"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, August 29, 2011

EID MUBARAK 1432



 
Selamat Hari Raya Eidulfitri
1432 H
kepada semua teman, sanak saudara,
kenalan dan tetamu budiman.
Maaf zahir dan Batin.

Sunday, August 28, 2011

PESANAN PADA DIRI @ berlalunya Ramadhan 1432 H



Untuk tidak lagi  memfitnah diri ...
Katanya yakin pada Ilahi
Tetapi masih belum dapat meyelubungi hati
Untuk bertindak berlapang dada 
Dalam apa jua
Untuk bangkit melaksana perintahNya 
Walau terancam harta dan nyawa
Untuk meninggal larangnya sedaya upaya
Tanpa mencari sebab 
berdolak-daleh membuang masa.

Kan ku ubah langkah, kan ku ubah cara
Hidup ini tinggal sedikit, 
entah nanti, entah esuk atau lusa
Semoga Allah mengampuni dan menghapus dosa
Mengurnia Rahmatnya yang tidak terhingga.
Dan kesudahan ku 
dalam pelukan kasih-sayangNya

Aku yang benar-benar perlu padaNya
Semoga aku di iktiraf hamba
dan ke Syurga Firdaus aku diangkat
bersama semua yang aku cinta.
Buat selamanya.... 

Wednesday, August 24, 2011

PAUTAN KASIH @ BAITUL IBADAH







Inilah   antara wajah anak-anak yatim / miskin yang damai penuh pasrah, menunggu kami di SURAU BAITUL IBADAH, Kuang, Selangor pada hari Ahad 21 Ramadhan yang lalu. Pastinya di hati ibu bapa / penjaga  terisi doa semoga ada hati-hati yang prihatin pada mereka.

Kami yang datang mewakili Biro Muslimah, Masjid Kg. Tunku, Petaling Jaya yang sentiasa berhubung rapat dengan pihak qariah Surau tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan mengikut kemampuan yang ada. Allah kurnia kesedaran pada Biro Muslimah  untuk bersikap prihatin membentuk satu program yang di namakan "Bersedekah Secara Istiqamah", iaitu suatu aktiviti sepanjang tahun mengutip dana untuk diagihkan pada yang berhak menerima.

Antara asnaf yang terlibat adalah mereka di atas ini yang telah kami sampaikan wang sedekah jariah dan juga wang Zakat dari ahli-ahli yang berkewajipan. Alhamdulilah, Allah menunjukan jalan yang benar  dan semoga amalan ini diterima Allah jua.




Selain sedekah pada anak yatim / miskin,  ibu-ibu tunggal juga mendapat habuan mereka. Gambar di sebelah dan di atas menunjukan sebahagian darinya. Doa di disampaikan oleh Imam  surau tersebut yang amat mengambil berat tentang kebajikan ahli qariahnya.

Selain wang ringgit, anak-anak diberikn hadiah berupa ala-alat sekolah dan makanan ringan. Mereka ceria. Alhamdulilah, kami bersyukur Allah memberi peluang pada kami untuk berbakti. Peranan saya sedikit sekali dalam kumpulan itu. Hanya masa yang dapat saya luangkan buat kali ini. Teringat semasa kecil dahulu. Saya melalui liku-liku hidup yang sama. Alhamdulilah Allah telah megurniakan Rahmatnya yang tidak terhingga pada emak dan bapak yang dapat membesarkan dan mendidik saya hingga keperingkat ini.


Gambar di atas adalah ketua rombangan, Ustazah Hjh Asmaliah Muhammad (bertudung putih), dan gambar di bawah yang sedang memberi ucapan  aluan ialah Hjh Nik Mastura Nik Omar, ketua penyelaras program. Sesiapa yang berminat untuk berbakti pada masyarakat di kawasan ini boleh lah berhubung di talian seperti berikut:
Ustazah Asmaliah......................03 - 78767786
Hjh Nik Mastura.......................03 - 78744871

Eidul Fitri akan menjelang tidak beberapa hari lagi. Semoga amalan Ramadhan dapat di teruskan dan diterima sebagai amal soleh dan mendapat keredhaannya dengan limpah Rahmatnya jua.
Ameen.

Monday, August 22, 2011

IKTIKAF DI MASJID @ RAMADHAN





Saya di maklumkan oleh seorang teman semasa di Makkah bulan Ramadhan tahun 2010 bahawa konsep Iktikaf berbeza di Malaysia dengan di Makkah. Saya rakamkan gambar di mana  tetamu Allah terus berada di Masjid sepanjag 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Siang dan Malam. Mereka keluar hanya untuk sesuatu yang benar-benar penting seperti untuk membeli makanan atau ke tandas. Maka amalan ini menjadikan Masjid sentiasa penuh sesak dan sesiapa yang tidak Iktikaf demikian rupa akan bermasaalah mendapatkan tempat untuk solat, pada setiap waktu. Itu pengalaman saya.

Di Malaysia, saya berfahaman bahawa Iktikaf tidak semestinya sehari semalam. Maka yang biasa dibuat oleh keluarga saya ialah berniat iktikaf semasa solat fardhu, solat Terawih dan Qiamulail. Pada siang hari, seperti harian biasa.

Sebuah lagi pemandangan Iktikaf di Masjid Al Haram.

Maka apabila saya berjumpa dengan seorang teman karib pada hari semalam ia bertanyakan saya mengenai hal Iktikaf ini. Maka saya cerita seperti fahaman saya di atas. Kalau begitu, kawan saya berkata : Bagaimana mendapat LailatulQadar kalau kita tidak Iktikaf sepanjang malam di Masjid?

Saya mohon siapa jua yang arif dalam hal ini menjawab bagi pihak saya. Teman saya ini seorang wanita.
Tetima kasih atas bantuan.
Semoga fahaman yang saya tahu itu pun boleh diikuti juga.
WaAllahu'alam.

Sunday, August 21, 2011

KERETA MEWAHA @ FIKIR-FIKIR RAMADHAN






Ini suami saya, di sebelah kereta yang sederhana kecil, pun bukan miliknya. 

Kereta mewah sememangnya impian ramai kaum lelaki dan juga sebahagian wanita. Kereta mewah sememangnya berteknologi tinggi dan prestasinya atas jalan raya / lebuh raya amat amat mengkagumkan minda. Harganya pasti juga tinggi dan ada yang bernilai berjuta ringgit. Oleh itu ia adalah  simbol status sosial dan jika kita bekerja sendiri dan mahu dianggap berjaya, maka sewajarnya kita mempunyai kereta mewah walau pun tidak ada harta yang lainnya.

Walaunagaimana pun definasi mewah (dari segi sosial)  itu adalah relatif. Kalau kita tidak ada kereta, maka proton saga itu mewah. Kalau kita ada Proton Saga, maka kereta yang harga dipasaran yang dalam linkungan Rm300 ribu-500 ribu itu dikira mewah. Tangga kemewahan ini berterusan perbezaannya kerana ada kereta yang  tidak ternilai harganya.

Saya kurang selesa dengan pendapat bahawa kita harus berkereta mewah jika mahu diiktiraf berjaya. Ini kerana ramai  juga yang  terkandas kerana mendahulukan memiliki kereta mewah dari keutamaan yang lainnya. Namun saya belum menemui kajian terperinci mengenai fenomena ini untuk berbicara lanjut.

Apa yang saya ingin kongsikan fikiran di sini  ialah mengenai bagaimana dan mengapa  seseorang itu boleh menghabiskan dan membazirkan  masa dan juga tenaga kerana suka bermimpikan membeli kereta mewah. Ada sesetengah dewasa pula akan membeli berbagai majalah mengenai kereta untuk mengetahui apa jenis  kereta yang terkini dari segi kecanggihan teknologinya, sama ada dari segi prestasi atau dari segi keselamatan dan berbagai lagi. Bila bertemu kekawan, tajuk cerita tidak lari dari membincangkan mengenai kereta, berjam-jam lamanya. Kemudian mereka ini akan menghabiskan masa pula  di show room jenis kereta yang diminati untuk memandu uji dan mendapatkan maklumat yang terkini termasuk edisi yang akan muncul di pasaran. Mereka amat berpuas hati jika dapat membelinya atau salah seorang kawan rapat membelinya atau seorang ahli keluarga membelinya. Jika dapat  membelinya sendiri,  mereka akan mengurus keretanya dengan rapi. Kalau tidak menolong isteri pun tidak mengapa asalkan dapat mengurus kereta, mencantikannya atau membelek-beleknya kalau tidak kesempatan waktu.

Bagi yang sememangnya mampu membeli kereta mewah, lagak mereka membeli kereta adalah seperti membeli kasut mewah. Sudah tidak hairan menakar kereta menikut mood atau citarasa yang sering bertukar mengikut apa yang ada di pasaran. Kalau perlu mengimport terus, itu lebih baik kerana ia akan dipandang tinggi dari segi sosial statusnya.

Maka apa pula kena mengenanya hal ini dengan bulan Ramadhan?Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa saya memperkatakan hal di atas.

Demi masa ! Pergi sesaja melihat-lihat kereta di showroom semasa bulan  Ramadhan amatlah merugikan kerana masa itu tidak di menafaatkan untuk ibadah yang lebih aula. Ini saya tahu benar berlaku. Saya tahu ada individu yang rasa gelisah jika tidak berpeluang dan berkesempatan melalawat showroom kereta-kereta mawah untuk beberapa lama. Selepas melihat dan menguji pandu mereka akan bercerita-cerita pula.

Dan pada pandangan saya jika kita membeli kereta yang mewah-mewah semata-mata kerana status sosial adalah juga merugikan diri kerana kita tidak menginfakkan harta pada yang lebih memerlukan untuk mereka di Malaysia atau di dunia luar sana yang hidup amat dhaif dan terseksa.

Mereka yang tergolong seperti ini akan mengatakan bahawa tugas membantu orang itu pun mereka sudah lakukan.  Tetapi pada pandangan saya selagi ada yang memerlukan maka hidup kita yang belebihan itu akan di odit juga nanti kita di Sana. Mungkin kita mahu mengingtkan diri kita mengenai cerita Sahabat Nabi (saw) yang kaya raya, iaitu Abdur Rahman bin Aauf. Ada riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah (saw) mengatakan padanya bahawa ia bermimpi dan melihat Abdur Rahman Aauf masuk syurga dengan merangkak kerana ia kurang menginfakkan hartanya. Bila mendengar kata-kata Rasulullah (saw), mengikut riwayat itu ia cepat-cepat berinfak supaya segera masuk syurga dan dan selesailah tanggongjawabnya pada mereka yang berhak. Abd Rahman Aauf amat menjaga halal-haramnya perniagaan yang diuruskan dan dan ia berintegriti tinggi. . Itu pun ia dikatakan merangkak ke Syurga. Maka kita haruslah memuhasabah diri, demi masa di bulan Ramadhan ini.

Di dalam al Quran Allah menegur Nabi Sulaiman (as) kerana terlalu taksub dengan kuda-kudanya. Sila rujuk
Surah Sad 38, ayat 31 dan 32.
"(Ingatlah peristiwa) tetekala Nabi Sulaiman dipertunjukan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari.
(Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: 'Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaan ku kepada kebaikan  lebih daripada mengingati (ibadat ku) kepada Tuhan ku, sehingga matahari melindungi dirinya dengan tirai malam."
Ayat ini juga seharusnya menjadi pengajaran bagi kita supaya jangan dilekakan dengan kemewahan hingga
terlupa akan tanggongjawab dan kewajipan yang lebih asas antara manusia dengan yang Maha Pencipta dan antara manusia dengan manusia.

WaAllahu'alam.

Saturday, August 20, 2011

UTAMANYA IBU @ JALINAN KASIH RAMADHAN




Kelmarin dahulu saya dan suami berkumpul di rumah anak kakak saya di Ceras, Kuala Lumpur untuk menemui kedua kaka saya yang berangakt ke Makkah untuk menunaikan Umarah di bulan ramadhan. Alhamdulilah, Allah perkenan doanya untuk mendapat anugerah tetamu Istimewa Allah swt di bulan yang mulia ini, dengan limpah Rahmatnya semata-mata.

Sudah lama mereka berdua menyimpan cita-cita dan mengumpul wang perbelanjaan untuk ke sana. Dahulunya mereka guru sekolah rendah. Kakak yang kiri berumur 75 dan yang kanan berumur 72 tahun. Semoga saya sihat seperti mereka jika dikurnia umur panjang. Anak kakak yang bernama Azman dan Isterinya bersetuju pergi bersama dengan harapan dapat membantu mereka di Makkah nanti.

Prinsip dalam keluarga: Ibu diutamakan. Maka anak-anak berpakat cuti kerja untuk mengurus dan menghantarnya ke Lapangan terbang. Saya terharu dengan sikap anak-anak buah saya yang peka pada keperluang orang tua. Dalam program Musafir Umrah ini mereka meraikan juga kakak saya yang berumur 75 tahun. Mak Su (Sutiah) namanya. Anak-anaknya berhalangan  syarie untuk bersama. Doa Emak saya Allah kurnia walaupun dia sudah lama meninggalkan kami. Alhamdulilah, kami bersyukur atas nikmat  kasih sayang yang Allah kurnia. Semoga sampai ke anak-cucu dan seterusnya.

Azman dan 2 orang abangnya bersedia penuh bahagia.

Gambar untuk kenangan keluarga sejurus sebelum berangkat, Azmin di kanan sekali.

Seorang cucu setia, Afiq.

Anak lelaki tertua, Azrain dan isteri di kiri sekali memberi contoh kepimpinan keluarga

Anak lelaki kedua, Azirin dan isteri, rumahnya tempat persinggahan
menjalin kasih keluarga.

Semoga mereka menjadi tetamu Allah yang Istimewa, dianugerah Umrah mabrur dan dikurniakan keampunan
 dan mendapat Keredhaannya hingga ke akhirat.
Ameen

Thursday, August 18, 2011

MENJADI CERDIK @ HARI MEMPERINGATI NUZUL ALQURAN.






Rata-rata Masjid di Malaysia memperingati peristiwa terpenting dalam hidup manuasia sejagat, iaitu Hari Turunnya AlQuran. Wahyu pertama yang terjadi di Gua Hira' kini diketahui ramai oleh rakyat Malaysia. Maka saya mengharapkan Ceramah mengenai nuzul alQuran di Masjid yang ramai ahli qariahnya warga dewasa dan warga emas sewajarnya tidak menceritakan semata-mata apa dia nuzul alQuran dan pentingnya membaca  dan menghafaz alQuran.

Cerita mengenai beberapa buah sekolah yang sudah terbina untuk anak-anak menghafaz alQuran sudah tidak lagi menjadi cerita yang boleh membangkitkan kesedaran dan semangat untuk memperjuangkan kehebatan alQuran. AlQuran bukan untuk dibaca dan dihafaz sahaja. Petunjuk prestasi kehebatan orang Islam bukan pada fakya sama ada tahu membaca dan menhafaz sahaja. Orang Islam harus bangun melaksana apa yang dituntut oleh alQuran. Kehebatan orang Islam hendaknya tidak dikira dari berapa ramai orang yang hafaz alQuran sahaja dan duduk di tikar sejadah, tetapi orang Islam harus diukur prestasinya dari segi sejauh mana apa yang Allah suruh telah kita buat dan apa yang Allah larang kita sudah tinggalkan.

Pada saya itulah antara ukuran sama ada kita "menjadi cerdik" dengan mendengar ceramah Nuzul alQuran. Iaitu benar-benar memahami kehendak alQuran. Kesejahteraan Umat sejagat menjadi tanggong jawab kepimpinan Islam dan ceramah-ceramah hendaknya memperluas skop pembicaraan mengenai nuzul alQuran. Saya menulis entry ini kerana rasa agak terkilan mendengar ceramah yang tidak membangkitkan semangat memakmurkan dunia dengan mencerdikan orang Islam dalam sessi-sessi seperti ini.

Ceramah ini diberi oleh seorang wakil yang memegang jawatan di sektor awam dan ia agak menyedihkan hati saya kerana jika itulah kekuatan minda mereka, maka orang Islam akan terus menjadi pengikut dan tidak menerajui kepimpinan manusia  di Malaysia atau di mana sahaja. Saya rasa begitu. Bukan buruk sangka tetapi kekadang terfikir samada di Malaysia ini rakyat digalakan untuk menjadi pandai belajar tetapi tidak dipimpin untuk menjadi cerdik dan pintar.

Saya sedih kerana saya tidak dapat banyak menafaat dari segi perisian ceramah. Mugkin di Masjid lain keadaannya berlainan. Semoga Allah mengampuni saya  dan semoga Allah memberi hidayahnya dan menunjuki jalan dan menurunkan pertolongan kepada kita semua bagaimana janji Allah dalam ayat 55 surah An Nur dapat kita capai, iaitu menjadi Khalifah dan Menguasai Bumi ini Tanpa Ketakutan.

WaAllahu'alam.

Sunday, August 14, 2011

PEMINAT IMAM

 



(Gambar hiasan - solat di salah sebuah masjid di Beijing).

"Ke mana menghilang ?" saya bertanya khabar seorang teman sementara menunggu bermulanya solat terawih kelmarin dulu. Sudah 3 atau 4 malam dia tidak kelihatan.
"Saya ikut anak menjejak "Sheikh Imam Sudais" Malaysia di Masjid Negeri. Dia menjawab dengan senyuman. Dia menyebut  juga  nama beberapa Masjid lain tetapi saya sudah lupa namanya.

"Wah seronoknya !" saya menyambut cerita dengan rasa iri hati. Saya tidak ada anak yang berkesempatan berbuat demikian.

Beberapa hari sebelum itu Imam ini berada di Masjid tempat saya Solat di Kelana Jaya dan saya kagum dengan kebolehannya membaca alQuran sangat hampir seperti Sheikh Sudais, Imam Besar Masjid Al Haram di Makkah.Siapa yang tahu akan pergi mengikutinya di mana beliau mengimamkan Terawih. Bacaan yang 'power' dan syahdu membantu kehusyukan dan 2 jam seperti sebentar sahaja.

Saya percaya ramai yang meminati Imam seperti ini bagi mereka yang pernah ke Makkah, atau mendengarinya di UTube. Status seorang Imam itu sememangnya tinggi. Walaupun kewibawaan seorang Imam bukan terletak semata-mata atas qualiti bacaannya sahaja, tetapi qualiti itu mennjadi pembuka jalan bagi menarik minat pengunjung Masjid dan tarikan seperti ini membantu pengikut-pengikut yang bersolat di masjid menjadi lebih selesa dan terdorong untuk mengerjakan Terawih setiap malam. Dorongan seperti ini  perlu bagi langkah permulaan membina Iman seseorang.  Saya percaya ada beberapa Imam yang akan dijejaki oleh peminat atas seba-sebab tersendiri. Kalau bukan suara dan qualiti bacaan, maka atas sebab lain seperti qualiti ceramahnya atau sesi soal jawabnya atau sebab-sebab lain yang dirasai istimewa baginya.

Keadaan ini berbeza semasa saya muda dahulu. Hari ini Imam-Imam  sudah ramai yang berkelulusan sekurang-kurangnya peringkat sarjana muda sama ada dari University tempatan atau luar negara. Malah ramai yang hafaz alQuran kesemuanya. Alhamdulilah negara kita sudah mencapai kemajuan yang amat pesat dan dapat meningkatkan qualiti  ibadah dan dakwah di negara ini. Dengan adanya program IMAM MUDA seperti di Astro Oasis, maka jawatan Imam kini mula "disanjung tinggi", iaitu ramai yang mula yakin bahawa jawatan Imam bukan jawatan yang dipegang kerana tidak ada jawatan lain yang sesuai atau atas sebab sebab yang tidak selari dengan kehendak masyarakat. Masyarakat kini berilmu dan makin canggih pemikirannya termasuk permikiran dalam halehwal Islam.


Sessi ceramah di sebuah Masjid 


Tetapi yang "menyedihkan" bagi diri saya ialah saya tidak jelas sekarang ini siapa di pihak Kerajaan kita yang menambil tanggong jawab untuk menentukan jawatan Imam itu benar-benar setaraf  (atau lebih tinggi)  dari jawatan profession yang lain di negara kita ini. Sekarang ini  saya perhatikan secara rambang masih ada orang yang memandang jawatan Imam itu sebagai "second class" kerana gajinya kecil. Anugerah IMAM MUDA boleh membantu menaikan Imej seorang Imam tetapi pada pandangan saya ia belum mencukupi.

Dari apa yang saya tahu jawatan imam adalah lantikan Masjid  secara persemdirian. Kalau di Selangor ini, "Gaji" seorang Imam merupakan elaun yang dibayar oleh Masjid dan tambahan elaun dari JAIS. Sistem jawatan Imam Masjid Negara terletak di bawah  fungsi JAKIM. Saya kurang arif, cuma saya difahamkan bahawa perlntikannya adalah mengikut peraturan yang termaktub di JAKIM dan Jabatan Perdana Menteri.
Maka tangga gajinya adalah selaras dengan pegawai-pegawai lain di situ. Itu yang saya difahamkan waktu dahulu. Saya mengharapkan kedudukan Imam masjid-masjid utama kerajaan sudah mendapat pengiktirafan yang tinggi setara dengan jawatan lain di negara ini.

Tetapi sebagai Peminat IMAM saya rasa terkilan apabila Imam di masjid-masjid yang tidak utama yang saya "minati " terpaksa meletakan jawatan kerana terpaksa mencari tugas ditempat lain dengan bayaran gaji atau elaun yang lebih tinggi. Maklumlan di Lembah Kelang ini kos sara hidup amatlah tinggi dan gaji/elaun seorang Imam yang lebih kurang Rm 1800 bagi seorang lulusan Sarjana Muda amat tidak memadai. Sesetengah  masjid juga tidak flexible dalam jadual tugas Imam yang membolehkan seseorang Imam membuat kerja-kerja "freelance "  untuk menampung sedikit sebayak keperluan asas yang mendesak. Ada pihak yang berpendapat elaun Imam tetap di Masjid sudah mencukupi.

Selain dari bayaran saguh-hati sampingan, saya berpendapat Imam-Imam ini perlu mendedahkan diri dengan berbagai keadaan di luar sana supaya tugas asas Imam yang dipegangnya tidak menjadi kaku dan terhad pada Ilmu semasa di University sahaja. Tambahan pula, Imam yang dibenarkan " beredar" akan  dapat memenafaatkan keistimewaannya pada qariah yang lain dan ini secara tidak langsung dapat membuka minda sesetengah masyarakat yang masih bersikap kurang mementingkan perjalanan sesebuah Masjid.

Apa yang saya ingin katakan sebenarnya adalah isu professionalisma Imam, iaitu "laluan Kerjaya seorang Imam".  Saya ingin tahu adakah mana-mana pihak yang mengambil tanggong jawab ini agar kepentingan Masjid, masyarakat dan diri Imam itu sendiri terpelihara dan dapat mencapai matlamat objektif  'Mengimarahkan Masjid'. Kewibawaan termasuk qualiti bacaan alQuran seorang Imam adalah begitu penting sekali kerana ia dapat menarik hati  peminat ahli qariah atau melesukan hati-hati mereka. Lihat sahajalah mengapa sesetengah masjid itu bilangan jemaahnya tinggi dan sesetengah masjid itu sepi. Isu Mudir dan ahli Jawatankuasa Masjid juga penting tetapi Isu Imam itu sendiri amat penting dan perlu perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkuasa.




Saya perhatikan jika masjid-masjid mempunyai dana kewangan yang kuat maka ia boleh melantik dua atau tiga atau empat orang Imam mengikut kesesuaian dan dapatlah ia membentuk suatu jadual tugas harian atau mingguan yang flexible dan membolehkan Imam mengikut giliran menerima jempuatan dari luar.  Di samping ia boleh mendapat  tambahan saguh-hati, ia boleh menimba pengalaman kerana dapat bergaul dengan berbagai jenis orang yang berkunjung di masjid itu atau di mana sahaja ia dijemput untuk bersama sebagai Imam atau sebagai penceramah atau  motivator apa jua yang tidak bercanggah dengan jawatan seorang Imam. Malahan Masjid yang punya dana kewangan yang besar, masjid itu sendiri boleh membiayai Imam-imanya menjalani kursus tamabahan samada dibidang keilmuan, memperkemas kebolehan mentadbir aktiviti atau memperbaiki qualiti bacaan dan"lagu" bacaan atau apa jua yang sewajarnya.

Soalannya ialah: "Siapakah yang bertanggongjawab memastikan dana kewangan Masjid itu mencukupi?" Adakah Masjid boleh bergantung pada sumbangan orang ramai sahaja. Saya berpendapat negara kita ini sebuah negara yang kaya, maka tidak ada sebab Masjid tidak boleh di luluskan dana yang mencukupi. Jawatan Imam seharusnya di fikirkan semula supaya ia boleh berterusan bertugas disesebuah Masjid jika perlu. Jika struktur jawatan di bentuk semula dan menjadikannya sebagai  jawatan tetap dengan segala kemudahan perkhidmatan yang  setara dengan jawatan lain, maka saya percaya Imam-Imam yang berpotensi tinggi akan lebih kekal lama dijawatannya. Ini akan menguntungkan semua pihak, termasuk pihak yang berkuasa kerana kesetabilan pentadbiran masjid akan lebih terjamin. 

Sebenarnya banyak lagi yang boleh difikirkan mengenai kerjaya seorang Imam. Fikiran saya sampai di sini dulu. Pihak yang berkuasa, jika ia mahu, boleh memurtabatkan  Jawatan Imam seperti ia memurtabatkan jawatan -jawatan penting yang lain. Hendaknya kita tidak befikiran bahawa Imam hanya mengimamkan solat semata-mata. Jika kita andaikan bahawa tugasnya adalah mengimamkan solat semata-mata sekalipun, kita harus percaya bahawa peranan Imam amatlah penting. "An Imam can move mountains". Iaitu seorang Imam itu dengan kewarakannya insyaAllah ia boleh menyentuh hati-hati nurani makmumnya hingga mereka akan cinta pada Ibadah Solat, salah satu tiang agama.  Kalau kita ambil ringan tentang  hakikat solat dan hubungan rohani antara Imam dan makmum, maka kita hanya melihat seorang Imam itu berfungsi  selama 60 minit sahaja sehari semalam pada hari-hari biasa. Bayangkan tersilapnya anggapan ini. Kalau begitu keadaannya kita sudah tersasar jauh dari landasan Iman dan Taqwa.
Sekian, waAllahua'lam.

Sunday, August 7, 2011

BERSUNYIAN


Aku ingin menyendiri
Bersunyian mengadukan tergurisnya hati
Menceritakan sedihnya rasa ketika berseorangan mengurus diri.

Aku ingin menyendiri
Bersunyian memujuk hati ini semoga mengerti
Manusia itu kerdil budi, kerdil hati malah kerdil serba serbi
Maka ketergantungan bukan pada yang lain dari Ilahi

Hanya seNya Allah tujuan manusia berbudi berbakti
Kerana hanya padaNya kita kembali
Sendiri.......


oooo

Saturday, August 6, 2011

"TERHIBUR"


Rasa "terhibur" yang lebih dari biasa semasa solat terawih di Masjid Al Hidayah
pada malam ke enam Ramadhan al Mubarak.
Imam yang bertugas, Imam Shukri, boleh membaca mengikut gaya 
Imam Sheikh Sudais, Imam Besar Masjidil Haram. Terasa seperti solat di hadapan Ka'abah. Alhamdulilah. 
Kurniaan Allah itu berbagai rupa dan infiniti nikmatNya.
Teman di sebelah saya rasa terharu dan menangis dalam senyap mendapat nikmat itu 
walaupun tidak berada di Makkah pada tahun ini.
Semoga kurnia Nikmat Rahmatnya yang tidak terhingga
melimpah ruah pada kita semua di bulan ini dan selamanya.
Ameen.

ooo

Monday, August 1, 2011

CREATIVITY @ RAMADHAN AL-MUBARAK


Alhamdulilah Allah takdirkan kita bertemu Ramadhan Al Mubarak , Hijrah 1432.
Berbagai cara kreatif golongan orang yang mahu meningkatkan Iman dan Taqwa memotivasi diri 
untuk beramal.
Dibawah ini saya catat semula posting seorang anak buah (Seri Dewi) dalam facebooknya.

Kemasukan Baru Ke University Ramadhan Al Mubarak.
Tarikh : 1 Ogos 2011
Nama university : University Ramadhan Al Mubarak.
Course Wajib : Berpuasa.
Course Istimewa : Tarawih.(Qiamulail)
Course Elektif : Baca al Quran (tadarus), Solat-solat sunat, sedekah.
Kelulusan Akhir : Ijazah Taqwa
Hari Konvokesyen : 1 Syawal 1432
Tawaran keperingkat Sarjana : Puasa 6 hari di bulan Syawal.

Saya teruja membacanya. Maka teringat saya satu fakta lagi. Dalam course istimewa itu mungkin kita boleh tambah dengan Umrah di bulan Ramadhan.

Malam pertama terawih saya berada di Masjid Al Hidayah, Kelana Jaya. Alhamdulilah saya rasa seronok dan rasa bahagia kerana buat pertama kalinya Imam di situ membaca mengikut Qiraat yang belum pernah saya diperdengarkan dalam solat. Penerangan  bacaan Qiraat ini diperjelaskan secara ringkas untuk kefahaman jemaah. Ia dibaca untuk 8 rekaat pertama. Kemudian selepasnya  mengikut Qiraat yang biasa.

Masjid ini memulakan program Qiamulail sepanjang Ramadhan dari jam 4 -5 sebahagian malam. Bacaan Quran untuk 30 Juz di baca semasa solat Isyak, Terawih dan semasa Qiamulail. Siapa yang berkemampuan mengambil peluang keemasaan ini. Bukan semua masjid membuat program seperti itu.
Semoga Allah memberi keampuanan semua jemaah dan semua yang beraliran sama. Saya diperingatkan bahawa tidak cukup dengan ilmu sahaja untuk mendapat Ijazah Iman dan Taqwa. Kita harus ada semangat perjuangan. Kerana dengan semangat itu kita akan bergerak aktif  memenuhi tuntutan 'hablumminallah dan hablumminannas" iaitu tali hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia.

Semoga Allah memimpin kita terus di bulan Ramadhan al Mubarak ini dan diakhirnya nanti semoga allah mengurnia keredhaanNya dan RahmatNya yang tidak terhingga.
Ameen.
Related Posts with Thumbnails