"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Monday, December 26, 2016
EH....MANA CUKUP MASA? 2017 akan tiba ?
Allah bersumpah dalam al Quran.....
Saya khuatir saya akan kerugian dan tahun 2017 insya Allah akan tiba juga sama ada kita bersedia atau masih terumbang ambing. Masyarakat kita di Malaysia sibuk membincangkan wajar atau tidak mengucap 'Merry Christmas'. Kini sudah berlalu. Masih ada yang rasa 'bengkek" dan ramai juga yang relax sambil menanti tibanya tahun baru Masehi 2017. Ada juga yang mempersoalkan sama ada wajar kita menyambut 2017 kerana kita ada tahun Hijrah. Pada saya tidak salah asalkan kita tahu perbezaannya. Tahun Masehi dikira mengikut pusingan matahari dan Hijrah dikira mengikut pusingan bulan. Fenomena kiraan ini ada disebut dalam alQuran. Cuma nama-nama bulan dan hari kita harus tahu asal usulnya. Kita tanya Ustaz.
Saya cuma ingin kongsi pemikiran saya dalam menanti tahun baru ini. Ramai kekawan saya yang sibuk memikirkan bagaimana Malaysia akan menghadapi karenah President Amerika, Donald Trump, bagaimana Malaysia akan mencaturkan pembahagian kekayaan hartanah dengan negara China, bagaimana akan kesudahan peperangan di Syria dan hal-hal lain seperti itu. Yang saya agak pening ialah persoalan kedudukan orang Melayu di negara sendiri. Berbagai pemikiran yang diluahkan bagaimana isu ini boleh diatasi. Pemimpin punya fikiran berbeza berasaskan parti politk masing-masing. Amat sedikit, pada pemerhatian saya, soal Agama (Mentauhidkan Allah) dan kaitannya dengan semua masaalah dibicangkan. Ada yang takut dilabelkan mirip dengan fahaman terrorist. Maka mereka hanya tunggu dan lihat.
Saya tidak salahkan mengapa rakyat Malaysia berbeza reaksi. Tapi saya lebih berfikiran bahawa masaalah orang Melayu yang Islam menjadi seperti ini adalah kerana mereka atau kita tidak berpegang teguh pada prinsip Iman dan Taqwa. Di akhirat nanti saya rasa kita tidak akan ditanya kita Melayu Jawa atau Cina atau apa pun. Bangsa dan keturunan tidak menjadi isu. Mengapa kita tidak fikirkan pasal Tauhid, pasal amal makruf dan nahi mungkar... Pasal Solat terutamanya ! dan yang lain-lain berkaitan.......
Ini isu sensitif. Ramai kita yang tidak minat berbicara pasal hal-hal sensitif. Itu hal peribadi, katanya..... dan berbagai pendapat lain.
Maka saya merehatkan kes (rest my case) hingga lain kali.
Menjelangnya tahun 2017 saya lebih suka memfokus untuk memperbaiki diri hingga keakhir hayat. Saya tidak banyak masa berbaki memandangkan saya sudah masuk umur 70an. (It is better late than never). Maka satu perkara penting saya saya in sya Allah tumpu ialah pembelajaran Bahasa Arab saya. Kata Ustaz Google saya , Nouman Ali Khan, kita harus berbuat sesuatu dengan niat yang jelas dan tepat. Dulu saya belajar bahasa Arab dalam pertengahan tahun 1980an dengan niat untuk lulus peperikasaan Diploma Pengajian Islam yang saya ikuti di UKM. Bila sudah lulus, saya ambil ringan untuk terus memburu kemahiran Bahasa Arab. Tiada Bahasa Arab, tiada Islam. Sebab dalam solat kita mesti lakukan dengan Bahasa Arab.
Kata Ustaz Nouman Khan kita harus berniat untuk boleh berkomunikasi dengan Allah melalui pemahaman alQuran. Terjemahan tidak mencukupi. (lihat pendapat beliau dalam Utube).
Maka dalam masa saya yang terhad ini untuk balik semula belajar Bahasa Arab dengan niat yang betul.
Saya tidak mahu gagal dalam usaha ini. Usaha itu wajib. Berjaya atau tidak itu hak Allah jua.
Maka saya akan bermula semuala. Semoga Allah kurnia pertolongan.
Saya bertekad untuk menyusun semula keutamaan aktivity untuk tahun 2017. Namun saya harus cari teteman yang boleh menolong saya dan mencari masa.
Semoga Allah masih bagi ruang dan peluang.
aamiin ya Rabb....
.....
Tuesday, December 20, 2016
A BIG NOTHINGNESS.......
Baru-baru ini saya dan suami menjamu dua cucu istimewa makan kesukaan mereka. Burgers.....
Saya ikutkan sahaja walaupun saya tidak berapa berminat mempromosi makanan segera seperti itu.
Kami cuba bersembang santai sambil makan, terutamanya mengenai makan dan pemakanan serta mengenai main dan mainan. Kami ingin menyelami hati dan minda anak-anak yang hampir umur remaja bagaimana mereka melihat kehidupan ini, sama ada mereka seronok ataukah mereka memendam rasa. Ingin saya ingatkan lagi bahawa kedua-dua cucu saya ini anak istimewa, seorang ADHD dan seorang lagi Otisma. Yang kiri bernama Ujai dan yang kanan bernama Akif. Mereka di Putrajaya kelas istimewa tetapi di sekolah biasa. Katanya mahu diintergrasikan dengan anak-anak yang normal. Tetapi pada pemerhatian saya amat sedikit langkah ke arah itu. Apakan daya. Anak saya pekerja awam biasa dan tidak mampu untuk menghantarnya ke sekolah swasta khusus bagi anak "with special needs". Namun saya yakin pasti ada hikmahnya kami dikurnia insan istimewa.
Akif lebih suka berfikir jika menemui sesuatu yang baru. Ujai tidak kisah asalkan sahaja ia boleh "relate" atau boleh memahami benda yang baru itu. Saya kemukakan berbagai isu pertelingkahan adik beradik dalam keluarga dan bagaimana mereka tidak sangat peduli pada peraturan yang disusun oleh ibu dan ayahnya di rumah. Seperti yang saya perhatikan pada anak-anak sekarang mereka suka main games yang ada di komputer atau di telefon bimbit yang ada. Telefon saya selalu jadi mangsa bila sahaja kami ziarah menzirahi. Akif terutamanya boleh bercerita kembali keistimewaan character yang mereka temui dalam games yang dimainkan. Saya pura-pura faham dan mengiyakan ceritanya. Akif sedar sikap saya dan akan menegur saya dan ia berhenti bersembang dengan saya. Ujai tidak suka bercerita kembali dan hanya mendengari celoteh adiknya Akif. Tiba-tiba bila saya cuba "ceramah" mengenai masa depan dan kaitan dengan games yang disukainya itu, Ujai selamba mengatakan 'It's all a Big Nothingness".
Hah,,,,terkejut saya mendengarinya. "Mengapa?" saya tanyakan. Dia tahu bahawa tidak sama games dengan hidup. Tetapi bila ditanya apa itu hidup, "entah" katanya dan ia gelak sahaja sambil sambung makan ice cream pula. "Cerita kartun tu ke yang kata a big nothingness?" saya cuba mendapat kepastian dari cara mindanya menyimpan maklumat. Dia tak jawab dan terus makan......
Sampai sudah saya tidak dapat memahami apa maksud "a big nothingness". Anak-anak seperti ini saya perhatikan mudah terikut-ikut sesuatu konsep yang dipelajari dari karekter kartun yang dituntuni di komputer atau lain-lain peralatan sepertinya. Ada konsep-konsep lain. Mungkin saya cerita dilain masa.
Anak-anak seperti ini susah diduga apa yang ada di kepala dan apa yang dirasai di dada. Kita hanya boleh memahami jika selalu bersamanya. Itu kata ibunya bila saya hantar mereka pulang hari itu usai makan tengah hari. Anak saya punya 6 anak dan semuanya lelaki dan 2 orang istimewa. Alhamdulilah.... pastinya kurnian Allah tiada yang sia-sia.
....
Tuesday, December 13, 2016
Ingin jadi Bilal.....
Sudah tiga hari saya kurang sihat kerana terseliur pinggang. Susah untuk aktif dan saya gunakan masa melihat u-tube hampir seharian selain tidur dengan harapan sakit pinggang boleh berkurangan.
Saya banyak melihat dan mendengari cerita-cerita Maulidur Rasul. Tersayu rasa dihati mengimbas semula berbagai penulisan yang berkaitan dengan perjuangan Rasulullah. Amat jauh dirasakan usaha pengabdian diri. Ibarat setitik air dilautan.
Terkenang juga cerita-cerita sahabat dalam perjuangan menegakan Kebenaran. Menayakan pada diri apa sumbangan dalam membangunkan ummah. Pertanyaan yang amat besar dan sukar dijawab kerana sumbangan pada keluarga dan negara pun masih jauh tercicir di belakang.
Dalam termenunung-menung mengingati Rasulullah Saw tiba-tiba saya teringatkan bilal....... Bilal Ibnu Rabah. Dia muazin Islam yang pertama yang di lantik oleh Nabi dan Rasul kesayangan kita... Muhammad salallahualaihiwasalam. Banyak juga kisah-kisah yang menyentuh hati yang saya baca atau saya dengari di sessi-sessi ceramah, betapi kental pegangan Aqidahnya walaupun dia hanya seorang hamba abdi. Saya mengimbas ingatan bagaimana beliau diseksa oleh majikannya supaya tidak mengaku dan tidak mempercayai ajaran Nabi kita. Dia diikat dan diletak ditengah-tengah panas dan dihempap batu. Namun ia tetap kata "Ahad..Ahad." Maksud nya Allah itu satu dan tiada yang serupa dengannya.
Saya membaca sebuah kisahnya yang amat membuat saya rasa terharu dan insaf kerana rasa kasih sayang saya pada
Rasulullah Saw tidak sehebat kasih sayang Bilal pada Nabi kita. Setelah Rasulullah wafat ia berpindah dari Madinah ke Syria. Suatu hari ia mimpikan Rasulullah yang bertanyakannya mengapa dia tidak datang menziarahinya di Madinah. Rasulullah rindu padanya. Ia terjaga dan terus menangis sekuat hatinya kerana merindui Rasulullah yang kini merasai Rasulullah juga merinduinya. Lantas ia membuat persiapan untuk pergi ke Madinah. Sampainya di Maqam Raslullah saw Bilal tidak dapat menahan rasa hatinya dan terus menangis. Sayidina Abubakar cuba menenangkan Bilal. Ia juga minta Bilal melaungkan adzan pada hari itu. Bilal enggan kerana amat sedih hatinya teringatkan Rasulullah saw. Tetapi apabila cucu Rasulullah Hasan dan Husin meminta ia adzan, Bilal tidak dapat menolaknya.
Maka hari itu ia adzan. Terperanjat seluruh penduduk Madinah kerana tidak menyangka Bilal akan kembali. Dan lebih dari itu mereka lantas teringatkan seolah-olah Rasulullah saw ada bersama mereka. Tetapi Bilal tidak dapat menghabiskan adzannya kerana terlalu sebak di hatinya. Dalam satu riwayat mengatakan ia seperti nampak kelibat Rasulullah berjalan dari rumahnya ke Masjid...... dua hubungan Ruh yang manusia biasa macam saya tidak dapat sama-sama memahami dan merasainya. Semoga suatu hari nanti dapat kurniaan seperti itu. Aamiin, ya Rabb.......
Terlalu rinkas catatan saya di atas.
Catatan asalnya amat menyentuh hati sanubari saya dan saya turut mengalirkan air mata. Lantas timbul penyesalan di hati kerana saya kurang mengingati Rasulullah saw. Tidak seperti Bilal dan seperti sahabat-sahabat baginda yang lain. Saya kurang berselawat pada baginda dan kurang melaksana apa yang disarankan olehnya. Dalam baki umur yang ada semoga saya dapat mencontohi amalan-amalan kekasih Nabi dan semoga dapat bersama Baginda di Hari Akhirat nanti.
Mohon keampunan Mu ya Rabb,.... semoga mendapat Syufaat Rasulullah di hari yang tidak ada pertolongan melainkan pertolongannya.
Aamiin ya Rabb....
......Gambar hiasan ehsan carian google.
Friday, December 9, 2016
Kesipuan akhirnya.........
Saya sudah tua, muda sedikit sahaja dari mak saudara saya ini.......mak saudara yang kami kasihi.
Tetapi sudah tua sebegini baru saya belajar "KESIPUSAN" itu jauh membawa erti bila sesuatu yang tidak disangka terjadi pada diri.
Saya rasa kecewa bila orang tua dipermainkan oleh orang muda, orang muda yang telah dididik dan dibina supaya mewarisinya.
Di luar sana berbagai pendapat diluahkan oleh rakyat yang bukan sahaja kecewa tetapi marah melihat orang tua kesayangannya diperkecil seperti tiada makna baginya, hanya kerana ia jauh lebih muda dan berkuasa.
Saya rakyat biasa yang mahu melihat negara ini sejahtera. Tetapi isu "kesipuan" buat saya rasa terbuku di hati dengan sikap biadap yang nyata. Namun rasa itu saya pendam buat sementara menunggu keadilan dari Allah yang maha Melihat segalanya.
Siapa yang akan kesipuan akhirnya..........
Kerana YANG BENAR tidak pernah memihak pada sesiapa. Yang benar tetap benar dan yang bathil tetap bathil.
Tunggulah........
Hidup ini tidak lama. Harta tidak akan dibawa bersama apabila Malaikat maut datang menjelma.
Semoga dia segera menginsafi diri dan kita semua sebagai hamba Allah juga tidak terkecuali.
Hanya Allah yang boleh mengadili.
Semoga doa kita Allah mendengari.
Dan hari tua saya bukan mimpi yang ngeri.......
.........
Tuesday, December 6, 2016
Keseronokan hari tua.......
Anak perempuan saya sarat mengandung dan cuti sekolah ini dia jadi "grounded". Suami saya mahu ambil alih tugas "menghiburkan" cucu-cucu dan mahu membawa mereka ke Utara balik kampung. Saya tidak yakin bolih jaga cucu-cucu untuk perjalanan jauh tanpa ibu bapa atau pembantu. Tetapi untuk ambil peluang bersantai bersama suami dengan cucu, saya setuju bawa dua orang sahaja. Mungkin nanti dengan bertambahnya umur, kederat pun makin berkurangan. Eluklah bersantai sekarang kerana masih ada kekuatan minda untuk perbualanan dan percaturan dengan anak-anak umur sedemikian.
Suami saya rasa seronok kerana saya setuju bawa Ujai dan akif. Mereka kedua ini anak istimewa dan keduanya sangat aktif dan punya cara berfikiran dan bertindakan mengikut cita rasa sendiri sahaja. Ujai istimewa dengan ADHD dan Akif istimewa dengan Otismanya. Subhanallah....... Mereka amat mencabar kemampuan fisikal dewasa tua seperti kami.
Kami ambil kesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu suami saya di Kulim. Di sana kami tambah dua orang lagi cucu dari anak lelaki saya yang sedang melancung cuti akhir tahun. Uwais dan Aizel namanya. Saya hendak "give up" tapi kasihan kerana mereka suka beramai bermain sekali. Kelihatan ke emapat-emapt mereka saya ambil foto setelah sarapan jam 11 pagi. Hanya Allah sahaja yang tahu rasa penat mengurus karenah mereka. Penat tetapi seronok melihat mereka membesar dan melihat perubahan kematangan mereka. Akhir sekali kami bersama bercuti sudah lebih 2 tahun..... satu masa yang lama. Walaupun mereka datang menziarahi kami di rumah, karenah mereka tidak sama bila di tempat orang.
Kami tinggal di Rumah persinggahan adik suami saya..... "Homestay" yang istimewa. Di sekeliling rumah penuh kehijauan dan ia membuat saya rasa sejuk dan nyaman..... tetapi di dalam rumah lain ceritanya.....
Di dalam rumah ada hiasan yang tidak ada di rumah kami. Ini sangat membuat cucu-cucu rasa teruja dan walaupun Landscape dalaman bukan untuk mandi, mereka tidak tahan hanya melihat. Bila saya dan suami baring berehat mengumpul semula tenaga, mereka ambil peluang. Amat bising riuh rendah suara di luar dan saya tidak mampu membuat mereka ikut arahan. Akhirnya saya ikutkan sahaja karenah mereka dan ambil foto di bawah ini untuk saya tunjuk pada ibu-bapa mereka.
Tiga hari cukup buat saya......kehabisan tenaga sudahnya. Semoga perbualan-perbualan kecil sambilan akan mereka ingat bila mula meningkat remaja. Itu harapan kami dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni. Ini bukan usaha yang mudah memandangkan Ujai dan Akif punya caranya sendiri yang sukar kami duga dan fahami. Ibunya lebih memahami mereka setekah beberapa tahun menjalani terepi bersama pakar pemulihan dan pembangunan anak-anak istimewa. Semoga Allah sentiasa mengawasi dan mengurnia kemudahan dan pertolonganNYA hingga dewasa.
Cucu yang dua lagi itu, Uwais dan Aizel adalah anak yang normal. Mereka boleh berinteraksi sepertinya tidak ada perbezaan antara mereka. Kami yang tahu perbezaannya kerana Ujai dan Akif lebih menjadi "ketua" memulakan karenah baru setiap kali kami tidak dekat dengan mereka.
Walaupun amat penat, kami seronok dapat menghayati kebesaran Allah yang maha Pencipta. DIA tidak mencipta kita sama rata. Tetapi pasti ada hikmahnya kerana tiada ciptaanNYA yang sia-sia. Itu ada dirakam dalam alQuran untuk manusia memperkuat Iman dan Taqwa.
Sampai di sini sahaja. Mohon doa pengunjung budiman untuk kesejahteraan cucu-cucu kami. Semoga mereka membesar dewasa menjadi anak-anak yang soleh dan cemerlang.
Aameen ya Rabb.....
......
Friday, December 2, 2016
Baung Power.....memang power.
Sehari sebelum Hari Ihtifal SmarTop kami ke Bukit Gambir menziarahi saudara sepupu teman partner saya. Dia merekomenkan kami pergi makan gulai ikan baung di bandar Bukit Gambir. Cara mereka bercerita memang best untuk cuba makan. Saya bukan kaki makan tetapi ikut sahaja kerana selalu saya katakan pada anak-anak dan siap jua : "Those who are not adventurous in food, are not adventurous in anything." Maka ia sentiasa menjadi cabaran pada saya.
Di bawah ini Restaurant yang kami berhenti ingin cuba Baung Sedap, katanya. Restaurant biasa sahaja tetapi kelihatan ramai pelanggan walaupun sudah jam 3 petang. Kami duduk dan melihat-lihat menu dan makanan untuk dipilih. Ada yang masak asam pedas, adayan masak asam dan ada yang masak lemak berkunyit. Kami pilih yang masak asam pedas dan masak lemak.
Untuk menulis entry ini saya google untuk tahu apa ikan Baung ini. Dibawah ini saya salinkan dari Wikipedia. Kemudian saya lihat gambar-gambar dalam google. Berbagai rupa specie dan berbagai saiz. Di atas adalah satu contoh sahaja.
Ikan Baung atau nama saintifiknya Mystus spp. adalah tergolong dalam ikan airtawar yang terdapat di negara-negara ASEAN termasuk di Malaysia.
Ikan baung terdapat dalam sungai termasuk sungai Kalimantan Tengah dan ukurannya mampu mencapai 20 kg. Umpan yang digunakan untuk memancing ikan ini biasanya adalah induk semut (rangrang) yang berwarna hijau terang, satu kail biasanya dikaitkan 5 hingga 10 ekor induk semut tersebut, atau mengunakan cacing tanah yang besar atau usus ayam. Menurut penduduk setempat ikan baung sekitar 60-an ke bawah memancing ikan ini dengan sabun.
Ikan baung biasanya dielakkan sekiranya berlaku kecelakaan di sungai karena pernah dijumpai jari manusia di dalam perut ikan baung. Tapi rasa ikan baung ini tidak ada bandingnya apalagi selepas dibakar atau dipesmol (acar kuning).
Gambar di atas ini juga dari ehsan google. Kami tidak ambil foto apa yang kami makan. Tetapi lebih kurang inilah yang kami pilih. Memang Power kata teteman saya. Saya biasa sahaja. Bukan tidak bersyukur dapat makan. Cuma itu hanya tabiat sahaja. Kalau suami saya ada pastinya dia akan menyukainya dan rasanya dia juga akan kata "Baung Power".
Siapa ke Bukit Gambir, cubalah. Rezki jangan ditolak.
Alhamdulilah. Allah maha pemberi Rezki.
Sedapnya makan adalah kurniaan Allah. Allah maha Adil pada hamba-hambaNya. Makan apa jua yang biasa- biasa pun boleh rasa sedap.
Deria pancaindera Allah sahaja yang berkuasa semuah.
Bersyukur kita atas apa jua kurniaanNya.
Deria pancaindera Allah sahaja yang berkuasa semuah.
Bersyukur kita atas apa jua kurniaanNya.
.....
Thursday, December 1, 2016
HARI IHTIFAL.....Jangan miss ye !
Badan kurang sihat. Tetapi demi anak-anak didik saya kuatkan semangat dan naik bas Cepat Express dari TBS ke Tangkak, Johor. Jangan miss sejarah SmarTop kata teman partner saya.
Oh Tidak. Ihtifal pada 25 Nov, tetapi sudah terpacak di Tadika/Taska 2 hari sebelum. Sibuk "membantu" teacher murobiah kami berkerja kuat membuat parsediaan. Sebenarnya saya hanya membuat pemerhatian dan buat cadangan. Tak terdaya angkat barang itu ini dan mengurus anak-anak kecil yang banyak karenah. Tetapi karenah mereka menyeronokan saya. Teringatkan cucu-cucu. Tidak semua anak-anak serupa walau seumur sebaya. Ada yang sentiasa minta dilayani...menangis manja. Di rumah begitu agaknya.
Sehari sebelum, kami adakan "dress Rehersal". Saya pening tetapi seronok. Umur sudah meningkat 7 series dan saya tidak dapat mendengari jeritan dan gurauan anak-anak yang berterusan.......
Esuknya kali ke 4 kami adakan Ihtifal SmarTop Subur Fitrah. Maknaya sudah hampir 5 tahun dari mulanya saya turun naik Petaling Jaya/Tangkak.....Alhamdulilah . Impian yang Allah kurnia jadi kenyataan. Semoga diberkati jua.
Setelah acara Doa, di atas kelihatan Ybhg Dato Safaruddin selaku Pengerusi Lembaga Pengelola memberi ucapan Aluan. Short and sweet.
Di hadapan ini ialah barisan Pengurus, Ahli Lembaga dan Ahli Parents Support group. Saya rasa teruja setiap kali diadakan acara Ihtifal dihujung tahun.
Ini barisan anak-anak umur enam tahun yang akan ke Tahun 1 pada 2017.
Semoga mereka terus berjaya, dunia dan akhirat.
Ini anak yang punya bakat yang menyerlah. Cepat pandai membaca dan kami
latih jadi pemidatu cilik. Alhamdulilah.....
Ini sebahagian ibu-bapa yang hadir menyaksikan kebolihan anak-anak tersayang.
Acara kumpulan peringkat umur menyanyikan lagu-lagu berinspirasi
bagi mereka dan bagi teacher semua.
Ini kumpulan anak-anak 6 tahun menghafaz ayat-ayat lazim
yang sudah lekat di dada.
Satu lagi acara kumpulan
Yang ini acara kumpulan untuk memperkenalkan cerita
mencintai bumi Palestine
kerana di situ Qiblat orang Islam yang pertama, dan di situ Masjid AlAqsa.
Harus dipertahankan dan dibela. Kami cuba mendidik anak-anak
peka sekeliling dan mengenal erti Berani.
Ini acara memperkenalkan pada anak anak elemen yang harus di singkir....
Jangan sombong dan zalim macam Raja Namrud yang berkesudahan
dengan serangan nyamuk sahaja.
Lihatlah betapa seronok ibu-bapa merakam acara anak-anak pada hari itu.
Teacher dan wakil ibu bapa yang menyambut tetamu.
Kelihatan di sini En. Dzukkifli, Pengerusi Parents Support Group, memberi ucapan bagi pihak ibu-bapa. Saya terharu mendengari kata-kata yang memberi semangat
pada kami Lembaga Pengelola.
Beliau amat memahami aspirasi Tadika dan Taska yang kami urus. Di SmarTop Subur Fitrah kami bukan sahaja mahu mengajar dan mendidik sebaik mungkin kepintaran Membaca Menulis dan Mengira, tetapi sama pentingnya (mungkin lebih penting) kami cuba menanam bibit-bibit Iman dan Taqwa pada anak-anak dan kami juga mahu mereka mendapatkan skill mengenali masaalah-masaalah kecil yang dihadapi menerusi Extra-Curiculum kami seperti Lawatan Luar mentaddabur alam secara melihat sendiri realiti sekeliling. Kami menggunakan Module Little ABD
yang dirangka oleh NGO HALUAN.
yang dirangka oleh NGO HALUAN.
Semoga usaha yang kecil dan kerdil ini akan terus mendapat sokongan penduduk setempat. Semoga kefahaman atas prinsip pendidikan awal kanak-kanak tidak disalah fahamkan sebagai mahu menjadikan anak-anak pandai membaca menulis
dan kurang tumpuan pada pendidikan akhlak yang lebih meluas. Untuk tujuan intergrasi yang lebih effektif, kami menghantar
teacher dan murobiah kami
untuk latihan yang diadakan oleh Jabatan dan
juga latihan yang dikendali oleh NGO-NGO
yang yang tersohor dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
teacher dan murobiah kami
untuk latihan yang diadakan oleh Jabatan dan
juga latihan yang dikendali oleh NGO-NGO
yang yang tersohor dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Di samping itu kami adakan juga latihan dalaman di peringkat SmarTop.
Teacer dan Murobiahlah ajen terpenting untuk melaksanakan teknik pembelajaran
dan juga dalam menanamkan nialai-nilai Murni.
Tidak berguna kurikulum yang baik jika
sistem penyampaian oleh teacher dan murobaih tidak selari.
dan juga dalam menanamkan nialai-nilai Murni.
Tidak berguna kurikulum yang baik jika
sistem penyampaian oleh teacher dan murobaih tidak selari.
Kami mohan sudi kiranya pembaca budiman di blog ini mendoakan kesejahteraan Tadika dan Taska kami ini semoga dari sini kami dapat berkembang maju dan
menubuhkan pula Sekolah Rendah untuk meneruskan
misi dan visi kami dalam melaksana
"Wasiat Luqman" seperti yang dituntut
dalam AlQuran, Surah Luqman.
menubuhkan pula Sekolah Rendah untuk meneruskan
misi dan visi kami dalam melaksana
"Wasiat Luqman" seperti yang dituntut
dalam AlQuran, Surah Luqman.
Itu dulu buat kali ini. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan dan menurunkan pertolongannya dan Rahmatnya yang tidak terhingga.
Aameen, ya Rabb.....
......
Subscribe to:
Posts (Atom)