"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, June 29, 2013

Rempeyek Klassik dari Sagil !......




Dengan azam dan dorongan mahu berbuat yang terbaik untuk Tadika yang saya bantu urus di Tangkak, Johor, suatu hari terlintas dihati ingin menambah dana melalui jualan kuih raya dengan menjelangnya Ramadhan alMubarak tidak lama lagi. Maka saya bersama teman yang menjadi tunggak mengurus Tadika itu masuk kampung di Sagil Muar mencari pengusaha yang boleh membantu kami.

Teruja dan rasa nostalgia masuk kampung dalam kawasan ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh IOI. Kami berlawak antara kami mengatakan insyaAllah anak-anak didik kami di SmarTop Subur Fitrah ini akan menjadi pengusaha Islam yang unggul yang akan membina ekonomi negara dengan Ilmu yang Benar yang membawa kesejahteraan rakyat di dunia dan di akhirat. 

Apa salahnya berangan-angan seperti Mat Jenin.....

Kami ketawa dan tertawa.....dan diketawakan.
Dalam hati penuh doa semoga Allah memberkati usaha yang kecil dan kerdil ini.



Ini rumah pengusaha, Puan Ramlah yang bergiat aktif dalam Peladangnita.
Saya seronok mendengari cerita-cerita pengusaha di kampung yang mahu berdikari.
Semoga kerajaan lebih serious dalam membantu dan menunjuki jalan 
untuk perusahaan yang lebih besar.


 Ada berbagai jenis rempeyek dan kerepek2.
Kami pilih yang jenis ini kerana kami sukakannya dan mudah diedarkan, insyaAllah.
Kelmarin dulu saya bawa ke rumah seorang teman di Kelana Jaya untuk testing jualan dikalangan teman-teman ( Ex-TKC girls) yang berjumpa beramai-ramai sebelum Ramadhan dalam satu majlis Ilmu. Mereka sukakannya dan mahu lagi untuk Hari Raya. Alhamdulilah. Sambil membeli sambil meyokong satu perjuangan di bidang pendidikan.
Semoga Allah sentiasa menenjuki jalan dan memberi kekuatan.


Puan Ramlah berbaju biru dan Puan Faridah berbaju merah dahulunya membantu beliau tetapi sekarang kami memintanya membantu kami di Tadika.
Foto ini di bilik jualan di bangunan kilang. Keadaan sekeliling amat bersih. Selesa memandang dan kami testing kerepek2 di situ tanpa was-was.
Puan Ramlah punya sekurang-kurangnya tiga orang pembantu dalam sesuatu masa dan telah mahir dilatih olehnya. Alhamdulilah. Sedap kesemua hasilnya.

Maka saya mengambil kesempatan di sini siapa yang ingin membantu  Tadika kami bolehlah hubungi Tadika kami di Tangkak. Alamat dan no tel ada di kolum  sebelah di blog ini.



Ini Boss tadika SmarTop "memeriksa" peralatan yang ada.
Di bawah ini peralatan mengadun rempeyek. 



Kami rasa yakin dengan produk yang ada , maka kami katakan ia "Klassik". 
REMPEYEK KLASSIK DARI SAGIL!
Cubalah sendiri. Pasti mahu lagi!

Kami mohon keberkatan Mu Ya Rabb.
Semoga usaha kami 'kecil-kecil  si cili padi '- mana tahu ia menjadi...dan menjadi...
 denagan limpah Rahmatmu jua Ya Rabb.

...

Friday, June 28, 2013

Bila Hujan dinanti-nanti..

Akibat jerebu, memang sentiasa menanti-nanti bila hujan akan turun untuk mencerahkan semula udara. Seperti terdengar-dengar guruh dilangit. Ada orang kerinduan bulan, saya kerinduan hujan.



Ramai yang mengurung diri dalam rumah. Cucu-cucu saya pun demikian. Terperangkap dalam rumah, tidak bersekolah kerana bahaya Jerebu.
Saya lihat dari segi "nikmatnya". Tiada yang Allah ciptakan itu sia-sia. Dalam contoh kecil di atas, tali ikatan persaudaran terikat dalam usaha menggunakan masa bersama dalam suasana yang boleh membosankan rasa. Maklumlah anak-anak kecil belum memahami semua hal-ehwal hidup dan kehidupan. 
Saya ke kedai mencari-cari mainan sesuai yang dapat membina minda dan melupakan rasa bosan terkurung dari pagi.

 Cucu saya Huzaifah di atas bermain dengan cucu-cucu saudara. Mereka membina truk mainan COGO seperti LEGO. Bermacam jenis mainan hari ini bagi anak-anak kecil tidak seperti dahulu kala. Sepuluh tahun lagi entah apa yang akan ada. Semoga bidang mereka-bentuk mainan di dominasi orang Islam yang boleh mengasimilasikan niali-nilai murni yang di tuntut dalam Islam. Sebagai contoh harapan saya nanti permainan anak patung anak-anak kecil dapat memberi alternatif yang lebih menarik dan lebih bermunafaat dari permainan "Barbie".


Di hadapan rumah anak saya di Putrajaya.

Maka bila hujan turun pada petang 25 Jun saya rasa lega. Alhamdulilah. Semoga bertambah baik dan memudahkan semua.  Selalu kita berdoa semoga ujian dari Allah tidak lama dan kita dapat mengatasi  masaalah yang ada dengan izin dan kehendakNya jua.

..

Thursday, June 27, 2013

Kesyukuran dicelah-celah jerebu....


Biarkan Jerebu....
(25 Jun 2013)



Teringin hendak ke Flora 2013.....
Jom kita pergi. 

Saya juga 'sawan' bunga seperti kawan saya yang pernah saya ceritakan dahulu. Maka kering tekak dan gatal-gatal mata pun saya tahankan sekejap dan meluru ke kawasan bunga.

Malangnya rasa tidak selesa. Suami saya dan seorang cucu tunggu dikereta. Rasa seperti mesti bersegera. Dan saya hanya bawa kamera yang saya kurang mahir menggunakannya  maka hasilnya seperti dibawah ini. 




Hanya menjamu mata buat seketika. Tidak puas rasanya, tetapi saya rakam juga pemandangan di atas untuk bahan cerita ank cucu bila mereka dewasa.

Ada bunga yang saya tidak pernah lihat dan agak teruja memerhatikannya.  Saya lihat dari dekat tetapi masih tidak tahu namanya. Mungkin suatu hari saya akan kenal  dan  kini  kagum dan bersyukur dapat mengerti betapa ciptaan Allah  itu luasnya dan kehebatannya tidak terthingga.


Maka Nikmat Allah yang Mana yang kamu hendak Dustakan.

...

Tuesday, June 25, 2013

Jerebu berkait-kait...





Awal pagi lagi saya sudah menggerakan anak saya supaya cepat bersiap dan menghantar saya ke Hospital PPUM untuk mengambil darah supaya dapat dianalisa keadaan kesihatan saya kini.

Rutin setiap enam bulan sebagai persedian berjumpa Doktor. 

Kali ini saya dan anak, Amirul, ditemani Jerebu. Sepanjang perjalanan agak lengang kerana sekolah ditutup dan orang ramai  akan mengurung diri di rumah jika tiada urusan penting yang tidak dapat ditangguhkan. 

Cuaca nampak redup dan ini membuat saya agak khuatir takut kesihatan saya boleh terganggu. Berita mengatakan warga tua dan kanak-kanak adalah golongan yang berisiko tinggi akibat jerebu. Tetapi apakan daya, saya hanya mampu berdoa dan berharap semoga Jerebu yang belum tentu bila akan berakhir ini hanya merupakan teguran dari yang Maha Pencipta supaya manusia kembali padaNya.

Kerosakan di Bumi ini sebahagian besarnya adalah  hasil dari perbuatan tangan-tangan manusia yang tamak, rakus, zalim dan engkar pada perintah Allah dan melanggar laranganNya. Ia membuat hati saya berdebar-debar bila berfikir ke arah itu.

Urusan di hospital amat cepat kali ini dan belum sejam saya sudah samapi ke rumah. Dalam perjalanan saya terfikir semula peristiwa di hospital apabila seorang doktor muda menghampiri saya dan meminta saya menjadi sukarelawan membantu suatu kajian PPUM berkaitan dengan penyakit Kanser usus. Saya tidak dapat membantu dan terus terang saya katakan padanya bahawa saya agak susah berulang alik ke hospital buat masa ini. Wajahnya nampak kecewa. Saya tidak sedap hati dan bertanya syarat-syarat menjadi sukarelawan dan berfikir semula mungkin saya boleh membantu. Sekarang ini pun saya sudah menjadi sukarelawan dalam kajian yang berkaitan dengan Jantung. Apa salahnya membantu satu lagi.

Setelah penerangan ringkas saya mendapat tahu bahawa saya tidak layak kerana saya sering bermasaalah apabila berurusan membuang air. Saya rasa lega buat seketika kerana doktor muda itu kini tahu saya tidak boleh menjadi sample kajian. Tetapi dalam pada itu saya rasa agak khuatir kerana apa yang saya alamai boleh jadi salah satu symptom dalam kategori kanser usus. Takut hendak bertanya lanjut saya cepat-cepat minta diri dan terus pulang befikir-fikir panjang...

Maka ingatlah Lima perkara sebelum Lima perkara:
  • Muda sebelum tua
  • Senang sebelum kesibukan
  • Kaya sebelum miskin
  • Sehat sebelum sakit 
  • Hidup sebelim mati 

Rasa seperti jerebu meresap ke ruang dada. 

Mohon keampunan Mu ya Rabb....


....

Monday, June 24, 2013

Sepintas lalu...


Morocco November 2012
MasyaAllah, keindahan itu satu kurniaan.
"Maka Nikmat Allah Yang Mana Yang Hendak Kamu Dustakan."
...

Sunday, June 23, 2013

Penat sangat...



Penat sangat hari ini....
Usai subuh saya buka blog tetapi tidak terdaya berbuat apa. Penat sangat....saya baring semula.
Pasti tertidur sudahnya...

Suami ambil saya di Tangkak hari Jumaat lewat petang dan kelmarin sampai di rumah lewat petang juga bersama teman seperjuangan, Dato Safarudin. Ia tidur sepanjang perjalanan. Saya pun sama. Maka suami saya pun memandu semacam angin. Tidak sampai 2 jam sudah di Shah Alam. Saya igin berhenti membeli buah di perjalanan. Tidak kesampaian. Bila sampai di Kelana Jaya saya namapak Pasar Malam.

Kami berhenti dan membeli sekadarnya. Tiada pembantu di rumah, maka kami membeli lauk untuk makan malam. Saya berjalan dan melihat-lihat berasingan. Maka suami membeli saya pun membeli....lauk yang sama. Gulai nangka. Mujur kesukaan saya maka malam tadi habislah ia.

Saya berada di Tadika Tangkak kali ini seminggu sahaja. Tidak daya lebih dari itu. Hari Isnin ini sampailah masa untuk periksa darah sebeum berjumpa Doktor awal Julai. Semoga ada kebaikannya berjumpa Doktor di Bulan Ramadhan. Sentisa mengharapkan yang terbaik. Kita hambaNYA maka hanya padanya kita memohon yang terbaik di sisiNYA.

Perkembangan Tadika di Tangkak ada yang menggembirakan dan ada yang mengkhuatirkan. Hanya pertolongan Allah yang kami panjatkan semoga semua akan berakhir dengan senyuman. 

Murobbiah kami sudah mula mengaturkan masa untuk ke rumah kami satu malam dalam seminggu untuk menambah kelancaran berbahasa Inggeris. Saya suka melihat kegigihan mereka. Allah maha melihat maha mendengari akan kesusahan kami. InsyaAllah tidak akan putus asa walau sulit melaluinya.

Hari ini saya ingin menziarahi anak buah yang masih di hospital yang doktor belum tahu apa sakitnya. Kita hambaNya. Ada perkara baru, fikir saya, yang Allah mahu kita melaluinya sebagai satu keluarga.

Isterinya penat sangat....

Ia diganti oleh adik lelaki suaminya menjaganya di hospital. Isteri berehat seketika di rumah. Bila saya talipon anaknya menjawab dan Uminya sedang tidur...

Itulah kekuatan kekeluargaan. Sama-sama berkorban. Senang susah dilalui bersama....

Kami mohon keampunan Mu, Ya rabb...

...

Thursday, June 20, 2013

Pelangi itu sentiasa jauh kelihatan...


Rainbow in Brazil
Gambar Ehsan Wallpaper.Com

Ibarat melihat pelangi yang sentiasa jauh dari pandangan...kadang kala tercetus fikiran melayan impian: kalaulah hidup ini sentiasa indah !

Hakikatnya pelangi tidak pernah ada di atas kepala kita. Ia pasti kelihatan jauh. Demikianlah lakaran hidup dan pepatah Inggeris mengatakan: The grass is always greener on the other side of the hill.

Bila kita cari disebalik bukit itu.....oh! sama sahaja. 
Mungkin tidak pun hijau....mungkin kering, sangat kering.

Tidak mungkin kita dapat mengejar pelangi untuk melihat keajaibanya dari dekat. Bagi orang yang biasa-biasa ia sejuk dan indah di mata sahaja. Dan pelangi tidak lama berada di ufuk langit...ia pasti akan hilang dari pandangan.

Maka jangan mengejar apa jua yang hanya cantik di pandangan...
Allah cipta pelangi untuk nikmat mata dan mengingatkan kita kebesaranNya. Pasti ada nikmat-nikmat lain yang kita belum mengerti hakikatnya. Allah sentiasa menyuruh kita berfikir-fikir.

 "Maka Nikmat Allah Yang Mana Yang Hendak Kamu Dustakan"

...
Related Posts with Thumbnails