"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, March 31, 2015

Mati, maka jantung berhenti...bukan sebaliknya.....


Figure A is an overview of a heart and coronary artery showing damage (dead heart muscle) caused by a heart attack. Figure B is a cross-section of the coronary artery with plaque buildup and a blood clot resulting from plaque rupture.




Foto Ehsan Google search.








Saya bertemu Doktor di IJN (Institut Jantung Negara) hari ini. Tidak lama saya menunggu, sekadar 45 minit lebih kurang.

Saya telah ada temu janji dengan seorang pakar dan saya rasa agak lega kerana ingin tahu apa sebenarnya  masaalah jantung saya kali ini. 

Bika saya masuk di biliknya, ia sedang membaca laporan saya. Itu kiraan saya. Saya berdiri seketika menanti arahannya.

"Sila duduk", katanya. Saya duduk. Suami saya menemani saya kerana saya kurang kederat untuk memandu sendirian.
Doktor bertanya soalan-soalan yang telah saya cerita semasa saya diperikasa di Unit Kecemasan dua minggu yang lalu. 

  • Sakit di mana.
  • Ketika mana sakit.
  •  Tidur atas satu bantal atau dua atau tiga bantal.
  • Adakah sakit bila tarik nafas.
  • Sekarang makan ubat apa.
  • Berbagai.......saya dah lupa.
Sebelum ditanya selanjutnya saya bercerita apa yang telah di lakukan oleh Doktor saya semasa saya mengikuti satu kajian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Saya telah buat ingeogram (maaf salah ejaan) lebih kurang 2 atau 3 tahun lalu dan didapati tidak ada saluran yang bermasaalah. ECG saya pun clear dan normal. Panjang juga saya bercerita. Tetapi semuanya hanya dikira sebagai maklumat latar belakang kerana dia merupakan lapuran lisan sahaja. Tidak ada data dan maklumat rasmi yang lainnya. Maka ia tidak boleh membuat apa-apa keputusan apa sebenarnya masaalah saya.

Saya rasa sedikit kecewa bila Doktor memberi gambaran bahawa kes saya perlu diperiksa semula, mengikut prosidur IJN. Saya diminta setuju dan lantas diberi surat kebenaran untuk ditanda tangan kepada Doktor untuk berbuat apa yang difikirkannya sesuai dengan masaalah saya. Doktor menyebut prosidur teknikal tetapi saya sudah tidak ingat. Saya yakin pada kepakarannya dan bersetuju serah sahaja atas budi bicaranya. Saya tidak ada pilihan kalau mahukan rawatan.

Doktor memberi tahu saya bahawa ia tidak akan memberi apa-apa ubat pada saya hari itu kerana kes saya kabur dan saya alah dengan Asprin. Terdiam seketika dan hanya melihat mukanya kerana saya kehairanan mengapa tidak diberi ubat walhal saya rasa Janyung saya bermasaalah. 

Kepada siapa lagi saya harus mengadu hal?  Saya di kira sakit tetapi tidak sakit......?

Kemudian Doktor menyebut mengenai heart attack. (Doktor banyak berbahasa Inggeris, mungkin kerana saya banyak bertanya dalam bahasa Inggeris). Saya minta penjelasan lanjut. Rasa bimbang juga mendengarinya.

"Walaupun saya tidak memberi apa-apa ubat, tidak bererti awak tidak akan kena heart attack."

Mula-mula saya takut bercampur bingung. Kemudian cepat-cepat saya beristighfar memohon ampun, memohon Allah memudahkan urusan saya menjaga jantung saya. Saya lihat terus muka doktor dan entah mengapa saya senyum. Bukan saya senyum padanya. Saya senyum sendirian kerana waktu itu juga saya teringat apa kata Ustaz saya mengenai Jantung.

Mungkin saya sudah cerita sebelum ini dalam blog saya mengenai peranan otak dan peranan jantung dalam tubuh kita. Jantung sahaja organ dalam tubuh yang tidak boleh dan tidak dapat diarah oleh Otak kita. Jantung bertindak sendirian. Jantung tidak mengikut arahan otak. Ustaz mengatakan itu tandanya bahawa Jantung kita kenal Allah walaupun otak kita mungkin tidak kenal Allah. Allah berurusan terus pada Jantung, dalam bahasa kita. Maka tup..tup... saya terkata pada Doktor:

"Tak apelah doktor kalau tak ada ubat. Saya pun yakin bahawa umur kita Allah sudah tahu bila akan samapi detik akhirnya. Kita mati, maka Jantung berhenti....Bukan Jantung berhenti baru kita mati."

Ustaz kata bila sampai waktu dan detiknya, Allah akan arah Malaikat ambil nyawa kita. Pisahkan Ruh dari badan. Bila sudah ada arahan itu maka Jantung akan ikut arahan dan berhenti. Tetapi dari segi kebiasaanya kita tidak mengetahui apa yang kita tidak dengari, iaitu hal-hal yang ghaib. Maka kita merasakan seolah-olah Jantung berhenti baru kita mati.

Saya rasa doktor tidak faham "bebelan saya". Saya pun terus bangun untuk beredar dan tunggu diluar untuk membolehkan doktor menulis apa yang perlu ditulis untuk membolehkan  saya mendapatkan tarikh temujanji yang akan datang. Doktor senyum bila saya mengucapkan terima kasih. Tidak dapat saya duga apa yang ada di fikirannya mengenai  apa yang saya katakan.

Sepanjang perjalanan pulang saya terus berfikir-fikir apa hikmahnya saya harus terus merasakan "discomfort" di dada saya hingga saya bertemu lagi dengan doktor pada 19 Mei setelah menjalani satu prosidur pada 24 April ini. Itu pun hanya Allah yang maha tahu.

Suami saya kata: Allah uji sedikit supaya kita bersabar dan yakin (betul-betul yakin) bahawa hanya Allah yang maha mengetahui mengenai ciptaanNya. Ilmu yang ada pada doktor pun hanya sekelumit yang diizinlkn untuk manuasia menjalani hidup di dunia ini. Tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah. Dan tidak akan bergerak sebutir zahrah pun kalau Allah tidak mengizinkannya.

Kini saya lega setelah berfikir dengan Hati dan bukan dengan Otak semata-mata. Semoga Allah menganugerah keampunanNya dan memudahkan urusan hidup saya hingga samapi Temujanji denganNya dan Allah kurnia yang terbaik di sisiNya. 

Aamiin ya Rabb....

.....

Sunday, March 29, 2015

IBU atau cucu ?......






Ibu atau cucu....mana satu diberi keutamaan?

Dilemma keluarga yang dihadapi kini. Melihat wajah-wajah cucu ramai nenek yang terpaksa membuat pilihan yang kadang kala menghiris hati Ibu tanpa di sedari. Kalau disedari sekalipun, ada yang mencari berbagai alasan untuk memilih menjaga cucu dari menjaga Ibu.

Ini pemerhatian saya dan saya yakin ada yang setuju dan ada yang tidak.

Banyak sudah diperkatakan dalam masyarakat kita betapa seorang Ibu hidup susah bersendirian kerana anak-anak beralasan tidak dapat menjaga ibu di rumah ibu kerana sibuk menjaga cucu. Entahlah.......adakah pengecualian anak terlepas dari tanggongjawab menjaga Ibu kerana ia terbeban menjaga cucu. Ada yang hanya beralasan kerana tugas menjaga Ibu lebih sukar dari menjaga cucu kerana kekadang menjaga Ibu yang uzur memerlukan pengorbanan keselesaan diri sendiri. Pada Ibu yang uzur, seorang anak kenalah membersihkan najisnya dan membasuh peralatan tidur sekurang-kurangnya setiap dua hari. Kekadang setiap hari. Itu pengalaman saya menjaga emak saya.

Ada yang mampu mendapatkan pembantu rumah atau mendapatkan jururawat berdaftar yang memberi perkhidmatan professional denagan bayaran tertentu. Teman saya ada yang menggunakan jururawat seperti ini dan membayar mengikut jam. Kekadang perbelanjaan boleh mencecah RM3k - RM5k sebulan. Ada yang mampu tetapi beralasan tidak mampu.
Alangkah ruginya sikap sebegini.

Dalam alQuran sudah jelas dituntut anak menjaga ibu bapa yang tua. Kita tidak boleh berkasar pada mereka. Dan menjaga orang tua sebagai ibu bapa kita adalah kewajipan yang tidak bersyarat. MESTI.

Dalam sebuah hadith di ceritakan bahawa Rasulullah sallahualaihiwasalam melarang seorang anak muda dari pergi berperang (jihad) kerana ia ada Ibu yang tidak ada waris lain untuk menjaganya. Begitulah hukumnya. Saya rasa tidak ada mana-mana nas yang kita boleh mendahulukan cucu berbanding Ibu. Ibu mesti didahulukan. Biarkan cucu pada ibu bapanya. 

Emak saya meninggal dalam  umur lebih kurang 94 tahun. Dia tiada penyakit kronik. Maka Allah mudahkan menjaganya. Allah mudahkan saya dengan seorang pembantu. Saya amat bersyukur. Cuma saya perlu mengangkatnya ke kerusi roda untuk mandi sehari sekali. Pada petang hari saya hanya mengelap tubuhnya. Saya hanya sempat menjaga tepat setahun. Itu pun saya bercuti khas menjaganya. Kalau tunggu bersara saya tidak ada peluang langsung. Saya ambil alih menjaganya dari kakak-kakak saya di kampung. Alhamdulilah. Dulu selalu saya minta emak saya memaafkan semua anak-anak atas kelemahan dan kekurangan menjaganya. Semoga Allah mengampuni emak dan bapak saya dan kami semua. Bapak saya meninggal ketika saya berumur 16 tahun. 

Amat rindu sekali teringatkan mereka. Hanya mampu berdoa semoga bertemu lagi di Syurga Firdaus tanpa hisab denagn Rahmat Allah semata-mata. Aamiin ya Rabb.

.....

Saturday, March 28, 2015

Berbakti pada tanah.....



Ini Widad. Sukarelawan membantu Pra sekolah SmarTop Subur Fitrah di Tangkak yang selalu saya ceritakan sebelum ini. Lihat betapa gembiranya dia memeluk setandan pisang yang berjaya di tanamnya di pinggiran bangunan sekolah dengan bantuan pekebun yang kami panggil Pak Yusop untuk membuat lubang-lubang yang diperlukan. Kini sudah mendatangkan hasil. Alhamdulilah.

Widad adalah pelajar sarjana di bidang Botani di UKM dan ia datang ke Tangkak untuk membantu apa yang sesuai baginya.

Hari selasa yang lepas kami ke sana untuk melihat beberapa perkembangan baru untuk tahun ini terutama ingin melihat kemajuan anak-anak dalam kelas Hafazan. Tetapi tidak tercapai kerana guru yang dikhaskan cuti sakit. Maka kami melihat kebun pisang yang warga SmarTop rasa bersyukur ada aktiviti sampingan untuk mempelbagai pengalaman hidup.


Ini sebahagian kebun yang ada...... sekangkang kera


Hebat besar hasil sulungnya. Alhamdulilah. Kami goreng buat kerepek pisang dan makan kongsi-kongsi. Rezeki yang dikongsikan semoga membawa barakah. Saya bawa pulang sebiji untuk tunjuk pada suami bahawa usaha kami Allah kurnia hasil memuaskan. Sebenarnya saya syok sendiri. 



Ini "hiburan"  buat widad dan saya dan juga partner saya di SmarTop. Kalau benar-benar menjadi kami ada cadangan ingin menggunakan padang untuk tanam pisang sebagai usaha menambah dana sekolah. Sedang berfikir-fikir.........

Mengurus pra sekolah pada tahun ini agak rumit sedikit dari segi kesetabilan pengambilan staf dan guru. Tetapi kami yakin setiap yang susah pasti ada senangnya. Demikian dalam al Quran disebut secara nyata.




(96-5)  Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
(96-6)  Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

Maka sekarang kami bersabar dan berusaha. Menanam pokok pisang adalah usaha sampingan. Semoga ia menjadi pembuka jalan.




Ada tujuh pokok yang berbuah seperti di atas dan anak-anak pokok pisang sudah mula membesar untuk dialihkan tempat . Tidak kurang dari lima belas bilangannya. Semoga Pak Yusof dapat membantu segera.


MAKA NIKMAT ALLAH YANG MANA YANG HENDAK KAMU DUSTAKAN


.....

Friday, March 27, 2015

Sebab Coffee......


Senja di Kuala Lumpur........masih di tengah-tengah trafik yang menghala entah ke mana. Saya ingin pulang segera........
Malam itu rasa  kepenatan dan selera makan tidak menentu. Maka saya ikutkan hati dan minum coffee, coffee yang pahit dengan sedikit susu manis. Setelah siap rutin saya malam itu, saya cuba tidur awal tetapi mata saya masih terjegeh luas. Mungkin sebab coffee.


Masa muda dahulu coffee tidak menjadi hal dalam melayan mata untuk tidur. Kali ini saya terkebil-kebil susah untuk memejamkan mata. Sunyi  dan berbagai ingatan masuk difikiran. Tetapi yang meleret-leret teringatkan cerita dalam blog "Dengan basikal aku menjelajah". Saya suka mengikuti blog ini. Saya memang suka berbasikal kerana semasa sekolah selain jalan kaki, emak belikan basikal bila lulus tingkatan tiga. Hadiah yang tidak akan saya lupakan. Ia "second hand" sahaja, tetapi istimewa buat saya. Basikal mengubah cara hidup remaja saya. Saya lebih aktif bersukan dan suka berbasikal jauh-jauh melihat rumah kekawan di kampung lain. Bila ingat kembali, itulah pembuka fikiran.........

Blogger berbasikal ini mengembara ke negara-negara yang jarang-jarang dikunjungi pelancong. Sesiapa yang suka mengembara ikutilah blog ini. Ia mengajarkan manusia apa erti berdikari dan erti mensyukuri. Anak-anak muda dan dewasa muda saya rekomen ikuti blog ini.
Saya juga suka mengembara. Semasa umur akhir duapuluhan saya memberanikan diri mengikuti seorang teman  berjalan-jalan "tanpa tujuan". Saya di US ketika itu.  Tidak perlu saya cerita lanjut sebab tidak ada pengajaran selain dari memberanikan diri untuk mencari pengalaman baru. Saya pernah di UK memandu tanpa lesen denagn seorang teman dari London ke Scotland. Kami melencong juga ke jalan-jalan di kampung-kampung yang pada saya amat memikat pandangan. Ia sebuah ingatan yang makin hari makin kabur.......

Niat hendak menjadi pengembara tinggal begitu sahaja kerana tidak ada sesiapa yang menggalakan meneruskan niat itu. Saya tidak menyesal cuma sesekali terfikir apa akhirnya hidup ini jika saya telah membuat "pilihan" hidup selain dari apa yang saya lalui sekarang ini. Tetapi  sekarang ini saya sedaya upaya akan melarikan diri dari melayani lintasan-lintasan fikiran seperti itu. Cukup.


Shaykh Hamza Yusuf in Malaysia's photo.


Ini akibah minum coffee berlebihan........Atau ada sebab-sebab lain? Tiba-tiba malam tadi semasa saya mengikutu ceramah Shaikh Hamza Yusuf di youtube ada satu tajuk "Coffee in Islam". Eh biar betul cerita ini. Maka saya buka dan tersenyum seorangan  mendengarinya. 
Rupanya ia menjawab satu pandang seorang yang hadir dalam ceramahnya mengenai tidak dapat tidur malam. Shaikh Hamzah mengatakan elok tidak dapat tidur malam walaupun keran coffee kerana di umur dewasa kita sememangnya digalakan untuk mengurangkan tidur malam. Elok bagi dewasa untuk beibadah dan bermunajat pada Allah ketika waktu malam, terutama dua-pertiga malam. Bersyukur coffe membantu kita untuk berjaga dan memunafaatkan masa.

Memunafaat masa......bukan berjaga berfikiran yang tidak memberi nilai tambah.

Alangkah berlainan fikiran orang yang berilmu dan suka menghampirkan diri pada Allah. Maka saya bertekad mahu sebanyaknya berjaga malam. Semoga Allah menurunkan pertolongannya untuk memudahkan saya beramal berjaga malam. Sudah selalu kedengaran saranan ini tetapi saya belum dapat membiasakan diri. 

Ingat coffee.....ingat berjaga malam dan beramal.
Mudahkan kami ya Rabb....
Aamiin.


nota: foto Shaikh Hamzah Yusuf ehsan Google.

.....

Monday, March 23, 2015

Menterjemah Cinta...





Bunga Mawar lambang cinta....antara manusia dan manusia yang hatinya sudah disisipi naluri berbagai budaya.........

Maka apa erti cinta...

Tersentuh di hati ingin bicara cinta seorang teman yang punya prinsip memegang erti cinta yang luar biasa....cinta antara diri dan suaminya.

Ia berumur 51 tahun dan diceraikan suaminya hampir tiga tahun yang lalu kerana suaminya berkahwin dengan seorang wanita lain yang dianggapnya lebih baik dari dirinya. Ia lebih muda dan lebih lincah perwatakkannya. Teman saya ini pernah meyakinkan saya bahawa ia redha menjadi isteri tua dan dengan rela hati  memaafkan suaminya kerana ia yakin suaminya memalingkan dirinya  semata-mata tergoda dan bukan memilih kerana akhlaknya. "Derita"  hatinya bukan suatu yang mudah difahami, namun ia tetap setia dan yakin suatu hari nanti ia akan kembali padanya. Walau apa sekali pun, ia amat yakin bahawa  apa yang Allah takdirkan baginya pasti suatu yang terbaik baginya di sisi Haliknya.

Sebelum bercerai mereka tinggal berjauhan, amat berjauhan merentasi lautan. Dia menyebut pada saya jarang-jarang sekali suami pulang melihat keadaan, dan bertanyakan khabar langsung tidak ada  dalam kiraan. Selalu ia tinggal berseorangan dan keseorangan. Sesekali dia cerita juga demikian. Dahulunya ia guru terlatih di sekolah menengah  kebangsaan dan bersara awal kerana mahu menumpu membantu urusn perniagaan suaminya yang selalunya kesibukan. Apabila suaminya jarang pulang, ia minta izin suaminya untuk menyertai kami berurusan dalam bidang pendidikan supaya fikirannya sibuk dengan suatu yang bermunafaat berpanjangan.  Ada sekali ia mengatakan pada saya: "Kak, suami saya dah dikidnap orang...dah lama tidak kedengaran, berhadapan pun tidak..."  Saya kagum kerana ia berkata dengan senyuman. Saya perhatikan ia sentiasa tenang, redha hatinya jelas terbayang di air mukanya yang tidak pernah muram. Mungkin kerana ia banyak membaca dan masa lapangnya tidak terguna untuk menghasihani diri berpanjangan. Dia juga suka berurusan dengan badan-badan sukarela yang sehaluan dengan fikrahnya sejak dahulu hingga sekarang. Dan kesibukan itu saya percaya telah membuatnya  cerdas untuk bersilaturrahim dengan kekawan. Ia pandai menyimpan rahsia hati dan pada kami semua ia banyak berkorban.

Bicara di atas  adalah seperti bicara biasa dalam masyarakat kita kini. Agaknya sudah banyak diceritakan dalam novel sastera atau dalam drama TV di mana jua.  Dalam keluarga besar saya, peristiwa seperti ini ada juga terjadi.

Di mana ada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan....

Ada ahli keluarga yang mudah menerima dan tidak kurang pula yang hanya senyum bila ditanya. Ada yang berfalsafah, dan ada yang ingin memerhati sebelum bersuara. Berbagai reaksi dan berbagai rasa. Itulah manusia.......

Sering kita dengari di kuliah-kulih terbuka atau di laman sosial yang kini makin rancak membicarakan fenomena-fenomena seperti ini yang masih dianggap "controvercial". Ini adalah salah satu darinya. Secara peribadi saya juga mendengarinya  dengan fikiran terbuka kerana Islam membenarkannya. Cuma ada suara-suara yang agak terkilan kerana mungkin mereka berpendapat syarat-syarat ketat yang dimaktubkan tidak diambil kira oleh sesetengah mereka yang mengambil tindakan untuk keselesaan dirinya sahaja. Entahlah....hanya Allah yang maha mengetahui segalanya.

Teman saya ini redha semata. Itu yang kami lihat dan di hati hanya Allah yang maha Bijaksana mengenalinya. Beberapa teman mahu meregukan dia denagn pihak yang difikirkan sesuai dengannya. Sering ia bersahaja mengatakan ia masih ingat pada "Si Dia" dan lebih suka bersendirian hidup mengingat detik-detik gembira mereka bersama. Memori sangat indah padanya tidak mungkin boleh dilupakan begitu sahaja. 

Namun.....
Satu hari kami agak "terkejut" mendengari bahawa ada lamaran yang membuka hatinya. Dipendekan cerita,  kini mereka sudah diijabkabulkan dan semua keluarga dan sahabat handai sudah rasa lega dan amat gembira kerana dia sudah bertapak di bumi nyata. Dia kata pasti dirinya tidak akan ingat lagi pada "Si Dia".  Yang pergi biar pergi mengapa hati di biarkan "tersiksa". Itu saya yang kata. Di hatinya sering ia bercerita bahawa biar Allah yang menentukan apa akhirnya. Kebahagiaan adalah milik Allah, semuanya milik Allah. Maka kita tidak perlu berduka nestapa tentang sesuatu yang telah hilang dari kita. Dia yakin dalam apa jua, kalau kita redha dan sentisa bersyukur dengan kurniaan yang maha Pencipta, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik darinya.

Itulah  cerita teman saya, yang ada caranya sendiri  menterjemah cinta. 






Alhamdulilah, semoga ia terus bahagia di bawah lindungan kasih sayang yang maha Esa. Cinta manusia ada yang boleh "membawa" ke Syurga dengan izin dan limpah rahmatNya. Ada yang Allah uji dengan panas terik dan hujan ribut buat seketika. Disangkan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari........

Mungkin hujan berpanjangan. Tetapi Allah kurnia pelangi diakhirnya. Pelangi di mata dan pelangi di hati semoga untuk selamanya.

Suami saya mengenali teman saya ini. Dan sesekali saya bercerita mengeni fenomena poligami yang ahli masyarakt kita selalu memperkatakannya. Ada yang membawa hujah dari  hujah-hujah yang biasa didengarinya. Ada yang benar-benar mahu mempertahankan tindakanya dengan membawa hujah yang katanya dari alQuran dan Hadith yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa jua. Ada yang kebingungan tertanya-tanya mengapa pentadbiran syarat-syarat dan proses mengenainya dalam negara kita kurang kemas dan kurang memihak pada isteri yang sudah ada terlebih dahulu dari yang kedua dan yang  ketiga dan yang seterusnya. 

Sehubungan dengan ini saya pernah dipinjamkan sebuah novel Tauhid oleh seorang teman lama yang berjodol "SEBARKAN CINTA MU"  yang ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd. Noordin yang diterbitkan oleh PTS dalam tahun 2012. Beliau adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ijazah pertama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dan Ijazah Sarjana dibidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Beliau juga punya kelulusan lain yang berkaitan yang membuat saya yakin akan kesahihan penulisannya.


Saya belum membaca sepenuhnya tetapi apa yang saya baca  sudah cukup untuk saya mengukir semula fahaman saya mengenai poligami yang dahulunya saya terima dengan hanya mengunakan fikiran dan emosi. Dalam buku ini ada banyak fakta yang ditakrif oleh penulis yang membuat saya mahu mengkongsikan bacaan buku ini. Antara yang menarik perhatian saya ialah Rasulullah salallahualaihiwasalam menggambarkan "tidak serononya rasa hatinya jika anak perempuan kesayangannya di sakiti. (fahaman saya dalam konteks poligami). Ini jarang mahu diperkata oleh pihak yang mahu mencari keselesaan dirinya sahaja.

Bacalah sendiri buku ini untuk menilai kesahihannya, atau sekurang-kurangnya untuk tahu bahawa ada beberapa fakta yang tidak pernah kita dengar. Rupa-rupanya adalah Hdith yang diiktiraf sahih baginya yang boleh memberi kefahan yang lebih mendalam.

Sering juga saya mendengari orang lelaki mengatakan bahawa junjungan kita Nabi Muhammad salallahualaiwasalam suka akan tiga perkara. Dan yang ketiga ia suka akan perempuan. (He loves women). Dan ini digunakan sebagai sumber bukti bahawa poligami itu sememangnya sesuatu yang amat digalakan mengikut "sunnah" Nabi kita. Dahulu apabila saya mendengarinya saya mendiamkan diri sahaja dan tidaklah saya suka berbicara membabi buta. Diam itu lebih baik.....

Kebetulan baru-baru ini saya mengikuti sebuah siri ceramah dalam you tube oleh Shaykh Hamzah Yusuf mengenai hal ini. Sila rujuk"Women Shariah and Islam" yang dirakam pada tahun 2013. 
Beliau mengatakan fakta Rasulullah (SAW) suka wanita bukan dalam konteks hubungan jasad lelaki wanita (sexuality) tetapi dalam konteks bahawa Rasulullah (SAW) mahu mengutarakan bahawa beliau amat menghargai sifat-sifat unggul wanita terutamanya dari segi sifat kasih sayang dan belas kasihan dalam mengendali sebuah keluarga. Rasulullah amat kagum dengan sifat-sifat itu dan mahu mengatakan pada ummatnya supaya sama-sama menghargami anugerah ini dari Allah pada kaum lelaki yang rata-rata kaum lelaki agak kekurangan.

Saya tidak mahu berlebihan hujah kerana takut keterlaluan dalam bicara sesuatu yang bukan ahlinya. Rujuklah sendiri.






Cinta adalah suatu perasaan yang amat peribadi. Ini pendapat saya sahaja. Sukar hendak diperkata atau dibicarakan. Ia terserlah dalam tindak tanduk seseorang dan pembawakan diri seseorang. Selalunya jika seseorang itu benar-benar ikhlas dalam cinta ia akan terzahir tanpa disedarinya. Cinta bukan sesuatu yang diperkata dibibir. Ia perlu pembuktian....pada Allah yang maha Pencipta terutamanya. Cinta kita hanya relevan dalam paradigma Iman dan Taqwa, pada sesama manusia dan semua makhluk dan ciptaan Allah yang lainya. Mungkin dilain bicara kita cerita penterjemahan Cinta yang lain pula......

Cinta itu indah....seindah mawar, malah tidak terkata. Kita lihat semula nama-nama Allah yang terkait denganNya........sifat maha kasih dan maha sayang (ar Rahman dan ar Rahim).


Apalah manusia.....

Saya pun manusia, penuh dengan segala kekurangan dan kelemahan.......
Seorang sang suami  dari keluarga besar saya pernah berkata mengenai "menduakan cinta": Saya tak sanggup menjadi sebab isteri saya dimurkai oleh Allah hanya sahaja saya berkahwin lagi dan isteri saya tidak lagi setia pada saya dan mengambil tindkan yang tidak syarie dan menjejaskan dirinya di hadapan Mahkamah yang maha Agong. Kalau saya kahwin lagi belum pasti masaalah saya selesai semuanya tetapi saya mengundang masaalah lain. Mungkin sebab itu juga kedudukan saya sebagai suami tidak lagi selari dengan kehendak Allah. Mungkin seronoknya sebentar, tetapi padahnya berpanjangan. Saya kasihan isteri saya!

Akhir kata, saya tidak ada apa-apa lagi yang hendak saya katakan. Sama-sama kita bertekad menyelesaikan masaalah tanpa mengundang masaalah lain. Sama-samalah kita mohon petunjuk Allah semoga apa jua tidakan yang kita lakukan ada nilai tambah yang kita redha dan Allah pun meredhai. 

Semoga Allah mengampuni dan melimpahi kita semua dengan Rahmatnya yang tidak terhingga.
Aamiin ya Rabb.

....

Thursday, March 19, 2015

Demam sedikit rasa takut......




Sudah lima hari saya demam dan batuk, agak serius dalam pengalaman saya. Saya tidak ke klinik perubatan dan hanya makan ubat batuk yang anak perempuan saya kata ia mujarab. Lagi pulak saya rasa tidak cukup kederat untuk bangun membawa diri ke klinik.

Alhamdulilah. Ini hari keenam dan rasa agak lega sedikit walau pun selera makan belum pulih sepenuhnya. 

Saya berseorangan di rumah dan otak saya memikirkan beberapa hal yang Allah pertemukan untuk di lalui dan difikir-fikir hikmahnya. Ini timbul kerana sebelum saya mula demam saya dapat tahu seorang teman akrab sudah sebulan sakit di hospital. Hj Kassim namanya. Saya rapat dengan isterinya juga kerana dahulu kami bertugas di kawasan pejabat yang sama. 

Saya menaliponya dan isterinya yang menjawab lantas bercerita suaminya sakit agak rumit yang melibatkan otak dan berbagai lagi. Berita ini agak membuat saya rasa tersedih kerana seorang teman akrab yang lainnya (Hj Yunos) sudah meninggalkan kami. Saya berjanji pada isterinya untuk menziarahinya selepas saya menziarahi cucu saya di Putrajaya yang juga sakit dan belum tahu apa masaalahnya. Tiba-tiba ia tidak boleh berjalan dengan betul dan sedang di uji berbagai kemungkinan termasuk rumatism.(lebihkurang begitu). Semoga tidak serius.

Dua hari saya di rumah anak di Putrajaya dan kini di Petaling Jaya. Bertekad untuk tidak memanjakan diri saya melihat-lihat kerja saya yang tertangguh di SmarTop. Nanti pada 23 Mac saya insyaAllah akan ke Tangkak untuk bersama anak-anak dan ibu papa mereka pergi 'outing' melawat planetarium di Melaka dan juga program renang yang sudah lama tidak saya sertai. Semoga saya terus sihat.

Saya masih teringat-ingat teman akrab ini dan isterinya memberitahu saya bahawa ia peka dengan apa yang berlaku pada dirinya. Cuma ia tidak dapat bercakap dengan terang, mungkin kerana otaknya mengalami sedikit pendarahan. Maka kata isterinya eluk saya datang sendiri menziarahinya. Ia kenal pada kawan-kawan yang datang cuma tidak dapat bercakap rancak. Semoga saya dapat pergi secepat mungkin. Terasa sedih juga di hati. Ujian Allah datang dalam berbagai rupa dan semoga saya dapat menerima dan rasa redha jika Allah turunkan ujian sepertinya. 

Perihal jantung saya belum selesai lagi dan IJN menetapkan 31 Mac untuk bertemu pakar. Ditambah dengan demam sedikit entah mengapa saya rasa takut juga jika ada sesuatu yang memerlukan tindakan pemulihan yang lebih serious. Namun saya diam terkebil-kebil berfikiran sendirian. Seorang dua teman mendoakan semoga saya cepat sembuh. Aamiin.


Tetapi saya belum berdoa untuk cepat sembuh kali ini kerana terfikir-fikir kisah Nabi Ayub (AS) yang Allah uji sakit kudis di kepalanya untuk beberapa lama. Bila isterinya menyarankan agar ia memohon pada Allah supaya cepat sembuh, ia enggan kerana rasa malu tidak sabar dengan ujian Allah. Kesabaran itulah yang meningkatkan derjat seorang hamba pada Haliknya. Maka saya cuba bertenang kerana amat teringin mencontohinya  dan saya berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan saya, termasuk mengurus jantung saya. Aamiin, ya Rabb....

Lima hari demam, maka lima harilah aktiviti saya terhenti. Teringat masa umur muda dahulu, bila demam ia tidak berapa menimbulkan pemikiran jika demam berterusan. Ia menjadi sebab untuk menangguh aktiviti, kekadang yang agak penting pun ditangguh. Tetapi diumur amat senja ini, saya cuba bangun tangkas dan tidak mahu melengahkan diri sebab baki umur tinggal amat sedikit dan amat terasa keperluan besegera menyelesaikan apa yang patut supaya tidak meninggalkan apa-apa yang boleh dikesali. 

Namun saya menyedari ini hanyalah satu usaha. Allah jua yang mengetahui segalanya dan Dia yang maha menentukan. Kita hanya mohon belas kasihanNya dan pengampunanNya.
Aamin ya Rabb...

......

Friday, March 13, 2015

Redup.......



Redup itu nikmat, Panas pun nikmat
Panas itu nikmat, Hujan pun nikmat
Lalu........
Hidup itu nikmat, Mati pun nikmat.
Cuma kita belum mengerti secukupnya kurniaan nikamt Allah yang sebenarnya,
Allah itu maha Pencipta dan tidak ada ciptaanNya yang sia-sia.
Allah itu maha Mengetahui dan maha Bijaksana,
Kita hanya perlu yakin dan ikhlas dalam pengabdian diri padaNya.
Mengikut jejak Rasulullah saw, tanpa ragu tanpa soal jika soheh riwayatnya.

Maka mengapa kalau hujan kita kata cuaca buruk,
Kalau panas terik kita mengeluh, berlarian mencari teduh.

Kalau ribut taufan hati kita berdebaran, kita takut, 
Kalau banjir besar kita cepat-cepat mencari tempat bertaut,
Kalau dilanda tornedo dan tsunami kita  kalang-kabut,

Kalau meletup gunung berapai kita berkejaran mengelak bencana, 
Kita hilang bicara dan hanya mengeluh bingung belaka.

Apabila dilanda kezaliman perang kita cepat tuduh-menuduh, 
Sesama manusia kita tiada belas kasihan dan nyawa menjadi rapuh.
Maka ada manusia "menyembah" manusia berbondong-bondong takut
Hilang harga diri, pada manusia mereka melutut.

Kerana ramai dari kita yang masih menggunakan aqal semata
Belum sempurna mengenal Allah yang maha Pencipta.

Tetapi ada juga yang tidak sekongkul, berani mara membalas bela
Nyawa Allah yang kurnia, Iman di dada menjadi perisai menentang senjata.

Ada yang memekik: "Di mana Tuhan ! Mengapa kami dibiarkan ?"
Menganggap nyawa itu hak dan Allah hanya sampingan.
Subhanallah.......maha Suci Allah
MencariNya bila terkandas meminta  pertolongan
Tetapi nada sombong masih terus kedengaran, keras di dalam,

Bila Allah turunkan pertolongan
Mereka masih tidak iktiraf itu satu Kurniaan.
Masih berkata itu suatu kebetulan.
Maka di mana letaknya jiwa Ihsan? 
Tidak cukup hanya mengaku aku Islam dan aku beriman
Kalau belum yakin bahawa Allah maha melihat dan maha menyaksikan
Atas semua yang jelas dan yang disembunyikan.

Redup di hati....redup difikiran, 
Semoga tenang tidak berganjak mencintai Kebenaran,
Taat setia semoga dapat sampai ke peringkat 'haqqul yakin' atas Kurniaan

Memahami ikrar 'Alastu bi Rabbikum, bala! Syahidna'
Di Syurga Firdaus semoga terpilih 'bertemu' denganNya, selamanya.
Kurniaan nikmat yang tidak terhingga dari Allah yang  maha Esa.


Aamin, ya Rabb...


.....
Related Posts with Thumbnails