"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, March 28, 2017

Oh !.....that Dragon lady....



Image result for dragon photo free download



Pretty Dragon.....Naga yang anggun.


Empat hari dulu saya menerima panggilan talipon yang membuat
 hati seronok dan berbunga-bunga.
 Alhamdulillah...... Tetapi terselit juga rasa sedih dan insaf.
Andrew Das, pegawai pembantu saya semasa saya bekerja dan ketika itu ia berumur dua-puluhan menalipon saya diluar jangkaan.
 Biasanya saya tidak akan jawab penggilan yang saya tidak kenali.
 Tetapi kali ini saya terpanggil pula untuk ambil risiko. Waktu itu saya berseorangan dan sedang melamun fikiran jauh bertanyakan diri
apakah sudah memadai jalanan hidup kini.

Andrew bertanyaan khabar dan dia kata sudah lama dia ingin bicara idea dengan saya kerana kini dia sudah mempunyai 
legal firm (firma guaman)
sendiri. Ia bosan bekerja dengan perkhidmatan awam 
kerana rasa dipinggirkan dan tiada tempat mengadu hal. 
Andrew biasanya berfikiran terbuka dan waktu itu suka menegur sape dengan saya dipersimpangan jalan atau pun waktu makan di kantin selain dari pertemuan dengan saya untuk urusan resmi.

Andrew seorang yang bijak berbicara dan saya selalu tercabar minda walaupun dia jauh lebih muda. Dia pegawai yang demikian
 rupa dan tidak ikut sahaja apa saya kata.
 Sebab pegawai yang suka bicara 
biasanya adalah pegawai yang rajin berfikir dan 
kalau ikut sahaja bererti dia malas berfikir dan merasa hidup ini 
 dan tugasnya sudah mencukupi. 

 Pegawai yang ikut sahaja selalu saya katakan adalah pegawai yang tidak punya wawasan dan matlamat hidup yang jelas.
Ramai pegawai melayu demikian caranya  (maaf cakap) dan ini saya selalu tegur supaya membuat perubahan  supaya kehidupan dan kerjaya menjadi lebih bermakna. Allah bagi kemampun secukupnya.....sehat dan berkebolehan. Maka harus guna kebolehan hingga tahap optima.
Allah tidak akan ubah nasib seseorang melainkan kita 
sendiri terlebih dahulu berusaha mengubahnya.





Saya berlembut seperti pergerakan udang-udang ini.
Maaf... macam puji diri...

Perbualan di talipon dengan Andrew membuat saya rasa riang. Andrew menceritakan kawan-kawan sebaya yang dahulu bekerja di bawah saya yang mana dia masih berhubungan. Ada yang sudah
 meninggal dunia dan ada yang masih bekerja.
Tetapi terkedu saya buat seketika bila Andrew kata  seorang pegawai
 yang bila diberitahu mengenai saya, dia berkata:
Oh......That Dragon Lady!

Saya gelak kuat dari hujung talipon  cuba menyembunyikan rasa terkesan dengan sebutan "that dragon Lady" dan bertanya siapa dia itu yang merasa saya ini seperti Naga. Malangnya saya tidak dapat mengingat beliau walaupun Andrew kata mereka dalam angkatan masa yang sama.

Tidak mengapa....saya katakan pada Andrew. Saya bukan seorang yang sempurna serba-serbinya. Maka lumralah jika ada yang suka dan ada yang tidak suka. Saya mengakui bahawa saya sememangnya seorang pegawai bernada kuat bila bercakap kerana saya rasa yang mahu memastikan mereka mendengari dan memahami apa yang saya katakan.
Rupanya pegawai ini terkesan kekerasan hubungan saya dengannya.

Andrew kata dia akan mengaturkan pertemuan saya dan mereka yang bersama saya dulu untuk makan tengah hari bersama.
 Dia akan mengaturkan masa yang bersesuaian
 pada majoriti yang ada. 
Saya katakan pada Andrew bila jumpa pegawai yang kata 
saya seorang 'dragon', katakan saya minta maaf,
 sebanyak-banyak maaf.
Katakan saya suka berjumpa dengannya. Di hari tua ini pasti istimewa bertemu dengan pegai-pegawai yang berpenat lelah 
membantu saya. Semoga kami dipertemukan.

That Dragon Lady....
Dengan  tertawa dan lawak saya katakan pada Andrew
bahawa saya "A pretty Dragon Lady."
Saya tidak berniat menzalimi sesiapa.
Seribu maaf pada siapa sahaja yang tesalah terima.
Semoga Allah memaafkan dan mengampuni kami semua.
Bila berjumpa Andrew nanti saya bertekad mahu mengajaknya menerima Islam. Semoga niat kesampaian.


.....foto dragon dari google......



......

Monday, March 27, 2017

Real Friendship @ Sahabat Tulin.



Dalam kesibukan orang-orang muda dan anak-anak sendiri, 
kami yang dewasa tua ini harus mencari sendiri
 erti keselesaan dan keriangan di hujung perjalanan hidup ini. 
Antaranya kami ziarah menziarahi teman-teman seangkatan. Ada yang sihat dan aktif, tetapi ada juga yang mula uzur .
Hari Khamis yang lalu kami menziarahi seorang  teman 
di Taman Tun, Kuala Lumpur.
Sebenarnya ia tinggal di Teluk Intan dan Taman Tun adalah rumah persinggahannya. Seronok kami berbual-bual.
Ada diantara kami yang sudah sedikit lupa-lupa. 
Tetapi masih mampu menjaga diri. Alhamdulillah. Saya juga kekadang lupa-lupa.  Katanya itu lumrah di umur dewasa tua. 



Kata seorang teman kita harus selalu berdoa ke hadrat Allah swt
 seperti yang disarankan dalam sebuah Hadith riwayat
 Bukhari seperti di bawah ini.


Kata Ustaz antara usaha untuk tidak menjadi pelupa,
 malas dan pengecut, kita harus rajin bersedekah.
 Kita infakan apa jua, harta, masa dan tenaga. 
Semoga itu menjadi wasilah kita terus berjati diri 
dalam usaha mencari Redha Allah.


Hadits Bukhari 5894

حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ صُهَيْبٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَعَوَّذُ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَرَمِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْبُخْلِ


(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari sifat malas, & berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut, & berlindung kepada-Mu dari sifat pikun & aku berlindung kepada-Mu dari sifat kikir. 

[HR. Bukhari No.5894].








Sampai di sini dulu. Semoga jadi kenangan manis bertemu kekawan seperjuangan. Dalam keadaan negara yang tidak menentu kini,
 kami berdoa semoga kami masih mampu untuk terus ambil peduli antara satu sama lain dan bantu membantu sedaya upaya kami dalam umur yang makin hari makin tipis. Semoga Allah kurnia umur lanjut yang bermunafaat. 
Aamiin, ya Rabb.....






Aamiin ya Rabb....
Semoga kami mendapat perlindungan Mu hingga ke akhir hayat dan semoga kami bertemu semula di Syurga Firdaus Mu
tanpa hisab dengan semua yang kami sayang,
dengan Rahmat Mu yang tidak terhingga.

Aamiin ya Rabbal alamiin.



foto ini ehsan carian google
................

Sunday, March 26, 2017

Pening mencari HADRAMAWT.....

Image result for hadramout


Kalau bukan kerana teman akrab dan demi silaturrahim yang
 dituntut dalam Islam 
kami mungkin rasa macam serik lain kali untuk meredah
 tempat yang kami tidak tahu.
Kami mencari Hadramawt Kitchen di Wangsa Maju 
hingga sesat barat. 
Kami ada alat Maps dan Waze tetapi tidak mampu menggunakannya.
Diusia yang lanjut seperti kami ini, teknologi canggih
 kekadang tidak terdaya 
mengikutinya. Mungkin warga tua digenerasi akan datang 
akan berlainan cara.


Tetapi Allah maha mengasihani kami dan akhirnya kami menjumpai 
Hadramaut Kitchen.




Seperti foto di atas yang saya cari di google, hiasan yang cantik ini seperti pohon yang hidup melata di Hadramaut, di Yamen yang sekarang ini sedang bergolak politik dan pentadbiran negara. Dalam krisis yang rumit ini ada warga Malaysia yang benci dengan tindakan Arab Saudi
 dalam usahanya mencuba 
menangani masaalah antarabangsa yang melibatkan
 kepentingan beberapa pihak. Isu Syiah/Sunni, isu Yahudi / Iran, isu Amerika vis-a vis kepentingan kuasa dunia, semuanya nampak bercampur aduk bagi mereka yang tidak memahami hal sebenarnya.
Saya pun begitu. Maka saya hanya berdoa apa jua yang dipertelingkahkan, 
Allah akan memberi kemenangan dipihak yang BENAR.
Tetapi kemenangan tidak akan datang menggolek walaupun di pihak yang benar. Usaha peningkatan pengabdian pada yang Maha Berkuasa amat perlu.
Allah maha Melihat dan maha Mengetahui yang nampak dan yang tersembunyi. Manusia harus yakin bahawa Allah tidak akan menzalimi mereka yang berpegang teguh pada TaliNya. 
Yang Benar tetap Benar, yang Batil tetap Batil.
WaAllahu'alam.




Kami ke Hadramawt Kitchen meraikan anak teman akrab yang mengadakan majlis perkahwinanan anaknya di situ. Sangat baik hidangan makanan dan ramai pengunjunyang tidak saya jangkakan.

Teman akrab suami saya ini ramai tetamu dari keturunan Arab. Ia lama di negara Arab menutut ilmu dan selepas itu berhubung dengan kekawan di sana kerana perniagaan. Itu yang saya tahu. Ustaz Farid namanya.
Alhamdulullah,....walaupun sudah lama berjauhan kami masih dapat menghubungkan silaturahim demi kesejahteraan ummah.
Semoga hubungan baik kami berterusan di bawah naungan 
taufik dan hidayah  dari Allah jua.


.......

Saturday, March 25, 2017

Kali ini lega......




Bermula sebulan lalu saya dapat semula mengambil 
perkhidmatan pembantu rumah secara sambilan. Ia datang
 dua atau tiga kali seminggu.

Alhamdulullah .... bilik cucu saya kelihatan teratur
 buat beberapa kali seminggu.
Dapatlah Mamanya memberi contoh padanya alangkah baiknya
 jika bilik bersih dan teratur.
Selalu sahaja kita di sindir dalam WhatsApp betapa anak-anak
 orang Jepun diajar membuat kerja pembersihan tanpa pertolongan orang dewasa. Orang Malaysia dikatakan kurang peka 
dan kurang peduli.
Maka saya pun kempen pada keluarga untuk mencontohi
 apa yang sepaturnya.

Nenek-nenek kita dahulu punya keperhatinan untuk mengemas rumah. Generasi sekarang sudah mula meninggalkan warisan itu.
Mengapa ye?

Saya rasa kerana kini sudah terlalu banyak budaya lepak dan
hiburan yang membuat anak-anak muda
kurang minat tinggal di rumah semasa hujung minggu
 atau cuti-cuti am.
Maka saya berharap selain ibu-bapa, usaha dakwah ustaz dan ustazah dan ahli-ahli pendidik amnya  dapay
menyedarkan akan hakikat pentingnya kebersihan
 dalam hidup harian kita.

Ini pemerhatian saya.
 Saya rasa kecewa secara umumnya generasi muda sekarang
 tidak seperti saya dahulu.
Mungkin kerana saya dilatih bekerja kuat sebagai keluarga
 pendatang dan tidak banyak masa terluang untuk lepak 
dan mencari hiburan.
Bentuk hiburan generasi  dulu setakat main berbagai mainan 
ciptaan sendiri di sekeliling rumah. Kami tidak pergi jauh.

Semoga kelainan budaya generasi sekarang tidak
 merugikan wawasan secara jangka panjang. Saya masih dengan 
cara dahulu juga. Sudah sebati kini sudah dewasa tua.
Iaitu kerja kuat sebelum bermain dan berehat.


Sampai di sini dahulu.


.....

Wednesday, March 22, 2017

Dia pun Cina.....





Ini cucu saya dari Amirul dan Siti. Ammani namanya. Ia berumur 5 tahun Datuk nya seorang Cina Malaysia. Maka Ammani dikira Cina lah.

Dia pun Cina.

Saya rasa ramai di Malaysia ini yang sama status dengan Ammani. Maka saya adalah antara orang yang tidak fanatik siapa Melayu, siapa Cina, siapa mamak dan siapa India atau lain-lain. Allah dalam alQuran pun telah memberi sebab mengapa Allah mencipta berbagai rupa bangsa untuk menghuni muka bumi ini. Tujuannya ialah supaya semua penghuni dunia mengenali satu sama lain dan mengerti dan menghayati kekuasaan dan limpah kurniaan yang ada pada Allah swt, yang Maha Pencipta. Walau apa pun rupa kulit dan keturunan kita, Allah menghendaki kita patuh pada segala peraturan yang di fardhukan atas kita. Bukan untuk Melayu sahaja. Tetapi untuk semua umat manusia di muka bumi ini.


Maka mengapa kita perlau gaduh keturunan apa kita ini.



Saya pun bukan "Melayu" asli. Saya keturunan pendatang dari Tanah Jawa.(Pekat Jawa). Arwah bapak saya bekerja kuat untuk menetap secara bermarwah di negara ini. Apalah sangat beza nya manusia. Kita bukan keturunan "APE" atau "orang Utan" seperti kata Darwin. Kita keturunan Nabi Adam, kemudian Nabi Nuh AS. 

Yang penting kita beriman dan bertaqwa mengikut apa yang di tuntut oleh AlQuran dan apa yang diajarkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahualaihi wasalam.

Saya kekadang rasa pening mendengari  orang-orang dan sahabat-sahabat sekeliling saya asyik mahu bercerita tentang Bangsa Melayu di Malaysia yang kini didakwa bangsa yang sudah jadi BANGSAT. Saya berpendapat bukan bangsa Melayu sahaja yang bangsat di negaranya sendiri. Cuba kita lihat sekeliling, di luar perbatasan negara internasional. Saya bukan ahli politik dan bukan ahli sejarah. Maka lihat sendiri apa yang terjadi pada sesetengah kaum di negara tempat mereka dilahirkan. 


Saya berpendapat kita (Melayu) jadi "bangsat" (Saya kurang setuju label ini) kerana kita tidak berpegang teguh pada Tali Allah SWT. Kita mengaku kita Islam tetapi kita pilih hukum yang sesuai bagi kita dan itu yang kita amalkan. Kita cari berbagai sebab musabab, barbagai dolak-daleh untuk tidak melaksana peraturan-peraturan yang disyariatkan .

Jangan salahkan bangsa lain yang menetap di negara kita ini atau sesiapa jua pun. Salahkan diri sendiri dahulu. Pemerintah kita majoritunya Melayu. Mengapa kita jadi begini?


Kita dikatakan bangsa yang jadi lalai, sombong bongkak dan mendabik dada. Banyak nilai-nilai murni dalam Islam yang dilanggar. Mana yang tidak betul tidak mahu dibetulkan. Saya tidak berhasrat mahu mengulang apa yang dikatakan oleh orang Melayu sendiri di luar sana. Kita harus periksa diri kita sendiri. Jika tidak maka sampai bila pun isu ini tidak akan ada kesudahannya.


Dengan rendah hati dan penuh keinsafan dan penyesalan, saya  berusaha bertekad memeriksa diri saya sendiri. Saya nampak di mana kekurangan dan kelemahan saya dan mungkin banyak lagi yang saya belum nampak betapa kerdilnya saya ini. Maka dengan bertambahnya umur saya cuba memperbaiki diri. Semoga Allah mengasihani saya dan menunjuki jalan yang benar. Saya perhatikan orang-orang di sekeliling saya untuk contoh dan iktibar dan saya cuba lihat diri saya dengan mata hati. Rata-rata kelemahan kita yang berat adalah kerana kita tidak berpegang teguh pada Islam. Kita tidak serious dan tidak sungguh-sungguh menjalani hidup secara Islam. Sejarah di luar sana pun telah menunjukan bagaimana kaum bersaudara berpecah belah dalam menjalani hidup  dan sentiasa dalam pertelingkahan. Di sesetengah negara, Pemimpin yang beriman dan bertaqwa pun dihukum dengan berbagai hukuman hingga hukuman mati. 


Sekarang ini pun orang islam menjadi kumpulan manusia yang menghadapi berbagai masaalah. Ini boleh dikira sebagai satu musibah dan boleh jadi ia satu ujian dari Allah. Apa jua yang kita mahu katakan dan boleh katakan apa sebab musababnya, yang pasti ialah Allah mahu kita kembqali padaNYA. Ayuh kita ikut jalan yang di redhaiNYA. Pasti kita hidup MULIA di Dunia dan di Akhirat dengan Rahmat Allah jua.

Tidak Bangsat........


Ayuh kita kembali jitu pada Jalan Allah. Jangan hanya mengaku Islam tetapi kita berpaling tadah pada ajaranNYA. (Saya berkata-kata pada diri saya). Saya sentiasa mengingatkan diri saya dan keluarga saya tentang hal ini kerana bila sampai di hadapan Mahkamah Agong di Hari Pembalasan nanti, kita tidak ada pembela setia. Kita bertanggongjawab atas diri kita sendiri. Maka kita berdoa semoga mendapat syufaat dan kita dapat berlepas diri dengan kehendak dan Rahmat Allah jua.

Yang saya faham, di hadapan Mahkamah Allah kita tidak akan di soal kita ini bangsa apa dan keturunan siapa. Semua soalan adalah berkaitan dengan Akidah kita dan amalan soleh kita. Semuanya berkisar atas deen Islam. Jika kita berpegang teguh dengan Islam, maka Bangsa Melayu dengan sedirinya terbela. Allah akan membuka jalan untuk kejayaan kita bangsa Melayu. Allah akan mudahkan segala usaha kita membina bangsa Melayu dan dalam masa yang sama kita membina Ummah. Kesatuan Ummah adalah matlamat kita akhirnya, patuh pada Allah swt dan bukan selainnya.  Maka saya berpendapat dan berdoa semoga kita tidak disibukan dengan soalan bangsa dan keturunan (yang tidak mendekatkan kita pada Allah) hingga kita tiada kesempatan untuk ambil berat tentang soalan Iman dan Taqwa. Kata Ustaz Iman dan Taqwa adalah asas utama pada semua tindakan kita dalam usaha mencari redha Allah. 

Ayuh kita fikir-fikirkan semoga kita sentiasa di landasan yang BENAR. Semoga kita tidak kecundang, semoga Allah akan menurunkan PertolonganNYA.


Mohon keampunan MU ya Rabb....
Kami mohon Petunjuk dan Hidayah MU dan peliharalah kami dari menjadi hamba yang sesat dan Zalim. Jadikanlah kami hamba-hamba yang Mulia di sisi MU dan dapat kurnia menjadi penguni Syurga Firdaus Mu tanpa hisab dengan semua yang kami sayang. Dengan RahmatMu semata-mata.

Aamiin ya Rabb....



.......

Monday, March 20, 2017

Mencabar minda OKU......





Alhamdulillah, pagi ini saya dapat menulis sedikit. Kelmarin petang hujan amat lebat dan suami serta saya pulang dari Wangsa Maju memandu kereta lama rasa khuatir tidak dapat melepasi air yang bertakung di perenggan jalan dan kadang kala deras mengalir. Sepertinya kereta saya boleh hanyut......


Alhamdulillah, kami selamat sampai.


Selepas berehat saya lihat fon dan baca anak saya mengirim foto Ujai seperti di sebelah kiri ini. Dia jatuh semasa di sekolah lebih seminggu yang lalu dan tangan kanannya retak sedikit tulangmnya. Kelihatan kesakitan semasa dia menunggu doktor untuk rawatan.


Saya suka cerita perihal karenahnya kerana Ujai anak istimewa yang dengan mudah dikategorikan OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kalau tidak ada kad OKU dia tidak dapat masuk sekolah khas dan mendapat terepi khas. Dia secara teknikalnya ADHD. (Attention Deficient Hyperaktive Disorder).





Dia sentiasa aktif dan ayahnya suka membawanya ke apa jua acara yang membuat dia teruja dan dan dia dapat menguji kebolehannya. Di sini kelihatan dia bersama ayahnya dalam majlis perasmian Sukan SEA yang akan di adakan di Kuala Lumpur. Kata ayahnya berfoto dengan mascot sukan membuat ia amat seronok dan nak tayang pada saya, Embahnya.
Dia selalu riang dan pada saya dia tidak rasa dia OKU






Ini Ujai dengan ayahnya, menguji basikal yang ada dalam pelancaran hari itu.
Ujai boleh berlari laju dan kata gurunya ia berbakat untuk menjadi ahli sukan dalam kategori yang ia suka. Ibunya kata ia ingin menghantar Ujai ke tempat di mana ia boleh mendapat latihan professional.


Ini satu alternatif bagaimana mahu mendidik dia menjadi dewasa yang berketerampilan dan berjati diri supaya tidak bergantung
 pada ibu bapa sahaja.
Ujai suka aktiviti yang lasak. Untuk hal-hal akademik
 dia kurang minat. Dia tidak mampu menumpu perhatian
 seperti anak-anak yang normal. Namun dengan terepi yang anak saya aturkan, Ujai menampakan hasil yang makin hari makin positif. 
Alhamdulillah. Semoga berterusan....


Usaha terepi adalah usaha yang memerlukan belanja yang mahal.
 Anak saya tidak mampu buat semuanya. 
Pihak kerajaan hanya memberi rm150 sebulan untuk semua tujuan.
 Kos untuk membangunkan minda dan bakat di sektor swasta untuk
 anak-anak istimewa boleh mencakupi hingga rm1,000 lebih sebulan untuk beberapa sessi. Tidak semua ibu bapa berkemampuan.


Allah tidak mencipta semua makhluknya serupa. Tetapi kita harus redha kerana tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia. Semua ada hikmahnya. 
Masyrakat harus memahami hakikat ini supaya tidak ada sesiapa yang rasa seperti tersingkir jika dilahirkan berbeza.


Allah tidak menzalimi hamba-hambanya. 
Allah maha Mengetahui dan maha Bijaksana.
Dan Rahmatnya melimpahi segalanya yang manusia tidak
dapat menilainya tanpa ilmu dan ketaqwaan.

Mohon Redha Mu ya Rabb...


.....

Sunday, March 19, 2017

...malang berseorangan....


Dua hari dulu saya ke Hospital Shah Alam. Hospital baru
 yang tersergam indah.
Saya ke sana untuk ziarah anak jiran saya di Kg Parit Semerah pontian suatu masa dahulu. Kini kami sudah tinggal berjauhan. 
Tinggal anak cucu sahaja yang ada.
 Alhamdulilah kami masih berhubungan dan semangat kejiranan
 masih saya hargai.





Kami datang berenam dan kami angkatkan doa yang diketuai
 oleh teman kami, seorang Ustazah.
Saya rasa sayu mendengari cerita adiknya, ahli qariah Kg Tunku Petaling Jaya di mana saya berjiranan sekarang. 
Kami diceritakan bahawa abangnya memandu berseorangan dan baru keluar dari Masjid kerana solat zohor untuk mengambil anaknya di sekolah. Waris hanya mendapat panggilan talipon mengatakan 
abangnya kemalangan dan kini ada dihospital.

Agak cemas mendapat berita itu kerana tidak tahu di hospital mana. Untuk pendekan cerita abangnya ada di Hospital Shah Alam tetapi tidak tahu siapa yang menghantarnya. Pihak hospital hanya mendapat panggilan kecemasan untuk menghantar sebuah Ambulan kerana kemalangan jalan raya.

Kami ambil iktibar. Kata pepatah Melayu: Malang tidak berbau.
Sebab itu ustaz selalu berpesan dalam majlis Ilmu supaya kita harus sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan beringat-ingat bahawa Takdir Allah boleh datang sekelip mata.
Kini pesakit masih koma dan semasa kami ziarah ia hanya bergerak sedikit-sedikit. Semasa saya menulis ia belum lagi sedarkan diri.

Dia Kaki Masjid, kata adiknya. Alhamdulillah.
 Semoga Allah melimpahkan kasih sayangNya yang tidak terhingga dan semoga Allah mudahkan waris terdekatnya 
menjaga hingga pulih. 
Kami mendoakan yang terbaik baginya.

Hadith ada mengatakan jika kita menziarahi orang sakit, beribu 
Malaikat akan berkumpul sama mendoakan kesejahteraannya.
Allah menggugurkan dosa-dosanya kerana kesakitannya. Dan Allah juga menggugurkan dosa-dosa orang-orang yang menziarahinya.
 Semoga ziarah kami Allah berkati dan apa pun kesudahannya, kami berdoa dapat bertemu kembali di syurga FirdausNYA tanpa hisab
Aamiin ya Rabb...


......

Friday, March 17, 2017

Dia Bakhil......


Saya mendengari cerita anak-anak sekarang.
Ramai yang baik dan bertanggong jawab Tetapi masih ada 
yang punya sifat-sifat  negatif 
yang tidak menguntungkan dirinya atau sesiapa pun.
Namun ini bukan bererti seseorang itu sempurna dalam segalanya. Tiada manusia yang terus berstatus sempurna tanpa melalui berbagai ujian dan peringatan. Cuma setiap kita harus bersifat rendah diri dan mahu mendengari nasihat dari siapa jua. 
Seperti yang dituntut oleh Al Quran, IQRA' itu mesti.
Dari situ kita mendapat banyak Ilmu, Ilmu yang Benar dan
 yang boleh di munafaatkan.


Saya mengingatkan diri saya dan anak-anak saya supaya jangan kedekut dengan ibu bapa dan semua ahli keluarga. Malah jangan kedekut dengan sesipa jua yang memerlukan. Al Quran guna perkataan 'bakhil'. 
Ini sifat yang tidak wajar ada dalam diri sesiapa pun.


Dalam umur saya yang makin hari makin sedikit bakinya, saya selalu teringat cerita seorang teman akrab yang mengadukan hal perihal seorang anaknya itu seperti am t berkira dengannya. Kedekut....., ia berkata 
dengan linangan air mata.
Tersimpan di hati saya yang dia tidak murah hati dengan ibunya pun. Amat berkira-kira tentang siapa yang punya itu
 dan siapa yang punya ini.
Bila ibunya tua saya mendapat tahu ia jarang sekali  mahu berziarah dan mengurus ibunya yang terlantar. Semunya dibuat oleh pembantu rumah ibunya. Oleh kerana ia tidak mahu membantu memberi tambahan
 gaji atas tugasan yang rumit,
 maka selalu sahaja pembantu itu lari dan meninggalkan ibunya
 yang hanya bergatung pada bapanya 
yang juga telah tua dan uzur.
Semoga dia tidak dikira durhaka, na'uzubilah.....


Sayugia kita tidak ambil ringan soal durhaka. Kalau tidak hormat dan kedekut dengan emak dan bapa tiri sekalipun, ia boleh dikira 
sebagai durhaka. Terutamanya jika merekalah yang 
membesarkan dan mendidik kita.
Allahu'alam.


Di bawah ini suatu peringatan saya terjumpa dicarian google.


Image result for foto orang bakhil or kedekut

Image result for foto orang bakhil or kedekut



Sudah banyak nasihat dan peringatan dari ustaz dan mereka yang
 ambil peduli tentang kesejahteraan keluarga,
 masyarakat dan negara.
Ramai orang yang kaya-raya tetapi masih bakhil. Saya berpendapat ini akibat mereka tidak mahu mencari Ilmu mengenai Allah, Tuhan Yang maha Pencipta dan juga RasuluNya. Orang yang bakhil selalunya bermegah-megah  
bahawa dialah yang pandai dan rajin maka sebab itu dia kaya. 
 Maka  dia rasa tidak perlu dia berkongsi.


Ahirnya dia yang rugi tetapi tidak pernah menyedari.
WaAllahu'alam.


......

Thursday, March 16, 2017

Ketagih bermusafir.......


Kebelakangan ini saya sudah tidak bersemangat hendak bermusafir melihat negara orang. Mungkin kerana faktor umur. Mungkin juga kerana faktor lain yang saya tidak pasti apa. Cuma saya rasa saya tidak seperti "ketagih" hendaka keluar makan angin.

Sememangnya kita digalakan  bermusafir untuk melihat sendiri kebesaran dan kekuasaan Allah swt. Maka apabila suami saya ajak bermusafir ke Australia saya setuju walaupun tidak rasa teruja. Bukan tidak bersyukur tetapi rasa biasa sahaja.

Dalam tahun 2012, suami dan saya bersama adik ipar nya serta sepepunya bermusafir ke Adelaide dan Melbourne. Di Adelaide kami tinggal di rumah seorang anak saudara suami yang sudah menetap tinggal di sana. Di bawah ini sedikit ingatan semula apa yang kami selusuri di Adelaide terutamanya yang mana kami tinggal dan bersantai selama seminggu.






Ini adalah foto burung yang unik dan haiwan yang menarik perhatian.






Di atas ini sebahagian dari tumbuhan-tumbuhan yang kami rasa ada persamaan dan ada perbezaan yang mengkagumkan kami. Saya rakam untuk di hayati anak cucu.
Cuma saya tidak ambil perhatian mencari namanya.


Bila ketagih bermusafir suami saya ajak pergi ziarah anak saudaranya sekali lagi. Kali ini dia di Perth. Oleh kerana kami mencari tambang murah maka in sya Allah kami akan ke sana awal September ini.

Begitulah karenah kaun warga emas. Dalam kederat yang 
banyak kekurangan, masih ada kegemaran
 berjalan-jalan cari makan....oooops, cari pengalaman. 
Semoga ada sesuatu yang akan kami alami. Di mana jua kita berada,
 cuba melihat sesuatu dengan mata hati. Menghayati kebesaran dan
 kekuasaan Allah juga harus dilakukan melalui alam yang terbentang luas
 yang Allah cipta khas untuk kesenangan kehidupan manusia.

Sekarang ini suami saya "ketagih" berjalan-jalan makan angin. Dia pilih Ausrealia.Kali ini hanya suami dan saya sahaja dan di sana nanti anak saudara yang akan memani kami di waktu-waktu yang dia tidak sibuk bekerja.
Ini adalah perancangan, Allah sahaja yang maha Menentukan.
Semoga Allah kurnia kenyataan yang indah sebagai wasilah memahami dengan mendalam lagi hakikat kewujudannya yang Esa dan mengapa kita diciptakannya.


Subhanallah, Allahuakbar.


......

Monday, March 13, 2017

Ngapa pilih Giant .. ??




Saya bukan peminat Giant tegar. Saya bukan peminat mana-mana store berjenama di Malaysia ini. Cuma hari ini saya ingin cerita betapa saya berubah pilihan semasa membeli barang-barang keperluan rumah dan keperluan dapur. Sudah 3 minggu saya tidak membeli barang kesemuanya sekali. Saya membeli runcit. Anak yang tinggal dengan saya mengurus pembelian-pembelian yang mengikut keperluan  berasaskan keutamaan.

Agak terkejut saya melihat harga barang-barang tidak seperti dahulu. Dahulu saya memilih barang mengikut jenama yang saya rasa selesa apabila menggunakannya dari segi kualiti dan keselamatan. Kali ini saya bertukar strategy.

Saya beli banyak barangan berjenama Giant yang saya perhatikan lebih murah secara bandingan. Saya tidak tahu struktur harga barang-barang di tempat lain kerana saya hanya membeli dari Giant. Hanya sesekali saya membeli di Mydin apabila saya berada di Tangkak, Johore tempat saya membangunkan Tadika SmarTop Subur Fitrah yang saya sering ceritakan di sini.  Saya ke Jasin untuk berbelanja di Mydin. Di kawasan perumahan saya di SS1 Petaling Jaya tidak ada Mydin, maka saya hanya ke Giant.

Bukan Giant yang menjadi pokok cerita di sini. Tetapi sekarang ini dengan wang pencen saya yang terhad saya terpaksa berhati-hati membeli barang. Pastinya mereka yang berpendapatan kurang dari saya merasai bebanan hidup yang harus dilalui sekarang. 

Di manakah penyelesaiannya.

Tunggu PRU 14 kata beberapa teman di sekeliling saya. Saya kurang yakin itu akan menyelsaikan segalanya. Dan saya tidak hairan jika masaalah akan menjadi lebih besar. Semoga Allah menurunkan pertolonganNya.

Ada ustaz yang mengatakan bahawa punca timbul pancaroba dan musibah yang melanda sesuatu kaum atau tempat ialah kerana kaum itu tidak ambil peduli arahan amal makruf dan nahi mungkar yang dituntut oleh Allah dalam alQuran. Ujian Allah datang dalam berbagai bentuk. 

Semoga kita semua, termasuk kepimpinan negara kita menyedari hakikat ini. Rezeki dan apa jua kebaikan dari Allah tidak datang menggolek. Doa, Usaha dan doa harus dilakukan untuk mengundang pertolongan dari Allah. Jika sudah berusaha dan berdoa, kita tawakal padaNya.

Ayuh kita kembali pada Jalan yang BENAR, jalan yang termaktub dalam alQuran Dan Hadith.

Mohon keampunan Mu Ya Rabb.....


......

Saturday, March 11, 2017

Aku Wanita......

Image result for Logo hari wanita sedunia







Sempena Hari Wanita Sedunia seorang teman saya mengirimkan satu mesej di Whatsapp seperti di bawah ini:





Engkau diciptakan sebagai pasangan kepada jejaka
Pelengkap keinsanan dan kelelakiannya
Di dalam dirimu ada sakinah buatnya
Mawaddahmu penenang jiwanya
Rahmahmu penambat hatinya
Hikmahmu pembuka mindanya
Kelembutanmu mencairkan egonya
Bicaramu penghibur laranya
Layananmu pengikat cintanya
Justeru....
Usah  kau rebut kerusi takhtanya
Usah kau rampas mimpi indahnya
Usah kau cabar sifat qawwamnya
Jadilah engkau wanita mulia
Seperti Hawwa di sisi Adamnya
Seperti Sarah di sisi Ibrahimnya
Seperti Khadijah di sisi Muhammadnya
Bahu membahu melakar sejarah
Membina ummah membangun hadharah
Memacu dunia berasaskan khilafah
Alam dan manusia kan dilimpahi rahmah


Engkau dan jejakamu berpimpin tangan menuju jannah

Duhai Wanita...dipetik dari FB Maznah Daud.

Dalam pada itu saya terbaca juga penulisan Ustaz Pharol Muhammad Juoi     dalam blognya GENTA RASA yang menulis "PESAN UNTUK SUAMI". Saya hanya mampu berfikir-fikir. Bukan untuk berfikir kritis tetapi berfikir belatar belakangkan apa yang sedikit sebanyak diketahui dari kelas pengajian ustaz-ustaz dan bacaan sendiri mengaenai perbezaan dan tanggong jawab anatra suami dan isteri.

Kata putus terletak pada diri sendiri kerana hanya diri yang mengenali diri. Tidak perlu prejudis tentang hal orang lain. Apa jua bicara dalam hal ini tidak akan memberi kepuasan semua pihak melainkan jika nafsu diri dan fikiran di minda mendapat bimbingan petunjuk dan hidayah dari Allah swt, yang maha Pencipta dan DIA maha tahu rasa di hati dan dan apa yang terkesan didada. Namun kita harus berilmu dan berusaha mengundang taufik da hidayah dari Allah. Dan kita harus berfikir dan bertindak akhirnya dalam ruang lingkup mentauhidkan Allah.

Renungkan firman Allah yang berikut ini:

A050

Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).
(Al-Qasas 28:50


Maka saya "mirip mendengari" dan tertarik pada apa yang saya temui di alam maya di bawah ini. Walaupun masih banyak yang perlu diteliti, sekali imbas ia ada membawa erti. 


Image result for islamic quotes about love

(BUT EVEN IF YOU HAVE SOMEONE, ALLAH IS STILL THE ONE)

Kebergantungan kita hanya pada Allah swt semata-mata. 
Tiada yang lain darinya. 
Dan jika kita bertekad kuat untuk membuat amal makruf dan nahi mungkar, maka pastinya ada titik pertemuan dalam kehidupan ini.
 Allah maha mengetahui apa yang nyata dan apa yang tersembunyi.
Allah maha Bijaksana dan
 maha Kasih Sayang pada semua hamba-hambanya.
Allah tidak menzalimi semua CiptaanNya.
Dan kita ke Syurga dengan limpah RahmatNya.


Allahu'alam.
......
Related Posts with Thumbnails