"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Monday, June 3, 2013
Menumpang kasih...
Semalam saya bertandang ke rumah baru anak saudara di Desa Pinggiran Putra. Teruja rasa melihat rumah kecil tetapi besar. Bagaimana ya?....
Ia rumah terrace yang kecil sahaja tetapi menjadi besar bukan kerana semata-mata ia diubahsuai tetapi anak saudara saya ini berjiwa luar biasa pada pandangan saya. Alhamdulilah, ia suka mera'i sahabat handai dan saudara mara. Maka rumah kecilnya menjadi besar, menjadi luas dan suasana nyaman sekali. Saya merasakan keriangan di hati dan turut bersyukur seadanya.
Tiada perabut dan hiasan yang mewah atau hidangan bertaraf restoran lima bintang, tetapi layanan darinya dan dari isterinya dan dari anak-anaknya membuat siapa sahaja rasa istimewa dan amat selesa. Rasa seperti tidak mahu pulang.
Hidangannya nasi berlaukan gulai ikan asam pedas dan laksa Johor yang di masak sendiri oleh ibunya yang kini 75 tahun usianya. Kakak saya ini adalah Ibu yang sentisa mahu mera'i anak-anaknya dan sering saya lihat walau pun sudah punya isteri, anak-anak masih minta air milo atau kopi yang dibuat sendiri oleh ibunya. Katanya tak sama. Mak punya lagi best. Isteri tidaklah boleh berkecil hati kerana dia juga ibu dan jika dapat memberi kasih sayang serupa, insyaAllah anaknya juga nanti akan terpaut hati padanya tidak mengira umur dan keadaan.
Itulah air tangan ibu, itulah kasih sayang ibu.......
Kasihnya membawa ke syurga.
Foto di atas, anak saudara saya yang seorang lagi. Beraksi memberi "bunga" pada kakak saya yang seorang lagi yang berumur 78 tahun. Ia suka melawak. Jarang sekali anak-anak buah boleh melawak dengan emak-saudaranya. Kakak saya seronok kerana anak-anak ini dari kecil hingga dewasa menganggap dia seperti ibunya. Kakak saya ini tidak punya anak kandung dan perilaku seperti itu mendatangkan keriangan di hatinya. Ia amat merasai kehadirannya bukan seperti melukut di tepi gantang. Di rumah baru ini disediakan bilik kalau mahu bertandang lama. Kakak saya bercerita pada saya dengan rasa sebak kerana dira'i oleh anak-anak saudaranya seperti ibu sendiri.
Ia dapat menumpang kasih.....
Ia tidak merasakan dirinya keseorangan, terutamanya sekarang bila sang suami sudah pergi dahulu.
Ini sebahagian cucu-cucu tersayang yang saya rakam buat kenangan. Besar kemungkinan saya tidak akan melihat mereka dewasa. Hanya dapat mendoakan semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh yang menghargai dan mera'ikan kaum tua. Semoga pautan kasih terikat erat dan kaum tua walaupun tiada kaitan saudara dapat menumpang kasih dan rasa terhibur dikala kesunyian.
Dalam dunia cyber kini saya amat khuatir erti sentuhan kasih sayang dalam keluarga makin hari makin merenggang. Cara berhubung sudah berbeza dan cara anak-anak mengisi masa lapang pun sudah berbeza. Jarang sekali kita dapat berhubung menatap muka, melihat keluhuran hati di sinaran mata kerana anak-anak sekarang mahu bersegera menatap i-fonnya, smart-fonnya dan entah apa lagi yang saya sendiri sudah ketinggalan masa. Siapa yang tidak tahu atau minat pada teknologi facebook maka akan rasa keseorangan. Teman-teman menjadi berkurangan melainkan seseorang itu mengisi masa bersama mereka yang suka ke majlis ilmu di tempat mereka tinggal.
Itulah pusingan hidup dunia hari ini.....
Esuk entah bagaimana ? ?
Subhanallah...Mohon keampunan Mu, Ya Rabb...
...
Friday, May 31, 2013
Tadika SUFI di persimpangan......
Kini hampir 6 bulan merentasi jalan.......
Jalan yang sempit kini melebar walaupun masih ada batu-batu kerikil yang belum dapat diratakan dan semak samun yang perlu dibersihkan.
Tidak mengapa kata hati kecil saya. Pastinya pertolongan Allah itu hampir. Itu yang kami pohon. Dengan keyakinan untuk mendirikan Kebenaran dan Kebenaran itu tidak pernah memihak apa pun keadaan, kami mohon belas kasihanNya. Nowaitu kerana Allah perlu pada pengabdian yang tidak mengira susah senang, tidak mengira keuntungan diri dan hanya jitu mahu mengikhlaskan usaha mencari Keredhaan.
Kami mengurus anak-anak dan murobbiah seiringan. Kami mentarbiah murobbiah semoga melalui mereka anak-anak Sufi terdidik dengan baik selaras dengan misi dan visi Tadika Sufi. Jika kami gagal mentarbiah para murobbiah, maka wawasan kami ke atas anak-anak didik ditakuti terkandas dipertengahan jalan. Tidak mudah membuat dua tugasan serentak dalam keadaan kefahaman yang belum menyeluruh di kalangan pendokong wawasan. Namun saya amat maklum bahawa proses memahami sesuatu dan menghayati sesuatu nilai bukan berlaku sekelip mata. Malahan dalam setahun dua pun mungkin belum dapat menampakan hasil yang memuaskan. Tetapi usaha harus beterusan kerana kejayaan adalah milik Allah, milik kita hanyalah berusaha. Itu pun dengan izin dan kehendaknya jua.
Komitmen murobbiah saya perhatikan masih dalam peringkat awal. Tidak mengapa kerana kalau kita mahu menikmati secangkir teh yang luar biasa lazatnya pun kita memerlukan masa dan teh itu dirasai sedikit-sedikit dalam keadaan tenang dan santai. Bukan diminum secara terburu-buru.
Kefahaman konsep kurikulum bersepadu IHES pun masih dalam peringkat permulaan kerana murobiah kami berlatarkan pendidikan umum yang berbeza dan dari keluarga yang mempunyai nilai-nilai hidup yang berbeza. Saya sendiri melalui berbagai fasa kefahaman untuk menghayati Islam yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan di warisi oleh ulama'-ulama' yang berdakwah tanpa mengenal penat lelah. Hingga kini pun saya masih di tahap jalan-jatuh. Maka murobiah kami yang rata-rata masih muda dan masih belum melalui berbagai pengalaman hidup, maka mereka belum cukup mengerti bahawa dalam merentas perjalanan hidup, kita perlu ada rasa mahu berkorban, mahu mendahulukan obektif bersama daripada kepentingan sendirian, mahu menyantuni kelemahan dan kekuatan seseorang dalam kalangan jemaah yang sama-sama berusaha ke arah yang satu, mahu maaf memaafkan dan sentiasa mahu memberi apa yang termampu.
Kita memerlukan masa dan istiqamah dalam amalan untuk 'tenggelam' dalam nilai ini seperti ahli sufi yang bermaqam tinggi mahu tenggelam dalam kewujudan Allah swt hingga dapat 'merasakan' kewujudan Allah yang mutlak. Pengabdian kita harus 'selfless' untuk mendapat pancaran nur Iman kurniaan Allah pada hambanya yang terpilih. Maka kita bermunajat semoga Allah sampaikan kita ke tahap itu dan kita diterima olehNya sebagai hambanya yang sejati seperti disebut dalam ayat 27-30, Surah Al Fajr.
Di pertengahan jalan ini ada murobbiah yang akan bertukar haluan ke Tadika lain mungkin mahu mengejar kemudahan yang SUFI belum bersedia memberi. Tetapi kalau SUFI mampu sekalipun, hasrat SUFI adalah untuk membina dan memantapkan potensi jiwa juang yang ada semoga makin hari makin terserlah keinginan mahu maju kehadapan bersama para pejuang lain berkejaran mahu mendirikan Kebenaran walaupun keadaan sukar dan mencabar dan sentiasa kepenatan seharian. Tanggong jawab terhadap anak dan keluarga perlu dipikul serentak dan keinginan mahu bersantai ditangguhkan. Harus ada pengorbanan.
Namun SUFI dengan rela hati akan melepaskan sesiapa jua yang berhajat keluar. Semoga yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak keciciran. Semoga Allah sentiasa bersama.
SUFI juga berhati-hati tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa pun, murobbiah, pembantu am atau ibu-bapa pada anak-anak. SUFI akan cuba sedaya upaya menjaga kepentingan pelanggan khususnya dalam usaha mahu membina generasi akan datang membesar sihat dan terdidik mengikut nilai-nilai Islam yang syumul. Maka ada tindakan SUFI yang ditafsir sebagai tidak wajar. Tafsiran yang kurang tepat akan berlaku kerana di pertengahan jalan pasti ada yang belum jelas melihat natijah usaha yang dijalankan. Tetapi tidak mengapa. Kami bertawakal pada yang maha bijaksana dan kami yakin Allah maha mengetahui, maha melihat akan yang nampak dan yang tersembunyi. Kita memohon pertolongaNya dalam semua segi. Semoga Allah memudahkan. Ameen, Ya Rabb....
Maka SUFI akan menegur dan mengambil tindakan yang sewajarnya walau pahit sekali pun atas sesiapa jua yang dirasai tidak dapat mengikut prinsip dan syarat-syarat perkhidmatan dan perkongsian yang kami persetujui bersama. SUFI akan cuba menjaga hak anak-anak didik tidak dikurangi. Mendapatkan kepercayaan yang seimbang dalam hal ini sememangnya tidak mudah. Semoga Allah menunjuki jalan.
Namun SUFI faham. Megubah dan membina nilai bukan seperti menukar pakaian. Susah untuk memastikan sejauh mana kefahaman tercapai. Setiap hari kami berfikiran dan memerhatikan. Kami cuba mendengari melalui lisan dan senyuman, cuba membaca yang tiada pada tulisan dan mengukur dengan keadilan. Kami sebagai insan kerdil juga menyedari usaha kami masih banyak kelemahan dan kekurangan. Kami cuba sedaya upaya mencari kesempurnaan tanpa menjejas prinsip kesejahteraan pada semua warga SUFI. Maka laluan ini sukar bagi kami, semoga Allah memantapkan kesabaran.
Ustaz sering berpesan: jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, jangalah cepat menyalahkan orang lain dan cepat menghukum. Kita lihat diri kita dahulu. Itu yang kami lakukan penuh ikhlas dan semoga tindakan kami selarasa dengan saranan itu dan di hujungnya mendapat redha Allah jua.
Lebih kurang 2 minggu lagi kami akan membuat penilaian atas anak-anak sufi sejauh mana mereka telah dapat menghayati perlaksanaan kurikulum sepadu kami. Keutamaan kami memfokus kepada kebolihan membaca mengikut kemampuan diri anak-anak yang berbeza dari seorang keseorang. Semoga Allah memudahkan.
Pertukaran dan peralihan seorang dua murobbiah sedikit sebanyak menjejas momentum prestasi SUFI. Ini tidak dapat dielakan dan ia suatu yang lumrah. Tidak mengapa kerana sedikit sebanyak pastinya murobbiah yang pergi sudah mengenali erti pendidikan yang holistik dan sepadu dalam kurikulum dan aktiviti harian. Saya percaya mereka tidak menyedari bahawa mereka faham. Cuma mungkin belum cukup keyakinan. Kami yakin ada kesan positif walaupun sedikit, cuma belum dapat merasainya dalam masa yang singkat.
Sayang sekali SUFI terpaksa ditinggalkan. Semoga mereka akan menjadi pencetus perubahan di tempat yang baru yang lahir dari jiwa yang sudah diperkenalkan bahawa memilih Islam perlu keseluruhan, bukan sebahagian dan sebahagian.
Kami mahu berbakti pada kemanusiaan sebagai wasilah mendapat Keredhaan. Iaitu Kemanuasiaan yang berTuhankan Allah swt yang satu. Tiada yang lain dariNya.
Tunjukilah kami jalan dan turunkanlah pertolongan Mu, Ya Rabb....
....
Wednesday, May 29, 2013
Yang kecil selesa...
Dalam sebulan agaknya 7 hingga 10 hari, mungkin lebih, saya di Tangkak membantu kawan saya mengurus SmarTop Subur Fitrah Integrated Preschool (SUFI). Bila berada di KL saya akan ternanti-nanti bila suami saya dapat menghantar saya balik ke Tangkak. Biasanya ia akan menghantar saya dan berada di Tangkak sehari dua dan akan pulang ke KL untuk menyelesai tugas-tugasnya. Selagi terdaya insyaAllah ia akan terus berbuat sesuatu. Tidak ada konsep bersara dalam hidup seorang Muslim.
Kami baru pindah ke rumah lain di Tangkak untuk kontrak yang agak lama sedikit. Saya teruja di rumah baru ini kerana walaupun kecil ia amat selesa. Benarlah kata orang tua-tua. Keselesaan itu letaknya di hati bukan di badan.
Saya teringakan emak saya. Kakak-kakak saya dulu sering bercerita rumah yang bapak buat kecil sahaja dan beratapkan rumbia dan berlantaikan batang pinang, (lewat tahun sembilan belas tiga puluhan dan awal empat-puluhan). Bekalan air hanya dari perigi dan bekalan api hanya menggunakan minyak gas yang kami sebut minyak tanah. Saya yang bongsu dalam keluarga dan tidak merasakan tinggal rumah yang sedemikian. Kakak-kakak saya membesar dalam keadaan serba tidak mencukupi dan menerima seadanya. Saya kata rasanya mereka selesa dihati kerana bila bercerita mereka rasa seperti puas hati. Bila saya mula boleh ingat rumah bapak buat sudah berdinding papan walaupun lantainya tanah sahaja tanpa simin. Saya mula bersekolah pada tahun 1954 dan ketika itu barulah bumbung beratapkan zing dan bersimin di dapur dan lantai papan di ruang rumah sebelah atas. Alhamdulilah. Saya diajar erti hidup susah dan erti hidup senang. Apa jua ustaz kata ia adalah ujian. Semoga Allah meredhai.
Satu nostalgia....
Dalam foto di atas rumah kami yang ada kereta putih. Sewanya rm350/- sebulan separa furnished. Hotel di Tangkak yang agak sesuai untuk kami sewa tidak berminat menurunkan harga untuk kami tinggal seminggu dua. Entah mengapa.....
Rumah kami ini sering disinggahi saudara mara di Tangkak dan anak cucu teman saya. Anak saya datang hanya menghantar saya jika suami saya tidak kesempatan. Orang ziarah ke rumah kita membawa rezki dan meninggakan rumah kita mengurangkan dosa. Semoga Allah mengurnia yang terbaik.
Ini bilik tidur saya. Kecil dan hanya cukup untuk solat jemaah dua orang sahaja. Alhamdulilah, ia mencukupi. Teman saya menjadi Imam apabila suaminya solat di Masjid.
Tangkak adalah asalnya Kampung Baru Cina semasa zaman Komunis bermaharaja lela. Sekarang ini wakil ADUN adalah DAP dan BN wakil Parlimen. Sibuk dibincangkan bagaimana SPR menentukan sempadan-sempadan untuk rakyat mengundi (electoral boundary). Saya sudah tidak mahu lagi mendengar alasan-alasan yang diberi. Saya hanya berdoa semoga siapa jua yang memerintah akan terhidayah supaya tidak berlaku zalim dan benar-benar membela hidup rakyat. Kuasa adalah satu amanah, maka akan "binasa" seseorang itu jika amanah diselewengkan. Semoga Allah mengampuni.
Itulah kami bersungguh-sungguh membangunkan SUFI walaupun dalam keadaan serba kekurangan kerana mahukan generasi akan datang berilmu, beramal, beriman dan bertaqwa. Bibit-bibit akhlak mulia perlu ditarbiah dari kecil lagi, malahan dalam Islam dari dalam kandungan ibu.. Semoga Allah menurunkan pertolonganNya dan sentiasa memudahkan usaha-usaha yang kami jalankan.
Tiada kekuatan melainkan kekuatan dariNya.
Anugerahkanlah kami kekuatan, Ya Rabb....
...
Monday, May 27, 2013
Jakun ...
Seperti orang jakun....memang jakun pun... tetapi terhibur.
Entah kenapa boleh terhibur....bukan terhibur, hanya tercuit hati.
(Kawasan Bukit Bintang waktu hampir Maghrib).
Itu keadaan rasa dihati suatu petang bila terpaksa mengikut suami di hujung minggu terdahulu ke KL Plaza di kawasan Bukit Bintang yang rupanya kini sudah diberi nama baru...Farenheit 88. Sepatutnya pulang ke rumah dari Putrajaya tetapi kerana kesuntukan masa saya terpaksa ikut suami bertemu rakan perniagaannya di sana.
Untuk mengelak rasa bosan menanti saya berlegar-legar di kawasan kedai-kedai yang sekarang di situ sudah berkonsep baru dari segi layout dan susun atur merchandisenya. Ia menampakan kelainan dari segi menarik perhatian pelanggan.
Terakhir saya ke kwasan tersebut sudah melebihi 20 tahun yang lampau.
Memang jadi jakun....agak terpinga-pinga dan terpaksa menyesuai diri bila berurusan dengan para jurujual yang muda dan bergaya. Kerana sudah rasa kekok diusia begini, maka saya hanya masuk satu, dua store sahaja. Semuanya tidak sesuai bagi saya. Ini tempat muda belia. Tidak kelihatan pengunjung sebaya saya.
Saya tersenyum sendirian. Betapa zaman sudah beredar. Tidak tahu nak fikir apa dan hanya melihat reality yang ada dikalangan generasi muda. Setiap orang pernah muda suatu ketika. Maka ingatan saya lancar mengimbas kembali rasa jakun saya bila ke US diusia 20 tahun. Panjang ceritanya tetapi mungkin untuk entry lain kali. Pada rasa jakun waktu itu tersisip rasa inferior, rasa bingung dan kadangkala takut... maklumlah anak kampung yang belum melihat sepenuhnya negara sendiri sudah diminta berdikari seorang diri di negara yang serba seribi amat asing bagi saya.
Bayangkan rasa jakun saya.....
Namun kali ini, walaupun agak 'terhibur' dalam 'kejakunan', sebenarnya rasa khuatir menerjah hati saya yang teringatkan anak cucu yang juga muda belia. Ini reality mereka. Di Kuala Lumpur tiada yang selamat dari terjebak dengan cara hidup mewah dan bebas berkeliaran.
Dalam berfikir-fikir saya solat dan berehat di surau di tempat itu. Bersih dan sederhana besarnya. Sejuk sedikit hati saya bila saya melihat anak-anak muda Melayu masuk menunaikan solat. Pakaian Islamnya belum sempurna tetapi ingatan mahu solat memberi harapan pada saya suatu hari nanti semoga mereka menjadi lebih kemas aqidahnya. Tunjuki lah jalan, Ya Rabb.
Dengan harapan baru, saya pergi duduk di kedai 'Station Kopitiam' menanti suami saya menyelesaikan kerjanya. Pengunjung yang datang pun orang-orang muda belaka dengan gaya-gaya fashion tersendiri.
Kemudian kami pulang dalam kesibukan lalulintas di waktu senja. Suami saya hanya senyum lebar mendengar cerita saya. Itu baru tahun 2013. Sepuluh tahun dari sekarang entah bagaimana pula. Saya takut hendak menggambarkannya.
Kata ustaz jangan mudah-mudah kita befikiran kita sudah sejajar dengan kehendak Allah. Untuk memastikan kita di landasan yang benar, sentiasa menuntut ilmu, beramal dan bermunajat sungguh-sungguh semoga Allah sentiasa membimbing dan memberi hidayah.
...
Sunday, May 26, 2013
Teringat ....
Keindahan pokok-pokok menginatkan saya erti sebuah kehidupan dalam perantaun,
menetap meraih pengalaman yang membawa kenangan tersendiri.
Kenangan yang hanya dirasai tetapi tidak dapat dikongsi kini.
Kenangan yang berakar umbi. Saya mahu melupai, semoga Allah meredhai
dan mendapat kurnia kesejahteraan dariNya yang abadi.
...
Monday, May 20, 2013
"Sawan Bunga"...
Saya suka bunga dan bunga-bungaan. Tetapi tidak mencari kesempatan untuk bertanam bunga walaupun rumah saya ada sedikit kawasan untuk tujuan itu. Di mana jua saya pergi, jika ternampak bunga saya akan rakam.
Dalam kembara kali ini Tour Leader kami seorang yang amat suka akan bunga.
"Saya sawan bunga, Akak! Nanti saya tunjuk tempat banyak bunga. Tapi kali ini musim bunga sudah hampir habis.. Sudah tidak ada bunga mawar yang cantik-cantik. Giler saya Akak dengan bunga. Saya suuu...ka sangat".
Tersenyum saya mendengar kata-katanya. Dia sibuk mengambil foto bunga-bunga lebih dari saya. Dia masuk dalam Facebooknya. Dan di bawah ini saya rakam beberapa jenis bunga-bunga tetapi tidak tahu nama dan asalnya. Saya seronok melihatnya, semoga satu hari rumah saya dikelilingi bunga-bunga.
"Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan?"
...
Sunday, May 19, 2013
Ingat pula akan kuda....
Dalam kembara di Bandar Budapest kami dibawa ke Hero's Square, sebuah memorial menghargai pahlawan-pahlawan silam yang mempertahankan negara dari angkara musuh, antaranya tentera Ottoman Turks pada suatu ketika.Patung pahlawan-phlawan silam naik kuda banyak sekali di letak di atas-atas bangunan. Betapa mereka menghargai jasa pahlawan-pahlawan ini. Mereka dipatungkan bersama kudanya. Kuda menjadi antara alat terpenting.
Maka saya teringat serta merta mengapa orang Islam di galakan padai menunggang kuda dan mengendalikannya berbagai cara.
Ini patung The European Cowboy. Saya rakam untuk mengingatkan diri bahawa budaya pandai berkuda jangan diambil ringan. Malangnya ditempat kita ini kuda hanya untuk yang kaya, bagi bersukan bersuka ria. Bukan untuk persedian suatu hari nanti
pasti keterampilan berkuda akan teruji juga.
pasti keterampilan berkuda akan teruji juga.
Semoga kita bersedia.
Ini kuda baka warna putih. Katanya kuda warna putih adalah antara baka kuda terbaik. Kami ditunjukan sekali lalu tempat menjaganya ditengah bandar.
Alahai ! Saya hanya melihat-lihat. Tergantung fikiran di awang-awang.
Di tempat kita masih belum serious untuk melaksana tuntutan sunnah supaya pandai berkuda. Bila saya google, terdapat beberapa maklumat tentang ladang kuda di Malaysia ini. Ada juga di Kelantan. Ada juga tempat beriadah naik kuda. Tidak mahal katanya. Ada kuda-kuda yang diimport yang katanya baka yang baik, Arabian Stallion. Saya kurang arif. Cuma pengalaman sedikit bila saya bersama teman-teman membantu penubuhan sebuah sekolah menegah di Garut Indonesia. Kami dapat kerjasama peladang tempatan memberi khidmat mengajar pelajar-pelajar kami menunggang kuda.
Usaha ini masih kecil dan semoga dapat diperbaiki.(lihat foto di bawah).
Di tempat kita masih belum serious untuk melaksana tuntutan sunnah supaya pandai berkuda. Bila saya google, terdapat beberapa maklumat tentang ladang kuda di Malaysia ini. Ada juga di Kelantan. Ada juga tempat beriadah naik kuda. Tidak mahal katanya. Ada kuda-kuda yang diimport yang katanya baka yang baik, Arabian Stallion. Saya kurang arif. Cuma pengalaman sedikit bila saya bersama teman-teman membantu penubuhan sebuah sekolah menegah di Garut Indonesia. Kami dapat kerjasama peladang tempatan memberi khidmat mengajar pelajar-pelajar kami menunggang kuda.
Usaha ini masih kecil dan semoga dapat diperbaiki.(lihat foto di bawah).
Nyata fenomena ini belum meluas kerana kos yang tinggi. Semoga ada pemimpin atau investor/pelabur yang peka untuk Ubah pada yang sewajarnya.
Agaknya kekurangan minat tentang perlunya berketerampilan dalam hal-hal kuda kerana tidak nampak di mana relevannya dengan keadaan sekarang.
Kalau untuk berperang hari ini,
bagaimana penggunaan kuda berperanan bersaing dengan teknologi perang yang canggih.
Alangkah baiknya kalau ada sesiapa yang dapat membantu memberi maklumat futuristik tentang kehebatan kuda dalam persainag kuasa tentera di dunia hari ini.
Agaknya kekurangan minat tentang perlunya berketerampilan dalam hal-hal kuda kerana tidak nampak di mana relevannya dengan keadaan sekarang.
Kalau untuk berperang hari ini,
bagaimana penggunaan kuda berperanan bersaing dengan teknologi perang yang canggih.
Alangkah baiknya kalau ada sesiapa yang dapat membantu memberi maklumat futuristik tentang kehebatan kuda dalam persainag kuasa tentera di dunia hari ini.
Semoga Allah menunjuki jalan. Ameen Ya Rabb.
...
Subscribe to:
Posts (Atom)