"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, November 13, 2015

Silaturrahim di Pulau Babi.....





Dari Satun kami dibawa ke Daerah Trang. Perjalanan dengan Van biasa sahaja dan kami terus ke Jetty untuk ke Pulau Babi.

Terkejut bila diberitahu kami akan ke Pulau Babi.

Kenapa nama Babi. Jangan hairan kata tuan rumah yang membawa kami.Sejarahnya di pulau itu satu masa yang lampau sememangnya banyak babi. Dan babi bukan suatu yang luar biasa dari sudut penerimaan masyarakat Thai. Di Malaysia sahaja rasa pelik akan nama itu.

Jika difikir panjang saya rasa kita tidak perlu rasa ganjil sangat kerana Babi juga adalah makhluk yang Allah cipta. Dan tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia. 

Kami menaiki bot waktu hampir Maghrib dan perjalanan bot tidak sampai sejam lamanya. Saya rakam pemandangan yang indah, walaupun saya sendiri rasa tidak selesa naik bot tanpa "life jackets". Tetapi di Thailand itu perkara biasa.

Kami pergi ke Pulau Babi bersama dengan Ustaz yang saya ceritakan dalam entry saya sebelum ini. Walaupun sudah berumur 58 tahun tetapi ia masih kuat dan cergas. Dia ingin menunjukan sekolah agama Islam swasta yang dibinanya di Pulau Babi itu.



Pemandangan dari Jetty diwaktu senja.





Kami bermalam di Chalet di Sukron Andaman Beach Resort semalam sahaja. Suami saya suka tempat itu dan selepas Suboh duduk mengelamun sendirian di tepi Pantai. Chalet-chalet di sini banyak disewa oleh pelancung "orang putih". Kekadang berbulan lamanya kata penyelia resort itu. Heran juga saya mendengarnya. Mungik elok juga kita tahu apa tujuan mereka......

Pulau Babi ini hampir 95% penduduknya adalah orang Islam. Tetapi kita susah membezakan dengan yang bukan Islam kerana di daerah-daerah yang kami lawati ramai yang belum menutup aurat. Dan kami diberitahu sebab itu Ustaz amat bergiat untuk membina sekolah dimana ada peluang dan ruang. Semoga usaha ustaz Allah berkati.

Malam itu kami makan di rumah Ustaz yang ada di Pulau, dan esuknya kami bersilaturrahim dengan penduduk tempatan. Kami makan pagi di warung seperti yang banyak wujud di Pulau itu. Ramai yang tahu berbahasa Melayu Thai. Saya tidak faham sepenuhnya tetapi seronok berjenaka bersama. Beberapa pelanggan bertanyakan khabar kami dari mana. Mareka nampak seronok bersalaman.



Hidangan pagi hampir sama di mana-mana. Ada kuih muih dan ada meehoon dan nasi berbagai cara masakan. Saya hanya pilih kuih muih dan berkongsi mee hoon dengan suami saya. Harganya sangat berpatutan dan teteman saya yang lain nampak enjoy menjamu selera.

Kami menaiki kenderaan teksi motorsikal dimana 3 atau 4 orang boleh duduk jika tiada barang. Saya sangat teruja menaikinya. Kadang kala laju dan ia membuat saya khuatir. Teringat saya kembara di Sudan menziarah anak saya yang belajar Bahasa Arab di sana awal tahun 2000. Pengakutan yang penduduk biasa guna juga hampir serupa itu. Teksi beroda tiga dan pemandunya selalu memandu laju. Ada yang pernah terbalik. Itu membuat saya takut.




Selepas makan dan sembang-sembang kami menuju ke Sekolah yang dibina oleh Ustaz. Bangunannya cantik seperti sekolah kerajaan di Malaysia. Malangnya sekolah ini terpaksa diberhentikan buat sementara waktu kerana satu blok bangunan itu telah dibina di atas tanah kerajaan tanpa disedari. Satu perundingan sedang dijalankan untuk menyelesaikan masalah yang ada. Semoga berjaya.

Sayang sekali. Begitulah akibatnyan jika sistem pentadbiran belum dapat mengesan data-data yang ada. Namun Sekolah ini di gunakan seminggu sekali oleh Ustaz untuk mengajar orang-orang dewasa yang sememangnya amat memerlukan majlis ilmu di Pulau itu. Ustaz menjemput pensyarah atau guru yang lainnya juga kerrana ia teramat sibuk. Sekolah ini dibina denagan bantuan Kerajaan Kuwait dan kerajaan Thai memberi per capita grant seperti sekolah-sekolah agama swasta yang lainnya.

Maka saya katakan pada suami saya dan teteman yang ada bahawa inilah yang perlu kita bantu dengan apa jua cara yang boleh. Mungkin kita boleh ceritakan pada orang-orang kaya di Malaysia untuk membantu Islam di daerah ini. Mereka semua saudara kita. Kami amat menginsafi diri dan semoga Allah menunjuki jalan menuju redhaNya.





Kami dihidangkan makan tengah hari awal hari itu oleh keluarga Ustaz kerana kami harus beredar ke destinasi yang lainnya. Ustaz juga sibuk kerana ia harus ke Narathiwat bertemu dengan pihak yang boleh membatunya dalam usaha mencari dana pembanunan sekolah.

Selepas makan kami putar-putar dengan teksi motosikal keliling Pulau Babi. Kami berhenti meninjau-ninjau kegiatan orang pulau yang ramai menjadi nelayan.  Satu pengalamn yang luar biasa buat saya dalam umur lanjut sebegini. Dapatlah, insya Allah, saya berpesan-pesan pada anak cucu apa erti berusaha, bersabar, bersyukur, berdoa dan bertawakal. Kita di Malaysia kadang-kadang leka dibuai kemewahan dan perlu disedarkan betapa kita alpa tentang tanggongjawab kita dengan rezki yang melempah ruah berbanding orang Islam di Thailand. Namun mereka lebih gigih membangunkan Islam memandang mereka kaum minoriti di Negara Thai yang bukan negara Islam.

Semoga Allah menurunkan Rahmatnya yang tidak terhingga. Aamiin.....




Selamat tinggal Pulau Babi.
Kami menaiki bot waktu hampir tengah hari kembali ke Tanah Besar untuk ke Krabi.

.......

Thursday, November 12, 2015

Gigih mendidik Generasi Islam di Satun....







Antara agenda Musafir kami di Satun ialah lawatan ke sekolah Agama Swasta. Kami dibawa oleh Zahron berjumpa Ustaz yang mengendalikannya pada jam 10 pagi hari kedua kami di Satun. Ustaz ini mengendali beberapa sekolah dibeberapa daerah, antaranya Satun, Songkhla, Narathiwat dan satu dua yang lain saya telah lupa namanya.


Kami diberi taklimat ringkas mengenai penubuhan dan perkembangannya. Kerajaan Thai memberi bantuan per capita grant dan kami difahamkan ia mencukupi untuk pentadbiran sekolah termasuk gaji guru. Cuma mereka harus mencari dana untuk pembangunan fisikal. Kami tidak cukup masa untuk penerangan lanjut mengenai dana seperti itu. Kami lebih menumpu pada bertanyakan pengisian kurikulum dan ko-kurikum memandangkan ia sekolah Islam ditengah-tengah bumi negara Buddha.

Sekolah ini mengikuti kurikulum sekolah Kebangsaan Thai dari segi ilmu akademik. Tetapi dari segi kurikula Islam, ia di rangka berasingan. Ilmu fardhu ain ditekankan. Guru-guru mesti berkelulusan peringkat sarjana muda dari University yang diiktiraf. Guru besar harus mempunya ijazah Sarjana. Pelajar diajar bahasa Inggeris dan Bahasa Arab tetapi oleh kerana sukar mendapatkan guru yang berkelayakan yang bersesuaian, maka tahap pencapaian kedua-dua bahasa ini kurang memuaskan. Ustaz menerima hakikat itu dan sentiasa berusaha sewajarnya untuk menarik guru-guru yang benar-benar berkualiti dari segi kelulusan dan akhlak Islam.

Pendidikan peringkat TADIKA (mengikut istilah Malaysia) juga ditubuhkan supaya dapat menentukan anak-anak sudah biasa dengan nilai-nilai budaya dan akhlak yang di fokuskan di sekolah ini.


Pengetua berbaju hitam bersama penolonganya.

Pada hari sebelumnya kami melawat sebuah sekolah Agama swasta juga di Satun. Sekolah ini mempunyai seramai lebih dua ribu pelajar dari sekolah Rendah dan Menengah.




Sekolah ini juga menerima grant per-capita dari Kerajaan Thai. Sama dasar yang diikuti seperti sekolah yang pertama di atas tadi. Cuma sekolah ini mengambil guru bahasa Arab dari Afrika, iaitu dari Algeria dan Ghana. Pengarah sekolah ini mengatakan bahawa dasar pengambilan guru seperti itu ialah supaya pelajar lebih serious dalam menumpu perhatian kerana guru-guru ini tidak boleh bertutur dalam bahasa Thai. Maka kedua pihak harus berusaha kuat untuk memahami antara satu sama lain.


Kurikulum agama Islam juga di rangka berasingan dan pelajar berada di sekolah hingga jam 4 petang untuk memastikan masa yang cukup dalam pembelajaran. Di kedua sekolah ini tidak ada kemudahan asrama.

Apa yang menarik perhatian kami khususnya ialah Kerajaan Thai tidak mengadakan peraturan yang menghalang pembangunan sekolah-sekolah seperti ini. Asalkan sahaja sekolah-sekolah ini tidak melibatkan diri dalam politik.

Sebenarnya Kerajaan Thai sekarang ini sudah mula membuka kelas-kelas agama Islam di sekolah kerajaan memandangkan ramai ibu bapa yang berlumba-lumba masuk sekolah agama swasta berbanding sekolah kerajaan. Kesedran tentang Islam makin lama makin meningkat. Maka untuk mengelakan ketidak-seimbangan dasar, maka sekolah kerajaan sudah mula menukar sedikit haluan dan ini kami lihat sebagai perubahan dasar yang positif. Semoga Islam akan mendapat tempat di hati setiap individu di masa akan datang. Kini kami diberi penerangan bahawa ramai penduduk yang beragama Islam tidak cukup pengetahuan mengenai Islam dan cara hidup tidak banyak berbeza dari mereka yang menganut Buddha.



Saya akhiri cerita ringkas ini dengan sepotong ayat seperti di atas yang di gantung di Bilik Gerakan sekolah tersebut. Ayat penuhnya seperti berikut.

A159
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(A-li'Imraan 3:159) | 


....

Wednesday, November 11, 2015

Semangat memberi di Satun......

Saya mulakan catatan ringkas saya dengan ayat alQuran berikut untuk pemahaman cepat dan jelas. Di Satun orang-orang Islam yang saya berinteraksi suka memberi makan pada kami yang sedang musafir. Saya yakin mereka menghayati ayat ini walaupun mereka mungkin tidak menyedari hakikatnya.
A133
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
(A-li'Imraan 3:133) |
A134
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
(A-li'Imraan 3:134) | 
















Musafir ke Satun membuat saya rasa terharu dengan semangat infak yang ada pada penduduk Islam. Bayangkan kes di hadapan saya ini. Setting rumah di tepi sungai, rumah seperti yang tertara,(sangat dhaif), kami dihidang makan seperti yang di atas itu. Kami sentiasa diberi tamabahan, makan sepuas hati hingga tidak ada kederat untuk makan semuanya.

MasyaAllah....Allahuakbar...kurnian hati budi, kurniaan ehsan hati  dari Allah pada penduduk ini amat luar biasa. Kami tidak di beri tahu akan dibawa ketempat ini. Saya rasa termalu pada diri sendiri. Entah mengapa. Saya tidak terkata dan hanya mampu bersyukur dan berterima kasih. Bukan yang kaya sahaja suka infak, Yang miskin pun mahu infak pada saudara se Islam. Mereka tahu di Kuala Lumpur susah mendapat hidangan segar seperti ini. Mereka seronok menjamu kami. Semoga rezki mereka berganda-ganda Allah kurnia dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Aamiin.

Selepas makan teteman saya semua di bawa menaiki bot untuk melihat tempat mendapatkan makanan laut yang lumayan. Saya tidak ikut kerana susah sedikit bagi saya naik turun menaiki bot. Maka saya rakam foto berikut. Semua teruja dan kagum dengan sikap penduduk Islam di sini.




Allah tidak mengira siapa kita dalam masyarakat,
Allah tidak mengira harta kekayan yang ada...
Yang banyak Allah terima ,
Yang sedikit pun Allah terima.
Sama ganjarannya.....
Asalkan sahaja kita ikhlas melaksanakannya,
Yakin Allah maha Mengetahui,
Maha Medengar dan maha Melihat
Subhanallah, Allahuakbar.....

....

Tuesday, November 10, 2015

Indahnya Satun di lubuk hati....(2).





Tempayan yang amat besar ini menarik hati saya. Ia diberi percuma oleh Kerajaan Thai pada penduduk yang mula meneroka kawasan tempat keluarga saudara Ghani tinggal sekarang. Kebun-kebun di sini samada ditanam pohon getah atau diusahakan sebagai ladang sawah padi.

Tempayan diberi untuk menadah air hujan kerana ketika itu belum ada bekalan air paip. Kini ia tebiar begitu sahaja dan menjadi hiasan kebun. Tertanya di hati mengapa emak saya tidak mendapat tempayan seperti ini semasa bapak saya menerola kawasan hutan.

Pastinya tiada jawapan.....

Semasa mudanya keluarga saudara Ghani mengusahakan kebun getahnya sendiri. Kini ia diusahakan secara pawah kerana umur bapanya sudah lanjut.

Sdr Ghani bekerja dengan Royal Navy negara Thai dan isterinya bekerja sebagai Dr Gigi setelah tamat latihan dari University di Bangkok. Ia bekerja di Hospital kerajaan waktu siang dan waktu malam ia bekerja sendiri. Kami melawat klinik Gigi kepunyaan sendirian. Sangat gigih kedua suami isteri ini dan saya rasa kagum.

Apa yang kami sangat kagum ialah prinsip hidup suka memberi itu dipraktikan di klinik giginya juga.Siapa yang sedang kesakitan dan kurang mampu untuk membuat bayaran, ia memberikan perkhidmatan percuma atau memberi kemudahan bayaran tertangguh dan menjelaskannya bila mampu.

Sikap murah hati ini menginsafkan diri saya sendiri dan amat menyanjung tinggi amalan soleh seperti ini. Beliau bercerita bukan untuk menunjuk kehebatan keluarganya, tetapi bercerita seadanya. Tidak sedikitpun menampakan airmuka bangga. Malahan bercerita kerana penduduk di kawasan itu ramai yang miskin dan tidak berkemampuan. Alhamdulilah. Allah akan  memberi ganjaran berganda-ganda. Itu janjiNYA.


Abd Ghani dan isterinya di hadapan kliniknya.
Apartment tempat tinggal terletak sebelah belakang. Ia menjemput kami masuk minum teh tetapi kami kata duduk sebentar di Klinik sudah mencukupi. Kemesraannya amat menyentuh hati. Isterinya hanya boleh bertutur bahasa Thai. Abad Ghani yang menjadi pengerat hubungan. Ia menjemput kami tinggal di rumahnya lain kali kami melawat Satun kerana banyak bilik kosong di rumahnya. 
Amat berbesar hati menyambut kedatangan kami.

Tidak cukup dengan budi baiknya, ia telah menghubungi abang sepupunya berceritakan hal kami. Abang sepupunya pula menjamu kami dengan TEH PAKISTAN dan kuih muih di rumahnya. 
Mereka amat seronok meraikan kedatangan kami. Abang sepupunya ini ahli perniagaan dan prinsip hidupnya sememangnya suka memberi.


Di rumah abang sepupunya. Esuknya ia menjemput kami untuk sarapan di rumahnya. Isterinya akan buat roti Pakistan. Tetapi kami kata cukuplah setakat itu.
Kami ambil foto kenangan.


Rumahnya tersergam indah....Hati budinya menyerlah. MasyaAllah.

........

Monday, November 9, 2015

Indahnya Satun dilubuk hati....(1)




Hampir 30 tahun yang lalu saya pernah juga ke Satun berduan. Kami tidak menjelajah jauh dan tidak berapa ingat apa yang berlaku di Satun kerana waktu itu saya hanya menemani suami saya bertemu dengan seorang rakan perniagaan.

Kali ini saya amat teruja dengan lawatan ke Satun. Sebelum saya bercerita lanjut ingin saya maklumkan bahawa lawatan kali ini adalah atas ajakan seorang teman Kg Tunku yang masih berkhidmat di University Malaya selepas bersara hinggalah kini. Ia sudah berumur 73 tahun.

Seorang pelajar peringakat PhD di bawah bimbingannya telah bersetuju menjadi "pemandu pelancung" kami selama kembara kami ke Thailand kali ini. Ia warga Thai dan fasih berbahasa Melayu Thai dan Bahasa Inggeris. Maka musafir kami bukan dalam bentuk pakej tetapi mengikuti satu program sesuai dengan gerak cita rasa hari itu. Tidak ada perancangan yang betul-betul teratur. Kita buat mengikut keadaan dan kemampuan masa.

Alhamdulilah Allah susun lebih baik dari yang kita fikirkan. Pemandu kita bernama Zahron. Ramah dan cekap gerak tindakannya. Dia ramai teman dan di Satun ia mengajak seorang kawan untuk membantunya merai kita seperti tetamu khas. Amat bertuah. Alhamdulilah. Dia membawa kita ke Tanjung Po di Satun. Pantainya bersih dan cantik. Teman Zahron ini bernama Ghani, keturunan Thai Pakistan. Kami di jamu makan. Alhamdulilah berselera dan bersantai. Lihat foto di bawah.






Ketua rombongan kami Dato Dr Husein yang bertopi putih.

Selepas makan kami dibawa ke hujung pantai di mana terletaknya pelabuhan kecil untuk ke malaysia jika suka. Cantik dan menarik. di situ ada patung seekur Ketam yang besar dan kami dan kami bergambar kenangan.





 Dari sini kita boleh ke Langkawi dengan bot. Dekat sahaja dan tidak lebih setengah jam perjalanan.



Bot untuk ke Langkawi.

Sebelum ke Tanjung Po kami  dijemput ke rumah keluarga Ghani untuk minum air kelapa muda yang diambil dari kebunnya sendiri. Wah.....sedap dan menyegarkan. Manis tidak tertanding rasanya. Alhamdulilah. Rezki dari Allah turun dalam berbagai bentuk.






Ghani dan ibu bapanya serta anak saudaranya. Keluarga bahagia yang bermurah hati. Ini budaya Thai Pakistan yang Muslim. Amat suka mengeratkan persaudaraan Islam.



Gambar untuk kenanagan.

Sebelum itu kami makan pagi di restoran kecil. Juga ditaja oleh keluarga saudara Ghani. Kami rasa segan-segan juga mulanya tetapi saudara Ghani nampak amat riang melayani kami sebagai saudara tuanya dan membuat kami rasa selesa. Di sepanjang ia bersama kami ia sentiasa bercerita mengenai kehidupan di negara Thai sebagai golongan minority dan bercerita falsafah tolong menolong antara sama sendiri. Kalaulah dapat saya menulis pangjang lebar mengenai prinsip hidup budaya keluarganya yang sememangnya bermurah hati. Zahron pemandu pelancong kami meyakinkan kami bahawa itulah prinsip hidup mereka. Mereka suka memberi. Kami rasa kagum. Allah memberi Hidayah pada sesiapa yang dikehendakiNYA. Alhamdulilah.





Kelihatan Zahron pemandu pelancung kami yang duduk kiri sekali.

Pada malam sebelum ke Tanjung Po saudara Ghani menjamu kami makan di restoran yang banyak pilihan. Ada roti, ada mee dan ada nasi. Kami suka pilih Tonyam dan kerabu mempelam yang tidak pernah dilupakan. Alhamdulilah. Amat meyelerakan.



Bercerita sambil menunggu hidangan.

Malam itu kami pulang untuk tidur rehat di sebuah penginapan berbentuk chalet. Saya berfikiran seorang diri betapa musafir kami kali ini amat memikat hati saya terutamanya sikap minoriti Islam di negara Thai. Mereka suka menjalin silaturahim. Pada saya mereka amat bermurah hati. Kami dengan mereka tidak ada apa-apa kaitan dan hubungan darah. Hanya "pelancung" biasa.
Tetapi kami Islam dan mereka suka berhubung rapat.



Ini Lobby yang kecil tetapi menarik. Romantik kata Dr Husein. 
Beliau suka di sini dan kami tinggal untuk dua malam.

.....

Sunday, November 8, 2015

Ke Thailand lagi ?...

Thailand adalah jiran terdekat kita. Namun saya tidak banyak mengenali jiran kita itu.....hanya apa yang dibaca dan didengari sahaja. 

Saya pernah ke Thailand di kurun lepas tahun lewat tujuh-puluhan mengikuti package tour hingaa ke Cheingmai. Bila saya imbas kembali saya hanya ingat peristiwa membeli belah sahaja. Lewat tahun sembilan- puluhan saya ke Songkhla membantu anak-anak angkat saya dari Acheh mengurus visa pengajiannya di Malaysia. Saya teringat peristiwa berbicara agak marah kerana kami berulang kali ke sana tetapi kes visa tidak selesai. Maka saya minta bertemu pegawai tinggi di situ yang saya tahu ia sama bertugas seperti saya, pegawai PTD. Maka dipendekan cerita selesailah kes visa itu. Bukan susah apa pun.....cuma pegawai tempatan senghaja cari susah.Tamat.

Minggu lepas saya ikut suami saya ke Thailand bersama teteman suami saya dari Masjid Kg Tunku. Saya tidak minat ke sana waktu ini tetapi demi suami saya mengajak saya, maka saya turuti.



Kami menaiki train ets ke Padang Besar dari KL Sentral. Rasa teruja juga kerana itu pertama kali kami naik train setelah puluhan tahun lamanya. Selesa perjalanan lebih kuran 5 jam itu. Cuma saya kecewa dengan kemudahan KTM di steysen Padang Besar yang tidak sempurna serbi serbi terutamanya kemudahan tandas dan tunjuk arah serta tiada kemudahan ramp untuk tarik beg besar. Tangga yang ada terlalu tinggi bagi warga emas untuk memanjatnya.

Apakan daya ....kami rakyat biasa dan melancung dengan bajet yang rendah. Alhamdulilah Allah masih memberi peluang dan kelihatan suami saya releks menunggu train di KL Sentral.



Kami tinggal di Hotel Kecil sahaja di Hatyai tempat pertama kami singgah.....sekadar selesa untuk warga tua macam saya. Sistem makanan halal di hotel itu meyakinkan saya kerana ada salinan sijil Halal dari Kementerian Pelancongan di Bangkok. Maka kami mencuba beberapa resepi tempatan yang menarik. Namun saya berhati-hati dalam mencuba kerana saya harus menjaga isi kandungan gula dalam makanan semoga tidak memudaratkan kesihatan.










Selepas makan kami belegar-legar di bandarraya Hatyai sebelum menuju ke Songkhla dalam perjalanan menuju Satun. 

Suami saya ambil kesempatan membeli buah-buahan yang okay harganya sambil meninjau-ninjau lorong-lorong kecil tempat berniaga golongan bawahan.




Berbagai jenis perniagaan kecil dan mereka menunjukan kesungguhan.

Kami meneruskan perjalanan dan kami singgah di Masjid untuk solat jamak takdim. Besar Masjidnya tetapi tempat solat terletak di tingkat dua dan agak sulit bagi saya memanjatnya. 
Alhamdulilah Allah masih mudahkan.



Kelihatan Masjid dari jauh. Gambar yang dekat tidak menjadi.


Sementara menunggu waktu kami membersihkan diri dan minum ringan di tempat pakir kereta. Jelas kelihatan penduduk Islam di kawasan itu masih
dhaif. Pemandu Pelancung kami memberi sedikit gambaran
 yang dapat kami munafaatkan, insyaAllah.


Kami tidak berhenti dan hanya putar-putar sahaja melihat pemandangan. Songkhla di tepi laut. Cantik tetapi haya sejenak menikmatinya.
Kami terus ke Satun.

......

Sunday, November 1, 2015

Harapan qariah pada Imam Masjid........



Tidak ramai yang ambil berat tentang jawatan Imam Masjid. Itu pemerhatian saya secara rambang. Mungkin pemerhatian ini tidak tepat dan mungkin tidak betul sama sekali. 

Saya cuba mendekati masjid hanya setelah saya bersara. Saya malu pada diri tetapi itulah hakikat diri saya yang kurang prihatin tentang isu mengimarahkan masjid sebelum ini. Saya masih ingat pertama kali saya ke Masjid ialah pada tahun 1982 kerana pada tahun itu saya telah mendaftar diri untuk menunaikan Ibadah Haji. Waktu itu saya berumur 35 tahun. Seorang kawan yang membawa saya untuk mengenali Masjid. Alhamdulilah semoga Allah kurnia ganjaran padanya.

Alhamdulilah kini saya ambil peduli apa yang berlaku di masjid. Saya ikuti program dan aktiviti yang dijlankan semampu yang boleh. Masih belum mencukupi usaha itu untuk meningkatkan pengabdian, tetapi saya berazam untuk memperbaiki diri. Saya bukan orang baik tetapi saya mahu menjadi baik. Semoga Allah temukan saya akan Pintu RedhaNya. Maka saya ingin kongsikan isi hati dan pemikiran saya mengenai perihal perjalanan Masjid sekadar ilmu dan akal fikrah yang terhad.






Seminggu yang lalu Masjid di Kampung saya mengadan pilihan melantik Nazir Masjid dan semua anggota pentadbiran Masjid yang di arahkan oleh JAIS. Saya ingin menumpu pada jawatan Imam kerana saya berpendapat jawatan Imam amat penting dalam menarik perhatian qariah Masjid untuk datang ke Masjid terutamanya untuk solat berjemaah 5 waktu. Solat Fardhu Jumaat itu sudah pasti pentingnya.

Kami difahamkan ahli qariah boleh mencalunkan nama-nama Imam tetapi pemilihan muktamad adalah hak mutlak JAIS. Mulai tahun hadapan saya berfahaman Imam Masjid sebaik mungkin hendaklah terdiri dari ahli qariah. Kami diberi penerangan bahawa untuk masa akan datang ada cadang di pihak JAIS bahawa tidak akan ada jawatan Nazir kerana ada keputusan untuk cuba menjadikan tugas Nazir dan Imam Pertama menjadi 2 dalam 1. Iaitu Imam besar adalah juga Nazir Masjid. Sekarang ini beberapa masjid adalah dalam rangka cubaan. Itu fahaman saya setakat ini.

Saya berpandangan bahawa untuk menjayakan cadangan itu, seharusnya ada program latihan yang inklusif dan intensif yang dijalankan dalam jangka masa yang mencukupi. Bukan sekadar melepas batuk ditangga. Ini adalah kerana kelulusan akademik para Imam sekarang belum merangkumi hal ehwal pengurusan organisasi. Namun saya bercakap dengan 'reservation' kerana sekarang sudah ada berbagai program TV yang cuba mengutarakan personality orang-orang muda yang  serba berkebolihan. Contohnya program Da'i. Saya tidak mengikuti program-program seperti itu sepenuhnya, maka mungkin tanggapan saya juga tidak tepat dan tidak menyeluruh.

Tidak mengapa.... kerana saya berpendapat banyak ruang diluar sana bagaimana mahu mencari atau memupuk bakat dalam sesuatu bidang yang dapat membentuk personality yang syumul. Tetapi program seperti itu amat kecil bilangan  mereka yang boleh menyertainya. Maka apa akan terjadi pada Masjid yang wujud hampir disetiap kampung jika tidak ada program pengurusan untuk memertabatkan Imam sebagai Nazir dan Pengurus menjadi 2 dalam satu.

Walau apa pun perubahan dasar, saya berpandangan prinsip "security of tenure" setiap Imam harus terjamin. Ia itu setiap Imam tidak merasakan jawatan yang mereka pegang akan terjejas sekiranya ada dasar baru dalam perlantikan mereka. Sekiranya ada mana-mana Imam yang perlu dilepaskan jawatan mereka, maka seharusnya mereka melalui proses yang diiktiraf sahih dalam mengurus hak "natural justice" atau keadilan saksama bagi seorang individu. Mereka ada hak didengari dan hak membela diri.


Pandangan saya ini hanya pandangan individu yang selalu sahaja rasa khuatir jika jawatan Imam dipandang "remeh". Imam adalah penggerak qariah, justeru penggerak ummah ke jalan yang dituntut dalam Islam. Pihak pentadbiran negara harus punya sistem pendidikan yang dapat membentuk individu seperti ini. Kita gerakan potensi yang ada dan kemudian bila sudah dipilih sebagai Imam kita hantar pula untuk latihan yang lebih teratur dan lebih berqualti yang membuat mereka serba bolih sebagai pemimpin jemaah masjid dan memimpin masyarakat. Jika perlu kita latih mereka secara mendalam di Institusi yang yang sesuai atau di bawah seaeorang Sheikh yang berkaliber tinggi dalam Ilmu Islam dan perlaksanaannya semoga Imam-imam ini bukan sahaja mengetuai Solat tetapi boleh mengetuai pembangunan masyarakat dan membina kepimpinan generasi muda semoga ada pelapis dalam menggerakan pembangunan ummah.

Memertabatkan jawatan Imam adalah suatu isu yang sensitif. Ada yang berkata bahawa Imam-imam tidak seharusnya cerewet kerana nanti ia akan menjejaskan keikhlasan bekerja. Saya pula berpendapat jawatan Imam harus diberi pengiktirafan sama dengan jawatan lain dalam kerajaan dan bukan terletak diatas budi bicara Masjid yang sememangnya kekurangan dana untuk mengurus sebuah masjid secukupnya. Peruntukan geran kewangan dari kerajaan pusat harus lebih dan bukan sekadar token supaya taraf Imam tidak dipandang rendah oleh sesetengah ahli samyarakat. Kalau pihak kerajaan sudah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi, maka sewajarnya jawatan Imam harus diperkasakan. Jangaan hendaknya ia menganggapnya sebagai suatu tugas sukarela. Gajinya harus diselaraskan dengan gaji jawatan-jawatan lain atau lebih dari itu. Laluan kerjayanya juga harus diperkasakan.

Ini harapan saya dan teman-teman saya di Masjid. 


Semoga apabila sudah ada perubahan positif bagi kerjaya Imam, maka akan ramai individu yang hebat-hebat mahu menjadi Imam demi kehebatan dan kesejahteraan Ummah.

Allahuakbar.......



.....
Related Posts with Thumbnails