"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, January 13, 2015

SmarTop 2015...selangkah lagi.



Hari pertama dalam sessi Minggu Orientasi.

Alhamdulilah. Ahad 11 Januari bermulalah tahun yang ketiga bagi SmarTop dalam merencana dan melaksana sistem pendidikan yang mengasuh dan mendidik anak-anak kecil untuk mengenal yang maha Pencipta dan Rabb sekian alam.

Ilmu lainnya diajarkan selari dalam falsafah sistem pendidikan bersepadu dan holistik.

Anak-anak kecil belajar mengenal Allah adalan suatu proses yang mudah bagi seseorang yang kembali pada Fitrah. Anak-anak ini mudah menerima apa yang di ajarkan dan mudahnya itu Allah kurnia bagi hati-hati yang mahu mengabdi diri pada yang maha Esa dan maha Berkuasa.

Pengasuh dan guru-guru SmarTop kami latih, antara lain, di bawah program "Little 'Abd" anjuran NGO Haluan bagaimana menerapkan kurikula mengenal Allah. Untuk permulaan ini amat mencukupi dan di SmarTop kiam mengadakan juga usrah dalaman untuk meningkat dan memperkuat kefahaman para guru dan staff mengenai Deen Islam terutamanya dari aspek Aqidah dan Pendidikan.






Ada satu agenda baru pada tahun 2015 ini. Tahun ini kami SmarTop, in sya Allah akan memulakan kelas Tahfiz alQuran. Ianya bukan dalam bentuk Tahfiz seperti kanak-kanak dalam peringkat umur sekolah rendah dan menegah. Seorang guru yang berlatarbelakangkan jurusan itu sudah bersedia memulakan suatu yang kami rancang sedikit demi sedikit.

Mengapa perlu menghafaz alQuran? 

Satu pertanyaan yang dikemukakan oleh sesetengah ibu-bapa. Lagi awal lagi baik, kami menjawabnya kerana suatu keistimewaan dalam ilmu hafazan ialah ia dapat menanam ingatan yang kuat dalam aqal anak-anak. (It strengthens the ability to remember dan maintain and sustain what is learned).

Ia menguatkan dan menajamkan ingatan dan ingatan itu berpanjangan.(The ability to sustain knowledge). Ini kata seorang ulamak, Sheikh Hamzah Yusuf yang saya petik dari U Tube.

SmarTop menyedari strategy ini boleh dipertikai. 

Tidak mengapa. SmarTop Yakin. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan.

Kami hanya mencontohi sirrah dimana Nabi kita Muhammad Salallahualaihiwasalam  meminta sahabat-sahabat untuk menghafal ayat-ayat suci yang diturunkan. Waktu itu sudah ada indvidu-individu yang pintar menulis tetapi Nabi kita tidak memerinthkan untuk menulis tetapi memerintahkan untuk menghafal.

Pastinya ada sesuatu yang istimewa. WaAllahu'alam.





Saya tidak bersama pada hari pertama kerana saya tidak berapa sihat dan ada di Petaling Jaya. Partner saya seperti di foto ini yang mengurus segalanya dengan di bantu oleh guru-guru dan staff. Alhamdulilah, tidak ada masaalah besar yang timbul. 

Ada 10 orang murid yang telah mendaftar untuk Hafazan tetapi untuk dua minggu ini guru sedang menyesesuaikan diri dengan murid-murid ini. Mereka berumur 6 tahun. Semoga Allah memberkati usaha ini.

....

Sunday, January 11, 2015

Jangan dibiarkan kosong.....




Ini pemandangan waktu senja di Pantai Lido Johor Bahru. Di seberang sana ialah Singapura. Saya masih terkilan mengapa Singapura mudah sahaja dilepaskan pada kepimpinan yang tidak sealiran dengan Islam. Rakyat Palestin bermati-matian mempertahankan tanah air mereka dari dirampas Zionist Israel.

 Kita di Malaysia melepaskan Singapura "with a stroke of the pen". Atas nama undang-undang dan atas nama keselamatan jangka panjang. Walaupun saya tidak terlibat secara langsung, saya takut saya tidak dapat berlepas diri dari tanggongjawab memelihara tanah kepunyaan orang Islam. Semoga Allah mengampuni.

Sebenarnya saya ingin bercerita lain dan catatan di atas tadi hanya melayan hati yang gundah....bila melihat bumi Allah "tercemar" di seberang selat sana!

Saya rakam foto itu di musim cuti sekolah yang baru lalu. Suami dan saya membawa anak cucu balik kampung dan singgah di Johor Bahru seketika untuk menziarahi seorang teman kerana sudah rasa berzaman tidak kunjung mengnunjung untuk bertanya khabar.

Teman ini adalah teman akrab, setia di hati walau pun berjauhan. Kami bersama tinggal di SIGS Hostel semasa menuntut di English College, yang sekarang bernama Kolej Sultan Abu Bakar Johor Bahru, di pertengahan tahun enam-puluhan. MasyaAllah sudah begitu lama. J......namanya. Seorang guru terlatih dalam bahasa Inggeris dan kelulusan peringkat Sarjana diperolehi dari University di UK. Setelah bersara dia menjadi guru alQuran, khusus bidang Tajwid. Disamping mengajar, dia sambung belajar dalam bidang lain menerusi seorang tuan guru.

Teman saya ini punya sifat yang serious bila mengaji al Quran atau mempelajari sesuatu dalam bidang apa jua yang diminati. Maka bila "bersembang" dia tidak akan becerita sesuatu yang akan membawa kesuasana lagha, atau melalaikan. Ia akan pastikan apa jua yang kita buat akan ada nilai tambah dalam urusan hidup terutama dalam saat-saat yang amat hampir samapinya garis penamat.

Ia selalu sahaj mengingatkan saya:" Kita jangan lagha, setiap minit, setiap saat hati kita berzikir walau pun mulut kita sedang memperkatakan sesuatu yang lain."

Tersentap hati saya kerana ini suatu yang serious. Tidak pernah saya memikirkannya begitu.

"Jangan biarkan hati kita kosong. Bila-bila masa kita boleh dipanggil balik. Sebab itu kita cuba sedaya upaya sentiasa dalam mengingati Allah, sentiasa buat sesuatu yang Allah redha."

Saya tergamam hendak bertanya. 

Kemudian bertanya juga akhirnya.

"Macam mana nak buat dua benda dalam satu masa, dalam satu saat?"

"Jangan tanya soalan itu. Buat sahaja semua amalan soleh sedayanya. Sentiasa bisikan pada hati untuk berzikir. Buat sahaja. Yang lainnya anugerah Allah. Mohon padaNya . Insy Sya Allah, dengan Rahmatnya yang tidak terhingga, Allah yang akan membawa kita rapat padanya. Fikir, usaha, doa dan tawakal. Kita hendak jadi golongan Muqorrobiin.... Semoga Allah masukan kita dalam golongan itu......golongan yang sentiasa dalam dakapan kasih sayang dan redha NYA.

Saya diam.......
Teman saya bercakap sambil menuang teh dalam cawan saya. Riak mukanya biasa sahaja.

"Kita cuba sentiasa berada dengan orang-orang yang akan membantu kita menambah ilmu dan beramal dengannya, jaga hubungan kita dengan Allah dan jaga hubungan kita sesama manusia." Dia menyambung lagi sambil berjalan ke bilik tamu untuk menjemput suaminya dan suami saya masuk ke dapur minum teh.

Hati saya berdebar seketika....tetapi saya rasa agak blurr juga.... Subhanallah....
Maka saya buka topik lain untuk cerita-cerita santai. Sambil bercerita hati saya tetap terpaku pada saranannya.

"Datang selalu kita boleh SEMBANG panjang-panjang, lama-lama."

Saya faham maksudnya. Sememangnya dia suka bercerita pengalamannya semasa dia berada di Yamen  dua tahun dahulu. Dia di sana tidak lama, sebulan sahaja. Tetapi banyak yang ia suka kongsikan dengan saya.

Dua tahun dahulu dia menghadiahkan saya sebuah buku wirid dan doa yang dia dapat di Yamen dan minta saya ikut mana yang boleh. Saya masih ketinggalan.

Balik ke rumah saya dan suami hanya berbincang berduaan semoga Allah menunjuki jalan. 

Jangan biarkan kosong.....satu detik pendedahan yang menakutkan...
Rasa diri amat jauh.
Mohon keampunan Mu ya Rabb....
Mohon keampunan Mu ya Rabb....
Aku amat fakir dan kerdil di sisi Mu...Semoga Engkau redha akan daku seadanya....

Aamiin ya Rabb...

.....

Saturday, January 10, 2015

Orang kampung ku.....




Kasihan.....kampung yang dekat dengan bandar pun tidak ada perkhidmatan angkat sampah.

Kasihan.....orang tua ini terpaksa bakar sampah kerana tidak mampu mengangkutnya ke tempat buangan yang terdekat yang di khaskan oleh Majlis Bandaran.

Kasihan......Udara jadi mangsa kerana pembakaran terbuka seperti ini.

Siapa yang bertanggong jawab ye? 

Saya balik kampung hanya sesekali dan tidak kesempatan menyelesai masaalah seperti ini.

Johor adalah antara negeri yang termaju di Malaysia ini. Tapi malangnya masih ada rakyat yang dibiarkan hidup cara primitif.

......

Thursday, January 8, 2015

Maulidilrasul 2015 - detikan hati ...





Ibarat bunga kembang mekar, detik hati seorang balu masih segar untuk terus mencintai Rasulullah salahualaihiwasalam. Kederat badan sudah nampak ciri-ciri gersang dan pudar. Namun hatinya tetap berkobar-kobar bila berbicara tentang cinta Allah-cinta Rasulullah.

Balu itu ialah kakak saya yang tinggal seorangan setelah suaminya meninggal dunia. Ia berumur 79 tahun. Tetapi anak perempuannya tinggal di rumah sebelah dan hampir kesemua keperluannya di bantu oleh anak dan menantunya. Alhamdulilah jumlah pencennya mencukupi dan dengan jimat cermat ia dapat membuat aktiviti peningkatan ilmu dan penghayatannya di kalangn jiran tetangga dan teman-teman di kampung.


Dia menyarankan saya datang untuk berkongsi ilmu dengan jemaahnya sempena Maulidil Rasul 2015 pada 4 Januari yang lalu. Mulanya saya keberatan kerana dikhabarkan angin ribut dan hujan akan melanda negeri Johor pula. Kakak saya seperti rasa agak hampa bila saya keberatan. Cepat-cepat saya muhasabaha diri dan menilai sikap yang cepat khuatir akan kemungkinan menghadapai masaalah banjir seperti di Pantai Timur.

Maka saya  cepat-cepat bersetuju untuk datang, kalau banjir sekali pun. Alhamdulilah berita cuaca buruk tidak menjadi. Maka saya membantu sedikit persiapan untuk Majlis Maulidil Rasul di rumahnya.







Sebenarnya semua persiapan telah dibuat oleh anak-anak dan menantunya. Cucu-cucu yang remaja juga membantunya. Varanda rumah dihias cantik. Alhamdulilah...




Kakak saya yang seorang lagi mencantikan tulisan 
yang diusahakan oleh kakak yang jadi  tuan rumah. Seronok saya melihat kerjasama yang ditunjukan dalam keluarga.




Ini jalan kampung merentasi rumah seorang kakak ke rumah kakak
 yang ada acara Maulidil Rasul itu.
 Nostalgia bagi saya melalui rentasan ini. Teringatkan arwah emak saya dan kakak yang sulung yang selalu membersihkan jalan ini
 supaya tidak ditelan semak samun.




Anak dan menantu menyediakan meja hidangan makanan. Alat-alat dipinjamkan oleh jiran. Sungguh erat hubungan kejiranan.



Majlis bermula selepas zohor. Saya hanya bercadang untuk dakwah santai mengenai bagaimana menzahirkan cinta kita pada Rasulullah Salallahualaiwasalam. Saya tidak menggunakan format ceramah seperti yang mereka biasa ikuti. Saya lebih suka sessi soal jawab kerana saya dapati sesi seperti itu jarang dilakukan. 







Ini adalahi sebahagian besar kumpulan jemaah yang hadir. Saya kagum denagan  minat yang ditunjukan. Alhamdulilah. Majlis dimulakan dengan Zikir kifarah, dikuti dengan solawat-solawat atas nabi dan nasyid tradisional berkaitan 'marhaban'. Di Petaling Jaya jarang sekali saya mengikuti majlis seperti ini, kecil-kecilan tetapi sangat mesra suasanya. Majority ahli yang hadir berumur 50an dan 60an. Yang 40an pun ada dan saya seronok melihat minat yang ditunjukan dengan bertanyakan soalan-soalan.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan. Sungguh lumayan hidangan yang disediakan dan yang dibawa oleh jemaah. Mereka membawa "berkat" pulang untuk keluarga.


Akhir sekali sebelum menjamu selera kakak saya tuan rumah mengetuai doa penutup dan doa makan yang panjang sedikit dari biasa. Seronok saya dengan usaha kakak saya yang suka memunafaatkan umurnya yang sudah lanjut untuk dikongsikan dengan masyarakat kejiranan dalam membina kekuatan ummah, walaupun secara kecil-kecilan. Saya tahu dihatinya ia rasa bersyukur kerana masih mampu mengisi kurniaan umur panjang dan tenaga dan wang ringgit untuk tujuan kebajikan kerana Allah.

Semoga Allah akan terus mengurnia kesihatan bagi kakak-kakak saya khususnya dan pada jemaah semua umumnya. Dan semoga Allah kurnia saya apa jua yang saya perlukan untuk selalu pulang ke kampung mengisi masa bersama mereka.





Bunga-bunga jadi saksi-saksi, hati ceria berbakti.
Semoga Allah memberkati.



Keesukannya saya pulang ke Petaling Jaya menaiki bas setelah merakam gambar keluarga besar yang tinggal di Pontian
 dan yang datang ziarah ke Pontian.
Kekkuatan ummah bermula dari kekuatan keluarga.


Saya rakam foto akhir ini kerana seronok dengan keseronokan yang ada pada keluarga. Itu Azmin yang seronok tidak terkira.

"Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan."

....

Tuesday, January 6, 2015

2015 - Ayuh kita teruskan....





Walaupun kita dikejutkan dengan peristiwa bencana alam yang amat memukau perasaan dan menggoncang minda, saya mahu membiarkannya berlalu dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa banjir terbesar dalam sejarah di negara tercinta ini punya natijah yang boleh dilihat dari berbagai segi. Saya mendengari penulisan GentaRasa mengenai bagaimana melihat peristiwa ini. (lihat di sini). Maka tidak perlu kita menuding jari siapa yang bersalah dan bertanggong jawab. Allah telah memberi akal secukupnya pada manusia untuk mengenaliNya dan memahami kuasa mutlakNya. Fikir dan zikir.....

Maka dalam menghadapi dan menangani masaal perjuangan hidup yang berbagai rupa, kita harus bersabar, berusaha dan bertawakal. Maka saya katakan pada suami saya bahawa walaupun sukar dan sulit mengendali Tadika SmarTop Subur Fitrah kerana kekurangan dana dan masaalah pengambilan dan pengurusan guru dan staf saya bertekad untuk meneruskan tanpa melihat ke belakang. 

Ayuh kita teruskan walaupun mencabar. "We are not qitters" saya sebut pada teman saya, cuba memotivasi diri sendiri sebenarnya.

Kita lihat yang cerah di hadapan dengan penuh keyakinan bahawa kalau sudah mencuba dan berusaha sedaya mungkin dan sudah bermunajat memohon pertolonganNya, maka yang terhasil itu adalah ketentuan Allah semata-mata. 

Maka dalam semangat yang sama, minggu lepas saya pergi awal ke Pontian Johor untuk berehat seketika sementara belum samapai waktu saya 
menerima saranan kakak saya untuk berkongsi ilmu dengan kumpulan jemaah pengajiannya di Kampung. (cerita seterusnya dalam blog berikutan).



Atas beberapa sebab dan untuk mencabar diri menghayati erti pengorbanan, saya menaiki bas pengankutan awam pergi dan balik Pontian - Kuala Lumpur. Satu pengalaman yang menyeronokan walaupun agak kurang selesa bagi penumpang diusia sebegini. Tidak kelihatan orang dewasa "tua" seperti saya menaiki bas, maka saya senyum sendirian. Alhamdulilah....Allah masih memberi ruang dan kemampuan untuk terus melaksana sesuatu yang menyeronokan hati dan minda.

(kelihatan dalam foto ini kakak saya serta anak cucunya menghantar saya di terminal bas di Pontian. Semesa masih belajar di Kuala lumpur akhir tahun enam-puluhan, sememangnya saya sering menaiki bas pulang ke kampung, atau taxi. Keselesan perjalanan sekarang jauh lebih baik.)





Semasa di Pontian, saya mengambil peluang mengikut sama keluarga kakak saya pergi ke Johor Bahru ....putar-putar melihat apa yang baru di sana. Saya belum pernah ke Johore Premium Outlet JPO, di Kulaijaya dan Azmin anak saudara saya dan Dillah isterinya membawa saya dan kakak ke sana. Ini tempat membeli belah barangan jenama popular. Ramai keluarga muda yang sibuk mencari barangan kesukaan mereka. Saya dan kakak hanya duduk berehat dan memerhati  karenah cucu-cucu "mengheret" ibu bapanya untuk membeli kesukaan chocolate dan barangan mainan mereka.







Entah bila lagi saya dapat bersantai dengan kakak saya seperti hari itu. Sambil menanti sambil bercerita perihal keluarga dan berbincang cara mana mahu membantu yang agak kesempitan dalam mengendali hidup harian. Kami pulang lewat petang dan keesukan harinya mereka pulang ke Kuala Lumpur.


Sambil sarapan pagi sebelum berangkat pulang saya sempat berkongsi pendapat dengan anak-anak buah bagaimana membina remaja supaya bolih berdikari sebaik mungkin. Akhlak adalah terpenting berbanding kecermerlangan akademik. Saya katakan pada cucu remaja bahawa Allah tidak menilai kepandaian belajar semata-mata. Allah menilai akhlak dan usaha kita. Berusaha adalah kewajiban kita menekala natijah kecemerlangan adalah hak Allah. Sebab itu kita katakan kita merancang, Allah menentukan.

Sebenarnya masa 24 jam sehari amat singkat hakikatnya. Tidak puas rasanya berembang dan berbicara dengan keluarga muda, tetapi apakan daya. Masing-masing punya jadual hidup yang sentiasa padat. Namun saya sering mengingatkan bahawa walau sesibuk mana sekalipun, kewajiban pada Allah itu tidak boleh dikompromi. Dan masa itu Ibadah. Jangan kita asyik menyibukan diri dengan hal dunia yang tiada kaitan dengan akhirat. Semoga Allah sentiasa memelihara....

Saya ingatkan diri dan anak-cucu juga bahawa dalam kehidupan ini pertalian dengan Allah itu penting dan pertalian sesama manusia pun penting juga. Maka banyakanlah kerja amal walau pun hanya sedikit, sekelumit kata teman saya. Kata pepatah: sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Ayuh kita teruskan tekad menginfak masa, tenaga dan harta sebaik mungkin....untuk manusia, haiwan dan alam.....kerana Allah jua.

Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan dan semoga di hujung perjalanan ini kita sentiasa redha atas segala ketentuan Allah dan Allah menerima kita dalam RedhaNya. aamiin.....


...

Thursday, January 1, 2015

Tidak selalu...




Tidak selalu dapat berkumpul dengan keluarga angkat suami saya, Hambal namanya. Pada 27 Dis 2014 kami ke majlis perkahwinan anaknya di Bangi. Sederhana tetapi amat meriah suasana yang ada. Semasa bersekolah menengah suami saya menumpang di rumah keluarga Hambal dan ia di iktiraf anak angkatnya. Maka bila bertemu dalam majlis ini silaturrahim yang terjalin amat terkesan di hati. Maka saya rakam beberapa foto untuk kenangan.


Hambal yang berpakaian rasmi baju Melayu tradisional. 
Di kanan sekali ialah abangnya.


Oleh kerana tidak selalu, saya rakam juga foto cucu saya yang ke 12.
Di sini kelihatan bersama anak perempuan saya.
Aeyshah Rania nama cucu terkecil ini.


Di sini saya ambil peluang merakam foto biras saya. Mariam namanya dan saya jarang-jarang sekali bertemu dan bersembang santai.

Itulah peristiwa di akhir-akhir 2014, tahun yang banyak merakam sejarah suka dan duka di peringakat negara. Yang terbesar ialah kehilangan pesawat MH17 dan MH 370. Kedua-duanya masih mystry tentang cerita sebenarnya. Itulah sebabnya Allah menekankan supaya orang Islam berusaha habis-habisan untuk mencari ilmu supaya dapat menandingi ilmu-ilmu kaum lain di dunia ini. Maka tidaklah kita seperti dipinggirkan dan dikotak-katikan.

Periatiwa banjair terbesar masih belum pulih dan usaha membantu mangsa masih berjalan terus. Suatu ujian Allah bagi mereka yang mahu berfikir dan muhasabah diri. Namun demikian ramai rakyat yang masih tertanya-tanya mengapa kerja menyelamat dan tindakan recovery tidak selancar yang diharapkan. Kewibawaan negara dan sikap syarikat-syarikat perniagaan yang besar-besar sedang di perhatikan.

Rakyat biasa bertindak mengikut kemampuan.
Tetapi Rakyat  tetap memerhatikan...............

Setakat ini sahaja untuk permulaan 2015.
Semoga Allah mengurnia ruang dan peluang untuk terus berbakti dan semoga kita redha atas segala ketentuanNya dan Allah meredhai kita semua.
Aamiin....


....

Wednesday, December 31, 2014

Diakhir 2014 hati lega bersama Cikgu tercinta....





Jam 12 tengah hari tadi saya dan suami bergesa menuju sebuah restoran masakan Barat di Petaling Jaya untuk makan tengah hari bersama guru saya semasa di tingkatan 5, lima puluh tahun yang lalu. 

Rasa amat teruja....

Sebenarnya sudah lama saya berhajat mahu menghadiahkan beliau sebuah alQuran sebagai satu cara "soft dakwah" baginya. Maka bila ia bersetuju dengan jemputan saya, amatlah teruja rasa di hati. Tidak tertunggu rasanya bila ia meletakan 31 Disember untuk bertemu.

Saya menjemput juga seorang teman baik yang sama bersekolah dengan saya dan juga jiran saya di kampung untuk berserta. Lagi teruja bila dia bersetuju menjemputnya dengan kereta kerana Cikgu saya ini sudah berumur 76 tahun dan kurang sihat. 

Namanya Miss Tan Lee Kiang. Dia mengajar kelas saya dari Tingkatan 3 hingga tingkatan 5 di Secondary English School Pontian ketika itu. Saya tidak bertemu dengannya sejak 1964 hingga lah saya bekerja di Kementerian Pendidikan dan semasa itu ia bertugas di Bahagian Perkembangan Kurikulum, sekitar tahun sembilan-puluhan.

Miss Tan di sayangi semua murid. Nampak begitu kerana ia sangat suka membantu tanpa kira siapa kita. Saya amat menghargai komitmennya hingga kini kerana hanya Miss Tan sahaja yang meminjamkan anak muridnya buku-buku cerita bahasa Inggeris kerana Library di sekolah amat kekurangan buku-buku berkualiti ketika itu.. Saya disuruh baca buku Enid Blyton setiap minggu dan buat ringkasan. Saya kekadang ambil sahaja dari summary di belakang buku kerana tidak habis membaca. Saya sebenarnya lebih suka bersukan dan masa belajar amat terhad sekali. Seorang guru pasti tahu murid yang rasa "pandai-lebih". Cuma pasti guru buat tak tahu sebab ia tahu membaca ringkasan adalah lebih baik dari langsung tidak membaca.

Bila meneropong kebelakang, saya tersenyum sendirian.




Kami duduk makan dan bercerita panjang mengenai hidup secara umum. Kami cerita juga guru-guru yang sudah "gugur" dari senarai. Rasa bercampur-campur di hati kerana saya sendiri pun sudah masuk dalam senarai menunggu di dewan berlepas. Cuma berharap ada penagguhan masa.

Kami tidak banyak bercerita mengenai hidangan makan yang dinikmati. Kami lebih bercerita tentang bilangan mereka yang sudah tidak ada bersama lagi. Ada semacam rasa khuatir. Kemudian kami gelakan diri masing-masing.

Miss Tan tinggal berseorangan. Ia tiada anak atau sanak saudara yang boleh tinggal bersamanya. Tetapi saya katakan padanya bahawa pada hakikatnya kita semua berseorangan. (We are essentially alone). 

Terkejut saya bila Miss Tan kata: No....We are never alone. God is watching over us.
Saya terkejut lega kerana Miss Tan percaya pada Tuhan. Saya larut berfikiran sendiri bagaimana saya mahu katakan padanya saya ada sebuah hadiah Istimewa untuknya....AlQuran....

Saya memberanikan diri dan berkata tergagap-gagap dan terputus-putus: Miss Tan, I would like to pay your kindness to me as a teacher by giving you a special book. This is the alQuran. I would like you to read it, if you like. I choose this as a gift because this is the best gift I could think of.

Sebenarnya saya tidak berapa ingat apa yang saya katakan kerana saya rasa haru takut-takut ia akan memberi reaksi yang diluar jangkaan saya. Apa yang saya ungkapkan di rumah di hadapan suami saya tidak dapat saya katakan dengan jelas. Rasa hampa pada diri....lantas teringat bahawa Allah yang berkuasa atas segalanya. 

Miss Tan senyum....tetapi seakan-akan senyum tawar. Namun ia berkata: Thank you Ngasobah. You are the second person that has given me the Quran. 

Ia mengambil Quran yang saya letak di hadapannya dan di masukan dalam bag plastik di sisinya.

Dia tidak komen panjang dan hanya mengatakan bahawa ada banyak persamaan antara Islam dan Christianity.

Saya mengangguk dan dengan hati yang terketar-ketar saya minta ia membacanya bila dia suka. 

Teman saya tidak berkata apa-apa.....
Agaknya dia sendiri pun tidak tahu bagaimana mahu berkata apa-apa kerana selama ini bila kami berkumpul dan bersembang tidak pernah kami bercerita mengenai hidup beragama dan hidup berTuhan. Hanya cerita-cerita politik dan hal-hal professional dan lain-lain sepertinya.

Nyata sekali proses berdakwah bukan suatu yang mudah terutama kepada seseorang yang kita kenali dan hormati. Saya ada rasa begitu tetapi saya mahu mencuba. Semoga Allah memberi laluan dan memberi peringatan padanya.

Hanya itu yang dapat saya lakukan.

Sejurus itu kami bersiap untuk beredar. Saya peluk Miss Tan seperti biasa sebelum ini di mana jua. Dia beri tahu pada suami saya bahawa saya selalu peluk dia bila berjumpa semasa bekerja dahulu. 

Saya senyum dan berkata dalam hati semoga Allah membuka hatinya untuk kembali padaNYA.




Teman saya , Tamyes dan isteri menghantarnya pulang. Miss Tan kata kita berjumpa lagi bulan Mac ini untuk meraikan Hari Lahirnya. In sya Allah saya dan Tamyes akan aturkan dan saya akan cuba follow-up dengan perkembang "Soft Dakwah" saya. Nyata saya tidak "berbakat" memikat hati. Namun saya berdoa Allah memberi peluang pada saya berbakti untuk kemanusiaan dan terpenting sekali ialah membawa manusia mengenal Allah dan kembali pada Fitrah.

Maka beredarlah 2014.
Sebentar lagi akan muncul 2015, Allah mengizinkan.

Terhiba di hati....tetapi juga rasa lega dapat memberinya alQuran.
Semoga Allah kurnia kemampuan dan kekuatan untuk terus berusaha mendirikan dan membela Kebenaran.

Mohon keampunan Mu ya Rabb...


........
Related Posts with Thumbnails