Sehari-harian duduk di rumah dalam musim Covid19 ini saya sering melayari
apa yang ada di Utube. Dan dalam umur emas
begini saya sering teringatkan emak dan bapak saya. Video diatas tidak secara langsung berkenaan dengan cerita saya ini. Ia cuma imbasan. Namun tersentuh di hati saya beberapa fakta yang saya fikirkan sendirian. Saya merasakan perkembangan Islam di negara asal usul bapak saya itu lebih kuat dan menggunakan juga medium yang saya tidak tahu semasa saya membesar dan mendewasa hinggalah hari ini bilamana saya ikuti beberapa sudut dakwah yang dijalankan di sana melalui Utube.
Saya keturunan Pendatang ke Malaya dari Tanah Jawa. Maka sebenarnya saya rasa sebuah nostalgia bila mengimbas cerita-cerita mengenai budaya orang Jawa yang berkaitan terus dengan cara mempraktik prinsip-prinsip Islam. Anak cucu saya dari keluarga besar sudah amat jauh dari memahami budaya keturunan Jawa Islam. Termasuk saya juga.
Tetapi saya sentiasa ingat asal usul saya.
Justeru itu saya suka mengikuti cerita-cerita paranormal di masyarakat asal usul bapak saya. Saya teringat emak saya suka menakutkan saya semasa kecil dahulu dengan fakta hantu Gandaruwo dan hantu Banaspati dan yang seumpamanya.
Sekarang saya terkebil-kebiok sendirian memikirkan fakta-fakta itu yang banyak saya lihat diUtube masyarakat yang sangat terpaut dengan fenomena dukun itu dan dukun ini.
Tetapi bukan tujuan saya untuk berbicara panjang mengenai hal ini kerana saya tidak ada tempat rujukan yang membolehkan saya memahami fenomena ini sepenuhnya. Saya hanya mahu cerita sedikat mengenai bapak saya yang saya rindui terutamanya bila mengikuti cerita-cerita dari Tanah Jawa.
Semasa saya kecil dan bersekolah rendah, ramai yang tidak suka orang Jawa.
saya rasa tersedih katannya orang Jawa makan katak kering dan beberapa hal lagi yang seperti "menghina" orang Jawa. Tetapi hal itu mendorong saya untuk berkerja rajin supaya dapat mengubah kedudukan keluarga sebagai pendatang dari tanah Jawa.
Di arena politik ramai yang mengatakan orang Melayu "Malas". Ini tidak betul kesemuanya. Saya tetap kata saya keturunan Jawa tidak malas. Semangat "Survival" Emak Bapak saya sentiasa tersemat di sanubari saya. Kedua Emak dan Bapak merentas lautan pastinya bukan petanda orang malas. Semangat mahu mengubah cara hidup dan kehidupan pastinya amat kuat hingga berani mengambil apa jua risiko yang ada bersama
tekad "melepaskan" diri ke Malaya (nama ketika itu).
Emak saya meninggal dunia ditahun 2004. Bapak saya meneinggal ditahun 1964 ketika saya berumur 16 tahun. Umur bapak saya hampir 100 tahun, kata emak saya kepada kakak-kakak saya.Saya anak bongsu dan tidak banyak mendengari cerita-cerita "Penghijrahan"
emak bapak saya.
Walaupun tidak banyak, kini saya amat teruja mendengari cerita-cerita perihal Tanah Jawa di Utube. Saya tidak ada rekod sebenar, cuma Emak saya kata kami dari sebuah daerah di Solo. Saya belum pernah menjejak kaki di Solo. Setiap kali berwisata saya hanya ke Jakarta Bandung seperti itu. Saya beberapa kali ke Garut, daerah lebih kurang 3 jam dengan kereta dari Bandung.(Kenangan manis kerana lokasi tersebut sejuk dan nyaman).
Waktu itu saya bersama satu team membantu seorang Usahawan Malaysia yang membina sebuah Sekolah Menengah sebagai sebuah projek Wakaf. (saya pernah menulis mengenainya di blog ini lama dahulu). Ini hampir 10 tahun yang lalu.
Sekarang dalam duduk bersahaja, saya pilih cerita-cerita mengenai Pasentren dan Padepokan kerana ada imbasan kisah Bapak saya menjadi santri sebelum hijrah ke Malaya.
Tergiang-ngiang ditelinga saya mendengar kawan-kawan bapak saya iktiraf bapak seorang Santri Pasentren dan bapak saya dipercayai mengajar Ilmu Islam yang asas kerana waktu itu tidak ramai yang boleh mengajar. Ini diceritakan oleh kakak-kakak saya yang jauh lebih tua dari saya. Yang ada sekarang pun sudah berumur lapan-puluhan. Alhamdulillah. Terubat sedikit rindu saya pada emak bapak sekarang ini.
Bapak saya punya kitab-litab berbahasa Jawa. Saya simpan dahulunya tetapi kini musnah/hilang kerana saya berpindah randah dan tidak begitu prihatin menyimpan warisan bapak saya, terutamanya. Sekarang rasa kesal juga. Tujuan saya mula-mula ialah saya hendak beri pada ustaz atau sesiapa sahaja yang boleh memunafaatkan kitab-kitab itu. Sekarang tinggal kesalan. Semoga Allah mengampunkan kelalaian saya.
Saya tidak berapa tahu dan tidak ingat amalan-amalan ibadah bapak saya terhadap yang maha Pencipta. Cuma Bapak saya marah kalau tidak solat. Tetapi saya tidak ingat jenis denda yang dikenakan. Saya dan anak-anak saudara yang tinggal bersama dihantar sekolah rendah dan sekolah agama. Di Johor sememanagnya terkenal dengan sekolah agama dan saya pintar tulisan Jawi yang ramai sekarang ini anak cucu saya dan keluarga besar saya ramai yang tidak mahir. Cuma yang saya ingat amalan Bapak saya semasa saya duduk peperiksaan Bapak akan berpuasa. Itu cerita Emak saya pada saya. Sekarang dalam umur dewasa tua, saya pun tidak berpuasa untuk anak cucu semasa peperiksaan disekolah. Saya hanya berdoa selalu untuk kejayaan dan kesejahteraan. Amat sedikit amalan saya.
(Terdetik dihati.....kalaulah bapak saya masih ada.......)
Tetapi semangat Allahyarham bapak saya sentiasa hidup di hati saya. Kata seorang teman "The World belongs to the Brave". Bapak saya merentas lautan dengan, saya percaya, kemudahan yang amat terhad. Sampai di Malaya emak saya kata Bapak saya dengan kenalan baru membuka Hutan. Kebun getah yang saya bantu emak saya menoreh adalah kebun yang bermula dari hutan yang dibersihkan. Waktu itu agaknya tidak ada peraturan yang menyusahkan seperti sekarang. Saya tidak pernah tanya bila Bapak mendarat di Malaya. Sekarang saya anggarkan dalam tahun 1920an atau lebih awal.
Entah kenapa saya rindukan bapak sangat waktu ini. Saya sekarang berumur 74 tahun. Mungkin sudah amat hampir untuk berpindah kealam yang lain pula. Semoga saya dapat berpelukan denagan emak dan bapak seperti semasa saya membesar.
Semoga Allah pertemukan semula di Syurga Firdaus tanpa hisab
dengan semua yang kami sayang.
Allahuma Aamiin, Ya Rabb.....
No comments:
Post a Comment