"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, October 29, 2011

TUA, CARA TUA.

Kadang-kadang saya dan ramai kawan-kawan sebaya lupa bahawa kita sudah tua. Kita rasa begini bila badan rasa sihat dan tidak tengok wajah dicermin. Maka kita akan "berlagak" seperti muda. Sebab itu ada pernah kita dengar orang kata "Children age six to sixty".

Maka semalam saya dan beberapa kawan dijemput oleh seorang ahli jemaah masjid  untuk  meraikan "Birthday" nya di sebuah hotel sederhana di Petaling Jaya selepas selesai program solat Subuh dan baca Quran. Seronok sembang dan menjamu selera.  "Birthday boy" ini berumur 79 tahun. Alhamdulilah ia sihat . Umur kami yang sudah senja ini sememangnya sihat. Namun Allah sentiasa mengingatkan  :  Sihat pun boleh dijemput pulang. Tiada pilihan.

Yang saya ingin kongsikan hal birthday ini ialah kami para isteri dapat hadiah dari Birthday Boy sebanyak rm150 seorang. Saya dan seorang kawan agak terkejut sebab kami tidak pernah dapat hadiah seperti itu. Biasanya kita bagi hadiah pada yang dira'i. Ini sebaliknya. Semoga Allah memberkati  murah hatinya kawan saya ini dan menjadi sebahagian dari amal solehnya. Di bawah ini saya rakam sebahagian gambar-gambar kenangan.

Birthday Boy dan isterinya.

Doa penutup sessi

Sebahagian teman-teman isteri

Suami saya mengusik birthday boy

Punya nak meraikan kawan, dengan pakaian solat pun kami sampai.
Pak Nik Husin dan Isteri.

Semoga Allah sentiasa merahmati dan kami tidak lalai dan lagha. Umur senja pun kami masih berusaha berbakti mengikut kemampun yang ada. Sesekali kami bersantai seperti ini, cara tua.  Semoga allah mengampuni dan memberkati. Amiin.


.........

Thursday, October 27, 2011

JANJI



Sebulan dahulu saya katakan pada cucu saya Ujai yang saya akan belikan nya 'Galaxy'. Pada Hari Depavali ia datang untuk menagih janji. Anak saya mengatakan mengapa janji alat yang mahal untuk umurnya. Saya katakan bukan untuknya secara mutlak. Saya hanya pinjamkan sahaja bila ia datang. Seperti "rasuah" cucu untuk datang tengok Tok Ayah dan Embah. Satu budaya yang tidak sehat tetapi sesekali terjadi juga. Ujai dah "jemu" mengacau komputer yang saya pakai. Kadang-kadang saya terfikir bagaimana anak-anak kecil mengawal diri dengan kecanggihan teknologi. Saya amat khuatir akan hilang budaya berhubung sesama manusia secara berhadapan. Tiada pandangan mata dan tiada sentuhan diri.

Sehubungan ini saya tersentak dengan reaksi kakak saya apabila anaknya menyarankan supaya guna kad ATM untuk mengambil  duit pencennya di bank. Ia mengatakan bahawa ia lebih selesa pergi ke kaunter dan berurusan dengan pegawai bank dan lebih yakin yang cara itu lebih mudah dan selamat. Anak sulung lelakinya cuba menerangkan  kemudahan yang lebih cepat dengan kad ATM. Saya pun sediki-sedikit menambah kebaikannya walaupun saya tidak sering memggunakan kemudahan elektronik. Tiba-tiba kakak saya menengis sedih teresak-esak dan beratanyakan mengapa anak-anak paksa begitu. Ia rasa tidak selesa dan rasa susah hendak belajar hal-hal elektronik di umur tua ini. Saya terperanjat dengan reaksi itu dan terus menyentuh bahunya supaya ia bertenang. Tidak saya sangka itu menjadi satu beban baginya.

Baru saya menyedari ia boleh jadi fobia bagi warga tua untuk berurusan dengan menggunakan cara baru begini. Maklumlah dari muda lagi tidak berurusan begitu. Kakak saya berumur 72 tahun dan  seorang pesara guru. Itu pun susah. Maka saya pun insaf bahawa teknologi boleh membuat seseorang tertekan di hati dan minda kerana terasa dipaksa oleh anak-anak supaya jangan ketinggalan zaman.

Saya pun muhasabah diri berkaitan perkembangan teknologi kini.  Saya teringat satu peristiwa di mana anak buah sepupu suami saya bercerita ia menangis pada hari pertama kerja sebagai pembantu teknik di JKR kerana kena menjawab telefon. Di kampung tiada telefon di rumah dan itu pertama kali ia terpaksa menjawab di pejabat. Ini cerita 30 tahu dahulu. Ketika itu saya tertawa bila dia bercerita, tetapi sekarang saya insaf betapa ia suatu tekanan yang tidak sepatutnya terjadi.

Maka nasihat saya pada anak-cucu yang muda belia supaya  jangan mengandaikan teknologi itu perkara biasa. Saya sendiri pun tidak mudah menyesuaikan diri. Maaf kata saya sendiri "kolot". Banyak juga yang saya merangkak-rangkan belajar dari anak.

Begitulah cerita warga yang mencapai umur senja menjalani hidup. Semoga anak-cucu memahami senario ini dan tidak ambil mudah sahaj hal-hal seperti ini. Kakak saya tidak mahu anaknya membelikan telefon bimbit rupanya kerana itu. Ia mengatakan nak belajar tekan yang mana  satu pun menjadi satu kesulitan dimindanya. Ia mengatakan ia lebih selesa berkejaran pergi menjawab telefon conventional daripada belajar guna fon bimbit.

Semoga generasi muda memahami dan simpati. Teknologi boleh meragut rasa kasih sayang.

......

Monday, October 24, 2011

DISEBALIK KEHILANGAN...........





Sejarah hidup berbagai rupa dan ia tercatat berbagai cara. Bagi keluarga besar saya, 19 Oktober 2011 merupakan hari yang penuh peristiwa. Kami kehilangan CheGu Me'at. Ia pulang ke Rahmatullah selepas solat Subuh kerana serangan jantung. Janji Allah demikian rupa. Maka kita semua harus siap sedia kerana tidak tahu hari dan saat yang ditentukan olehNya.

Rasa kehilangan kerana Allahyrham CheGu Me'at baik dan ramah orangnya. Mudah dibawa bercerita dan mudah memberi pertolongan. Semasa Allahyarham Emak saya ada lagi, CheGu Me'at lah yang membantu membuat kerja-kerja yang kasar-kasar kerana hanya dia yang ada berhampiran. Alhamdulilah, ia membantu tanpa banyak soal, seorang menantu yang boleh diharap. CheGu Me'at terkenal dalam keluarga kerana ia amat rajin menanam Orkid ketika mudanya disamping mengurus sebuah Tadika kepunyaannya. Tadika itu adalah yang pertama di kampung itu yang dikendali oleh orang Islam. Alhamdulilah. Semoga menjadi sebahagian dari Ilmu yang dimunafaatkan dan Allah memberkatinya.




Ucapan takziah darai anak-anak buah yang selalu ziarah


Pemergiannya membawa pautan kasing sayang keluarga yang tidak di sangka-sanga. Ramai saudara mara yang lama tidak ditemui dan anak-anak saudara yang lama tidak menghadirkan diri dan menziarahinya, pada hari itu mereka datang untuk memberi penghormatan terakhir dan saya rasa juga untuk meyakinkan kakak saya bahawa mereka tidak datang menzirahi hingga terlalu lama (ada yang hingga berbelas tahun lamanya) bukan kerana berkecil hati tetapi semata-mata kerana kesibukan kerja.

Maka terjalin semula hubungan silaturrahim yang sememangnya di tuntut dalam Islam. Saya mengambil kesempatan memberi tarbiah ringkas selaku orang tua dan berpangkat Emak saudara dan Nenek saudara. Mereka memanggil saya Bik Chah atau Tok Chu atau Embah mengikut protokol Jawa yang sediki-sedikit kami masih ikuti. Di bawah ini saya rakamkan detik-detik yang mengembirakan saya dan kakak-kakak saya kerana anak-anak muda mula menginsafi diri dan hakikat bahawa dalam Islam hubungan keluarga adalah sebahagian dari kekuatan Umat Islam. Allah memerhati hati budi hamba-hambanya.

Anak saudara perempuan saya yang akhirnya dapat membawa anaknya dan anak saudaranya
pulang ke kampung Parit Semerah,tempat bersejarah
bagi keluarga yang berhijrah dari Tanah Jawa.Alhamdulilah.

Rahbani (kiri) dan anak perempuannya yang hampir 20 tahun tidak menjelma.
Alhamdulilah, ia akan sentiasa ingat untuk tidak membuat keluarga tua  bersedih hati. 
Semoga Allah mendengarinya dan memudahkan urusan keluarganya.

 Odin, anak kakak saya yang di Kota Tinggi beserta anaknya bersembang dengan suami saya.
Alhamdulilah Allah beri peluang untuk bercerita-ceri tentang "kesusahan" keluarga dan semoga adik beradiknya sentiasa berdamping rapat dengan ibunya
yang sekarang ini terlatar sakit dirumahnya.
Ia meluahkan rasa menyedari kerisauan keluarga tua dan berazam selalu peka
akan kepentingan merapatkan hubungan dalam keluarga besar. 
Di situlah terletaknya kekuatan ukhuwah Islam.

Abang saya, Amat Suyoto, melayani keluarga Kg. Penerok 
setelah jenazah selamat disemadikan.
Keluarga ini semasa mudanya banyak membantu emak saya 
dalam mengusahakan penghasilan kebun getahnya.
Kini mereka juga telah tua dan berjumpa mesra pada keaadaan tertentu sahaja.
Ini perjumpaan penuh nostalgia.

Ini Afiqah, cucu kakak saya yang baru kehilangan suami. Ia tinggal jauh bersama ibunya.
Hanya sesekali bertemu mesra.Namun diperhatikan ia pandai membawa diri, 
rajin menolong, sopan dalam tutur kata dan menampakan kematangan fikiran
walaupun baru berusia 10 tahun. Semoga Allah memeliharanya dan memudahkan jalan hidupnya.

Ini Halimah, anak perempuan kakak saya yang tinggal berhampiran rumah.
Dialah yang selalu membantu dan anak-anaknya jadi penghibur hati sunyi.
Semoga hubungan akan bertamabah erat.

Demikian cerita disebalik kehilangan. Semoga pautan kasih yang mula terjalin kembali memberi munafaat pada keluarga besar Wak Leman, Allahyarham bapak saya yang telah meninggalkan kami pada tahun 1964 dahulu.  Ya Allah, berilah taufik dan hidayah pada kami dan limpahkanlan kasih sayang Mu pada kami dan jadikanlah kami hamba-hamba Mu yang taat pada Mu dan ampunilah segala kelemahan dan kekurangan kami dan dosa-dosa kami dan dosa-dosa ibu-bapa kami dan pertemukanlah kami semuanya di Syrga Firdaus dengan rahmat Mu semata-mata. Ameen.

....................................

Saturday, October 22, 2011

PERGINYA CHEGU ME'AT

CheGu Me'at adalah bekas guru mata pelajaran lukisan semasa di tingkatan lima dan dia adalah juga abang ipar ku. Pada hari Rabu 19 Oktober ia telah meninggalkan kami buat selamanya. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Ruhnya, mengampuni sebala dosa-dosanya dan menempatkannya bersama Ruh para Syuhada', Sidiqin dan Solihin. Amin.




Terakhir saya bertemu dengannya ialah pada Hari Raya Eidulfitri yang baru lepas. Ia nampak seperti biasa.  Cuma bila diingat kembali, pada hari saya ke rumahnya ia bersungguh benar meminta saya mengambil fotonya bersama suami saya.Di sebelah  ini saya rakamkan untuk kenangan selamanya. Ia berumur 71 tahun.

Allahyarham CheGu Me'at di sebelah kanan.

Di kiri Allahyarham ialah kakak saya, isterinya. Yang bertudung hijau 
juga kakak saya dan cucunya.

Ramai yang mengiringi jenazahanya semasa ia disemadikan. Alhamdulilah ramai juga yang solat jenazah. Semoga ia bahagia di alam barzah. Kata kakak saya, pada subuh hari itu ia bangun seperti biasa dan pergi ke surau yang berhampiran seperti biasa. Sejurus sahaja ia pulang, ia mengadu sakit dan terus terduduk dan kakak saya nampak bahawa ia tidak seperti biasa. Rupa-rupanya ia dapat serangan jantung. Apabila ambulans sampai, ia sudah tiada lagi. Innalilahiwainnailaihi rajiuun.

Al Fatihah.
Semoga  kita semua mengambil iktibar darinya.
 Semua yang hidup tetap akan mati. Bila janji Allah sampai, ia  akan berlaku tepat pada masanya.
Tidak mengira tua atau muda. Ya Allah, kasihanilah kami, peliharalah kami semoga kami sentiasa berada di jalan Mu. Semoga kami berjumpa semula di Syurga Mu, dengan Rahmat Mu semata-mata. Amin.


.........

Tuesday, October 18, 2011

TAKE FIVE





We took an extended 'TAKE FIVE" from our daily 'routine'  My husband and I went to University Utara Malaysia, Sintok  at the invitation of a dear friend who wanted me to be her bouncing board for a proposal to be presented to a committee on Strategic and Quality Management of Situwangi Boarding School, Garut. With great pleasure we went along and my husband happily agreed to do the driving.

The trip was both fruitful and enjoyable. My friend arranged to meet with some of her friends from the University and we exchanged ideas on how to start  the said program for a school that we helped to establish two years ago. We were  thankful to have found such strong support and understanding and they have agreed to go to Garut to help design a total Management program for the school.

One snap shot for the album.

After the serious session we went to Bukit Kayu Hitam. I think I was there some 15 years ago. We didn't shop other than Chocolates but revisiting the place was an awesome experience. All the way from Jitra to Bukit Kayu Hitam was a scene I almost could not recognize. Kedah is now prosperous.



Flowers at the Hotel Lobby


My first time ever to to go to Sintok was in mid 1975 when we went to explore the new site for the University. I was then in the Ministry of Education and was part of the team planning and implementing the project. The site is near the Thai border and the Communists were at large. We had to be escorted by the army. It was some experience and indeed a memorable one. When I saw the University today I could only gasped with excitement and ponder at its grandeur.

We took time off to eat out and our host introduced us to the local delicacies. We had a feast of Nasi Jagung, Beef Kurma, Sotong Sambal, Curry Kambing, Itek Masala and Dalca.


And as if that was not enough we drove  "500 miles" to Teluk Sepetang to savour another delicacy, Mee Udang at  Restoran Mak Jah. I would recommend it to those who love huge shrimps.


It was indeed a good "Take Five". I needed the break away. May Allah grace us with another opportunity like this one.


........

Monday, October 17, 2011

KEJAYAAN TIDAK DATANG MENGGOLEK.





Bila saya melihat cucu yang tinggal bersama saya ini, hati saya selalu jadi sejuk dan hilang rasa khuatir apabila berhadapan dengan kesulitan untuk mencapai tujuan dalam hidup. Ia menjadi seperti ada harapan yang cerah. Bukan tidak bersyukur dan tidak yakin pertolongan Allah itu sentiasa dekat jika kita berusaha kuat dengan penuh keikhlasan dan bertawakal, tetapi kadang kala kita rasa tersedih. Alhamdulilah cucu saya ini jadi  penghibur. Namanya Amani Farissa dan umurnya 5 bulan dan sudah hampir pandai merangkak. Dia sumber inspirasi.

Selalu saya katakan pada diri dan anak-anak bahawa tidak ada kejayaan yang datang menggolek. Kadang-kadang kita sibuk berkerja mencari kejayaan dengan tidak mengira penat lelah. Tetapi kalau kita tidak merujuk pada Allah maka kita mudah putus asa. Kadang-kadang Allah memberi suatu yang amat berharga dengan mudah pada kita seperti solat sunat subuh. Dan bagi lelaki amat dituntut solat awal waktu berjemaah di masjid, terutamanya subuh ( paling tidak). Tetapi kalau kita tidak melihat dengan mata hati maka kita tidak yakin itu satu pertolongan Allah yang amat besar bagi kita meraih kejayaan dengan mudah. Selalu saya katakan pada anak : Buat dulu apa yang Allah suruh, barulah kita nampak yang lain-lain.

Semalam teman akrab saya memberitahu saya bahawa projek masyarakat yang sedang kita bantu untuk laksana menghadapi sedikit masaalah. Mula-mula saya rasa seperti kecewa. Tetapai saya cuba kembali dan rujuk semula pada hakikat bahawa sesuatu yang berlaku itu pastinya ada hikmah. Maka hari ini saya berjanji dengan diri saya untuk bertenang dan cuba lihat apa yang kita tidak nampak dan faham apa yang kita tidak dengar. Semoga Allah memudahkan dan memberi pertolongan dengan rahmatnya yang tidak terhingga.


......

Friday, October 7, 2011

JEJAK MENCARI-CARI SALAHUDDIN




" A Journey Of A Thousand Miles Starts With The First Step"

Kebelakangan ini saya rasa amat sedih dan kecewa dan juga agak marah terhadap sikap setengah-setengah negara di dunia ini  mengenai penubuhan negara berdaulat, Palestine. Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya di Security Council, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Begitu zalim ! Double Standarad yang negara-negara Islam tidak berupaya berbuat apa-apa. Dengan mudah negara-negara yang tidak memahami Islam telah  membuat berbagai ulasan mengenai "Arab Spring". Rata-rata mereka menganalisa bahawa rakyat negara Arab mahukan  "Democracy" dan dalam minda mereka adalah  Demokrasi ala Amerika Syariakt dan/atau  negara-negara yang fikrahnya sama sahaja.  Saya rasa pasti ada cerita yang selainnya tetapi tidak ada Media yang boleh dan dapat membuat ulasan dari sisi pandangan yang lain. Kalau ada pun ia tidak mendapat liputan yang luas. Semoga apa yang berlaku di negara-negara tersebut adalah satu proses pembersihan dan semoga akan lahir dan wujud suatu kuasa yang benar-benar mahu mendaulatakan alQuran dan hadith.

Saya tidak berputus asa untuk mencari jalan semoga Kebenaran yang Hak akan terserlah pada suatu hari nanti. Itu janji Allah.  Saya merasai manusia hari ini  belum mahu bersungguh-sungguh  mencari jalan itu. Ramai yang  hanya  mencari Pembenaran. Walhal  kita seharusnya menegakan Kebenaran. Saya amat sedar bahawa menukar minda dan membentuk kefahaman yang betul bukan suatu yang mudah dan bukan sesuatu yang boleh dibuat oleh individu atau kumpulan yang kecil.  Usaha ini seharusnya mendapat dokongan sebahagian besar umat manusia di dunia ini sebelum kenyataan ini tercapai. Tetapi "A journey of a thousand miles, starts with the first step". Semoga ramai  yang akan berusaha memulakan langkah pertama ini. Sebenarnya ramai yang sudah memulakan, cuma seharusnya ada kesedaran supaya ramai lagi yang akan mengambil jalan ini dengan penuh komitmen dan penuh tekad bahawa kita hanya perlu berusaha serta berdoa dan pertolongan Allah itu dekat, kerana Dia maha memerhati, maha mendengar dan maha berkuasa atas segala sesuatu.

Maka apabila saya diajak bersama untuk ke Garut lagi  bermula 1 Oktober  hingga 6 Oktober saya rasa teruja. Kami sekali lagi melawat  Situwangi Boarding School  untuk memantau perkembangannya setelah kohort kedua pengambilan murid selesai pada Julai yang lepas.Saya rasa seperti saya pergi mencari Salahudin dengan harapan akan lahir seorang pejuang sepertinya untuk menerajui pembelaan maruah orang-orang Islam sejagat. Saya merasai seperti tugasan ini satu hari akan melahirkan "Salahudin Al Ayubi" seorang pejuang Islam yang membebaskan Masjid Al  Aqsa dari penjajah kuffar dalam kurun sembilan belas. Kini Al Aqsa dijajah lagi oleh Yahudi Zionis, suatu kaum yang amat zalim. Tetapi di mata Amerika mereka itu tidak zalim dan sebaliknya menuduh Palestine yang zalim dan merangkum semua warga Islam sebagai tidak boleh di percayai.

Sejarah Islam telah melahirka ramai pejuang. Antara yang terdekat dengan zaman kita adalah seperti Umar Mukhtar di Libya yang melawan penjajahan Itali, Syed Khutub yang tidak putus asa walaupun dipenjarakan dan beberapa tokoh di Tanah Air  kita seperti Tok Kenali dan sebagainya. Selain itu Islam telah melahirkan panglima Sains dan Teknologi seperti Al Kindi, Ibnu Rushd dan ramai lagi.

Fikiran saya buat seketika memfokus pada Salahaudin Al Ayubi kerana ia bukan berbangsa Arab tetapi berani melawan kufar dan membebaskan Palestine, sebuah wilayah Arab. Di Malaysia selalu sahaja ada orang yang mengatakan mengapa kita yang bukan Arab "menyibukan" diri mahu memperjuangkan kepentingan Arab. Mereka lupa bahawa perjuangan di Palestinr melibatkan pembebasan  Masjid Al Aqsa, hak asasi orang Islam di mana jua. Tambahan pula kita umat Islam seharusnya rasa kasih sayang sesama orang Islam hingga ketahap apabila dicubit peha kiri, peha kanan sakit juga. Salahudia Al Ayubi berbangsa Kurdish tetapi perjuanganya melampaui batasan kebangsaan. Itulah tokoh pejuang yang harus kita contohi. Itulah antara doa saya mengenai membentok core pemimpin  yang bermula dari Situwangi Boarding School, sebuah sekolah integrasi Islam.





Maka di Situawangi Boarding School kami memantau prestasi pelajar semoga nanti lahir tokoh-tokoh Islam yang akan bangkit membela maruah Islam. Buat sementara waktu oleh kerana adanya beberapa kekangan kemudahan fisikal, maka tumpuan kami adalah pada hafazan Al Quran. Tetapi  di dalam perancangan yang menyeluruh, kami  insyaAllah akan memastikan pengajaran dan pembelajara ilmu akademik yang lain seperti matematik, sains , bahasa antarabangsa dan teknologi maklumat akan menjadi antara fokus yang terkuat dalam membentuk individu pelajar ke arah melahirkan berbagai tokoh yang akan menerajui kepimpinan Umat Islam.

Antara tunas harapan kita menjadi pembela Islam. 
'Jihad'  (di kanan) adalah nama pelajar tahun satu peringkat  menengah
yang  sudah mula memahami semangat seorang peminmpin dan pejuang kebenaran.
Semoga ia diikuti oleh yang lainnya.


Dalam tugasan kali ini kami juga melawat dua buah sekolah peringkat menengah untuk bertukar-tukar fikiran dan maklumat bagaimana kami dapat membentuk jaringan yang bererti dan berkesan ke arah melahirkan tokoh-tokok ilmuan dalam semua jurusan pendidikan termasuk bahasa-bahasa antarabangsa. Gambar di sebelah kanan ini ialah Sekolah Darul Quran Internasional di Bandung. Kami dimaklumkan apabila mereka tamat dari Sekolah ini mereka kuat dengan asas-asas ilmu Islam dan dalam masa yang sama boleh memohon untuk belajar dibidang Ilmu akademik yang lain di Timur tengah atau di Eropah atau yang seperti dengannya.


Gambar dirakam semasa sessi taklimat dan soal jawab di sekolah tersebut.



Kami juga melawat sekolah  "Kafilah Internatioanl Islamic School"  di pinggiran Kotaraya Jakarta untuk tujuan yang sama. Team kami meliputi Mudir Situwangi boarding School (di kiri sekali) dan wakil dari Yayasan Situwangi yang merupakan pihak yang terpenting dalam usaha membangunkan sekolah yang kami  diajak membatu menubuhkannya. Berbagai perkara yang kami bincangkan dan saya rasa yakin Sekolah ini mempunyai masa depan yang cemerlang kerana pendokomg-pendokongnya menampakkan komitmen yang tinggi. Apabila jami berinteraksi dengan pelajar-pelajar, mereka sangat responsif menjawab soalan-soalan yang dimajukan tanpa rasa malu atau teragak-agak.  Wajah-wajah yang ceria juga meyakinkan saya bahawa pelajar-pelajar ini seronok berada di tempat ini.

Sebahagian dari pelajar-pelajar yang menunjukan imej 'internasional'

Sekolah ini didokong oleh penaja yang kuat dana kewangannya. Mereka antara lain  mempunyai projek Oil and Gas, Food Catering dan Travel and Tours yang berdaya maju. Bilangan pelajar telah meningkat lebih dari 95 pelajar dan ramai yang diberi biasiswa penuh. Alangkah bahagianya dan beruntungnya  pelajar-pelajar  di Malaysia jika tampil  ramai lagi Dermawan yang bersungguh-sungguh  mahu menegakan  konsep pendidikan Islam berintergrasi dengan struktur pengurusannya yang agak bebas selaras dengan visi dan misi sekolah seperti itu. Ini bermakna bahawa pihak Kementerian Pendidikan seharusnya sanggup melihat semula dasar-dasar mengenai pendidikan yang akan dapat benar-benar melahirkan pelajar yang seimbang dan sepadu  dari segi ilmu Fardhu Ainnya dan ilmu Fardhu Kifayahnya, dan tidaklah seperti melepas batuk ditangga sahaja  seumpama apa yang saya alami semasa saya berkerja dahulu. Dengan ini insyaAllah akan lahir juga pelajar-pelajar yang berjiwa waja, berketerampilan, berani dan boleh menerajui kepimpinan dalam perjuangan menegakan Kebenaran. Mungkin di sinilah  tempat lahirnya seorang lagi "Salahudin". Allah maha memerhati dan menguji hati-hati mereka yang mengatakan dirinya beriman.

Selain berbincang kami dibawa melihat sekeliling kampus. Saya merakamkan  pemerhatian saya  di bawah ini sebagai renungan bersama. Di sekolah ini program Jati Diri pelajar agak impressive dan boleh di contohi. Bukti pihak pengurusan sekolah mahu pelajar-pelajar yang 'all rounder' mereka membina gelanggan Footsal yang besar secara tertutup .
"Siapa Yang Enggan Merasakan Letihnya Belajar 
Akan meneguh Payahnya Kebodohan Sepanjang Hidupnya".
Imam Shafie.


Kerana Kita Bukan Pasentren Biasa.
Kurikulumnya mengikut Departmen Pendidikan Indonesia, dan mereka juga ada kurikulum dan ko-kurikulum yang dbentuk sedemikian rupa supaya pelajar-pelajar 
akan berjati diri dan boleh mandiri.
Ini adalah antara ciri-ciri pemimpin dan pejuang.



Kemudahan fisikal Sekolah ini tersergam megah dan menjadi daya pendorong 
agar pelajar-pelajar membina daya saing yang positif.

Dalam perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Jakarta- Bandung- Garut, Kami bermalam di Harris Hotel  di Jakarta dan Hotel Darul Tauhid di Bandung. Saya bersyukur di Harris Hotel kami menumpang tarbiah di Surau yang dikendalikan oleh kumpulan bakal Hujaj. Seorang usatz memberi kuliah subuh dan ini menambah semangat kami dalam perjuangan yang memerlukan tumpuan minda ini. Di bawah ini saya rakamkan kumpulan kami bersama mereka.



Di Masjid Darul Tauhid kami juga solat berjemaah waktu subuh. Ada kuliah subuh  pada pagi lainnya oleh pengasas pasentren di situ, iaitu Ustaz Agim, tetapi saya tidak hadir kerana kepenatan. Dalam perjuangan "mencari-cari Salahudin", kami perlu penguatan semangat dan sessi seperti ini memberi peluang muhasabah diri dengan lebih jelas lagi.




Perjalanan kami cuba menjejak mencari-cari Salahudin berhenti buat sementara waktu di sini. Kerja-kerja mendokumentasi hal-hal pengurusan berjalan terus. Sebeum pulang kami bertemu dan berbincang-bincang dengan ketua Yayasan Situwangi untuk mengatur strategi dan program seterusnya. Kejayaan tidak datang menggolek. Saya katakan pada teman seperjuang  semoga Allah memberi pertolongan dan kami sihat untuk terus menyumbang bakti. Diumur senja sebegini, kami harus kerja cepat kerana sudah sampai zon kritikal. Semoga Allah akan kurnikan kebikajsanaan dan kekuatan dan semoga kami mendapat keampunan dan keredhaannya. InsyaAllah kami akan ke Garut lagi awal November.  Semoga kami sihat dan bertenaga. Kejayaan adalah hak Allah. Tanggong jawab kita untuk berusaha sedaya upaya, dengan Rahmaynya semata-mata.



...

Saturday, October 1, 2011

DIMANA ANAK KU






Ini kakak saya sakit terlantar di rumahnya di Kota Tinggi. Saya rakam gambar ini di perayaan bulan Syawal yang baru lepas.  Ia di jaga oleh seorang pembantu  warga asing kerana anak-anak semuanya sibuk dengan tugas kerjaya yang tidak nampak bila akan reda kesibukannya. Dalam hal biasa Allah mengurnia masa 24 jam bagi semua. Maka sempat atau tidak sempat tidak boleh disebabkan kerana kesibukan kita dan kita tidak cukup masa. Tiadanya kesempatan adalah kerana  kita tidak meletakan  aktiviti mera'i ibu itu sebagai aktiviti yang harus diberi keutamaan. Maka mudah sahaja kita mempertahankan diri dengan mengatakan kita tidak kesempatan.

Kakak saya ada 3 orang anak kandung dan seorang anak angkat. Namun ia tidak pernah mengatakan yang seorang itu anak angkat kerana padanya kasih sayangnya tidak berbelah bagi. Ia mengangkat anak itu sejurus selepas ia dilahirkan dan kesemua proses persekolahan dan lainnya tidak mengira pertalian darah. Tetapi saya perhatikan kakak saya ini Allah uji dengan kasih anak. Seorang anaknya hampir tidak peduli dengan emaknya. Menziarahi sakit seperti orang biasa menziarahi temannya. Tidak tidur bermalam, dan tidak sampai sehari pun dan itu pun hanya sekali  dua sejak kakak saya jatuh sakit yang serious hampir dua tahun yang lalu. Ia tinggal lingkungan 50 kilometer sahaja. Hari Raya tidak pulang langsung. Kasihan saya pada anak ini kerana Allah beri peluang jalan pintas masuk syurga tetapi diabaikannya. Allah berjanji surga itu ditapak kaki ibu (dan bapa) dan jika anak-anak menjaga kedua orang tuanya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang, maka Allah janjikan Syurga. Semoga anak-anaknya dan cucunya ada membaca blog saya ini dan akan terbuka hati untuk mengambil peluang akan janji Allah itu.

Semoga mereka juga membaca alQuran Surah Al Israk , ayat 23 yang bermaksud:
"Dan Tuhan mu telah memerintahkan dan mewajibkan supaya kamu mengesakan DIA semata dalam beribadah dan Dia menyuruh supaya berbuat baik dengan kedua ibu bapa, terutamanya ketika keduanya telah berumur lanjut, janganlah kamu merasa bosan dan susah terhadap sesuatu yang kamu lihat dari keduanya dan janganlah kamu mengatakan "UF" iaitu perkataan buruk yang paling rendah tingkatnya dan janglah kamu melakukan perbuatan jahat, tetapi pergaulilah keduanya dengan lemah lembut dan katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Kakak saya bersedih tetapi saya selalu memujuk hatinya dengan mengatakan kita ada Allah, dan kebergantungan kita adalah pada NYA sahaja. Anak angkatnya pun seperti biasa-biasa sahaja. Tidak menampakan kesungguhan merawat emaknya yang telah mengasuhnya hingga berjaya dalam persekolahannya dan menjadi pendidik bangsa di sekolah. Saya selalu bertanyakan pada pembantu sama ada anak-anak sering BERULIT dengan ibunya. Ia hanya senyum. Tidak mahu bercerita. Tidak bercerita saya kira itu suatu yang tidah indah ceritanya. Saya diam sahaja dan tidak bertanya lagi. Saya hanya mampu berdoa di akhir-akhir hayatnya ini Allah kurnia keselesaan dan keredhaan, penuh dengan kasih sayang dan Rahmatnya.

Tidak ada manuasia yang sempurna dan pastinya sebagai manusia biasa kita semua ada kelemahan dan kekurangan. Kakak saya pun begitu juga. Tetapi anak-anak tidak boleh melihat kelemahan ibu sebaga senjata untuk tidak memperdulikan keselesaan hatinya dan hidupnya. Kasih pada ibu dan ayah tidak bersyarat. Kalau mereka bukan Islam sekalipun, tanggong jawab kita padanya tidak berubah, melainkan  atas hal-hal yang syarie.

Saya menulis perihal ini dengan penuh kesedaran bahawa semua kita, termasuk saya,  tidak kalis masaalah seperti ini. Sama-sama kita berdoa  semoga Allah memberi petunjuk kepada semua kita supaya beringat-ingat  akan kewajipan kita. Semoga Allah mengampuni segala dosa, kelemahan dan kekurangan dan semua kita mendapat rahmatNya yang tidak terhingga. Ameen.


...
Related Posts with Thumbnails