"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, May 29, 2017

Berjinak-jinak dengan Tadarus ......



Image result for images on tadarus alquran



Alhamdulilla saya dapat bertadarus di sebuah Masjid untuk beberapa tahun yang lepas. Namun makin tua makin kurang kederat untuk bertadarus lebih dari satu kumpulan. 

Cerita Tadarus cerita biasa di masyarakat kita. Ramadhan lebih di hayati kerana Fakta Bulan Puasa. Sedikit sekali kita di ingatkan sebagai Fakta turunya alQuran. Kami diceritakan mengenai Puasa dalam alQuran tetapi tidak ditekankan bahawa Ramadhan adalah bulan alQuran. Di dalam alQuranlah Allah mewajibkan berpuasa.

Maka promosi Ibadah Puasa lebih menonjol dari ibadah belajar tajwid alQuran, membaca alQuran, mentaddabur alQuran, menghafal alQuran dan menginfakan alQuran pada golongan yang tidak mampu membeli.

Lihatlah ayat di bawah. Surah alBaqarah ayat 185.


A185
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
(Al-Baqarah 2:185


Kita boleh lihat tadabbur ayat ini di Utube oleh berbagai Ustaz. Saya mendengari Ustqadh Nouman Ali Khan. (Ustaz Google saya).

Maka kali ini saya ingin luahkan rasa hati yang agak tidak selesa mendengari setengah Masjid amat memilih siapa yang dibolehkan masuk Tadarus alQuran semasa bulan Ramadhan. Jika belum lancar membaca alQuran ada kumpulan yang tidak mahu menerima mereka.

Mengapa begitu?

Saya lebih suka kita jemput siapa jua yang mahu mencuba Bertadarus. Jangan kecewakan mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan alQuran tidak mendapat sambutan yang sewajarnya. Biarkan mereka datang. Inilah antara aktiviti "Merapatkan Saf" yang dipromosi oleh sesetengah Masjid.

Bila mereka masuk kumpulan, saya rasa akan timbul rasa insaf menyedari bahawa mereka perlu lebih istiqamah mempelajari alQuran Dan insyaAllah bila sudah pandai membaca, mereka akan belajar dalam kelas Tadabbur alQuran pula dan dengan itu mereka akan lebih faham dan lebih bersemanagt menghayati isi kandungan alQuran. dan pada tahun-tahun berikutnya INSYAaLLAH ada perubahan yang nyata.

Itu yang terpenting......menghayati.

Semoga tidak ada kumpulan yang melihat Tadarus sebagai aktiviti mahu Khatam alQuran dan kerana itu kurang kesabaran untuk membetulkan bacaan ahli yang kurang mahir. Ramai yang mahu cepat khatam. Kemudian akan diadakan  majlis Khatam alQuran yang tidak menjimatkan masa dan belanja. Saya perhatikan ada lagi masyarakat kita yang suka fakta ini dan tidak serious mempelajari alQuran supaya dapat memahami alQuran dan dapat mendekatkan diri pada Allah yang maha Esa dan maha Berkuasa.

Mencari Redha Allah....bukakah itu terpenting?

Dan lagi ada yang mengatakan tidak mustahak belajar harfiah alQuran dengan memahami betul-betul tatacara Bahasa Arab kerana mereka berpendapat sudah mencukupi dengan membaca terjemahan. 

Alangkah silapnya......

Maka di Bulan Ramadhan kali ini saya dan kumpulan kecil yang saya anggotai mahu membuat perubahan. Siapa sahaja boleh masuk kumpulan Tadarus alQuran....(a journey of a thousand miles start with the first step....)

Semoga senario ini akan berubah dan ramai lagi yang dapat membaca dan memahami alQuran dengan sempurna dan mempraktikannya.....

Mohon Taufik Hidayah Mu ya Rabb.
Mohon keampunan Mu ya Rabb.......



.....

Saturday, May 27, 2017

Alhamdulilah...Kurniaan Ramadhan lagi

Image result for images ramadhan


Bersyukur ke hadrat Allah swt tidak terkira.
Allah kurni Ramadhan bagi kita semua.
Hari ini hari pertama.
Malam tadi Tarawikh yang membawa bahagia.

Suami buat bedahan di ibu jari kaki 2 minggu sebelum hari ini.
Diabetic Ulser kata doktor menilainya.
 Setiap hari ke klinik untuk cuci luka semoga tidak merebak
 hingga tidak terkawal pula.
Cemas bercampur harap semoga di hujung Sya'ban luka
 tidak lagi merbahaya.
Alhamdulih...semalam satu pagi di PPUM doktor
 pakar memeriksanya.
Petanda baik, katanya. Jangan bimbang insyaAllah 
dalam 2 atau 3 minggu boleh pulih semula.

Debaran hati bertukar lega. Barakah berdoa Ramadhan tiba dan Allah kurnia keistimewaannya.
Rindu Rasulullah saw tidak terkira. 
Apalah sedikit luka berbanding perjuangannya.
Janji pada hati kami tidak lagi akan leka dibuai dunia.
Semoga ujian yang kecil ini membuka ruang kami
 hampir padaNYA.

Mohon keampunan Mu ya Rabb....


.....


Thursday, May 25, 2017

Berkejaran berlumba mencapai langit.......




Ini anak-anak Tadika SmarTop Subur Fitrah yang kami usahakan di Tangkak, Johor. Kelihatan mereka sedang dibawa melihat hasil tanaman kacang bendi yang mereka membantu menanam dan meletak baja dan menyiramnya. Ini aktiviti pelajaran sains peringkat anak-anak. Mereka sedikit sebanyak dididik untuk suka pada tumbu-tumbuhan kerana itu adalah sebahagian ciptaan Allah, Tuhan yang maha Esa dan maha berkuasa.

Bila saya mendengari cerita kehebatan Tadika sana sini oleh kekawan, saya pasti imbas semula perjalanan Tadika SmrTop yang kami urus dan kini sudah 5 tahun hayatnya. Alhamdulilah.

Kami selalu ditanya kekawan rapat bagaimana status Tadika itu. Sebenarnya mereka ingin tahu keuntungan yang kami dapat dari operasinya. Isu ini yang sukar bagi kami menjawabnya. Tetapi terus terang kami katakan: This is a non profit organization. Kami sahaja ingin bantu mereka yang kurang berkemampuan dari segi wang ringgit untuk memasuki Tadika yang mereka rasa bagus untuk anak-anak mereka. Semoga Allah menunjuki jalan.....

Bagus dari segi apa ye?

Biasanya rata-rata ibu bapa mahukan Tadika yang boleh menjadikan anak pandai membaca dan menulis. Itu utama sekali. Soalan lain jarang sekali mereka tanyakan apabila membuat pilihan untuk masuk.

Dengan penuh kesabaran dan keikhlasan kami mengatakan bahawa jika ibu-bapa mahukan itu sebagai syarat utama, kami tidak boleh menjanjikannya.

Ada yang rasa pelik dengan reaksi yang kami berikan. Kenapa pula? bukankah itu penting kerana bila masuk tahun satu nanti pasti pihak sekolah sudah mengandaikan anak-anak boleh membaca dan menulis.....dan boleh mengira.

Pada umum itu adalah betul. 

Malahan itu menjadi objektif utama Tadika ternama di bandar-bandar besar di mana kemampun kewangan ibu-bapa adalah tinggi berbanding dengan bandar kecil seperti Tangkak. Maka saya diceritakan juga oleh kekawan bahawa ada Tadika yang hanya mengambil masuk anak-anak kecil yang sudah tahu membaca menulis. 

Saya terkejut tetapi boleh senyum santai. Sebabnya ialah kerana dasar Kementerian Pelajaran yang tidak tertulis memangnya sedemikian. Bila ibu-bapa membawa anak-anak di awal tahun mereka diminta menduduki seperti "ujian kecil" untuk tahu tahap kepintaran anak-anak. Yang bagus duduk di kelas yang ditakrif "terbaik" dan yang lainnya mengikut keputusan "ujian kecil" yang didudukinya.

Ini menjadikan ibu-bapa bimbang akan potensi kemajuan anak-anak yang kurang keterampilan. Dengan yang demikian rata-rata mereka yang berkeupayaan tinggi akan memilih tadika yang hanya mengaambil anak-anak yang sudah pandai itu dan ini. Walaupun bayaran yuran tinggi berbanding Tadika yang lainnya, mereka rasa yakin anak-anak mereka akan menduduki strata atas dan terus di atas hingga ke peringakat yang tinggi. 

Mudah formula yang mereka fikirkan.

Maka Tadika  seperti itu sememangnya mendapat keuntungan agak lumayan dan boleh membayar gaji yang tinggi pada guru-guru dan pada pentadbir termasuk  yang empunya Tadika itu.

Cerita di atas sering saya dengar. Tetapi di SmarTop lain sekali senarionya. Kami menerima siapa sahaja, mampu atau tidak mampu dari semua segi melainkan mereka yang sudah nyata seorang OKU. Kami akan membina potensi setiap anak mengikut kebolehan masing-masing. Kerana kami tahu Allah tidak mencipta semua insan sama dalam semua aspek. Apa jua kurniaan Allah pasti ada hikmahnya. Maka setiap anak kami cuba santuni mengikut kemampun diri masing-masing. Bukan mudah, tetapi kami cuba.

Maka yang terpenting ialah kami didik mereka  dengan kefahaman asas bahawa mereka harus kenal siapa Allah, siapa yang mencipta mereka dan menerangkan mengapa mereka perlu belajar mencari Ilmu. Kami mendidik dengan berbagai cara dan kami ambil module pendidikan (pengajaran dan pembelajaran) asas Tadika dan Taska yang dibina oleh NGO HALUAN. Mereka menjalankan sessi penerangan pada guru dan pengasuh semoga teori pendidikan akhlak dan minda ada kesinambungan yang memberi makna pada anak-anak......justeru memberi kepuasan pada ibu bapa. Biar lambat sedikit bagi sesetengah anak untuk pandai membaca dan menulis....dan mengira tetapi secara lisan mereka mendapat ilmu paling penting untuk bekalan mereka membesar dari peringkat ke peringkat hinggalah remaja........hinggalah dewasa, dengan izin Allah.

Disamping membaca, menulis dan mengira tadika yang hebat dan progressif menitik beratkan penggunaan bahasa Inggeris dan juga Mandarin. Bagus usaha ini dan tidak jadi masaalah di bandar-bandar besar untuk mencari guru yang berkualiti. Di Tangkak agak sukar tetapi kami tidak berputus asa. Satu ketika dahulu kami ada guru bahasa Inggeris dan Mandari yang baik tetapi mereka tidak lama bersama kami.

Begitulah sedikit senario pembangunan Tadika dan Taska di negara ini. Semasa saya bertugas di Kementerian Pendidikan dahulu, ada usaha hendak mewajibkan pendidikan peringakt Tadika pada semua ibu-bapa. Tetapi tidak menjadi, tidak kesampaian kerana kekurangan bajet pembangunan. Mungkin ada sebab lain yang tidak diketahui semua pihak kerana kertas kabinet hanya berkisar pada pegawai atasan sahaja. Ia rahsia......

Sekarang ini Tadika yang ada di sekolah kebangsaan amat terhad bilangannya dan ramai ibu bapa terpaksa mencari Tadika yang dikendali oleh ajensi swasta, atau Kemas dan Jabatan Perpaduan Negara. Ibu-bapa yang mampu dan berwawasan akan mencari Tadika swasta yang lebih canggih dalam semua aspek.

Di mana letaknya Tadika SmarTop Subur Fitrah.........

Kementerian Pendidikan tidak membina dan mengurus Tadika sepenuhnya adalah satu dasar yang tidak adil, kerana rakyat tidak mendapat peluang yang sama untuk anak-anak mereka.

Maka rakyat berusaha sendiri kerana mereka mahu anak-anak mereka mencapai kemajuan yang terbaik dan anak-anak ini dewasa nanti mampu bersaing mencari yang terbaik dalam kehidupan. Dengan sumber kewangan yang terhad bagi sesetengah ibu-bapa maka persaingan menjadi suatu yang membebankan kaum yang miskin. Ramai yang hanya mengikut arus.....







Ibarat semuanya mahu mencapai kemajuan setinggi langit, tetapi apakan daya jika tidak kesampaian.

Cuma kita harus ingat apa yang ada di langit dan di bumi itu adalah milik Allah jua. Maka jangan berkejaran mencari kejayaan tetapi tidak memahami kejayaan itu kerana apa dan untuk apa?

Ayuh kita fikirkan bersama bagaimana mendidik anak dengan prinsip mana yang dahulu mesti di dahulukan. Pandai setinggi mana pun, jika tidak mengenal Allah maka ia pasti akan membawa padah yang amat merugikan. Zahirnya namapak berjaya, bijak membaca menulis mengira dan bijak berbahasa Inggeris tetapi .........

Semua kita berfikiran berbeza dalam memahami hidup ini kerana kita semua terdedah dengan berbagai fenomena di luar sana yang tidak ada kesungguhan pada orang yang berkuasa untuk membendung unsur-unsur yang tidak sihat yang tidak selaras dengan apa yang dituntut dalam alQuran dan hadith.

Ini isu sensitif pada golongan bijak pandai dan tiada isu bagi mereka yang tarafnya bukan bijak pandai. 

Kita di mana ye?........


........

Monday, May 22, 2017

Cari juga teman sebaya.......





Ini teman sebaya angkatan sekelas / sedarjah darjah dari tahun 1957. Kebelakangan ini kami dengan berbagai cara cuba menghubungi satu sama lain. Mereka yang jejaka sahaja dapat dihubungi. Tidak berjaya menacri sebaya perempuan. Sudah lebih 50 tahun.......

Pastinya sukar.

Kami adalah sebahagian dari kumpulan yang besar. ....Class of 69. Tahun itu tahun akhir di tingkatan lima. 

Itu cerita ringkasnya. Ada berbagai cerita antara kami dan berbagai pengalaman berinteraksi dengan guru-guru kami. Masih ada 5/6 orang guru yang kami dapat cari, tetapi mereka sudah lanjut umur dan hanya 2/3 sahaja yang mampu bersama bila kami adakan reunion.

Hari ini  saya terpanggil untuk berkongsi cerita betapa seronok dapat mengumpulkan beberapa teteman "satu kampung" di Pontian kecil Johor untuk sama-sama menjamu selera dengan tujuan menyambung semula ikatan setiakawan yang hampir putus ditelan usia.





Ini sebahagian dari yang kami dapat hubungi. Kami makan tengah hari di Restaurant Rebung di Lake Gardens, Kuala Lumpur yang di taja oleh Dato Esa yang duduk ditengah-tengah. Alhamdulilah. Allah masih beri ruang dan peluang.

Dalam usia seperti kami yang sudah mencecah tujuhpuluhan, pertemuan seperti ini membawa suasana suka duka. Suka kerana bertemu tetapi agak duka kerana tidak banyak yang dapat kami buat bersama selain dari pertemuan seperti ini. Kami menyatakan rasa kesyukuran dapat bercerita sedikit laluan hidup yang berwarna warni. Ia mendatangkan rasa seronok dan rasa insaf. Yang bagusnya kami dapat merasi betapa jahilnya kami mengenai kehidupan setelah dapat melalui berbagai pengalaman selama lebih 50 tahun sejak meninggalkan bangku sekolah. 

Pertemuan selama 2 jam atau lebih sedikit tidak mencukupi untuk mengimbas kembali warna warni hidup yang kami lalui. Cuma  nya dari pertemuan seperti ini kami menyedari bahawa walau apa pun keadaan hidup kami sekarang, dan apa jua ranjau yang kami lalui, masing-masing kami menyatakan bahawa bertemu teteman lama, sangat lama..... membuat kami menghargai segala anugerah yang Allah kurnia. We are wiser in many ways, saya kata. Tetapi masih ada ruang-ruang kosong yang harus diisi secepat mungkin kerana hari-hari kami makin hari makin singkat.

Kami berpisah setelah merakam foto di atas. Berat untuk berpisah tetapi apakan daya. Kami memburu masa dan diburu masa.......

Bila nokhtahnya......
Semoga masih ada ruang dan peluang....

Mohon Redha Mu ya Rabb.....


.........

Saturday, May 20, 2017

Cuti yang terhenti....




Satu hari saya seperti keseorangan.....bukan rasa "lonely" seperti dirasai oleh sesetengah orang. Tetapi saya rasa saya mahu berbual bersembang dengan seorang kenalan saya semasa saya bekerja dahulu.

Maka tidak semena-mena saya telefon dan dan ajak dia keluar "kota". Dengan mudah dia kata: Jom kita pergi Tanjung karang / Sekincan. Dia pun dah lama tidak mengunjungi sanak saudara yang ada di sana.

Saya setuju tanpa banyak soal mengapa Tanjung Karang. Sebelum tanya pun dia dah kata seronok bermalam di kawasan sawah padi yang sejuk tenang. Maka pada hari Isnin yang lepas kami pergi ke Tanjung Karang dan Sekincan. Kami bertiga dan seorang itu kawan lama kenalan saya yang di ajak bersama kerana dia boleh membantu memandu jika kami kepenatan. Kedua mereka baru dalam umur awal enam-puluhan dan masih lebih bertenaga dari saya. Alhamdulilah.

Kami tinggal di Home-Stay yang sederhana. Saya rasa selesa dan amat berfikiran terbuka mengenai apa yang akan kami sembangkan pada malam itu. Sebelum malam kami ke Pantai melihat mata hari terbenam. Cantik dan membuat saya tenang.





Ramai yang berkumpul di pantai, tetapi orang mudalah yang lebih ramai.
 Saya minat merakam foto seorang jejaka yang 
nampak beseorangan.
 Allah kurnia berbagai ragam semoga kita tidak berfikiran sehala dan tidak mengerti dan tidak mahu memahami cara orang lain
 berfikiran dan berperasaan.



Di pantai itu tiada tempat makan  selain dari yang kami temui 
di bawah ini. Kami minum air kelapa muda
dan  makan kueh teow goreng. Alhamdulillah.
 Keseronolan makan bukan terletak pada tempat semata-mata tetapi pada masakan dan pada teman yang sama suka menerima apa sahaja.



Kemudian kami pulang ke Homestay kami seperti  bawah ini.
Kecil dan comel sahaja. Tetapi hawa dinginnya kurang mencukupi.





Saya selfi. Di belakang sana rumah homestay kami. Di bawah ini
peparitan yang banyak ikan katanya. Ada alat memancing
 tetapi kami tidak berminat sama sekali.
Tetapi pemandangannya indah buat kami.



Baru sahaja saya berangan-angan apa yang akan saya buat selama di Tanjung karang dan Sekincan saya dapat berita suami saya masuk
 hospital  kerana luka di jarinya yang saya sangka biasa rupanya
 harus di potong kerana ditakuti akan merebak.
Teteman saya baik hati dan amat setuju kita pulang Kuala Lumpur walau pun kita bercadang tidur dua malam. Siapa sangka......

Maka esuk paginya setelah sarapan kami ke rumah
 sepupu teman saya ini dan
 berbual agak lama mengenai kehidupan orang kampung waktu ini.
 Mereka ceria dan tidak nampak susah hati memikirkan 
keadaan ekonomi yang semakin merudum. Nyata sekali Allah sentiasa memelihara rakyat biasa. Itu firasat saya.

Sebelum pulang mereka membekalkan kami berbagai 
hasil pertanian mereka. Alhamdulillah.
Kaum petani masih berbudi tinggi. Kegembiraan mereka adalah 
pada memberi. Tidak nampak sikap kebendaan. 
Di bawah ini saya rakam sebahagian yang kami terima.






Ini kegemaran teman kenalan baru yang cepat mesra. Dia suka
 daun betik dan bunganya. Sedap di masak bening jawa.
 Selain itu kami di beri jagong, bunga kantan, buah kedondong dan beberapa sayuran. itu kemesraan orang malaysia yang saya takut
 akan pupus kerana generasi muda  ramai yang saya perhatikan 
sudah ambil ringan akan budaya memberi dan ambil ringan atas nilai akhlak bahawa yang tua di dahulukan.

Selepas solat zohor kami pulang. Walaupun saya sibuk berbual 
dengan orang kampung
saya tetap teringat akan keadaan suami.

Cuti yang tehenti.......



Tidak mengapa.......demi suami.
Semoga Allah sentiasa melindungi.
Mungkin dapat sambung cuti di kawasan sawah padi lain kali.




Saya masih mahu terus mendampingi orang kampung yang sihat
 dan berani. Kelihatan MakChik ini berumur 64 tahun masih boleh memanjat pokok mengambil kedondong buat kami.
Saya melihat dengan hati sepi merindui kedamaian seperti ini.


........

Monday, May 15, 2017

Keajaiban Dua dalam Satu.............

Image result for images of the Quran



A001

Sejarah Islam dan Al Quran sudah tidak asing lagi bagi berjuta manusia di dunia ini. Walaupun begitu masih berjuta lagi yang belum tahu mengenai Islam dan Al Quran. Saya hanya ingin bicara sedikit sahaja sebagai peringatan untuk diri dan teman-teman dan sanak saudara menjelangnya bulan Ramadhan alMubarak. Terima kasih pada yang sudi membaca.

Sejarah Islam bermula dengan Nabi Adam AS. Kemudian diikuti denan beberapa Nabi lain yang Allah utuskan untuk ummat masing-masing. Rasul yang menerima kitab adalah Nabi Daud AS, Nabi Musa AS, Nabi Esa AS dan akhir sekali Nabi Muhammad Sallahualaihiwassalam (SAW). Risalah kita , Taurat, Injil, dan Zabur di turunkn khas untuk ummat Nabi-nabi tersebut, secara khas. Bukan untuk seluruh umat manusia di dunia ini. AlQuran yang diturunkan pada Nabi Muhammad SAW ditujuka untuk manusia dan Jinn di seluruh dunia, di seluruh Alam. 

Berbagai mukjizat Allah kurnia bagi Nabi-Nabi ini tetapi Mukjizat tersebut lenyap dengan wafatnya nabi-nabi itu. Tidak pada Rasulullah Nabi kita Muhammad Saw. Baginda telah wafat tetapi Allah pelihara alQuran hingga ke noktah Dunia ini lebur dengan tiupan angin perintah Allah pada mlalaikat Israfel......Hari Qiamat, hari yang tiada sesiapa dapat menghalangnya dan tiada sesiapa dapat menolong sesiapa pun melainkah mereka yang Allah Kehendaki.

Maka risalah alQuran itu adalah juga Mukjizatnya. Dua dalam satu ikut istillah sekarang. Alhamdulillah semoga kita semua menjadi sebahagian dari Ummat yang Istimewa.

Image result for alquran kari, fotos


Maka Nikmat Allah Yang Mana Yang Kamu Hendak Dustakan.

Allahuakbar.
.....

Friday, May 12, 2017

Sayangkan anak pukul-pukulkan.....



Kata orang tua-tua: Sayangkan anak pukul-pukulkan.
Dari dahulu hingga sekarang kita masih membaca kes-kes di mana
anak-anak di pukul tanpa sebab yang munasabah atau ada sebab tetapi tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Tidak perlu saya bicara panjang lebar kerana ini bukan fenomena baru dalam masyarakat kita. Saya hanya ingin ulang cerita kerana baru mendengari sebuah kes yang berkaitan dengannya. 

Dari segi hukum syarie, ibu-bapa atau penjaga pun diberi kebenaran malahan dituntut untuk merotan anak-anak yang berumur 10 tahun jika tidak solat. Pasti ada hikmahnya. Walau apa pun tujuan memukul, seseorang itu harus memahami tindakannya dan teknik memukul juga dihadkan supaya jangan sampai mencederakan. Ia harus menepati tujuan supaya anak-anak ini tahu dengan tepat mengapa ia di pukul atau dirotan. Anak-anak juga ada harga diri dan kita rotan jangan sampai ia hilang keyakinan diri.

Kesan dari pukulan atau rotan harus boleh menimbulkan rasa takut dan hormat pada ibu-bapa dan harus menimbulkan kesedaran dan keinsafan.
Pihak yang menjalankan hukuman harus jangan keterlaluan hingga boleh menimbulkan keraguan, dan lebih dari itu ia bolih menimbulkan rasa dendam hingga ke umur remaja dan mungkin ke umur dewasa.

Mencari atau menentukan keseimbangan ini bukan mudah jika yang memukul tidak sabar dan tidak dapat mengawal rasa marah. Bila demikian si anak mungkin merasakan ibu-bapa atau penjaga sudah tidak sayang pada dirinya lagi. Fenomena ini amat bahaya jika anak terlalu sering dipukul atau dirotan.

Kalau tidak sering sekalipun anak-anak boleh salah anggap dan akan merasai dalam hatinya bahawa ia tidak lagi disayangi.

Maka saya bependapat pukullah anak atau rotanlah anak bila ketika diri sendiri dalam kedaan neutral dan bolih membendung rasa marah. Maklumlah, setiap manusia itu ada berbagai kelemahan. Oleh yang demikian ibu papa harus sentiasa menyedari bahawa merotan itu jangan sampai ketahap mencederakan. Jika memukul atau merotan haruslah ingat bahawa kulit anak-anak masih lembut berbanding dengan kulit dewasa. Maka janganlah memukul atau merotan ketika marah kerana ditakuti ia bolih keterlaluan tanpa disedari. 


Ini anak-anak kecil yang kami asuh dan didik di pra sekolah kami di Tangkak, iaitu Taska-Tadika SmarTop Subur Fitrah. Kini sudah masuk tahun kelima. Kami amat-amat memastikan pengasuh dan guru tidak sesekali memukul dan jauh skali merotan. Jika kami dapati mereka tidak sesuai sebagai pengasuh dan guru, kami berhentikan kerana itu penting dari segi keselamatan anak-anak.





Kami sering mengadakan sessi latihan dalaman untuk sentiasa memantau disiplin staff di SmarTop. Dalam sessi temua bual dengan ibu-bapa kami utarakan juga fakta bahawa mengasuh dan mendidik anak-anak harus mengikutu saranan Sunnah. Ia itu Ibu-Bapa harus rajin bermunajat dan berdoa untuk kesejahteraan anak-anak. Ia itu kesejahteraan yang berasaskan akhlak mulia dan kemampuan mencapai kemajuan ilmu yang ditentukan dalam kurikula sekolah.

Hanya kurniaan Allah yang pasti dapat memandu kita kearah mana kita bawa anak-anak kita dalam kehidupan yang serba mencabar ini. Kita semua harus menyedari bahawa jika anak-anak tidak mengikut arahan kita, mungkin kerana hati kita belum cukup bersih dan belum cukup ikhlas dalam mencari kejayaan yang diredhai Allah.

Ayuh kita fikirkan bersama. Kita harus menerajui kepimpinan keluarga  dan organisai dimana kita bekerja. Terutamanya ibu-bapa harus sentiasa memohon taufik dan hidayah Allah, memohon PertolonganNya semoga kejayaan dapat dicapai dalam suasana riang, aman dan bahagia.

Subhanallah, Allahuakbar.....


........

Sunday, May 7, 2017

Tidak wajib Puasa Ramadhan ?.......

Image result for foto ramadhan karim




Subhanallah....
Berdebar saya berjumpa doktor pakar endokrine pada hari khamis lepas sebab saya tahu gula dalam darah saya amat tinggi.Kalau gula tinggi pasti ada masaalah lain yang berkaitan.

Doktor ini muda dan senyum minta saya duduk. Dalam senyuman dia memberi tahu keadaan diabetis saya. Gula saya 8.0. Cholasterol saya tinggi dan degupan jantung saya pun border line high. Berat badan saya turun sedikit tetapi itu tidak membantu untuk membaiki keadaan yang lainnya.

Kemudian dia memberitahu saya bahawa dia kenalah menukar dosage ubat-ubatan saya sebab tahap gula tinggi dan Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Semua pesakit diabetis diteliti lebih sedikit menjelangnya Ramadhan.

Saya juga ditanya apa lagi yang saya alami dalam 6 bulan yang lalu. Saya mengatakan saya 3/4 kali mengalami hipo akibat bacaan darah terlalu rendah pada hari itu. Ini satu keadaan yang tidak baik, katanya.

Kemudian dia senyap seketika kerana membaca sesuatu di komputernya. Lepas lebih kurang seminit dua dia menarik perhatian saya pada apa yang dibacanya. 

Puan tak bolih puasa Ramadhan ini. Doktor menunjuk saya kesimpulan laporan yang dibacanya. 

Terkejut saya.......

Ini hasil kajian yang dibuat oleh doktor pakar Islam dan ahli agama Islam untuk memberi nasihat pada pesakit diabetis. Tapi baru kali ini saya dikenal pasti sebagai pesakit yang termasuk dalam kimpulan itu.

Rasa tidak seronok......

Saya nak puasa juga, saya beritahu doktor. Dia doktor bukan Islam tetapi dia tahu apa implikasi dari arahan tersebut oleh pesakit Islam kerana semuanya ada dalam laporan kajian tersebut.

Dia menasihati saya supaya berfikir panjang dalam hal ini sebab saya sudah berumur 70 tahun dan sudah lebih 20 tahun menghidab diabetis. Yang bahayanya lagi ialah kerana saya sering Hipo. Apabila Hipo banyak implikasi yang negatif pada pesakit kerana saya boleh kena stroke dan lain-lain yang saya kurang memahami.

Saya cuba bertenang dan melihat semula ubat-ubatan yang saya harus ambil Ramadhan ini. Lama doktor memujuk saya bahawa nasihat itu baik untuk saya. Saya senyum walaupun dalam hati saya rasa gundah. Saya teringat balik ini suatu ujian baru pada saya Ramadhan ini. Namun saya bertekad untuk cuba puasa mengikut keadaan diri pada hari itu.

Semoga Allah menurunkan pertolonganNya pada saya dan memudahkan laluan saya pada bulan yang mulia ini. Sakit memberi kesedaran besar bagi diri saya. Saya mula peka dan sentiasa mengingat hakikat bahawa baki masa untuk saya amat sedikit sekali. Namun saya bersyukur dengan apa yang ada kerana Allah telah memberi banyak nikmat yang tidak terhingga luasnya. 

Saya redha dan semoga Allah meredhai dan semoga Allah memberi laluan yang terbaik hingga ke akhir hayat. Sementara itu kerja-kerja yang ada saya harus teruskan. Mohon doa pengunjung budiman untuk kesejahteraan saya hingga pertemuan dengan  yang maha Esa maha Berkuasa.

Aamiin ya Rabb.....


.......

Friday, May 5, 2017

Till our last Ringgit....


Alhamdulillah.....Menjelang Ramadhan Karim, seorang teman mengingatkan saya :  Jom kita banyakan sedekah mulai sekarang. Jangan tunggu Ramadhan. Dalam bulan Sya'ban kita melatih diri. Saya senyum lebar diperingat oleh teman. Pasti dia sayang saya untuk nasihat sedemikian. Perasan sahaja.


Katanya lagi:
Kedekut adalah sifat manusia yang huduh. Orang yang kedekut hanya merugikan diri sendiri. Allah rakam dalam alQuran. Cepat-cepat saya lihat alQuran dan saya rakam ayat-ayat berikut untuk perkongsian.



A036
(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).
(Muhammad 47:36)  


A037
(Tabiat kamu wahai manusia) jika Tuhan meminta kepada kamu harta benda kamu serta mendesak kamu memberikanNya, nescaya kamu akan berlaku bakhil kedekut, dan kebakhilan itu akan melahirkan kemarahan dan kebencian kamu.
(Muhammad 47:37


A038
(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.
(Muhammad 47:38)  


Rasa takut meneliti isi kandunagnya dalam bahasa Malysia.Kalau tahu bahasa Arab pasti kita akan memahami dengan lebih mendalam lagi. Teman saya ini juga sungguh-sungguh kempen pada saya supaya belajar juga bahasa Arab. Jangan kira umur. Allah suruh menuntut ilmu tanpa mengira umur. Allah maha suka pada hamba-hambaNya yang sentiasa berusaha mencari Redhanya.

Dalam sejarah kita sudah pun diceritakan bagaimana sahabat-sahabat Rasulullah saallahualaihiwassalam dan orang-orang yang benar-benar bertaqwa membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Hidupnya buat diri sendiri hanya alahkadar sahaja. 

Maka saya teringatkan dua potong ayat yang berkaitan demgan Allah menggalakan manusia supaya menginfakan harta. Saya teruja untuk mencontohi mereka yang sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Berjihad tidak ada sempadannya. Biar kita bersusah payah sedikit asalkan sahaja saudara kita hidup mencukupi. Lihat ayat-ayat di bawah ini, teman saya juga mengingatkan:


A133
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
(A-li'Imraan 3:133

A134
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
(A-li'Imraan 3:134


InsyaAllah ganjaran yang akan diperolehi adalah seluas langit dan bumi.Kita boleh mula dengan apa jua yang kita ada.....Harta atau pun nyawa. 

Jika harta, kita belanjakan semua....ibrat kita infakan hingga ke Ringgit yang akhir.

Till our last Ringgit.

Kita buat dengan senyuman dan apa jua kekurangan dan kesempitan yang kita hadapi, kita senyum sahaja kerana Allah janji ganjaran yang kita dapat adalah seluas langit dan bumi. Dan insya Allah tidak mustahil ganjaran itu kita dapat tetekala kita hidup di dunia dalam bentuk yang kita tidak sangka-sangka. 

Subhanallah, Allahu Akbar.


.......


Related Posts with Thumbnails