"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, September 17, 2019

Cerita- ceriti di Pantai Timur, Kuala Dungun.....


A001





Kami sampai lewat ke destinasi Pantai Kuala Dungun dan terus ke homestay yang kami pilih. Saya sudah teruja melihat samar-samar keindahan pantai yang saya idam-idamkan untuk menjejak kaki kerana sudah terlalu lama tidak santai-santai di tepi pantai.

Malam itu kami makan di salah sebuah restaurant di tepi pantai yang ramai para pengunjung. Anak cucu sudah kepenatan. Oleh kerana hujan renyai agak lebat juga , maka kami pilih tempat yang termudah. Lupa nama. Cucu saya turut bersabar menanti hidangan yang simple-simple sahaja.

 

Esuk paginya anak dan anak menantu saya pagi-pagi lagi sudah ada di Pantai. Dia hantar saya beberapa foto kerana tahu saya lambat bergerak. Umur senja tidak cergas macam orang muda. Tapi saya tetap bersyukur Allah bagi peluang samapi ke daerah ini dan melihat keindahan mata hari terbit.
Satu keindahan yang menunjukan kebesaran Allah yang maha Pencipta apa jua yang di langit dan apa jua yang ada di bumi. Semua ciptaanNya tidak ada yang sia-sia. Allah mahu manusia berfikir-fikir bahawa semua ciptaanya adalah sempurna. Subhanallah......



Ini kiriman foto anak saya. Yang di bawah ini dari kamera saya. Dalam hati mentaddabur sendirian keindahan ciptaan Allah yang maha Bijaksana. Kalau ini pun kita lihat sudah amat cantik dan nyaman, Syurga ciptaaNya pasti tidak ada bandinganNya di alam ini sekarang. Rasa tersayu juga kerana takut tidak mendapatkan kurniaan ini kerana hidup lalai. Semoga Allah memelihara dan sentiasa mengingatkan. Mohon Belas Ehsan Mu ya Rabb......




Dibawah ini gelagat anak cucu saya. Cantik kreativiti foto ini. saya suka melihatnya kerana mesej yang tersirat. Saya selalu berpesan supaya menyantuni anak-anak dari kecil lagi. Anak-anak akan mengikuti contoh perilaku kita dari mendengari apa yang kita kata. Kalau kita mahu anak kita rajin membaca, maka kita mesti pegang buku juga dan membaca bersama. Anak-anak akan terikut sedikit demi sedikit. Kita harus rajin membeli buku-buku yang sesuai. Barulah anak akan kurang minat melihat games yang ada di hand fon. InsyaAllah. Kita iringi perbuatan dengan doa yang tidak putus-putus. Allah yang membentuk hati-hati manusia. Kita hanya mengikut sunnah RasulaNya saw.





Anak cucu saya berlama-lama di pantai. Seronok katanya. Nyaman dan segar. Lain dari rasa harian.....


Sebelum ke pantai anak saya sempat bawa kopi segar dari dapur homestay. Sesekali bercuti santai secara bajet terhad juga menyeronokan. Cuma kita rasa iri hati kekadang kerana tidak dapat bercuti di luar negara. Jika kita bersikap terbuka, keindahan yang Allah kurnia itu berbeza tetapi hakikat rasa kesyukuran itu akan sama. Cuma kita sahaja yang kekadang lupa kurniaan Allah itu berbeza tetapi nikmatnya sama kalau kita yakin Allah itu maha Adil dan maha Bijaksana.



Di atas ini foto dari kamera saya sendiri merakam dari jauh anak cucu saya berjalan dan berkejaran meninggalkan pantai kerana harus pergi minum dan ikut pula program yang sendiri telah atur.








Saya berseorangan di Pantai. Suami saya tidak bersama kerana jejari kakinya tidak sesuai mengharung air digigi ombak. Saya pun buka kasut cuba berjalan merasai sedapnya tapak kaki bersentuhan pasir. Saya terpaksa berhati-hati takutkan duri-duri tumbuhan melata yang ada di Pantai.
Ia amat bahaya untuk kaki-kaki pesakit diabetis. Kalau luka boleh merbahaya kerana sukar dibendung pendarahannya. Kami sentiasa dinasihati jangan ingat macam orang-orang yang sihat biasa.






Maka saya berlegar-legar bersendirian dan mengambil foto-foto di atas. Semuanya dari jauh-jauh belaka. Tiada cukup kederat menapak kaki di pasir yang longgar dan mudah meneggelamkan tapak kaki. Rasa lenguh dan mudah penat.

Begitu bahagian kami yang dihujung umur ini. Yang tinggal mewarisi ialah cucu-cucu seperti di bawah ini. InsyaAllah. Tidak komplain  rasa penat atau mengantuk. Cuma buat karenah jika haus dan lapar. Itu lumrah kan..........


Sampai di sini sahaja.
Entah bila Allah kurnia kesempatan untuk santai-santai di pantai lain pula.
Walau apa pun kami bersyukur atas segala nikmatnya. Alhamdulillah.


................................................

Monday, September 16, 2019

Mengeratkan keluarga di Kuala Trengganu........


A001
Alhamdulillah. Sampai hajat ke Kuala Trengganu untuk sama-sama meraikan Majlis Menerima Mempelai cucu saudara saya seperti foto di bawah ini. Saya seronok walaupun kepenatan seharian suntuk dalam perjalanan dengan kereta.



Majlis tersebut meriah sejkali. Kumpulan kompang tradisonal mengirigi perarakan dua mempelai. Saya cuba melupakan suasana yang amat panas dengan mengambil beberapa foto tetapi saya kongsikan yang di bawah ini sahaja.



Ini Azrain, anak saudara saya . Ia ayah pada Husna dan disampingnya isteri yang saya panggil Itta sahaja. Ini perkahwinan cucu sulung perempuan. Maka semuanya seronok. Sebelum ini semuanya lelaki.




Majlis jamuan amat meriah sekali. Berbagai kuih muih dan buah-buahan dihidangkan. Ramai yang hadir adalah keluarga besar kami dan ini amat penting dalam usaha mengeratkan hubungan silaturrahim. Susah sama dipikul, senang sama di jinjing. Bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh. Islam menuntut hamba-hambanya memperkuat tali salaturrahim. Semoga usaha kami di berkati.


Ini keluarga anak saya dalam majlis itu. Mereka memudahkan suami dan saya untuk bergerak ke sana sini. Alhamdulillah. Mereka mengerti erti hidup dalam berkeluarga yang masih ada Atuk dan nenek.


Dalam majlis tersebut keluarga pengatin lelaki menghiburkan semua yang hadir dengan musik tradisional dan irama-iram Solawat Nabi. Alhamdulillah. Satu kelainan yang amat saya sukai.


Dan ini kenanagn abadi buat saya. Semoga mempelai bahagia 
hingga ke Syurga.


.............................................

Sunday, September 15, 2019

Dungun revisited.......


A001
Pertama kali saya ke Dungun dalam umur hidup saya ialah dalam tahun 1974 ketika saya mula bekerja di Jabatan Perdana Menteri, ketika itu Allahyarham Yab Tun Abdul Razak. Tiba-tiba saya ingin bercerita peristiwa ketika itu sekarang ini semasa saya mulakan menulis tentang jalan-jalan santai di Pantai Timur.

Dungun waktu itu amat ketinggalan dalam arena pembangunan negara. Maka YAB Tun Razak mengarahkan di adakan Expo Pembangunan sebagai satu kempen besar-besaran mahu membuka minda rakyat untuk memahami hal-hal pembanguann diri dan pembangunan negara. Semuanya bermula dari diri dan Tun Razak amat komitted untuk membantu rakyat menyedarkan mereka cara membangunkan diri untuk kemajuan.

Bila terfikir-fikir semula saya rasa terharu dengan komitmen beliau. Waktu itu lagi Tun sudah menerima hakikat bahawa kita harus terbuka minda untuk bekerjasama rapat dengan pihak Swasta dalam membangunkan negara tercinta ini. Maka waktu itu lagi Tun Telah melantik pakar runding untuk menjayakan Expo pembangunan yang mudah tetapi berkesan.

Jangan terkejut waktu itu Tun melantik Lim kok Wing dan teamnya untuk tujuan ini. Yang terserlah juga waktu itu ialah Mustaffa Shariff yang bijak dalam bidang pengiklanan. Projek itu memberi saya pengalaman yang amat terkesan di minda dan hati.

YAB Tun datang melancarkan Expo itu dan memberi kata-kata dorongan yang saya ingat amat menyentuh hati. Saya masih inga saya ada seorang kawan rapat yang bertugas di Dungun waktu itu sebagai guru di sekolah menengah. Ramai yang datang menyambut Tun. Sayangnya saya tiada foto untuk saya kongsikan sekarang. Persahabatan saya dengan teman saya itu kekal hingga sekarang dan bila cerita Dungun kami akan gelak ketawa. Beliau akhirnya berkahwin dengan guru beturanan Cina dari sekolah yang sama. Waktu itu saya hairan kerana teman saya ini ialah seorang "chauvanist Malay" berkahwin dengan seorang  "chauvanist Chinese". Mana mungkin dalam aqal biasa. Tetapi ia terjadi dan saya kagum hingga hari ini kerana suaminya itu sekarang ini amat bersifat seorang Muslim yang melangkaui kesombongan keturunan. Beliau banyak mengajar hingga hari ini secara sukarela kepada anak-anak Melayu yang lemah dalam bidang Mathematics dan statistic diperinkat pengajian tinggi. MasyaAllah........

Kenangan indah di Dungun buat saya rasa ingin tinggal lama untuk mengingat kembali kisah-kisah saya menimba pengalaman hidup terutamanya mengenai kerjaya saya dengan adanya pengalaman bertugas bersama Lim Kok Wing. Sekarang saya sudah tidak berhubungan dengan beliau lagi dan mungkin beliau pun sudah lupa peristiwa bekerjasama hanya dalam 4 atau 5 bulan itu.

Maka suami saya bersetuju kami bermalam di Kuala Dungun. Di bawah ini saya catat sedikit kisah bermalam di Homestay yang saya amat berpuas hati dengan kos dan kualiti perkhidmatan yang diberi.




Ini deretan rumah Homestay. Kami diberi  rumah yang di bawah ini.
Ada tiga bilik yang selesa buat kami dan anak cucu.





Foto kenangan di hadapan homesty sebelum checkout esuk harinya.
Itu cucu saya Amru Fathullah namanya.


Ini pemandangan di hadapan homestay itu. Segar dan yaman.


Ini pejabat homestay. Tidak banyak karenah.


Di sebelah rumah ada pohon hampir mati tiada daun. Teringatkan duduk di musim luruh semasa tinggal diluar negara semasa muda dahulu .... sangat lama dahulu.


Ini peristiwa best sekali. Ke mana pergi sekalipun kami akan diingatkan
 peristiwa sejarah negara secara santai. Seronok juga jalan-jalan santai ini.


Tetapi kami makan di sini. Amat enak dan bagus tempatnya dan perkhidmatannya.



Cucu-cucu saya enjoying themselves.
Catatan ini untuk kenangan saya dalam kehidupan waktu senja ini.

Itu dulu dan nanti insyaAllah saya sambung cerita santai-santai yang lain.
Semoga Allah beri umur yang bermunafaat.


...........................................

Saturday, September 14, 2019

Ketagih ingin jalan-jalan........




A001

Kira-kira sudah agak lama saya tidak kemana-mana mengimbas kembali laluan hidup secara santai. Rasa ketagih ingin jalan-jalan cari ilham, fikir-fikir sakan.........

Saya ajak anak lelaki saya serta anak-anak dan isterinya ikut saya dan suami jalan-jalan ke arah Timur kerana sudah amat lama tidak ke daerah itu. Kebetulan cucu saudara saya akan kemajlis menyambut mempelai di Kuala Trengganu pada 7 September.
Suami dan saya setuju drive santai-santai sebelum sampai ke Kuala Trengganu. Kami melalui Temerloh kerana ingin melihat bagaimana bandar itu membangun sambil cari tempat untuk minum pagi,....ngopi kata setengah orang.

Temerloh sudah menampaan kelainan tetapi saya tidak menjumpai sesuatu yang luar biasa.Malahan kami tidak jumpa tempat yang sesuai bagi kami dan cucu-cucu. Maka kami jalan terus dan kemudian berpatah ke Highway untuk ke Kuala Trengganu.

Sambil duduk santai dan selesa dibelakang kereta VellFire yang dipinjamkan oleh anak saudara, saya melamun fikiran. Walaupun saya sudah tinggalkan tidak mendengari berita di sosial media namun saya masih tetap terfikir-fikir tentang kepimpinan,......dalam organasasi atau dalam negara. Saya sudah lama bersara tetapi isu tadbir urus tidak dapat saya pisahkan dalam hidup saya. Malahan anak-anak ada yang menyatakan secara "body language' bahawa saya masih mahu menganggap kehidupan di rumah sama dengan di pejabat.

Dalam kehidupan saya katakan ada prinsip-prinsip yang relevan di rumah dan relevan di pejabat. Kalau malas di rumah, memenglah malas di pejabat. Kalau tidak mahu tolong menolong di rumah maka seorang individu itu memang tidak saling membantu di pejabat. Kita semua adalah watak yang satu dan sama. Jika tidak, mesti ada niat kepurapuraan. Sahih......

"The measure of a Man is what he does with Power". Ini kata bijak pandai secara umumnya.

Seorang lelaki pemimpin di rumah pasti ada kaitannya dengan cara kepimpinannya di luar rumah, di tempat bekerja biasa atau di Negara. Sering kita lupa kepimpinan adalah suatu tanggongjawab yang berat yang Allah beri pada lelaki dengan syarat-syarat tertentu. Maka seseorang lelaki semestinya mempunyai Ilmu yang benar dan cukup untuk menjadi asas kepimpinannya, bukan memimpin membuta tuli.

Saya tidak bercadang sebenarnya untuk cerita mengenai kepimpinan secara mendalam. Cuma saya ingin tekankan pada anak-anak bahawa jika tidak mencari Ilmu yang Benar dan sungguh-sungguh mengamalkannya maka jangan mimpi kita akan mencapi satu keharmonian dalam rumah tangga. Jika rumah tangga tidak harmoni bagaimana mahu mendapatkan organisasi yang haromoni, dan kemudian masyarakat yang murni, dan diikuti pula dengan Negara yang murni. Tentu mustahil.....

Semuanya bermula dengan diri dan bermula di peringakat keluarga  dan rumah tangga. Sahih......

Eh...Eh.... terlajak bicara....

Kita teruskan dengan perjalanan ke kuala Trengganu.


Kami singgah di Teluk Chempedak Kuantan. Semasa bekerja dahulu selalulah saya sampai di sini dalam tugasan membina sekolah di seluruh negara. Tidak banyak perubahan dan saya perhatikan tidak ramai pengunjung. Kata anak saya waktu malam ramai kerana siang sangat panas dan tidak boleh berenang pun. Maka kami duduk legar-legar dan makan tengah hari secara ringan sahaja.



Saya dan suami tunggu makanan dan dikelihatan juga cucu saya boring dan terpakasa ibunya pinjamkan telefon untuk seketika. Di rumah kami amat tidak memberi peluang sewenang-wenang dengan telefon. Amat merugikan dari segi jangka panjang. Tambahan pula dalam permainan "games" sudah banyak unsur-unsur yang dipengaruhi nilai-nilai yang tidak Islamik. (Nanti kita cerita panjang insyaAllah dilain masa).




Dalam duduk menanti makanan saya ternampak bangunan diatas ini. Kata anak saya ia dipunyai oleh ahli dalam kumpulan yang dahulu kita kenali dengan nama Pertubuhan Arkam yang kini sudah di haramkan. Tetapi katanya ia berterusan dengan nama yang lain dan kaedah yang lain. WaAllahu'alam. Saya kurang tahu. Namun yang menarik perhatian saya ialah Tag line "Ingat makan Ingat Tuhan". Lihat di foto yang atas.

Menarik buat saya. Lain dari yang lain. Tetapi tidak semua yang lain itu baik dan benar. Kita kena hati-hati juga.

Sekembalinya dari Kuala Trengganu kami singgah lagi di Teluk Cempedak dan melihat kawasan yang berlainan sedikit.




Melihat pantai dari sudut lain.


Setelah agak puas kami ambil keputusan untuk balik Putrajaya. Kami singgah makan di R&R Temerloh. Ooii mak...... ikan Patin sahaja menu yang dijual dengan nasi. Anak menantu saya suka ikan patin maka menjamu seleralah dia. Saya makan biasa-biasa sahaja. Alhamduluillah.

Sampai di sini dahulu. Nanti sambung lagi kisah di Trengganu.
Semoga kesampaian.


.....................................
Related Posts with Thumbnails