"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, January 27, 2017

SmarTop berkongsi pengalaman.





Mekar segar dan nampak ceria halaman Tadika SmarTop Subur Fitrah hari Ahad yang lalu. Pagi-pagi lagi saya dan partner saya sudah berada di premis sekolah untuk menyambut 7 orang peserta latihan yang akan menggunakan SmarTop sebagai arena latihan. Bersama mereka adalah seorang konsultan di bidang anak-anak pra sekolah yang akan mengendalikan latihan yang di wajibkan oleh pihak PERMATA Pusat.

Kami berbesar hati menerima mereka kerana dipilih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tempatan sebagai lokasi yang bersesuaian untuk latihan.




Mereka berada selama seminggu dan mereka membawa sendiri bahan latihan yang dipilih untuk didemonstrasikan pada konsulatan tersebut. SmarTop hanya menyediakan peralatan yang sememangnya sudah ada ditempat kami.

Mereka memfokus pada peringkat anak-anak bawah 4 tahun termasuk peringkat bayi. Kami merasakan projek ini memberi munafaat juga pada guru dan pengasuh kami kerana mereka juga dapat memerhati dan menerima komen konsultan tersebut. Saya berada bersama mereka selama 2 hari setengah sahaja.

Sayang..... Tidak kesempatan masa.




Kami rakam foto sebagai bahan dalam galari arkib SmarTop. Puan Suhaili nama konsutan dan ia datang dari Melaka. Di kiri sekali ialah penyelia utama kami di peringkat Taska. Atiqah namanya.




Program awal pagi ialah meyanyi nasyid da  bersenam atau menggerakan badan bersama musik. Ini bagus untuk membina 'fine motor' anak-anak dan juga membina deria mendengar dan koordinasi badan dan musik.
Usai sessi ini mereka minum pagi.




Kelihatan pelatih-pelatih bersama ana-anak mengaktifkan badan dan minda.




Ini antara projelk latihan. Seorang guru menunjukan anak cara membuat makanan yang baik dan bersih.
Anak-anak nampak teruja. Ada yang pandai bertanya.





Anak-anak diajar memilih makanan yang berkhasiat.
Guru ini pandai menarik perhatian dan pandai memilih perkataan
 yang mudah difahami.




Sessi minum pagi.


Setiap pelatih diminta membuat satu demonstrasi. Saya memerhati yang mengajar anak kecil menyediakan makan sandwichnya sendiri. Mereka dinilai dari segi cara mengolah bahan, dari segi kebijaksanaan berinteraksi dan kepintaran mendemonstrasi. Saya sendiri rasa teruja kerana saya pun itu pertama kali melihat latihan seperti itu.


Mereka diperhati dari segi memberi bantuan anatara pelatih dan juga antara guru-guru kami. Semanagt mahu tolong menolong adalah elemen penting pada setip guru. Tidak patut ada sikap nafsi-nafsi.

Elemen kebersihan juga diperhati. Alhamdulillah SmarTop dapat memberi kerjasama dan contoh yang memberi kepuasan pada konsulatan juga pelatih.

Kami dilaporkan pada hari terakhir semua pelatih menyumbang membuat mural sebagi kenangan. Mereka berpakaian merah tanda meyambut tahun baru Cina dan bersurai pada hari Khamis. (Nanti saya kirim fotonya jika kesempatan).

Alhamdulilah. Usaha menabur bakti kami buat walaupun sedikit. Kata Usatz: Biar sedikit tetapi ikhlas dan istiqamah. Allah tidak nilai usaha hamba-hamba dengan kayu pengukur yang sama. Semoga usaha kami sentiasa diberkati demi kesejahteraan ummah kerana Dia jua.

Aaamiin ya Rabb....


......

Thursday, January 26, 2017

Sesat Barat di suatu Jumaat....




Hari Jumaat yang lepas saya bercadang menaiki Bas dari TBS (Terminal Bas Selatan) untuk ke Tadika SmarTop di Tangkak, Johor. Suami menghantar saya tetapi kami silap buget masa. Kami terlupa Jumaat itu hari paling sibuk di mana jua terutamanya di Ibu Kota. Dari Petaling Jaya kami ingatkan boleh sampai dalam setengah jam seperti hari-hari biasa. Ini kali silap besar kerana suami saya pasti wajib mencari Masjid kerana hampir jam 1 tengah hari kami masih jauh dari destinasi.

Maka berkejaranlan dijalan raya yang sesak sambil melihat jika ternampak menara masjid berhampiran jalan raya.

Tidak mudah....rasa agak cemas.

Maka kami melencung jalan dalam satu kawasan perumahan yang tidak mewah. Tidak kelihatan juga. Kami berhenti bertanya di sebuah warong makan. Seorang wanita bersungguh-sungguh menunjukan jalan. 

Kami sesat juga.....

Dalam mencari-cari kelihatan anak muda yang baru hendak menaiki motorsikalnya. Dia mengarahkan satu haluan yang terdekat dengan masjid, katanya. Tetapi kerana masa sudah hampir masuk waktu kami minta jasa baik anak muda ini menunjukan kami jalan dan kami mengekorinya. Dalam tiga minit kami sampai. Alhamdulillah.

Anak muda itu berpusing tidak berhenti di Masjid itu. Suami angkat tangan berterima kasih. Semoga anka muda itu pergi ke Masjid kesukaannya.

Ada warong makan di hadapan masjid dan saya mencari sudut yang selesa menantikan Jumaat selesai kesemuanya. Masjid Al Khosyiin namanya.





Waktu sudah amat hampir tetapi masih kelihatan beberapa orang yang masih sibuk mencari tempat duduk untuk makan. Saya pula yang rasa gelisah takut mereka tidak kesempatan. Tetapi saya lihat mereka relaks sahaja. Saya tidak pernah melihat suasana hari Jumaat dari jarak dekat seperti hari itu. Saya beranggapan semua kaum lelaki pastinya sudah masuk ke Masjid sebelum azan berkumandang. 

Rupanya tidak.....

Masih ramai yang berjalan menuju masjid walaupun Tok Imam sudah mula membaca Khutbah Jumaat. Saya rasa tidak selesa kerana saya mengharapkan semua jemaah aka berada di ruang solat mendengarkan khutbah. Wajib kata ustaz saya jemaah mendengarkan khutbah. Emak saya semasa saya kecil dahulu selalu kata mendengar khutbah itu ganti 2 rakaat yang digugurkan.

Tetapi Ilmu emak saya bukanlah tinggi.....

Pasti ada khilaf dari segi hukum mendengari khutbah sebab masih ada beberapa yang terus makan (dan hisap rokok) dan seperti tidak bergesa untuk siap makan. Yang berjalan kaki pun ramai juga menuju ke Masjid. Juga yang naik motorsikal.

Saya hanya memerhatikan......
Saya rasa ini bukan cara yang baik bagi ahli jemaah tidak bergesa untuk duduk mendengari pesanan Jumaat.....
Isunya Isu Taqwa, kita harus sentiasa memohon Allah kurnia tahap ketaqwaan yang tinggi. Rukun sah khutbah juga mesti mencerahkan isu bertaqwa.

Semoga tidak diambil ringan....

Usai solat suami terus menghantar saya ke bas terminal dan saya rasa lega. Tetapi kecewa kerana tidak ada bas dijadualkan hingga jam 4.30 petang setiap Jumaat. Lain kali saya berhati-hati....



.....

Kasihnya saudara sama berada......



Ini cerita anak saudara saya.Thaldiri namanya.
Dadi nama kesayangan keluarga.
Ia berdiri  berTshirt hijau di sebelah suami saya.
Foto kenangan ini saya rakam di KLIA 
sempena ia berlepas ke Makkah Madinah
untuk Umrah sebulan yang lalu.

Alhamdulillah kini sudah selamat pulang.

Umrah adalah cerita biasa bagi mereka yang berada.
 Dadi bukan mewah hidupnya tetapi amat
berkasih sayang dalam keluarga dengan caranya sendiri.
Dengan sedikit kemampuan di mengajak isteri berumrah. Tetapi kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakan
 ia tidak dapat bersama. 
Maka ia mengajak adik iparnya, Yusop yang berdiri dikirinya. Semua perbelanjaan ditanggongnya.
Ma sya Allah.
 Biasanya yang miskin akan membantu yang miskin.

Isteri Yusop berseluar hitam ditaja oleh 
adik beradik yang lainnya 
termasuk anak perempuannya yang masih belajar.

Saya terkesan dihati kerana  ikatan kasih adaik beradik 
yang erat pada pemerhatian saya.
 Semuanya bukan orang kaya.
Mereka bekerja kuat untuk saraan harian. 
Ada seorang yang agak lebih sedikit rezkinya
 dan dengan berbesar hati  sama menaja mereka.
Dikiri sekali ialah anak lelaki Dadi. 
Ia ikut sama kerana peduli keselesaan dan keselamatan bapaknya. Alhamdulillah.
 Saya teringatkan kakak saya yang meninggal dunia
semasa mereka masih bersekolah. Sejuk perut ibu kerana mereka saling mengasihi walaupun berbagai
 masaalah yang mereka hadapi.

Semoga pautan kasih ini berpanjangan.




Ini anak dan menantu Dadi.
 Si kecil itu Cicit Saudara buat saya.
Rasa sudah sangat tua dan bilangan cicit saudara 
hampir berbelas bilangannya.

Semoga Allah mengeratkan hubungan kami sekeluarga besar
 Warisan Wak Leman dan Embah Tukiam.
Semoga kami bertemu semula di Syurga Firdaus dengan RahmatNYA yang tidak terhingga.
 Aamiin ya Rabb.....

.......

Kekawan di Hari Tua......





Di umur senja kami berdampingan dengan
 kekawan di masjid atau di majlis-majlis perkahwinan
 atau di majlis-majlis kesyukuran.
Tetapi bila teteman sudah uzur maka kami di masjid membuat ziarah khas . Di atas ini kami menziarahi
 Ybhg Dato Saidina Amin dan isterinya. 
Beliau duduk di tengah dan 
Datin berdiri nombor dua dari kiri.
Apabila suaminya uzur Datin berhenti kelas Bahasa Arab yang di ajar oleh Ustaz Dr. Shafiee.(berbaju batik merah).
Datin rindu Ustaz dan teteman maka suatu petang dua minggu yang lepas kami datang berkunjung berbual santai
dan menjamu selera. 
Saya rasa sayu di hati mengenangkan diri di hari yang lebih tua nanti. Siapa yang akan datang menziarahi.
Anak-anak sentiasa sibuk.
 Tetapi saya tetap yakin rezki Allah yang menentukan. 
Semoga Allah mendatangkan keriangan 
dan bukan kesunyian.


Aameen ya Rabb


.....

Friday, January 20, 2017

Amani Farissa.....



Amani Farissa
Rambutnya panjang berdiri di tengah-tengah.
Dia tinggal bersama
Manja tak kira
Iri hati kalau kita tidak menyapanya
tetapi peluk cium adiknya, Amru Fathullah
tiga tahun lebih muda.

Ini foto Hari Ihtifal di Tadikanya, dirakam oleh bondanya.
Tahun ini akhir dia di Tadika ini. 
2018 insyaAllah akan ke tempat yang berlainan inspirasi.
Saya sudah mencadangkan tetapi Abinya belum buat keputusan.

Walau apa pun saya sudah minta Amani dibiasakan 
menutup aurat sekadar umurnya.
Harus mula awal dididik  menutup kepala
Semoga dari mula mengenal akhlak yang indah dan mulia.

Ada yang berkata tidak mengapa
kerana ia masih kecil belum terikat hukum-hakam agama.
Tetapi.......
Melentur Buluh biar dari Rebungnya
Biar Amani selesa menjunjung Kebenaran tanpa dipaksa
Semoga Allah sentiasa memeliharanya,
Dari cemaran budaya yang mengengkari Penciptanya.
Semoga Rahmat Allah yang tidak terhingga
Melindungi Amani satu keluarga
Bahagia dan berjaya mengikut landasan 
Dan pautan Kasih Illahi yang tidak ternilai harganya.
Aamiin ya Rabb....
Engkau Tuhan yang maha Tinggi, maha Berkuasa.


....

Thursday, January 19, 2017

Teacher Muz, bertemu dan berpisah.....



Bertemu dan berpisah adalah perkara biasa dalam hidup kita. Cuma kita perlu memahami bertemu dan berpesah itu kerana apa dan untuk apa.....

Bertemu kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah. Dalam masa yang singkat kita munafaatkan pertemuan itu sebaik mungkin kerana masa yang Allah luangkan tidak lama dan kita tidak tahu bila pertemuan itu akan berakhir.

Seperti kehadiran Muz dalam sejarah penubuhan Pra Sekolah SmarTop Subur Fitrah di Tangkak, Johor. Dari mula penubuhan SmarTop yang kini masuk 5 tahun Muz bersama kami dan di akhir tahun 2016 ia mengundur diri kerana mengikut suami ke Labis, hampir dengan Segamat.

Rasa kehilangan......

Tadika SmarTop tanpa Muz seperti ada yang tak kena. Tetapi apakan daya. Itu lumrah pusingan hidup dan Muz berpindah ke Labis kerana tanggongjawab yang lebih besar. 

Muz mengajar dan dalam masa yang sama membantu hal-hal pengurusan kewangan di SmarTop. Muz juga di beri kerja penting setiap kali SmarTop mengadakan Hari-Hari Perayaan atau menjalankan tugasan melaksana program ko kurikula dan extra kurikula.  Kerjanya kemas dan tidak perlu banyak tunjuk ajar. Alhamdulillah. Kami pihak Pengurusan lega ada Muz tetapi kini sudah seperti terpelicuk kaki dalam mengendali banyak hal. Tetapi kami yakin Allah akan gantikan dengan yang sama cekapnya.Itu doa kami.


Image result for fotos dan quotation on perpisahan


Kami di SmarTop mengucapkan ribuan terima kasih pada Muz yang telah membantu kami penuh keperhatinan  dan banyak tugasan kami yang menjadi mudah kerana Muz tidak berkira dari segi masa dan wang ringgit. Ini kurniaan Allah pada kami di SmarTop dan semoga akan ada kesinambungan yang lebih bererti. Semoga Muza bahagia bersama keluarga dan akan dapat pekerjaan yang lebih sesuai dengan kelulusan Sarjana Muda yang diperolehinya.

Apa pun pilihan, Selamat Maju Jaya 
dan semoga Allah sentiasa bersama. Semoga jalinan
 silaturrahim berkekalan jua.




Antara aktiviti anak-anak SmarTop.
Melentur buluh dari Rebungnya.
Semoga Allah terima segala sumbangan teacher
 Muz sebagai amal soleh.
Aamiin...


.....

Monday, January 16, 2017

Bila keletihan......


 TIADA KEKUATAN 
MELAINKAN KEKUATAN DARI ALLAH.





Di penghujung tahun lepas, kami di Tadika SmarTop Subur Fitrah sibuk membuat persediaan tahun baru 2017. Umur kami pengurus sukarela ini meningkat setahun lagi dan keupayaan fisikal kami pun terhad sedikit demi sedikit. Kami cuba buat tidak faham dan bila keletihan berlarian dan berkejaran mencari itu dan ini kami berehat santai ditempat kesukaan kami. Bila di Jasin kami berehat di kedai mamak Nasi Kandar Padang Kota. Tetapi untuk jaga kesihatan kami makan Tosei sahaja dan Teh o limau panas. Malangnya gula di darah naik juga. Kami hanya mampu senyum, semoga Allah memeberi pertolongan .....

Kekadang kami sibuk 3 hari, kami berehat sehari dan update blog atau membersihkan rumah. Rumah yang kami kongsi di Tangkak kecil sahaja tetapi tenaga kami tidak mencukupi untuk membersihkan setiap hari. Dahulu teman saya suka menghias rumah dan meminta Widad anak angkat kami menanam pokok bunga di hadapan rumah di halaman yang amat kecil. Kini pokok-pokok bunga sudah mati  dan teman saya pun tidak lagi berfikir-fikir mahu menukar selera hiasan. Saya tengok dan komen sahaja. Tidak ada bakat hias menghias.

Kini kami memikirkan pula mencari bahan kesihatan untuk mencuba menangguhkan "proses Penuaan". Tua tetap tua. Tetapi biarlah hidup berquality jika badan sihat. Kita berusaha....Allah yang mementukan. Tiada kekuatan melainkan kekuatan dari Allah.




Semoga Allah memberi kekuatan dan kebijaksanaan untuk kami neruskan tugasan kami demi Ummah kerana Allah.


Sebahagian foto ehsan carian google.
........

Friday, January 13, 2017

Episod kambing buat minda berfikir dan hati peduli.........






Sudah saya ceritakan dahulu saya ini dari keluarga pendatang....dari Tanah Jawa. Mengimbas semula asal usul saya, dapat saya rasakan perjalanan hidup ini sudah amat jauh. Tetapi dikira dari konteks hidup akhirat, tidak sampai sehari. 



Semasa kecil kakak saya yang nombor 4 dari atas (pada tahun awal 1940an) bapak tugaskan menjaga kambing. Kakak sulung saya menoreh getah dan yang lainnya ada tugas-tugas tertentu. Saya anak yang bongsu dari lapan orang adik beradik. Tugasan saya tidak seberat kakak-kakak saya. Cerita kambing memang sentimental bagi saya dan lantas teringat kehidupan semasa bapak masih ada. Bapak saya meninggal semasa saya berumur 16 tahu.  

Ditakdirkan dalam melayari hidup dewasa saya, saya bertemu dengan seorang pengusaha yang mengembala kambing. Saya terpanggil untuk melabur sedikit peruntukan untuk membantu anak lelaki bongsu saya yang masih belum menentu apa yang ingin dilakukan sebagai usaha mencari rezki. Ini lebih kurang 8/9 tahun yang lalu. Saya melihat sendiri ladang kambing itu dan rasa amat teruja. Maka saya membeli 10 ekor dan meminta anak lelaki yang berniaga sendiri untuk membeli 10 ekor juga untuk dipelihara oleh tuan punya ladang dan dengan peraturan tertentu saya dijanjikan keuntungan yang lumayan. Saya serah bulat pada pengusaha untuk mengadakan cara pembelaan mengikut budibicaranya dalam bidang pelaburan ternakan. Saya amat kenal dengan keluarganya.


Tetapi ditakdirkan pelaburan kecil saya ini tidak menjadi kerana saya tidak memantau dari dekat. Semuanya saya mengharapkan pengusaha untuk membela kambing-kambing tersebut sebaik mungkin dan semua perjanjian hanya dibuat secara lisan atas dasar penuh kepercayaan.


Ini merupakan satu pengalaman yang membuat saya kini berfikir-fikir jika di lihat dari segi keuntungan wang ringgit. Tetapi keuntungan wang ringgit bukan suatu yang terpenting dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Maka saya tidak  mahu banyak bicara pendapat kerana ia tidak akan mendatangkan kebaikan pada semua yang terlibat. 


Walau apa pun saya masih rasa seronok jika saya cantumkan pengalaman ini dengan pengalaman kakak saya. Kakak saya selalu berasa sayu bila bercerita pasal mengembala kambing. Berseorangan diri ia akan membawa 5/6 ekor kambing jauh dari rumah untuk mencari tumbuhan yang banyak dan menghijau. Hampir maghrib baru dia balik. Ia selalu mengatakan rasa takut dikebun hanya bertemankan kambing. Saya mendengari sahaja cerita-ceritanya.


Satu Nostalgia.......


Saya imbas kembali pengalaman dan pengajaran yang tersirat dalam usaha membela kambing kini berbanding 50 tahun dahulu. Saya ingin kongsikan rasa hati yang berbagai dalam usaha pelaburan kecil ini dan saya ambil hakikat-hakikat yang positif sahaja dalam kita melayari hidup bermasyarakat. Allah maha mengetahui dan maha bijaksana. Banyak pengajaran yang dapat saya ceritakan pada keluarga saya. Hidup ini bukan semata-mata keuntungan material. Hidup ini adalah jalan mencari keredhaan Allah. Apa yang kita lakukan adalah merupakan wasilah semata-mata. Hanya Allah yang boleh menilainya.


Episod kambing kini sudah berakhir. Saya jual kesemuanya. Tidak ada keuntungan material tetapi saya rasa kaya bila melihatnya dalam konteks bahawa Allah yang maha memberi rezki dan hadith mengatakan jika kita bersyukur dengan apa yang Allah kurnia walaupun sedikit, kita kemudian nanti Allah akan kurnia dengan ganjaran yang tidak disangka-sangka. Semoga begitu, ...... Aamiin.

Kata pepatah Inggeris: All is well that ends well......


Dengan ini anak saya kenalah berusaha mencari rezki cara lain pula. Kita tidak boleh terlalu sentimental dan berhenti berusaha.


Namun saya berpendapat tidak salah rasa sentimental diambil kira dalam membuat apa jua keputusan dalam hidup. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan......




Gambar hiasan ehsan google.
Nostalgia, sentimental....




.....

Thursday, January 12, 2017

Mengenal alQuran bagi anak Istimewa....






Tidak dapat saya jangka bagaimana cucu-cucu istimewa saya akan menjalani dunia penemuan dan pembelajaran untuk tahun 2017 ini. Saya di rumah anak perempuan saya pada hari pertama persekolahan tahun baru. Walaupun ayahnya telah sibuk menyediakan apa yang patut pada hari sebelumnya, tetapi pada pagi itu masih ada yang tidak kena pada tempatnya. Saya tidak dapat membantu apa jua dan melihat sahaja.

Di kiri ini ialah Huzaifah atau Ujai nama singkatnya. Pakai uniform baru kerana baru dilantik "prefect". Dia tidak memahami sepenuhnya konsep itu. Ia anak istimewa dalam kategori ADHD dan banyak hal yang dia masih rasa "blurrrrr". Kasihan......

Saya ambil foto pagi itu dengan roti masih ada di mulutnya dan ayahnya sudah menggesa untuk segera. Tok Ayahnya mahu merakam perilaku cucu sulungnya....



Ujai yang belajar untuk "steady" jadi prefect.....

Ujai bersekolah di Sekolah Rendah Precint 8 Putrajaya di kelas khas untuk anak-anak istimewa. Seminggu sebelum itu saya menghadiri bengkel "Terepi AlQuran" untuk anak-anak golongan yang disebut OKU. Ia dikendali oleh Yayasan Faqeh dan saya menggantikan anak saya kerana anak saya baru sahaja melahirkan anak. Tahun ini Pengurusan Sekolah dengan kerjasama Yayasan Faqeh akan melancarkan program belajar membaca alQuran bagi OKU. Mereka akan memulakan untuk anak-anak Otisma dan anak-anak yang tiada pendengaran, (pekak dan bisu).

Mereka bermula dengan mengatakan bahawa anak-anak OKU bukan anak-anak 'Produk Rosak atau Produk Reject'. Anugerah Allah yang maha Adil dan maha Bijaksana turun dalam berbagai bentuk. Mereka Otistik dan ramai yang tidak boleh bercakap tetapi ramai diantara mereka yang pintar dan bijak. Ini tidak bererti mereka tidak mampu berbuat sesuatu dalam bidang yang Allah kurnia dia boleh. Kadang kala dia lebih hebat dari anak yang normal.

Tetapi sayangnya dasar kerajaan pada masa lampau amat tidak menintiberatkan kebolehan anak istimewa mengenal alQuran dan membacanya atau menghafalnya. Maka Yayasan Faqeh, sebuah NGO,  telah mengambil initiative membuat kajian bagaimana anak yang Otistik, buat permulaan, boleh mengenal alQuran.

Terepi untuk anak-anak Istimewa sudah banyak dijalankan oleh kerajaan dan NGO swasta dalam ruang linkup kebolihan fisikal, tetapi tentang membaca alQuran dan memahami ilmu Fardhu Ain belum lagi meluas dan sistematik. Kami difahamkan Yayasa Faqeh bekerjasama dengan University Malaya membangun ke arah mencapai wawasan anak-anak istimewa mengenal alQuran dan faham Fardhu ain. Jabatan Agama Islam Selangor belum ada kepakaran ini dan belum ada latihan yang asas untuk membolehkan anak-anak istimewa mendapat pendidikan menjalani hidup yang lebih sempurna.

Pedegogi utama dalam bidang menghafal alQuran diasaskan pada sumber alQuran itu sendiri di mana Malaikat Jibril mengajar Rasulullah saw membaca alQuran dengan menghafal kerana Nabi besar kita adalah seorang yang ummi, iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Tetapi Allah meyakinkan kita bahawa daya menghafal alQuran ada pada sesiapa sahaja yang berminat dan mengikuti cara yang sistematik.

Saya mengikuti bengkel selam 2 hari dan rasa amat teruja untuk membantu anak saya mengajar 2 orang cucu yang kami kasihi. Saya yakin dengan sokongan Kementerian Pendidikan Terepi AlQuran boleh diguna pakai dengan lebih meluas lagi. Sila layari FB Yayasan Faqeh dan Web Sitenya untuk makluman lanjut.

Semua Insan berhak mengenal alQuran dan saya ucapkan syabas pada Yayasan Faqeh yang gigih menerajui usaha ini. Anak pada "pencetus idea" ini sudah boleh diketengahkan sebagai bahan bukti bahawa "Mereka Boleh". Anak Pengerusi Yayasan ini tergolong dalam kategori Otistik Non Verbal dan hanya mula bercakap ketika berumur 9 tahun. Kini dia berumur 14 tahun dan sudah boleh menghafal beberapa surah alQuran dengan mengingatkan juga nombor bilangan ayat-ayat yang dihafalnya. Dia masih dalam proses belajar menulis dan membaca, tetapi kebolehan menghafal alQuran amat menakjubkan saya dan mereka yang hadir dalam bengkel itu. 

Bagi anak Otistik yang non verbal pula ada caranya sendiri. Sila hubungi Yayasan Faqeh. Tidak mampu saya menerangkannya disini dengan berkesan. Saya teruja dengan hasinya. Namun kami diingatkan bahawa Allah tidak menilai hasil yang tercapai. Allah menilai usaha hamba-hambanya yang membuktikan keimanan dan ketaqwaan seseorang itu.

Jom........kita santuni anak-anak istimewa yang ada di sekeliling kita. Jangan malu dan merasai bahawa Allah meminggirkan mereka. Tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia.

TIDAK. Mereka benar-benar Istimewa!


Ashraf anak istimewa yang kami saksikan boleh menghafal.



Ini barisan peserta yang ada pada 2 hari itu. Yang ramainya terdiri dari guru KAFA dan guru Pendidikan Khas.

Semoga usaha Yayasan Faqeh terus bersemarak dan
anak-anak istimewa tidak lagi terpinggir.


.........

Tuesday, January 10, 2017

New Year Happening.....Awesome!.




My computer went bust for almost two weeks.
Wishing all and everyone a belated Happy New Year 2017.





New Year happening cara Warga Tua...... memang Awesome sebab dengan tidak dirancang saya dan suami pergi breakfast pagi 1 january di kedai mamak dan berjumpa teman sekampung, semasjid seperti dalam gambar di sebelah ini.

Ia berumur 80 tahun dan sudah lama ingin bersembang santai tetapi tidak mendapat peluang. Amat teruja hari itu kerana tiba-tiba sahaja suasana  sarapan menjadi lebih lebih ceria. Kami panggil dia Pak Nik. Isterinya tidak dapat bersama kerana sebab yang tidak dapat dielakan.

Kami makan roti canai dan wadeh dan minum teh tarik. Pak Nik lucu orangnya dan perbualanya diselangi dengan lawak. Sudah lama saya tidak sembang sedemikian. Tetapi Pak Nik dalam lawaknya dia mengatakan sesuatu yang tersirat. Kita harus tahu apa yang sebenarnya ada disebalik lawak dan jenaka yang luahkannya.

Suami saya ambil faham sahaja bila saya jeling ke arahnya. Pak Nik menasihatkan dalam umur dewasa tua seperti kami ini, janganlah kita hendak berperangai macam orang muda. Pak Nik sudah berumah tangga selama 60 tahun dan tidak ada perbezaan pendapat yang dapat menjejaskan keharmonian rumah tangga. Dia menasihati suami saya supaya kami jadi macam dia........Steady sahaja.

Masa kita di bumi Allah tinggal sedikit sahaja. Maka janganlah kita mencuba sesuatu yang baru seperti mahu berpologami atau mahu memulakan bisness yang bermodal besar dan rumit. Kita sudah tidak ada masa walau pun ada hadith yang mengatakan: Jika sekiranya esuk diisytihar Hari Qiamat dan kita masih memgang benih jenis tumbuhan, maka teruskan menanam biji benih itu. Kerana menanam itu ialah suatu ibadah dan ganjarannya hanya Allah yang tahu.

Soal poligami sentiasa sensitif. Suami saya senyum memanjang. Saya biarkan sahaja kerana saya pegang pada hakikat Allah itu ada dan Dia yang maha tahu dan maha bijaksana. 

Pak Nik sungguh bijak berfalasaf dalam menerangkan prinsip kehidupan. Suatu yang serious pun boleh dibuat lawak. Berbagai masaalah kehidupan yang menjadi bahan lawak baginya. Ia tidak keterlaluan. Santai dan bernas dalam semua kata-katanya. Orang lebih tua cuba menasihati orang tua.

Tetapi saya tidaklah rasa amat tua pagi itu kerana banyak tersenyum dan tertawa mendengari kata-kata Hikmah yang berasaskan kebijaksanaan. Amat bertuah saya rasa pagi 1 Januari tahun baru. Entah bila lagi dapat berjumpa dan rasa seperti keluarga mesra. Bagi generasi dewasa tua itu amat Awesome!......




Sejama kami beceloteh......

Sampailah masa untuk bangun berpisah kerana Pak Nik belikan sarapan untuk Mak Nik. Suami dan saya pun bercadang hendak ke Putrajaya menemui anak cucu. Dan saya pun tak sabar-sabar lagi hendak bertemu cucu yang baru.......

Pak nik masih kuat berjalan dan boleh memandu kereta berseorangan. Ini suatu terepi, katanya. Kalau duduk sahaja di rumah nanti kita akan berasa tidak berupaya dan kemampuan fisikal boleh terjejas kerana minda kita mudah mengalah pada "takdir".  Kuatkan semangat berdikari dan in sya Allah kita dapat mengekalkan kebolihan yang Allah telah anugerahkan.

Alhamdulilah....

Kami berpisah dengan memori manis hingga lain kali dengan izin Allah. kami selfie untuk kenanagan.





......


Related Posts with Thumbnails