"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, May 31, 2013
Tadika SUFI di persimpangan......
Kini hampir 6 bulan merentasi jalan.......
Jalan yang sempit kini melebar walaupun masih ada batu-batu kerikil yang belum dapat diratakan dan semak samun yang perlu dibersihkan.
Tidak mengapa kata hati kecil saya. Pastinya pertolongan Allah itu hampir. Itu yang kami pohon. Dengan keyakinan untuk mendirikan Kebenaran dan Kebenaran itu tidak pernah memihak apa pun keadaan, kami mohon belas kasihanNya. Nowaitu kerana Allah perlu pada pengabdian yang tidak mengira susah senang, tidak mengira keuntungan diri dan hanya jitu mahu mengikhlaskan usaha mencari Keredhaan.
Kami mengurus anak-anak dan murobbiah seiringan. Kami mentarbiah murobbiah semoga melalui mereka anak-anak Sufi terdidik dengan baik selaras dengan misi dan visi Tadika Sufi. Jika kami gagal mentarbiah para murobbiah, maka wawasan kami ke atas anak-anak didik ditakuti terkandas dipertengahan jalan. Tidak mudah membuat dua tugasan serentak dalam keadaan kefahaman yang belum menyeluruh di kalangan pendokong wawasan. Namun saya amat maklum bahawa proses memahami sesuatu dan menghayati sesuatu nilai bukan berlaku sekelip mata. Malahan dalam setahun dua pun mungkin belum dapat menampakan hasil yang memuaskan. Tetapi usaha harus beterusan kerana kejayaan adalah milik Allah, milik kita hanyalah berusaha. Itu pun dengan izin dan kehendaknya jua.
Komitmen murobbiah saya perhatikan masih dalam peringkat awal. Tidak mengapa kerana kalau kita mahu menikmati secangkir teh yang luar biasa lazatnya pun kita memerlukan masa dan teh itu dirasai sedikit-sedikit dalam keadaan tenang dan santai. Bukan diminum secara terburu-buru.
Kefahaman konsep kurikulum bersepadu IHES pun masih dalam peringkat permulaan kerana murobiah kami berlatarkan pendidikan umum yang berbeza dan dari keluarga yang mempunyai nilai-nilai hidup yang berbeza. Saya sendiri melalui berbagai fasa kefahaman untuk menghayati Islam yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan di warisi oleh ulama'-ulama' yang berdakwah tanpa mengenal penat lelah. Hingga kini pun saya masih di tahap jalan-jatuh. Maka murobiah kami yang rata-rata masih muda dan masih belum melalui berbagai pengalaman hidup, maka mereka belum cukup mengerti bahawa dalam merentas perjalanan hidup, kita perlu ada rasa mahu berkorban, mahu mendahulukan obektif bersama daripada kepentingan sendirian, mahu menyantuni kelemahan dan kekuatan seseorang dalam kalangan jemaah yang sama-sama berusaha ke arah yang satu, mahu maaf memaafkan dan sentiasa mahu memberi apa yang termampu.
Kita memerlukan masa dan istiqamah dalam amalan untuk 'tenggelam' dalam nilai ini seperti ahli sufi yang bermaqam tinggi mahu tenggelam dalam kewujudan Allah swt hingga dapat 'merasakan' kewujudan Allah yang mutlak. Pengabdian kita harus 'selfless' untuk mendapat pancaran nur Iman kurniaan Allah pada hambanya yang terpilih. Maka kita bermunajat semoga Allah sampaikan kita ke tahap itu dan kita diterima olehNya sebagai hambanya yang sejati seperti disebut dalam ayat 27-30, Surah Al Fajr.
Di pertengahan jalan ini ada murobbiah yang akan bertukar haluan ke Tadika lain mungkin mahu mengejar kemudahan yang SUFI belum bersedia memberi. Tetapi kalau SUFI mampu sekalipun, hasrat SUFI adalah untuk membina dan memantapkan potensi jiwa juang yang ada semoga makin hari makin terserlah keinginan mahu maju kehadapan bersama para pejuang lain berkejaran mahu mendirikan Kebenaran walaupun keadaan sukar dan mencabar dan sentiasa kepenatan seharian. Tanggong jawab terhadap anak dan keluarga perlu dipikul serentak dan keinginan mahu bersantai ditangguhkan. Harus ada pengorbanan.
Namun SUFI dengan rela hati akan melepaskan sesiapa jua yang berhajat keluar. Semoga yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak keciciran. Semoga Allah sentiasa bersama.
SUFI juga berhati-hati tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa pun, murobbiah, pembantu am atau ibu-bapa pada anak-anak. SUFI akan cuba sedaya upaya menjaga kepentingan pelanggan khususnya dalam usaha mahu membina generasi akan datang membesar sihat dan terdidik mengikut nilai-nilai Islam yang syumul. Maka ada tindakan SUFI yang ditafsir sebagai tidak wajar. Tafsiran yang kurang tepat akan berlaku kerana di pertengahan jalan pasti ada yang belum jelas melihat natijah usaha yang dijalankan. Tetapi tidak mengapa. Kami bertawakal pada yang maha bijaksana dan kami yakin Allah maha mengetahui, maha melihat akan yang nampak dan yang tersembunyi. Kita memohon pertolongaNya dalam semua segi. Semoga Allah memudahkan. Ameen, Ya Rabb....
Maka SUFI akan menegur dan mengambil tindakan yang sewajarnya walau pahit sekali pun atas sesiapa jua yang dirasai tidak dapat mengikut prinsip dan syarat-syarat perkhidmatan dan perkongsian yang kami persetujui bersama. SUFI akan cuba menjaga hak anak-anak didik tidak dikurangi. Mendapatkan kepercayaan yang seimbang dalam hal ini sememangnya tidak mudah. Semoga Allah menunjuki jalan.
Namun SUFI faham. Megubah dan membina nilai bukan seperti menukar pakaian. Susah untuk memastikan sejauh mana kefahaman tercapai. Setiap hari kami berfikiran dan memerhatikan. Kami cuba mendengari melalui lisan dan senyuman, cuba membaca yang tiada pada tulisan dan mengukur dengan keadilan. Kami sebagai insan kerdil juga menyedari usaha kami masih banyak kelemahan dan kekurangan. Kami cuba sedaya upaya mencari kesempurnaan tanpa menjejas prinsip kesejahteraan pada semua warga SUFI. Maka laluan ini sukar bagi kami, semoga Allah memantapkan kesabaran.
Ustaz sering berpesan: jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, jangalah cepat menyalahkan orang lain dan cepat menghukum. Kita lihat diri kita dahulu. Itu yang kami lakukan penuh ikhlas dan semoga tindakan kami selarasa dengan saranan itu dan di hujungnya mendapat redha Allah jua.
Lebih kurang 2 minggu lagi kami akan membuat penilaian atas anak-anak sufi sejauh mana mereka telah dapat menghayati perlaksanaan kurikulum sepadu kami. Keutamaan kami memfokus kepada kebolihan membaca mengikut kemampuan diri anak-anak yang berbeza dari seorang keseorang. Semoga Allah memudahkan.
Pertukaran dan peralihan seorang dua murobbiah sedikit sebanyak menjejas momentum prestasi SUFI. Ini tidak dapat dielakan dan ia suatu yang lumrah. Tidak mengapa kerana sedikit sebanyak pastinya murobbiah yang pergi sudah mengenali erti pendidikan yang holistik dan sepadu dalam kurikulum dan aktiviti harian. Saya percaya mereka tidak menyedari bahawa mereka faham. Cuma mungkin belum cukup keyakinan. Kami yakin ada kesan positif walaupun sedikit, cuma belum dapat merasainya dalam masa yang singkat.
Sayang sekali SUFI terpaksa ditinggalkan. Semoga mereka akan menjadi pencetus perubahan di tempat yang baru yang lahir dari jiwa yang sudah diperkenalkan bahawa memilih Islam perlu keseluruhan, bukan sebahagian dan sebahagian.
Kami mahu berbakti pada kemanusiaan sebagai wasilah mendapat Keredhaan. Iaitu Kemanuasiaan yang berTuhankan Allah swt yang satu. Tiada yang lain dariNya.
Tunjukilah kami jalan dan turunkanlah pertolongan Mu, Ya Rabb....
....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam Sobah
beautifully written from the heart that understands what is jihad. saya yakin murobbiah dapat tempias ihes, cuma tak pandai nak express.
I thunk so, too. We close this chapter and move on. tq.
Post a Comment