"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, April 15, 2015

Dia ibu @ super mom ?........




Ini cerita anak perempuan saya. Allah anugerah 5 orang anak padanya  dan semuanya lelaki, hero-hero belaka. Yang tua dan yang kedua Allah kurnia  mereka istimewa. Dalam masyarakat kita, mereka disebut juga anak OKU. Huzaifah yang tertua dalam kategori ADHD (Attention Deficient Hyperactive Disorder) dan Akif dikira anak Otisma. Di gambar sebelah kiri ini mereka di bawa beraktiviti bersama-sama anak- anak dalam Persatuan istimewa yang lain, terutamanya yang Otisama. Hari itu hari lahir Akif dan ia dira'i bersama anak-anak lain. (Foto-foto ini kiriman anak saya).



Pada saya saat-saat seperti ini amat penting bagi mereka dan bagi saya sebagai Embah atau nenek mereka. (Saya ada menulis mengenai mereka dalam entry saya sebelum ini). Huzaifah  berumur 10 thun dan Akif 8 tahun. Mereka belum mahir seperti anak biasa dalam membaca dan mengira. Mereka memerlukan kesabaran ibu-bapa yang agak luar biasa.





Yang penting ibu-bapa redha dan terus berusaha. Mereka tidak "menyimpan" anak-anak di rumah sahaja kerana malu anak-anak mereka OKU. Mereka beraktiviti bersama dan berunding bersama atas beberapa masaalah yang serupa. Cuma masyarakat biasa  yang kurang peka dan membiarkan mereka bersama mereka yang OKU sahaja. Kepedulian untuk membantu belum lancar seperti diharapkan. Tetapi kommuniti yang Istimewa ini  saya perhatikan tidak rasa kecewa kerana mereka yakin Allah menjadikan mereka ibu-bapa terpilih untuk memengurus, mengasuh, mendidik anak-anak Istimewa. Selalu saya katakan pada anak saya bahawa Allah tidak mencipta mereka sia-sia.

Alhamdulilah dan saya sentiasa bersyukur anak perempuan saya tidak duduk diam. Ia sentiasa  berusaha bagaimana mahu mendidik dan mengurus anak supaya dewasa nanti mereka boleh berdikari tanpa ibu dan ayah di samping. Saya amat memahami seharian suntuk ia sentiasa sibuk. Bila ditugaskan keraja luar ia akan membawa anak-anaknya di bantu oleh suaminya (di mana sesuai) dan bila ada pembantu rumah, oleh pembantunya. Rumahnya tidak sentiasa kemas seperti rumah orang lain. Seperti kapal tongkang pecah. Bila saya komen, dia masih  mampu senyum tertawa.

Pakaiannya tidak bergosok. Ia memilih yang boleh "drip dry" basuh terus pakai. Namun baju anak ke sekolah mesti bergosok kemas. Itu satu disiplin yang saya rasa baik kalau dapat berterusan. Kini ada pembantu sementara dan dia dapat mencari masa pergi exercise untuk tidak jadi obese. Sikap yang memerlukan tenaga untuk sentiasa berkejaran. 

 Bila saya pergi waktu cuti dan hujung minggu, kenalah saya membantu serba sedikit mengikut kederat yang ada. Saya perhatikan menyediakan makanan adalah antara tugas yang rumit kerana kesukaan mereka amat berbeza. Anak yang normal juga punya karenah yang mengikut perangai abang-abangnya. Ini menjadikan tugas ibu lebih rumit. Itulah saya rasa kagum juga dengan anak saya ini. Alhamdulilah Allah kurnia tenaga dan akal fikiran yang membuatnya agak relaks walaupun seharian tugasnya berat berbanding keluarga biasa.

Anak saya ini  masih mampu bertemu teteman bersilaturrahim,  mengikut suaminya dalam kumpulan pengajian kelas agama dan apa jua yang terdaya. Saya  perhatikan  "Balancing-Act" yang luar biasa. Alhamdulilah Allah kurnia kekuatan dan kesihatan. 




Foto berbasikal ini saya amat suka melihatnya. Teringatkan semasa saya menjaga Akif yang baru dilahirkan di Tokyo 8 tahun yang lalu. Anak saya champion berbasikal walaupun  semasa bersekolah kemahirannya amat terhad, Selalu sahaja jatuh dan luka. Di Tokyo ia pergi kemana pun  untuk grocery dengan basikal sahaja. Pernah juga barangan yang dibeli hilang ditinggalkan di basikal semasa membeli barang yang lain. Cerita seperti ini jarang kedengaran bagi orang Jepun. Tetapi ia berlaku. 

Saya tinggal bersamanya di Tokyo selama hampir 3 bulan semasa ia berpantang melahirkan Akif. Kenderaan baginya di Tokyo hanya basikal untuk destinasi dekat. Jika perlu membawa Huzaifah begitu keadaannya seperti foto di atas.  Semasa Akif bayi ia menggendong Akif seperti orang Jawa menggendong anaknya dengan kain batik lepas Indonesia. Alat Gendong yang modern tidak terdaya membeli kerana Biasiswanya terhad. Dia tidak rasa kekok atau malu tidak bergaya macam ibu-ibu muda di bandar raya yang hebat itu. Dia di University Waseda mengikuti pengajian Sarjana. Itu fokusnya . Waktu itu anaknya belum disahkan istimewa. Doktor masih memberi harapan anaknya normal. Hanya di Malaysia pengesahan akhirnya di lakukan oleh pakar tempatan.

Semoga Allah terus memberi ruang dan memudahkan menjaga dan mendidik anak-anak ini. Ada ibu-bapa yang lebih usahanya kerana peringkat "keistimewaan" anak-anak berbeza. Anak saya menjaga dua sekali gos membuatnya kekadang keletihan. Saya menjadi "mangsanya" untuk berkejaran membantu. Kekadang ia minta pertolongan adik beradik sepupu yang tinggal berhampiran untuk membantu terutamanya semasa Akif berumur 4 atau 5 tahun kerana selalu sahaja ia lari "menghilangkan diri" bila mendapati pintu rumah tidak berkunci. Ini antara ciri anak Otisma. Alhamdulilah kini sudah hampir  melepasi masaalah itu setelah mengikuti program therapi......dengan izin Allah jua.

Saya memerhati kesibukan anak saya penuh empathy dan simpati. Walau apa pun, saya bersyukur ia dapat menjalani dan melalui kehidupan secara sederhana. Dia menyedari bahawa susahnya dia, masih ada orang yang lebih susah darinya. Kami berkongsi falsafah hidup yang amat berlainan dari orang lain kerana situasi kami berlainan. Semoga Allah sentiasa bersama dan memudahkan segalanya, bukan kami sahaja tetapi setiap ahli kommuniti anak-anak dan dewasa istimewa.

Aamiin ya Rabb....


HARDSHIP AND EASE WALAK HAND-IN-HAND IN THIS WORLD, 
AND EMBRACING THEM BOTH AS BEING FROM THE SAME 
BENEVOLENT SOURCE ENSURES THAT 
WE WALK WITH GRATITUDE FOR OUR BLESSINGS
AND GRATEFULNESS FOR OUR CHALLENGES.

SHEIKH HAMZA YUSUF.


...

Sunday, April 12, 2015

Hanya pada Guru....






Kami tersesat-sesat jalan untuk ke Royal Selangor Golf Club hari semalam. Bukan susah pun tetapi untuk warga Emas perjalanan yang mudah pun boleh jadi susah. Dari Kg Tunku ke Bukit Kiara hanya setengah jam sahaja yang diperlukan, tetapi kami mengambil masa hampir sejam.

Untuk apa ke sana dalam umur sebegini. Ah! ! kami meraikan Hari lahir Guru-Guru tersayang  yang sudah lebih 50 tahun kini sejak saya tamat tingkatan lima di Pontian Governmant English School, Johore.  Mereka berumur genap 77 tahun. (Guru kami yang lain ramai yang sudah kembali dahulu).

Generasi kini tidak hairan peristiwa yang saya ingin kongsikan kali ini. Apa ada pada Hari Kelahiran....Apa ada pada Guru?

Itulah bezanya dahulu dan sekarang. Guru adalah yang terhebat bagi kami. Dia marah, dia rotan, dia baling buku, dia dera murid berdiri lama dan berbagai lagi.....kami tetap sayang guru. Sebab guru marah hari ini.....esuk dia senyum seolah-olah semalam tidak ada apa-apa berlaku. 






Guru kami yang duduk di tengah, Ms Tan Li Kiang dan yang berdiri di tengah itu Mr Peter namanya. Dahulu memang kita panggil begitu....sekolah Inggeris lah katakan.  Suami saya di kiri sekali dan di kanan sekali itu Tan Sri Sulaiman Mahbob, orang kampung saya semasa di Pontian. Kami semua "graduate" tingkatan 5 bersekali melainkan Zainal yang berhijrah ke MCKK di tingkatan 4. 

Class of 1964 pada  tahun lepas mengadakan jamuan makan malam agak meriah sekali. Genap 50 tahun bertemu berpisah dan bertemu lagi. Saya hanya melihat foto yang ditunjukan oleh Tamyes yang berpakaian baju putih. Tan Sri Sulaiman junior setahun dan Chua yang duduk di kiri itu junior dua tahun. Suami saya tidak berkenaan. Dia menemani saya kerana saya kurang mengerti tempat itu.

Birthday cake yang di atas itu kiriman teman sekelas kami yang sekarang menetap di Singapura. Terima kasih Keng Feng. Saya bercakap dengannya di telefon sambil menikmati cake yang amat sedap sekali.  Zainal juga menumpang semangkok kerana hari Lahirnya jatuh pada hari itu. Yang rajin menghubungi setiap kami ialah Tamyes, Zainal, Dato Isa dan Ibrahim.Ibrahim berdiri dua dari kiri dan di kirinya ialah Dato Isa. Lawak orangnya dan tidak berhenti tertawa sepanjang kami bersama. Ibrahim agak pendiam. Zainal menjadi regu Isa membuka berbagai cerita.

Itulah perjalanan hidup. Sistem pendidikan waktu itu dapat menjalin kemesraan antara kaum. Dulu hingga kini. Ada kalanya abang Keng Feng bernama Keng Jee yang menetap di Australia mencari masa menghadirkan diri dalam perjumpaan kami. Hebat kemesraan kami.

Alhamdulilah. Namun kini saya tidak mahu mengatakan sama ada sistem kita dapat menjalin "pautan kasih" seperti itu. Kita tanya diri kita masing-masing.

Namun kami sedar bahawa Kurniaan Allah tidak serupa. Maka kami bersyukur pada apa yang ada. Semoga ada hikmahnya walaupun kami berlaianan agama. Allah itu maha Bijaksana dan kami memohon dikurnia rahmatNya sentiasa.



.....

Friday, April 10, 2015

Yang Benar Tetap Benar !





Yang benar tetap benar. Yang batil tetap batil. Kita selalu dengar ungkapan ini.

Kebelakangan ini kita selalu terdengar atau mendengar betapa riuh suasana di Malaysia mengenai kenaikan barangan dan perkhidmatan yang menjejas ekonomi rakyat biasa. Saya ikuti juga perbalahan fakta kewangan (high finance) dan pelaburan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Saya tidak memahami semua fakta tetapi merasai seperti ada yang tidak kena dengan keadaan ekonomi dan politik negara. Tuduh menuduh pun saya dengari, mahu atau tidak mahu, sedar atau tidak sedar.

Seperti boleh rasa cemas melihat masa depan Negara kita. Kemana Rakyat akan dibawa dan sejauh mana kemelut ini benar atau hanya khabar angin.

Walau apa pun saya cuba mententeramkan fikiran sendiri. Saya berdoa semoga Allah menerunkan Taufik dan HidayahNya pada peminpin disemua peringkat untuk melihat kelemahan dan kekuatan diri berdasarkan tuntutan syar'ie. 






KEBENARAN TIDAK AKAN MEMIHAK. Ada sokongan atau tiada sokongan, ada bantahan atau tiada bantahan, Kebenaran tetap Kebenaran. Contohnya: Kita beriman bahawa Allah itu Esa. Dia yang maha Pencipta dan maha Berkuasa atas segala tiap-tiap sesuatu. Percaya atau tidak percaya, itu hakikat. Kebenaran yang mutlak. Allah tidak rugi kalau ada bantahan dan  Allah tidak untung  kalau ada  sokongan sekali pun. Allah tetap Allah dengan segala Kebesarannya dan Kekuasaannya. 

Maka dalam kita memperkatakan masaalah yang ada di negara ini, saya tidak bingung atas fakta KEBENARAN. Cuma agak hairan memikirkan ada orang-orang termasuk pemimpin yang masih mahu berselindung sana dan mahu berselindung sini. Bukankah Allah maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi, maka mengapa perlu berhelah dan berhelah dan terus berhelah.

Saya sebenarnya rasa kasihan pada mereka yang tidak menerima hakikat bahawa Allah maha Tahu apa yang benar dan apa yang salah. Kalau tidak ada pengakuan di dunia ini, kita tidaka dapat melarikan diri di akhirat nanti.......hari Penyesalan yang tidak akan ada penolong atau penyokong. Saya sendiri bimbang kalau-kalau saya tidak dapat berlepas diri kerana saya telah terlibat atas sebab saya menggunakan kuasa mengundi.

Peliharalah kami ya Rabb........
Kami hamba-hamba yang kerdil yang bergantung pada belas kasihan Mu. Janganlah kami dihukum kerana kelemahan kami dan kesalahan kami. 
Kepada Mu sahaja kami mengabdikan diri.
Mohon keampunan Mu ya Rabb...

.....
Foto hiasan Pohon unik ehsan Widaat.  

....

Thursday, April 9, 2015

Malang - tiada siapa dapat menjangka........







Anak dan cucu-cucu saya tersadai di jalan kerana kereta rosak.(beberapa hari dahulu). Dia mengirimkan di whatsapp foto ini dan dia  rasa khuatir anaknya akan ketinggalan masa pada hari sukan Tadikanya. Saya katakan padanya tidak mengapa kalau tertinggal kerana peristiwa seperti ini pun mengajarkan anak-anak erti "sabar" melalui kesusahan dalam hidup. Manusia tidak dapat menduga kesemua yang akan berlaku. Apa latihan sekalipun ia harus dari kecil lagi.

Baru-baru ini juga seorang teman sekampung telah tergelincir jatuh di 'driveway' rumahnya semasa dia hendak bersegera naik kereta kawan untuk ke kelas pengajian agama. Didapti kemudianya di hospital bahawa patah di bukulalinya agak serious. Katanya kena masukan screw. Kini di Hospital tetapi saya belum berpeluang menziarahinya. Apalah saya ni! Amat tidak mobile.....

Saya agak terpegun sebentar bila mendengari berita ini kerana kata teman seorang lagi inilah kali pertama ia ingin ke kelas pengajian agama. Allah uji dengan halangan yang sememangnya memerlukan kesabaran dan mencari kefahaman mengapa sesuatu itu berlaku. Tafsiran teman luaran jangan diguna sebagai ukuran. Boleh didengar tetapi jangan pegang sepenuhnya, sebab Allah yang maha Mengetahui dan maha Menentukan.

Apa jua kemalangan sememangannya tiada siapa dapat menjangka. Kebelakangan ini Malaysia ditimpa berbagai kemalangan dan Allah turunkan berbagai ujian. Saya masih terkesan dan selalu sahaja teringat-ingat dan tertanya-tanya pada diri sama ada saya nanti dapat berlepas diri bersabit dengan apa yang berlaku di negara kita Malaysia ini.


Sama-sama kita doa semoga Allah sentiasa memelihara kita semua.


Kemalangan baru-baru ini yang berlaku berkaitan Helikopter yang terhempas juga membuat saya terfikir-fikir. Saya mengenali Allahyarham J. Jarjis semasa saya bekerja dahulu pada awal tahun  lapan-puluhan. Semasa itu Allahyarham adalah konsultant kami bagi beberapa projek pembangunan di Kementerian Pendidikan. Dalam ingatan saya projek pembinaan beberapa polyteknik. Mudah bergurau orangnya. Kami selalu dalam mesyuarat di Kementerian atau di tapak projek. Rasa tersedih juga bila mendengar berita yang malang itu. Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan Ruhnya bersama-sama Ruh para Solihin. Aamiin ya Rabb.........

Selepas tamat projek dengan jayanya, saya tidak lagi terjumpa dengannya. Hanya mendenar berita-beritanya di media massa. Namun saya terus ingat wataknya yang mudah berjenaka. 

Semoga Allah membantu kita mengambil iktibar atas apa jua kemalangan yang menimpa kita atau menimpa orang lain. Kekadang Allah menyentuh diri kita denagn kemalangan kecil untuk kita kembali padaNya, atau untuk kita besegera meneruskan kerja-kerja kebajikan dan tidak lagha dengan kerja-kerja yang tidak ada munafaat atau tidak ada nilai tambah yang dapat membantu kita di akhirat nanti.

Sama-sama kita beriktiar, berusaha, berdoa dan bertawalal pada yang maha Pencipta. Hanya Allah jua yang maha Berkuasa atas tiap-tiap segala sesuatu.

Mohon keampunan Mu ya Rabb....


Foto lokasi kemalangan ehsan whatsapp.
.....

Tuesday, April 7, 2015

Kita silap sebenarnya.......






Ini Huzaifah....a lone Ranger. Cucu saya ini  anak istimewa (OKU) dalam kategori ADHD ( Attention Deficient Hyperactive Disorder). Ibunya bawa sahaja bersamanya dengan adiknya  bila mengikuti program oleh Persatuan Otisma. Kasihan dia........
Kata ibunya kalau ada Persatuan, sememangnya dia ingin join sekali. Huzaifah harus dididik berinteraksi terancang dan teratur supaya dapat mengawal perilakunya yang sangat aktif. Ibunya menghantar untuk terepi oleh sebuah Syarikat Swasta. Yurannya mahal dan anak saya tidak mampu menghantarnya selalu.

Huzaifah di tahun 4 di kelas khas di sekolah Kebangsaan biasa di Putrajaya. Saya selalu bertanyakan pada ibunya perkembangannya. Kurang  memuaskan bagi saya. Mungkin saya terlalu berharapan tinggi dan latihan guru pendidikan khas oleh Kementerian Pelajaran tidak seperti yang saya harapkan. Saya tahu sedikit sebab dahulu saya bertanggongjawb atas Sumber Manusia seluruhnya di Kementerian itu dan ramai guru yang memilih Pendidikan Khas kerana tiada pilihan lain. Tetapi saya sudah bersara hampir 12 tahun, maka senario kini saya tidak mengikutinya. Semoga lebih baik.

Saya bertanyakan anak saya bilakah Huzaifah akan "sesuai" untuk diintergrasikan /di'immersekan' di kelas biasa yang sama umurnya. Gurunya masih belum berani untuk berbuat demikian. Saya seperti rasa sangsi akan penilaian ini. Saya bimbang guru lebih suka mengasingkan kerana lebih mudah mengendalikannya. Tempuh permulaan untuk diintergrasikan memerlukan usaha pemerhatian dan pengendalian yang rumit dan memerlukan kepedulian yang lebih sedikit. Ini fikiran saya. Ini tahun kedua Huzaifah di kelas Khas OKU dan entah bila ia akan dapat diberi peluang untuk cuba bersama anak-anak yang normal. Dia masih 'lone Ranger'.......

Sementara itu  dalam masyarakat kita anak OKU atau dewasa OKU tidak mendapat peruntukan kerajaan yang sewajarnya. Maka terpinggirlah kumpulan ini. Ini kerana manusia berkepentingan mengikut kehendak masyarakat yang biasa shaja. Ini lumrah dunia. Ibu bapa anak OKU harus berusaha sendiri dan cerita peminggiran mereka pernah diutarakan di media massa. Tetapi kurang kepedulian dari mereka yang sepatutnya bertanggong jawab.

Kata seorang doktor semasa saya membantu anak saya berurusan di Hospital Kerajaan, anak ADHD ini jika tidak diberi perhatian sewajarnya dari umur 3 atau 4 tahun dan juga berterusan, maka besar kemungkinan ia akan jadi "Mat Rempit" bila dewasa muda nanti. (Semoga Allah pelihara dan jauhkannya). Doktor itu tidak melawak. Ini pemerhatian professionalnya. Ramai anak-anak ADHD ini yang otak pintar, tetapi jika tidak ada pertolongan professional, mereka tidak dapat diajar ilmu yang setaraf dengannya dengan mudah. Mereka kurang daya Fokus.  Maka itulah ada yang tidak lulus peperiksaan awam yang diambil oleh anak-anak normal.  Masyarakat kata mereka ini 'bodoh'. Kita silap sebenarnya........

Huzaifah boleh membaca perkataan yang pendek dan sederhana panjang . Tetapi kalau perkataan yang panjang ia lambat mengenal dan membacanya. Guru dan Ibu-bapa harus sabar mengajarnya. Belajar mathematic pun begitu. Kalau tidak tahu membaca, manakan ia boleh belajar yang lainnya ! Saya difahamkan ada guru yang membiarkan anak-anak seperti ini bersendirian berbuat suka hatinya di bilik darjah kerana bilangan murid dalam kelas adalah besar dan mereka yang bermasaalah seperti ini biasanya tidak mendapat pemerhatian guru atau ciri perilaku anak seperti ini tidak diketahui oleh guru berkenaan. Sekarang saya faham bahawa setengah ibu-bapa akan malu mahu mengatakan anaknya bermasaalah dan tidak berusaha mendapatkan rawatan professional. Takrif OKU amat memalukan  dalam pemikiran sesetengah ahli masyarakat dan mereka tidak  mahu mendapatkan pertolongan profesional.(They are in self-denial).

Semoga satu hari nanti kerajaan akan lebih peduli dengan masalah OKU supaya mereka mendapat perhatian yang sewajarnya, iaitu yang lebih adil dan saksama. 

Namun saya yakin Allah yang maha Pengasih dan maha Penyang dan maha Mengetahui serta maha Adil dan Saksama punya perancangannya sendiri. Fenomena OKU adalah ujian bagi semua yang terlibat. Namun kita juga harus bersyukur kerana Allah memberi perhatian yang lebih.  Kita berusaha dengan penuh redha semoga Allah meredhai. 
Aamiin ya Rabb.....


....

Sunday, April 5, 2015

Rezki dari langit.....





Ini kisah seorang teman sebaya yang dirundung malang buat seketika. Suatu hari teman akrab saya ini Allah uji berbagai ujian, tetapi tidak seberat ujian yang tiba-tiba seperti tidak mencukupi "wang di saku" untuk berbelanja. Tidak mencukupi simpanan kecemasan. Biasanya jika ada sesuatu masaalh dia akan menalipon saya dan menceritakan apa yang sedang dihadapi. Jika masaalah itu serious dia akan mohon sekadar apa yang dapat saya bantu. Kami sama faham memahami.

Kali ini saya tidak mendengari ceritanya untuk beberapa hari dan saya rasa kerisauan juga kerana saya tahu dia dalam perjalanan agak jauh dengan anak cucu untuk cuti-cuti Malaysia di musim cuti sekolah. Tetapi oleh kerana saya ketika itu demam agak berat maka saya tidak ada kederat menaliponnya. Setelah beberapa hari mendiamkan diri, teman saya menalipon saya mengatakan kereta yang dipandu anaknya mengalami kerosakan yang agak teruk dan menjejaskan perjalanan. Dia hanya meminta bantuan anaknya sahaja dan setelah masaalah selesai barulah dia membuka cerita yang agak rumit saya mendengarinya.

Tetapi dia dan suami masih boleh "relax" dan bercerita santai dengan saya. "MasyaAllah", kata saya di mulut dan di hati. Dalam keadaan terdesak mereka masih tenang. Bila di tanya dari mana mendapatkan pertolongan "ongkos" yang agak tinggi untuk menyelesai masaalah, ia menjawab : "Pertolongan dari langit"....Rezki dari langit, maksudnya. Dengan doa mereka dan cucu-cucu  dan ikhtiar anak,  masaalah dapat diselesaikan, untuk jangka pendek dan jangka panjang. Kurniaan Allah tiada siapa boleh menjangka. Apa yang dihadapi agak rumit pada saya kerana ia membawa cucu-cucu yang masih kecil dan belum memahami kesulitan seperti itu.

Dipendekan cerita, ia pulang ke rumah lega. Cucu-cucu masih dapat menikmati keseronokan bercuti bersama keluarga. Saya pun lega kerana masaalah kewangan yang agak rumit nampak seperti mudah diselesaikannya. 

Maka saya berfikir-fikir  dan melihat kembali janji Allah mengenai rezeki. Saya ingin kongsikan di sini sebagai maklumat tambahan pada diri-diri kita manusia yang sering lupa. Khusus untuk diri sendiri yang sering lupa dan dalam umur senja kini saya perlu  selalu berwaspada. Dalam sebuah blog saya terbaca mengenai bagaimana mengundang rezki dengan mudah. "My Ibrah" nama blog itu. Saya salinkan dibwah ini secara ringkas. Sila lihat di blog itu untuk penjelasan lanjut.

(Gambar hiasan.   Bekerja kuat berbakti pada tanah mencari rezeki.)


  1. Menyempatkan diri beribadah.
  2. Memperbanyak Istighfar.
  3. Tinggalkan perbuatan dosa.
  4. Sentiasa ingat Allah.
  5. Berbakti dan mendoakan Ibu-Bapa.
  6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah.
  7. Tunaikan hajat orang lain.
  8. Banyak bersolawat.
  9. Buat kebajikan banyak-banyak.
  10. Berpagi-pagi.
  11. Menjalin silaturrahim.
  12. Kekal berwudhu.
  13. Bersedekah.
  14. Bertahajud dan solat Dhuha.
  15. Bersyukur pada Allah.
  16. Mengamalkan zikir dan bacaan alQuran.
  17. Berdoa.
  18. Berikhtiar sehabis-habisnya.
  19. Bertawakal.
Blog itu menyebut sumber sebagai: http://www.hanan.com.my/

Rezki dari langit. Di Bumi kita berusaha dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa rezki Allah turunkan pada manusia dalam berbagai bentuk. Antaranya ialah kurniaan ilmu dan kesihatan tubuh badan dan fikiran. Tidak terkira nikmat Allah yang kita terima dan lalui. Cuma kita manusia sering lupa mensyukuri.

Saya ingin mencontohi teman saya ini dan mereka yang istiqamah dalam melakukan saranan yang tersenarai di atas. Semoga Allah memberi kekuatan pada kita semua ke arah itu.
Aamiin ya Rabb....

....

Thursday, April 2, 2015

Sokongan....2nd April, WORLD AUTISM AWARENESS DAY.




Hari ini 2hb April telah diiktiraf oleh Badan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai hari World Autism Awareness Day seDunia. Marilah sama-sama kita memahami masaalah-masaalah semuaa yang terlibat dalam mengendali mereka yang tergolong dalam kategori Otistik.

Allah kurnia Rahmatnya berbagai cara dan berbagai bentuk. Di Malaysia mereka yang otistik di kira sebagai mereka yang kurang upaya OKU. Namun kita harus mensyukuri semua kurniaan Allah kerana tidak ada ciptaan makhluk Allah yang sia-sia. Ini disebut dalam alQuran surah Ali Imran, ayat 191. Maka janganlah kita rasa terpinggir jika salah seorang dalam keluarga kita yang dilahirkan otistik.

Kebolehan mereka dan keterampilan fikiran mereka adalah berbagai. Namun pasti ada hikmahnya. Kita bersyukur dan berusaha mendidik dan membina mereka sebaik mungkin semoga mereka bolih berdikari sebaik mungkin. Kita yang Allah kurnia kesempurnaan semoga berjiwa besar dan membantu sebaik mungkin.

Seorang cucu lelaki saya juga otistik dan mengikut anak perempuan saya seorang jurulatih renang bila mengetahui ada anak-anak istimewa dalam kumpulannya, ia memberi latihan percuma dan tidak mengenekan bayaran seperti yang dikenakan pada anak-anak normal. Alhamdulilah. Ia berjiwa besar dan memberi sokongan moral.

Marilah sama-sama kita membantu mereka yang memerlukan. Bukan pada komuniti Otisma sahaja, tetapi pada semua yang kurang upaya dan memerlukan bantuan. 

Semoga Allah melimpahkan Rahmatnya pada semua.
Aamiin ya Rabb...

....
Related Posts with Thumbnails