"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, December 5, 2009

WAJAH - WAJAH



Tahun 2009 kini hampir kepenghujungnya. Suka saya kongsikan detik-detik ingatan yang telah menyentuh hati dalam meneruskan hidup ini sebagai satu perjuangan untuk bersama-sama mereka yang berjihad ke jalan Allah swt. Detik-detik ini saya rakam melalui wajah-wajah insan dari yang muda hingga yang tua berlatar belakangkan peristiwa-peristiwa yang biasa-biasa tetapi kadang kala ada signifikannya.

Apa jua peristiwa dalam hidup kita tidda yang berlaku secara kebetulan dari segi kehendak Allah dan SunatullahNya. Manusia diberi pilihan. Namun kuasa mutlak adalah pada Allah semata-mata.


Saya mulakan dengan wajah cucu perempuan yang pertama dalam keluarga terdekat bagi saya.Keseronokan serupa sahaja kerana kesemua itu kurnia allah swt jua. Tetapi perhatian semasa kelahirannya lebih sedikit dari segi mahu menatapi wajahnya. MasyaAllah, cantik kurnia Allah seperti ibunya. Ini wajah kedua ibu bapanya yang meraikan ulang tahun kedua perkahwinan mereka dengan mengajak saya dan suami makan malam di sebuah restaurant yang unik kerana tuan punya restaurant itu sendiri yang melayan perbualan.Dia telah menjelajah hampir seluruh dunia dan restaurant ini menggambarkan pengalaman seorang pengembara yang cuba memahami cita rasa manusia yang berbagai rupa.







Ini wajah cucu pertama yang dari bayi lagi sudah menampakan perwatakannya yang aktif. Huzaifaf antara namanya. Dari lahir hingga lepas pantang setiap malam menangis tanpa sebab yang mudah difahami.Saya mengasuhnya dari lahir sebelas hari hingga umur nya 6 bulan kerana ibunya terpaksa ke Jepun melanjutkan pengajiannya. Kini ia berumur 4 tahun dan tidak seminit dia akan diam melainkan jika tidur dan menonton kartun yang diminati di TV, atau membaca buku bersama ibunya. Itu pun sekejap sahaja. Kata ibunya itu normal kerana dia sudah di perhati oleh seorang doktor pakar semasa membesar di Tokyo, Jepun. Gambar di sini bersama Tok Ayahnya yang terlalu memanjakannya.


Berpindah pulak kita kepada cerita anak-anak yatim dan miskin. Dibawah ini adalah sebahagian peristiwa yang mana sebagai ahli Pertubuhan Mawaddah Malaysia membantu mengadakan aktivi untuk mereka memupuk semangat jati diri.




Ini wajah-wajah anak-anak yatim ketika diraikan dirumah seorang teman. mereka sedang bernasyid dan menunjukan bakat bersilat mempertahankan diri. Ini kumpulan kaum ibu yang meraikan. Saya rasa hati anak-anak ini merindui keluarga kerana mereka tinggal di asrama khas. Sebab itulah anak-anak yatim ini Allah beri perhatian istimewa dan disebut beberapa kali didalam alQuran.Kita dituntut meraikan anak yatim sekalipun mereka kaya dan berada.



Ini wajah-wajah anak keluarga miskin yang menghadiri program pembelajaran tambahan secara berlainan dari yang diberi di sekolah. Kami sebagai NGO mengaturkannya dari masa kemasa bagi memberi motivasi semoga mereka dapat memantapkan diri untuk mencintai dunia pelajaran dan pendidikan. Mula-mula mereka menampakan watak yang pemalu. Tetapi dengan usaha fasilitator yang komited untuk membantu, mereka cepat mesra dan menunjukan minat untuk memperbaiki diri dalam pembelajaran. Program itu kami namakan "English is Fun", dan kami sasarkan agar mereka tidak takut bertutur dalam bahasa Inggeris.





Ini wajah Ustazah Mardziah A. Rahman, ketua biro wanita masjid Ar Rahman, Kg. Tunku selama 6 tahun, 2003-2009. Saya menjadi setiausaha kerjanya.Beliau mempunyai perwatakan mudah berinteraksi, banyak bersabar dan banyak berkongsi ilmu. Di bawah pentadbiran baru kerajaan negeri, mereka yang berumur lebih 60 tahun tidak layak memegang jawatan, termasuklah saya.Tidak mengapa kerana "dimana ada kemahuan, di situ ada jalan".Setiap kerja sukarela tidak ada kesudahannya selagi Allah memberi kemampuan. Alhamdulillah, Allah kurnia rezki mendapat kawan-kawan yang masih bergiat membantu yang kurang upaya dan saya dapat membantu usaha itu.


Ini pula wajah ibu-ibu yang menghadiri sessi "katakan Tidak pada keganasan.". Mereka di beri penerangan mengenai masaalah keganasan atas wanita kanak-kanak dan ada juga pada warga tua. Tujuannya ialah untuk memaklumkan mereka cara mencari jalan keluar dari masaalah ini. Mereka mendapat maklumat yang diperlukan dari wakil-wakil prihatin, iaitu dari peguam, polis dan Jabatan Kemajuan Masyarakat.Mereka juga ditunjukan video yang memberi penerangan mengenai pusat "One Stop Centre" di hospital. Yang memberi penerangan ialah seorang doktor perubatan. Semoga ada munafaatnya.Sekurang-kurangnya mereka memahami bahawa keganasan bukan hanya keganasa fisikal tetapi juga keganasa emosi dan yang terlibat buka mereka yang miskin tetapi juga yang berpelajaran dan yang kaya.




Ini wajah kakak saya yang tertua yang masih ada bersama keluarga. Beliau berumur 73 tahun dan sudah kehilangan penglihatan dan sedikit pedengaran kerana sakit kencing manis. Ia sentiasa mengingatkan saya kepada 5 perakara sebelum 5 perkara, iaitu : Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin,(tolong sambung untuk saya).
Kakak saya ini dahulunya seorang guru terlatih selepas perang dunia kedua.. Cerita-cerita zaman pemerintahan Jepun dan Komunis adalah antara yang ia minat bercerita pada cucu cicit semua. Kisah kakak saya menginsafkan diri saya kerana saya juga ada berbagai penyakit dan antaranya ialah tekanan darah tinggi dan kencing manis jua. Doa kami ialah semoga Allah akan terus memberi peluang untuk menyumbang khidmat bakti pada masyarakat sebagai bekalan pulang ke Sana.

Ini pula wajah abang ipar saya, iaitu suami kakak saya yang di atas. Ini gambar bersama anak lelakinya yang gigih berniaga apa jua yang munasabah. Sekarang dia mewarisi bapanya membantu ajen membawa jemaah Haji untuk ke Mekah, termasuk Umrah. Syabas saya katakan padanya kerana Bahasa Arabnya boleh di kira baik memandangkan dia tidak menghadiri kursus formal bahasa tersebut.Beliau tidak ke University tetapi usahanya yang gigih boleh menyaingi mereka yang ke university. Selalu saya katakan, Allah tidak buat dunia kita ini sempit. Jangan kita yang menyempit-nyempitkan.


Ini pula wajah kakak saya yang berumur 71 tahun bersama cucu saudara. Di bawahnya pula gambar suaminya.Alhamdulillah masih mampu berdikari. Mereka tinggal suami isteri sahaja. Suaminya dahulunya seorang guru bebas dan antaranya guru seni lukis dan guru tamn asuhan kanak-kanak dan tadika. Kini telah bersara. Dia seorang peminat Barisan Nasional. Maklumlah di Johor. Tetapi sekarang ini dia tidak begitu sihat kerana kencing manis. Bila berbincang mengenai politik negara, ia senyum selalu. Tidak tahu mengapa. Saya pun tidak bertanya. Mungkin sudah tukar haluan. Mungkin tidak kuat lagi dengan Barisan Nasional. Undi itu rahsia katanya.Saya pun senyum juga.



Ini wajah-wajah keluarga kakak saya yang berumur 70 tahun. Ia masih kuat dan berbuat apa sahaja dalam rumah tangga. Masih mampu masak untuk 15-20 orang. Anak-anak nya semua lelaki. Tetapi jangan terkejut, kalah perempuan dari segi kecekapan mengurus anak dan membantu isteri. Walaupun sudah punya isteri yang cekap-cekap belaka, tetapi bila berkumpul Mak juga yang buat kopi atau milo bagi mereka. Itulah agaknya bukti air tangan emak itu besar pengaruh dan kesannya. Tetapi saya masih kata ini melampau!


Bersambung, insyaAllah.

Friday, December 4, 2009

DOA - Kalis Radar, Kalis virus



Saya minat politik tetapi saya bukan orang politik.Saya berpegang pada prinsip bahawa KEBENARAN ITU TIDAK MEMIHAK, YANG BENAR TETAP BENAR DAN YANG BATIL TETAP BATIL.Kebenaran tidak terletak dan tidak ditentukan pada "conscience" sesaorang yang tidak terdidik dengan alQuran sepenuhnya.

Doa itu neutral sifatnya, maka kenapa kita perlu takut pada doa kalau kita di tempat yang benar. Allah swt itu maha mengetahui, maha bijaksana, maha melihat, maha mendengar, maha adil, maha menghendaki, maha kasih sayang, maha menentukan, maha berkuasa atas segala sesuatu dan seterusnya hingga 99 kesemuanya. Seperti sudah banyak diperkatakan di media termasuk media elektronik, doa Tuan Guru Nik Abd. Aziz sebagai hamba Allah akan didengari setelah semua syarat-syarat doa yang diterima di penuhi. Tetapi hak mutlak adalah pada Allah.

Doa adalah "senjata perang" yang kalis radar dan yang kalis virus. Musuh tidak nampak pada senjata ini. Mereka tahu tetapi mereka tidak mampu melawannya. Di Afghanistan dan dimana saja di bumi Allah manusia mempertahankan kebenaran, musuh tidak akan berjaya, berkat doa orang-orang yang soleh. Selalu saya katakan pada anak -anak dan teman-teman bahawa kita orang Islam patut yakin pada senjata ini. Lihat bagaiman Rasulullah saw dan sahabat-sahabat bermunajat setelah berusaha. Allah limpah kurnia doa-doa mereka dimakbul kan. Perinkat keyakinan mereka mengenai kekuasaan Allah bukan sahaja setakat Ilmu Yakin, Ainul Yakin tetapi keperingkat Haqqul Yakin.

Kita ditahap mana maka kita mahu berbicara tentang doa?
Wallahua'lam.

Thursday, December 3, 2009

WHAT IS LOVE IF LOVE IS...............



Seolah-olah dengan tiba-tiba saya terdengar seorang artis menyayi dengan penuh emosi : "What is Love if Love is without you." Saya sedang tunduk cuba menikmati 'dessert' dalam satu majlis jamuan makan malam meraikan seorang yang ternama dalam masyarakat kita yang telah menjangkau umur 85 tahun dan 81 tahun suami dan isteri. Ia diadakan di sebuah hotel mewah di bandaraya Kuala Lumpur. Semasa bekerja dahulu selalu juga saya ke hotel mewah hinggakan kini saya kurang minat ke sana kerana ia mengingatkan saya betapa saya sering lupa mengingati Allah disebabkan persekitaran yang boleh melekakan hati dan minda. Oleh kerana tumpuan saya tidak pada persembahan artis-artis maka setakat itu sahaja ia menarik perhatian saya.

Namun senikata yang sedikit itu terngiang-ngiang di telinga saya semalaman hingga ketiduran. Teringat saya perjalanan hidup masa lampau. Nostalgia, tetapi saya mengingatkan diri saya bahawa nostalgia boleh jadi mainan syaitan jika ingatan itu tidak atas perkara yangAllah suka dan tidak menemui tepian atau kesudahan. Kata kawan baik saya orbit pemikiran kita dan emosi kita tidak boleh lari terlepas dari mengingati Allah. Apa jua yang kita fikirkan dan kita lakukan semestinya berlandaskan hakikat bahawa di hujung perjalanan hidup kita, kita pasti menghadap Allah, (kepada Allah kita dikembalikan).

Begitu juga kasih sayang antara suami isteri. Kasih sayang tidak wujud dalam vaccum. Ia wujud dalam suatu wadah jiwa yang perlu dididik dan ditarbiah mengikut manhaj hidup Muslim. Jika Allah kurnia kita dengan umur yang panjang dan jiwa kita terdidik halus dengan nilai-nilai murni berlandaskan alQuran dan hadith, pasti hidup ini penuh kebahagiaan yang di lingkupi rahmat Allah dan kasih sayang dariNya. Maka esuk paginya saya mencatat apa yang dalam fikiran saya sebagai muhasabah diri.

CINTA
Apalah erti cinta, kalau cinta itu wujud tanpa mengenal siapa Tuhan mu,
Atau kau rasa kau kenal, tetapi hanya yakin setakat yakin ilmu

Engkau melihat tetapi yang engkau lihat tiada erti
Kerana engkau tidak melihat dengan menggunakan mata hati.
Engkau mendengar, tetapi ia masuk telinga kanan keluar telinga kiri
Kerana kau mengatakan yang engkau lihat dan yang engkau dengar belum cukup bukti
Dan engkau berterusan melangkah kaki seolah-olah mencabar kewujudan Ilahi
Tanpa disedari!

Jadi bagaimana engkau akan faham dan akan merasai apa itu erti CINTA
Skadar engkau dendangkan penuh emosi yang belum mengerti dan belum boleh membeza
Jiwa mu lembut bila berbicara, tetapi keras bila diminta tunduk sujud dengan sebenar-benarnya
Engkau lupa engkau diperhatikan olehNya setiap detik dan setiap masa
Atau pun engkau ingat tetapi ingatan itu pudar dan seperti lintasan jua
Kerana cepat-cepat kau ingin lari bebas dan berbuat apa saja mengikut apa yang engkau rasa selesa.

Air mata mu mengalir bila engkau terkenangkan nostagia hidup dan kehidupan
Hati kecilmu berbisik kesunyian kerana itu fitrah manusia setelah engkau bejauhan
Dari jasad yang kuat, dari fikiran yang tajam, dan dari anak-anak yang bertaburan.kediaman
Engkau merindui kasih sayang, gelak ketawa riang mereka yang dahulu engkau jalan seiringan
Kini mereka juga seperti engkau cuba berhubung dan berdampingan
Dengan mereka yang engaku rasa dapat mendekatkan engkau pada Kebenaran.

Engkau kembali membuka alQuran, mencari di mana kesalahan dan di mana kecuaian
Doa orang tua mu sentiasa didengari oleh yang Maha Berkuasa merestui harapan
Jangan engkau putus asa dari Rahmat Tuhan yang maha Pengasih, maha Penyayang.
Pintu taubat luas terbentang, asalkan jangan enkau menanggohkan dan melambatkan
Kerana Sakaratul Maut mungkin berjauhan tapi mungkin juga berhampiran
Melutut sujud menyerah diri dan kembali pada jalan yang Allah telah tentukan,
Semoga hidup mu sejahtera untuk sekarang dan di Hari Kemudian.

Wallahua'lam
Semoga Allah mengampuni dan meredhai.
Allahuma amin.

Wednesday, December 2, 2009

TA'SUB MEMBACA



" I love to read, especially novels." kata anak perempuan saya semasa kecil dahulu. Dan dia akan membaca dan suka "bersembunyi" di bilik untuk menghabiskan apa yang dibaca. Kadang-kadang bila kaum keluarga datang dan dia sedang membaca, amat susah menyuruh ia turun meraikan keluarga sebagai tetamu dan menjalin silaturrahim.  Seolah-olah  seperti saya kena "mengheret" dia keluar bilik. Dengan muka seribu bantahan dia akan turun. Sebenarnya dia seronok melayan emak-emak saudaranya bila datang, tetapi bila dia sedang membaca seperti ia sedang solat :'jangan ganggu'. Sekiranya dia membaca blog saya ini pasti dia tidak sedar bahawa itu kesan ta'sub membaca.  Bila ke kedai buku pun dia akan sembunyi disatu penjuru untuk membaca apa jua. Harapanya supaya saya tidak nampak dan dia berpeluang membaca sebanyak mungkin di dalam kedai buku itu.Maklumlah saya kurang mampu untuk membeli bermacam-macam buku kesukaannya.Dan saya pun kena "mengheretnya" keluar.

Sekarang telah dewasa, telah berumah tangga dan punya anak tiga, tetapi masih ta'sub membaca. Entah berapa puluh atau ratus buku yang telah dibeli dan dikumpulnya. Itu belum lagi dia duduk depan komputer, entah apa yang dibacanaya. Di sini ingin saya katakan bahawa seperti lain-lain hobby atau kesukaan, amat suka membaca  mempunyai kesan sampingan walaupun hasilnya baik kerana tujuannya baik. Banyak munafaat yang telah saya lihat tetapi hari ini saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan pada anak saya dan siapa jua yang keterlaluan suka membaca.

Alkisah seorang kawan sepejabat dahulu semesa bekerja menceritakan bahawa suatu hari isterinya telah menghumban keluar semua buku-bukunya kerana apabila di rumah dia akan baring di pertiduran di hujung minggu dan terus membaca. Dia mengakui bahawa dia amat kurang membantu kerja-kerja rumah dan amat kurang melayan anak-anak. Isterinya tidak berkata apa-apa ketika itu kerana sudah amat penat merayu supaya melapangkan masa untuk keluarga. Kawan saya ini seorang guru dan isterinya seoran jururawat awam. Ini merumitkan lagi kedudukan kerana isteri kena ada shift malam. Lepas kejadian itu ia "taubat" dan mengubah cara hidupnya.

Allah tidak suka sesiapa yang melampau batas. Ada beberapa ayat alQuran yang bermaksud demikian walaupun tidak disebut membaca sebagai suatu yang tergolong di dalamnya. Tetapi bila membaca telah mengurangkan masa untuk aktiviti lainnya, yang juga sama pentingnya,  maka saya akan mengatakan itu juga satu perbuatan yang melampaui batas. Kini adalah giliran anak pula diajar membaca dan diajarkan berbagai kemahiran yang lainnya. Masa untuk ibu membaca harus dikurangkan, apatah lagi kalau buku yang dibaca adalah buku-buku novel tulisan penulis-penulis barat yang tidak berbentuk Islami. Saya khuatir minda bukan Islami akan menyerap kuat dan ia akan memnjejas nilai-nilai Islami. Mungkin ada yang tidak sependapat dengan saya, tetapi saya yakin ia demikian. Seperti juga jika sesaorang itu banyak menonton filem-filem keluaran barat yang memaparkan thema yang mengagongkan kepintaran berfikir dan  menonjolkan keunggulan ilmu teknologi, saya khuatir ini akan memberi impak negatif kepada daya pemikiran yang seharusnya bersifat syumul yang mengambil kira fitrah kejadian manusia dan alam semesta ciptaan Allah ini. 

Jika ingin juga terus membaca dan terus membaca, maka salah satu jalan keluar ialah menghadiri kursus "speed reading". Ini amat membantu untuk kita cepat membaca dengan kadar pemahaman yang munasabah. Sebabnya  kita tidak perlu membaca perkataan demi perkataan untuk memahami 80%-90% dari apa yang kita baca. Satu lagi ialah mengaplikasi  "marginal theory of utility in economics"  ke dalam "marginal theory in reading". Jangan terperangkap dalam keadaan kita mendapat munafaat yang sedikit tetapi terlalau banyak masa yang kita gunakan yang boleh menjejas kerja-keraja lain. Sebabnya kos masa tidak dapat dikira seperti kos dalam bentuk wang ringgit.


Membaca dan semua bentuk hobby  bukanlah  matlamat akhir dalam hidup kita. Ia adalah wasilah untuk mencapai matlamat yang lebih besar.  Kalau membaca hanya untuk seronok sendiri kerana dapat menghayati penulisan yang tinggi seni dan teknik pengolahan plot dalam cerita, (kalau membaca novel),  maka saya berpendapat belum ada "value added"  dalam diri kita yang dapat membolehkan kita menyumbang pada keluarga, organisasi atau masyarakat. Ini penting kerana bila sampai masanya kita diarah untuk berpindah ke alam yang kekal, takut nanti kita terkapai-kapai kerana berpegang pada prinsip 'membaca demi suka membaca'.

Islam menuntut gaya hidup yang sederhana dalam semua aspek. Alhamdulilah, bagi yang suka membaca mereka telah menyahut seruan "Iqra'" seperti dalam alQuran. Jenis bacaan harus dipelbagaikan dan ilmu yang diperolehi dari membaca harus disebarkan. Dalam pada itu harus waspada bahawa anasir-anasir negatif ada juga dalam hobby membaca. Maka jangan kita ta'sub. Kesederhana kunci kesejahteraan.
Wallahua'lam.

Monday, November 30, 2009

PENILAIAN BERBAGAI SUDUT




Cantik bunga-bunga di halaman rumah tempat saya berkunjung menzirahi kakak saya yang tinggal di kampung.  Saya masih ingat pokok-pokok ini adalah sebahagiannya peninggalan Allahyarham emak saya. 
                                                                                                                                                                                                                                                                 
Eiduladha kali ini saya pulang ke Kampung Parit semerah, Pontian, Johore, tempat saya dilahirkan dan tempat saya dibesarkan. Suasana Hari Raya Korban di Pontian tidak semeriah seperti ditempat lain. Saya balik ke rumah kakak dan berhari raya dengan anak-anak buah dan keluarga mereka. Masih ada penghayatan konsep 'extended family' dan saya bebas menegor apa-apa yang tidak kena mengenai prilaku mereka. Alhamdulilah, masih rasa dihargai sebagai orang tua dalam keluarga.

Topik perbualan masih berkenaan peperiksaan UPSR sekolah rendah. Dua orang cucu mendapat keputusan yang kurang menggembirakan emak ayah masing-masing kerana seorang dapat 3A dan seorang lagi 4A sahaja. Oleh kerana dahulu saya berkerja di kementerian pendidikan, mereka kata saya boleh memberi nasihat pada cucu-cucu. Saya senyum kerana agak tidak bersetuju dengan saranan mereka. Saya katakan pada mereka supaya jangan kecewa kerana ini baru peringkat permulaan dalam perjalana hidup yang masih jauh lagi.Yang rasa hampa, rasa kecewa adalah ibu bapa kerana anak-anak mereka dianggap sebagai gagal kerana bilangan "A"nya tidak seperti yang di harapkan.

Saya ulang-ulang mengatakan supaya tidak gundah dan terbantut harapan kerana anak-anak mereka saya lihat ada potensi untuk maju. Saya lihat setakat ini mereka membesar dengan badan yang sihat dan emosi yang riang. Dari segi akhlak saya lihat tidak ada apa-apa yang keterlaluan sama ada dari segi tingkah laku atau cara mereka mengurus diri dan kemahuan hati. Saya menasihatkan ibu bapanya supaya jangan menggunakan anak sebagai 'alat persaingan' hidup dalam masyarakat. Kata kawan baik saya jangan gunakan anak sebagai 'bahan pameran' keluarga. Mereka sayang anak dan rasa seronok dengan anak sebab anak "pandai" dan pandai hanya di ukur dari segibilangan 'A' yang diperolehi dalam peperikasaan. Saya mengatakan 'A' dalam peperikasan di tahap mana sekalipun bukan penentu kejayaan. Ia hanya merupakan faktor yang menyumbang pada kejayaan. ( It is not a determinant factor but only a contributing factor). Ini saya lihat dari pengalaman dalam kerjaya saya dan hidup harian saya.

Ibu bapa hanya perlu muhasabah diri dan melihat kembali strategy pembelajaran dan pendidikan bagi anak-anak, terutamanya pendidikan akhlak. Kita rujuk alQuran surah Al Lukman. Asas pendidikan adalah akhlak, jangan kita mensyirikan Allah. Paradigma tauhid perlu wujud dalam semua perilaku harian. Yang kita harus bersedih yang amat sangat ialah jika anak kita tidak menampakkan potensi seorang yang soleh.Kalau potensi ini wujud, maka insyaAllah yang lain akan mudah dibina dan insyaAllah akan mendapat pimpinan ke jalan yang di cita-citakan. Semua dengan Rahmat dan Kehendaknya.

Saya pun membuat pemerhatian bahawa bibit-bibit takut atau khuatir pada penilaian diri sudah ditekankan dari umur yang begitu muda. Maka tidak hairanlah bila sampai di peringkat pengajian tinggi ramai pelajar yang sikap persainagan nya hingga menjadi "kedekut" untuk berkongsi ilmu. Masing-masing seperti enau di hutan, mahu melepaskan pucuk masing-masing. Saya ingat semasa saya di University dahulu pihak Library bersungut kerana buku-buku diletak di seksyen yang bukan pada tempatnya kerana ada mahasiswa yang tidak mahu buku itu terdapat di tangan pelajar lain. Persaingan amat sengit sekali. Tetapi ini adalah bentuk persaingan yang tidak sihat.

Dan bila dewasa dan masuk kedunia pekerjaan pula, ramai yang melihat penilaian sebagai satu proses penapisan untuk meletakkan sesaorang itu ditahap mana di dalam struktur organisasi. Kadangkala rasa cemburu dan curiga dikalangan rakan seperingakat sampai ketahap yang membimbangkan kerana ia boleh menjejas semangat kerja sebagai satu kumpulan atau 'team work' dalam organisasi. Kemudian sesiapa yang dipertanggongjawabkan dengan fungsi mendapatkan maklumat -maklumat yang tersurat dan tersirat, akan merasa tidak selesa kerana tugas ini adalah seperti melihat dan mencari-cari kelemahan individu. Borang penilaian prestasi pun tidak putus-putus dikritik kerana tidak ada pendapat sebulat suara untuk menentukan fakta mana yang harus diberi weightage yang tinggi.

Sebenarnya membuat penilaian atas diri sesaorang bukanlah suatu perkara yang mudah. Penilaian atas barangan dan perkhidmatan yang tiada unsur hati dan perasaan pun tidak mudah, inikan pula menilai prestasi dan hati budi sesaorang.Namun kita tidak boleh lari dari menilai dan dinilai. Ada diantara kita takut menerima penilaian dari pihak kedua atau ketiga. Perasaan kita rasa agak terganggu jika kita dapati ada yang tidak kena pada diri kita. Oleh yang demikian dengan senyap-senyap kita akan melarikan diri , kalau boleh dari dinilai oleh orang lain. Contohnya, lihat saja format "comments" dalam penulisan blog. Kita akan ditanya sama ada kita mahu memperlihatkan semua komen atau kita akan menapis komen-komen dahulu sebelum komen tersubut diterbitkannya. Bila diterbitkan maka orang lain akan tahu qualiti penulisan kita dan akan tahu kesahihan apa yang kita tulis. Apa salahnya kita menerima tegoran. Kalau pujian kita seronok maka kritikan juga patut menimbulkan keinsafan bahawa banyak perkara yang kita belum mengetahui dan belum sempurna.

Saya terfikir-fikir mengapa agaknya kita rasa takut dan tidak selesa atau rasa malu bagaimana kita dinilai oleh orang lain. Dan kalau kita di pejabat dan kita seorang 'boss' kita kadang kala rasa teragak-agak untuk menilai orang bawahan kita dengan nilaian yang menunjukan dia itu lebih 'hebat' dari kita. Adakah kerana kita takut nanti dia pula yang jadi 'boss' pada kita atau apa agaknya.

Sebenarnya semua kita sentiasa dinilai oleh Allah swt, setiap detik, dari segi memtuhi segala rukun dan segala peraturan-peraturan yang ditetapakan. Dan pada pendapat saya apa salahnya sesaorang itu mengetahui bagaimana kita dinilai oleh sesaorang yang lain. Ini adalah satu bentuk perkongsian dan ini boleh membantu kita dalam proses muhasabah diri. Jika kita boleh berkongsi dalam hal seperti ini maka kebarangkalian untuk mempertingkatkan prestasi dan membina hati nurani yang lebih ikhlas akan lebih mudah tercapai. Menilai dan dinilai adalah proses latihan menhadapi mahkamah Agong di akhirat nanti, di hadapan Rabbul Jalil. Biar kita malu di sini dan jangan kita malu di sana. Biar kita nampak tidak hebat di sini asalkan di sana kita bersih putih, dengan izin dan Rahmat Allah. Dan penilaian kita hendaklah dari pelbagai sudut supaya kita menjadi sesaorang yang 'wholesome' iaitu yang berperibadi syumul. dan kita sentiasa ingat bahawa kita sentiasa diperhatikan dan dinilai.


Lihat alQuran surah Yunos, ayat 61 yang bermaksud : "Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari alQuran, dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal dan usaha, melainkan adalah kami menjadi saksi terhadap kamu, tetekala kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhan mu sesuatu dari sehalus-halusnya atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu, dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis dalam kitab yang terang nyata."

Jika kita lita lihat ayat ini dalam konteks korban dan pengorbanan, maka jelas bahawa untuk mencapai sesuatu keunggulan pasti kita perlu berkorban dan perlu mengurus hati dan minda agar selari dengan tuntutan Illahi. Semoga kita semua dapat melapangkan dada untuk menerima tegoran walau pahit sekalipun kerana kepahitan dan kegetiran di sini sekejap sahaja berbanding di sana, iaitu di akhirat nanti.
Wallahu'alam.

Thursday, November 26, 2009

PENGHORMATAN DAN PERTOLONGAN TERAKHIR


Saya solat subuh di masjid dua hari yang lalu.Bukan selalu saya solat di masjid. Hanya lelaki yang dituntut untuk selalu ke masjid. Kebetulan pagi itu saya tidak pergi awal ke taman untuk Tai Chi.

Ada pengumuman mengenai kematian di Kg Tunku, iaitu seorang wanita berumur 36 tahun. Pada zahirnya ia dijemput menghadap Allah swt setelah beberapa lama menghidap penyakit kanser. Jenazahnya dibawa ke Kg Tunku, rumah keluarga suaminya. Saya teringat-ingat tentang akhirnya hayat kita kerana baru minggu lepas Ustaz kami bercerita mengenai Sakaratul Maut. Setengah orang tidak suka bercerita tentang maut. Tetapi kita cerita atau tidak cerita mengenainya, maut adalah suatu yang pasti dilalui oleh setiap makhluk Allah yang bernyawa. Eloklah kita bercerita mengenai maut sebab cepat atau lambat, ia pasti tiba. Diambang menyambut Eid al Adha ini saya rasa agak relevan bercerita tentang maut kerana Ibadah Haji adalah proses latihan perjalanan menemui Allah.(lihat blog saya yang sebelum ini). Orang yang jiwanya mutmainnah amat merindui pertemuan itu. Ini lah yang saya cita-citakan, semoga Allah mengurniakan nya.

Namun pertemuan itu harus melalui "Sakaratul Maut". Ia adalah pintu perpisahan antara nafsu (Ruh) dan jasad. Nabi Muhammad saw mengajar kita untuk membuat persediaan yang rapi dan sempurna. Kita sentiasa muhasabah diri dan sentiasa bertaubat kerana kita tidak sunyi dari membuat kesilapan. Kadangkala kita tidak menyedari kesalahan dan kengkaran yang kita lakukan itu kerana syaitan sentiasa menghiasi perbuatan mungkar hingga yang mungkar itu nampak sangat cantik dan menjadikan kita rasa serasi dan selesa dengan perbuatan-perbuatan itu. Naudzubillah.

Ayat berikut ini mengingatkan kita tentang apa yang akan belaku pada orang-orang yang berbuat mungkar semasa melalui pintu pemisah Ruh dan Jasad itu. :

" Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berbuat dusta terhadap Allah atau orang yang berkata, : 'telah diberi wahyu kepada aku,' pada hal tiada diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata,;'aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah,' dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan Sakaratul Maut (ketika hendak putus nyawa) sedang malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyiksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan meningking dan mengejek),;'keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh badan kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab siksa yang menghinakan (kamu) sehina-hinanya disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takabur akan ayat-ayat keteranganNya."
Surah Al An'am, ayat 93.

Semo
ga kita tidak termasuk dalam golongan itu. Semoga malaikat belembut dengan kita dan semoga Allah ketika itu sudah memberi bayangan yang indah bagi tempat yang kekal untuk kita.

Kembali kita pada
cerita jenazah tadi. Alhamdulillah. Ramai yang menziarahinya di Masjid semasa solat jenazah. Menziarahi jenazah, siapa sahaja tidak semestinya saudara mara atau sahabat handai, adalah amat dituntut kerana ini merupakan penghormatan terakhir dan pertolongan kita pada jenazah yang terakhir. Di dalam solat kita (lelaki dan perempuan) mendoakan kesejahteraan nya semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa nya dan merahmati ruhnya.Ibadah ini tidak ada khilafnya, sementara ibadah mengirim bacaan yasin dan tahil ada berbeza pendapat. Oleh itu kita tumpu pada solat jenazah semoga Allah mengasihi Ruh nya dan menerimanya sebagai hamba yang akan ditempatkan dengan ruh orang-orang yang soleh.Kalau kita rajin mensolatkan jenazah, semoga Allah akan kurnia bagi kita ramai juga yang akan mensolatkan kita nanti.

Justeru itu, eloklah kita menjadikan ibadah menziarahi jenazah satu perkara yang harus diberi keutamaan. Kalau kita seorang ketua dalam sesebuah organisasi elok kita setuju memberi kebenaran pada ahli organisasi itu untuk pergi solat jenazah. Tidak rugi kita berhenti kerja beberapa jam untuk tujuan ini. Allah maha mengetahui dan Allah maha menentukan dan Allah maha mengasihani. Sekali lagi kita mengingatkan diri kita bahawa inilah penghormatan dan pertolongan terakhir untuk jenazah ini. Sudah bertahun-tahun kita menyumbang dan berkorban untuk organisasi, maka melapangkan masa untuk solat jenazah tidak menyebabkan organisasi itu akan kerugian. Kalau didalam organisasi kerajaan pula, falsafah perkhidmatan penyayang sudah diterima. Maka sewajarnya kebenaran untuk pegawai dan staff menziarahi dan bersolat jenazah tidak lagi dipandang aneh. Maka kita semua pun seronok mempelajari tentang solat jenazah dan apa jua yang berkaitan dengannya. Hidup itu nikmat, mati pun nikmat asal sahaja kita sentiasa bertaubat, membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Saya juga berdoa semoga ramai yang membantu saya di saat-saat akhir pemindahan kita dari alam ini ke alam barzah. Sama-sama kita berdoa, sama ada kita tua atau kita muda, kerana kita tidak tahu bila maut akan menjelma.

wallahua'lam.

Monday, November 23, 2009

KORBAN 360



Eidiladha kini menjelang lagi. Rasa hati ini ingin membawa berita gembira untuk dikongsi sama dibulan Haji walau pun tidak menunaikan haji. Tetapi lumrah hidup, diselit-selit kebahagian ada juga Allah datangkan kegelisahan. Mungkin untuk menguji atau mungkin untuk memberi amaran waspada supaya kegembiraan itu sungguh benar-benar merupakan kegembiraan. Janganlah ia seperti keadaan sesaorang yang amat dahagakan air ditengah-tengah padang pasir yang rasa gembira kerana nampak 'mirage' di hdapan mata yang disangkakan telaga air dilembah wadi.Tapi rupa-rupanya ia hanya 'reflection' air yang amat jauh letanya entah dimana. Ini satu ingatan supaya jangan nanti dalam hidup ini diakhir hayat, kekecewaan yang menjelma.

Eidiladha membawa erti PENGORBANAN. Pada diri ini ia membawa berbagai kenangan silam. Teringat detik-detik meraikan Eidiladha
bersama keluarga dan menyibukan diri bersama orang kampung mengendalikan ibadah Korban. Tetapi kali ini penantian Eiduiadha berlainan sedikit kerana teringat akan peristiwa hidup yang tidak pernah difikirkan akan betul-betul berlaku tetapi ia berlaku. Hanya Allah yang maha mengetahui liku-liku perjalanan hidup ini.

Tahun masehi 2009 mengejutkan pemikiran untuk menilai semula penghayatan mengenai kehidupan dan pengorbanan. Bila mendengar khutbah solat Eidiladha mengenai ibadah korban pada masa-masa yang lampau, ia seolah-olah suatu ibadah yang ritual. Ia sunat muakad dari segi hukum tetapi tidak pernah mengaitkannya dengan erti pengorbanan dalam hidup harian. Ibadah Korban seolah-olah ibadah bermusim, seperti bermusimnya ibadah walimahtulurus. Alangkah meleset tanggapan ini. Bukan tidak pernah mendengar cerita-cerita mengenai ibadah korban seperti disebut di dalam alQuran, kisah Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya, dan kisah pengorbanan Talut adik beradik, yang mana diterima dan yang mana tidak diterima. Selalu juga mendengar kisah-kisah pengorbanan yang lain yang diceritakan oleh ustaz-ustaz dan orang-orang alim dan juga dari orang-orang biasa yang pernah melalui derap langkah kehidupan yang berbagai rupa dan berbagai ragam.Diambang Eidiladha ini, erti pengorbanan dilihat semula.

Kali ini dengan tibanya Eidiladha 1430 H, satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan telah mengubah corak pemikiran tentang korban dan pengorbanan. Peristiwa ini yang tidak dapat diceritakan perincinnaya telah memaku pemikiran untuk merombak perspektif Korban bagi diri sendiri. KORBAN 360 adalah konsep pengorbanan bukan yang melibatkan harta, wang ringgit, masa dan tenaga semata-mata tetapi ia pasti meliputi pengorbanan yang berkait dengan minda dan hati. Pengorbanan yang berbentuk fisikal bila difikirkan kembali, ia amat mudah dilaksanakan. Bila orang memerlukan pertolongan maka semacam tidak keberatan kita tampil untuk menyumbang sebanyak yang terdaya dan dengan mengikhlaskan hati semoga Allah terima sebagai amal jariah yang dapat membantu kita di akhirat nanti.

Tetapi bila tiba-tiba Allah kejutkan dengan bentuk pengorbanan yang lain pula, yang melibatkan hati dan minda sepenuhnya maka sememangnya seperti rasa "tercegat kaku" dan sepertinya hilang daya berfikir untuk beberapa ketika, malahan untuk beberapa hari dan minggu. Ketika itu yang ada dihati ialah rasa kecewa dan rasa marah dan seolah-olah mahu berbuat sesuatu yang dapat "membunuh" dendam kekecewaan dan kemarahan. Ketika itu timbul hasutan-hasutan untuk menukar haluan hidup, menukar persekitaran, malah menukar apa saja asalkan dapat menghilangkan rasa dendam kecewa dan marah itu.

Alhamdulilah, rasa itu tidak kekal walau pun ia berbolak balik hingga kini. Bila rasa berbolak balik maka ada kesempatan yang Allah beri untuk menilai hati nurani dan memujuk minda untuk berfikiran yang berlandaskan pada hakikat bahawa kita adalah hamba Allah dan Syaitan sentiasa di sekeliling kita untuk meruntuhkan keimanan dan ketaqwaan yang kita bina selama ini. Ketika peristiwa melanda, kehidupan ini sepertinya terperangkap dalam cuaca ribut tafuan yang dahsyat. Ditakdirkan ketika ribut melanda tidak ada tanah yang runtuh dan tidak ada banjir yang berpanjangan.Alhamdulilah. Dan apabila ribut mula agak reda, minda ini tenang dan hati ini seperti tidak bergolak lagi.

Disebut di sini Korban 360 sebab peristiwa yang berlaku mencabar kesabaran dalam mengendali erti 'self esteem' atau harga diri, erti kebahagiaan, erti perkongsian, erti menundukkan diri pada manusia dan erti pengabdian pada Allah. Konsep ikhsan dalam Islam yang dihayati mula "dibongkar" oleh minda yang rasa penuh individualisma yang diselimuti oleh ego yang meronta-ronta untuk menilai semula identiti diri. Soalan-soalan yang tidak sepatutnya timbul dalam minda dan hati, keluar seolah-olah banjir besar yang mengalir deras sudah tidak terkawal lagi.

Alhamdulillah, Allah masih menghantar malaikatnya untuk menolong meredakan keadaan yang seperti dalam peperangan. Peperangan nafsu adalah lebih bahayanya dari peperangan senjanta canggih. Dengan pertolongan Allah maka dapatlah seluruh tubuh ini melutut sujud beristighfar hingga agak terkawal pemikiran dan perasaan. Kini badai telah berlau dan hati dan minda boleh bertenang. Sudah boleh bercerita seperti dalam penulisan ini. Alhamdulilah. Bukan kerana masaalah sudah selesai tetapi dengan pertolongan Allah jua hasutan-hasutan dapat diketepikan dan janji Allah dapat kembali bertahta di hati dan minda ini.

Hidup ini amat singkat. Kenapa perlu bersedih hati atas sesuatu yang sememangnya berlaku bukan dalam kawalan diri sendiri. Mengapa perlu rasa kecewa kalau niat perbuatan kita dalam kehidupan ini adalah semata-mata kerana Allah swt. Kenapa perlu ragu mengenai janji Allah kerana keraguan itu akan memusnahkan segala amalan yang belum pun boleh dikira cukup dan sempurna di sisi Allah swt. Masih banyak perilaku pengabdian pada yang maha Pencipta yang belum terurus rapi, belum samapi maqam ikhlas yang dituntut Ilahi. Kenapa perkara yang hak bagi Allah yang kita rasa semacam "kecil" di sisi Nya kita terasa amat besar semata-mata kerana EGO kita belum terurus dan terkawal sepenuhnya dan sewajarnya. Hati kecil ini berkata-kata.

Lihat sahaja disekeliling kita, yang dekat dan yang jauh. Berbagai ujian telah Allah turunkan: peperangan, kebakaran hutan yang besar, ribut taufan, banjir yang merosakan segala-galanya, tsunami, kelaparan, kemarau panjang dan berbagai lagi. Dalam hal ini saya berfikir dan tidak putus-putus bermunajat semoga Allah melimpahkan rahmatnya dan saya dapat memahami mengapa sesuatu perkara yang kita amat takuti berlaku pada diri kita. Saya mengingat semula sedikit ilmu yang ada mengenai Qadha' dan Qadar yang Ustaz-ustaz menerangkan, saya mengingat kembali erti pengabdian yang sebenar-benarnya, saya ingat bermacam-macam lagi untuk "sekali lagi" meyakinkan minda dan hati ini bahawa hidup kita ini adalah untuk pengabdian, pengabdian yang kita selalu mohon pada Allah supaya kita diiktiraf hamba yang sebenarnya seperti yang disebut dalam Surah AlFajr. Saya mengingatkan semula diri ini bahawa dalam hidup ini kita tidak boleh mempersoalkan perkara-perkara seperti hak individu, hak suami isteri , hak keluarga, dan apa jua jenis hak kerana kita ini hamba dan hak mutlak adalah hak Allah semata-mata. Hak yang kita anggap hak adalah pinjaman dari Allah jua. Kebolehan yang kita anggap kebolehan kita pun sebenarnya sifat-sifat Allah yang dipinjamkan pada kita.

Maka teringat pula doa yang diajarkan oleh seorang ustaz yang berbunyi : "Ya Allah, jika apa yang berlaku pada diri ku kini adalah kifarah atas dosa-dosa ku, maka ku pohon keampunan yang sebenar-benarnya dan aku taubat nasuha. Dan ku pohon pada Mu kembalikan aku pada fitrah suci ciptaan Mu. Ya Allah, jika apa yang berlaku ini adalah ujian atas keimanan ku, maka aku mohon pada Mu agar dikurniakan kesabaran yang sempurna, untuk mencapai tahap taqarub bahawa Engkau adalah bersama-sama orang yang sabar, dan jika yang berlaku ini adalah Qadha' dan Qadar dari Mu, maka aku pohonkan agar Engkau kurnia rahmat Mu agar hati ini reda dan Engkau meredhai. Ya Allah, jika apa yang berlaku ini adalah cara engkau menunjukan kasih sayang Mu pada ku, maka Ya Allah, buatkan lah hati ini mengerti dan mersai kasih sayang itu kenara sememnag nya itu yang ku pohon selama ini. Kalau aku tidak faham dan mengerti kasih sayang Mu, maka Ya Allah didiklah hati ku ini supaya iman ku ini bulat jitu pada Mu ya Allah. Dan bila sampai saatnya aku kau panggil kembali semoga Engkau akan berkata pada ku : "Wahai jiwa- jiwa yang setiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, Kembalilah kepada Tuhan mu dengan keadaan engkau redha dan Aku meredhai, Dan masuk dalam kumpulan hamba-hamba Ku yang berbahagia, Dan masuklah kedalam syurga Ku."
Allahuma Amin.

Related Posts with Thumbnails