'Jangan kedekut' emak selalu pesan. Jangan berkira dengan adik beradik. (Emak saya bertutur dalam bahasa Jawa). Rasa rindu padanya......
Kita berkongsi rezeki bukan sesama saudara-mara sahaja. Kita berkongsi dengan semua makhluk Allah. Kalau ada haiwan yang pupus, dan manusia yang menjadi sebabnya, maka kita harus rasa berdosa.
Saya berpendapat hidup seseorang itu tidak boleh dikira berjaya kalau kejayaan itu tidak dapat dan tidak mahu dikongsikan. Rezeki yang lumayan yang Allah bagi pada seseorang itu bukan milik nya semua. Sebahagiannya adalah untuk orang lain. Islam sudah mengajarkan begitu. Zakat itu wajib dan infak dan sedekah secara umum itu amat diuntut dalam Islam. Dalam menulis ini pun saya mengingatkan diri saya sendiri. Saya tabik pada mereka yang suka menolong orang-orang yang gelandangan. Mereka memberi makan dan membantu apa jua yang mungkin. Saya pernah ada kawan yang mengikuti program Pertiwi suatu masa dulu, memberi makan pada mereka yang memerlukan. Saya belajar melalui pengalamannya. Saya ingin ikut sama menolong tetapi tidak kesampaian.
Allah telah letak naluri berkongsi dalam setiap hati manusia. Ini Fitrah.
Lihat sahaja perangai anak kecil di sekeliling kita. Apabila ia nampak sesuatu yang membuatnya teruja, ia akan memanggil kita untuk melihatnya sama.Ia mahu kita berkongsi keseronokannya. Jika seorang anak kecil ada makanan yang ia suka, mudah sahaja kita mengajarnya untuk ia berkongsi dengan kawan sebayanya. Atau jika kita minta sedikit darinya, mudah sahaja ia memberinya. Sungguh cantik fitrah yang Allah kurnia. Namun fitrah ini mudah luntur kerana fenomena sekeliling kita. Tetapi ada diantara kita yang terus berakhlak mengikut fitrah ini. Marilah kita fikirkan bersama dan mengajak keluarga kita supaya suka berkongsi sesuatu yang ada munafaat kemanusiaan bersama.
Dalam pada itu jangan lupa dengan makhluk haiwan di sekeliling kita. Beri makan kucing, burung, tupai, arnab dan apa sahaja yang mudah terjumpa. Ini termasuk binatang yang nampak semacam "musuh" manuasia tetapi sebenarnya setiap yang Allah cipta itu ada faedah dan hikmahnya. Dan ada caranya kalau kita mahu "membunuh"nya. Ada adab dan peraturan tertentu. Kata setengah ustaz: Jangan guna api dan air panas untuk membunuh atau mematiklan binatang atas sebab-sebab yang syari'e. (Nanti bila ada ilmu dan kesempatan kita berkongsi lagi mengenai hal ini).
Maka kita tarbiah diri kita untuk suka berkongsi. Kata Ustaz: Antara yang manusia minta dari Allah di alam Akhirat nanti ialah untuk diberi peluang balik hidup semuula kedunia untuk tunaikan apa yang Allah suka. Mereka mahu kembali hidup untuk bersedekah, memberi makan sesama makhluk dan yang sepertinya. Saya rasa amat terharu mendengari kata ustaz kerana saya sendiri pun belum cukup berkongsi. Masih ada rasa takut tidak cukup untuk diri sendiri. Rasa ini sentiasa ada kerana pengaruh luaran yang membuat manusia tamak dan tidak bertimbang rasa, tidak mengasihani sesama manusia, dan tidak kurang pada haiwan yang lainnya.
Semoga Allah mengampuni kita dan membuang dari hati-hati kita rasa tamak haluba dan mementingkan diri sendiri sahaja.
Aamiin yan Rabb.....
..........
No comments:
Post a Comment