"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, January 31, 2019

Hampir tidak kenal Batu Pahat......



Saya pinjam kereta anak saya untuk ke Tangkak dan Batu Pahat.



Saya lahir dan membesar di Pontian Johor. Maka Batu Pahat adalah bandar dalam laluan ke Kuala Lumpur. Sebelum wujud Lebuhraya Utara Selatan saya pasti ikut Batu Pahat untuk balik kampung jika memandu sendiri. Itu jalan yang terdekat.

Saya tiada saudara- mara di daerah Batu Pahat. Maka sejak ada Lebuh Raya saya tidak lagi menjenguk Batu Pahat. Minggu lepas saya dan teman akrab beserta suami pergi ke Batu Pahat setelah selesai urusan di Tangkak untuk ziarah anak teman saya yang sakit agak tenat.

Terpinga-pinga saya dan seperti sudah tidak kenal lagi bandar yang saya sering lalui lebih 10 tahun yang lalu. Sudah terbina banyak Hotel dan dengan google kami mengambil masa untuk memilih yang kami mampu untuk bermalam. Alhamdulillah akhirnya kami tinggal di Krystal Inn. Kecil tetapi selesa. Bersyukur Allah kurnia kemudahan di umur emas ini.




Esuknya kami putar-putar melihat perubahan yang ada. Teman saya tidak hairan sebab mereka selalu datang kerana menziarahi cucu-cucujnya di sana. Suami saya sering kepenatan dan kami mencari tempat sesuai untuk berehat. Kami ke Aeon Mall melihat-lihat cara warga emsa. Kami "Ngopi" saje sambil melihat orang Batu Pahat sibuk membeli belah.

Di bawah ini foto teman saya di DAGAN Rengit Coffee. Saya rakam untuk kenangan putar-putar bila tenaga sudah berkurangan. Kami minum Coffee Rengit. Sedap boleh rekomen.

Yang membuat saya teruja ialah berbagai bentuk kerusi untuk pelanggan duduk. Saya suka yang fotonya saya rakam di bawah ini. Unik dan kreatif..........



Selepas kepenatan rasa seronok  kami dijemput  makan di rumah besan teman saya. Besan sekeluarga yang menjaga menantu teman saya ini. Amat peramah dan kami rasa amat selesa. Tuan rumah berbaju merah dan isterinya duduk di hadapannya. Alhamdulillah kami disajikan makan tengah hari yang lumayan. Sudah lama saya tidak bermesra dengan orang di kampung dan rasa ia sebuah nostalgia. Budaya kami di Johor ialah sesiapa yang ziarah di rumah maka tetamu akan dihidangkan makanan berat-berat. Nasi sudah pasti. Keluarga ini adalah katerer maka hidangan berbagai rasa disajikan. Alhamdulillah. Rezeki itu Allah yang tentukan. Bersyukur atas apa jua nikamt yang Allah beri. Tidak kira rupa dan warna. Nimat barokah yang utama.


Itulah kenangan sehari di Batu Pahat. Di umur dewasa tua ini, kami tidak ambil ringan segala yang kami lalui. Amat bersyukur masih dikurnia ruang untuk ziarah saudara yang sakit. Kami bincang apa yang harus diikhtiarkan kerana sakit kanser sudah agak lanjut. Apa pun Allah yang maha Pengasih Penyayang dan Allah sahaja yang maha menentukan. Semoga Allah kurnia yang terbaik disisiNya  bagi anak teman saya ini. Sama-sama keluarga mencari ikhtiar untuk rawatan alternatif. Semoga kesampaian.

Mohon kasih sayang MU ya Rabb.......

................

Tuesday, January 29, 2019

Biar PH tumbang.....@bicara minda.




foto di bawah ehsan carian google.
Image result for foto pohon tumbang

Ibarat pokok digoncang hingga tumbang....sekuat ribut taufan tiada pengecualian.

Entry ini hanya menguji fikiran sendiri mencari pencerahan.......
Apa yang saya kata di bawah ini pasti ada yang betul dan ada yang tidak betul.

Biar PH tumbang...biar tersungkur...PH kita jatuhkan.
Tersentuh sedikit saya membaca dan mendengari kata-kata seperti itu.
Saya bukan orang politik dan bukan peminat tegar PH walaupun
 saya turut mengundi PH di PRU14.
Waktu itu saya lebih memikirkan untuk pilih "the lesser evil"....
Banyak faktor lain yang saya kira boleh ditangani selepas masaalah
yang terbesar di singkirkan.

Saya selalu berharap kita dapat berfikiran positif.

Saya bukan mengatakan berfikiran positif itu bererti  kita semua
sokong PH mati-matian.  Tidak.....bukan begitu. 
Saya suka mengingat kembali cara Rasulullah saw 
berjuang menegakan Kebenaran, mentauhidkan Allah swt.
 Baginda berjiwa besar.  Semasa berdakwah di Taif, Baginda dicederakan,
dihina dan dizalimi hingga para Malaikat meminta kebenaran Allah swt untuk 
membalas balik tindakan pihak kuffar yang ganas itu.
 Kata Malaikat (yang bermaksud): 
Ya Rasulullah mahukah aku hempap mereka ini dengan
 gunung ganang yang ada ini?
Rasulullah berkata (yang bermaksud) Tidak, jangan begitu.
 Mungkin nanti di masa hadapan ada keturunan mereka yang
 akan menyembah Allah swt.
 Aku yakin kerana tiada Tuhan yang lain yang layak disembah.

Dan Rasulullah saw terus berjuang menegakan agama Allah disokong
 bersungguh-sungguh oleh para sahabat
 dan pejuang-pejuang yang beriman dan bertaqwa.

Kita ikut juga contoh Nabi Ibrahim AS semasa cuba menerangkan pada
kaum yang jahil bahawa patung-patung berhala itu tidak membawa
 munafaat pada sesiapa.
Baginda tidak memecahkan kesemua patung. Bila dituduh oleh kaumnya,
 Baginda kata tanyakan pada patung yang ada itu siapa yang merosakan
 berhala mereka. Pastinya patung itu tidak menjawab.
Nyata Nabi Ibrahim AS amat bijaksana menangani isu dihadapannya.

Saya menyedari kelemahan saya sendiri...tidak bijak dan tidak bijaksana.
Rasa sentiasa khuatir nanti kita heboh menegakan kebenaran masing-masing
 di sana sini, diakar umbi kita kecundang.

Saya mengharapkan semua rakyat yang mencintai keselamatan negara,
pembangunan dan kemajuan ekonomi yang membela taraf hidup rakyat,
serta menjunjung keluhuran Perlembagaan dan menegakan Kebenaran Islam
dapat merenung sejenak dan melihat semula cara berfikiran
 dan cara bertindak  dalam isu mahu kaum Melayu
menerajui kepimpinan dan mahu Islam menjadi agama 
rasmi yang tidak lagi dapat dipertikaikan dan tidak boleh dipersoalkan.

Inilah harapan saya dan sering berdoa semoga Allah selamatkan Malaysia
tidak kira siapa jua yang menerajui kepimpinan negara.

Saya berfikir dalaman diri saya sendiri.
 Saya cuba contohi kata ustaz supaya kita nilai diri dengan teliti,
 total serta penuh ikhlas
 dengan tekad bahawa tujuan dan perjuangan hidup kita ialah semata-mata
 mahu menjunjung kebenaran alQuran dan Sunnah.
Bukan untuk kepentingan diri dan sesiapa jua serlain dari Allah.

Sejauh manakah  kita ini sudah berikhtiar, sudah mencuba sedaya upaya untuk maju 
dan berjaya tanpa sentiasa mengharapkan bantuan.
Sejauh manakah kita sudah benar-benar memahmi Islam dan
mempraktikannya setepat yang termungkin dan terdaya tanpa berbelah bagi
 dan tanpa iri hati. Sejauh manakah kita sudah bertindak sendiri menjemput
atau berdakwah pada yang belum Islam semoga memahami Islam.

Saya belum......saya mengakui ikhtiar tindakan saya belum sempurna.

Tetapi saya sudah mula menyedari hakikat bahawa kita jangan hanya
 berpidatu atau berbicara membangkit semangat yang boleh membuat
 seseorang lain  tersasar kerena kita sendiri
belum benar-benar memahami kehendak alQuran dan Sunnah.

Pada pendapat saya isu Melayu penting di Malaysia ini tetapi isu Melayu
 adalah sampingan sahaja disisi Allah swt. Isu Aqidah adalah terutama.
Allah cipatakan manusia
 berbagai rupa  dan warna dan berbagai budaya
supaya memahami satu sama lain dan bersama-sama menjalani
 hidup berasaskan  Paradigma Tauhid yang Allah sebut dalam alQuran.

Saya yakin hanya Islam yang dapat menyatukan manusia.
Kalau orang Melayu dapat benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam
 dan menunjukan contoh yang baik maka mereka yang belum memahaminya
akan terbuka hati untuk mengikutinya juga.
Dan yang bengis terhadap Islam akan rasa gentar
dan akan akur satu hari nanti.

Dengan kemenangan BN di Cameron HIghlands saya amat berharap
 ia tidak menjadi  pencetus medan untuk bermusuhan dan mendabik
 diri mengakui siapa yang lebih membela Islam.
Kita harus yakin Allah maha Memerhati.

Semoga kita tidak sentiasa bertelingkah sesama kita tanpa Ilmu yang Benar
 yang mencukupi dan sempurna. Kita sering lihat perbezaan yang kecil menjadi besar
 kerana tidak ada rasa persaudaraan dan tidak  suka memaafkan kesilapan.
Kita terus mengungkit hal-hal yang
 telah lalu tanpa memberi ruang untuk membetulkan kesilapan dan mencari
serta memperkuat persamaan yang Benar.
Kalau kita bertalu-talu mempertikai perbezaan yang kecil-kecil maka
syaitan akan menyesatkan kita.
Maka sampai bila pun kita tidak akan dapat bersatu dan
 sampai bila pun kita tidak
akan dapat menegakan Kebenaran yang Allah swt tuntut atas diri kita.

WaAllahu'lam.
Semoga kita mendapat Hidayah dan TaufikNYA.


................

Monday, January 28, 2019

Amru Fathullah kini lima tahun.....





Alhamdulillah apa jua yang berlalu di sekeliling saya, saya tetap ingat dua orang cucu ini yang tinggal bersama. Bukan tidak ingat yang lainnya, tetapi yang dua ini sangat menuntut kesabaran setiap hari saya berhadapan dengan mereka.

Alhamdulillah Allah kurnia kesempatan menghadapi karenah anak-anak kecil yang membuat saya rasa lebih peduli kerana saya ingat bahawa saya ada tanggong jawab bersama mengurus Taska dan Tadika SmarTop Subur Fitrah di bandar Tangkak Johor yang sering saya ceritakan di sini. Mendidik anak-anak seperti ini bukan suatu yang mudah. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalanNya.


Amru kina berumur lima tahun pada 24 Januari yang lalu. Dia agak lambat bertutur. Walaupun ini satu kelemahan tetapi Allah kurnia kesabaran pada kami berusaha setiap hari berturtur semoga ia dapat mengingati perkataan-perkataan baru. Taska dan Tadika yang dihadiri juga amat peka akan anak-anak seperti ini dan kami alhamdulillah dapat memunafaatkan kehadirannya di situ.

Ujian Allah turun dalam berbagai rupa dan warna. Semoga kesemuanya adalah suartu yang positif buat kami melalui hidup ini. Pada Allah tiada bezanya anatara yang sempurna sifat-sifatnya atau yang kurang sempurna kesemuanya. Allah melihat mereka yang mengurusnya. Ditakdirkan juga dua lagi cucu saya yang Allah uji dengan ADHD dan Otisma.Semoga kesemua ini akan menjadikan kami lebih bersabar dan menghayati kebesaran dan kekuasan Allah jua. Dia yang maha Bijaksana, maha Adil dan maha Mengasihani. Kita yang perlu melihatnya dengan mata hati. Semoga Allah kurnia keimanan dan taqwa yang sempurna hingga ke akhir hayat dan semoga kita mendapat pembelaanNya di hari di mana tiada siapa lain yang peduli buat kita.
Aamiin ya Rabb....


.............

Counting down.....






Semua ciptaan Allah ada akhirnya.....

Sampailah masanya kami kehilangan beberapa teman-teman akrab dalam jemaah kecil kami yang terdiri dari teman sebaya di sekolah, university dan perkhidmatan awam.

Seminggu yang lalu Jah Ramli kawan tersayang meninggalkan kami. Semoga Allah ampunkan dosa-dosanya dan dosa-dosa teteman yang sudah terdahulu dari kami dan dosa-dosa kami juga. Semoga kami berhimpun semula di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahmat Allah yang tidak terhingga.


Dua hari selepas Jah meninggalkan kami kami berhimpun satu jemaah kecil membaca alQuran 30 Juz untuk semua teteman tersayang. Semoga Allah terima amalan kami dan semoga sejahtera mereka di Alam Barzah. Semoga Allah kurnia kami juga keimanan dan taqwa yang sempurna bagi kami menunggu giliran.


Saya rakam foto untuk ingatan saya. Semoga dalam zon menanti ini kami akan terus berbuat sesuatu yang terbaik dari segi amalan yang boleh jadi bekalan menuju Destinasi yang tiada siapa dapat terkecuali. Buat saya terutamanya, semoga Allah masih kurnia umur yang bermunafaat kerana rasa banyak lagi hal yang belum selesai. Namun saya sering diingatkan selesai atau tidak selesai, sampai masanya Allah akan tentukan juga. Semoga saat itu nanti Allah telah redha dan Allah kurnia khusnul khatimah.

Semoga buat ingatan kita semua.
Mohon keampunan Mu ya Rabb.........


.......

Sunday, January 20, 2019

Rumah Persekutuan Kuala Lumpur @ Revisited.....







Lewat pagi hari Khamis saya menemani suami saya  ke Hospital UITM di Selayang. Selesai urusan di situ saya turuti pula kehendaknya untuk ke Federal House, Kuala Lumpur kerana ada urusan seorang teman di Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan. (Bangunan ini berhampiran dengan Masjid Negara).

Mendengari nama "Federal House" saya rasa teruja kerana di situlah saya bermula berurusan sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam di Kementerian Pendidikan. Sebelum itu saya bertugas di Jabatan Perdana Menteri di Jalan Dato Onn. Ini sejarah lama. Saya teringin berkongsi pengalaman bekerja waktu itu....seronok sendiri. Waktu itu saya berumur pertengahan duapuluhan, lebih empat puluh tahun yang lalu.


Waktu itu Kementerian Pendidikan ada menyewa di berbagai premis dan pejabat saya hampir dengan Rumah persekutruan ini, iaitu di Straits Trading Building berhampiran. Hanya berjalan 2 minit sampailah. Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Timbalan Menteri dan Menteri pendidikan juga di situ. Oleh kerana waktu itu saya ditugaskan melaksana projek-projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan yang lainnya termasuk maktab perguruan maka saya sering bermesyurat di situ. Kenangan kerja di situ selalu membuat saya senyum lebar dan saya bawa melawak apabila bercerita dengan anak-anak bila mereka dewasa. Di situlah Yb Timbalan Menteri pendidikan (keturunan Cina) melemparkan fail di muka saya kerana saya tidak berusaha kuat mendapatakan peruntukan kewangan yang mencukupi dari Bahagian Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Saya masih ingat Yb kata: Saya Menteri....ini yang saya dapat untuk sekolah Rendah Kebangsaan Cina? Saya bangun bersahaja ambil fail dan keluar. Saya laporkan pada YB Menteri Pendidikan waktu itu. YB hanya kata buat yang sepatutnya. Saya pegawai yang sangat junior maka saya tidak banyak bicara. Cuma saya tidak kecewa di lempar fail kerana saya tahu apa yang saya buat. Saya sudah merasai bahang perbezaan keturunan walaupun semuanya rakyat Malaysia. Tidak silap ingatan beberapa hari selepas itu saya dianggil semula dan saya katakan bahawa saya telah melapurkan kes pada EPU dan mereka telah menambah 1 juta ringgit. Beliau agak berpuas hati....sentyum dan ucap terima kasih pada saya. Saya senyum dan keluar pejabat.

Saya menjaga peruntukan kementerian mengenai projek pendidikan sekolah Cina selam 10 tahun. Banyak pahit manis yang saya lalui tetapi sekarang ini saya tiada kesalan kerana saya sudah menyedari waktu itu lagi apa kesannya atas perpaduan Negara. Hanya satu yang saya rasa agak terkilan kerana saya tidak merasai pentingnya orang Melayu belajar Bahasa Mandarin waktu itu.

Ada beberapa instant lain mengenai peranan saya dalam mengendali dasar pendidikan yang saya lalui tetapi saya tidak dapat cerita semuanya di sisi. Cuma saya rasa dasar waktu itu agak longgar. Saya pernah mencadangkan supaya perjanjian rasmi kerajaan mengenai Kolej Tunku Abd Rahman disemak semula kerana ia tidak jelas menjaga kepentingan dasar Pendidikan Negara. Cadangan saya didengar tetapi tiada kesan. Saya ingat Timbalan Menteri kata: Ngasobah jangan buat KTAR macam bola sepak....... Saya tidak kata apa dan hanya mengundurkan diri sahaja.


Cukuplah sedikit "nostalgia" yang saya cerita di atas. Education is my Passion. Sekarang ini saya membantu teman mengurus Tadika dan Taska  Subur Fitrah di Tangkak Johor dan cuba sedaya upaya memperkenal Mandarin pada anak-anak 5/6 tahun. Kami hanya minta anak-anak diajar lagu-lagu Mandarin untuk kanak-kanak.Tidak mudah mencari guru Mandarin. Maka usaha kami jadi "celap-celup" sahaja. Semoga Allah iktiraf usaha yang kerdil itu bahawa kami peka Umat Islam harus tahu bahasa sesuatu kaum jika mahu setanding dimata dunia dan selamat dunia akhirat.

Saya juga banyak cerita mengenai guru-guru Cina dan bahasa Mandarin vis-a-vis Bahasa Kebangsaan. Saya juga banyak cerita mengenai dasar pendidikan bahasa Arab dan yang berkaitan dengannya. Nanti satu masa kalau saya mendapat "mimpi" saya akan bercerita mengenainya.




Foto-foto di atas adalah keindahan landskap yang ada sekarang. Masa saya bekerja dahulu tidak secantik apa yang ada sekarang. Saya duduk melihat-lihat sahaja. Tetapi Kantin yang saya biasa kunjungi tidak banyak berubah. Belum standard koporat. Mungkin bangunan ini pun akan runtuh ditelan zaman melainkan Kerajaan mahu gazetkan sebagai banunan bersejarah dan membina dan mengubahsuai sewajarnya.

Hingga sampai disini sahaja. Insya Allah saya cerita lain mengikut kesesuaian masa dan keadaan.
Semoga Allah memelihara Malaysia.

..................


Friday, January 18, 2019

Kelihatan Gah Bangunan SPRM......



Suatu pagi saya berjalan santai dipinggir tasik di Putrajaya. 
Saya lihat bangunan yang warna hitam ini dari jauh. Berdetik di hati.
Itu bangunan baru SPRM.


Berdiri Gah dan menarik perhatian. Melihatnya pun saya sudah rasa Gerun. Dari kecil emak saya selalu menakut-nakutkan saya dengan Polis. Polis tangkap budak jahat katanya.
Tinggal di hujung  kampung jarang-jarang sekali nampak Polis.
 Maka itu kami kecil-kecil lagi memang takut dengan Polis.

Maka hingga dewasa tua ini saya tetap "takut" melihat Polis.
Seperti ada sahaja kesalahan yang berlaku yang hampir dengan saya.
Maka dengan adanya kisah-kisah Rakyat bersabit dengan SPRM, saya 
tetap rasa "Gerun". Entah mengapa.....

Dan saya agak hairan ada Rakyat Malaysia yang berani 
berhadapan dengan SPRM.
Agaknya cara kami dididik berlainan. Polis lambang penegak kebenaran. Semoga apa yang saya pegang dari kecil lagi akan terus menjadi kenyataan. Polis  (dan sekarang SPRM) 
adalah pembela kebenaran. Semoga Rakyat sentiasa dalam
 kelegaan kerana ada Pembela yang berani mempertahankan Kebenaran.

ini hanya renungan warga tua kampungan.
Allahua'lam.

..........

Tuesday, January 15, 2019

Kepedulian merentas generasi......







Teringat sebelum bersara kami diberi pendedahan perihal hidup dalam persaraan. Kata penceramah yang menulis thesis PHDnya mengenai kehidupan dalam persaraan mengatakan bahawa apabila bersara kita hendaklah fokus kepada cucu lebih dari fokus kepada anak-anak.

Sekarang saya mengerti kebenarannya. Anak-anak akan memberi alasan sentiasa sibuk. Tetapi jika kita memanjakan cucu-cucu, maka merekalah yang akan "mengheret" ibu bapa mereka ke rumah kita. Cucu-cucu rindu pada belaian kasih  tok dan nenek maka mereka meminta dan menagih supaya mereka di bawa balik kampung ziarah tok dan nenek. Beruntunglah mereka yang sentiasa dira'i anak cucu.

Dalam perkembangan kemajuan dunia, termasuk Malaysia, di mana hubungan keluarga makin lama makin longgar maka cucu-cuculah yang menjadi ibarat tali pengikat jalinan kasih dalam keluarga kecil dan keluarga besar.


Tetapi ini sebenarnya bukanlah suatu tugasan yang mudah bagi datuk dan nenek membentuk satu perancangan teratur dalam membina kesinambungan  membentuk akhlak dan silaturahim mengikut apa yang dilalui oleh datuk dan nenek. Di zaman perkembangan sains dan teknologi hasrat dan tugasan ini menjadi semakin rumit.

Fikiran saya dalam hal ini kekadang berbolak - balik. Terdetik di hati mengapa pula saya perlu peduli pada cucu-cucu kerana itu adalah tanggong jawab ibu dan bapa mereka. Sesetengah teteman berkata: kita sudah tua dan tidak seharusnya terbeban memikirkan masaalah cucu-cucu terutamanya jika mereka tinggal jauh dari kita. Ada yang tinggal di luar negara. Bagaimana kita dapat mempengaruhi pemikiran ibu dan ayahnya untuk mendidik anak-cucu mereka seperti apa yang telah diajarkan semasa mereka belum bertebaran merantau dan tinggal di luar negara. Sebenarnya saya amat khuatir pengaruh di luar negara akan menjadikan mereka terbabas dari landasan akhlak Islam yang ingin diterapkan. Sesetengah kekawan pula mengatakan: Jika mereka tinggal di negara asing yang ada kelumpuk masyarakat Islam maka kita tidak perlu bimbang. Entahlah....saya tetap bimbang.

Tetapi jika difikirkan dari sudut lain pula kita harus bertawakal dan berdoa. Benih yang baik jika dicampak kelaut akan timbul juga. Semoga demikian.

Sebenarnya apabila kita ingin bicara sedikit mengenai kepedulian merentas generasi kita harus bergantung juga pada pemimpin negara bagaimana mahu menentukan generasi akan datang dapat mengekalkan keharmonian keluarga dan negara dan lebih dari itu dapat membina dan membela generasi akan datang supaya lebih baik dari kita dan mereka dapat hidup setanding dengan rakyat negara lain yang sudah maju......atau lebih baik dari itu. Walaubagaimana pun apa  yang lebih penting ialah  bagaimana kita dapat membina dan membentuk generasi akan datang yang bolih bekerjasama antara satu sama lain, menghormati mereka yang harus dihormati seperti kaum tua dan pemimpin yang menegakan kebenaran tanpa kepentingan diri dan beberapa hal lagi.

Saya tidak perlu berkata banyak dalam hal ini kerana saya rasa ramai yang sudah medengari apa yang dikatakan di media massa mengenai apa yang Malaysia patut rancang dan laksana untuk mencapai taraf negara maju. Tetapi harus kita berwaspada bahawa kemajuan fisikal sahaja tidak akan menjamin keharmonian dan kesejahteraa yang berterusan dan berkekalan. Yang sama pentingnya atau sewajarnya lebih penting ialah kesejahteraan mental dan spritual. Adalah tanggungjawab setiap individu untuk mencari erti Kebenaran dalam hidup yang dapat menjadi asas kepada segala tindakan dalam gelagat harian kita yang dapat menjamin  kesejahteraan yang total hingga ke akhir hayat. Bagi mereka yang sudah dapat mengenali dan merasai kesejahteraan ini harus memberi kefahaman kepada mereka yang belum. Allah mencipta manusia berbagai warna dan kebudayaan bukan untuk bermusuhan tetapi untuk mengenali satu sama lain dan hidup dalam ruang lingkup mentauhidkan Tuhan . Jika belum sampai ke tahap itu setiap kita harus terus berbuat sesuatu dengan apa jua kemampuan yang ada supaya siapa sahaja yang ada di sekeliling kita akan memahami erti hidup dan mengapa kita di cipta untuk hidup. Semoga kita tidak terus bersikap negatif dan bermusuhan kerana itu bukan ajaran yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW, Rasulullah yang mendukung Rahmat Allah untuk sekian alam.

Sama-sama kita fikirkan.......


....................

Saturday, January 12, 2019

Tidak rugi suka berkongsi......






'Jangan kedekut' emak selalu pesan. Jangan berkira dengan adik beradik. (Emak saya bertutur dalam bahasa Jawa). Rasa rindu padanya......

Kita berkongsi rezeki bukan sesama saudara-mara sahaja. Kita berkongsi dengan semua makhluk Allah. Kalau ada haiwan yang pupus, dan manusia yang menjadi sebabnya, maka kita harus rasa berdosa.



Saya berpendapat hidup seseorang itu tidak boleh dikira berjaya kalau kejayaan itu tidak dapat dan tidak mahu dikongsikan. Rezeki yang lumayan yang Allah bagi pada seseorang itu bukan milik nya semua. Sebahagiannya adalah untuk orang lain. Islam sudah mengajarkan begitu. Zakat itu wajib dan infak dan sedekah secara umum itu amat diuntut dalam Islam. Dalam menulis ini pun saya mengingatkan diri saya sendiri. Saya tabik pada mereka yang suka menolong orang-orang yang gelandangan. Mereka memberi makan dan membantu apa jua yang mungkin. Saya pernah ada kawan yang mengikuti program Pertiwi suatu masa dulu, memberi makan pada mereka yang memerlukan. Saya belajar melalui pengalamannya. Saya ingin ikut sama menolong tetapi tidak kesampaian.

Allah telah letak naluri berkongsi dalam setiap hati manusia. Ini Fitrah.
Lihat sahaja perangai anak kecil di sekeliling kita. Apabila ia nampak sesuatu yang membuatnya teruja, ia akan memanggil kita untuk melihatnya sama.Ia mahu kita berkongsi keseronokannya. Jika seorang anak kecil ada makanan yang ia suka, mudah sahaja kita mengajarnya untuk ia berkongsi dengan kawan sebayanya. Atau jika kita minta sedikit darinya, mudah sahaja ia memberinya. Sungguh cantik fitrah yang Allah kurnia. Namun fitrah ini mudah luntur kerana fenomena sekeliling kita. Tetapi ada diantara kita yang terus berakhlak mengikut fitrah ini. Marilah kita fikirkan bersama dan mengajak keluarga kita supaya suka berkongsi sesuatu yang ada munafaat kemanusiaan bersama.

Dalam pada itu jangan lupa dengan makhluk haiwan di sekeliling kita. Beri makan kucing, burung, tupai, arnab dan apa sahaja yang mudah terjumpa. Ini termasuk binatang yang nampak semacam "musuh" manuasia tetapi sebenarnya setiap yang Allah cipta itu ada faedah dan hikmahnya. Dan ada caranya kalau kita mahu "membunuh"nya. Ada adab dan peraturan tertentu. Kata setengah ustaz: Jangan guna api dan air panas untuk membunuh atau mematiklan binatang atas sebab-sebab yang syari'e. (Nanti bila ada ilmu dan kesempatan kita berkongsi lagi mengenai hal ini).

Maka kita tarbiah diri kita untuk suka berkongsi. Kata Ustaz: Antara yang manusia minta dari Allah di alam Akhirat nanti ialah untuk diberi peluang balik hidup semuula kedunia untuk tunaikan apa yang Allah suka. Mereka mahu kembali hidup untuk bersedekah, memberi makan sesama makhluk dan yang sepertinya. Saya rasa amat terharu mendengari kata ustaz kerana saya sendiri pun belum cukup berkongsi. Masih ada rasa takut tidak cukup untuk diri sendiri. Rasa ini sentiasa ada kerana pengaruh luaran yang membuat manusia tamak dan tidak bertimbang rasa, tidak mengasihani sesama manusia, dan tidak kurang pada haiwan yang lainnya. 

Semoga Allah mengampuni kita dan membuang dari hati-hati kita rasa tamak haluba dan mementingkan diri sendiri sahaja.
Aamiin yan Rabb.....


..........

Friday, January 11, 2019

Cosy Corner @ 84





Ini kakak saya yang tertua yang Allah kurnia umur 84. Amat bersyukur, Alhamdulillah,

Dulu dia seorang guru di sekolah rendah kerajaan. Kini bersara dan tinggal sendirian setelah suami meninggal dunia. Ada anak yang tinggal berhampiran rumahnya.

Saya ingin kongsikan sedikit pemerhatian saya atas mereka yang telah melangkaui umur 80 tahun. Alhamdulillah ia sihat. Sakit-sakit biasa yang dapat di kontrol dengan izin Allah kerana rajin makan ubat doktor dan ubat alternatif. Sakit adalah ujian yang membawa munafaat jika kita terima dengan sabar dan redha. Tidak sakit pun juga merupakan ujian. Allah ingin lihat sejauh mana keyakinan kita pada Allah dan sejauh mana kita telah menepati apa jua yang dituntut dalam alQuran dan ajaran Rasulullah saw. Allah sentiasa mahukan kita kembali padanya apa jua yang telah berlaku pada kita.

Hidup harian kakak saya membuat saya agak "iri hati". Ia masih boleh mengurus diri dan bila sihat tidak perlu pertolongan. Ia masih mampu pergi ke Majlis Ilmu. Kakak saya yang satu lagi membawanya dengan ehsan kereta seorang teman. Alhamdulillah Allah mudahkan.


Rumahnya kecil sahaja tetapi rasa cosy. Ia masih boleh mengatur dan mengemas rumah dengan bantuan anak jika tugas itu agak berat sediki. Di atas ini Cosy Corner yang saya sendiri suka duduk di situ menonton TV alHijrah sebagai laluan menndapat Ilmu.
Jika tiada keman-mana kakak saya banyak menghabiskan masa disitu dengan membaca dan sebagainya. Umur 84 pada saya sudah memasuki umur yang amat istimewa. Emak saya meninggal di umur 95 tahun mengikut kiraan tidak rasmi.
Saya berangan-angan hendak buat satu Cosy Corner di rumah saya dan semoga cucu-cucu dapat menjaga seperti yang saya jangka dapat jaga. Saya ingin letak komputer saya berdekatan dan tidak perlu bertukar tempat dan ini saya rasa akan memudahkan lutut saya yang sekarang ini sudah mula meragam. Dan saya baru masuk 72 tahun. Semoga Allah kurnia umur panjang yang bernunafaat.

Ini sahaja coretan saya. Saya baru balik dari kampung dan setiqp kali balik kampung kenangan hidup di kampung akan membawa satu nostalgia yang ada kalanya membuat saya terharu ingat emak dan bapak. Lagi tua lagi selalu teringat emak dan bapak. Semoga mereka sejahtera di alam Barzah dan kami bertemu semula di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahmat Allah yang tidak terhingga.


Aamiin ya Rabb....

.....................................................

Thursday, January 10, 2019

Menyantuni waris pelapis....



Saya kerap mendengari bahawa generation gap yang ada dalam masyarakat kita ialah kerana yang tua sudah tidak dapat memahami citarasa orang muda dan orang muda terlalu sibuk untuk meluangkan masa buat orang tua.

Saya tidak bercadang menganalisa siapa  dipihak yang benar. Saya hanya mahu membetulkan diri.

Maka pada Sabtu lalu saya menumpang kereta seorang anak buah untuk balik kampung. Suami tidak bersama untuk memngelakan kakinya kembali bermasaalah.


Saya bermalam di rumah kakak saya di Pontian dan keesukan harinya saya ke Johor Bahru. Saya dilahirkan di Pontian dan bersekolah hingga tingkayan 5. Kemudian saya ke English College JB dan tinggal bersama kakak yang kedua tua. Ini sejarah 50 tahun dahulu dan rumah kakak saya sudah dibina semula oleh anak-anak dan saya sudah tidak mengenali suasana yang baharu.


Ini foto anak-anak dan menantu kakak saya. Sebuah nostalgia. Dahulu saya berfikiran kejayaan dalam hidup itu bergantung pada kejayaan dalam pendidikan formal. Saya salah takrif. Yang jadi penentu kejayaan ialah akhlak seperti yang dituntut dalam alQuran. Jangan mensyirikan Allah. Itu teras akhlak yang mulia dan itu kunci kejayaan. Saya seronok melihat mereka ria dan saya diberitakan semua ok-ok sahaja. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Tetapi anak cucu saudara saya ini dapat menyusun hidup yang terbaik bagi mereka mengikut kemampuan yang Allah kurnia. Dalam kesederhanalah kita dapat menghayati erti kesempurnaan. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan dan kami dapat mengurus kehidupan benar-benar dalam rung lingkup Tauhid yang diajarkan.


Kami berbicang santai semasa makan bersama bersama pelapis umur pertengahan.


Kami ziarahi pelapis muda dan bersembang dengan harapan yang muda menyantuni ibu bapa.


Kedua-dua kakak saya yang di tengah-tengah itu yang menjadi juru cakap kami yang tua.
Sembang santai kami penuh gelak ketawa, mesra. Alhamdulillah suasana erat ikatan keluarga dapat dirasai dan semoga berpanjangan.



Saya berpendapat dalam menyantuni pelapis muda pihak tualah yang lebih mudah turun membumikan prinsip-prinsip warisahn hidup yang penuh kemesraan.
Ibarat kata: Turun bukit itu lebih mudah dari naik bukit.
Biasanya pelapis muda yang rasa agak tersekat kerana takut "dimarahi' jika mereka tidak mengikuti warisan nilai-nilai hidup sempurna. Maka yang tua lah harus memberi sokong semoga apa jua masaalah yang ada menjadi ringan. Berat samna dipikul. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan.

Seharian saya bersama mereka. Saya ke pasar melihat perubahan yang ada. semuanya tidak sama. 
Teringatkan kakak saya yang telah meninggalkan keluarga 40 tahun yang lalu.
Semoga Allah menempatkan ruhnya bersama-sama Ruh para solihin.
 Juga ruh abang ipar saya, Wak Saru namanya. 
 Jam 6 petang saya berangakat pulang ke Pontian.
 Jalan amat sesak dari JB ke Pontian.
Tidak mengapa sebab saya rasa seronok.Semoga dapat mengulangi 
ziarah kemesraan ini.


.......

Saturday, January 5, 2019

Laluan Indah 'morning walk'.......






Rumah saya tinggal untuk sementara waktu ini tidak jauh dari kawasan ini. Seharusnya saya boleh jalan hari-hari atau naik tricycle saya  jika tidak hujan.

Tetapi perangai manusia ada kalanya niat lain, buat lain.Banyak berangan-angan tetapi tiada tindakan. Bila tidak empunya, sibuk kita mencarinya. Tetapi bila sudah ada atau hampir dengan apa yang diinginkan, kita tidak cari kesempatan. Ramai kita yang sering malas-malasan. Kekadang saya begitu juga. Maka sejak saya  di sini baru empat atau lima kali saya berjalan santai...bukan brisk walking. Mungkin alasan, saya sudah tidak  begitu upaya untuk aktif seperi dahulu. Tetapi saya kuatkan diri dan berjalan ikut kemampuan. Sambil saya berjalan santai dari jam hampir 7 pagi saya ambil foto dan saya kongsikan di sini. Alhamdulillah. Ini keindahan di dunia. sama-sama kita doa Allah kurnia yang terindah di Syurga nanti dengan limpah rahmatNya yang tidak terhingga. Tidak upaya dengan usaha.









Sampai di sini dahulu.Kita jumpa lagi. InsyaAllah. Esuk saya akan berpergian ziarah kakak saya di kampung tempat saya dilahirkan dan membesar. Semoga kesampaian.


........

Thursday, January 3, 2019

"Supreme Nothingness"...@ Meditation?





Terkejuat saya suatu petang selepas Maghrib seorang anak menantu saya tergesa-gesa mengambil barang di rumah saya dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghadiri satu sessi "self development" yang di anjurkan oleh sebuah syarikat swasta. Saya tidak kesempatan bertanyakan secara terperinci sessi yang dihadirinya kerana ia kesuntukan masa. Cuma yang dia sempat sebut ialah sessi "meditation". Untuk membina kesejahteraan diri katanya.... iaitu Spritual Growth.

Saya tinggalkan hal itu tanpa membangkitkannya lagi hinggalah hari  semalam semasa kami minum santai di rumah saya.

Sebelum saya bangkitkan hal itu saya telah membaca beberapa penulisan mengenai "Meditation" di
alam maya. Saya tergerak membaca apabila saya mendengari peristiwa seorang atheist yang sedang mencari adanya Tuhan dan ia berjumpa dengan seorang yang hebat dalam hal-hal Meditation ini. Ini cerita saya secara ringkas dan apa yang saya ingin utarakan di sini ialah bahawa proses meditation itu ialah suatu proses mengarahkan diri untuk benar-benar menghayati sesuatu yang mebawa ke puncak
"rasa bahagia" bila dapat merasai apa yang dia sebut sebagai "supreme nothingness". Istilah "supreme Nothingness" menggugat pemikiran saya dan secara spontan membawa ingatan saya pada anak menantu saya yang saya sebut diatas.

Rasa hati terganggau seketika kerana rasa amat khuatir apa yang diikuti dalam proses Meditation itu  boleh menggelincirkan aqidah. Tidak ada dalam Islam seseorang mahu mengangakat "pengabdian" ke tahap "supreme Nothingness". Nothingness dengan erti kekosongan pastinya akan dimasuki eleman Syaitan yang memesungkan pendirian akidah Islam. Belum pun mantap mengenali Allah seperti yang termaktub dalam alQuran dan Sunnah ia sudah beralih minda pada konsep meditation yang kononnya boleh menghilangkan stress yang dihadapi dalam kehidupan harian. Dengan tiadanya steress hidup ia akan menjadi tenang dan rasa bahagia. Ramai orang suka mencari jalan pintas untuk mencapai ketenangan dan kebahagian dalam hidup.

Saya google maklumat mengenai meditation ini dan saya turunkan di sini sedikit maklumat yang saya dapati. (dari definasi Wikipedia).

Meditation refers to a family of self regulation practices that focus on training attention and awareness in order to bring mental practices under greater voluntary control and thereby foster general well-being and development and/or specific capacities such as calm clarity and concentration.

We define Meditation....as a stylized mental technique.....repetitively practiced for the purpose of attaining a subjective experience that is frequently described as a very restful, silent, and of heightened alertness often characterized as blissful.


Untuk proses meditation ini mereka dikenakan bayaran yang melebihi Rm2000 seorang (tak silap fahaman saya). Mengapa kita ghairah berbelanja demikian tetapi kita tidak ambil tindakan yang mengikut sunnah terlebih dahulu dalam usaha kita mahu mengenal Allah dan mahu rasa tenang dan tidak stressful. Dalam Islam ada caranya. Kita hanya perlu mencari Guru yang mursyid untuk mngajar dan memberi pe4nerangan yang sebenar. Secara ringkas ramai kita sudah pun melaksana zikrullah, berpuasa bermunajat malam hari dan berbagai lagi yang telah diajarkan. Pada sesetengah family, dari kecil dan remaja lagi akhlak sudah ditarbiah begini. Tetapi ramai anak muda kita ramai yang amat aktif di bidang komersial di dunia perniagaan dan yang sepertinya yang merasai bahawa cara yang diajarkan dalam Islam tidak mencukupi.(Astaghfirullah. Subhanallah). Ada yang belum mahu mempelajari apa yang ada dalam Islam tetapi sudah merasai selesa dengan cara meditation itu. Katanya lebih unggul.

Mengapa merasakan ia lebih unggul?.....
Sebab mereka dipimpin oleh personaliti yang hebat berbahasa Inggeris dan nampak professional dalam bidang psikologi dan councelling. Maka rasa unique dan rasa exclusive pada diri menyebabkan mereka mencari keunggulan yang exclusive itu. Tetapi sebenarnya apa yang mereka dapati ialah  "kekosongan". Tetapi kekosongan itu dibalut cantik dengan rasa yang benar, nyata dan unggul. Penipun pada minda amat halus sekali dan membuat pengamal meditation percaya itulah yang sahih. Supreme Nothingness pada saya ialah Kekosongan minda dan kekosongan hati. Ia itu kekosongan Ruh. Allah kurnia Ruh yang mulia sebelum lahir tetapi kurnian yang amat berharga ini terobek atau dirobek dengan perilaku dan pemikiran yang terseleweng dan tergelincir dari landasan yang Allah sudah tiupkan dalam Ruh sebelum kita lahir. Saya rasa tersedih bila saya merasakan seorang itu  mahu berfikiran dengan penuh keyakinan tanpa mahu merujuk pada sumber-sumber yang Allah kirimkan melalui Rasulullah saw.

Dalam perbualan saya dengan anak menantu dapat saya terangkan sedikit mengikut Ilmu yang saya pelajari. Ilmu saya belum mencukupi tetapi saya sudah boleh menyedari bahawa Meditation itu bukan jalannya mencari Keredhaan Allah. Meditation tidak boleh membawa pada rasa tenang dan bahagia yang sebenarnya. Itu janji Allah. Al Quran kata:


A016
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
(Al-Maaidah 5:16)


A028
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Ar-Ra'd 13:28



Alhamdulillah....Walaupun fahaman dan penghayatan saya jauh dari mencukupi Allah kurnia saya dapat menarik perhatian anak menantu saya bahawa apa yang diikutinya melalui Meditation boleh menggelincir aqidah. 

Suatu masa dahulu, semasa saya mula bekerja dalam tahun tujuh-puluhan saya pernah mengikuti Yoga yang diajarkan olek kakak kepada seorng staff saya dalam pejabat. Dia beragama Hindu walaupun berbudaya Barat. Allah pelihara saya dan saya berhenti tanpa saya tahu sebabnya setelah mengikuti beberapa bulan sahaja. Saya pernah juga mengikuti satu Tarekat Sufi semasa berumur empat puluhan. Saya pernah mengikuti sistem bersuluk. Itu pun tidak lama kerana dalam mengikuti tarbiah ilmu ada sesuatu yang menjadikan saya kurang selesa. Maka saya berhenti dan melihat perkembangan-perkembangan sufism dari jauh.

Alhamdulillah saya biasa sahaja sekarang ini dan semoga mendapat Taufiq dan Hidayah Allah yang berterusan hingga ke akhir hayat. Saya ambil cara yang mudah kerana saya tiada kemampun dalam mencari ilmu yang dikatakan "tinggi" dalam mengenal Allah. Saya amat khuatir ditipu oleh anasir-anasir yang memang mahu menyesatkan manusia. Semoga saya dijalan yang Benar.

Aamiin ya Rabb.......


Image result for ayat2 quran mengenai ketenangan dan redha Allah
...............

Wednesday, January 2, 2019

Sekilas tibanya 2019...









Ahamdulillah. Allah kurnia umur dan kesihatan untuk membuka tirai 2019. Malam itu saya tidur awal. Ditengah malam saya dikejutkan dengan bunyi bunga api. Terus teringat malam itu malam 31 Disember dan rakyat Malaysia menyambut tahun baru dengan pertunjukan bunga api. Tetapi rakyat di kampung hanya mendengari cerita kisahnya sahaja. Walau apa pun Allah maha Bijaksana dan maha Adil. Tiada siapa yang dapat menduga limpah Rahmatnya.





Saya lihat dari jendela rumah saya dan disebelah ini (dan di bawah juga) adalah cahaya bunga api yang saya nampak. Kamera saya kamera 2 ringgit maka itulah hasilnya. Tidak mengapa saya katakan dalam hati. Janji ada tanda ingatan menjelangnya tahun 2019. Semasa saya bekerja tidak tertlintas Allah akan  panjangkan umur hingga kini kerana saya ada diabetsis. Ketentuan Allah tiada siapa yang tahu. Mana tahu Allah akan kurnia umur lagi. Semoga umur yang bermunafaat. Tetapi impian Wawasan 2020 seperti tidak tercapai. Itu juga ketentuan Allah.

Semuanya ketentuan dan kehendak Allah. Tetapi ada peristiwa yang Allah redha dengannya, dan ada yang tidak. Semoga kita semua memahami Qadha dan Qadar Allah dan bersabar dengan segala ujian yang diturunkan.




Di bawah ini sinaran matahari pagi 1 Januari 2019
yang saya lihat dari jendela rumah.
Semoga Allah kurnia yang terbaik bagi kita di sisiNya


Di bawah ini pula cucu-cucu yang tinggal bersama saya nampak ceria
 bersedia untuk ke sekolah pada tahun baru. 
Dahulu bersekolah di Petaling Jaya dan hari ini di Putrajaya.
Semoga Allah mudahkan laluan 2019 dan seterusnya.


Aamiin ya Rabb....


.............................
Related Posts with Thumbnails