"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, February 27, 2015

Siapa yang pergi dahulu.....





Minggu yang lepas suami dan saya dan anak dan cucu-cucu bermalam di Perumahan Kerajaan Persekutuan di Cameron Highlands dengan ehsan kelayakan seorang teman yang senior di Perkhidmatan Awam.

Dalam duduk dan bersembang santai suami saya mencetuskan lagi persoalan yang sukar dan tidak mungkin ada jawapan.

"Antara kita dua, siapa agaknya Allah ambil dahulu?" soalan yang sering ditanya setahun dua kebelakangan ini. Maklumlah kami sudah dipebatasan umur tujuh-puluhan.

"Kita hak Allah. Mana mungkin kita boleh tahu...." jawab saya dengan senyuman, tetapi serious. Agak mendebarkan juga soalan seperti itu. Ustaz pernah kata: Hidup itu nikmat, Mati pun Nikmat. Mati memungkinkan kita masyuk Syurga dan bertemu Allah....nikmat yang tiada bandingan. Maka Ustaz sentiasa menasihati supaya bertaubat dan beramal soleh hingga ke akhir hayat.

Semoga kami sentiasa beringat..... 

Saya dan suami boleh dikatakan sihat berbanding sesetengah orang lain. Alhamdulilah, kami amat bersyukur. Tetapi hakikatnya kami sudah mula di huni oleh berbagai masaalah kesihatan. Kami adalah pesakit diabetis lebih dua puluh tahun yang lalu. Ia agak terkawal buat masa ini dan sentiasa berdoa semoga Allah menganugerah umur panjang yang bermunafaat untuk bekalan ke akhirat.

'Tidak mengapa siapa pergi dahulu. Kita buat sahaja persiapan yang sewajarnya. Kesihatan zahir tidak boleh menjadi indikator tetap siapa yang akan pergi dahulu. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah yang Mutlak." Selalu itu menjadi jawapan standarad bagi saya. Namun kekadang saya kata: "Abang susah apa kalau isteri pergi dulu. Carilah ganti, bukan susah...." kemudian kami panjangakan beberapa andaian mengenainya dan diselang seli dengan gelak ketawa bersama. Namun di celah-celah gurau senda itu pasti ada juga rahsia yang belum nyata. Biar masa yang menetukannya.

Pokoknya kita harus bersedia secara individu. Saya 'berceramah" pada suami saya. Kita perlu sibukan diri masing-masing dengan aktiviti yang memberi munafaat pada diri dan pada orang lain. Lebih banyak pada orang lain, lebih baik. Itu amal jariah namanya. Bila salah seorang antara kita tiada, pandai-pandailah bawak diri. Kalau boleh jangan bergantung sangat pada anak-anak. Jika kita mendapat perhatian dari anak-anak, kita kira itu 'bonus point'. Kita berusaha mengurus diri sendiri sedaya upaya. Dalam kebebasan berurusan sendirian, insya Allah kita mendapat perhatian yang lebih dari Allah. Kebergantungan kita hanya padaNYA.

Maka semasa di Cameron Highlands kami bersetuju untuk menghadiri majlis perkahwinan di kedah bagi suami saya dan di Johor untuk diri sendiri.

Ini satu cara untuk melatih diri berbuat sesuatu tanpa rakan kongsi  dalam hidup.





Suami saya mengambil peluang ke Kota Kuala Muda sementara majlis perkahwinan di Sungai Petani belum bermula. Kemudian ke Pantai Merdeka. Di situ temapat nelayan dan jika suka katanya kita boleh menjamu selera masakan tempatan dengan makanan laut yang segar-segar belaka. Suami saya pergi dengan anak saya dan seorang cucu dengan ditemani anak angkat teman akrab saya bernama Annas. Suami saya kata dia baik dan pandai melayan warga tua.(Annas berbaju hijau).





Sementara itu saya pergi ke Tangkak dan singgah di Kajang untuk menemui teman seperjuangan dari Sarawak. Sudah lama saya tidak ke Kajang dan hampir tidak dapat mengenali tempat-tempat yang biasa yang kunjungi dahulu. Saya kira pembangunan pesat sekali dan saya katakan pada teman semoga pembangunan yang melambangkan ekonomi negara itu amat sihat memberi munafaat pada golongan yang benar-benar memerlukannya.


Kalau saya berpergian seorang diri pasti saya akan sesat barat tanpa pertolongan.



Nora nama teman kami ini. Ia bertudung warna putih.  Saya baru 2 tahun mengenalinya tetapi teman patner saya di SmarTop sudah mengenalinya agak lama kerana ia pernah bertugas di Sarawak suatu masa dahulu.
Nora bekerja sendiri kerana mahu kebebasan membuat kerja-kerja NGO dan menumpu pada kerja-kerja pembangunan ummah.  Kami makan malam bersama dan sempat bertukar-teukar fikiran secara santai mengenai perkembangan politik di Sarawak secara umumnya. Saya kurang minat politik di rantau itu. Tetapi apa pun yang kita buat dalam konteks pembangunan ummah pasti menyentuh hal politik serba sedikit. Itu satu kenyataan.

Saya lebih mendengari dari memberi pendapat dan saya fikir itu lebih baik. Cuma saya mengatakan bahawa dalam pembangunan ummah kita harus mencari dan membina titik persamaan antara kaum dan tidak membesar-besarkan perbezaan antaranya. Dengan cara ini perpaduan ummah akan lebih mudah tercapai. Tetapi ia memerlukan keikhlasan dan pengorbanan. Pertolongan dari Allah tidak datang bergolek.....

Subhanallah.....Allahu Akbar.

Kami lewat pulang dan sampai di Tangkak hampir tengah malam.

Itu baru permulaan secara sedar saya dan suami berbuat sesuatu tanpa pergantungan antara satu sama lain. Hakikatnya suatu hari nanati, mungkin tedekat, kita tidak duduk bersama lagi. Setengah orang berpendapat bahawa kita harus mengambil peluang hidup bersama seoptima mungkin dan biarkan soal perpisahan  datang dengan sendirinya.

Namun saya suka bersedia supaya insya Allah tidak ada kejutaan mendadak. Apa pun yang akan berlaku kita hanya mampu berdoa semoga semuanya Allah mudahkan dan di hujung episod hidup ini kita redha dan ALLAH MEREDHAI.

Aamin ya Rabb....

....

Thursday, February 26, 2015

Bukan sekadar memenuhi jemputan.....



Panas terik pada hari Isnin lepas semasa saya dan teman
 mewakil Tadika SmarTop mengiringi mempelai dari Tangkak ke Labis Johore untuk majlis menerima menantu. Sehari sebelumnya kami ke rumah pengantin perempuan untuk meraikan majlis pernikahannya.

Walaupun cuaca panas, Allah kurnia kesabaran demi silaturrahim dalam 
masyarakat dan khususnya jiran tetangga. Alhamdulilah.

Ia bukan satu peristiwa sekadar memenuhi jemputan kedua ibu-bapa pengantin
 tetapi ia merupakan jalinan mesra pendidik 
di SmarTop dan Lembaga Pengurusnya.

Prinsip kami: Together....Yes we can !
Kejayaan SmarTop secara aqly bergantung pada hubungan rapat ibu-bapa-guru 
dan pihak pengurusan. Alhamdulilah, Allah beri ruang dan peluang 
untuk menterjemahkan hubungan erat ini demi kejayaan bersama
 membangunkan ummah. Semoga usaha yang kecil kerdil ini Allah berkati.

Kelihatan di sini Muzaimah tersenyum gembira bersama pasangannya. 
Wajahnya tidak terkesan dengan cuaca panas, tersenyum manis. 
Begitulah sifatnya bertugas di SmarTop. 
Sentiasa senyum dan amat penyabar mengendali  karenah anak-anak 
yang berumur 4-6 tahun.

Semoga ia akan terus bersama SmarTop
 dan kami amat bersyukur kerana kami di maklumkan 
suaminya membenarkan  Muz terus berada di Tangkak
 sementara beliau akan berulang dari Tangkak ke Labis dalam menjalankan tugasnya sebagai guru di sekolah Kementerian Pendidikan.

Tahniah dan terimakasih kepada kedua mempelai. 
Kami mengucapan semoga bahagia dan sejahtera di dunia dan di akhirat.
Aamin..

...

Tuesday, February 24, 2015

Dingin.......







Cuaca bertukar menjadi dingin.....

Dari Ipoh kami memandu santai ke Simpang Pulai dan terus ke Cameron Highlands. Sudah lama saya tidak ke sana...

Suami dan saya menumpang tuah seorang teman akrab dan bermalam di perumahan Kerajaan Persekutuan. Bersama kami adalah anak-anak angkatnya. Alhamdulilah, selesa, tenang dan lapang.

Dingin dan nyaman...

Cuaca yang dingin membawa ingatan saya jauh ke Bumi sebelah Tropika Utara yang bertukar musim. Cuaca dingin di musim bunga adalah kesukaan saya di samping musim gugur atau musim luruh. Maka saya rakam sedikit di sini suasana nostalgia.











Kemudian  cepat-cepat saya lepaskan pergi minda nostalgia  kerana saya sudah tidak mahu mengingat apa yang lampau jika ia tiada kaitan dengan apa yang saya jangka akan saya lalui masa ke hadapan ini. Ustaz saya berpesan eluk tinggalkan bukan sahaja yang makruh tetapi juga yang harus jika yang harus itu tidak membawa munafaat pada kehidupan akhirat. Maka saya mahu menepati saranannya seberapa yang terdaya.







Di sini rumah kediaman untuk bermalam. Indah pemandangan di sekeliling. Di Bumi Malaysia pun banyak tempat yang cantik-cantik. Cuma kita suka juga menjelajah ke negara orang. Itu sememangnya di galakan dalam Islam untuk memerhati dan merasai hebatnya ciptaan Allah yang maha besar dan maha berkuasa. Semoga dapat meningkatkan iman dan taqwa....anugerah yang maha Esa.

Namun kita jangan terlalu kagum dengan status ekonomi sesetengah negara yang maju hingga merasakan rendah diri dan rasa dipihak yang rugi. (Sepertinya tidak seronok menjadi seorang Muslim Mukmin). Baru-baru ini seorang teman yang sedang kembara jauh menceritakan betapa indahnya kepulauan New Zeland dan kagum dengan kualiti hidup rakyatnya yang amat tinggi. 

Sungguh mereka amat tinggi dan mewah dalam serba serbi, tetapi ramai rakyatnya yang tidak pernah sujud ke bumi membenamkankan wajah muka ke tanah kotor tetapi suci. Mereka tidak mengabdikan diri pada yang maha Pencipta dan maha Pemberi. Maka pada saya hidup seperti itu tidak bererti.

Jangan kita mengkagumi mereka tetapi kita harus menginsafi diri. Seharusnya orang Islam yang harus membangun serba serbi......dibidang sains dan teknologi apatah lagi!  Namun apa jua yang kita lakukan ia semestinya berpaksi pada mentauhidkan Allah yang maha Tinggi.

Dingin dan sayu....
Kita di Malaysia Allah kurnia berbagai nikmat tetapi masih banyak KehendakNya yang belum dapat dilaksana. 
Bertangguh dan berhelah berbagai cara.....seperti tidak yakin Allah maha mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata.

Biarkan dahulu monolog yang dihati itu...

Dicelah-celah melihat-lihat dan berfikir-fikir suami dan saya mengajak anak dan keluarga untuk datang bertukar angin buat seketika. Maka menjadi besar "keluarga" yang bersama. Saya rakam disini untuk kenangan mungkin suatu hari ia menjadi  suatu yang "berharga".






Suami dan "ketua" kumpulan kami. Dengan ehsannya kami tinggal di sini.

Kami meronda-ronda melihat perubahan yang makin hari makin menjadi. Bangunan-bangunan baru yang agak tinggi-tinggi mula muncul dan pengunjung pun makin ramai yang datang untuk menikmati udara yang dingin dan flora dan fauna yang memikat hati. Alhamdulilah Allah kurnia semua nikmat deria untuk manusia lebih yakin pada yang maha Pencipta dan mengabdi diri sewajarnya.





Kami berhenti menikmati " scones and tea", dan  kek strawberry .




Melihat ladang teh dan berfoto-foto untuk kenangan anak-cucu.

Samapi di sini dan tinggallah kedinginan di tanah tinggi hingga satu masa Allah izin berkunjung lagi.

MAKA NIKMAT ALLAH YANG MANA YANG HENDAK KAMU DUSTAKAN.

...

Thursday, February 19, 2015

Melawan arus ......



Bukan melawan arus air sungai akibah banjir baru-baru ini....

Cuma saya berfikiran bahawa di umur senja seperti ini saya dan beberapa teman merasakan kami tidak perlu berkejaran dalam melaksana sesuatu tetapi harus bersantai dalam melaksanakannya. Tetapi memandangkan masa sudah terlalu singkat dan tenaga sudah semakin susut, cara bekerja harus bersesuaian.

Kemampuan diri sudah Susut....
Kederat memandu kereta sudah berkurangan, terutamanya diwaktu malam dan tenaga mengangkat baramg-barang pun sudah kehabisan. Itu antaranya. Tidak terdaya menyenaraikan yang lainnya.

Bukannya pula kami bersungut kerana itu sudah fitrah badan......
Maka saya selalu mengingatkan anak-anak supaya jangan bertangguh masa untuk membuat kebajikan. Buat segera. Semoga di Akhirat nanti kita dapat berehat dan bersantai panjang .

Minggu lepas dalam perjalanan ke Ipoh saya dan teman berhenti di Teluk Intan untuk menzirahi seorang teman lain yang sudah lama tidak bersua dan bertukar-tukar pengalaman hidup sejak bersara dari perkhidmatan awam.
Dalam Islam tidak ada istilah bersara dalam hidup kita ini, kata teman saya. Kebenaran itu susah di sanggkal. 

Teman saya ini (bertudung hijau) telah memulakan sebuah projek untuk anak-anak yatim, miskin dan berbagai lagi kategori anak-anak yang memerlukan pertolongan. Projek didirikan di atas sekeping tanah ibunya yang sudah diwakafkan. Sudah lama saya tidak berkunjung ke sana dan kini projek itu sudah diambil alih pengurusannya oleh sebuah NGO dan menjadi Pusat Tahfiz alQuran. Nama rasminya Sekolah Menengah Islam Tahfiz alAmin, di Kampung Pengkalan Ara, Cenderong Balai.

Konsep pengurusan projek sudah bertukar sedikit dari apa yang dimulakan olehnya dahulu. Teman saya menjelaskan dalam nada penuh kesyukuran. Saya mendengari penuh minat kerana sudah sewajarnya projek ini diurus oleh sekumpulan professional kerana teman saya ini seangakatan dengan saya dan pastinya kemampuan pergerakan minda dan fisikal sudah berkurangan. Kami semua sudah diperbatasan umur tujuh-puluhan.

Cuma kami tidak mahu mengalah dengan mudah untuk duduk diam dan membuat kerja-kerja rutin sahaja seharian. Kami yakin bahawa kecerdasan mental harus dicabar secara berterusan semoga  dengan izin Allah kita tidak menjadi lemah dan baki umur yang ada tidak menjadi suatu yang membebankan diri dan juga orang lain. Itulah yang kami istilahkan sebagai melawan arus........

Kerja untuk kebajikan berterusan. Seorang ustaz mengatakan bahawa kita harus berusaha walaupun kita sudah diberi tahu esuk akan Qiamat. Allah maha mengasihani dan maha bijaksana. Teruskan berusaha. Yang lainnya adalah urusan Allah semata-mata.







Syabas saya katakan pada teman saya yang memulakan projek ini. Foto-foto di atas menunjukan betapa besarnya perubahan yang sudah berlaku.

Alhamdulilah. Usahanya boleh dipelajari dan pengorbanannya boleh dicontohi.

Kami meneruskan perjalanan ke Ipoh dan samapai jam 8 malam.

Penat tetapi seronok dapat bertemu dan bersilaturrahim disamping mengambil iktibar atas apa yang dilihat dan didengari. Kami bersyukur Allah masih memberi ruang dan peluang untuk berbakti walau pun kecil dan bergerak meniti-niti. Semoga kami tidak perlu berlabuh diri dan semoga arus yang kami tempuhi hari demi hari dapat kami layari dengan pertolongan Rabb, Allah yang maha tinggi. Aamiin.....

....

Wednesday, February 18, 2015

Menjejak kasih......





Menjejak kasih seperti cerita di TV membuat saya bertekad hati untuk menghubungi seorang yang tidak ada kaitan darah tetapi telah menjadi seperti keluarga sendiri.

Dalam foto ini dia bertudung kuning dan tinggal bersama saya sebagai pengasuh pada anak-anak saya dalam tahun lapan-puluhan. Ina nama singkatnya. Tiga tahun yang lepas adalah kali terakhir bila saya menghubungi ibunya kerana mendapat berita bapanya meninggal dunia. Saya bertanyakan khabar Ina dan katanya dia biasa-biasa sahaja tetapi sibuk kerana suaminya juga tidak sihat. Agak kesal saya kerana tidak menghubunginya selepas itu.

Hari Jumaat yang lepas saya dan teman akrab pergi ke Ipoh untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang teman lain yang berasal dari ipoh. Saya bertekad untuk mencarinya dan akhirnya bertemu semula dengan pertolongan teman saya ini kerana ia pandai mencari lokasi melalui teknologi di telefonnya. Tanpa pertolongannya pasti saya rasa saya tidak dapat menemuinya.





Saya dan suami gembira bercampur sedih kerana rupa-rupanya suaminya sudah pulang ke Rahmatullah dua tahun yang lalu. Ia mengesat air matanya bila bercerita mengenai hidupnya bersama  empat orang anaknya. Saya rasa terharu tetapi melawan perasaan supaya pertemuan itu tidak diselubungi kesedihan yang teramat sangat. Saya bersembang pula dengan anak-anaknya sambil mereka makan malam yang kami belikan di restaurant dalam perjalanan ke rumahnya. Rumahnya kecil sahaja tetapi teratur dan ia menceritakan kini rumah itu sudah habis bayarannya. Alhamdulilah. Anak-anaknya mudah mesra dan saya kagum bila sesamapainya saya di muka pintu anak-anaknya sedang solat berjemaah waktu Maghrib. 

Semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh. Yang tua berumur 15 tahun dan yang bongsu kembar berumur 10 tahun. Suami saya berpesan-pesan dengan anak-anaknya dalam masa yang singkat itu. Semoga kami bertemu lagi.  Kami rakam foto sebelum kami pulang seperti di bawah ini.



Saya sedih bercampur gembira dan mengajak mereka datang ke rumah pada cuti sekolah akan datang. Anak-anaknya rasa seronok dan itu membuat saya rasa terharu.

Saya memang tidak pernah menganggap Ina seperti seorang yang asing dalam keluarga. Ia seorang yang rajin dan pandai mengurus rumah. Maka saya tidak hairanlah ia dapat mengasuh anak-anaknya hingga mahu solat berjemaah. 

Mereka anak-anak yatim dan miskin....

Itu membuat saya bersemangat untuk mengaturkan program percutian Mac ini. Semoga Allah menyampaikan hajat saya untuk berbakti pula pada seorang yang banyak baktinya pada saya dan keluarga. Ina bersama saya selama hampir 7 tahun dan ia berhenti kerana mahu berumah tangga pula. Alhamdulilah. Suaminya tidak sempat lama bersama mereka tetapi mewariskan legacy yang amat baik untuk menjadi pemangkin kehidupan mereka seterusnya. Semoga Allah memelihara anak-anak ini serta ibunya dan keluarga besarnya. Semoga mereka menjadi anak-anak yang berjaya dunia dan akhirat.

Aamiin Ya Rabb....

....

Tuesday, February 10, 2015

Ruang berbicara....




Ruang ini cantik tetapi nampak seperti sunyi. Jika dapat ditanya pasti kerusi itu juga akan kata ia kesunyian.

Hidup ini ibaratnya demikian.

Kemewahan di sekeliling kita, tetapi kita akan kesunyian jika ruh dan minda kita kekosongan. Itulah (kata ustaz) ramai kita lihat manusia di sekeliling kita mencari perhatian dengan berbagai alasan.

Kita dituntut supaya mencari hanya yang Benar dan dibenarkan. Tidak boleh ikut gerak hati dan minda intelek dan perasaan dalaman. Takut kecundang dalam perjalanan.

Ada golongan yang menarik perhatian ramai tanpa tujuan berasaskan Kebenaran.  Seperti ada kumpulan elite dan bertaraf intelek yang meminta undang-undang syar'i dikaji semula untuk memastikan keunggulan Perlembagaan.

Ada diantara teman-teman saya yang dahulu seangkatan dengan sebahagian  golongan yang saya sebut di atas tadi. Teman-teman saya ini rasa dukacita. Tetapi kami bukan ahlinya untuk berkata dan berbicara secara terbuka. Cukuplah kami merendahkan suara dan berkata-kata dengan merujuk pada Ahlinya. Malaysia akan terus bergolak dalam hal ini selagi mana orang-orang Islam belum mengerti apa itu Islam sebenarnya. Ayuh kita terus menimba Ilmu Islam dengan harapan kita tidak tersasar punca dan tidak tersasar arah tuju hidup kita.

Kumpulan teman-teman saya ini (saya tidak)  bukan ahli masyarakat biasa. Dahulunya mereka memegang jawatan yang punya "kuasa" mentadbir jenntera negara. Tetapi mereka amat berhati-hati dalam berbicara sesuatu yang jika silap akan buruk akibatnya untuk kehidupan yang abadi yang pasti akan tibanya.

Maka kami suka berkumpul memadu bicara dan meningkatkan Ilmu yang masih belum tegap di dada.  Ada agenda tetap semasa berkumpul kerana menyedari bahawa kami sudah di Dewan berlepas menanti giliran Pesawat tiba. Masa itu Ibadah dan sering kami diingatkan supaya  jangan lagha dan jangan leka. Maka antara keutamaan kami ialah bertadarus alQuran sepanjang hayat tidak kira masa. Kami menyedari bahawa dengan usaha ini pun kami masih belum sempurna, kerana dahulu kami sering tersasar tujuan dan ada kalanya hilang panduan. Semoga Allah mengampunkan dan memberi kami ruang dan peluang menegakan Kebenaran.





Tiga minggu lepas kami khatam Quran buat sekian kalinya. Ada yang khatam sepenuhnya dan ada yang khatam mengikut jadual kumpulannya. 

Alhamdulilah dan Alhamdulilah pada permulaan dan penghujung kata. Saya  rakam di sini bukan untuk berbangga tetapi untuk mencermin diri betapa jauhnya kami dari kewajipan yang dituntut oleh agama. Alhamdulilah Allah memberi kesedaran pada kita. Tidak kira latarbelakang apa pada diri kita,  kita wajib bertaubat dan kembali pada NYA. Apa pun kedudukan dalam masyarakat, apa pun gelaran, ia tidak memberi makna di sisi yang maha Esa jika hati masih sangsi tentang  siapa yang maha berkuasa dan masih ragu bahawa kepadaNYA akan kembali segala urusan dunia.  



Bila berbicara kami berhati-hati semoga tidak menyakiti sesiapa. Ini tuan rumah tempat kami sering berjumpa dan ia sedang memaklumkan program ruang bicara untuk tahun 2015. Format Tadarus akan diubah untuk memasukan elemen taddabur yang kita akan baca dari kitab yang muktabar yang dipilih dari nasihat ustaz/ ustazah kita.

Setiap hari umur semakin berkurangan.  Maka kami akan menumpu masa untuk aktiviti yang ada nilai tambah sahaja sebelum sampai titik akhirnya kami berjumpa.  Tidak ada kemampuan menyelesai masaalah dunia, masaalah di Malaysia pun tidak terjangkau usaha. 

Sebenarnya ramai diantara teman-teman saya di sini yang punya aktiviti lain dan melaksana program yang memberi munafaat pada ahli masyarakat yang memerlukannya. Mungkin kerdil dipandang mata tetapi kami pasrah bulat pada yang maha Pencipta semoga mendapat pembelaan dariNYA. Program menjaga hubungan antara sesama manusia sama pentingnya. Semoga Allah meredhai usaha kami semua. Dan doa kami semoga Allah menerima taubat kami dan juga menganugerah semoga bertemu di Syurga Firdaus tanpa hisab, dengan Rahmatnya semata-mata. Aamiin.....

......

Sunday, February 8, 2015

Yang Dekat Dirapatkan.......




YANG KECIL DI JARI
BESAR DI HATI SANUBARI
SEMOGA ALLAH MEMBERKATI......

Demikian upacara ringkas pertunangan Syifa dan Firdaus...
Merapatkan dua keluarga yang sudah dekat hubungannya.
Semoga bertambah erat dan mesra
 keluarga "Legasi Ben Hassan dan Legasi Wak Leman" hendaknya

Syifak anak saudara suami saya dan Firdaus cucu saudara saya.
Entah bagaiman timbul ilham untuk menyatukannya. 
Semoga Allah memperkenan dan semoga bahagia hendaknya.



 Itulah antara warna warni hidup berkeluarga.
Kalau jodoh tidak kemana.
Mohon Redha Mu ya Rabb...
Aamiin.

......
Related Posts with Thumbnails