"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, November 13, 2018

Prestasi cucu di sekolah...@ akhir tahun.






Sekolah di Malaysia berbagai jenis dan berbagai tahap  kepintaran anak-anak muridnya. Senang cakap begitulah keadaannya. Tidak perlu huraian panjang di sini sebab saya ingin cerita pendek sahaja mengenai cucu-cucu saya di sekolah rendah di Puchong. Puchong yang mana saya kurang pasti kerana saya tidak rasa perlu tahu sebagai nenek / embah yang sudah lama bersara.

Hanya saya amat khuatir bila ibu bapanya menghantar markah yang diperolehi di peperiksaan akhir tahun untuk makluman saya. Cucu saya yang perempuan di tahun 3 dan seorang lelaki ditahun 4.  Yang perempuan dapat no. 1 di kelasnya dan no. 9 di darjah keseluruhannya. Markah puratanya melebihi 80%.

Ada perbezaan antara pandai dan cerdik. Saya perhatikan cucu saya yang ini pandai tetapi potensi cerdiknya belum digilap sewajarnya. Dia belum mudah menjawab soalan-soalan terbuka bila berada di rumah saya. Dan jawapannya ada kalanya tidak spontan. Dan dalam menjawab soalan, rupa wajahnya kurang nampak ceria. Saya agak risau walaupun ia no. 1 di kelas.

Cucu yang lelaki punya kebolihan terserlah mengenai hal-hal yang berkaitan teknologi. Selain itu prestasinya belum memberangsangkan dan saya berhasrat dalam cuti sekolah ini mereka akan lama di rumah saya dan saya ada rancangan berinteraksi dan mengharapkan dapat membuat mereka seronok belajar dan seronok menjelajah secara virtual hal-hal dan benda-benda yang mereka belum tahu.

Cucu yang lain belum perlu saya beri ulasan buat kali ini. Dua orang cucu saya yang "istimewa" saya akan cerita di lain entry, insyaAllah.




Di atas adalah antara foto cucu-cucu yang saya ambil 2 tahun yang lalu sebagai hiasan sahaja. Semoga dengan program cuti sekolah yang saya cuba laksanakan  mereka dapat melanjutkan persekolahan ke perinkat menengah dengan lebih berkeyakinan diri dan mampu mengikuti proses pembelajaran yang lebih mencabar. Semoga kesampaian hasrat saya ini sebelum saya menutup tirai yang akhir.

Sesetengah nenek / embahn tidak akan masuk campur dengan cara anak dan menantu mengurus dan mengatur strategy untuk memastikan anak-anak bukan sahaja dapat menguasai membaca menulis dan mengira tetapi juga berjaya dalam membina kebolihan berfikir dan bertindak sendirian mengikut peringakat umur yang dilalui. Tetapi saya  suka mencelah kerana saya tidak bolih melihat sahaja. Saya ambil peduli dan ingin mengisi ruang-ruang yang belum diterokai dalam membimbing anak-anak perinkat sekolah rendah untuk mencapai kecemerlangan mengikut fitrah yang Allah kurnia.

Semoga ada munafaatnya.......


........

Monday, November 12, 2018

Mencari kekuatan diri....







Semua kita ada masaalah, cuma sesetengah orang tidak mahu mengiktiraf bahawa kesusahan yang dihadapinya itu masaalah. Ini sikap yang baik asal sahaja kita tidak mengaggap diri kita "luar biasa" dan kita tidak perlukan pertolongan dari sesiapa jua......

Dalam alQuran manusia yang Allah ceritakan bermasaalah tetapi tidak mengiktiraf ia bermasaalah ialah FIRAUN. Dia menganggap dirinya Tuhan. Tetapi di saat-asaat akhir nyawanya hampir terbang dia mengiktiraf adanya Tuhan. Tetapi dia tidak mengenali Tuhannya. Dia hanya mengatakan "Aku beriman dengan Tuhan Bani Israel". Tentunya Allah tidak terima. (lihat ayat di bawah).

A090
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".
(Yunus 10:90

Tafsir muktabar mengatakan Allah tidak terima kerana antaranya Firaun mengaku di saat yang dia sudah tidak ada pilihan lain. Dan juga Firaun sebenarnya tidak mengaku Musa itu Rasulullah dan dia sebenarnya tidak mengenali Allah dan mengaku secara ikut-ikutan sahaja.

Ini muqadimah saya dalam berbicara sedikit mengenai "mencari kekuatan diri". Cerita Firaun di atas itu untuk meyakinkan kita bahawa kita tiada kekuatan melainkan dengan kekuatan Allah.

Saya terpanggil berfikir sedikit mengenai maaalah mencari kekuatan diri kerana baru-baru ini saya dan suami bersembang cuba mencari-cari penyelesaian mengenai seorang ahli keluarga yang menghadapi masaalah dan sepertinya ia kelihatan tidak bermaya dan tidak dapat mengendali rumah tangga dengan sempurna. Dia rajin berusaha tetapi Allah belum menyampaikan hasil yang diharapkan. Mungkin dia rasa amat kecewa kerana bebanan hidup makin hari makin berat. Saya perhatikan dia tidak selesa dalam keadaan riuh rendah anak-anak bermain dan menjerit-jerit sama sendiri. Dia sering tidak pulang rumah dan saya mendapat tahu dia tidur di pejabat. Jika pulang ke rumah ia akan pulang sangat lewat malam dan anak-anak pun sudah lenyak tidur. Maka hubungan dengan anak-anak saya perhatikan menjadi agak renggang. 

Satu hari nanti (insyaAllah) saya bercadang hendak bercerita terus terang dengannya dan mungkin memberi buah fikiran apa yang harus dilakukan untuk tidak rasa stress dan boleh melalui hidup dengan tenang walaupu banyak masaalah dan besar pula masaalah-masalah tersebut. Saya ingin katakan bahawa dari segi mencari rezeki, kita jangan khuatir ia berjaya atau tidak berjaya. Allah akan memberi rezeki yang mencukupi. Cuma kita harus mengerti apa konsep rezeki dalam Islam dan apa tafsiran qadha dan Qadar Allah sebenarnya. Kita harus mempertingkat amal ibadah juga dan rajin bermunajat dan berhubung terus setiap malam dengan Allah kerana Allah itu amat kasih pada hamba-hambanya dan amat mendengari rintihan hamba-hambanya. Yakinkan diri begitu.....

Ayat di bawah adalah antara ayat yang mengatakan "cukuplah Allah bagi ku....".


A129


Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."
(At-Taubah 9:129


Dan juga ayat berikut:

A173
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
(A-li'Imraan 3:173

Related image


Akan saya katakan juga kata-kata mutiara dari google dan ayat-ayat yang di bawah ini. Semoga rasa lega. Allah beri harapan. Dalam tiap-tiap kesusahan, Allah beri kemudahan. Allah uji dengan masaalah. Pasti ada hikmahnya. Kita hanya perlu usaha dan berdoa berterusan. Kita bersabar dan redha atas sega ketentuanNya. Di hujung segala masaalah Allah akan ganti dengan kesenangan. Jika tidak di sini pasti sahaja di sana.  Allah maha kasih sayang pada hamba-hambanya yang taat.

A005
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,


A006
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.


Saya baru bercadang dan berfikir-fikir untuk berbicara dengan ahli keluarga ini kerana saya harus berhati-hati semoga apa yang dikata terkeluar dari minda yang terhidayah. Semoga saya mendapat  teguran atau lontaran pendapat dari pengunjung budiman bagaimana kita bolih menguatkan tekad dan kekuatan diri untuk merentasi segala masaalah yang ada.

 Mungkin saya akan beri dia buku yang berjodol "LA TAHZAN". Saya rasa buku ini juga dapat membantu kita berjiwa kental dan berkeyakinan bahawa pertolongan Allah itu amat dekat jika kita bulat beramal dan yakin padaNYA. 


Semoga Allah kurnia kekuatan. Semoga Allah kurnia limpah Rahmatnya yang tidak terhingga. Aamiin.....


........

Sunday, November 11, 2018

Sekelip mata.....

Image result for gambar mata indah


Kita sering berdoa semoga Allah tidak meninggalkan kita
 keseorangan walau sekelip mata pun.
Begitu pantas yang dapat ditakrif kelajuan sekelip mata.
Bagaimana mahu mendapat dan menghargai kurniaan Allah ini
 dan tidak mahu  terpisah walau sekelip mata pun.

Ini fakta ibarat sahaja. Hakikatnya kita merasai
 kewujudan Allah dengan
 merasaiNya di hati nurani. Tidak mungkin 
dapat kita bercerita hal ini
kerana ia suatu yang ghaib yang hanya Allah
 yang maha Mengerti.

Sama-sama kita doa semoga kita sentiasa 
dalam pangkuan Kasih Sayangnya dan tidak terpisah
 walau sekelip mata pun.
Aamiin.


foto ehsan carian google

Friday, November 9, 2018

Mengapa buat andaian terburuk.....@ Tun M?




Sejak perubahan Pemerintahan di peringkat pusat, berbagai pula pendapat yang kita dengari di luar sana. Ada pendapat mirip pemikiran politik, ada yang mirip pemikiran ekonomi dan ada yang mirip semata-mata sosial. Apa jua pendapat ia tidak bolih diasingkan secara mutlak. Pastinya ia kait mengait.

Maka fenomena itu membuat saya rasa seperti menghadapi senja walaupun pada hakikatnya kita baru sahaja menempuh Era Baru didalam pengendalian Urustadbir Negara. Barisan Nasional tumbang digantikan dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh  YabTun Mahathir. Beliau mewarisi suatu keadaan yang amat rumit dan setengah orang mengatakan negara ini sudah amat bobrok hampir dari semua segi dan bukan mudah untuk membaiki kebobrokan ini.

Saya tidak bercadang berbicara mengenai semua masaalah yang dihadapi oleh Rakyat biasa seperti saya dalam melalui kehidupan baru ini.  Saya tidak mampu berbicara mendalam kerana saya tahu ia amat rumit sekali.

Saya hanya ingin mengatakan bahawa kita harus memberi Kerajaan PH ini peluang dan ruang dan berilah  masa  untuk berbuat yang terbaik dalam semua bidang. Saya percaya semua tindakan tidak dapat dibuat serentak. Ada kumpulan pendapat yang sudah menuduh itu dan ini ke atas Kepimpinan Perntadbiran PH. Mustahil semuanya dapat dilakukan  dalam 100 hari. Kata pepatah Inggeris: "Rome was not built in a day".

Maka dalam ruang ini saya hanya ingin menyentuh sedikit (hanya sedikit) tentang hal-hal yang berkaitan Bajet 2019 khusus mengenai Kementerian Pendidikan. (Saya bertugas di Kemernterian Pendidikan selama 20 tahun dan rasa tersentuh dengan pendapat-pendapat yang diutarakan dalam media sosial)

Saya melihat sedikit sahaja apa yang terbentang dan amat "sedih" dengan analisa yang dibuat oleh sesetengah pihak yang mengatakan Kerajaan PH memberi lebih perhatian pada pendidikan sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan bukan sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah yang "beraliran Agama". Dari segi wang ringgit, ini sepertinya satu analisa yang betul. Tetapi tidak semua analisa itu betul. Janganlah kita menggunakan logik semata-mata dalam membuat apa-apa teguran kerana tidak semua yang logik itu benar. (Bacalah rencana-rencana atas tajuk "The Falacy of Logic" untuk melihat sesuatu kebenaran dari berbagai sudut)

Hari ini dalam entry ini saya ingin  melihatnya dari sudut yang berbeza sedikit.

Dalam keluarga besar saya, hal ini menjadi bicara penting kerana ramai dalam keluarga saya yang minat pendidikan, perniagaan dan ada sedikit yang berminat politik. Ramai juga yang punya setimen tinggi tentang kepentingan MELAYU. Sebenarnya dalam keluarga besar saya ini ada yang berketurunan Mamak, keturunan Cina, Keturunan Arab, keturunan orang Asli, keturunan Jawa totok, keturunan Pattani dan mungkin ada lainnya yang tidak terkesan.

Sudah lebih 60 tahun Malaysia merdeka tetapi orang Melayu katanya masih belum bolih berdiri sendiri dan belum bolih bersaing secara langsung dengan kaum Cina. Lagi marah ahli keluarga saya mengenai hal ini kerana katanya Kerajaan PH ikut snagat telunjuk DAP. Dikatanya Tun jadi kuli DAP. Amat tidak sempurna kata-kata ini.

Janganlah kita mudah-mudah menuduh itu dan ini tanpa fakta yang konkrit, dan Nas yang sohih.

Sesekali berjumpa topik  mengenai Ketuanan Melayu pastinya timbul isu DAP "kurang ajar"  pada Melayu. Tetapi tidak perlu saya bicara panjang lebar di sini kerana sudah banyak yang diperkatakan di Luar sana oleh yang "bijak pandai" dan yang kurang dari itu.

Saya kemukakan satu cadangan pada ahli keluarga saya untuk mengatasi masaalah kaum Cina "bully" kaum Melayu, Cina tipu Melayu dan berbagai lagi. Apa pun saya berpendapat hendaknya kita jangan "complain" sahaja dan menuduh yang salah itu Cina, yang salah itu kepimpinan Melayu  tetapi tidak ada tindakan dari sudut diri sendiri untuk mengatasi masaalah ini jika kita benar-benar rasa ini masaalah sebenar.

Apa dia?

Mungkin ada keperluan kita semak semula dasar Bahasa Kebangsaan dan kita semak semula dasar perlaksanaan bahasa-bahasa Asing, Mandarin terutamanya. Sudah lebih 60 tahun Merdeka, hanya segelintir orang Melayu yang boleh berbahasa Mandarin ditahap yang sewajarnya. Dan kita Melayu tinggal di negara yang sama tidak tahu Mandarin. Cina tahu Mandarin dan dialect lain, tahu bahasa Melayu, tahu bahasa Inggeris dan ramai yang tahu satu lagi bahasa asing.  Melayu?........termasuk saya, berapa bahasa asing yang kita tqahu? Nak kata Melayu tahu bahasa Arab, itu tidak memenuhi fakta bahawa  kita mahu bahasa kumpulan manusia yang sekarang ini sudah hampir menguasi Dunia dalam semua bidang. Siapa yang rugi?.......

Saya sudah mula memikirkan ini semasa saya bertugas lagi tetapi tiada siapa yang mendengari saya. Mungkin kerana saya tidak jelas ataupun mungkin saya tidak berfikiran munasabah kerana tidak selari dengan pemikiran arus perdana ...........

Mungkin kita boleh alihkan pemikiran kita dalam menganalisa mengenai peruntukan kewangan untuk jenis-jenis sekolah yang ada di negara kita. Sekarang ini ada yang mengatakan bahawa  Kerajaan PH lebih "sayang" pada sekolah-sekolah berbentuk pendidikan Cina yang menggunakan Bahasa Mandarin.  Kita semua pastinya tahu dan sedar bahawa fakta utama untuk memahami jiwa  sesuatu bangsa, tidak kira bangsa apa, kita mesti menguasi bahasa bangsa itu. Kita tidak mudah "ditipu" oleh mereka yang berbahasa Inggeris sebab kita hebat berbahasa inggeris. Saya yakin orang Melayu lagi hebat dalam bahasa Inggeris berbanding kaum Cina. Bahasa Arab juga. Tetapi kita tidak mahir langsung dalam bahasa Mandarin. Dan kita sombong untuk berlajar bahasa Mandarin kononnya kita beri muka pada kaum Cina.

Sebenarnya kita yang kerugian. Hari ini orang Cina boleh "mengata kita, mencaci kita" depan-depan dan kita tidak tahu. Kita senyum sahaja......

Saya dimaklumkan sekarang ini Kementerian Pendidikan sudah menghantar guru-guru untuk berlajar Mandarin di Beijing. Saya pernah meminta seorang dari mereka semasa cuti untuk mengajar sedikit Mandarin di Tadika SmarTop saya di Tangkak Johor. Tujuannya hanya untuk membuka minda anak-anak kecil bahawa dalam laluan pendidikan kita akan bertemu dengan fakta Bahasa Mandarin. Sekurasng-kurangnya mereka pernah dengar perkataan "Mandarin" dan pernah menyanyi lagu-lagu Mandarin yang sesuai dengan kanak-kanak. Kami agak terkilan kerana program Tadika kami tidak dapat berterusan kerana kami tidak dapat guru bahasa Mandarin yang mahu  dan dapat membantu kami.

Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa  kita janganlah  banyak komplain sahaja tetapi tidak berbuat apa-apa untuk duduk sara rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum cina. Kita harus hantar anak-anak dan cucu-cucu kita masuk sekolah Aliran Cina/Mandarin bermula tahun hadapan 2019. Pengurusan sekolah tersebut mungkin tidak mahu menerima dan kalau bolih dan mahu menerima pun tidak ramai yang dapat dibenarkan. Jika fenomena ini timbul pastinyqa Kementerian Pendidikan akan membuat dasar baru yang boleh membuat anak-anak melayu bersaiang dengan mereka. Kita kusai Bahasa, kita bolih kuasai ekonomi dan lain-lain lagi. Saya yakin dengan cara ini Bahasa Melayu tidak hilang, dan Melayu akan lebih kuat kerana punya kebolihan setaraf dengan Cina. Ini percubaan yang perlu komitmen dari semua yang benar-benar sayangkan Melayu. Ia akan memakan masa tetapi "the long journey starts with the first mile".

Saya mengharapkan Kementerian Pendidikan dapat memahami pemikiran seperti ini dan mencuba sedikit demi sedikit. Saya berkeyakinan strategy ini tidak akan menjejaskan status bahasa Melayu.

Belum cuba belum tahu.....

Dan dari bahasa Mandarin, mudahlah kita mempelajari dialect-dialect Cina yang lainnya. Mula dengan ini secara rasmi. Pasti kita bolih berdiri sama tinggi dalam masa kurang 10 tahun, insyaAllah. Dan bila ada bahasa Mandarin mereka yang berminat mengembangkan agama Islam pun mudah berbuat demikian. Maka orang yang berminat memperjuangkan Kebenaran Islam bertambah mudah mengembang sayap mereka. Bayangkan berapa besar penduduk negara China. Islam di mana?

Tolonglah saya, dan mereka yang yakin dengan cadangan saya. "To beat them you must join them". Jangan terlalu sombong dengan penguasaan bahasa Melayu. Sekarang ini pun kuasa besar dunia sudah menampakan Republik China akan mengatasi Amerika Syarikat. Bila-bila masa sahaja ini akan berlaku. Saya tahu banyak negara Afrika sudah mempelajari bahasa Mandarin secara intensif dan extensif. Tetapi kita masih mahu bicara bahasa Melayu dan Ketuanan Melayu sahaja.

Disamping itu Malaysia harus juga mempromosi bahasa bahasa Asing secara besar-besaran. Siapa yang bijak bahasa tidak pernah rugi......

Maka saya ingin berhenti disina dalam hujah saya dan menekankan sekali lagi supaya kita munukar "mind set" kita mengenai bahasa Mandarin dan benar-benar mengenali budaya mereka yang berbahasa Mandarin. Itu pun bentuk pengabdian pada Allah swt.

Maka saya suka sarankan sekali lagi  supaya  kita beri Yab Tun dan team Kepimpinannya munafaat atas keraguan (give the benefit of the doubt) yang ia bolih berjaya memertabatkan Melayu dan janganlah kita membuat andaian yang terburuk tanpa memberi Yab Tun peluang dan masa yang diperlukan. Ingatlah "Rome was not built in a day". Jikalau PH tidak menunjukan sesuatu yang terbaik, kita tukar 5 tahun dari sekarang.

Fikirkanlah. Saya sekarang berumur 72 dan rasanya tidak kesampaian melihat cucu-cuc berbahasa Mandarin.
WaAllahu'alam.



.............

Wednesday, November 7, 2018

"Sorong Papan Tarik Papan...." @ keluarga sakinah

Tahun 2018 ini hampir ke penghujungnya.

 Alhamdulillah Allah kurnia kesihatan yang mencukupi untuk menjalankan tanggong jawab sebagai isteri, ibu dan nenek pada keluarga yang sederhana besar bilangannya. Lumrahnya hidup, tidak ada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan dan tidak pernah dirundung kemarau. Lahirnya kita ke dunia Allah sudah sediakan berbagai rezki dan ujian hidup semata-mata kerana Allah mahu mendekatan kita kepadaNYA.

Maka malam kelmarin anak-anak buat "get-togather" keluarga tanpa perancangan. Dua hari sebelum itu suami dan saya mengingati  tarikh ulang tahun kami dihijab-kabulkan. Alhamdulillah. Di bawah ini foto terkini semua ahli keluarga anak-anak saya ada bersama....termasuk pembantu yang setia. Lima belas orang kesemuanya dan seorang cucu saya meninggal ketika dilahirkan. Cucu saya yang tertua berumur 13 tahun dan yang terkecil sekali berumur satu setengah tahun. Jika Allah panjangkan umur, laluan hidup masih terlalu jauh. Semoga umur yang dianugerah membawa munafaat buat semua.




Untuk menjamu selera kami tidak bersusah payah memasak berbagai hidangan itu dan ini. Anak perempuan saya pergi membeli bahan-bahan untuk masakan "Steam-Boat" versi sendiri yang anak-anak kecil pun boleh menikmatinya.

Alhamdulillah masih ada baki dan anak saya bawa pulang kerana saya dan suami sahaja tidak mampu menghabiskannya.
Alhamdulillah semua rasa terhibur dalam suasana keluarga bahagia. Selalu sahaja saya katakan pada anak-anak bahawa  untuk bahagia kita tidak perlu wang ringgit yang lumayan yang membolehkan kita berbelanja itu dan ini.

Tidak semua dalam kehidupan kita ini yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Yang penting harus ada keikhlasan dan rasa tanggongjawab mengikut apa yang disyariatkan. Kita harus ada sikap  "give and take" dalam apa jua masaalah keluarga yang perlu dilalui bersama. Kita ambil yang jernih dan buang yang keruh. Ibarat kata "sorong papan tarik papan". Semangat maaf memaafkan, mahu pujuk memujuk dan ada sikap bertolak ansur harus sentiasa ada di dada dan ringan dikata-kata.

Untuk membolehkan kita bertolak ansur, kita harus bina kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Dan ikatan kasih sayang hanya boleh terbina jika kita patuh pada perintah dan larangan Allah. Buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang tanpa mencari helah dan tanpa rasa iri hati dan hasad dengki. Untuk tujauan ini kita tidak boleh melalui jalan lain. Ia semestinya melalui apa yang diajarkan dalam prinsip Rukun Islam dan semestinnya menghayati apa yang termaktub dalam rukun Iman. Tidak ada jalan lain.

Untuk mencapai ketenangan dalam hidup kita harus mengikuti wasilah atau jalan yang Allah telah tentukan sama ada terus melalui alQuran atau yang di sampaikan oleh Rasulullah saw dalam hadith-hadithnya. Kita pegang kuat bahawa kebergantungan kita hanya pada Allah sahaja.Dan tidak ada kekuatan melainkan dariNYA.

Jangan kita  ikut apa yang disarankan oleh pegangan agama lain seperti pergi meniru proses "pakar-pakar" yang mempromosi cara  "meditation", atau lain-lain cara yang sama dengannya. Untuk memastikan kita faham apa yang diwajibkan, maka kita semestinya berusaha menuntut Ilmu dari guru yang mursyid, guru yang bertauliah dan guru yang pasti tidak menyesatkan kita. Untuk tujuan ini kita harus bersungguh-sungguh mencari hingga puas dihati. Jangan cari jalan pintas yang boleh menggelincirkan. Kira harus mencari teteman  dan sahabat handai yang takut pada Allah, yang taat pada segala hukum-hukum yang ditentukan. Teman-teman ini boleh memberi nasihat yang membina dan boleh menunjukan kita Ustaz dan guru mana yang kita harus hampiri dan dampingi sebagai sumber Ilmu yang dapat membawa kita ke jalan yang diredhai Allah. Semoga dengan cara ini Allah kurnia tahap Iman dan Taqwa yang tinggi. Semoga kita dikurnia Redhanya dan RahmatNya yang tidak terhingga dan kita selamat di dunia dan di akhirat.



Itu sahaja coretan saya. Dalam saya mengingatkan anak-anak saya juga mengingatkan diri sendiri kerana tidak ada manusia yang sunyi dari kelemahan dan kesilapan. Semoga Allah mengampuni segala kekurangan dan kelemahan dan apa jua dosa yang senghaja atau tidak senghaja. Semoga Allah terima amalan-amalan yang tidak sempurna ini dan semoga Allah sentiasa memelihara.
Aamiin ya Rabb.....


.........

Monday, November 5, 2018

Dari bicycle ke tricycle......rasa unik.





Sampai masanya saya kuatkan minda untuk aktif walaupun tiada partner untuk bermain tenis atau badminton.

Alhamdulillah kini saya dapat "tricycle" ehsan adik ipar untuk berbasikal berhampiran perumahan saya sebagai usaha untuk mengaktifkan otot-otot dan rasa sihat sebaik mungkin. Mustahil kita sihat hanya memakan makanan bermutu tinggi dari sedi zat dan apa jua yang berkaitan dengan kekuatan badan yang Allah telah kurnia selama ini.

Menaiki tricycle amat berbeza dari menaiki bicycle. Dan saya rasa bermasaalah kerana masih menggunakan akal minda semasa muda berbanding sekarang yang telah hampir 72 tahun.

Sebenarnya naik tricycle tidak perlu rasa akan jatuh sebab sudah ada tiga roda (wheels). Tapi cara saya mengimbangkan diri masih cara lama dan asyik berhenti menggunakan kaki sebagai tunjang. Maka sakitlah kaki kerana tersentuh tayar yang dibelakang. Suami saya pun sekarang ini menaiki tricycle, tetapi ia lebih cepat menyesuaikan keadaan badan dan ciri-ciri tricycle itu. 

InsyaAllah saya akan bersabar dan belajar sesuatu yang saya tidak menyangka saya akan sampai ke tahap kesihatan seperti ini. Alhamdulillah anak menantu saya akan berjalan di samping saya menunjuk ajar dan menentukan saya tidak jatuh.


Lebih setengah jam saya mencuba-cuba dan sudah nampak perbezaannya. Alhamdulillah. Maka saya dapatlah berseronok sejauh 300 meter. Itu sahaja dan saya "give up" kerana tempat duduk itu agak keras dan rasa tidak selesa. Maka saya minta anak menantu saya naik menuju pulang ke rumah dan saya berjalan di sampingnya. 


Seronok juga melalui pengalaman baru ini. Tetapi saya katakan pada anak lelaki saya bahawa saya masih berangan-angan untuk membeli bicycle dua roda. Itu "semangat ego" seseorang yang dulunya tidak pernah duduk diam. dan semoga kembali aktif akan membawa munafaat kerana dalam Islam kita tidak ada konsep bersara. Semoga saya akan dapat lebih selalu memantau Tadika SmarTop yang saya bangunkan bersama teman akrab saya di Tangkak Johor jika saya kembali "aktif dan kuat".
Mohon doa pengunjung budiman semoga impian jadi kenyataan.
Jika ada kesempatan insyaAllah saya update episod tricycle ini, walaupun saya hanya syok sendiri. Hingga dilain kali.......


....

Wednesday, October 31, 2018

Nothing to contribute?....@ anak-anak OKU.



Foto di atas itu cucu saya yang sulung dikirim oleh ibunya untuk perhatian saya semoga dapat mendoakan kesejahteraannya. Dia oku dalam golongan ADHD. Kami redha Allah kurnia dua orang cucu konfirmed oku. Di atas itu antara perilaku yang "biasa" dalam keadaan ia penat dan "boring". Namun jika ibunya ada di rumah fenomena ini terkawal sedikit. Hari itu ibunya bertugas luar kawasan dan Ujai tidur lambat kerana terpaku dengan apa yang disukai di komputernya. Biasanya Ibunya akan mendisiplin mereka untuk tidur awal dan komputer di simpan dalam kawalan ibunya.Malam itu ia tidur amat lewat dan pasti mengantuk keesukan harinya. Namun kalau ia budak "normal" pasti ia akan rasa malu tidur di kelas. Tetapi Ujai akan berbuat yang "baik" atau "sesuai" dalam fikirannya.

Semenjak saya ada dua orang cucu yang oku, saya sering memerhatikan secara rambang bahawa ramai  dalam masyarakat kita yang masih belum dapat menerima bahawa tidak semua jenis oku itu berkaitan dengan dna ibu. Itu fahaman saya. Maka saya tidak rasa prejudis bila berhadapan dengan anak-anak oku dimana jua. Itu merupakan kurnian Allah dan tiada siapa yang boleh mengatakan apa hikmanya. Pasti ada hikmahnya dan kita harus yakin dan bertindak sewajarnya.

Sehubungan ini ingin saya berkongsi masaalah yang dihadapai oleh anak-anak oku dalam pembelajaran Ilmu Fardhu Ain terutamanya dalam menguasai pembacaan AlQuran. Baru-baru ini anak saya (ibu Ujai) meminta saya melihat deraf surat/ kertas kerja yang hendak dikemukakan pada JAKIM supaya ada kepedulian tinggi dipihak Jakim untuk lebih serious menangani masaalah pengajaran dan pembelajaran ilmu fardhu ain. Kertas itu akan dihantar pada Jakim dan akan  ditandatangani oleh NGO yang mana anak saya menganggotainya. Saya sedar sudah ada langkah ke arah ini tetapi saya berpendapat belum mencukupi kerana guru-guru di kelas KAFA (sekarang ada nama lain) tidak dilatih dalam bidang ini, tidak seperti disekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah. (Mohon pencerahan dari pembaca budiman jika saya ketinggalan zaman).

Maka dua cucu saya dilatih oleh ayahnya untuk menghafal sahaja surah yang mudah-mudah kerana amat sukar mahu melatihnya dengan membaca. Dua cucu saya ini dihantar juga dikelas jiran tetangga yang mengajar membaca alQuran. Kata anak saya strategy dan usaha ini tidak menampakan hasil yang memuaskan. Bukan salah guru kerana ia bukan guru khas oku ADHD dan Otisma. Pastinya amat sukar untuk menarik perhatian anak-anak ini untuk memfokus atas tugasan yang diberi. 

Di luar sana sudah ada beberapa NGO yang punya kepedulian tinggi untuk mengatasi masaalah ini bukan sahaja bagi dua jenis oku yang berkaitan cucu saya tetapi semua jenis oku yang mempunyai keupayaan untuk belajar jika ada guru yang terlatih khusus bagi menangani masaalah yang berlainan dalam sifat-sifat yang Allah kurnia atas mereka. Saya lihat isu terbesar dalam hal ini ialah ketiadaan DANA yang mencukupi untuk membiayai  usaha-usaha yang dijalankan oleh ngo-ngo ini. Kerajaan pun saya rasa tidak ada dana yang mencukupi.

Berdetik dihati saya bahawa mungkin mereka berfikir anak-anak OKU ini "has nothing to contribute" pada masyarakat. Sebab itulah mereka tidak pernah diberi keutamaan yang sewajarnya.
Semoga kita tidak lupa bahawa ramai orang-orang OKU yang hebat-hebat dari segi pemikiran ada di luar sana tetapi cara mereka berfikir harus kita bijak menyalurkannya pada sesuatu yang sepadan dengan keupayaan mereka.

Semoga kita tidak "give up on them". Ayuh kita sama-sama berusaha walau kecil sekalipun untuk membantu anak-anak OKU semoga mereka menjadi dewasa yang boleh berdikari dan bermunafaat pada diri dan masyarakat.

Semoga Allah Mengurnia limpah rahmatNYA yang tidak terhingga pada anak-anak oku ini dan ibu bapa mereka dalam usaha mereka mendewasakan anak-anak ini. 
Aamiin ya Rabb.......


......
Related Posts with Thumbnails