Biar terlambat, jangan langsung tidak teringat.
1 Muharram telah berlalu beberapa hari. Belum sempat buat catatan. Maal Hijarah insyaAllah akan tetap saya ingat. Manakan boleh lupa. Perjuangan Rasulullah saw tiada bandingannya.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Al-Baqarah 2:218)
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".
(A-li'Imraan 3:195) |Demi ingin mengikuti jejak Rasulullah saw maka saya cuba ingatkan diri dengan ayat-ayat alQuran di atas. Berkata hati kecil saya: Jom pujuk diri semoga sedikit-sedikit pun Allah akan mengasihani kita dan menyampaikan hajat-hajat kita.Semoga terampun juga dosa-dosa kita. Itu harapan sepenuhnya dan semoga Allah tempatkan kita di Syurga Firdausnya yang diidamkan semua mereka yang beriman dengan limpah Rahmatnya.
Tahun Hijriah 1441 bermula dalam tahun Masehi 2019 dalam pemerintahan baru bawah Pakatan Harapan yang dipimpin oleh YAB Tun Dr Mahathir Muhammad. Katakanlah apa pun mengenai beliau, saya hormat dan sayang padanya. Tiada manusia yang sempurna dan dalam umur yang begitu lanjut beliau masih mahu bekerja kuat cuba membetulkan negara yang hampir runtuh keadaannya.Kita berdoa semoga Allah ampunkan semua dosa-dosanya dan dosa-dosa kita dan bersama-sama bekerja kuat berusaha apa jua untuk mendapat Redha Allah. Kebergantungan kita hanya padaNYA.
Saya mahu melupakan peristiwa lama demi menjana pemikiran baru dalam era ini. Saya berkerja dalam Perkhidmatan Awam dari tahun 1972 hingga 2003. Tiga tahun saya bermula di Jabatan Perdana Menteri di bawah Almarhum YAB Tun Abd Razak. Saya amat muda waktu itu dan pernah menjadi pembantu pada Ketua Setiausaha Majlis Tindakan Negara yang dipengerusikan oleh Almarhum YAB Tun Abd Razak, Perdana Menteri waktu itu. Sedikit sebanyak saya mula memahami bagaimana mentadbir urus negara yang diduduki oleh rakyat berbagai kaum dan berbagai agama.
Senario hari ini amat berlainan. Setiap kaum sudah melalui berbagai cabaran hidup dan sudah melalui perbandingan hidup dengan penduduk dunia lainnya terutamanya jiran kita Singapura. Tidak perlu saya berkata banyak mengenai mereka yang amat terpaut hati dengan Singapura hingga lupa bahawa mereka tidak maju seperti kini jika dahulu Almarhum Tun Abd Razak tidak melaksanakan dasar yang inclusive dan membina rakyat supaya hidup seperti aur dengan tebing setelah berlalunya penjajah durjana.
Mula-mula nampak seperti kaum yang dibawa masuk oleh penjajah British sedar dan mahu membalas jasa dan taat setia pada pemimpin tegar waktu itu yang bermula dengan YAB Tengku Abd Rahman alHaj. Tetapi lama kelamaan mereka menunjukan perubahan yang membimbangkan dari aspek perpaduan negara. Mereka yang asli di negara tercinta ini pun sudah lupa perjuangan asalnya. Mereka lebih berjiwa materialisma. Bukan semua begitu, tetapi mereka yang bijak pandai mula mendurhakai kaumnya sendiri hingga negara Malaysia kini seperti hilang haluan. Hampir saban hari timbul sengketa dan mengakibatkan perpecahan yang tidak seharusnya berlaku.
Maka Maal Hijrah tahun 1441 ini amat menyentuh hati saya. Rasa sedih pun ada juga kerana impian Wawasan 2020 tidak tercapai. Allah maha mengetahui siapa yang harus dipersalahkan. Mungkin kita semua bersalah kerana sudah hilang jati diri dan semangat berkorban untuk negara. Ayuh kita sama-sama bertekad dan beazam baru mencari jalan yang terbaik untuk hidup penuh kedamaian. Kita mula dengan diri sendiri, kita mula dengan memperbaharui tekad benar-benar mahu bersatu dalam satu syahadah. Kita ikut contoh Rasulullah saw bagaimana baginda berjuang memperluas satu syahadah itu.Tidak ada sikap sombong, hasad dengki dan tamak harta. Semoga Allah menunjuki jalan dan ramai yang akan berusaha mencari kedamaian tanpa mengira warna. Sama-sama Hijrah mencari kedamaian dan kesejahteraan. Kita ikut Rasulullah saw dengan erti yang sebenar-benarnya.
...........................
1 comment:
شركة مكافحة النمل الابيض بالدمام
شركة ورس لمكافحة الحشرات بالاحساء
Post a Comment