Awal pagi lagi saya sudah menggerakan anak saya supaya cepat bersiap dan menghantar saya ke Hospital PPUM untuk mengambil darah supaya dapat dianalisa keadaan kesihatan saya kini.
Rutin setiap enam bulan sebagai persedian berjumpa Doktor.
Kali ini saya dan anak, Amirul, ditemani Jerebu. Sepanjang perjalanan agak lengang kerana sekolah ditutup dan orang ramai akan mengurung diri di rumah jika tiada urusan penting yang tidak dapat ditangguhkan.
Cuaca nampak redup dan ini membuat saya agak khuatir takut kesihatan saya boleh terganggu. Berita mengatakan warga tua dan kanak-kanak adalah golongan yang berisiko tinggi akibat jerebu. Tetapi apakan daya, saya hanya mampu berdoa dan berharap semoga Jerebu yang belum tentu bila akan berakhir ini hanya merupakan teguran dari yang Maha Pencipta supaya manusia kembali padaNya.
Kerosakan di Bumi ini sebahagian besarnya adalah hasil dari perbuatan tangan-tangan manusia yang tamak, rakus, zalim dan engkar pada perintah Allah dan melanggar laranganNya. Ia membuat hati saya berdebar-debar bila berfikir ke arah itu.
Urusan di hospital amat cepat kali ini dan belum sejam saya sudah samapi ke rumah. Dalam perjalanan saya terfikir semula peristiwa di hospital apabila seorang doktor muda menghampiri saya dan meminta saya menjadi sukarelawan membantu suatu kajian PPUM berkaitan dengan penyakit Kanser usus. Saya tidak dapat membantu dan terus terang saya katakan padanya bahawa saya agak susah berulang alik ke hospital buat masa ini. Wajahnya nampak kecewa. Saya tidak sedap hati dan bertanya syarat-syarat menjadi sukarelawan dan berfikir semula mungkin saya boleh membantu. Sekarang ini pun saya sudah menjadi sukarelawan dalam kajian yang berkaitan dengan Jantung. Apa salahnya membantu satu lagi.
Setelah penerangan ringkas saya mendapat tahu bahawa saya tidak layak kerana saya sering bermasaalah apabila berurusan membuang air. Saya rasa lega buat seketika kerana doktor muda itu kini tahu saya tidak boleh menjadi sample kajian. Tetapi dalam pada itu saya rasa agak khuatir kerana apa yang saya alamai boleh jadi salah satu symptom dalam kategori kanser usus. Takut hendak bertanya lanjut saya cepat-cepat minta diri dan terus pulang befikir-fikir panjang...
Maka ingatlah Lima perkara sebelum Lima perkara:
- Muda sebelum tua
- Senang sebelum kesibukan
- Kaya sebelum miskin
- Sehat sebelum sakit
- Hidup sebelim mati
Rasa seperti jerebu meresap ke ruang dada.
Mohon keampunan Mu ya Rabb....
....
No comments:
Post a Comment