan ahli keluarga yang lainnya. Saya bingung dan khuatir.

Semoga ada orang yang boleh meyakinkan saya bahawa Baby TV ini tidak memberi kesan negatif.

Pada pemerhatian saya bukan ini sahaja yang menjadi masaalah dalam hal membesarkan dan mengasuh anak-anak.  Ibu-ibu terlalu sibuk dan ramai yang jarang-jarang sekali dapat memasak untuk anak-anak da bercerita-cerita dengan anak-anak. Semuanya diserah pada Bibik. Ini bermakna apa yang orang-orang tua kata bahawa "Air tangan Ibu" itu membawa berkat sudah hampir tidak wujud lagi. Saya rasa sedih. Jalinan kasih sayang ibu yang tulin semakin luntur. Mungkin ini adalah salah satu sebab anak-anak tidak rapat dengan ibu-bapa. Masa lapangnya di habiskan di hadapan TV atau di hadapan iPod, Galaxy dan berbagai lagi. Teknologi pada saya menjadi faktor besar yang menghakis kasih sayang. Dengan sistem perbankan yang modern ini pun telah menyebabkan anak-anak remaja tidak perlu berhadapan dengan ibu-bapa. Semuanya dikuasai teknologi  dan pemberian belamja sekolah dan lain-lain perbelanjaan lagi dibuat lalu sms dan lalu bank yang makin hari makin canggih. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan masyarakat 10 tahun akan datang dan seterusnya sebelum hari Qiamat.

Semoga Allah memelihara generasi akan datang  dan  mereka tidak hilang kebergantungan pada Allah. Semoga minda  dan jiwa mereka terpelihara. Semoga masih ada yang punya kesedaran dan kemampuan untuk berdakwah mengikut perkembangan pemikiran dan teknologi yang akan berubah-ubah berterusan. Semoga akhirnya Allah meredhai.


.....

Wednesday, September 21, 2011

BERKONGSI KHIDMAT IMAM - RUGIKAH ?..................






Kelmarin dulu saya menghadiri Mesyuarat Agong Tahunan masjid tempat saya tinggal. Mesyuarat seperti itu adalah arahan JAIS katanya. Saya pergi semoga dapat memberi pandangan terutamanya atas soal pemilihan Imam  dan pemilihan penceramah yang berjadual. Ada teman yang mengatakan supaya kita muslimah ikutlah sahaja. Biar Jawatankuasa Masjid yang menentukan. Saya akur. Tetapi bila sudah mula berbincang  saya menjadi tidak akur kerana  saya rasa ada sesuatu yang saya perlu kongsikan. Tambahan pula muslimah juga perlu tahu dan perlu rasa selesa dengan Imam yang kita ikut menjadi makmum.



Sebahagian ahli qariah yang hadir pada 18 september 2011.

Kami dimaklumkan bahawa ketika ini di Lembah Kelang sukar untuk mendapatkan Imam yang baik prestasinya dan  yang mahu berkhidmat lama di sesebuah Masjid. Ini adalah kerana gaji dan elaun tidak memadai dengan kos sara hidup. Maka makin hari hal ini makin mencabar kesetiaan. Mereka perlu mencari peluang kerjaya yang lebih menjamin masa depan hidup di Lembah Kelang ini. Di masjid saya itu,  perlantikan Imam adalah melalui pengiklanan kekosongan jawatan dan proses temuduga. Kebelakangan ini kami dimaklumkan bahawa sambutan tidak menggalakan dan yang tampil untuk ditemuduga didapati prestasinya  agak jauh dari kriterior yang ditetapkan.

Maka saya mencadangkan agar ahli Jawatankuasa pergi  "merisik"  calon-calon yang berwibawa yang dikenal pasti melalui "networking" kalangan AJK masjid yang lain atau kalangan mana jua pihak yang berkaitan dan berkepentingan dengan perlantikan Imam. Dengan cara ini mungkin kita boleh mendapat calon yang memuaskan hati semua pihak. Kami dimaklumkan cara ini boleh dibuat tetapi calon-calon yang baik meminta imbuhan yang setaraf dengan kerjaya profession yang  lain. Selain dari itu mereka juga akan selalu meminta kebenaran keluar masjid untuk tugasan "persendirian" yang lain. Maka ini bererti Masjid yang membayar gajinya akan kerugian kerana Imam asyik  bertugasan diluar. Tugasan ini adalah seperti menjadi Imam di tempat lain secara jemputan khas (ad hoc)  atau memberi ceramak khas atau sebagainya di mana ia boleh memunafaatkan ilmu yang ada mengikut kepintaran dan keterampilan istimewa yang ada padanya untuk kebaikan jemaah yang lain pula.

Fenomena seperti ini biasanya tidak dipersetujui oleh AJK yang melantiknya kerana merasa rugi Masjid yang melatik tidak mendapat perkhidmatan yang sepenuhnya. Kebaikannya  dan keuntungannya hanya pada Imam itu sahaja. Rata-rata inilah pendapat AJK.

Maka di sini saya ingin bertanya.  Rugikah kita jika kita berkongsi Imam  dengan qariah lain  dan jemaah lain yang ingin menimba pengalaman baru dan mendapat ilmu yang boleh meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka.

Saya berpendapat tidak rugi sama sekali jika kita berfikiran terbuka dan bersikap suka berkongsi apa jua yang boleh dimunafaatkan bersama. Suka memberi adalah budaya hidup yang baik dan amat dituntut dalam Islam.. Memberi bererti berkongsi. Saya percaya dan amat yakin bahawa mereka yang menyumbang untuk sama-sama membayar gajinya tidak akan  rugi dan usaha mereka tidak akan sia-sia  kerana khidmat Imam itu di munafaatkan  pada saudara Islam kita yang lainnya. Kita mahu melihat kesejahteraan ummah, bukan kesejahteraan persendirian atau kelompok sahaja. Kekuatan Islam adalah terletak pada kekuatan bersama. Bersatu kita teguh. Perkongsian adalah satu petunjuk kekuatan.. Islam tidak menggalakan sifat individualistik.Ukhuwah Islamiah yang kita cari-cari.

Kiran ganjaraan Allah kurnia pada hambanya bukan seperti kiraan keuntungan dari manusia kepada manusia. Kalau kita ada 5 barang, dan 3 kita beri pada orang lain maka pada kita tinggal 2 sahaja. Ustaz kata dalam Islam 5 dibahagi pada dua jawabnya sepuluh. Fikirkan.

Isu seperti ini boleh diatasi dan boleh dimurnikan dengan sesebuah Masjid itu melatik 3 atau 4 orang Imam yang boleh bergilir ganti membuat tugasan. Dengan cara ini saya yakin kita boleh mendapat khidmat Imam yang baik dan Imam yang baik itu boleh melatih dan membimbing Imam yang belum dapat mencapai potensi baiknya sepenuhnya. Dengan cara ini kita dapat juga merasa kehabatan Imam yang baik. Kalau masaalah kewanan yang dihadapi, maka seharusnya kita menambah usaha bagaimana mahu meningkatkan dana masjid untuk pembayaran gaji. Saya rasa cara ini harus dicuba dahulu sebelum mengatakan tidak mungkin dapat menambah Dana kerana ahli qariah adalah seperti yang ada. Saya berpendapat belum usaha belum tahu. Jangan terlalu  mudah mengambil keputusan yang singkat jangkaan. Kalau niat kita baik Allah akan aturkan dan kurniakan yang terbaik. Cuma ada kalanya kita tidak dapat melihat kebaikan itu serta merta.

Maka kita harus mengubah strategy pemilihan  dan perlantikan Imam supaya mencapai situasi "menang-menang". Tidak rugi berkongsi khidmat Imam. Lihat sahaja Imam Masjid Haram di Makkah dan Madinah. Mereka pun mendapat jemputan di luar termasuk negara asing. Kalau kita ikut prinsip itu saya rasa semua pihak akan lebih berpuas hati dan  kita dapat menepati objektif  besar umat Islam, iaitu Semua untuk Satu, Satu untuk Semua. Kesenagan apa jua seharusnya dikongsikan sesama Islam. Barulah orang Islam boleh merentas segala masaalah yang ada. Konsep Ibadah dalam Islam amat luas. Islam telah mengajar kita untuk membuat anjakan dalam penyelesaian masaalah.

Semoga Allah mengurniakan pertolongan atas keikhlasan kita untuk berkongsi apa jua yang wajar dalam hidup kita dan dalam Ibadah kita. Biarlah semua umat Islam sejahtera. Kita bersaudara.

Sunday, September 18, 2011

KENAPA CUMA TULIS-TULIS, CAKAP-CAKAP, TAPI..........



Hanya fikir-fikir di hati sendiri....................

Dalam banyak hal rakyat Malaysia tak puas hati,
Tak suka GLC, tak suka menteri, entah apa lagi.
Tapi hanya setakat cakap-cakap kat kafe kopi
Atau masa sarapan orang pencen lepas geram di hati

Pegawai kerajaan hanya pandai sign surat, takut kena berhenti
Atau takut turun pangkat atau ditarik gelaran diri
Katanya kami yang menurut perintah, tak boleh buat suka hati
Nak berhenti kerja siapa pulak nak tawar gaji.

Menteri - menteri penyokong pun senanglah hati
Sebab ramai burokrat dan teknokrat sama-sama kering hati
Ikut sahaja apa karenah dan kata menteri
Walaupun tahu rakyat rasa perit pedih ibarat hidup berpijakan duri

Tak ingatkah gaji mereka itu rakyat yang kasi
Kenapa derita mereka tidak di ambil peduli.
Anak-anak berkeliaran, ada yang tidur di jalanan hingga ke pagi
Jangankan ke sekolah, makan harian kekadang mencuri

Pembangkang pulak asik cakap tak berhenti-henti
Tak berani jentik , tak berani pukul takut kena gari
Orang macam saya pun cuma pandai komplain, tak berani tunjuk diri
Bising di belakang, di depan kalu, senyum lebar tunjuk gigi

Ulamak pun cuma nasihat, tapi tak tegas hingga berani mati.
Katanya jangan sampai berbunuh sesama sendiri
Ambil jalan pertengahan moga Allah berkati,
Maka sukalah hati depa kerana boleh terus membohongi, mengkhianati.

Kasihan kat orang kampung di pinggiran kali,
Yang di kota merempat, tiada yang bela, tiada yang memberi.
Sekadar mampu mengharap dari yang sesama miskin setiap hari
Kerana yang kaya raya tak pernah turun melihat pedih perit disakiti

Di mana dia  ketua pemerintah yang sering berjanji
Jangan bimbang,Malaysia kaya; petrol ada, sawit ada, dan banyak lagi
Rakyat di dahulukan hanya pada cakap tidak ada erti
Setiap hari harapan makin tipis untuk terus berdikari.

Rakyat sabar kerana menyangka  kemungkaran belum menjadi-jadi
Kemiskinan pun belum keperingkat kebuluran hingga mati
Anak-anak jalanan pun masih sedikit masih boleh diperhati
Negara tiada bencana teruk, lalu rakyat terus bersantai dibuai mimpi

Semoga akan lahir pejuang pembela bangsa yang dinanti-nanti
Berkat doa yang  berani berusaha, Mukmin yang ikhlas hati
Pasti yang tidak amanah, suka rasuah akan Allah singkir jauh ke tepi
Hingga Sakaratul maut hampir, pun mereka belum menyedari.

Ya Allah! ampunilah kami, tolonglah kami
Jalan yang lurus yang Engkau redha tolong tunjuki
Kurnialah pemimpin untuk kami yang mukhsin yang mahu berbakti
Berkorban untuk rakyat dan bukan untuk perut dan nafsu sendiri

Ya Allah, Ya Tuhan kami...........

.............................................................................................
Related Posts with Thumbnails