"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, October 31, 2019

Memecah Rindu @ rumah sewa lama...@ Tangkak


Bismillah

Minggu lepas kami berada di Tangkak kerana urusan Tadika dan Taska SmarTop Subur Fitrah. Selepas ke pasar Tani FAMA di Bukit Gambir kami singgah ke rumah sewa kami di Bandar Baru Tangkak  semata-mata atas sebab kerinduan. Kami tinggal disitu lebih 3 tahun dan sudah lebih setahun kini kami tidak melihatnya. Ia ada nilai sentimental kerana di situlah kami mengadakan beberapa aktivi keluarga SmarTop. (Di atas kelihatn sumai saya cuba melihat ke dalam. Gate berkunci kerana sudah ada penyewa lain)


Kami semua teruja kerana pokok Moringer yang teman saya tanam sudah nampak terlalu besar dan segar. Cantik sungguh ia membesar. (These are little joys we have in life now).


Teman saya yang sangat-sangat teruja kerana dialah yang sibuk membubuh baja dan menyiramnya selama mana kami tinggal di situ. Alhamdulillah. Berkat usaha yang gigih kami dapat mewariskannya pada tuan punya rumah dan siapa jua yang tinggal di situ. Rasanya tidak lama lagi ia akan berbuah dan amat sedap rasanya di masak dengan kari ikan atau daging, katanya.



Inilah kami ambil foto kenangan. Kami semua adalah warga emas dan entah bila lagi kami dapat berseronok-seronok begini. Saya pun sudah lama tidak memandu dan hari itu suami teman saya yang memandunya. Ia lebih muda dari kami dan sememangnya suka memandu.

Alhamdulillah. Penemuan bagi warga seperti kami.  Berbakti pada tanah tidak ada ruginya. Itu pesanan orang tua-tua.

.............................................

Wednesday, October 30, 2019

Riba Economy / Paper Money in Critical Condition - Repo Market in Criti...




A001

MASIH TERSANGKUT DENGAN RIBA

Saya sebenarnya ingin berkongsi cerita hati mengenai kehidupan kita yang kita masih tersangkut atau terjerat dengan riba. Maka saya kongsikan video di atas untuk direnungi walau pun kita sudah faham serba sedikit mengenai Riba. Saya belum faham sepenuhnya mekanisnma penentuan riba dalam semua urus niaga perbankan. Tetapi yang sedikit saya tahu pun sudah membuat saya rasa khuatir dan tidak selesa kerana rasa tidak selamat menjalani hidup ini kerana masih belum terselamat dari keterlibatan dan subahat mengamalkan riba dalam hidup harian secara langsung atau tidak langsung.

Memang benar kita sudah ada sistem Perbankan Islam di Malaysia ini. Tetapi setelah membaca dan mendengari hal ehwal perjalanan Riba dam dunia kewangan hari ini saya masih belum rasa terselamat dan amat takut tidak boleh menjawab soalan di hadapan mahkamah Allah di Hari Pembalasan nanti.


A130
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
(A-li'Imraan 3:130) |


A278

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
(Al-Baqarah 2:278) |



A279
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
(Al-Baqarah 2:279





Dunia diluar sana sedang ribut dengan berbagai-bagai masaalah dan kita diberitakan dengan berbagai-bagai helah dan muslihat bagaimana negara-negara berkuasa besar mahu menguasi ekonomi dunia dengan apa cara sekalipun. Bukan ekonomi sahaja yang mahu dikuasai bahkan mereka mahu merampas tanah jajahan. Contohnya Israel mahu memperluaskan tanah jajahannya dengan menghalau orang Palestine keluar dengan paksa. Ada juga ura-ura kita dengari Israel bekerjasama rapat dengan negara-negara di Timur tengah bagaiman mereka mahu meluaskan kuasanya.(the greater Israel)

Israel adalah sekutu kuat Amerika Syarikat dan mereka menghasut negara-negara termasuk negara-negara Islam untuk berpecah belah dan berperang antara satu sama lain. Kalau tidak berperang pun mereka memulaukan antara satu sama lain melalui perdangan dan lain-lain cara yang melibatkan kewangan (high finance). Untuk mereka terus berkuasa dan terkaya di dunia ini mereka akan memastikan peperangan yang berlaku dimana-mana tidak berhenti supaya mereka dapat menjual alat-alat peperanga termasuk semua jenis senjata yang canggih-canggih.

Ini semua melibatkan penggunaan Riba secara langsung atau tidak langsung.

Kita boleh membaca atau boleh mendengari maklumat-maklumat ni di media sosial. Jika kita tidak faham sepenuhnya pun kita boleh memahami secukupnya mengapa dunia ini tidak pernah aman damai dan sentiasa ada sahaja ancaman peperang menggunakan senjata Nuklear.

Sebab itulah Allah mengharamkan Riba kerana Riba itu amat menindas. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.  Dan Allah memerintahkan kita supaya berusaha mengembalikan sistem Khalifah yang dipelopori oleh Pemimpin Agong kita Nabi Muhammad, Rasulullah sallahualaihi wasalam. 

Di Malaysia kini sudah ada Perbankan Islam. Saya berpendapat ini belum mencukupi kerana kita masih ada hubungan dengan sistem di luarsana yang tidak mengikut prinsip Islam sepenuhnya. Sistem demokrasi tidak dapat memelihara kita dari bencana Riba.

Ayuh kita berazam dan berusaha bagaimana mahu mengembalikan sistem Khalifah di dunia ini yang sudah berjaya semasa Nabi Muhammad SAW menjadi pemimpin yang Allah redha.

Pastinya kita tidak dapat bergerak dan mencapai hasrat secara perseorangan. Kita harus ada dalam Jemaah dan uamt Islam harus bersatu dan tidak berpecah dan memberi sokongan pada kepimpinan dan negara yang bukan Islam. 

Masaalah ini besar dan saya bukan ahli dalam bidang ini. Cuma fahaman yang sedikit ini saya cuba tulis semata-mata untuk berkongsi rasa hati dan pengalaman. Sama-sama kita berdoa semoga Allah tunjuki jalan dan memelihara kita umat Islam dimana jua.


..................................

Tuesday, October 29, 2019

Anak buah dari Singapura...@ Menyambung semula jalinan kasih bersaudara.


Bismillah






Alhamdulillah, lebih seminggu lepas saya amat teruja apabila anak buah dari Singapura telefon dan ingin ziarah kami. Mereka ke Kuala Lumpur menghantar seorang anaknya register di kolej pendidikan tinggi. Saya tidak bertanya panjang kerana saya tahu mereka akan cerita bila datang ke rumah saya selepas itu.

Mereka sampai lewat pada hari itu dan kami minum ringan dan setelah solat Isyak kami sembang panjang. Mereka update saya dimana anak-anak buah yang lain yang sekarang ini tinggal di Johor Bahru. Ada cerita yang menyeronokan dan ada cerita yang menbuat hati saya kurang selesa.

Tetapi tidak mengapa. Ini adalah asam garam hidup dan saya ambil no telefon untuk mengikuti perkembangan kebajikan keluarga dan berdoa semoga dapat membantu dimana yang boleh.



Ini isteri anak buah saya yang berasal dari Singapura. Dahulu ia membuka kedai berbagai barangan tetapi kini kedai itu telah ditutup kerena ekonomi di negara kita tidak begitu baik untuk perniagaan kecil. Saya mendengari penuh simpati. Tetapi ia menceritakan sekarang bahawa ia bekerja dengan sebuah NGO yang mempromosi pembelian wakaf alQuran untuk dihantar ketempat-tempat yang memerlukannya. Anak buah saya ini besar cita-cita untuk terus berjuang menegakan kebenaran. Saya teruja mendengarinya. Usahanya meliputi membantu mereka dibawah kategori Asnaf termasuk ibu-ibu tunggal yang tidak bekemampuan. Saya seronok mendengari usahanya yang tidak mengenal penat lelah.


Esuk paginya kami sambung lagi bersembang kerana kami sudah tidak berjumpa lebih 7 tahun.  Kami makan tengah hari awal pada hari itu kerana mereka perlu pulang cepat kerana mereka banyak hal yang perlu diselesaikan. Eluklah mereka bekerja kuat semasa muda supaya bila tua nanti tidaklah mereka terkial-kial lagi. Semoga Allah menolongnya.

Kami makan di RESTAURAN MENGOPI. Tempat favorite saya berhampiran dengan rumah saya di Putrajaya. Saya suka tempat ini kerana selesa untuk bersemabng santai.



Ini foto akhir sebelum mereka bertolak pulang. Semoga kami bertemu lagi.
Dan semoga kami dapat meneruskan jalinan kasih sayang dalam kelurga besar.


............................................

Monday, October 28, 2019

Pagi yang menceriakan hati....


Bismillah


Ini foto seminggu dua yang lalu.
Tiba-tiba saya menjenguk keluar jendela besar saya dan nampak
indahnya aura matahari terbit. MasyaAllah. Ciptaan yang maha Pencipta.







Foto diatas sekali saya rakam dengan tingkap kaca tertutup. 
Diatas ini saya buka jendela luas dan warna matahari terbit lebih natural.
Rasa tidak puas-puas melihatnya.

Dalam pada itu terlintas dihati juga fakta bahawa apabila
matahari terbit dari sebelah Barat maka sudah amat hampir 
petanda akhir zaman.
Amat hampir dan saya rasa takut memikirkannya.
Saya sedang mengikuti ceramah Ustaz Wadi Anuar mengenai
Persiapan Umat Akhir Zaman di utube.
Jom kita ikuti.


.........................................................

Sunday, October 27, 2019

Sudut Santai 11.





Mawar putih lambang keikhlasan
Bunga telur diedarkan dalam suasana meriah meyaksikan keindahan
Keindahan sebuah jalinan kasih sayang yang iringi doa semoga berkekalan
Hingga ke Jannah bersama semua yang disayang.


........

Thursday, October 24, 2019

Hamza Yusuf - New World Order Dollar Bill



A001

Alhamdulillah, Saya suka mendengari Shaikh Hamzah Yusuf di utube. Kini saya sudah hampir sepuluh tahun mendengarinya. Saya "bertemu" secara kebetulan dan suka mengikuti cerita-ceritanya mengenai dakwah Islam dan bagaimana ia sampai ke tahap ini sekarang dalam usaha mahu menegakan Kebenaran Islam.

Ia seorang Amerika dan apa yang menarik perhatian saya ialah beliau lama menuntut Ilmu di Mauritania, (seperti tinggal di pasentren di Indonesia atau di pondok kalau di Malaysia). 
Selain itu ia mengkaji Islam dibanyak negara Islam dan saya dapat banyak ilmu dari ceramahnya. Ia pernah datang ke Malaysia tetapi saya terlepas peluang mendengarinya semasa di sini.

Di video di atas beliau bercerita mengenai New World Order. Ramai Ustaz dan Shaikh yang bercerita mengenainya dalam Utube termasuk cerita-cerita akhir zaman, cerita-cerita mengenai Freemasons dan pengaruh Illuminati yang ada juga di Malaysia dan berbagai lagi yang berkaitan terus dengan fakta Escatology. (carilah sendiri semoga Allah mengurnia ilmu yang bermunafaat).

Di atas ia bercerita mengenai apa yang ada di note dollar mata wang Amerika. Saya mula-mula menggunakan mata wang itu semasa saya mula belajar di US  dalam tahun 1967. Tidak pernah perasan dan  ambil tahu mengenai apa yang tersurat dan apa yang tersirat hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini melalui ehsan penjelasan kekawan yang mengkaji fakta itu.

Maka saya kongsikan di sini kerana rasa bersalah kalau tidak melakukannya kerana sangat nyata dunia kita dalam perangkap keganasaan Yahudi Zionist.

Sampai di sini sahaja perkongsian saya dan insyaAllah saya sambung lagi dilain masa. Kita sedang sarat difitnah dengan fakta-fakta akhir zaman dan saya rasa amat terkilan baru kebelakangan ini saya menyedari betapa berat keadaan umat Islam. Jom kita sama-sama mencari Ilmu yang benar dan beramal soleh dalam semua bidang yang termampu semoga kita selamat di dunia dan di akhirat. Semoga Allah sentiasa memelihara kita. 
Aamiin ya Rabb.......,.


...................

Tuesday, October 22, 2019

Tempat baru teman baru.....


A001


Alhamdulillah tiga minggu yang lalu saya dapat menghadiri majlis perkahwinan anak jiran.
Saya baru setahun pindah ke Putrajaya dan baru mengenali jiran-jiran baru.
Maka untuk mera'i jiran, saya setuju menghadiri Majlis yang amat meriah
di Boraombak di Putrajaya.


 Suami saya tidak tahu tempat ini. Maka kami ikut seorang jiran lain 
yang jauh lebih muda dari kami.
Alhamdulillah jiran-jiran ini tinggal di Tamara Residence, 
amat hampir dengan rumah saya.
Kami janji bertemu di Surau kejiranan selepas Maghrib dan
kami ambil foto kenanagan.


Ini teman yang baru saya kenal. Amat jauh beza umur saya
 tetapi ia seorang yang pandai berkawan.
Ia mudah mesra dan saya amat rasa selesa dalam majlis itu.

Menghadiri apa jua jemputan majlis amat dituntut dalam Islam. 
Inikan pula jemputan seorang jiran yang mudah ramah mesra.
Saya selalu diingatkan teteman perkara ini kerana saya antara yang agak
 susah menghadiri majlis. Itu kelemahan saya dari muda lagi. Bila ustaz
 ingatkan  maka saya cuba sedaya upaya.
Ustaz juga sering mengingatkan bahawa dalam Islam
 ada prinsip Adab berjiran.
Maka jangan ambil mudah hal-hal kejiranan.
Maka dalam kemampuan yang terhad ini pun saya cuba sedayanya. 
Mohon pertolongan Mu, ya Rabb.....


...............................

Friday, October 18, 2019

Zionist Jewish Yahoodi Soul vs Human Soul - Why They Look Down on The R...



A001

Hari ini saya ingin kongsikan video di atas. Saya baru terjumpa video ini dan rasa terpanggil untuk share sesuatu yang sudah lama saya fikirkan betapa sombong bongkak Yahudi Zionists ini. Dengari betapa biadap sikap Yahudi Zionist terhadap Allah swt, Tuhan yang satu yang maha Pencipta. 

Kata mereka Ruh manusia adalah hasil ciptaan. Tetapi mereka mendakwa ruh zionist yahudi adalah sebahagian dari yang maha Pencipta. Mereka mendakwa mereka wujud serentak. Kan Allah itu tiada permulaan dan tiada akhirnya. Macam mana pulak ia sebahagian dari Tuhan yang Maha Pencipta? Bingung....... Sebab itu mereka sombnong dan bongkak. Kalah Jinn dan syaitan dan Iblis. Jinn Sayitan dan Iblis masih mengaku Allah itu Tuhan yang maha Pencipta dan tiada sekutu baginya. Mereka tahu mereka dicipta cuma mereka mengengkari arahan Allah sahaja. Mereka rasa manusia dijadikan dari Tanah dan mereka dijadika dari cahaya. Jadi mereka lebih hebat. Mereka ini pun bingung tetapi tidak bingung dan dan mendakwa mahu seperti setaraf dengan Allah Tuhan yang maha Agong. Jinn Iblis dan Sayitan mahu menyesatkan manusia hingga Qiamat. Tetapi mereka tidak akan berjaya berbuat demikian atas manusia yang beriman dan bertaqwa. Itu janji Allah.

Yahudi disebut dalam alquran sebagai kaum yang terpilih. Tetapi mereka mengengkari Allah dan Allah MURKA. Mereka bukan lagi golongan yang terpilih sepeti mereka dakwa pada dunia. Ini dapat kita baca dalam tafsiran-tafsiran ulamak-ulamak muktabar. Kesombongan Yahudi zionist hari ini dibenci oleh semua yang beriman dan bertaqwa kerana mereka menjadi perosak keamanan di dunia ini.

Mereka mahu menawan dunia dan dunia mahu diperintah olehnya kesemuanya. Mula-mula mereka mahu membesarkan daerah mereka. Sebab itu asyik curi dan rompak tanah Palestin. Bukan itu sahaja. Mereka mahu menubuhkan "the greater Israel." hingga ke daerah yang sekarang ini dibawaha jajahan Arab Saudi, Mesir dan Joradan dan lainya .(boleh baca di banyak temapt kerenah mereka ini) 

Yang menyokong mereka adalah juga zionist. Christian zionist dan juga mereka yang mengkagumi "kehebatan" yahudi zionist dan tidak mahu faham konsep ketuhanan. Semuanya tidak faham. Tidak perlu saya katakan siapa mereka itu. Mungkin di Malaysia pun ada golongan ini. Atau mereka yang simpati denagn perjuangan ini atau mahu meniru cara mereka merampas hak orang lain. Huru hara didunia sekarang ini adalah hasil dari pemikiran yang songsang yang tidak mahu mempercayai siapa Allah Tuhan yang sebenarnya dan siapa Rasulullah saw yang sebenarnya. Negara-negara yang mengaku mereka negara Islam pun banyak termakan budi dan kena tunduk pada kehendak Zionist ini. Mereka mahu kesenangan hidup dunia dan ikut sahaja kehendak zionist walaupun pada zahirnya mereka mengatakan mereka negara merdeka dan berdaulat. Ini pun golongan yang bingung juga........

Dahulu kita baca mengenai Firaun yang zalim dan berpengaruh kerana kekuatan sihir nya hingga mengaku dia tuhan. Siapa engkar habis diseksa hingga mengaku Firaun itu tuhan dan jika tidak akan dibunuhnya. Allah maha Mengetahui dan menyelamatkan Nabi Musa AS untuk berdepan dengan Firaun yang maha sesat dan maha zalim ini.(Peristiwa ini pun boleh dibaca dibanyak tempat.) Ciri-ciri perangai Firaun pun kita dapat lihat didunia sekarang ini. Di dunia sekarang ini pun ramai yang bertindak seperti Firaun. Sekarang ini kita sudah lihat negara Arab Saudi mahu seperti negara modern yang ada di Eropah dan tempat-tempat lain yang membenarkan aktiviti-aktiviti dijalankan walaupun ia dilarang oleh Quran dan Hadith. Rasa sedih bila memikirkannya kerana Makkah dan Madinah itu temapt suci tetapi banyak yang sudah dapat dirasakan seperti sudah luntur keadaannya. Kita doa semoga Allah terus memelihara kesucianya........

Maka kita harus berwaspada jangan sampaui terjebak dengan fenomena ini.

Sehubungan dengan ini saya ingin sentuh sedikit kaitan EGO kita dengan fakta mahu rasa hebat walaupun kejayaan yang ada pada kita itu adalah kurniaan Allah. Kita usaha maka kita dapat katanya .......golongan ini pun golongan yang bingung.......Mereka menggunakan fakta logik semata-mata. Maka ada diantara kita yang "bertuhankan" Ego.(semoga Allah melindungi kita). Siapa pun tidak boleh tegur dan nasihat.

Semoga kita semua berwaspada dan berhati-hati dan sama-sama mencari dan menambah ilmu semoga sentiasa dalam petunjuk dan hidayah Allah swt jua. Semoga kita faham dan menhayati apa yang Hak dan kita tinggalkan apa yang Batil. Semoga Allah memudahkan jalan-jalan mencari dan mendapatkan RedhaNya jua. Dan kita sentiasa memohon keampunanNya jua.

Aamiin ya Rabb.......


.....................

Monday, October 14, 2019

Sudut Santai 10...


A001



Bila kita lihat suatu yang cantik dan teratur hati lega dan nyaman. 
Tetapi ada kalanya yang cantik dan teratur hanya ada pada fikiran.
Maka ada kalanya kita dikejutkan dengan reality hidup yang membingungkan.
Kita menyangka yang kita buat sudah cantik dan menepati tujuan.
Kita rasa kita sudah adil dan sudah memenuhi harapan.
Kerana kita pasti kita lakukan dengan kasih sayang.
Tetapi manusia berbeza wawasan dan berbeza perasaan.
Dan ini jadi masaalah bila perbezaan tidak dilandaskan atas Kebenaran.
Kebenaran yang yang menyeliputi hati budi manusia beriman.
Bukan kebenaran atas nafsu dan keinginan.
Maka jangan bersedih jika apa yang kita lakukan kita rasa sudah terbaik,
 tetapi rupanya belum menepati sasaran.
"Our best may not be good enough".
Jangan rasa gusar kerana itu lumrah manusia berfikiran.
 Kita pasrah sahaja pada Allah yang maha Menciptakan.
Hanya Dia yang adil membuat penilaian. Kita akur dan reda tanpa sesalan.
Kerana atas apa jua yang berlaku pasti ada hikmah dihadapan.
Yakinlah, jika kita ikhlas Allah tidak mensia-siakan.
Semoga terluang bagi kita ganjaran yang tidak disangkakan.
Kerana Allah maha tahu yang nyata dan yang disembunyikan.
Allah maha mengasihi siapa jua yang beriman.
Maka kita mohon sejuta keampunan.
Mohon semoga segala kelemahan dan kekurangan Allah perbetulkan.
Semoga amalan kita tercatat ditangan kanan.
Dan kita tergolong dalam hamba-hambanya Syurga tertinggi Allah perkenan.

Aamiin ya Rabb....Pada Mu segala harapan.


........

Saturday, October 12, 2019

Menginsafi umur @ Akhir Zaman...............


A001



Ini kisah suami saya dan bapa saudaranya, Pak Teh,
yang kini berumur lebih 85 tahun.
Keluarga besar suami saya berasal dari  Kg. Sungai Batu, Selama Kedah.
Ramai yang sudah berhijrah ke Kuala Lumpur 
dan daerah yang berhampiran dengannya.

Dua minggu dulu saya dan suami ziarah Pak Teh di rumah anaknya
 di Precint 9 Putrajaya.
Ia hampir dengan rumah saya di Precint 8.
Hari itu Pak Teh tidak sihat kerana dadanya bermasaalah
 dan hampir susah bernafas.
Maka anaknya pergi ke Kedah dan ambil Pak Teh datang untuk
 rawatan yang sewajarnya.
Pak Teh tinggal berseorangan di Sungai Batu. Ia enggan ikut anak.
Duduk seorang bebas dan hati rasa selesa katanya.

Itu lumrah perasaan orang-orang tua. Saya pun sudah mula merasainya.
Sudah mula rasa makin hari makin terpinggir dan rasa makin  "bodoh"
 kerana tidak tahu mengupdate diri berkaitan dengan
 kecanggihan teknologi yang kini ada.
 Dalam umur seperti saya ada yang berpendapat eluk saya duduk diam-diam 
dan tidak perlu komen apa yang berlaku disekeliling kerana
 hampir pasti tidak dapat mengubah apa-apa.

Maka saya duduk diam-diam dan rasa lebih selesa dan bebas di rumah sendiri.
Rumah tidak berkemas pun tidak apa. Lambat mandi pun tidak apa.
Makan seadanya pun tidak apa.
Bubur nasi dan ikan bilis goreng pun ok juga,
 asalkan aktiviti wajib dibuat segera.
Tetapi kalau tidak segera pun apakan daya, sebab lutut sudah longgar
dan perut sakit tidak ada selera.
Badan rasa tidak terdaya maka bertangguh masa
 hingga kekadang terlepas juga.

Terasa sesalan yang berpanjangan......

Walaupun selesa saya merasai ada yang tidak kena dalam sistem
 kehidupan warga emas yang sudah serba kurang keupayaan,
fisikal dan mental dan yang lainnya.
Tetapi siapa yang sebenarnya yang harus peduli pada mereka ?......
Saya cuma memerhati dan tidak berani mengatakan itu dan ini bila sampai
masaalah itu dihadapan saya.

Bersembang dengan Pak Teh suami saya berkata:
Marilah duduk dengan kami buat seketika hingga selesai perubatan
yang diurus sementara. Pak Teh tertawa.....
Mana bolih, katanya. Kena balik rumah juga.
 Pak Teh masih boleh kekedai beli makanan dan keperluan lain juga.
Masih boleh naik motor perlahan-perlahan. Masih boleh basuh pinggan,
boleh menyapu lantai dan basuh bilik air macam dulu juga.

Hebat Pak Teh saya ini dan terdetik dihati mahu ikut jejaknya jika
dikehendaki kerana tiada yang peduli.
Pernah saya kata pada kekawan dalam sembang mesra semasa bekerja dahulu:
Bila kita betul-betul tua, jangan bimbang.....
Sebab kita cukup simpanan untuk register di kediaman
istimewa orang-orang tua..... redha sahaja, itu kuncinya.

Cuma suami saya kata jangan jadikan ini satu doa pula.
 Doa  sahaja untuk yang terbaik bagi kita disisiNYA. 
APA YANG TERBAIK YE ?....
Tidak perlu difikir-fikir dan tidak perlu dikira-kira...Pasrah sahaja...
Sedap hati mendengarinya.
 Tiada siapa yang tahu apa habuan kita di Hari Tua.
Semoga Allah memelihara dan melimpah
 kasih sayangNya yang tidak terhingga.

Rasa insaf bila memikirkan hari tua. Rasa juga sayu tiada sempadannya.
Bertambah rasa sayu bila memikirkan akhir zaman pasti tiba.
Kata Ustaz akhir zaman sudah amat dekat. Tanda-tandanya sudah nyata.
Walaupun kini sudah tua dan baki umur tinggal amat sedikit, 
tetapi kalau ditakdirkan benar-benar bertemu akhir zaman,
 maka hati saya tambah runsing dan agak hiba
Rasa takut dan gerun bertemu fitnah-fitnah akhir zaman 
yang tidak dapat saya duga....

 Hanya mampu berdoa semogaAllah sentiasa pelihara
 dan semoga Allah kurnia RahmatNya yang tidak terhingga 
dan akan selamat sejahtera dan dikurnia Khusnul khatimah akhirnya.
Ustaz pesan terus beramal soleh sedaya upaya. Jangan lalai membuang masa.
Jangan khuatir tiada anak menjaga dan berulit mesra.
Kan Allah sentiasa ada dan padanya segala urusan kita pasrah jua.
Allah amat sayang pada hamba-hambaNya
Semoga kita tergolong dalamnya.
Dan di Syurga Firdaus kita dihimpun dengan semua yang kita cinta.

Aamiin Ya Rabb.....

Thursday, October 10, 2019

Ke Tangkak lagi...@ Urusan SmarTop.


A001





Alhamdulillah Khamis minggu lepasa saya dan suami dapat pergi ke Tangkak atas urusan Tadika / Taska SmarTop Subur Fitrah yang kami bantu urus sejak 7 tahun yang lalu.

Di sana saya suka berlegar-legar di Taman Homestay tempat saya tinggal berhampiran dengan Rumah Ngaji di mana kami adakan sessi Latihan Dalaman untuk Guru dan Staf yang bertugas di SmarTop. Bunga puding ini amat menarik perhatian saya kerana teringatkan emak saya yang sukakan bunga puding ditanam sekeliling rumah semasa emak masih ada bersama. (Terselit rasa rindu......)

Kami jemput juga group mengaji al Quran yang sering hadir di Rumah Ngaji yang dikelolakan oleh Hajah Nortipah, salah seorang Ahli Lembaga Pengurus SmarTop. Peserta Program Rumah Ngaji ini sering membantu kami dalam menjayakan projek dalam bidang Pendidikan pada biila-bila masa kami menjalankannya. Ia ibarat tugasan "serampang dua mata". Alhamdulillah.




Ini sebahagian peserta hari itu. Foto ini diambil awal permulaan dan belum ramai yang sampai. Kami suka bermula tepat pada masa kerana budaya menepati masa adalah salah satu yang kami titik beratkan pada Guru dan Staf Tadika dan Taska yang kami urus. Rata-rata orang Melayu masih tidak peka menjaga masa dan ini adalah perangai yang amat merugikan. Bukankah Masa itu Ibadah?....

MASA ITU EMAS dan MASA ITU IBADAH....

Penceramah pada hari itu ialah Hajah Norlida yang kami datangkan khas dari Perlis. Beliau aktif dalam NGO Haluan. Beliau suka berinteraksi dengan pihak kami kerana dulunya beliau adalah salah seorang pengasas SmarTop sebelum pindah ke Perlis. Pada hari itu beliau berbicara bagaimana mahu mendidik hati semoga CINTA PADA ALQURAN. Saya suka mendengarinya kerana persembahannya amat jelas dan mudah difahami. Yang terpenting ialah kita harus belajar baca alQuran dan belajar juga untuk memahami maknanya. Setelah itu barulah kita dapat menghayatinya. Semoga semua yang hadir mendapat munafaat dari sessi lebih kurang 2 jam itu termasuk sessi perbincangan.



Pada pagi sebelum Sesi Latihan bermula kami bersarapan di warong kopi berdekatan dengan Rumah Ngaji kami. Sarapan pagi biasa-biasa sahaja. Alhamdulillah. Allah kurnia rezeki yang lumayan. Pagi itu kami ajak juga ahli keluarga yang dahulunya banyak membantu kami dalam memulakan Tadika/Taska SmarTop ini. Saya rasa teruja dan sembang santai seketika kerana sudah lama tidak berjumpa.



Ini foto jarak dekat Hj Azman yang saya cerita diatas tadi bersama anaknya yang mula-mula menjadi salah seorang pelajar yang ulung kali kami uruskan. Sekarang sudah ditingkatan satu dan sudah menampakan  kerumajaannya. Dia malu-malu tetapi mesra. Diwajahnya kelihatan keriangan duduk bersama orang-orang tua seperti kami. Ini adalah sebahagian nilai adab yang kami cuba terapkan di Tadika kami semoga anak-anak kecil akan sayang ibu dan bapa, horamt pada orang tua dan menghargai budi para guru dan pengasuh  hingga keakhir hayat. Semoga misi dan visi kami kesampaian.


Ini suami saya berbaju batik dan Dato Safaruddin,
Pengerusi Lembaga Pengelola
Tadika/Taska SmarTop Subur Fitrah Tangkak, Johor.



Pada petangnya kami jalan-jalan cari tempat ngopi. Tidak jauh dari homestay kami. Bermacam yang dijual. Tetapi kami pilih pisang goreng dan keladi goreng. Amat lumayan sekali hidangannya. Untuk rm5 pisang goreng kami 6 orang makan amat puas sekali. Kemudian rm3 untuk keladi goreng pun begitu. Di Putrajaya tidak mungkin dapat demikian. Sebulan sekali saya ke Tangkak amat saya nanti-nantikan.

Semoga Allah kurnia kesihatan untuk terus berbakti pada masyarakat. Kecil sahaja........ Namun ia menggembirakan hati saya.
Alhamdulillah.    Hingga lain kali.......



Wednesday, October 9, 2019

Ziarah Takziah teman-teman seperjuangan.


A001

Minggu lepas kami ke Simpang Rengam, Johor menziarahi keluarga sahabat dalam NGO HALUAN. Berita kemalangan jalan raya yang membawa maut terdapat di akhbar dan media massa dua minggu yang lalu. Salah seorang teman dalam kempulan kami amat mengenali keluarga yang terlibat dalam kemalangan itu dan kami ziarah sebagai tanda kami sama-sama bersedih dan menghargai sumbangan mereka dalam NGO Haluan itu. Semoga semua yang terkorban mendapat keampunan dari Allah swt dan ditemptkan Ruh-ruh mereka bersama-sama para syuhadak dan solihin. Aamiin.....

Begitulah lumrah hidup. Kami yang tinggal belum tahu bagaimana kesudahan kami. Semoga Allah sentiasa memelihara dan kami semua Allah kurnia khusnul khatimah dan juga semua hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.






Semua ahli keluarga yang ditinggal adalah muda-muda belaka. Keluarga muda yang kami ziarahi punya 3 orang anak dan yang bongsu baru berumur 2 tahun. Balu yang ditinggalan nampak kuat semangat dan kami sama-sama mendoakan semoga Allah memudahkan urusan hidup keluarga seterusnya. Perjuangan tidak terhenti. Insya Allah ia diwarisi.

Wawasan hidup dalam perjuangan Mentauhidkan Allah adalah suatu tekad yang tidak mudah dilaksanakan. Perjuangan saya masih dipinggiran dan sering berdoa semoga Allah bagi ruang dan peluang untuk lebih istiqamah dalam menjunjung wawasan ini. Saya perlukan tarikan semangat dari kekawan yang telah lama mencebur diri dalam beberapa NGO demi kesungguhan untuk dapat sama-sama mendirikan kebenaran Allah swt. Kebergantungan hidup kita adalah semata-mata pada Allah maka itu perjuangan kita jangan sampai terkeluar dari landasan.

Politik adalah sebahagian dari prinsip Islam. Namun kita harus berhati-hati pegangan pada Tauhid tidak tergadai kerana hilang punca yang lahir dari kekeliruan mana yang lebih penting. Biasanya kita keliru jika mengaitkan terus isu politik dengan kekuasaan memerintah dan terlalai dari pegangan bahawa politik hanyalah laluan untuk membesarkan dan meneguhkan Iman dan Taqwa. Kita bolih berpolitik tetapi jangan terkeluar dari paradigma Tauhid.

Semoga Allah sentiasa memelihara dan menunjuki jalan.
Aamiin ya Rabb........





Tuesday, October 8, 2019

Putar-lalu @ Putrajaya


A001


Minggu lalu anak angkat saya dari Tanah Merah Kelantan datang ziarah saya selama 3 hari. Rasa teruja kerana sudah lama tidak berbicara mengenai hidup dan kehidupan cara berdepan. Seronok berbicara santai kerana dapat merasai perbezaan pemikiran tua dan pemikiran muda.

Pada hari kedua  setelah ia selesai berurusan hal kerja-kerja nya saya diajak olehnya berputar lalu di sebahagian Putrajaya untuk melihat perbezaan keadaan Lanscape yang ada yang kini sudah hampir 10 tahun setelah ia buat kajian mengenainya semasa ia menuntut di Universiti Pertanian Malaysia dibidang Botany dahulu.

Saya ikut dan mengangambil foto yang terdaya buat saya. Anak saya ini membuat sedikit penerangan mengenai pilihan jenis pokok dan berbagai lagi yang berkaitan dengannya. Saya mendengarinya sahaja dan dapat melihat apa yang ada di Putrajaya kerana saya tiada peluang berputar-putar walaupun sudah setahun tinggal di Putrajaya.



Kita boleh berjalan-jalan santai dan "menghilangkan diri" di tempat ini.

Sejuk kehijaun..........

Saya katakan pada anak angkat saya ini pasti seronok jika dapat berjalan-jalan santai dan berfikir-fikir jauh tentang apa yang sedang berlaku dalam dunia kita hari ini. Tetapi katanya tidak mungkin saya mampu kerana laluan itu agak berbukit juga buat orang dewasa tua. Dahulu semasa dia buat kajian dia banyak berjalan kaki dan rasa seronok walaupun kepenatan.

Itulah antara keseronokan umur muda.........



Antara kawasan yang kami lalui ialah Taman Botany. Saya katakan pada diri sendiri bertekad mencari peluang berjalan di tempat-tempat menarik seperti ini untuk melapangkan dada dan pemikiran. Semoga kesampaian.




Setelah agak puas dan merasai perut lapar maka kami setuju pulang
 mencari makanan. Kami singgah di Precint 8 dan
 masuk ke WARONG MENGOPI" yang diatas ini.
Kamera saya tidak canggih. Tempatnya amat "cozy"
 dan rasa amat sesuai untuk sembang santai merehatkan penat kaki.
 Saya makan Lakasa Penanag 
dan anak angkat saya makan keropok lekor.

Saya tulis hal ini kerana saya suka orang muda bagi peluang warga emas
 bersantai-santai dalam mengingati masa dahulu dimana tenaga kuat
 dan pemikiran terang.
 Dalam umur yang ada sekarang saya sering juga lupa-lupa.
 Semoga Allah pelihara semua deria hingga ke akhir hayat.
Untuk yang muda belia saya katakan pada anak angkat saya
 jangan terlau dibuai kesenagan 
dengan kederat yang kuat dan ingatan yang terang-benderang.
 Hargai sepenuhnya.
Kita tidak tahu bila penghujungnya. Tetapi kita tetap berdoa
Allah memandu dan mengasihi kita dalam umur yang bukan kita punya.
 Semoga Anugerah Allah ini kita munafaatkan
 sebaik-baiknya dan semoga dihujung perjalanan ini Allah redha semuanya.



Sunday, October 6, 2019

Syaitan di mana-mana...@ di pasar beli-belah juga


A001
Baru-baru ini saya ajak anak buah ke Mall belibelah di Putrajaya untuk cari sepasang kasut untuk memudahkan seorang warga emas ke sana sini tanpa masaalah. Sudah lama tidak menjelajah ke  gedung membeli belah yang agak besar maka sepertilah baru pertama kali ke bandar besar. Rasa tidak selesa.......tetapi tidak mengapa kerana lumrah orang dewasa tua.

Semasa muda sering juga bersantai untuk memilih barang yang diperlukan tanpa masaalah. Kini sudah berlainan kerana kurang kederat.

Kurang kederat hanya satu masaalah. Sekarang sudah tahu bahawa bila berhajat membeli barang jangan samapi lalai diganggu syaitan untuk memilih itu ini tanpa disedari samada barang itu yang kita perlu atau yang kita mahu. Suatu ketika saya bersama teman-teman berada di Bandung  dan ada Ustaz pesan supaya jangan sampai kita membuang masa kalaupun tidak membuang duit. Pilih-pilih tetapi tidak membeli. Akhir nya kerugia masa dan tenaga. Masa itu ibadah. Bila kepenatan sudah pasti pengabdian terkorban.

Maka di sini saya ingin kongsikan satu doa supaya tidak diganggu syaitan semasa di pasar atau dimana jua. Janganlah kita hanya suka melihat-lihat tanpa membeli atau membeli apa yang tidak sebenarnya diperlukan.

Doa di bawah ini adalah ehsan carian google. Tetapi kita bolih berdoa cara mana sekalipun asalkan kita peka akan pesanan Ustaz supaya berdoa sebagai pendidding hati semoga sentiasa terpelihara dari hasutan syaitan melakukan pembaziran


Dari ‘Umar bin Khattab radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : 



“Barangsiapa yang masuk pasar kemudian membaca : “Laa ilaha illallah wahdahu laa syarika lah, lahul mulku wa lahul hamdu, yuhyii wa yumiit, wa huwa hayyun laa ya yamuut, bi yadihil khoir, wa huwa ‘ala kulli sya-in qodiir.” Maka Allah akan menuliskan baginya satu juta kebaikan, menghapuskan darinya satu juta kesalahan dan meninggikannya satu juta derajat." - dalam riwayat lain: "dan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, ad-Daarimi dan al-Hakim)
Hadis di atas menunjukkan sangat besarnya keutamaan dan pahala orang yang membaca zikir/doa ini ketika masuk pasar. Kita cuba supaya tidak lupa berdoa.

Semasa dulu saya amat cuai untuk mendengari ceramah mengenai kewujudan Jinn Iblis dan Syaitan. Rupa-rupanya pengaruh dan hasad dengki mereka itu lebih dahsyat dari apa yang saya sangka. Maka saya sekarang ini masih menambah ilmu mengenai tafsiran Iblis menentang perintah Allah untuk sujud pada Adam semasa Adam diciptakan. Saya ikuti juga ceramah mengenai sihir-sihir yang wujud sekarang ini bermula dari Zaman Firaun lagi. Saya cuba mendengari juga cerita-cerita Nabi Sulaiman as memohon dari Allah untuk menamatkan segala pengaruh Jinn dan Syaitan setelah wafatnya. 

Semoga dengan ilmu-ilmu ini saya dapat memahami erti sebenar kehidupan, erti pengaruh Jinn dan Syaitan dan tanda-tanda akhir zaman. Banyak yang belum tahu semoga Allah memberi perlindungan.


Related Posts with Thumbnails