Peristiwa yang tidak disangka di Hari Raya tahun ini ialah kunjungan ziarah anak-anak buah waris dari sebelah arwah bapak saya yang berasal dari Singapura. Hanya waris sebelah bapak ini sahaja yang ada. "Kaput" nama gelarannya yang saya panggil dari ia kecil lagi dan ketika itu tinggal di Gelang, Singapura. Kini telah beristerikan orang Malaysia dan tinggal di Johor. Lihat di gambar. Kaput yang bersongkok putih dan isterinya Ani duduk no.3 dari kanan.
Suami dan saya amat teruja dengan kunjungan ini kerana sudah lebih lima tahun tidak berjumpa. Mereka selalu datang ke rumah hampir setiap Hari Raya tetapi kami tidak ada di rumah. Tidak ada pesanan untuk datang. Maklumlah, Hari Raya. Rumah sentiasa "terbuka". Selalu saja mereka meninggalkan mesej sms tetapi tidak kesampaian untuk berhubung. Tidak ramai generasi muda yang berhemah sebegini rupa. Semoga Allah memberkati kunjungan ini.
Anak yang sulung telah pun sampai tingkatan 4 dan Alhamdulilah mereka kini nampak selesa hidupnya. Bukan kebendaan yang ingin saya cerita, tetapi sikap jati diri yang amat ketara. Saya sangat suka melihat orang sentiasa rajin berusaha. Bila rebah, bangkit semula dengan segera. Tidak membuang masa. Ini ciri-ciri yang Allah suka. Usaha adalah kewajipan atas manusia. Kejayaan adalah rahmat Allah semata-mata. Mereka faham konsep ini. Itu yang saya suka.
Semoga pertemuan kali ini akan mengeratkan lagi hubungan saudara. Sentimental bagi saya kerana itu sahaja kesan warisan yang ada dari bapak saya. Semoga Allah sentiasa memudahkan perjalanan hidup mereka dan mengurnia kejayaan bagi anak-anaknya.
2 comments:
salam sobah. tahniah. jati diri lebih kukuh dalam sistem pendidikan singapura dan negara lain. kena buat sesuatu kepada seluruh sistem di malaysia nampaknya. harap-harap ada usia dan kudrat.
Yes. Kita mulakan dengan Situwangi Boarding School, Garut. Semoga Allah sampaikan hajat dan cita-cita. Salam.
Post a Comment