"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, September 20, 2014

Kemelut cuti-cuti.....




Genap 9 tahun umur Huzaifah. Dia bermasaalah mengingati tarikh lahirnya. Ia cuma ingat September sahaja. Subhanallah. Ciptaan Allah berbagai rupa. Ia istimewa dalam keluarga dan saya bawa ia bercuti bersama Akif yang juga istimewa. Kami menuju ke Sungkai Perak di mana ada resort Air Panas di kawasan FELDA.


Tempat tinggal di Resort untuk memberi kemudahan
 dan kepuasan mandi di air panas pada cucu-cucu.


Di sana Allah pertemukan dengan seorang pengunjung yang suka bersilaturrahim dan kami bercerita-cerita tentang mengapa kami ke Sungkai. MasyaAllah. Rupa-rupanya ia juga punya seorang anak saudara yang istimewa kini sudah berumur 40 tahun. Ia bercerita tentang pengalamannya membantu membesarkan anak istimewa ini yang mempunya sedikit ciri-ciri seperti Ujai dan Akif. Ia juga sangat aktif dan sukar menumpu fokus. Ia seronok dengan cara kami menyantuni dan berhubungan dengan cucu-cucu kami. Sebenarnya kami tidak mampu tanpa pertolongan anak saya dan menantu saya untuk sama-sama mengawasi dan mengendali mereka. Mereka amat aktif dan tidak mengerti bahaya.




Alhamdulilah, mereka enjoy sepenuhnya mandi di kolam yang panas dan juga yang sejuk. Kolam yang sejuk jauh lebih besar dan saya cemas sahaja melihat dari jauh.Tetapi anak lelaki saya cekap ke sana sini mengawal keadaan. Mereka suka memanjat tempat tinggi dan itu yang menakutkan kami jika lalai dari pandangan. 


Kami ceritakan juga bahawa air yang panas itu bolih merebus telur hingga masak. Ujai rasa teruja dan berbagai soalan ditanya. Ini membuka minda kerana di rumah tidak pernah mendapat pengalaman memasak telur sebegini.



Selepas sarapan pagi keesukan harinya kami ke Lumut pula melalui jalan tepi laut. Berdekad kami tidak melalui jalan itu dan sudah banyak perubahan. A..ha... Malaysia berjaya. Saya cuba menarik pemerhatian Ujai dan Akif untuk mengenali apa yang ada disepanjang perjalanan. Memori mereka singkat. Semoga pendedahan seperti ini dapat membina minda dan semoga mereka dapat mengingat semula dengan meningkatnya umur. Ibu bapa semestinya rajin berusaha dan berikhtiar mencari sumber kewangan untuk menghantar anak-anak ke sessi therepy untuk mengatasi masaalah keupayaan mereka. Pihak hospital kerajaan hanya memberi peluang sebulan sekali dan jika kita miss, tidak dapat sessi gantian. Maka kenalah usaha mendapatkan pertolongan Pusat  "special needs learning" swasta. Ia agak mahal yuran pembayarannya. Saya rasa tidak ramai anak-anak biasa yang dapat mengikutinya.



Di Lumut kami tinggal di Marina Cove Resort
 kerana ada kemudahan tempat berenang-renang.






Ujai dan Akif berehat setelah kepenatan. Talipon saya jadi mangsa untuk main "games". Pada saya ini fenomena kurang sihat dari segi pembinaan potensi diri. Tetapi saya hanya mampu "memujuk dan memimpin" cara orang yang tidak terlatih dalam bidang "children with special needs". Semoga Usaha YABerbahagia Datin Sri Rosmah dalam mengendali keperluan PERMATA KURNIA merupakan usaha yang serious dan dapat menampung keperluan anak-anak seperti cucu-cucu saya ini. Saya kurang yakin tetapi tidak berputus asa. Saya berdoa yang terbaik di sisi Allah jua.

Kami pulang hari Jumaat tengah hari dan tiba di rumah lewat petang. Malam itu kami hantar pulang Ujai dan Akif ke rumahnya di Putrajaya. Esusknya Ibu dan ayahnya akan bercuti ke Trengganu pula. Semoga mereka dapat membina potensi diri melalui pendengaran dan pemerhatian dan peyertaan secara terus. Pembelajaran secara tradisional kurang sesuai kerana mereka susah memfokus minda jika mereka tiada minat pada yang benar-benar mereka sukai.

Mohon petunjuk dan pertolongan Mu Ya Rabb.
Engkau maha pengasih dan maha penyayang dan kami mohon Rahmatmu yang tidak terhingga semoga kami sejahtera dunia dan akhirat.
Aamiin ya Rabb....

...

Wednesday, September 17, 2014

Jaga cucu...berbagai pendapat.




Ini cucu sulung saya, Huzaifah (Ujai) namanya. Di sisinya ialah adiknya, Akif panggilan manjanya.

Kedua-duanya adalah anak istimewa.(ADHD dan Otisma). Subhanallah. Jika diperhatikan mata kasar, seperti anak-anak biasa sahaja. Allah maha mengetahui dan maha bijaksana. Kedua-duanya adalah anak perempuan saya. Alhamdulilah. Kami redha atas segala ketentuanNYA. Tiada ciptaan Allah yang sia-sia.

Saya hanya membantu menjaga mereka semasa anak saya berpantang atau dalam ketika-ketika terdesak sahaja. Kekadang di musim cuti kami mengambilnya untuk meringankan tanggongjawab hariannya. Sesetengah teman-teman saya berpendapat dalam umur senja begini, anak-anak tidak seharusnya membebankan atuk dan opah, atau atuk dan nenek atau apa sahaja gelaran untuk menjaga cucu. Pastinya atuk dan opah perlu masa untuk ke masjid dan lain-lain aktiviti sebagai persediaan untuk pulang ke alam kekal. Biasanya aktiviti seperti ini disebut belajar agama, beramal dan beribadah, antara faktor penting untuk bekalan ke sana.

Setengah pendapat mengatakan bahawa dahulu mereka tidak minta tolong emak ayah pun untuk jaga cucu, maka anak-anak sekarang seharusnya berdikari tanpa membebankan ibu bapa terutamanya jika mereka sudah lanjut umur dan ada kepentingan diri yang belum beres.

Saya berpendapat tidak mengapa jaga cucu jika anak-anak tidak mengambil kesempatan sibuk shopping dan bertandang di rumah kekawan dan lambat pulang untuk mengambil mereka. Ada teteman saya yang merunggut kerana di minta jaga cucu walaupun di hujung minggu kerena katanya mereka sibuk "kerja over-time" dan berbagai alasan-alasan lain.

Banyak lagi kontroversi mengenai hal jaga cucu. Ada anak-anak yang tidak menghibur hati ibu-bapa yang menjaga cucu-cucu  dengan menghulur duit "poket" atau duit "jajan" dihujung bulan, walhal mereka mampu berbuat demikian. Saya boleh senaraikan beberapa lagi rungutan, tetapi mencukupi saya katakan bahawa atuk dan opah boleh membantu tetapi jangan samapai mereka rasa terpaksa berbuat demikian. Berusahalah sendiri seberapa yang bolih. Jika atuk dan opah ada pembantu rumah, atau dibekalkan dengan seorang pengasuh, maka itu akan mengurangkan beban atuk dan opah untuk menjaga cucu dari pagi hingga petang.

Sebenarnya dalam hal ini saya berpendapat bahawa erti keluarga adalah meliputi keluarga besar. Seharusnya ada tolak ansur berasaskan prinsip berkeluarga dalam Islam. Sekiranya anak tidak mampu menghantar cucu ke Taman Asuhan kanak-kanak, tidaklah salah atuk dan opah membantu. Cuma jangan mereka terbeban hingga terpakasa mengawasi cucu-cucu sampai lewat malam.

Prinsip utama dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat harus sentiasa berlapang dada, bantu membantu dan saling memberi dalam apa bentuk sekalipun. Aktiviti mencari ilmu, beramal dan beribadah boleh dijalankan serentak. Maka sayugia diingat bahawa kita harus mencari ilmu, beramal dan beribadah dari umur muda lagi, eloknya dari sebelum berumah tangga. Janganlah tunggu umur lewat dewasa baru mahu mendekati Allah. 

Ini pesanan saya pada anak-anak saya. Semasa saya muda dahulu tidak banyak peluang untuk mencari ilmu fardhu ain terutamanya dan tidak banyak nasihat yang diperolehi dari teman-teman dan masyarakat sekeliling. Maka saya sendiri tidak mahu anak-anak saya dan generasi muda lainnya rugi seperti saya rugi.

Jika kita berusaha menghayati budaya memberi dalam hidup maka sekadar membantu  anak menjaga cucu seharusnya tidak menjadi punca konflik dalam rumahtangga. Kita membantu keluarga dan orang lain dalam waktu senang dan waktu susah. Maka hidup dalam masyarakat akan menjadi lebih teratur dan memungkinkan masyarakat memperluas aktiviti pengabdian pada yang maha Esa dengan lebih kuat dan konsisten.

Maaf ye......Ini hanya satu pandangan. 
WaAllahu'alam.
Semoga Allah menurunkan pertolonganNya  dan menganugerah taufik dan hidayah ke jalan yang sempurna dunia dam akhirat.

Kita berusaha, berdoa dan bertawakal.
Mohon keampunan Mu ya Rabb....

....


Tuesday, September 16, 2014

Mengeratkan keluarga......

Majlis perkahwinan di mana sahaja sememangnya suatu yang meriah dan menyeronokan. Bagi keluarga besar saya inilah caranya menyantuni generasi muda dengan meraikan hari bahagia mereka, semoga berkekalan hendaknya.




Jam9.45 pagi 13 September kami menghantarkan cucu saudara  Faiz Azrain ke Bangi untuk majlis pernikahannya. Majlis itu ringkas dan suami saya menjadi jurucakap keluarga.


Saya rakam di sini foto pengatin untuk kenangan. Mereka belum habis belajar, semoga berjaya akhirnya. Kata ramai pendapat biarlah segalanya dalam ruang lingkup yang syar'ie semoga asas perkongsian hidup membawa barakah dan di berkati.



Semoga bahagia hingga ke akhir hayat dan abadi di Syurga Firdaus dengan semua yang disayangi. Aamiin.

.....

Friday, September 12, 2014

Kebersamaan...



Hijau -Putih bolih melambangkan kejernihan hati.


Warna orange menceriakan sanubari.
(Bunga-bunga di taman Kediaman Datin Alimah).
Pada pagi Jumaat ini saya ingin mengimbas sepintas lalu aktiviti hari kelmarin bersama teman-teman Muslimah Masjid Kg Tunku.


Kami berhimpun makan-makan sempena meraikan sister Zainah yang berpindah rumah dan tidak lagi berada di KGg Tunku. 
Kelihatan di sini ia duduk no.3 dari kiri.
Tuan rumah ialah Datin Alimah yang berdiri no 2 dari kiri bertudung merah.
Ramai sungguh tetamu hari itu dan ini sebahagiannya sahaja.
Hubungan kami alhamdulilah, erat dan kami suka besilaturahim
kerana ingin memastikan
"kebersamaan" akan membuahkan semangat bekerjasma tolong menolong anatara satu sama lain.
Saya kurang aktif dikalangan Muslimah dan saya kagum ramai antara mereka yang menjalankan kerja-kerja sukarela menubuhkan Dapur Masjid, Kelas tuition untuk anak-anak yang kurang kemampuan, kelas jahit menjahit untuk remaja dan dewasa, Kedai menjual barang-barang terpakai termasuk pakaian, Wednesday breakfast morning dan sessi bincang-binacang dan sessi rekreasi dan aktiviti kekeluargaan.
Syabas, semoga berterusan.

Dalam WhatsApp group Muslimah pagi ini saya ingin kongsikan yang berikut:

" All humans are dead, except those who have knowledge...and all those who have knowledge are asleep, except those who do good deeds....and those who do good deeds are deceived, except those who are sincere....and those who are sincere are always in a state of worry."   IMAM SHAFEE.







Ini sebahagian lagi tetamu yang hadir. Semua jenis makanan enak sekali. Alhamdulilah.
Suami saya berangan-angan untuk pindah rumah supaya dekat dengan anak dan adik beradik. Kalau jadi maka saya akan kehilangan teman-teman-ini.

Semoga apa jua yang terlaksana ia adalah yang terbaik di sisi Allah swt.
Mohon redha Mu ya Rabb. Aameen.

....

Wednesday, September 10, 2014

Dia seorang Uyghur rupanya....




Telah lama saya teruja membaca dan mendengari cerita-cerita mengenai kaum Uyghurs di China. ( I am fascinated by their strategic vision and resilience.) Saya membaca maklumat dari Google.

Maka apabila saya melawat Beijing dalam tahun 2010 saya bertanya-tanya dan memerhati beberapa orang yang menjual barang-barang secara kecil-kecilan di sekitar bandar, bukan di gedong-gedong tetapi di tepian jalan. Saya ingin bersua muka.

Pemandu pelancung kami (ethnik China) adalah seorang Muslim. Akhirnya dia mengaku dia Muslim diakhir-akhir lawatan kami. Dia kata dia malu dengan kami kerana dia belum begitu berjaya menghayati Islam. Kami seronok mendengari dia Muslim dan ada yang berpelukan. Foto di atas saya rakam bersama suami saya. Baik orangnya dan kami banyak menimba ilmu mengenai China. Tetapi ia kurang bercerita mengenai kaum Uyghurs ini. Namun kini saya faham mengapa ia kurang bercerita kerana ini merupakan isu sensitif di negara itu. Foto yang teratas ia membelikan saya keledek bakar yang dijual oleh seorang Uyghur menggunakan basikal sahaja. Saya mahu membelinya sendiri kerana saya rasa teruja.(Saya teringat Allahyarham bapak saya pun menggunakan basikal membawa ubi, keladi keledek untuk dijual).Tetapi ia tidak membenarkan atas sebab-sebab keselamatan, katanya. Saya nekad juga pergi dekat padanya tetapi dia yang berurusan membeli.

Saya senyum tetapi sedikit rasa terkilan....tetapi saya akur.

Dengan kehendak Allah, tidak disangka-sangka pada hujung minggu lepas saya bertemu dengan seorang Uyghur dalam majlis Hari Keluarga teman saya. Saya sebahagian keluarga di kampung, Pontian Johor dan dijemput bersama.

Dalam majlis itu seorang ahli keluarga membawa tetamu khas seperti foto di bawah ini. Mula-mula saya ingat dia anak menantu salah seorang ahli keluarga berketurunan China.



Tidak....Ia seorang uyghur rupanya. Ia berbaju putih
bersama suami saya dan Ustaz yang membawanya bersama. Dia tidak berapa fasih berbahasa Inggeris. Maka kami becakap dengan dialih ke bahasa
Mandarin oleh Ustaz yang saya pernah ikut melawat Yunan 
pada Mei tahun ini. Ustaz boleh Arab dan boleh Mandarin 
dan sedikit bahasa Inggeris.


Apa keistimewaan kaum Uyghurs ini ye?




Dalam lawatan saya ke Australia 2 tahun dahulu, anak buah saya mengajak kami makan di sebuah Rertauran Uyghur. Foto di atas adalah hiasan di dewan makan. Saya terpegun berfikir sendirian. Kaum Uyghur ada yang merantau jauh. Ada yang hingga ke Amerika. Tetapi jarang saya mendengari cerita-cerita perjuangan mereka. 




Ini sedikit hidangan merereka . Biasa pada saya kerana ia ala rasa masakan Turkey dan juga Arab. Ini mengikut lidah cita rasa saya.

Sebenarnya banyak cerita-cerita sejarah perkembangan Tamadun orang Uyghur. Di sini saya kembarkan sedikit maklumat untuk perkongsian.


Perjuangan kaum Uyghur ini untuk mendapatkan negara Merdeka bukan suatu yang mudah. Ideology China Komunis telah kita maklumi. Kerajaan Komunis China menempatak kaum Han di daerah Uyghur supaya bilangan penduduk Uyghur tenggelam. Mererka jadi terpinggir. Dasar mereka sama seperti Yahudi Israel menempatkan kaum yahudi dari negara lain di Eropah dan Russia ke Israel untuk menenggelamlan bilangan penduduk Palestine dan mudahlah mereka  dijajah.

Sedikit ini sahaja imbasan maklumat di dada saya. Saya terus membaca mengenai mereka di mana sahaja saya berpeluang. Mereka boleh dijadikan contoh dari segi semangat 'survival' mereka. Mereka tidak mudah menyerah kalah demi menegakan Kebenaran.

Semoga Allah menurunkan pertolonagNYA yang tidak disangka-sangka dan suatu hari mereka akan punya negara merdekanya sendiri.

Mohon Rahmat Mu ya Rabb....

....

Monday, September 8, 2014

"Free and Easy".......

Seminggu yang lalu saya cuba membawa diri .... "Free and Easy". 
Tetapi ia tidak menjadi begitu kerana sesungguhnya hidup ini sememangnya Allah sibukan dengan berbagai perkara supaya kita menghargai masa. Masa itu Emas, kata pepatah Inggeris. Tetapi sebenarnya "Masa Itu Ibadah".

Teringat pesanan ustaz: Dunia ini bukan tempat berehat. Nanti rehat yang sebenarnya di Taman-Taman Indah di Syurga, Syurga Firdaus hendaknya tanpa Hisab. Aamiin.

Maka saya ke Tangkak mahu melihat perkembangan Taska dan Tadika SmarTop saya. Berbagai perkembangan terutamanya dari segi latihan untuk para 
pengasuh anak-anak kecil dan bayi-bayi di Taska. Latihan dan Tarbiah bukan suatu yang mudah. Maka yang tidak mudah itulah yang kita fokus supaya hasilnya Allah kurnia diluar jangka.





Dalam pada itu teman partner saya mencadangkan kita jemput guru Tadika dan pengasuh Taska datang untuk sessi sembang dakwah secara santai dan makan-makan.

Alhamdulilah kami dan guru serta staff dapat berbincang-bincang sedikit terutamanya mengenai ibu yang kurang puas hati apabila anaknya belum dapat mengenal huruf dan membaca hingga kini.

Ramai ibu bapa yang silap faham mengenai pendidikan awal kanak-kanak. Bukan semestinya seorang anak kecil itu harus terus tahu membaca. SmarTop menitikberatkan perkembangan seimbang antara fisikal, minda dan rohani.(Wholesome development of a child). Anak yang riang ria dan pandai membawa diri dalam apa jua situasi bersama kekawan dan guru, insyaAllah ia dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis dan mengira dalam proses pembesarannya, asalkan sahaja ia anak yang sihat dan normal.

Bagi sesetengah anak Tadika, kami cuba "menasihati" ibu bapa supaya mereka juga peka tentang perkembangan anak-anak mereka dan cuba mendapatkan nasihat pakar jika ada terasa bahawa anak ini memerlukan perhatian yang lebih rapi. Saya sendiri memberi maklum pada guru-guru tentang pengalaman saya membantu mengurus dua orang cucu yang istimewa (ADHD dan Otisma) supaya sedikit sebanyak mereka dapat membuat pemerhatian rambang ke atas anak-anak di kelas semasa belajar dan semasa bermain (berenang dan Tae kwan do), dan kemudian dapat melaporkan pada ibu dan bapa anak berkenaan jika ada tanda-tanda yang tertentu.

Kekadang ibu-bapa tidak mahu menerima keistimewaan anak-anak mereka sendiri (self denial) dan mengatakan (atau mendakwa) bahawa guru-gurulah yang tidak pandai mengajar dan mendidik dan mengasuh.

Saya terdiam dan rasa seperti sudah  habis ikhtiar.
Mujur saya ada seorang guru yang terlatih dibidang kaunseling dan beliau sedikit sebanyak dapat membantu ibu-ibu berkenaan.




Sambil bercakap dan berbincang kami juga menjamu selera. Hari itu saya masak sambal goreng Jawa Solo dan teman saya memasak lauk pauk yang lain. Sahaja seronok-seronok makan dengan bubur nasi. Saya syok sendiri kerana bila makan samabal goreng sememangnya teringatkan Emak dan kakak-kakak saya yang memberi petua-petua bagaimana memasaknya. Satu nostalgia kerana kini mereka telah kembali keRahmatullah dan ini merupakan warisan istimewa buat saya.




Habis sessi pada hari itu, saya pulang ke KL esuk harinya.

Suami saya bersama saya ke Tangkak menyertai sessi "Free and Easy" ini.  Hari pertama di sana kami bersarapan dengan partner saya dan suaminya di tempat makan satay istimewa di Bandar Muar. Sedap dan sederhana harganya. Ketika pulang kami menjamu selera makan duku dan nenas yang kami bawa pulang ke rumah kami yang kami beri nama "SmarTop Residence". Kami gelak ketawa bercerita dengan kekawan perihal "Residence" ini. Rumah terrece kecil sahaja dan tidak sepertinya. Tetapi ia menjadi besar dan mencukupi kerana kami seronok di hati-hati kami. Ahamdulilah. Allah beri keriangan dalam berbagai bentuk. Asal sahaja kita sentiasa terpaut padaNYA.

Mohon redha Mu ya Rabb...



...

Monday, September 1, 2014

Beauty....






Beauty is in the eyes of the beholder.

Someone 'WhatsApp' me this picture. It's a great picture. It's beautiful and I love it. I am sharing this with you and by the Grace of Allah, God Almighty, may it bring peace and tranquility for the day.

I am a little tired and feeling miserable of listening and reading about all the sufferings of ordinary people all over the world inflicted by war.  I have decided to take a rest for a week or two and seek solace from our Lord, Allah, away from all the confusion of life to somewhere quiet. May be I should do something different.

Have a good day and in sha Allah I will be back soon.

...
Related Posts with Thumbnails