"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Monday, March 10, 2014
Duka.....sama dirasai.
Hingga saat ini saya belum mendengar berita pesawat MH370 di jumpai. Doa saya semoga Allah permudahkan bagi semua pihak.
Tidak tahu bila tragedy ini akan berkesudahan. Dan kita tidak tahu apa hikmahnya. Bukan suatu yang mudah mengenali hikmah sesuatu tragedy yang menimpa diri kita atau keluarga kita atau negara kita. Ia memerlukan kesungguhan dalam muhasabah diri dengan fikiran yang luar dari biasa, ikhlas mencari kesilapan yang menyebabkan sesuatu itu berlaku walaupun kita tahu jika Allah menghendaki, tragedy akan berlaku tanpa isyarat dan tanpa syarat. Subhanallah. Hanya Dia yang maha mengetahui, maha adil, maha bijaksana.
Setiap orang Allah uji dengan berbagai ujian. Untuk memahami erti ujian kita harus ada ilmu kerana ujian berpaksikan hakikat memahami Tauhid. Maka kita harus terus mencari ilmu dan melihat di sekeliling kita erti kekuasaan Allah swt. Pada mereka yang Allah pinjamkan kuasa, mengertilah bahawa kuasa itu adalah satu amanah, satu amanah yang amat besar. Maka dengan kejadian ini kita sama-sama berfikir sama ada amanah itu sudah dilaksana sebaik mungkin. Orang yang memegang kuasa harus memerikasa diri dan yang tidak memegang kuasa harus menasihati.
Yang tidak dalam arena yang bolih menasihati secara terus, sekurang-kurangnya kita menasihati diri dan menasihati mereka yang hampir dengan kita supaya beringat akan tanggong jawab apabila Allah izin memegang kuasa.
Itu sahaja yang ingin saya kongsiakan dalam suasana yang menyedihkan bukan sahaja atas mereka yang terlibat secara langsung tetapi pada semua kerana ini menyentuh kewibawaan negara.
Jika tidak dapat diselamatkan semoga mangsa yang beriman Allah kurnia keampunan dan ruhnya ditempatkan dengan para siddiqin dan solihin. Pada yang lain hanya Allah yang maha berkuasa ke atas mereka.
Bagi kami yang menanti-nanti, semoga Allah ampunkan juga segala dosa kerana ajal dan maut bolih tiba bila-bila masa sahaja, tiada sesaat cepat dan tidak sesaat lambat.
Mohon keampunan Mu ya Rabb...
....
Friday, March 7, 2014
"Magical beauty...".
Another picture sent to me via WhatsApp.
It is magical beauty embedded deep in my heart .... Allah's creation beyond my imagination and comprehension. His knowledge Most High.
...
Thursday, March 6, 2014
Melihat ke atas...
Apabila dikata melihat ke atas, biasanya kita bermaksud melihat kekuasaan Allah swt, tanpa menjejas hakikat bahawa Allah tidak bertempat dan bermasa. Secara fisikal kita jarang mahu melihat ke atas kerana sememangnya ia kurang selesa bagi tengkok atau leher kita. Sejak saya mengikuti program Tai-Chi, terutamaanya dengan kumpulan wanita MCA, saya cuba biasakan melihat ke atas. Ia membantu kita mensetabilkan keseimbangan dirian kita supaya tidak mudah pening dan mudah jatuh. Maka melihat keatas ada fungsi zahir dan ada fungsi batin.
Hari ini saya pandang keatas dan senyum sendirian kerana walaupun saya dapat mengimbangi diri, tetapi saya kurang kecekapan mengawal response pada perilaku saya, khususnya gerakan jejari saya. Dengan sebab itu hari ini saya tersilap delete entry yang saya tulis mengenai aktivi renanag di Tadika SmarTop saya. Entry itu hampir siap dan saya rasa agak kecewa saya gagal menyudahkannya. Hampir sejam saya menulisnya.
Seorang staf Tadika yang membantu saya dan saya amat rapat dengannya seperti seorang anak, telah mentertawakan saya. Saya renung dia dengan tajam seolah-olah marah, tetapi kemudian saya tertawa sama. Saya tidak IT savy. Eluklah saya bertenang, bangun dari duduk dan pergi solat dhuha kerana kebetulan saya belum solat.
Usai solat saya menulis entry ini. Kenapa perlu rasa kecewa dan rasa kerugian masa ? Kesilapan boleh berlaku bila-bila masa dan pada siapa jua. Kita hanya perlu berhati-hati dan mohon doa semoga Allah memudahkan. Itu kata hati kecil saya, mahu meyakinkan diri dan mahu mahu mengingatkan diri bahawa kita semua ada saat-saat yang kita tidak dapat kawal perbuatan kita. Itu kelemahan fitrah, sebab itu ustaz pernah kata jangan suka mendabek diri atas kebolehan atau kepandaian kita. Kalau Allah tidak izin dan menghendaki, tidak mungkin sesuatu akan berlaku.
Subhanallah.
Ia kecil tetapi ia bukti nyata Allah maha berkuasa atas segala sesuatu. Itu sahaja yang saya ingin kongsikan.
Lihat keatas dan lihat kebesaran Allah.
Mohon keampunan Mu ya Rabb...
...
Wednesday, March 5, 2014
Tuesday, March 4, 2014
Ku Tunggu-tunggu....
Ku tunggu-tunggu........
Semoga langit kelabu bertukar biru
Semoga keriangan kembali di hati-hati agar tidak keliru
Peringatan Ilahi jangan di ambil ringan
Kemarau panjang, tiada hujan kerana manusia tidak lagi mengawal nafsu keinginan
Mahu berbuat apa sahaja kerana taksub meraih keuntungan
Bukan untuk kemanusiaan
Tetapi untuk diri penuh keghairahan tanpa sempadan
Hari ini untuk ku !
Bisik hati yang haluba membuat bicara teman jadi kelu
Aku ada kemampuan ada kekuatan, jangan engkau campur hal diri aku
Kita lihat dan berdoa semoga tiada kesalan yang melanda
Semoga Allah mendengari rintihan hamba-hamba yang bertaubat berserah padaNya,
Allah turunkan hujan kerana air bawa bahagia, hidup sempurna.
Tetapi hati-hati yang engkar membuat Allah murka dan turun bencana.
Insaflah kita....
Masih ada ruang untuk pengabdian tanpa mengira kerugian membantu saudara,
Hidup ini untuk kesejahteraan semua,
Yang engkar kita kongsi Ilmu yang benar, jangan asyik mendabik dada megira harta
Yang lagha kita peringat hidup ini hanya sementara
Kita penuhkan amalan, elakan kemungkaran semoga Allah redha jua.
Ke Syurga Firdaus kita berbondong-bondong dengan RahmatNya tidak terhingga.
Aameen Ya Rabb....
Engkau Tuhan sekian alam dan pada kekuasaan Mu aku menghadap
Melutu sujud memohon keampunan dan maghfirah Mu yang aku harap
Semoga hidup disini sejahtera dan di syurga KasihMu dapat ku gharap.
Bersama yang tersayang kami berdakap melihat wajah Mu ya Rabb
Aameen ya Rabb....
Aameen ya Rabbalalameen...
....
Monday, March 3, 2014
Karenahnya menambat hati....
Malam Sabtu yang baru lepas saya bersetuju untuk "baby-sit" cucu-cucu yang kesemuanya hero-hero belaka di Putrajaya. Dua diantaranya adalah OKU...'orang kelainan upaya'. Itu istilah kini dan saya rasa selesa menggunakannya. Ibunya mahu mera'i teman-teman sepengajian dan memberitahu mereka kini ia sudah berpindah ke presint 15.
Majlis selesai hampir jam 11 malam dan saya merasa lega kerana tugas utama saya ialah menentukan Akif yang otistik tidak keluar rumah dan menghilangkan diri. Saya kena pastikan juga Huzaifah tidak terlalu aktif dan mengganggu keharmonian perjalanan majlis. Saya sentiasa cemas kerana Akif kadang-kalanya ada kebolihan McGyvor mencari jalan keluar dari tingkap dengan mengecilkan badannya menerobosi grill besi yang dipasang. Dan kemudian dia akan pergi ke tempat yang kita tidak dapat menduga. Masaalahnya dia tidak tahu jalan pulang dan rasa dia tidak perlu pulang. Allahuakbar, itu "kelebihan" anak-anak istimewa.
Saya makan lewat malam itu sementara anak dan menantu saya berkemas rumah sebelum tidur. Bila sampai waktu tidur kesemuanya mahu tidur dengan Tok Ayah. Tidak makan pujuk supaya tidur di bilik biasa. Bilik di bawah itu kecil dan hanya muat secukupnya untuk katil saiz Queen. Huzaifah dan Akif menyembunyikan diri dalam selimut supaya kami ingat nanti mereka sudah naik tidur di atas. Mana mungkin kami tidak tahu helah ini. Asim mengendeng di tepi pintu minta masuk tidur sekali. Rasa kasihan dan rasa kasih istimewa meresap kehati. Maka saya biarkan sahaja mereka bersempit-sempit berebut-rebut memeluk Tok Ayah dan cepat-cepat beraksi seolah-olah sudah tidur. Saya senyum sendirian, bersyukur rupanya itu nikmat kasih sayang yang Allah anugerah untuk dinikmati.
Maka saya mengalah dan membentang toto tidur di bawah sebelah katil. Rasa sejuk meresap dibadan dan diumur senja ini, tidur di atas simin memerlukan pengorbanan. Demi kasih cucu-cucu, dan demi menghayati detik-detik yang mungkin tidak berulang lagi....saya pejamkan mata dan tidur hingga waktu yang saya perlu bangun. Alhamdulilah.
Karenahnya menambat hati....
Keesukan harinya Huzaifah mahu menunjukan kejayaan istimewanya pandai naik basikal dan ayahnya sudah membenarkan dia berbasikal pergi ke kedai sejauh lebih kurang 500 meter.
Baru sahaja mengayuh beberapa depa, sudah putus / terkeluar rantai basikal dari landasannya. Maka cepat-cepat ia cuba membetulkannya kerana ketika kitu saya dan suami sudah bersedia hendak menaiki kereta untuk pulang.
Tidak berjaya dan Tok Ayah harus membantunya. Selesailah dalam masa 3 minit dan kemudian ia bergaya menaiki basikalnya dengan laju di hadapan rumah. Saya seronok melihat gelagat Huzaifah. Tidak seperti anak OKU jika orang biasa yang melihatnya. Oleh kerana ia terlalu aktif dan bermasaalah untuk memfokus perhatian, maka ia mengalami masaalah pembelajaran. Dalam umur 8+ tahun ia masih belum lancar membaca terutamanya jika perkataan itu panjang melibatkan 4 atau lebih suku kata. Semoga minatnya dalam perihal lain dapat membantunya memfokus pada sesuatu yang perlu dilakukan. Anugerah Allah berbeza-beza dan kami melihat dari segi yang positifnya. Ada firman Allah dalam AlQuran yang bermaksud bahawa tiada ciptaan Allah swt yang sia-sia. Subhanallah.... Semoga sessi terepi yang diikutinya dan juga di ikuti oleh Akif dapat membantu keduanya mengatasi masaalah yang di hadapi oleh diri masing-masing. Semoga pertolongan Allah sentiasa dekat dan anak-anak ini mendapat Perlindungan dan Rahmatnya yang tidak terhingga.
Alhamdulilah. Pagi ahad yang riang dan semoga cucu-cucu ini ingat akan peristiwa ini nanti semasa kami sudah tiada. Semoga umur kami dan umur mereka bermunafaat untuk kemanuasiaan dalam mencari redha Allah. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan dan semoga di Syurga firdaus kami bertemu semula.
Aameen, ya Rabb....
....
Saturday, March 1, 2014
Dia tidak pernah cerita......
Bila melihat wanita membanting tulang, saya pasti ingat emak dan kakak-kakak saya. Saya lapan beradik kesemuanya dan hanya seorang sahaja lelaki. Dari kecil lagi saya tinggal bersama mak yang juga menjaga cucu-cucu atas sebab-sebab kesempitan hidup kerana mak dan bapak adalah kaum pendatang.
Bila saya mula bersekolah rendah, saya jarang-jarang mahu bercerita mengenai perihal kehidupan saya sebagai kaum pendatang. Ketika itu rasa malu kerana rakan-rakan sebaya suka mengejek saya katanya 'Jawa makan katak kering". Tidak akan saya lupa peristiwa itu dan lain-lain peristiwa yang mengguris hati. Tetapi bapak dan mak saya berjiwa besar. Dia akan bercerita kehebatan orang pendatang sebagai kumpulan orang yang berani merantau.
Lama kelamaan saya tidak ambil pusing ejekan kawan-kawan saya. Dan saya akan mengejek mereka balik mengatakan mereka penakut. Ada kalanya saya benar-benar mencabar mereka ejek mengejek.
Tetapi bila mula remaja dan bertukar ke sekolah Inggeris, sudah tidak ada yang 'berani' mengejek saya hinggalah saya tamat sekolah dan masuk university.
Apabila memasuki alam kerjaya, saya sudah 'rasa setaraf'. Tidak rasa terpinggir semata-mata kerana saya keturunan pendatang. Selalu pulak saya bercerita dengan teman-teman asal sejarah hidup saya hingga dewasa. Saya tidak lagi rasa malu dengan latar belakang sebagai anak petani atau anak pekebun dan penoreh getah.
Saya percaya sejarah keluarga memberi kekuatan untuk mencapai kejayaan. Dalam pahit manis perjalanan yang tidak menentu, pasti ada sesuatu yang akan memberangsangkan fikiran dan jiwa untuk berdiri tegak menghadap apa jua rintangan yang ada dalam usaha menuju kehadapan.
"History makes a man," kata seorang teman. "Kalau kita tidak mengenal sejarah kita, maka kita tidak akan tahu erti perjuanagan. Kita akan berselindung diri jika bertembong dengan masaalah dan terus mengalah. Maka sebab itu sesebuah negara akan mengkaji dan ada yang mengkaji semula sejarah negara untuk nenar-benar memahami apa yang berlaku diwaktu silam untuk mengenal diri dan mengenal warisan yang boleh dijadikan landasan perjuanagn seterusnya.
Islam mempunyai sejarah gemilang. Tetapi sejarah Islam telah di "putar belitkan" oleh mereka yang berkepentingan. Kehebatan Islam disembunyikan untuk memperkecil jati diri orang-orang Islam.
Aspek sejarah Islam panjang ceritanya. Ada sejarahwan Islam yang bertekad untuk mengenal dan mencari semula fakta-fakta yang sudah dikaburkan. Tetapi saya tidah mampu dan tidak arif sepenuhnya dalam hal ini. Cuma saya mahu mengatakan bahawa diperingkat diri individu, kita tidak boleh melihat sejarah keluarga sebagai suatu yang remeh.
Tidak !
Sejarah keluarga adalah satu kekuatan yang akan mendorong minda dan hati untuk tabah menghadap apa jua pancaroba. Sebab itu Allah memberi tahu kita dalam alQuran bahawa jasad Firaun terpelihara hingga ke zaman ini untuk kajian. Antara hikmahnya ialah memperlihatkan pada manusia maha hebat dan maha besar kewujudan Allah yang maha Satu itu.
Kita mengambil iktibar......menginsafi diri.
Maka saya katakan pada seorang teman bahawa tidak mengapa bercerita asal usul kita. Tidak mengapa kalau ayah atau bapak kita dahulu seorang petani, atau pekebun atau penoreh getah atau apa jua. Tanpa kegigihan mereka, siapalah kita. Itu usaha yang mereka lakukan berlandaskan perintah yang syarie. Maka kita ra'ie ayah atau bapak kita dengan bercerita hebatnya mereka. Kita "hebat" bukan kerana kita memegang jawatan tinggi atau kita kaya raya, atau kita ternama, tetapi kita "hebat" kerana berjiwa kental, redha atas ketentuan Allah dan faham bahawa berusaha itu adalah ibadah.
Dalam kita menceritakan hal keluarga kita terutamanya bapak dan emak kita bagaimana mereka membanting tulang empat kerat mengasuh dan mendidik kita sebenarnya kita bermuhasabah diri dan insyaAllah kita menjadi seseorang yang berani dalam konteks jati diri yang jauh dari sifat berbangga dan mendabek dada. ( Semoga Allah melindungi.) Kita akan mudah rendah hati dan dengan cara itu kita dapat mengeratkan silaturahim dengan siapa jua, tanpa sempadan. Dengan siapa pun kita bersedia menghargai diri-diri itu walau pun kedudukan dalam masyarakat berbezqa-beza kerana sesuatu kebolehan dan kemampuan. Sebenarnya itu pun anugerah Allah dan bukan kepintaran kita.
Kalau kita tidak suka bercerita asal usul kita, seolah-olah kita malu emak bapak kita bukan orang yang berada, jauh sekali orang kenamaan. Maka kalau kita sekarang ini orang kenamaan, dan kita boleh mengakui "our humble beginnings" itu sudah menunjukan antara sikap redha atas segala anugerah Allah. Pepatah Melayu kata: "Tidak hilang Bisa Ular menyusur Akar". Allah maha Mendenar, maha Melihat dan maha Bijaksana.
Walau apa pun ini hanya suatu pandangan. Belum tentu sahihnya.....
Saya terdorong menulis kerana ada seorang kenalan biasa yang hanya menceritakan bahawa ayahnya adalah seorang guru, walhal saya diberi tahu oleh adiknya bahawa ayahnya itu pernah menjadi penoreh getah untuk beberapa ketika sebelum menjadi guru.
WaAllahu'alam apa yang ada dihati kecilnya.
Mengapa perlu saya berfikir-fikir.......
Mohon perlindungan Mu ya Rabb....
...
Subscribe to:
Posts (Atom)

