"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, April 21, 2016

Cerita Bumbu Asli dan Pasar karat......



Saya di Johor Bahru akhir minggu lepas mencari ilham untuk kesinambungan hidup. Di umur dewasa tua kita juga perlu bersantai untuk menilai semula perjalanan hidup ini adakah ia masih di landasan syar'ie. Dalam kesibukan mahu menyumbang pada kesejahteraan ummah dikhuatiri kita hilang fokus pada prinsip pengabdian yang syumul. Saya foto selfi santai dalam bilik buget hotel untuk kirim pada suami saya yang tidak turut serta. Hotel KOZI namanya dan di bawah ini satu sudut di hotel itu saya rakam untuk kenanagan.


Di sebelah hotel KOZI ada sebuah restaurant yang namanya membuat saya teruja untuk mencubanya. BUMBU ASLI namanya. Saya bukan pintar masak memasak tetapi perkataan bumbu tiba-tiba mengingatkan saya pada kakak sulung saya yang kini sedang berehat di alam Barzah. Semoga ia sejahtera di sana dengan kurnia rahmat Allah yang tidak terhingga.

Kakak sulung saya ini punya bakat yang tersendiri dalam masak memasak. Air tanganya membuat makanan yang mudah tanpa bumbu yang sempurna pun merasa sedap. Keluarga saya orang kampung biasa dan ketika itu tidak selalu makan daging dan ayam atau ikan mahal-mahal saban hari. Kami makan seadanya dan arwah kakak saya yang membuat hampir semua masakan dapat saya rasakan kelainannya. Saya sering sekali merinduinya terutama pada Hari Raya. Dia chef istimewa kami sekeluarga. Dia tidak memberitahu satu persatu apa resipi yang digunanya dan berapa ukurannya. Dia cuma kata: "Long masak lenggang kangkung. masukan saje apa yang teringat di-kepala dan apa yang ada dimata. Ikut rasa." Arwah Kak Long saya tidak "mengijazahkan" kepandaiannya. Begitulah cara orang kampung. Kalau hendak belajar kita kena perhati sendiri semasa melihat dan masak bersamanya.




BUMBU itu perkataan Jawa dan saya keturunan Jawa maka itulah saya 2 kali sarapan di situ. Sedap sekali dan saya suka rekomen pada siapa jua.

Kami juga putar-putar mencari pengalaman baru kerana saya seperti orang asing di Johor Bahru. Teman saya ajak saya ke PASAR KARAT, pasar malam istimewa menjual barang-barang lama , katanya.



Papan tanda pun sudah nampak karat.



Petang hampir maghrib belum ramai peniaga yang sedia menjual barang.
 Dalam hati saya berkata-kata adakah tempat solat di pasar ini
 kerana peniaga ramai sekali sibuk memunggah barangan.
 Tetapi saya bersangka baik.Semoga semuanya solat maghrib.
 Rezki Allah yang bagi. 
Maka ketaatan pada perintahNya tidak boleh dijual beli.



Tidak ada apa yang menarik perhatian kami
 kerana datang terlalu awal
 dan kami pulang tangan kosong. 
Teman saya membeli sehelai tudung yang biasa sebagai tanda
 samapi di pasar itu. Tersenyum saya.
 Saya warga Johor tetapi tidak pernah tahu
 mengenai Pasar Karat ini.
 Rasanya tidak cukup promosi untuk pelancung.


......

Wednesday, April 20, 2016

Bila meningkat tua, rasa macam jadi bodoh......





Umur saya makin lewat senja......
Tetapi masih mohon dikurnia kederat untuk ke sana ke sini berbuat sesuatu yang bermunafaat.

Kami berhenti seketika di Pantai Lido Johor Bahru keletihan setelah berputar-putar menjelajah bangunan Johor Sentral dan bangunan-bangunan yang berhampiran dengannya. Suami teman saya yang memandu kereta juga kepenatan.

Mengimbas semula peristiwa petang itu, saya menjadi seperti rusa masuk kampung.........
Ini pepatah melayu yang menerangkan perilaku orang yang tidak tahu bagaimana membawa diri di tempat yang ia tidak biasa, di tempat yang membuat dia bingung dan rasa khuatir akan keselamatan diri.



Walaupun saya dahaulu belajar di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) saya sudah tidak mengenali lagi pembanunan yang pesat di Johor Bahru. Kalau balik kampung di Pontian, saya tidak ke mana-mana lagi. Berehat sahaja dengan keluarga kakak-kakak di rumah mereka.

Kali ini saya ke Johor Bahru menziarahi keluaga teman saya dan teman akrab saya. Kami teringin ke Singapura menaiki teksi kerana kami fikir itu yang termudah bagi warga emas seperti kami. Kami di beritahu kami akan dapat maklumat di Johor Sentral. Untuk ke Bangunan itu kami sesat barat dan berpusing beberapa kali baru bertemu jalan masuk untuk parking. Di kawasan parking juga kami terpinga-pinga. Alhamdulilah akhirnya dapat parking dan kami naik ke atas intuk menyerbangi jalan lalu jejantas ke banguanan Johor Sentral. Lihat foto di atas akan Jejantas itu.



Pemandangan dari atas jejantas.

Pemandangan dari escalator.



Selfi merakam lawak fikiran dan hati
Tidak jumpa tempat yang dicari.

Dilihat dari bawah sepertinya mudah. Rupanya tidak. Dan kami dapati tidak banyak sinage (tunjuk arah) untuk membantu pengunjung yang baru pertama kali dan pengunjung tua seperti kami. Maka kami ulang alik tidak menentu. Itulah tajuk blog saya "Bila meningkat tua, rasa macam jadi bodoh..." Tidak cepat menukar tindakan dan cari cara yang lebih memudahkan. Tambahan pula sudah banyak maklumat ikut IT. Itu lagi membingungkan kami. Teringat saya akan arawah ibu mertua saya. Beliau yang selalu kata macam tajuk blog saya. Apa yang dilalui berbeza tetapi hakikatnya sama. Golongan tua semacam sudah tidak relevan dengan hidup yang dipenuhi kecanggihan sistem dan berbagai lagi kecanggihan waktu kini. Waktu itu saya berumur akhir lima-puluhan dan baru sahaja bersara. Masih ingat IT yang biasa saya gunakan. Kini sudah banyak yang hilang dari ingatan kerana tidak mempraktikannya lagi. Agaknya sebab itulah anak-anak muda yang ramai tidak pandai berkomunikasi dengan golongan tua dan tidak ramai yang benar-benar pandai dan seronok menyantuni golongan tua.

Alahai......
Kami akhirnya batalkan cadangan untuk ke Singapura......
Entah bila dapat berkunjung ke sini lagi.

Itu sedikit catatan perjalanan warga emas. Pada Mei nanti saya insyaAllah mencapai 71 tahun. Semoga Allah memberi ruang dan peluang dan kederat untuk pengabdian beramal soleh. Semoga Allah meredhai. Allahumma Aamiin.


......

Tuesday, April 19, 2016

Selepas sekian lama........




Saya rasa amat bersalah kerana lama tidak menziarahi teman saya ini yang sakit untuk beberapa lama. Saya tanyakan diri saya mana ehsan seorang teman. Walaupun beliau di Johor Bahru dan saya di Petaling Jaya saya tidak seharusnya menjadikan itu alasan untuk tidak berkunjung ziarah.

Satu pagi beliau SMS saya menceritakan sakitnya sudah berkurangan. Saya bertambah rasa bersalah dan mengambil keputusan untuk pergi menziarahinya.

Suami saya tidak turut sama kerana kesibukan dengan gaya hidup yang baru dipilihnya. Saya pergi dengan teman yang sama-sama mengurus Tadika SmarTop di Tangkak.



Alhamdulilah, amat bersyukur  teman yang lama saya tidak hubungi ini nampak segar dan ceria. Kami berpelukan dan kami hampir menitiskan  air mata kerinduan. Jawariah namanya, seorang guru bahasa Inggeris sebelum bersara. Kini ia mengajarkan alQuran pada dewasa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya. Namun ada juga yang datang agak jauh bila mendapat tahu beliau juga mengajarkan cara yang mudah-mudah untuk merawat diri dari gangguan.




Kini bulan Rejab dan Jawariah dan suaminya berpuasa. Kami yang datang dijamu kuih muih untuk minum petang. Agak kekok bagi kami. 

Perbualan kami berlegar dalam kisah hidup sebagai warga emas. Jawariah menghadiahkan kami buku zikir yang diperolehi olehnya semasa mereka berada di negara Yamen beberapa tahun sebelum perang dahulu. Suaminya seorang guru Mathematik yang sudah bersara dan kini mengajar di UTM Johor Bahru. Apabila ekonomi negara agak gawat seperti yang kita tahu sekarang, beliau menyumbang kepintarannya secara suka rela. Alhamdulilah. Semangat nya untuk meningkatkan darjat umat Islam amat tegar sekali. Saya rasa insaf dan rasa patut menyontohinya. Beliau bukan Islam asli. Beliau memeluk Islam dalam umurnya 27 tahun. Insya Allah saya akan cari jalan sewajarnya. Semoga Allah menunjuki jalan dan menanamkan rasa untuk istiqamah dalam perjuangan pengabdian hanya padaNYA.

Sebelum pulang saya melihat taman di sekeliling rumahnya. Ia masih rajin menanam pokok-pokok terutamanya yang berkaitan dengan jenis pokok yang boleh dijadikan ubat-ubatan.






Foto di atas dan di sebelah kanan ini saya ambil sebagai kenanagan dan untuk saya bercerita dengan anak-anak kerana Jawariah mengenali anak-anak saya dan cucu-cucu saya yang istimewa. Beliau bersikap positif mengenai sakaitnya dan bersyukur Allah telah mengurnia padanya rezki zahir dan batin yang melimpah ruah. Sakit yang dihidapnya sikit sekali berbanding kesenanagan yang diperolehinya, dengan rahmat Allah semata-semata. Dengan sakit yang dihidapinya membuat ia lebih banyak dan lebih beristiqamah beribadah pada yang maha Pencipta.

Saya malu pada diri sendiri kerana belum sampai ke tingkat maqam iman yang ada padanya. Cakap-cakapnya sentiasa merendah diri dan sentiasa bersandarkan pada kekuasaan Allah semata-mata.




Ini bunga raya yang unik yang ada di taman comelnya.
Saya rasa teruja....

Suka menghias taman adalah satu terepi diri yang amat baik sekali. "very refreshing" dan menyegarkan minda sentiasa.

Kami pulang jam lima petang. Rasa tidak mahu pulang kerana belum puas bercerita-cerita mengenai hidup dan kehidupan. Dia tidak membaca blog atau apa jua sepertinya. Maka cerita saya ini Jawariah tidak akan tahu. Semoga kegigihannya mengajarkan ilmu pada jiran-jiran jauh dan dekat Allah terima sebagai amal solehnya. Saya berdoa semoga kalau tidak jumpa lagi kerana masa makin singkat, kami akan berjumpa di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan kurnia Rahmat Allah yang tidak terhingga.

Aamiin ya Rabb.....


........

Monday, April 18, 2016

Tadabbur Alam untuk Si Cilik.....






Hari khamis minggu lepas kami di SmarTop Subur Fitrah preschool membawa anak- anak kecil kami ke Sengkang, Muar untuk sessi Taddbur Alam bagi anak-anak umur 4-6 tahun. Kami  ke ladang sayuran tidak jauh dari sekolah kami. Seronok mereka dapat berada di luar kelas. Penerangan diberi oleh pegawai dari Jabatan Pertanian kerana projek ini adalah di bawah naungan mereka.




Sayuran yang utama ialah sayuran dari jenis dedaun. Sawi, bayam, kucai, pucuk manis dan sebagainya. Kawasan ini luasnya 100 ekar dan pekerjanya majority dari Indonesia.

Tentunya anak-anak tidak dapat memahami semua yang didengar dan dilihat. Tetapi kami memberi penerang semudah mungkin. Biar mereka tahu sedikit sayur yang mereka makan datangnya dari mana. Dihujung penerangan kami sudahi bahawa sayuran-sayuran ini Allah yang menghidupkannya. Manusia menanamnya dengan izin Allah. Kami tidak mengharapkan mereka faham tujuan pembelajaran pada hari itu, tetapi kami yakin bila mereka membesar ada diantara mereka yang akan ingat dan cuba faham.

Melentur buluh dari rebungnya.

Kami membawa makan-minum dan mereka seperti berkelah di kawasan ladang. Kelihatan seronok walaupun cuaca panas. Kami di sana hanya selama sejam lebih sahaja kerana tidak mahu anak-anak kepanasan.



Datin Nuraini mengetuai rmbongan


Sebahagian anak-anak mendengari penerangan guru.


Ladang yang luas.


 Pegawai memberi penerangan pada kami usaha
 kerajaan negeri Johori.
Bersamanya ialah En. Zulkifly, Pengerusi Parents Support Group,
 PSG sekolah kami.
Beliau yang berkerja keras menjayakan exercise ini.
SmarTop mengucapkan terima kasih.


Semua mendapat ole-ole sayuran dedaun termasuk 
anak-anak untuk ibu-bapanya.
Teruja semuanya.



Gambar kenangan. Semoga Allah memberkati usaha kecil ini ke arah
membina minda anak-anak dari kecil lagi.


......

Wednesday, April 13, 2016

Walk for Humanity....




Ahad 10 April: Anak perempuan saya mengajak saya Ke Shah Alam bersama cucu-cucu untuk mengambil bahagian "WALK FOR HUMANITY" anjuran sebuah NGO yang dibantu oleh beberapa NGO. 

Saya tidak ambil perhati dari segi pengurusannya kerana saya sudah tidak aktif dalam hal-hal seperti ini. Mula-mula bersara dahulu saya bersama Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan jadi sukarelawan Aman Palestine.Kini saya dipinggiran sahaja.

Sejurus selepas subuh kami bertolak sesudah cucu-cucu makan roti untuk alas perut supaya ada tenaga untuk berlari atau berjalan pantas. Rupanya kami terlambat. Pihak penganjur memulakan acara tepat pada masanya. Agaknya ramai yang solat di padang untuk memastikan ketepatan masa. Alhamdulilah kalau demikian. Apa usaha kemanusian sekalipun, Allah mesti didahulukan.




Antara badan-badan sukarela yang turut menjayakan acara Walk for Humanity ini ialah Persatuan Autisme Muslim Malaysia. Anak saya mengatakan penyertaan adalah untuk mempromosi bahawa Autisme tidak menjadi penghalang sepenuhnya dalam membina hidup normal.

Seorang cucu saya, Akif, juga autistic dan sekarang sedang menjalani berbagai therapy untuk mengatasi masaalahnya. Akif termasuk dalam kumpulan "Mild Autism" maka ia mudah berbanding yang lainnya untuk dibina dan diasuh menjadi normal.

Hari itu dia berkarenah sedikit kerana saya yang kurang sensitif dengan perilakunya mengarahkan dia supaya jangan memggangu pekerja Persatuan menghias khemah. Rupanya dia seronok membantu dan merajuk bila dilarang. Kelihatan di foto di bawah ini ia sedang di pujuk oleh Tok Ayah.







Cucu saya yang seorang lagi, Ujai, tidak bermasaalah menerima arahan pada hari itu. Ujai juga istimewa dalam kategori ADHD. Dia menjalani therapy, semoga ia dapat menjadi anak yang biasa dan dapat berdikari bila dewasa nanti.

Hari itu dia steady sahaja. Malangnya ibunya tidak memeriksa kasutnya dan ia bermasaalah apabila berjalan pantas. Kami gelak bersama dan ia menjadi satu soft pengajaran untuk masa-masa akan datang.



Saya ambil foto ini sejurus sebelum mula berjalan. Asim, di kiri sekali, bukan anak istimewa dan tidak didaftarkan awal. Namun ia mahu juga berserta. Alhamdulilah dibenarkan. Anak saya dan cucu-cucu menamatkan perjalanan dan mendapat Bag Goodies yang sediakan. Seronok semua.

Ini adalah usaha kecil kami untuk cuba memastikan anak-anak istimewa terdidik dengan nilai-nilai murni untuk sama-sama menyumbang pada kemanusiaan sejagat,HUMANITY. Melentur buluh dari rebungnya.



Saya seronok anak-anak muda hari ini ramai yang peka dan peduli membantu mereka yang memerlukan. Pihak penganjur memaklumkan mereka mentargetkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM250,000 untuk mereka yang memerlukan terutamanya di negara-negara yang dilanda peperangan. Mereka memfokus untuk anak-anak yang memerlukan anggota palsu. Saya hanya mampu berdoa semoga kesampaian.

Program hari tu penuh dengan berbagai acara untuk semua ahli keluarga dan dijangka tamat jam 4 petang. Tetapi kami pulang dalam jam 1 tengah hari. Suami dan saya sudah kepenatan menjaga cucu istimewa yang sangat aktif. 

Alhamdulilah terjalin kasih sayang dalam keluarga. Semoga berpanjangan dan berkekalan. Aamiin.......

.......

Tuesday, April 12, 2016

Keriangan di Tangkak......







Keriangan bermula dengan senyuman bila melihat bunga mawar di laman bunga di rumah kami berkembang. Kecil sahaja tetapi bila berbunga, seronok yang amat sangat.

Bukan Mawar sahaja, bunga Kemboja yang merah     pun berbunga buat kali pertamanya. Widad yang menanam bunga-bunga ini tidak melihatnya kerana ia tiada dengan kami waktu itu.




Esuknya keriangan ini berterusan kerana sambutan yang kami terima oleh ibu-bapa untuk mesyuarat PARENTS SUPPORT GROUP (PSG) di SmarTop amat menggalakan. Selepas sarapan kami mula bersidang jam 9 pagi dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola, YBhg Dato Safaruddin. Kami sangat puas hati dengan sambutan tahun ini dan sumbangan idea dari ibu-bapa amat memberangsangkan.

Alhamdulilah, kurnian Allah memberi kami semangat yang lebih kuat untuk melaksana program pada tahun 2016 ini. Antara yang istimewa tahun ini ialah kami telah memulakan proses menubuhkan sebuah Koperasi sebagai satu usaha untuk meningkatkan lagi kumpulan Dana bagi Tadika dan Taska kami. Dengan sokongan ibu-bapa juga kami berdoa semoga hasrat kami kesampaian.

Saya rakam di sini foto-foto untuk kenangan.



Antara parents yang hadir. Kiri sekali Hjh Nortipah, Ahli Lembaga.


Dato Safaruddin memberi kata aluan.

 
Teacher Muz, memberi penerangan program untuk 2016.


Sebahagian lagi yang hadir.


Seorang Ibu, Puan Ainul. Guru Pendidikan khas dan sanggup memberi nasihat untuk anak-anak yang istimewa.



Kenangan semua. Duduk ketiga dari kiri En Dzulkifly.
Pegerusi PSG dilantik untuk 2016.

Ahli Lembaga Pengelola mengucapkan ribuan terima kasih pada semua.
Keriangan yang amat sangat.
Alhamdulilah. Semoga pencapaian tahun ini lebih cemerlang.
Aaminn ya Rabb.

.....

Putar-putar cari kedamaian....




Kami pulang dari Tangkak Sabtu lepas dan singgah di Bandar Baru Bangi untuk berurusan sedikit mengenai peralatan pejabat yang perlu diganti atau perlu pembelian baru. Saya ikut "karenah" partner saya untuk berhenti "lepak" sebentar di GATEWAY Mall. Salah seorang staf SmarTop punya adik yang pakar dalam jual beli computer dan lain-lain peralatan. Kami mendapat nasihat yang berharga bagaimana mahu berjimat dalam hal-hal pembelian dan penggunaan alat-alat pejabat.

Alhamdulilah, lepak yang bermunafaat.

Kami berhenti makan tengah hari dengan menu yang ringan-ringan sahaja. Tiada nasi. Hanya salad dedaun dan kentang dan salad buah-buahan. Beza selera yang amat memuaskan. Teman saya memilih ikan salmon dan lamb untuk dimasak ketika itu juga. Saya teruja dengan cara yang berbeza dan berharap dapat datang lagi.

Saya sebenarnya ingin mencari bukan sahaja beza menu makan tetapi juga mencari beza suasana dengan harapan dapat melapangkan sedikit kekusutan di fikiran yang sedang saya cuba selesaikan. 

Tidak mungkin putar-putar di Shopping Mall boleh melegakan segalanya. Tetapi saya rasa riang melihat karenah orang-orang yang berbagai cita rasa di hujung minggu. Ia menjadi satu terepi ke arah fikir zikir untuk memunafaatkan detik-betik hidup yang tidak mungkin boleh diulangi. "Treasure the happy moments as we tread along..." saya tersentuh teringatkan nasihat seorang teman dengan tiba-tiba.

Alhamdulilah, rasa lega buat seketika dan seakan-akan dapat menyelami hati budi manusia walaupun hanya "Touch-n-Go" sahaja.

Setiap detik hidup kita adalah berharga. Maka saya yakinkan diri saya semoga hanya menumpu pada perkara-perkara yang kita bawa bersama bila bertemu yang maha Pencipta. Dalam umur kini, mungkin tidak lama lagi.

Mohon Redha mu ya Rabb.....


....
Related Posts with Thumbnails