"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, February 16, 2011

Berlalunya 12 Rabiulawal.



Maka berlalulah 12 Rabiulawal 1432 H. Sambutan memperingati kelahiran junjungan kita Nabi Muhamad SAW juga berlalu dalam berbagai bentuk. Semoga majlisnya sahaja yang berlalu, tetapi komitmen kita akan berterusan dengan pertolongan Allah jua.

Contoh akhlak yang terbaik adalah Nabi saw kita sendiri. Saya dahulu adalah diantara yang leka mengenai fakta ini. Ketika itu hidup dikelilingi budaya warisan penjajah selepas Kemerdekaan. Itu kelemahan dan kekurangan saya. Kini saya berdoa semoga saya dapat menepati contoh segala sifat mulia yang ada padanya sesempurana mungkin dan semoga di akhir hidup ini Allah meredhai.


Ini gambar di Dataran Masjid Nabawi, saya rakamkan pada bulan Ramadhan 1431, bersamaan Ogos 2010. Rindu rasa hati tidak terkira. Mungkinkah dapat berkunjung lagi. Hadith mengatakan: Menziarahi Rasulullah ketika wafatnya adalah seperti menzirahi ketika hidupnya. Saya rasa rugi  kalau kita pergi menunaikan fardhu Haji tetapi oleh kerana terlalu sibuk, maka tidak ada kesempatan untuk pergi Ke Madinah menziarahi. Kata setengah kawan saya: jika kita benar-benar mencari kesempatan itu dengan penuh ikhlas maka pasti Allah akan memudahkan  dan akan terjalinlah kekuatan mendirikan kebenaran. WaAllahu'alam.

Menziarahi Maqam Rasulullah saw adalah satu pengalaman luar biasa walau berapa kali sekalipun kita pernah menziarahinya. Sebak rasa di dada mengenang betapa rapuh ruh ini. Banyak yang tidak ditepati untuk menjadi muslim mukmin yang memegang janji. Kehidupan harian banyak yang melalaikan. Program dan projek hiburan yang direstui oleh kepimpinan tidak membantu untuk fokus kepada tuntutan hidup sebagai mukmin yang berjati diri bertekad menegakan kebenaran yang diajarkan oleh Nabi saw yang kita cintai.

Semoga Allah ganti dengan kepimpinan yang berjiwa waja, ikhlas, dan berpegang teguh pada janji untuk mengabdikan diri pada Ilahi. Semoga Allah memberi kekuatan pada diri ini dan semua yang saya kasihi mengikut jejak-jejak nabi. Ameen.

Tuesday, February 15, 2011

NIKMAT DI KELILINGI CUCU

Saya berniat untuk berhenti sebentar memikirkan tentang apa yang akan berlaku pada dunia kini Mubarak sudah tidak ada. Adakah dunia Arab Islam akan bertukar wajah. Saya terfikir sendiri,  mengapa kita sibuk memperkatakan hal negara orang, negara sendiri bagimana.
  

 Maka saya mengimbas semula peranan saya dalam keluarga dan hubungan saya dengan anak cucu dan anak-anak saudara dan cucu-cucu saudara. Mereka inilah pewaris negara. Adakah mereka akan membesar dan dewasa sebagai warga yang peka dan berjati diri dan sanggup berkorban untuk mempertahankan bumi Islam. Kita harus memulakannya untuk mereka membesar bukan sahaja mereka kasih pada ibu bapa kandung tetapi kasih juga pada ibu-ibu saudara dan bapa-bapa saudara.

Ini cerita kakak saya yang sangat seronok dengan cucu-cucu dari cucu pertama ketika umurnya mencecah limapuluhan hinggalah hari ini. Sekarang ia berumur 72 tahun. Saya rasa jelous bagaimana ia ada stamina untuk mengurus makan minum cucu-cucu bila-bila masa mereka datang berkunjung. Saya jauh lebih muda darinya, tetapi surrender jika terkena menjaga cucu waktu kecemasan, iaitu bila pengasuhnya berhenti mengejut. Rupa-rupanya kakak saya berpandangan jauh. Kalau kita mahukan mereka membesar dan dewasa tanpa berkira tentang pengorbanan masa, harta dan tenaga, maka kita berikan contoh kita untuk mereka ikuti. Alhamdulilah. Kakak saya ini berjiwa besar.

Sekarang ini cucu yang tua, lelaki, nampaknya sudah hampir untuk berumah tangga kerana sudah tamat pengajian . Kakak saya cuba mengingatkan bahawa dalam Islam berumah tangga bukan untuk dua manusia sahaja. Dia adalah untuk keluarga, kemudian untuk masyarakat dan kemudian untuk negara. Perkahwinana adalah antara asas kekuatan orang-orang Islam. Jika prinsip ini kita ikuti, masyarakat tidak akan pincang dan bobrok. Masyarakat yang tidak percaya lagi mengenai institusi perkahwinan akan runtuh binasa akhirnya.

Cucu  anak sulung yang dua lagi masih meneruskan pengajian di Jordan dan di Jepun. Kakak saya merasakan ini adalah juga kejayaannya walaupun dia tidak pernah mengatakannya secara langsung.  Maka saya kata: "Behind every successful man is a caring  grandmother".




Saya rasa ini betul kerana jika ada masaalah penjagaan cucu, kakak sayalah yang menolong tanpa banyak bicara. Kalau saya sendiri saya rasa tidak sepontan seperti  itu tentang menjaga cucu.Kakak saya adalah seorang guru dan walau pun telah bersara, kasih sayangnya pada kanak-kanak masih terus segar. Alhamdulilah. Melalui cucu-cucunya lah kakak saya berdakwah dengan mengajarkan hal-hal fardhu ain dan lain-lain yang berkaitan dengannya bila-bila masa bersama, mengikut kemampuan yang ada.



Ini gambar kenangan semasa musim cuti sempena Hari Tahun Baru Cina 2011. Cucu-cucu yang ada terara adalah dari tiga anak lelaki kakak saya, Azirin, Azmin dan Azman. Kesemuanya lelaki dan yang sulung Azrain tidak pulang pada kali ini. Kakak saya tidak ada anak perempuan, tetapi kesemua anak lelakinya boleh membuat kerja-kerja rumah tangga dengan agak cekap kerana telah dilatih dan dididik dari kecil lagi. Saya berpendapat sangat beruntung isteri-isteri mereka, terutamanya dalam kehidupan hari ini dimana usaha mendapatkan pembantu rumah yang sempurna amat sukar sekali. Semangat lengkap melengkapi inilah yang kakak saya tanamkan pada anak dan anak menantu. Semoga ini diwarisi pula hingga keakhir zaman.

Jarang-jarang sekali saya dapat bersama mereka, dan apabila mendapat ruang dan peluang saya  pula cuba menekankan prinsip hidup seorang pejuang. Cerita-cerita berkisar sekeliling pejuang Islam seperti Salahuddin Al Ayubi, Al Fatih dan sepertinya. (Setelah kejadian di Mesir insyaAllah akan saya selitkan juga erti jati diri  dan apa erti pengorbanan yang sebenarnya pada golongan muda).  Semoga generasi ini akan sentiasa menyedari bahawa kejayaan dalam hidup bukan diukur dari segi harta, walaupun harta itu penting. Seperti ilmu, harta bukan matlamat akhir. Ilmu dan harta tidak ada  makna jika tidak digunakan dalam ruang lingkup mentauhidkan Allah dan mencari keredhaannya. Dan antara cara mencari keredhaanNYA ialah bersikap sanggup berkorban dan sanggup mengambil risiko demi menegakkan kebenaran yang hakiki. Semoga Allah sentiasa memelihara dan memudahkan.
Ameen.

Monday, February 14, 2011

KUMAN DI SEBERANG LAUTAN



Kuman di seberang lautan,...nampak!
Kebelakangan ini ramai kita memperkatakan mengenai kezaliman bekas Presiden Hosni Mubarak, (termasuk saya). Tetapi kita memperkatakannya selepas rakyatnya memberontak. Sebelum itu kita hanya "mengutk" Mubarak dari "jauh" kerana dia sekongkol dengan Israel dan AS menzalimi Rakyat Palestine. Bentuk kezaliman yang lain kita tidak tahu, atau jika tahu kita  tidak berani berkata-kata. Kita nampak kesilapan, kekurangan dan kelemahan orang yang jauh, ibarat nampak kuman di seberang lautan.

Kita puji rakyat Mesir atas keberanian menunjuk perasaan. Semoga yang mati dikira mati Syahid. Dan semoga kita juga mempelajari sesuatu yang positif, terutamanya mengenai sikap Berani Kerana Benar. Tetapi walaupun Mubarak kini tidak berkuasa, kita belum yakin mengapa keadaan  seperti dia tidak mendapat pembelaan Presiden  Obama AS. Mungkin ada muslihat-muslihat lain yang kita belum tahu.

Tetapi Mubarak bukan KUMAN. Berilah ibarat yang lain......
"Unta di Padang Pasir, nampak.....
Jengkeng dibilik tidur tidak nampak......."
(agaknya marah ahli sastera Melayu).

Setiap yang  Zalim seharusnya kita "kutuk" sama ada ia jauh atau dekat. Kita harus berani memperkatakan yang benar. Tetapi kita seperti teragak-agak berbuat sesuatu. Mungkin kerana  kita kabur dengan definasi ZALIM, walaupun dalam alQuran banyak ayat-ayat yang memperkatakan mengenai zalim dan kezaliman. Sebab itu lah kita " tidak nampak yang dekat". Atau pun kita nampak, tetapi mengambil sikap menidakkan, atau "in denial". Kerana apa  agaknya ?

Semoga Allah menunjukkan jalan yang lurus dan sentiasa memelihara dan merahmati  orang-orang yang benar. Ameen.

Thursday, February 10, 2011

PELAJAR PULANG

Anak lelaki saya yang kiri, Amirul namanya. Dulu belajar diberbagai tempat. Di negara Arab ia belajar bahasa Arab di Sudan, International Islamic University di Khartoum. Saya pernah melawatnya di sana dan saya dapati pengajiannya kurang menjadi kerana berbagai sebab. Antaranya ialah kerana  keadaan sosial dan tempat pengajian kurang sesuai bagi dirinya. Maka saya hantar untuk belajar pula ke Jordan, di University Mu'tah. Alhamdulilah telah selesai dan sudah lama pulang. Kini telah bekerja sendiri.

Bila peristiwa di Mesir berlaku sekarang ini di mana rakyatnya memberontak dengan aman untuk menjatuhkan Presiden Mubarak dan pemerintahan negara yang didakwa zalim, maka saya teringat cerita Amirul semasa di Jordan. Semasa perang di Iraq di mana AS dan sekutu-sekutunya mahu menjatuhkan Sadam Hussein, dia juga di bawa pulang oleh kerajaan Malaysia menaiki Helikopter tentera diRaja Malaysia. Ketika itu tiada peperangan di Jordan, cuma kerajaan khuatir ia akan menjejas juga kehidupan di Jordan. Saya dan suami meletakan keputusan untuk balik pada dirinya kerana dialah yang mengetahui keadaan sebenar di Jordan. Mula-mula ia membuat keputusan untuk tidak balik. Saya dan suami pun tidak memaksa. Kami memikirkan ada baiknya juga kalau tidak balik kerana pastinya ia dapat meraih beberapa pengalaman yang tentunya baik untuk kehidupan akan datang, di Malaysia atau di mana-mana. Eloklah dia belajar berani dan belajar bersusah payah. Eluklah dia mengerti apa itu pengorbanan dan apa itu perjuangan. Tetapi akhirnya dia balik kerana kawan-kawan serumahnya pun balik. Kami ikut sahaja.

Ia pulang semula ke Jordan setelah di nasihatkan selamat. Ia rugi satu semester dari segi  masa  pengajian dan dari segi yuran. Saya rugi kerana tambang balik semula ke sana adalah tanggongan sendiri. 

Bila pelajar-pelajar Malaysia di bawa pulang saya rasa agak tertanya-tanya juga pada diri sendiri dan pada suami. Kami ada anak saudara perempuan belajar ilmu perubatan di Iskandariah. Adakah keadaan  keselamatan begitu genting hingga terpakasa kesemuanya pulang. Seperti anak saya pastinya ada yang rugi masa dan bayaran yuran. Kalau pelajar persendirian tentunya agak berat bagi ibubapa kerana belum dengar ada jaminan kos pulang  semula ke Mesir dan kos  yuran menambah semester akan ditaja oleh kerajaan Malaysia. Tetapi ini soal kedua. Soal pertama, saya agak terkilan kerana saya mendapati seolah-olah pelajar-pelajar kita ini kurang daya ketahanan. Susah sikit " cabut lari". Agaknya kalau saya, seperti saya sarankan pada anak saya dahulu, kalau tidak balik tentu kita dapat pengalaman yang amat berharga dari segi semangat perjuangan. Terutamanya ini ada kaitan dengan perjuangan menentang tindak-tanduk Yahudi AS dan Israel.  Kalau kita pandai belajar tetapi penakut pun itu kurang keberkesanannya dan kurang semangatnya sebagai anak watan Malaysia. 

Ada kawan yang mengatakan pada saya pemikiran saya itu agak keterlaluan. Tak rasa maka tak tahu, katanya.Itu betul juga tetapi pengalaman  untuk berada ditengah-tengah perjuangan bukan senang nak dapat. Tidak tahulah pula kalau ditakuti nanti mereka akan mencontohi rakyat Mesir dan menunjuk perasaan pula secara besar-besaran seperti di sana jika keadaan di Malaysia pun serupa. WaAllahu'alam.

Saya hanya berdoa semoga rakyat Mesir mendapat pembelaan dari Allah yang maha Adil  dan maha Mengasihani. Dan semoga semua manusia yang dizalimi oleh pemerintah, di mana jua, mendapat pembelaan dari yang maha Berkuasa, maha Bijaksana. Ameen.

Wednesday, February 9, 2011

....UJIAN DARI YANG MAHA PENCIPTA




Pada Selasa minggu lepas kami bergegas ke Kota Tinggi, Johor untuk menziarahi Kakak tertua jatuh dan patah kaki dan tangan. Kakak saya ini sudah hilang deria penglihatan kerana sakit diabetis. Ia berumur 77 tahun dan ketika kemalangan berlaku, pembantunya baru berkerja 2 hari. Maka ia belum mengerti masaalah penjagaan untuk menjaga rapi. Dipendekan cerita, kakak saya kini di hospital menanti pembedahan kaki kerana bentuk rawatan yang ada sekarang dirasakan tidak dapat memberi kesan sewajarnya. Kami sekeluarga ikut sahaja nasihat Doktor pakar dibidang ini dan berdoa yang terbaik baginya.

Suasana hospital kerajaan di Kota Tinggi

Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah hakikat bahawa bila kemalangan berlaku,  barulah ramai keluarga datang mengunjungi. Anak yang lama tidak datang menziarahi pun datang untuk meyejukan hati. Hati siapa yang sejuk saya belum pasti lagi. Cuma yang pasti seolah-olah luka lama berdarah kembali. Tetapi ada ahli yang berpendapat luka lama kini bertaut mengubat hati. Itulah kehendak Allah, tiada siapa yang menduga sepenuhnya dan mengerti implikasinya dan hikmahnya.

Namun demikaian, Allah sentiasa memberi ruang pada hambanya untuk bersyukur dan berbakti. Semoga yang masih berkira dengan orang tua menyedari hakikat bahawa suatu hari semua kita akan tua. Sejauh mana proses penuaan Allah duga dengan kemewahan atau dengan kesukaran, hanya Dia yang maha mengetahui. Apa pun yang akan kita harungi Allah akan bersama dengan orang-orang yang beriman dan ikhlas dalam menjalin hubungan, terutama sekali dengan ibu bapa. Ibu atau bapa kita tidak sentiasa betul dalam pemikiran dan tindakannya. Tetapi mengasihi dan menghormati  mereka adalah satu kewajiban yang tidak bersyarat. Ibu bapa yang belum beriman / yang kafir juga mempunyi hak, inikan pula ibu bapa kandung. Anak angkat yang dibesarkan dan diasuh dari bayi pun punya tanggung jawab yang sama. Ada kalanya anak-anak angkat  menjauhkan diri semata-mata kerana tiada hubungan darah. Alangkah dangkal pemikiran ini.


Saya bertuah dan bersyukur kerana dapat bertemu dengan sanak saudara yang lama tidak bersua. Kakak saya merasai penghargaan diziarahi sahabat handai disamping adik beradik dan saudara mara. Saya menginsafi keadaan nya yang tidak dapat melihat. Saya juga ada penyakit diabetis dan darah tinggi dan berbagai lagi. Semoga Allah memudahkan saya dan kakak saya untuk terus berubudiah dan semoga kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri  akan menguatkan semangat untuk terus berbakti demi mencari Redha Allah jua.

Pizah anak kakak, Ani anak saudara dan suami.

Hamzah (baju putih) dan Isteri. Hamzah kawan bermain semasa kecil dahulu.
Sudah lebih 40 tahun baru ini berjumpa lagi.

Di rumah kakak saya, berehat sementara menunggu waktu lawatan seterunya.

Isteri anak angkat kakak saya bersama ibunya

Ujian Allah adalah rahmat jua  Jangan kita berasa sedih dan kecewa. Kita hanya perlu mengingati bahawa Allah maha Pemurah, maha Mengasihani dan setiap ujian adalah peluang bagi kita untuk mempertingkat maqam keimanan dan ketaqwaan. Semoga Allah sentiasa bersama dan saat-saat yang nampak dan rasa seperti satu kesulitan  adalah sebenarnya suatu nikmat. Cuma kita perlu berusaha, bersabar dan bertawakal. Semoga Allah mengurnia bagi kita semua KeredaanNya  di hujung perjalanan ini.
Ameen.

Tuesday, February 8, 2011

HEY MUBARAK.........

Wahai Mubarak,
Turunlah kamu, sementara masih ada masa untuk muhasabah dan bertaubat,
  Sedarlah betapa rakyat mu menderita bepuluh tahun lamanya
dan betapa jiran mu menderita kerana engaku berpakat dengan Yahudi durjana.
Hidup mu mewah, keluarga mu nampak seperti bertuah
Tetapi rakyat mu terlalu ramai yang papa kedana, kelaparan tidak bermaya.


Wahai Mubarak,
Jangan kau tertipu bisikan Iblis dan Syaitan hingga engkau tidak mengenal apa itu Kebenaran
Engkau tidak mahu mengerti sokongan dan pujian palsu yang diberi
Tepuk sorak dan dakapan musuh,  kau sangka itulah kejayaan abadi
Jangan sampai  terheret kepenghujung hidupmu tanpa pertolongan dari yang maha Mengasihani
kerana seronok dengan hiasan Syaitan dan hidup "berkuasa" ini kau kagumi.


Wahai Mubarak,
Cukuplah 30 tahun engkau di persada kuasa yang rakyat mu tidak menyukai
Umur mu juga telah lanjut yang Allah beri, janganlah Amanah Allah engkau khianti lagi
Lebih baik engkau mengundur diri, dan sedarlah musuh mu pun sebenarnya tidak mahu engkau lagi
Lapan puluh dua tahu bukan umur mendabik dada dan menyingkir realiti
Semata-mata  kerana engkau  menjunjung Ego mu yang diselaputi nafsu yang menyakiti


Wahai Mubarak,
Jangan engkau tertipu dengan kawan yang sebenarnya lawan,
Mereka itu seperti kelapa parut, hilang manis hampas dibuang.
Tetapi engkau takut kehilangan nama dan harta benda yang berbilion nilainya
Kerana itu engaku masih bertaut pada dahan yang sudah rapuh hakikatnya.


Wahai Mubarak,
Kadang-kadang engkau  dicontohi ramai pemimpin di dunia ini 
Mereka juga sombong dan tamak kuasa tanpa  menyedari kelemahan dan kekurangan diri
Rakyat bosan, rakyat jemu dengan pujuk rayu yang tiada keikhlasan saban hari
menggeledak juga nanti akhirnya oleh  rakyat yang dizalimi
Kerana rintihan doa mereka Allah dengari.
Engkau juga Allah beri alamat  dan petanda yang dengan bongkak engkau engkari
Kerana jarang sekali engkau sedar kuasa mutlak itu Allah yang maha mempunyai


Wahai Mubarak,
Engkau, dan pemimpin-pemimpin seperti engkau, ingatlah janji Allah tertunai pasti
Pemimpin dan pemerintahan zalim akan Allah hapus dari bumi ini,
Bila dan bagaimana hanya DIA yang maha Berkuasa, maha Mengetahui.
Undur dan bertaubatlah sebelum sakaratul maut menghampiri diri.


oooooooooooooo

Monday, February 7, 2011

"OVER MY DEAD BODY !"






"Langkah mayat ku dulu"........Itu agaknya yang terselit dihati Hosni Mubarak bila dituntut rakyatnya untuk meletak jawatan dan keluar dari bumi Mesir.Hari ini sudah masuk hari ke 14. Rakyat dengan penuh kekuatan dan keberanian mengutuk pemerintahan pimpinan Presiden Mubarak dan mereka berikrar tidak akan berundur selagi Mubarak dan regimnya masih berkuasa.

"Astaghfirullah," Laser sangat mulut saya. Tapi saya juga merasa amat kecewa melihat Mubarak membatu tanpa kata pada mulanya. Hanya kebelakangan ini ia cuba mengubah strategy untuk manabur abu di mata rakyat.Ia cuma menukar pemegang jawatan dalam kabinetnya dan melantik Timbalan Presiden. Katanya dasar-dasar baru akan dilaksana. Nyata sekali ini tidak dapat diterima rakyat kerana apa jua yang dilakukan merupakan perubahan apa yang dikatakan 'cosmetic changes'.

Apa pula muslihat Presiden Obama yang menyarankan Mubarak supaya berundur segera. Pasti ada udang disebalik batu. Kita pun tahu sering mereka ini mengeluarkan kata-kata yang tidak serupa. Bercakap secara terbuka lain dan secara peribadi, lain pula. Timbalan Presiden, Omar Suleiman,  pun dari Camp yang sama. Pasti Obama sudah ada perancangannya. Apa jua yang dilakukan tidak akan merosakkan kedudukan Israel. Orang yang buta hati sahaja yang tidak faham.

Rakyat di Malaysia juga telah menunjuk sikap setiakawan "solidarity" dengan rakyat Mesir. Setakat itulah kemampuan penunjuk perasaan di Malaysia tempuh hari. Lepas ini apa pula. Beranikah rakyat bertindak tegas jika tidak bersetuju dengan dasar-dasar negara yang tidak disukainya. Saya rasa peristiwa seperti di Mesir tidak akan berlaku di Malaysia. Orang Malaysia sudah berada dalam zon selesa, walaupun zon itu sebenarnya tidah nyata.

Pada hemah saya punca ini semua adalah kerana pemimpin tidak yakin pada janji Allah. Lihat sekali lagi surah An Nur ayat 55. Saya sering mengatakannya dalam entry saya. Allah janji orang mukmin akan menjadi khalifah dimuka bumi ini dengan syarat-syarat yang tertentu. Terutamanya jangan mempersekutukan Allah. Yang lain-lain lihatlah  tafsir yang muktabar oleh Ulamak-ulamak yang ikhlas berjuang ke jalan Allah. Kalau kita yakin pada selainNYA, maka inilah akibatnya.

Saya yakin kalau manusia masih sombong dengan sikapnya dan tidak mahu kembali ke JalanNYA, saya khuatir mereka  akan mati sebelum sempat bertaubat. Na'uzubilah. Jangan kita jadi macam Firaun. Taubatnya Allah tidak terima kerana dilakukan di penghujung nyawanya dan tanpa mengerti siapa sebenarnya  Tuhan Penciptanya.
Sama-sama kita renungkan dan berdoa pemimpin di Malaysia tidak sedemikian dan semoga kita aman damai dalam redha Allah, dan buka sebaliknya.
WaAllahu'alam.
Related Posts with Thumbnails