"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, August 14, 2011

PEMINAT IMAM

 



(Gambar hiasan - solat di salah sebuah masjid di Beijing).

"Ke mana menghilang ?" saya bertanya khabar seorang teman sementara menunggu bermulanya solat terawih kelmarin dulu. Sudah 3 atau 4 malam dia tidak kelihatan.
"Saya ikut anak menjejak "Sheikh Imam Sudais" Malaysia di Masjid Negeri. Dia menjawab dengan senyuman. Dia menyebut  juga  nama beberapa Masjid lain tetapi saya sudah lupa namanya.

"Wah seronoknya !" saya menyambut cerita dengan rasa iri hati. Saya tidak ada anak yang berkesempatan berbuat demikian.

Beberapa hari sebelum itu Imam ini berada di Masjid tempat saya Solat di Kelana Jaya dan saya kagum dengan kebolehannya membaca alQuran sangat hampir seperti Sheikh Sudais, Imam Besar Masjid Al Haram di Makkah.Siapa yang tahu akan pergi mengikutinya di mana beliau mengimamkan Terawih. Bacaan yang 'power' dan syahdu membantu kehusyukan dan 2 jam seperti sebentar sahaja.

Saya percaya ramai yang meminati Imam seperti ini bagi mereka yang pernah ke Makkah, atau mendengarinya di UTube. Status seorang Imam itu sememangnya tinggi. Walaupun kewibawaan seorang Imam bukan terletak semata-mata atas qualiti bacaannya sahaja, tetapi qualiti itu mennjadi pembuka jalan bagi menarik minat pengunjung Masjid dan tarikan seperti ini membantu pengikut-pengikut yang bersolat di masjid menjadi lebih selesa dan terdorong untuk mengerjakan Terawih setiap malam. Dorongan seperti ini  perlu bagi langkah permulaan membina Iman seseorang.  Saya percaya ada beberapa Imam yang akan dijejaki oleh peminat atas seba-sebab tersendiri. Kalau bukan suara dan qualiti bacaan, maka atas sebab lain seperti qualiti ceramahnya atau sesi soal jawabnya atau sebab-sebab lain yang dirasai istimewa baginya.

Keadaan ini berbeza semasa saya muda dahulu. Hari ini Imam-Imam  sudah ramai yang berkelulusan sekurang-kurangnya peringkat sarjana muda sama ada dari University tempatan atau luar negara. Malah ramai yang hafaz alQuran kesemuanya. Alhamdulilah negara kita sudah mencapai kemajuan yang amat pesat dan dapat meningkatkan qualiti  ibadah dan dakwah di negara ini. Dengan adanya program IMAM MUDA seperti di Astro Oasis, maka jawatan Imam kini mula "disanjung tinggi", iaitu ramai yang mula yakin bahawa jawatan Imam bukan jawatan yang dipegang kerana tidak ada jawatan lain yang sesuai atau atas sebab sebab yang tidak selari dengan kehendak masyarakat. Masyarakat kini berilmu dan makin canggih pemikirannya termasuk permikiran dalam halehwal Islam.


Sessi ceramah di sebuah Masjid 


Tetapi yang "menyedihkan" bagi diri saya ialah saya tidak jelas sekarang ini siapa di pihak Kerajaan kita yang menambil tanggong jawab untuk menentukan jawatan Imam itu benar-benar setaraf  (atau lebih tinggi)  dari jawatan profession yang lain di negara kita ini. Sekarang ini  saya perhatikan secara rambang masih ada orang yang memandang jawatan Imam itu sebagai "second class" kerana gajinya kecil. Anugerah IMAM MUDA boleh membantu menaikan Imej seorang Imam tetapi pada pandangan saya ia belum mencukupi.

Dari apa yang saya tahu jawatan imam adalah lantikan Masjid  secara persemdirian. Kalau di Selangor ini, "Gaji" seorang Imam merupakan elaun yang dibayar oleh Masjid dan tambahan elaun dari JAIS. Sistem jawatan Imam Masjid Negara terletak di bawah  fungsi JAKIM. Saya kurang arif, cuma saya difahamkan bahawa perlntikannya adalah mengikut peraturan yang termaktub di JAKIM dan Jabatan Perdana Menteri.
Maka tangga gajinya adalah selaras dengan pegawai-pegawai lain di situ. Itu yang saya difahamkan waktu dahulu. Saya mengharapkan kedudukan Imam masjid-masjid utama kerajaan sudah mendapat pengiktirafan yang tinggi setara dengan jawatan lain di negara ini.

Tetapi sebagai Peminat IMAM saya rasa terkilan apabila Imam di masjid-masjid yang tidak utama yang saya "minati " terpaksa meletakan jawatan kerana terpaksa mencari tugas ditempat lain dengan bayaran gaji atau elaun yang lebih tinggi. Maklumlan di Lembah Kelang ini kos sara hidup amatlah tinggi dan gaji/elaun seorang Imam yang lebih kurang Rm 1800 bagi seorang lulusan Sarjana Muda amat tidak memadai. Sesetengah  masjid juga tidak flexible dalam jadual tugas Imam yang membolehkan seseorang Imam membuat kerja-kerja "freelance "  untuk menampung sedikit sebayak keperluan asas yang mendesak. Ada pihak yang berpendapat elaun Imam tetap di Masjid sudah mencukupi.

Selain dari bayaran saguh-hati sampingan, saya berpendapat Imam-Imam ini perlu mendedahkan diri dengan berbagai keadaan di luar sana supaya tugas asas Imam yang dipegangnya tidak menjadi kaku dan terhad pada Ilmu semasa di University sahaja. Tambahan pula, Imam yang dibenarkan " beredar" akan  dapat memenafaatkan keistimewaannya pada qariah yang lain dan ini secara tidak langsung dapat membuka minda sesetengah masyarakat yang masih bersikap kurang mementingkan perjalanan sesebuah Masjid.

Apa yang saya ingin katakan sebenarnya adalah isu professionalisma Imam, iaitu "laluan Kerjaya seorang Imam".  Saya ingin tahu adakah mana-mana pihak yang mengambil tanggong jawab ini agar kepentingan Masjid, masyarakat dan diri Imam itu sendiri terpelihara dan dapat mencapai matlamat objektif  'Mengimarahkan Masjid'. Kewibawaan termasuk qualiti bacaan alQuran seorang Imam adalah begitu penting sekali kerana ia dapat menarik hati  peminat ahli qariah atau melesukan hati-hati mereka. Lihat sahajalah mengapa sesetengah masjid itu bilangan jemaahnya tinggi dan sesetengah masjid itu sepi. Isu Mudir dan ahli Jawatankuasa Masjid juga penting tetapi Isu Imam itu sendiri amat penting dan perlu perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkuasa.




Saya perhatikan jika masjid-masjid mempunyai dana kewangan yang kuat maka ia boleh melantik dua atau tiga atau empat orang Imam mengikut kesesuaian dan dapatlah ia membentuk suatu jadual tugas harian atau mingguan yang flexible dan membolehkan Imam mengikut giliran menerima jempuatan dari luar.  Di samping ia boleh mendapat  tambahan saguh-hati, ia boleh menimba pengalaman kerana dapat bergaul dengan berbagai jenis orang yang berkunjung di masjid itu atau di mana sahaja ia dijemput untuk bersama sebagai Imam atau sebagai penceramah atau  motivator apa jua yang tidak bercanggah dengan jawatan seorang Imam. Malahan Masjid yang punya dana kewangan yang besar, masjid itu sendiri boleh membiayai Imam-imanya menjalani kursus tamabahan samada dibidang keilmuan, memperkemas kebolehan mentadbir aktiviti atau memperbaiki qualiti bacaan dan"lagu" bacaan atau apa jua yang sewajarnya.

Soalannya ialah: "Siapakah yang bertanggongjawab memastikan dana kewangan Masjid itu mencukupi?" Adakah Masjid boleh bergantung pada sumbangan orang ramai sahaja. Saya berpendapat negara kita ini sebuah negara yang kaya, maka tidak ada sebab Masjid tidak boleh di luluskan dana yang mencukupi. Jawatan Imam seharusnya di fikirkan semula supaya ia boleh berterusan bertugas disesebuah Masjid jika perlu. Jika struktur jawatan di bentuk semula dan menjadikannya sebagai  jawatan tetap dengan segala kemudahan perkhidmatan yang  setara dengan jawatan lain, maka saya percaya Imam-Imam yang berpotensi tinggi akan lebih kekal lama dijawatannya. Ini akan menguntungkan semua pihak, termasuk pihak yang berkuasa kerana kesetabilan pentadbiran masjid akan lebih terjamin. 

Sebenarnya banyak lagi yang boleh difikirkan mengenai kerjaya seorang Imam. Fikiran saya sampai di sini dulu. Pihak yang berkuasa, jika ia mahu, boleh memurtabatkan  Jawatan Imam seperti ia memurtabatkan jawatan -jawatan penting yang lain. Hendaknya kita tidak befikiran bahawa Imam hanya mengimamkan solat semata-mata. Jika kita andaikan bahawa tugasnya adalah mengimamkan solat semata-mata sekalipun, kita harus percaya bahawa peranan Imam amatlah penting. "An Imam can move mountains". Iaitu seorang Imam itu dengan kewarakannya insyaAllah ia boleh menyentuh hati-hati nurani makmumnya hingga mereka akan cinta pada Ibadah Solat, salah satu tiang agama.  Kalau kita ambil ringan tentang  hakikat solat dan hubungan rohani antara Imam dan makmum, maka kita hanya melihat seorang Imam itu berfungsi  selama 60 minit sahaja sehari semalam pada hari-hari biasa. Bayangkan tersilapnya anggapan ini. Kalau begitu keadaannya kita sudah tersasar jauh dari landasan Iman dan Taqwa.
Sekian, waAllahua'lam.

2 comments:

Temuk said...

Assalamualaikum
Satu cetusan yang menarik mengenai status dan rol imam dalam era masa kini.

Setuju agar para imam, khususnya yang mempunyai kelayakan akademik tertentu, diberi kedudukan yang setimpal dalam susunatur jawatan. Sekaligus patutlah diberi tangga gaji yang sewajarnya. Setuju juga agar para imam dapat melebarkan skop tugasnya sehingga mencakupi juga tugas memberi perkhidmatan kemamasyarakatan sekurang-kurangnya di peringkat kariahnya sendiri.

ngasobahseliman said...

Wakmsalam. Kesuwon Mas Temuk sudi mamper di blog saya. Sesekali ada yang setuju dengan pendapat saya tu seronok juga. Alhamdulilah. Semoga suatu hari nanti ada pihak yang membela profession Imam. Namun Imam-imam sendiri harus bangun menunjuk prestasi yang "par excellence" dengan harapan akan terbuka minda yang masih tertutup dan akan terbuka luas untuk melihat bahawa Imam- imam boleh membentuk barisan kepimpinan yang terunggul dalam masyarakat, bukan setakat mengetuai solat sahaja.
Dalam hal ini dasar dan proses Pendidikan negara kita harus juga selaras dengan hasrat memberi pengiktirafan yang sewajarnya pada kerjaya Imam. Semasa saya berkerja dahulu, saya masih ingat lagi bahawa Bahagian Sekolah di Kementerian Pendidikan tidak memberi pengitirafan pada pelajar yang menjadi Imam di asrama dari segi memeberinya markah tinggi sebagai aktiviti ko korikula yang unngul. Ketika itu markah dalam aktiviti ko kurikula dikira amat penting untuk pemilihan pelajar mendapat biasiswa dan sebagainya. Bila sayan mencadangkan dalam mesyuarat, cadangan saya tidak mendapat sambutan. Kuasa tidak ada pada saya untuk membuat keputusan. Saya amat terkilan. Semoga hari ini sudah ada perubahan untuk mengiktiraf Imam dari peringkat pelajar lagi. WaAllahu'alam.

Related Posts with Thumbnails