"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, January 4, 2014

Menjana semula laluan Impian......


Awal pagi lagi saya sudah ke dapur membantu bibik di rumah anak saya untuk bersegera menyiapkan sarapan pagi untuk cucu-cucu yang mula bersekolah hari ini, (2 Jan 2014). Anak saya kurang sihat dan ia memerlukan bantuan untuk hari pertama ke sekolah bagi cucu-cucu saya yang istimewa ini. Huzaifah tidak lagi bersekolah di Sri Ayeshah di Bangi kerana ia memelukan perhatian khas bagi mengatasi masalah dylexia dan lain-lain kerumitan yang berkaitan dengannya.
Dahulunya Huzaifah di Adni Islamic School sebelum ia didapati bermasaalah pembelajaran. Tahun ini Huzaifah dan Akif keduanya ditempatkan di sekolah Rendah Precint 8, di kelas Intergrasi bagi anak-anak yang memerlukan perhatian khas. Huzaifah di tahun 3 dan Akif di tahun 1.
(Peluk sayang TokAyah sebelum memulakan sekolah baru).

Oleh kerana mereka istimewa mereka tidak perlu sampai awal sebelum pulul 8 pagi. Tetapi Ujai dan Akif sudah tidak sabar untuk segera ke sekolah. Asim Haniya adiknya mula Tadika tahun ini dan ia di tempatkan di Tadika Perpaduan, juga di Precint 8. Maka berlari dan bergurau sakan di luar rumah sementara menunggu TokAyah siap untuk memandu kereta.



 Huzaifah dan Akif patuh arahan Ibunya dan berjalan mencari kelas yang ditentukan. Saya ikut di belakang memerhatikan dan fikiran saya melarut-larut jauh teringat-ingat entah apa.....


Ini kelas Huzaifah. Hanya tiga orang murid sahaja pada hari pertama. Cikgu mengatakan mungkin ada lagi yang mendaftar lambat dan akan bersama nanti. Kelas dianggarkan seramai 5 atau 6 orang sahaja. Kelihatan di sini murid perempuan yang perlu duduk di kerusi roda. Semoga Huzaifah dapat menyesuaikan diri kerana sebelum ini ia dalam kelas yang ramai muridnya.


Ini kelas Akif Humaidi, cucu saya yang otistik. Teman murid tidak sama seperti di Tadika dahulu dan ia nampak senyap seolah-olah berfikir. Ibunya dan Huzaifah memerhatikan. Seorang bapa dan ibu seorang murid lain sedang cuba menenagkan anaknya. Ia juga sebelum ini di sekolah biasa sebelum disahkan ada masaalah pembelajaran. Khabarnya ia juga otistik seperti Akif. Subhanallah...

Hati saya bercampur-campur perasaan. Sayu dan bersyukur.

Di sinilah saya melihat semula pemikiran saya tentang masa depan cucu-cucu yang ini. Laluan mereka berbeza dari cucu-cucu yang lain, dan majoriti anak-anak lain yang sebaya dengannya. Sering sahaja saya terpegun memikirkan tentang bagaimana masa hadapan mereka. Bila mengingatkan kekuasaan Allah itu mutlaq, saya rasa amat terharu mendapat ruang merasakan hakikatnya. Kini saya mengalami sendiri apa itu keistimewaan kurniaan Allah. Apa yang mereka akan capai sudah tidak penting bagi saya. Yang penting ialah usaha gigih ibu-bapanya dan keluarga besar yang membantu seupayanya. Saya yakin itu yang Allah nilai. Bukan hasil usaha itu sendiri. Usaha adalah tanggong jawab kita. Hasilnya adalah Hak Allah jua. Allahu Akbar. Semoga Allah sentiasa memelihara mereka dan menganugerah yang terbaik di sisiNya.

Maka impian untuk anak-cucu berubah wajah. Saya amat menyesali prasangka yang ada di minda tanpa disedari. Selalu sahaja saya berfikiran fenomena ini berlaku pada orang lain. Atau pun saya mengharapkan Allah tidak menguji keluarga saya sedemikian rupa. Siapkah saya untuk bermudah dalam berfikiran. Semoga Allah mengampuni jiwa yang sering alpa, sering merasai diri berkuasa. Penyesalan yang tidak terhingga kerana rasa biadap terhadap Allah yang maha berkuasa dan maha bijaksana. 

Mohon ampun Ya Rabb.....
Aku berlindung dengan Mu dari segala kekurangan dan kelemahan.
Mohon ampun Ya Rabb...

....

Friday, January 3, 2014

Memperkukuh Tujuan ....



Dengan limpah kurnia RahmatNya...KINI 2014. Berseorangan berfikir-fikir......

Saya memohon semoga Allah masih membuka pintu Rahmatnya untuk tahun 2014 dan seterusnya hingga ke satu masa nanti apabila samapi pada janjiNya. 
Hati ini masih berhasrat terbang tinggi mencecah awan berbakti pada insan dan bersama-sama siapa jua menegakan Kebenaran demi mencari Redha yang maha Pencipta, 
Tuhan sekian alam.

 Hampir sangat sudah waktu yang diTentukan. 
Tetapi hati ini masih belum mahu belegar-legar di Dewan Berlepas  menunggu pesawat yang akan menjemput tanpa diketahui bila saatnya. 
Doa tidak putus-putus semoga setiap saat yang masih ada dapat dimunafaatkan sebagai "bahan bukti" jutaan penyesalan  dan mendapat keampunan atas segala kelemahan dan kekurangan yang tidak terkira bilangan.

Dalam ruang yang makin memperkecil ini saya bertekad memperkukuh tujuan....apakah sudah bulat dihati nowaitu di permulaan usaha itu semata-mata kerana Tuhan.
 Tetapi mengapa ada ketika-ketika hati ini kecewa apabila sasaran kumpulan yang menjadi laluan usaha itu menimbulkan berbagai kesusahan hingga diri hampir kecundang.
 Kalau semata-mata kerana Tuhan, 
maka kita tidak perlu resah bimbang merentasi halangan. 

Semalam teman sekamar saya rasa agak kecewa bila hasratnya dan harapanya atas anak-cucu masih belum kesampaian. Masih tersimpan rungutan-rungutan seolah-olah ia tergugat dalam keikhlasan yang dipupuk sepanjang jalan. 

Maka saya cuba-cuba memberi buah fikiran. Allah jua  yang melihat kita dan  menilai bagaimana kita mematuhi suruhannya dan meninggal larangannya. Kita belum terbuat kesemuanya, tidak terdaya sempurna seperti yang dituntutnya. Tetapi Allah tetap kasih sayang pada kita selagi kita tidak putus-putus memohon maghfirahnya. Dibuka runag  untuk terus mencuba dan dibuka minda untuk berfikiran seluasnya.
 Maka kita harus bermunajat mememohon dan meminta pada Allah yang maha bijaksana semoga Dia meminjamkan sifat sabarnya pada kita, mengurnia kekuatan untuk terus mencari jalan terbaik menujuNya. 

Dia tidak pernah kecewa dengan kita. Tidak pernah manaruh dendam dan Dia sentiasa mendengari rintihan kita asal sahaja kita mencuba sejujurnya untuk ikhlas dalam pengabdian sepanjang masa, merintih mohon dipelihara dari segala rintangan dan dari bisikan syaitan yang  bermaharaja lela berpanjangan. Maka kita terhadap anak-cucu dan siapa jua  harus begitu. Jangan kita putus asa memendam perasaan. Kita  berlapang dada dan harus yakin dengan janji-janji Nya. 
Semoga Allah membantu kita seterusnya, memudahkan segala urusan dan kita sentiasa diberi ruang untuk merasai kasih dan sayangNya.

Ayuh kita berfikir bersama semoga yang kita fikir dan kita kata itu kita kota. Semoga Allah memberi Taufik dan Hidayahnya dan di akhir perjalanan ini kita dianugerah redhaNya, 
dan di Syurga Firdaus kita berkampung bersama....selamanya.
Ameen.

.....

Tuesday, December 31, 2013

Melabuhkan Tirai 2013....








Suka duka tahun 2013 dilalui sejujurnya ikhlas. 
Namun hati kecil menyakan diri: "Kalau ikhlas mengapa duka ?"
"Itu istilah biasa," hati kecil cuba membela....
Pembelaan yang tak sampai ke mana...

Itulah Iman berbicara...

Hidup ibarat roda,.....ada kalanya di atas adakalanya di bumi rata.
Bersyukur ketika diuji...teringat pesanan Da'ie semua.

Tahun 2013 sememang penuh peristiwa. Ada yang ingin dikongsikan dan ada yang eluk  dibiarkan bertakhta dijiwa untuk didengari oleh yang maha Pencipta, maha Mengetahui dan yang maha Bijaksana. Pasti semuanya ada rahsia dan hikmahnya yang tidak terjangka dan tidak terduga...

Permulaan 2013 disibukan dengan kerja-kerja menubuhkan SmarTop Subur Fitrah Integrated Pre School di Tangkak. Tidak sebesar mana projek ini berbanding institusi gergasi gerakan badan-badan yang dananya terkumpul mencukupi. Namun hati yang kerdil ini mahu menyumbang kepada gerakan membina Tamadun Umat berlandaskan Islam. Projek ini besar gagah di lubuk hati. Biar kita berpenat dengan keringat yang hanya dirasai diri, jangan kita menyerah kalah, pendek fikir dan putus asa.............nasihat teman-teman yang membantu setiap hari.  

Dalam kepenatan kesana-sini mencari dana dan mencari sumber kumpulan pengajar yang sesuai berjiwa waja, sempat juga saya dan suami berlepas diri bercuti untuk merehatkan kepenatan berfikir dan "berlari-lari" setiap hari. Kami ikut teman-teman masjid ke Eropah Timur untuk beberapa hari. Tidak banyak yang tersemat dihati dalam kembara ini kerana syarikat pelancongan hanya suka lihat-lihat tempat tanpa rasa mahu tahu sejarah bagaimana ia relevan dengan hidup kita di negara sendiri. Semua maklumat seperti "touch-n-go". Lain kali saya kata pada suami kita harus cari jenis percutian yang lebih bermakna pada diri dalam persediaan menanti giliran "cuti abadi".

Tahun 2013 juga amat bermakna bagi saya dalam membantu cucu-cucu yang ditakrif "istimewa". Sering saya ikut ibunya ke ke klinik Doktor pakar untuk rawatan lanjut dan berbagai lagi. Saya dan suami juga sering jadi "ibu-ayah ganti" bila ibu dan ayahnya terlalu sibuk dengan kerja dan perlu bertugas diluar negeri. Penat bagi umur senja seperti kami namun tidak putus-putus kami berdoa semoga bermunafat pada semua yang terlibat dan dikhir kehidupan ini Allah kurni kesejahteraan untuk semua.

Hidup ini Allah uji berbagai cara. Sebulan saya membantu menjaga cucu yang tinggal di Puchong dalam pantang kerana ayahnya kurang sihat dan perlu kerja berterusan supaya tidak terjejas perniagaan. Itulah risiko kerja sendirian. Adat kata tidak ada jaminan habuan ada di hujung bulan jika tidak membanting tulang. Saya redha akur dengan peraturan yang Allah tentukan. Semoga ada ganjaran yang tidak terduga oleh pemikiran insan kerdil yang sentiasa memerlukan pertolongan. 

Dalam pada itu cucu ini Allah uji dengan sakit kuning berpanjangan. Alhamdulilah saya mendapat banyak pengetahuan yang insyaAllah dapat saya kongsikan di masa hadapan. Dalam membantu anak menantu, saya juga menjadi sedikit mahir memandu mencari jalan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini kerana terpaksa mencari klinik doktor yang berkaitan. Berbagai ubat tradisional juga dicuba semoga segera hilang kekuningan. Rasa risau dan khuatir takut-takut sakitnya terus berpanjangan. Bukan tidak redha dengan ujian. Cuma amat khuatir diri yang kerdil ini kecundang melalui ujian. Tetapi Alhamdulilah. Akhirnya sembuh ia dan hilang segala kepenatan dan kebimbangan. Alhamdulilah. Allah maha kasih sayang.

Menjelang berakhirnya tahun 2013, suami dan saya bercuti di Langkawi sambil membantu seorang teman yang baru memulakan perniagaan dalam bidang pelancongan. Kami menjadi bahan kajian sebagai pelancung mengikuti program mengelilingi pulau, memancing dan shopping sakan. Rasa bersyukur dapat memunafaatkan pengalaman dan sedikit pegetahuan tentang memberi khidmat pada mereka yang suka kembara dan makan-makan. Semoga usaha teman saya adik-beradik ini untuk menyumbang pada pembangunan ekonomi orang-orang Islam mencapai kejayaan. Semoga Allah memudahkan. 

Hari ini 30 Disember 2013 saya dan suami pulang dari Kuching Sarawak kepenatan. Nanti ditahun baru saya ceritakan apa yang saya cuba lakukan sebagai mengakhiri tahun 2013 dengan seorang teman yang mengajak saya untuk terus bekerja kuat  dan cuba bertahan walaupun kederat makin hari makin berkurangan. Semoga Allah masih memberi peluang berbakti demi kemanusian dengan niat semata-mata kerana Allah yang maha Menghargai kebaikan insan. Semoga Redha Allah menanti di hujung perjalanan.

Mohon keampunan Mu Ya Rabb....
Semoga kami terpelihara di sisi Mu berterusan.....berpanjangan  hingga di Syurga Firdaus kami ditempatkan berkekalan.
Ameen.......

....

Wednesday, December 25, 2013

"Seni Berfikir...."



Ini lukisan mural di dinding Tadika SmarTop. Seni lukis menjadi hobi seorang Murobiah kami. Dia menyumbang tenaga menghias sekolah dluar waktu mengajar.
Teacher Farah namanya.


DiSmarTop kami mengadakan mesyuarat teacher-staff dua minggu sekali dalam keadaan biasa dan antara yang kami selitkan dalam agenda perbincangan ialah 'kebolehan berfikir'. Saya secara peribadi suka topik ini kerana fakta ini yang membezakan sama ada kita dapat melihat dan merasai sesuatu dengan lebih jelas dan tepat atau kita boleh tersalah tafsir dan dengan itu memegang sesuatu maklumat atau kepercayaan yang sebaliknya. Semasa bekerja dahulu saya di arah menghadiri beberapa sessi latihan mengenai kebolehan mengurus dan antara yang terpenting dalam menjana kebolehan ini ialah kebolehan berfikir.

Saya masih terkial-kial memperbaiki diri kerana bukan mudah untuk berfikir maka saya katakan berfikir itu ialah "satu seni". Tidak semua orang yang berpendidikan tinggi boleh berfikir dengan betul. Tidak semua orang yang dikatakan bijak bandai boleh sentiasa berfikir dengan betul. Saya sendiri menyedari bahawa saya sendiri secara peribadi pun boleh tersasar-sasar dalam berfikir. Kadang-kadang pun kecundang. Semoga allah mengampuni...

Saya pernah ditanya: apakah fakta yang membuat seseorang itu berfikir dengan betul.

Kita fikirkan bersama. Saya bukan ahlinya hanya cuma ingin berkongsi sesuatu untuk memantapkan daya fikir sendiri. Semoga saya dapat "mempengaruhi" anak-cucu cara berfikir yang betul dan wajar. Setakat itu sahaja kemampuan yang ada.Namun cita-cita yang terpendam ialah untuk menjadi ahli fikir yang berwibawa berwadahkan iman dan taqwa.

Baru-baru ini saya menonton National Geography dan ia bercerita mengenai bagaiman Otak kita boleh mengelirukan kita. Saya ingin kongsikan sedikit di sini dalam konteks kita sering bertelingkah kerana kita tidak menyedari bahawa otak kita boleh "menipu" kita. Otak manusia banyak menyimpan PRASANGKA (prejudices) hasil dari pengalaman hidup dan pengalaman kerjaya yang dilalui atau dari pembacaan yang dibuat atau dari apa jua dokumen atau bahan dalam teknologi moden kini yang  dikaji dan diteliti.Kalau kita sudah amat terbiasa berfikiran berasaskan semua ilmu dan fakta yang ada pada diri, memanglah susah untuk kita bertukar haluan dan corak dalam berfikir. RESET MINDA kata pendakwah terkenal Professor Dr  Muhaya  dalam ceramahnya yang sering diulang-ulang dengan menggunakan berbagai contoh.

Proses untuk Reset Minda memerlukan pembacaan yang luas atau dengan mendengari berbagai ceramah atau dengan meneliti dengan rapai apa jua yang berlaku di sekeliling kita dengan fikiran terbuka. Buangkan semua bentuk prasangka. "Kosongkan hati" buat seketika demi mencari kebenaran dalam memikirkan sesuatu hal.

Kalau kita sanggup berbuat demikian dan dikemaskan pula dengan doa yang tidak putus-putus semoga Allah meanugerah kebijaksanaan , maka insyaAllah kita boleh berfikiran sewajarnya tanpa menyelewengkan fakta dengan senghaja. Dengan cara ini juga kita boleh mengenal pasti fakta logik yang tidak betul., iaitu "logical falacies". Ada yang menggunakan erti logical falacies sebagai logika songsang. 

Ia nampak seperti betul tetapi sebenarnya tidak betul. 
Contohnya: (saya masih ingat contoh yang diberi oleh Professor DiRaja Ungku A. Aziz semasa saya  menghadiri kuliah beliau tahun I di University Malaya pada tahun 1969)

Katanya: "If you drink beer with ice, you will get drunk. If you drink brandy with ice, you will get drunk. If you drink vodka with ice you will also get drunk. The common factor is ice. Therefore logically it is ice that caused a person to be drunk. It seems like it is logical, but of course that is false.

Seperti itu kita boleh terperangkap dengan fakta logik dalam fikiran kita. Kadang-kadang bersebab kerana otak kita malas berfikir. Hanya mudah ikut sahaja. Kadang-kadang kita terperangkap kerana mengikut siapa yang mengatakan sesuatu fakta itu. Biasanya kalau orang itu orang yang terkenal dalam organisasi atau masyarakat, ada kecenderongan bagi yang mendengar untuk mempercayai apa jua yang dikatakan.

Maka bagaimana kita boleh menghindari perangkap seperti itu?

Saya tiada jawapan yang tepat dan sempurna kerana saya pun bukan pakar berfikir. Saya juga masih terkejut-kejut dalam memikirkan sesuatu. Cuma dari pengalaman yang ada  saya suka kongsikan satu fakata yang semua kita sering berhadapan dengannya. Iaitu apabila kita melihat sesuatu kejadian atau mendengari sesuatu cerita, janganlah kita terus membuat apa jua kesimpulan sebelum kita membuat analisa sekurang-kurangnya dari dua sudut pemerhatian. Terbaik jika kita dapat melihat gambaran penuh berasaskan 360 darjah sekeliling. Ingat juga bagaimana orang lain berfikir dan cuba elakan segala prasangka. Isu "empathy" harus juga kita ambil kira. Isu 'EGO" dalam diri juga harus kita bendung dalam proses berfikir itu kerana ini elemen yang boleh menyelewengkan kita dari landasan yang benar. Dalam berfikir bukan isu "Aku" yang harus ditekankan. Kita mencari kesaksamaan dan keadilan dalam berfikir untuk mencapai sesuatu keputusan. Kita berfikir untuk mencari kebenaran dan bukan untuk membenarkan apa yang kita fikir.......

Dalam reality hidup sememangnya kita tidak dapat meyakinkan semua orang dan kita tidak dapat membuat semua orang menerima pendapat kita. Kita cuma mengharapkan ramai yang boleh menerima atas sebab-sebab kewarasan pemikiran dan berasaskan fakta-fakta yang betul.

Sebenarnya isu kebolehan berfikir ini merupakan suatu yang perlu perbicangan yang mendalam dengan contoh-contoh yang telah disokong dengan kajian saintifik. Maka saya sudahi di sini sahaja idea saya yang hanya "touch-n-go" ini. 

Namun demikian apa yang lebih penting dari berkebolehan berfikir ialah keberanian untuk menghujahkan pemikiran kita. Tidak bermunafaat kalau kita hanya bijak berfikir tetapi takut mahu mengeluarkan pemikiran kita dan berani mempertahankan kebenaran pemikiran kita itu.

Semoga Allah menunjuki jalan yang benar.
Ameen....

....

Sunday, December 22, 2013

Saat-saat bernilai....



Setiap saat bernilai. Cuma bagaimana mengoptimakan kegunaan saat-saat itu  yang cuma tinggal sedikit ini. 

Maka kelmarin saya cepat berkejaran ke Desa Pinggiran Putra (putrajaya) mahu ziarah 2 orang kakak saya di rumah anak buah yang baru berpindah.

Kakak saya yang di kanan itu kurang sihat. Berumur 77 tahun ia tinggal berseorangan di Pontian. Kakak saya yang di kiri itu berumur 74 tahun tinggal berhampiran  dan kelmarin ia membawa kakak terua yang masih ada itu ke KL bertukar angin.

Rasa seronok bercampur sayu. Semasa emak masih ada kami selalu berkumpul di keliling emak, menghibur hatinya.  Di umur yang amat lanjut, emak rasa tenang bila dikelilingi anak cucu. Walaupun uzur ia rasa seperti sihat. Kini kami jarang-jarang jumpa kerana kakak saya kurang kederat  dan saya terikat dengan beberapa tanggongjawab di Petaling Jaya ini. Kami bermengah-mengah mengejar masa dan kelmarin dapat makan tengah hari bersama kakak dan keluarga kakak. Dicelah-celah itu saya ambil kesempatan memberi ingatan pada generasi muda bahawa kaum dewasa tua punya karenah sendiri.  Anak-anak muda kini kekadang lupa orang tua rata-rata cepat lapar dan harus makan awal. Kelmarin kami berkata hati ke hati supaya orang muda melatih anak-anak  remaja mendahulukan keperluan orang tua. Tiada siapa yang rugi dalam budaya ini kerana semua yang muda insyaAllah akan tua jua nanti jika Allah izin.

Selepas makan dan berehat sebentar  saya ke Putrajaya Precint 15 menghantar Huzaifah setelah lebih seminggu bersama saya kerana ibunya tidak sihat dan Huzaifah sendiri pun kurang sihat. Inilah pentingnya ada pautan kasih dalam keluarga besar... mudah bantu membantu dan kemesraan lebih dirasai.

Di sana bertemu pula dengan besan dari seremban. Seronok menjalin silaturrahim dengan peluang yang singkat ini. Di umur senja sememangnya kami harus memburu waktu. Walau sebentar, ia amat berharga. Saya rakam saat-saat bernilai di bawah ini.

Dalam pada itu saya juga mengambil peluang keemasaan melihat perkembangan kematangan Akif. Kesungguhannya untuk berbuat sesuatu yang mencabar kepintarannya amat mengkagumkan saya. Akif anak Otisma dan saya cuba membantu sebaik mungkin. Ia boleh memasang Lego untuk anak-anak berumur 6-12 tahun dengan agak cepat. Ia boleh 'membaca' arahan bergambar dengan agak baik.  Akif berumur 6 tahun. Lihat di bawah ini ia sedang memfokus perhatian pada kerjanya.


Da... Daaaa ! Sudah siap. Ia tunjuk pada saya. Ia nampak teruja bila diberi pujian dengan kata-kata semangat. Alhamdulilah.

Semoga Akif dapat berlepas diri dari kekangan Otisma

dari hari kehari melalui latihan terepi. Tiada yang mustahil dengan usaha dan doa apabila Allah menghendaki.
 Allah maha Mendengari, maha Melihat 
dan maha Kasih Sayang. 

Maka nikmat Tuhan yang mana yang hendak 

kamu dustakan.
Mohon keampunan Mu Ya Rabb...

...

Friday, December 20, 2013

Mudah saje ?....




..............go with the flo !
Kalau ingin mudah, ikut saje apa yang lumrah diterima masyarakat.

Lihat burung-burung ini / atau burung angsa....relax. Ikut arus. Cari makanan pun mudah. Hidup santai sentiasa. Tidak perlu guna banyak  tenaga dan fikiran melawan arus!


Namun angsa tidak dipertanggongjawabkan dengan apa jua diakhirat nanti.


Tetapi hidup kita seharian bagaimana pula?

Ada sahaja masaalah yang perlu diselesai hingga ada kalanya konsep bersyukur telepas dari ingatan diri. Perilaku kita sudah seperti melupakan hakikat bahawa dalam semua liku-liku yang kita lalui ada elemen ujian, ada eleman qadha dan qadar.

Namun kita harus juga ingat bahawa kita diberi pilihan untuk memilih dalam konteks 'the smaller will within the Bigger Will'. Jangan mudah-mudah berkata :'semua dalam hidup ini Allah telah tentukan.'


Yang  kafir dan engkar adalah pilihan. Tiada paksaan dalam Islam. Maka jodoh, rezki dan maut juga Allah bagi pilihan. Namun diakhirnya Allah yang maha Penentu. Kita wajib berfikir dan wajib usaha dan wajib berdoa. Akhir sekali baru pasrah dan tawakal.


Ini pesanan pada diri dan saya pesankan pada anak cucu di musim cuti ini. Kelmarin seorang teman masjid memberi tahu saya dan teman-teman lain semasa bersarapan bersama bahawa di Malaysia ini 'budaya gay dan lesbian' sudah makin menjadi-jadi. Suatu malam ia menerima jemputan ke satu majlis makan-makan dan amat terkejut mendapati dikalangan yang hadir lebih kurang 40 orang adalah kumpulan gay keturunan Melayu.

Saya terkejut dan ingin bertanya lagi. Tetapi setakat itu sahaja ia bercerita....


Maka teman ini mengingatkan bahawa kewajipan  kaum dewasa dan dewasa tua harus mengambil berat cara hidup anak-anak muda kita. Anak-anak kita ini rata-rata adalah bijak, tetapi belum bijaksana dalam fikiran dan tindakan. Harus ada panduan dari ibu-bapa. Jangan menjadi ibu ketam yang menyuruh anaknya berjalan lurus.


Tetapi yang menghairankan saya ialah apakah yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa dalam Pentadbiran Negara untuk membendung dan menghapus budaya ini. Apakah yang dibuat oleh ahli-ahli YB yang kita pilih setiap 4 atau 5 tahun itu.

Tingkah laku anak-anak sememangnya tanggung jawab ibu bapa. Tetapi ibu-bapa bukan duduk dalam 'vaccum' Mereka juga dipengaruhi oleh persekitaran. Siapa yang boleh mengawal persekitaran ini ?


Kita tanyalah diri kita dahulu. Janganlah kita hanya menuding jari. Sebagai dewasa dan dewasa tua kita harus peka dan perhatin dan kuatkan jemaah kita. Dalam Islam hidup berjemaah adalah amat dituntut. Jangan kita bersifat individualistik dan hidup nafsi-nafsi. Jangan kata: 'Jaga hal masing-masing......kubur pun asing-asing.'


Ayuh kita bersama. Saya juga perlu diingatkan sentiasa kerana masih banyak kekurangan dan kelemahan. Saya masih perlu panduan dan berkongsi kekuatan sahabat handai dan teman-teman. Pautan kasih keluarga juga amat penting. Itu barisan kubu keselamatan yang utama.

Kita fikir, kita rasa dan kita bertindak......

Mohon Redha Mu Ya Rabb...


........

Tuesday, December 17, 2013

Sayang Mandela......sudut pemerhati





...........maka berakhirlah hidup  mendiang Nelson Mandela di dunia ini. Ia telah disemadikan (laid to rest) di daerah kelahirannya dengan penuh upacara kehormatan selama beberapa hari. Hingga hari ini kisah perjuangannya masih mengisi program di CNN dan BBC. Hebat pengaruhnya  di minda mata dunia. Ratusan ribu mencintainya...mungkin juta siapa tahu.

Ramai yang tidak kisah dengannya  tetapi amat ramai  yang sangat sayang padanya. Saya menghormati Mandela sebagai seorang Statesman, berjati diri dan mempunyai daya ketahanan yang sukar ditandingi. Ia sanggup mati demi perjuangannya untuk kebebasan dan keadilan dan mendirikan hak asasi manusia. 

Berbagai kata-kata pujian dirakamkan oleh hampir kesemua Ketua Negara di seluruh dunia dan kebelakangan ini kita mendengarinya saban hari dalam sosial media antarabangsa.Tidak ada kedengaran suraa-suara yang membencinya. Kalau ada pun pastinya disimpan didalam hati sahaja. Mana mungkin wira warga kulit hitam yang telah berjaya membebaskan kaumnya diperkecil oleh sesiapa kerana nilai kebebasan adalah nilai Universal. Mandela memperjuangkan Kebebasan dan Keadilan bagi kaumnya. Islam juga memegang prinsip kebebasan  dan keadilan walaupun takrifnya berbeza dari berbagai aspek.

Hari ini konsep kebebasan dan keadilan tanpa sempadan dipegang kuat oleh sesetengah golongan manusia hingga apa jua yang seseorang itu suka maka ia harus dihormati walaupun jurang perbezaan pendapat itu amat jauh.

Baru sekejap tadi saya membaca Blog "Peduli Ummah" yang mengatakan bahawa ada sekumpulan NGO di Malaysia yang telah menghantar memorandumnya ke Pertubuhan Bangsa2 Bersatu mahukan hak asasi manusia dihormati termasuk berkahwin dengan jantina yang sama.

Tetapi saya tidak berhasrat untuk berbincang mengenai kemelut konsep Kebebasan ini sekarang. Saya hanya ingin meluahkan fikiran dari apa yang saya lihat di media sosial, terutamanya di CNN dan BBC mengenai kesan perjuangan Mandela dalam set minda kepimpinan dunia. Dalam majlis yang terbesar di dunia di mana ramai Ketua-ketua  Negara hadir, teman dan lawan, dan juga dihadiri  rakyat biasa dari berbagai  golongan dan status, perjuangan Mandela, keberaniannya, dan kejujurannya dipuji tinggi menggunung.

Saya terpegun berfikir. 

Nelson Mandela patut dihormati atas sumbangannya pada meraikan harga diri manusia. Tetapi mengapa hanya perjuangan Mandela sahaja yang disanjung dan dipuji. Bukankah diwaktu ini pun ramai pejuang-pejuang kebebasan dan keadilan berada di setiap Benua di muka Bumi ini.  Kalau mereka tidak sampai keperingakat patut mendapat pujian sekali pun, adakah wajar mereka dipenjarakan dan diseksa berbagai cara. Mandela juga dipenjara dan diseksa hingga 27 tahun. President Amerika  dan Perdana Menteri Britain ketika itu tidak simpati dengan perjuangannya hinggalah mereka diasak dengan tuduhan-tuduhan yang bertalu-talu oleh masyarakat dunia di Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu dan lain-lain forum barulah Magret Tacher "mengarahkan" pemerintah Afrika Selatan membebaskan Mandela.

Kita lihat hari ini President Amerika tidak simpati dengan rakyat Palestine yang dizalimi oleh Israel. Ramai yang dipenjara dan diseksa bukan di Israel sahaja tetapi President Amerika memenjara dan menyeksa pejuang-pejuang yang mereka label sebagai terrorist ditempat-tempat rahsia di Bumi ini  hanya kerana mereka menuntut kebebasan dan keadilan dan mahu hak-hak asasi manusia dikembalikan. 

Agaknya boleh atau tidak kita katakan Pemimpin yang menerajui negara-negara terkuat di dunia ini sebenarnya tidak ada keikhlasan. Hanya bersandiwara di Pentas Dunia....Agenda mereka bukan kebebasan dan keadilan. Agenda mereka adalah menghapuskan Islam.

Itu pendapat saya. Biar berputih tulang......
Kalau salah tolong betulkan.

Tunjukanlah kami dan peliharalah kami di Jalan Yang Benar Ya Rabb.
Kami beriman dengan MU dan janganlan dibolak-balikan hati-hati kami ini.
Mohon pertolongan MU Ya Rabb...


.....  
Related Posts with Thumbnails