"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, January 10, 2011

DETIK PULANGNYA SEORANG ANAK.

                                                                     
 Sentiasa berbuat kebaikan, maka kebaikan akan suka merapati kita.

Ibarat berakhirnya mimpi ngeri. Anak yang disangka-sangka tidak akan kembali lagi ke kampung halaman, tiba-tiba muncul, juga dengan tidak disangka-sanga. Telah lebih 5 tahun  ia tidak pulang ke rumah dan tidak sekali pun ia menghantar berita. Itulah anak lelaki kakak saya. Kakak saya kini berumur 74 tahun dan sudah fitrahnya ia sentiasa merasa risau dan merinduinya walau pun ia jarang-jarang akan menyatakannya demikian pada kami adik beradik.

Betapa gembira rasa hati  seorang ibu. Hilang rasa kecewa dan marah yang pernah ia katakan pada saya. Rupanya kakak saya sedikit pun tidak menyimpan dendam. Rindu kasih sayangnya mengatasi marah dan kecewa yang dirasainya. Itulah juga fitrah seorang ibu.

Sebenarnya anaknya ini bukan anak kandung tetapi ia telah diangkat mengikut perundangan yang sah dari sejak lahirnya lagi. Maka kasih sayang seorang ibu tetap sama.Mak saudara kami yang juga seorang bidan yang telah memperakukan supaya keluarga kami mengangkat anak ini. Ibu kandungnya kini telah meninggal dunia. Keluarganya terlalu miskin dan tidak ada upaya untuk menyara seorang lagi anak. Alangkah sedih ceritanya. Nama timangannya ialah Ham. Kesemua ahli keluarga saya amat sayang padanya dan rasa kehilangan juga apabila ia tidak ada berita selama lebih 5 tahun.

Semasa kecil sudah berangan-angan punya kereta sendiri.
Masih diuji kesabaran, ketabahan, dan yakin pada Ilahi.
Gambar kenangan 1972

Memperingati Hari Lahir (5/6 tahun)
Ham depan tengah.

Ham diperkenalkan pada keluarga kandungnya semasa berumur awal duapuluhan. Ia tidak menunjukan apa-apa rasa hati yang mengkhuatirkan. Maka selepas itu hidupnya seperti biasa dengan keluarga kakak saya. Semuanya seperti biasa sehingga ia memulakan hidup berasingan setelah berumah tangga. Pada mulanya ia berkahwin dengan seorang yang muda padanya, walaupun kakak saya kurang berminat pada calon itu. Kehendaknya diikuti tetapi berakhir dengan perceraian. Dipendekan cerita ia berkahwin lagi dengan seorang yang jauh lebih tua umur nya dengan rasional supaya tidak ada masaalah jika berkahwin dengan seorang yang sudah matang. Tetapi setelah mendapat seorang anak peceraian berlaku lagi. 

Ini Ham dengan emaknya dan adik perempuannya apabila kakak saya berkahwin dengan ayahnya.

Saya tidak bermaksud bercerita tentang perkahwinannya tetapi ingin berkongsi pengalaman mengenai sensitiviti seorang anak angkat dan hubungannya dengan ahli keluarga yang lain. Ham terputus hubungan dengan semua adik beradik dan saudara mara keluarga kandung. Rasionalnya ketika itu ialah dikhuatiri ia akan berbalik kepada keluarga asalnya dan ini pastinya akan menyulitkan keadaan. Tetapi malangnya dalam keluarga kakak saya pulak ada beberapa fakta dan senario yang tidak berapa kodusif kepada perjalanan hidup sesaorang yang sudah sememangnya "berlainan dari yang lain". Maka pada pemerhatian saya sentiasa timbul  "krisis kasih sayang". Masalah ini menjadi lebih rumit kerana tahap ekonomi keluarga tidak dapat membantu dalam masaalah yang dihadapinya.

Sensitiviti anak angkat amat sukar diduga. Itu pengalaman saya. Berbagai cerita yang saya lalui mengenai keperibadian seorang anak angkat, terutama jika yang mengangkatnya itu tidak tinggi taraf sosial dan ekonominya. Ini lebih menyulitkan jika ilmu dan penghayatan Islamnya juga terhad.  Kata teman saya yang punya suami seorang anak angkat dari keluarga miskin ke keluarga kaya, masalah peribadi masih wujud, walaupun keluarga angkatnya tergolong dalam keluarga berada dan selesa taraf ekonominya.

Kami berpendapat bahawa dalam  situasi apa sekalipun akan timbul masaalah. Cuma ia tidak serupa dan berat ringannya akan masalah itu tidak sama. Ia bergantung pula pada laluan hidup yang direntasinya. Kematangan dan cara ia melihat perihal hidup dan kehidupan akan mempengaruhi cara dia berfikiran dan cara dia membuat keputusan. Dalam banyak situasi anak angkat seperti Ham tidak banyak merujuk pada emak angkatnya (dan kepada ahli keluarga angkatnya yang lain)  jika ada masalah yang melibatkan dirinya. Entah kenapa. Mungkin kerana ada perasaan keterasingan.

Saya berpendapat (semata-mata pendapat peribadi) bahawa ia merasakan dirinya terpinggir dan dipinggirkan dalam hubungan  kasih sayang. Ini satu persepsi yang susah hendak dibuktikan walau apapun justifikasi yang diberi. Keluarga kandung ada tetapi tiada, dan saudara angkat tidak dapat meyakinkan keberadaan kasih sayang di sekelilingnya. Maka  saya rasa  inilah yang meyebabkan Ham pergi menghilangkan diri. Tetapi takdir dan kehendak Allah yang maha bijaksana tiada siapa yang dapat menduga. Pulang juga ia akhirnya kepangkuan ibu angkatnya.

Ia memohon maaf pada kakak saya, iaitu ibunya dan setelah mengeluarkan dan menerangkan rasa hati sanubari semuanya kembali seperti sediakala jika dilihat dari zahirnya. Saya dan kakak saya yang seorang lagi kemudianya  bercerita-cerita dengan Ham dan memberi nasihat yang sewajarnya. Perkara asas yang kami cuba utrarakan ialah tentang hakikat bahawa kita manusia tidak dapat menyelesaikan apa jua masaalah tanpa pertolongan Allah yang maha kuasa. Maka kami menasihatkan Ham agar ia merujuk dan bermunajat pada Allah yang maha kuasa. Soal taubat nasuha amat penting.

Panjang lebar kami memberi contoh-contoh. Kebetulan pula ketika bercerita-cerita ada album lama di samping kami dan kami membelek-beleknya. Alhamdulilah ini menjada talian nostalgia yang memudahkan kami berinteraksi dengannya. Almaklumlah, fitrah manusia mudah lupa perjuangan orang tua-tua. Gambar-gambar yang ada dapat menyejukan hatinya sedikit sebanyak dan dapat meyakinkannya serba sedikit bahawa dia ada waris kuat walaupun tiada pertalian darah. Airmata nampak berlinang. Ini meyakinkan saya kepulangannya ini insyaAllah akan mengubah banyak perkara dalam hidupnya dari negatif kepositif. Alhamdulilah. Hanya Allah yang dapat memberi Hidayah. 

Bergambar untuk kenangan selamanya.

Setelah sehari bersamanya saya dan suami pulang ke Kuala Lumpur dengan penuh doa dan harapan kepulangan nya akan benar-benar dapat memebri ketenangan jiwa pada kakak saya yang sudah agak lanjut usia. Saya dimaklumkan kakak saya segera membuat persiapan untuk menyerahkan sedikit harta tanah yang ada padanya. Alhamdulilah. Semoga Allah memberi taufik hidayah dan pertolongan serta rahmatNya yang tidak terhingga sampailah  ke satu masa yang Allah telah tentukan. Semoga Allah meredhai semua ahli keluarga kami jauh dan dekat, bertalian darah atupun tidak dan dianugerah kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Semoga Ham akan membina dirinya menjadi anak yang soleh dan semoga ibu dan bapa kandungnya juga mendapat keberkatan dariNya. Ameen.

4 comments:

Kerabu Jantung said...

Kasih sayang adalah anugerah Allah. Alhamdulillah semoga berbahagialah Ham dengan ibu yang memelihara dan menyayanginya.

MasyaAllah.. cantiknya Islam , hibah itu ada diperuntukkan bagi melembutkan hati dan mengeratkan kasih!

Makbonda61 said...

Jikalah Islam yang menjadi talinya,insyaAllah,perhubungan akan berterusan hingga ke penghidupan kekal,nanti disana akan saling memberi syafaat.Wallahuaalam.

ngasobahseliman said...

Dear Kerabu Jantung. Anak angkat kadangkala akan terus merasai dirinya terumbang ambing. Saya ada seorang kawan yang anak angkatnya (perempuan) tidak memberitahu akan nya bahawa dia sudah 2 kali bercerai hinggalah ketika hampir melalui yang ketiga. Jalinan hubungan sentiasa melalui saat-saat kritikal. Hanya mampu memohon pertolongan dari Allah. Semoga Allah melindungi anak-anak yang istimewa ini.

ngasobahseliman said...

Salam Makbonda. Terima kasih memberi perangsang. Anak kandung pun ada berbagai masaalah, inikan pula yang tiada talian darah.(BANYAK SENSITIVITI). Benar kata bijak pandai: "It takes the whole village to raise a child". Oleh kerana banyak masaalah di luar sana yang kita tidak dapat mengawal kesemuanya, maka kesungguhan kita dengan Allah semestinya yang terpenting.Semoga Allah sentiasa memberi pertolonganNya. Amin.

Related Posts with Thumbnails