"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, August 25, 2018

Kami juga Patriot.......




Saya lahir dalam keluarga berpengalaman begini. Dapur rumah kami adalah dapur kayu hingga saya sekolah menengah rendah. Sebuah nostalgia. Saya ambil foto ini dari kiriman dalam kumpulan whatsapp.

Alhamdulillah. Dalam ingatan saya, saya membesar penuh keseronokan walaupun saya menyedari hidup kami tidak mewah. Tetapi kami tidak pernah kelaparan. Amat rasa bersyukur mak dan bapak rajin berusaha sebagai pekebun kecil. Kami keturunan pendatang dan saya rasa hebat mak dan bapak berani membuat perubahan dan datang dari Tanah Jawa ke Malaya waktu itu. 

Maka kami tetap sayang Malaysia.... negara saya dilahirkan, dibesarkan dan kini sudah sampai umur untuk melihat anak cucu warisan menjadi rakyat yang juga sayagkan Malaysia. Yang baik diterusan dan yang kurang baik diperbaiki. Islam tidak mengajar kita berputus asa.  Doa, usaha dan tawakkal. Semoga Allah memberkati.....
Kami mengingati detik Kemerdekaan dengan penuh insaf. 



Semoga kami tidak menjadi kacang lupakan kulit. Hidup kini seadanya sahaja dan kami bersyukur atas segala kurnianNya melalui bantuan kasih sayang keluarga besar yang sama-sama berusaha dan berkongsi rezki yang Allah kurnia. Semoga hidup sentiasa dalam ruang lingkup Tauhid yang sempurna.

Dalam dunia persaraan kini, saya dengan seorang teman akrab membangunkan dan mengurus sebuah Tadika dan Taska di Tangkak, Johore. Kami bekerjasama dengan Ibubapa anak-anak kecil untuk mengasuh dan mendidik mereka supaya mengenal negara tercinta. Setiap ketika menjelang perayaan Hari Kemerdekan kami berusaha menjalankan aktiviti walaupun kecil sahaja semoga anak-anak mula mengenal negaranya Malaysia.



Ini projek kerja tangan mewarna bendera.
Kami mula mengenlkan apa itu JALUR GEMILANG


Setiap anak kecil diberi kefahaman setaraf dengan kebolehan aqalnya.
Alhamdulillah mereka riang mencuba bakatnya.




Kami bina semangat patriot dari kecil lagi.
 Melentur buluh harus dari rebungnya,
Antara pengisian falsafah pendidikan di umur ini ialalah 
dengan menggalakan anak-anak supaya suka bertanya dan
 tidak takut mencuba. Tanyalah apa sahaja. 
Bila suka bertanya ini bererti mereka suka berfikir. 
Bila dewasa nanti semoga mereka menjadi Rakyat yang berjati diri
 dan pandai menghargai nilai hidup ini dan sayangkan pada negara sendiri.
Itulah Jiwa Patriot yang kami usaha tanamkan dari kecil lagi.
Membina negara berdaulat memerlukan pengorbanan ikhlas
dari rakyat hingga kepimpinan tertinggi.
Semoga kita semua mengerti.


....................

Friday, August 24, 2018

Dia pergi dengan pesanan terindah.........





EidulAdha 1439 / 2018 telah berlalu. Kesedihan keluarga belum surut sepenuhnya. Kami kehilangan ahli keluarga tersayang, Nur Hamidah namanya. Dia adik suami saya  dan baru berumur 56 tahun.

Pemergiannya mengejutkan kami semua kerana tidak menjangka sakit sedikit yang dihadapinya menjadi penyebab diluar dugaan. Begitulah manusia. Allah yang maha mengetahui bila masanya. 

Foto yang disebelah ini saya rakam pada hari kedua EidulFitri yang baru lepas sahaja. Dia sekeluarga datang berziarah di rumah kami dan waktu itu dia amat ceria bergelak tertawa. Siapa pun tidak dapat menjangka.

Dibawah ini foto yang ia meminta kami merakamkannya. Agaknya dia sudah merasai sesuatu. Tahun ini ia berhari Raya di KL sahaja kerana sudah tidak ada lagi ibubapa tercinta dikedua belah pihaknya dikampung. Suami saya adalah abang yang tertua dan maka itulah dia memberi keutamaan padanya sebelum ke rumah keluarga yang lainnya.


Allahyarhamah adik saya ini punya 7 orang anak.
 Empat orang masih mengaji.
Seorang yang di Turkie tidak dapat kembali.
 Semoga berjumpa di Syurga nanti.

Adik Ipar saya amat saya sayangi. Semua sayang padanya.
 Pada malam Jumaat itu ia meninggal lebih kurang sejam sebelum waktu
Subuh. Tiada tanda-tanda 
yang nyata kata anak-anak-nya yang dapat berkumpul malam itu 
kerana bergotong royong keluarga terdekat menyediakan 
hantaran untuk anak lelaki sulungnya bertunang pada hari Ahad esuknya.
 Manusia merancang, Allah maha menentukan.
Membuat rasa sayu dihati.

Beberapa hari sebelum Jumaat itu, Allahyarham mengirimkan mesej
 dalam whatsapp family seperti yang saya turunkan di bawah ini. 
Allah mengilhamkan peninggalan yang terbaik pada kekuarga jauh dan dekat.












Ini merupakan pesanan terindah. Dia menghembuskan nafas terakhirnya sejam sebelum waktu Fajr Hari Jumaat. Ini antara tanda-tanda khusnul khatimah (kematian yang baik).
Alhamdulillah. Semoga Allah menempatkan Ruhnya dikalangan Syuhada, Sidiqin dan Solihin. Aamiin....
Ye.....Allah bersumpah dengan  FAJR dalam al Quran surah  Al Fajr.
Hadith HR Muslim mengatakan habuan solat Subuh berjemaah di Masjid dan didahului dengan 2 rakaat solat sunat Subuh adalah lebih baik dari apa yang terdapat diantara Langit dan Bumi.

Semoga kita dapat menghayati hebatnya Waktu Fajr dan semoga pesanan Allahyarhamah adik ipar saya menjadi sebahagian amalannya yang Allah swt terima. 
Aamiin ya Rabb......


...............

Tuesday, August 21, 2018

Eidul Adha... mengingat Nabi Allah Ibrahim AS.



Salam Aidul Adha.
Sama-sama kita mengingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim Alaihisalam.
Pengorbanan Nabi Ibrahim AS hingga ke tahap menyembelih 
anak kesayangannya, Nabi Ismail.
Kita bagaimana ye?

Semoga peristiwa luarbiasa ini  ini akan membina
 kekuatan diri untuk berkorban
 apa sahaja demi menegakan Kebenaran Allah swt.
Semoga Allah masih memberi peluang lagi beramal sebaiknya
 pada 10 hari pertama bulan Zulhijah.

Mohon limpah Rahmat Mu ya Rabb....
Hingga keakhir hayat dan mendapat pembelaan Mu di Hari yang tiada pertolongan melainkan dari NYA jua.


....foto ehsan carian google....


Monday, August 13, 2018

Memberi apa sahaja.....







Alhamdulillah, setelah hampir 5 bulan luka di ibu jari kaki hampir sembuh. Namun demikian temujanji akhir (insyaAllah) dengan doktor pakar akan dibuat pada pertengahan September nanti. Sementara itu ia harus terus berhati-hati menjaga ubat-ubatan dan pemakanan.

Ada beberapa teman yang datang menziarahinya. Namun yang menyentuh hati ialah seorang kenalan biasa yang sekali dua datang membantu keluarga saya menyenggara rumah yang ada kerosakan kecil di sana sini. Bila dia tahu suami tidak sihat ia ziarah di Masjid baru-baru ini dengan membawa 2 bungkus kecil durian sebagai perkongsian ingatan. Kalau ikut kebiasaan kenalan sahabat seperti ini bukanlah seorang yang mewah hidupnya. Tetapi ia tetap mahu berkongsi rezki. Ia tetap memberi.



Dua hari dulu ia datang membetulkan kebocoran paip air dan membawa bersamanya 2 biji buah mempelam untuk suami saya. Alangkah mulia hatinya. Itu gerak rasa dihati saya.
Dia boleh sahaja memakan mempelam itu tetapi ia memilih untuk diberikan pada orang lain.
Demikian hidup manusia. Ada orang yang susah suka memberi dan suka menolong. Orang yang berada memilih apa yang hendak diberi dan berapa banyak yang ingin diberikan.
Akhirnya ia hilang peluang untuk memberi kerana banyak berfikir tentang kesesuaian. Wal hal Islam mengajarkan kita boleh memberi dan menolong orang dengan apa sahaja mengikut kemampuan.
Sejak dewasa tua ini saya sering berhati-hati berfikiran supaya sentiasa melihat keindahan Islam. Islam tidak menyusahkan. Apa jua perbuatan yang baik walau kecil sekalipun, Allah akan menerima amalan itu asalkan sahaja dari hati yang ikhlas.
Allah memudahkan hambanya untuk berbakti. Kita sahaja yang memikirkan itu dan ini dan membuat pertimbangan dalam membuat keputusan mengikut nilai hidup orang kebiasaan yang hidup mewah. Rasa malu kalu memberi sedikit. Akhirnya susah hendak berbakti pada saudara Islam yang lain.
Saya insaf dan kesal kerana saya pernah terjebak dengan kelemahan seperti itu dan kini mahu mengikisnya. Semoga Allah sentiasa memelihara hati dan menunjuki jalan yang termudah untuk mendapat redhaNya.


..........

Tuesday, August 7, 2018

Istimewanya lain......





Mereka istimewa buat saya cara lain.
Foto di rakam di Terminal Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya sebelum
 penerbangan ke Madinah baru-baru ini.
Yang ramai di situ ialah anak-anak kakak saya yang no. 2
 tertua yang telah meninggal dunia pada tahun 1981
 bersabab kena stroke. 
Ketika itu ia berumur 52 tahun.
Waktu itu saya belum banyak "mengaji" dan rasa kehilangan yang 
amat sangat kerana belum dapat berkongsi Ilmu yang
 bolih dimunafaatkan bersamanya.
Begitulah suratan hidup dan saya hanya mampu menasihati 
anak-anaknya sekarang supaya banyak berbakti pada
 emak dan bapaknya.

 Kakak saya pergi semasa anak-anak belum tamat sekolah dan 
abang ipar saya pergi semasa anak-anak baru bertatih 
mencari kehidupan sendiri.
Saya rindu terutamanya pada kakak saya yang ini. Beza umur kami
 hampir 20 tahun.
Kakak saya hanya suri rumah dan suaminya ada kemahiran membina 
rumah secara kampungan. Allah kurnia tanah di Kg Melayu Majidee,
 Johor Bahru yang mencukupi luasnya untuk membina rumah-rumah sewa
sebagai ikhtiar mendapat rezki.

Kakak saya amat cermat orangnya dan pandai mengendali pendapatan
 yang kurang lumayan jika di banding ke atas.
Saya tinggal bersamanya untuk beberapa bulan semasa saya
 belajar di English College, Johor Bahru. 
Dia lah yang mengurus makan minum saya.

Rasa sayu mengingati kegigihannya mengurus 10 orang anak
 dan 11 termasuk saya. Bila saya masuk asrama dia tetap ambil tahu.
Suatu hari, (ingatan yang tidak akan saya lupakan), dia memikul
 sekantung besar buah rambutan dari pokoknya sendiri untuk saya
 dan kekawan saya. Dia datang
menaiki bas, dua kali bas. Nampak kepenatan tetapi senyum lebar 
bila nampak saya. Saya seronok. Kakak saya ini ganti emak 
sebab emak jauh.
 Dia duduk sebentar di dewan makan
 dan saya hanya jamu
air sejuk orange dan biskut yang saya beli dari wang
biasiswa kecil yang hanya rm60 sebulan.
Itu dalam tahun 1965. Alhamdulillah ia mencukupi 
walaupun rasa tersempit.

Kakak-kakak saya amat istimewa buat saya. Masing-masing 
ada kekurangan tetapi ada kekuatan yang dapat membantu saya
 membesar, dewasa 
dan mencapai kejayaan seadanya. Amat bersyukur,
 tetapi rasa sayu tidak dapat mengongsikan
apa yang saya ada hari ini. Hanya doa yang tidak putus-putus 
semoga bertemu semula di Syurga Firdaus dengan
 Rahmat Allah semata-mata.

Semoga Allah mengurnia kakak saya dan suaminya kesejahteraan dan 
kedamaian di alam Barzah dan di Akhirat nanti mendapat 
pembelaan dari Allah, dijauhkan dari api neraka
dan dikurnia Syurga tanpa hisab berasama semua keluarga
 tersayang dengan RahmatNya jua.


......................

Monday, August 6, 2018

Indahnya mendidik......






Assalam......

Ini foto partner saya hantar dari Taska di Kolej Matrikulasi, Tangkak Johor.

Manis menawan..... manisnya pasti dirasai dalam mendidik anak-anak kecil ahli syurga. Semoga terhibur hati ibu-ibu yang Allah kurnia anak sendiri. Walaubagaimana pun bagi mereka yang Allah tidak kurnia anak sendiri jangan pula berdukacita dan kecewa semata-mata kerana Allah tidak kurnia atau belum kurnia  keistimewaan ini.

Keistimewaan apa ye?

Keistimewaan yang tersebut dalam Hadith Sohih yang mengatakan antara 3 amalan yang seseorang bawa ke alam Barzah dan hari Akhirat  ialah doa anak-anak yang soleh. Ada ustaz yang menjelaskan bahawa takrif anak di situ ialah anak kandung. Tetapi ada juga ustaz yang kata bahawa takrif yang lebih "adil" ialah anak yang dididik dengan baik. Mungkin dia anak tiri, anak angkat atau anak pungut atau anak-anak yang dididik di sekolah atau dimana jua yang membuat seorang anak itu menjadi cemerlang dan soleh.

WaAllahua'lam.....

Saya tidak membuat kajian lanjut kerana saya suka menyerahkan hal ini pada Allah kerana Allah jua yang maha Bijaksana, maha Mengetahui dan maha Adil pada semua hamba-hambanya. Pada saya apa yang penting ialah kita lakukan sahaja yang terbaik pada anak-anak di mana jua dan keturunan serta asal usul apa jua. Hak asasi anak-anak ialah mereka ini wajib diberi kepedulian dan dijamin semua keperluan hidupnya  termasuk keperluan membesar yang sempurna. Keselamatan dan kesejahteraan mereka adalah tanggonjawab kaum dewasa walaupun anak-anak itu bukan anak kandung sendiri. Semua anak-anak yang lahir tiada pilihan siapa ibu bapanya......bulat itu ketentuan Allah yang mutlak. Tidak kira bagaimana ia dilahirkan. Di negara Barat ada gejala "sorogate mother", ia itu seorang wanita hanya mengandungkan sahaja anak itu kerana benihnya datang dari ibu bapa yang kekadang tiada kaitan darah dengannya. Ini hasil kemajuan sains dan teknologi. Tetapi jika tidak betul aplikasinya, maka ia tidak sah di sisi hukum syar'ie. Apa pun gejala lahirnya, anak kecil mempunyai hak yang sama..... walaupun anak yang lahir di luar nikah. (Sila rujuk Dr Maza, Mufti  Negeri Perlis mengenai kefahaman lanjut dalam kes ini". Tiap-tiap anak yang akan membesar dan dewasa harus dipelihara marwahnya..... dan tidak ada stigma negatif yang mencemar harga dirinya. Allahu'alam. 



Semua anak kecil fitrahnya suci. Hak asasi mereka harus terpelihara. Bagi ibu bapa yang tiada kemampuan
 maka ahli masyarakat harus membantu dan pihak pemerintah harus perihatin dan melaksana dasar
 yang adil dan saksama bagi semua
 anak-anak kecil.
Sekarang bantuan pada Taska persendirian
 amat sedikit sekali. Yang tidak mampu membayar yuran yang ditetapkan akan menghantar
anak-anak pada penjaga di rumah.
Sering terdapat kes-kes penderaan dalam situasi seperti ini.
Siapa yang harus dipertanggogjawapkan.

Setiap kita harus ada rasa keinsafan dan rasa peduli atas kesejahteraan anak-anak kecil ini.
Semoga Allah sentiasa memunjuki jalan dan memberi pembelaan pada anak-anak yang kurang di santuni dan anak-anak yang dizalimi.

........

Saturday, August 4, 2018

Relax sebentar.....@ PAK TAM.....








Minggu lepas saya dan suami relax sebentar di sudut Rumah Makan kecil tetapi comel di PPUM (Pusat Perubatan University Malaya) sementara menanti dijemput oleh anak saya pulang setelah rawatan. Sudut yang comel ini baru dibuka sebulan lalu dan amat menarik perhatian saya. Saya tidak lapar cuma ingin duduk santai sebentar. Suami saya makan mee rebus. Saya berkongsi minum teh O panas. Untuk itu kami membayar rm8 ringgit. Amat berpatutan memandangkan tempat sewaan pasti agak mahal. Alhamdulillah. Kami tidak duduk lama untuk memberi tempat orang lain.




Foto kenangan untuk anak cucu mengerti apa itu 
kasih sayang dalam berkeluarga.


Hampir lima bulan saya ulang alik ke Pusat Perubatan University Malaya, PPUM atas urusan Luka di ibu jari kaki suami saya akibat ulser diabetis. Lima bulan itu lama buat saya walaupun saya tahu ada yang makan masa 2 atua3 tahun untuk luka pulih semula. Berbagai pemerhatian yang membuat hati saya insaf dan sayu. Kita hanya menghargai kesihatan apabila kita sakit. Sepertinya begitu......

Selama ternanti-nanti giliran, tidak pernah saya lihat orang bersembang kuat dan gelak ketawa. Nampak wajah kelihatan serious sahaja. Tetapi ramai juga yang mampu senyum kembali pada saya jika saya senyum padanya.

Alhamdulillah, senyum itu sedekah.......

Bila duduk berdekatan menanti giliran jumpa Doktor (kekadang memakan masa 2 atau 3 jam) atau jumpa nurse atau tunggu kenderaan ada kalanya kami bertanya hal secara santai.....seperti siapa sakit, sudah lama  luka tidak sembuh, macam mana boleh patah,  tinggal jauh ke dan sebagainya. Sekali dua saya besembang agak panjang. Saya sentiasa cuba menyantuni orang yang suka sembang dalam nada perlahan untuk tidak menggangu suasana sekeliling. Topik sembang agak serious yang berlegar hal kesempitan hidup yang dialami. Ini suatu yang lumrah untuk merengankan bebanan dalam fikiran jika dapat difahami apa yang sedang dilalui. Semoga sembang santai dalam kes begini juga satu sedekah.....hanya Allah yang menentukan.

Sembang yang kadang kala putus-putus bukan bercerita politik heh.. hee. Ada yang mengeluh kerana susah mendapatkan teman datang jumpa doktor. Anak ramai tetapi sentiasa sibuk. Ini cerita biasa. Saya perhatikan ramai dewasa tua keturunan Cina yang dihantar dan dilayani oleh pembantu peribadi, nampak seperti dari keturunan Indon atau Filipino.Kelihatan mereka dilayani untuk ke tandas, untuk membeli makanan ringan atau menyapu mulut yang tersisa makanan. Dalam melihat sebegitu teringat juga akan diri sendiri jika ditakdirkan yang serupa. Maka saya selalu berdoa semoga Allah kurnia kemudahan untuk dapat mengurus diri hingga ke akhir hayat. Aamiin.......

Sambil duduk melihat-lihat saya perhatikan juga ada beberapa Perkhidmatan Khas membantu OKU menggunakan van yang di bina khas. Dari segi teknikal saya berminat meneliti dari dekat. Ada yang amat mudah. Kita tidak perlu angkat pesakit. Ada yang perlu di angkat seorangan dan ada yang perlu di angkat oleh dua pembantu di samping khidmat pemandu. Saya catat no telefon mereka......manalah tahu ada keperluan.

Bermula minggu depan in sha Allah saya dan suami tidak perlu lagi datang untuk cuci di PPUM. Boleh cuci di rumah. Suadah "ada kemahiran" yang dipelajari dari nurse berugas. Alhamdulillah. Allah mudahkan. 

Semoga keadaan bertambah baik sambil menunggu temujanji doktor pada pertengahan September. Semoga kali terakhir.
Sambil itu akan teringat PAK TAM. Ia membantu meringankan fikiran kerisauan.






Syabas!  PAK TAM....
Hingga lain kali.

.........

Thursday, August 2, 2018

....Sudah Tahu Bertanya Pula.




Saya berminat juga mendengari Laporan Parlimen Sessi ke14 tahun 2018.
Inilah pertama kali saya ambil masa mendengari laporn sessi
 dalam uTube yang ada sejak saya bersara.
Suami saya kata saya suka membuang masa kerana tiada apa-apa 
yang dapat saya lakukan jika saya tidak setuju dan tidak suka.
Tidak mengapa, saya kata padanya. Ini hanya sebuah nostalgia Pesara 
yang semasa muda pernah ditugaskan untuk membantu menteri-menteri 
menjawab soalan yang di kemukakan oleh ahli yang berbicara.

Gelagat pihak pembangkang membuat saya rimas kerana banyak soalan yng 
dikemukan merupakan soalan yang sudah mereka tahu faktanya dan juga
 amat tahu kesannya pada rakyat.
Namun mereka masih bangun bertanya agaknya dengan niat "memutarbelitkan"
 fakta yang ada untuk memberi tahu rakyat bahawa yang salah 
adalah Kerajaan semasa yang di pimpin oleh YAB Tun Mahathir
 dan bukan  salah mantan PM, DS Najib Ketua Kerajaan sebelumnya.

Amat aneh sekali specie manusia. 
Sudah gaharu cendana pula....Sudah tahu bertanya pula.

Dan ada ahli Dewan yang suka menyampuk ucapan ahli lain bukan tujuan 
ikhlas bertanya, tetapi semata-mata untuk mengelirukan konsentrasi
 ahli yang sedang berucap mengejar masa.
Kekadang ada beberapa ahli yang enggan mengikut perintah 
Tuan Yang diPertua Speaker dan ini menjadikan Dewan riuh rendah tidak 
berguna dan  membuang masa rakyat dan masa semua.

Apakan daya....
Begitulah manusia. Bila sudah tiada kuasa, manusia sudah tidak tahu 
apa itu budi bahasa, dan apa itu erti berwibawa.
Biarkan lah.... Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Namun saya tetap berdoa Allah kurnia ksejahteraan pada semua,
dan pada Malaysia negara tercinta.


.......

Wednesday, August 1, 2018

Building Bridges 3 .....



Diatas ini rakaman foto teteman satu kelas di peringkat menengah
 pada tahun 1964. Mereka dalam group WhatsApp saya.
INI MINI REUNION YANG SAYA TIDAK DAPAT BERSAMA 
TETAPI DAPAT MEGIKUTI CERITA-CERITANYA.
Ia diadakan baru-baru ini di Pontian Johor, tempat kami di lahirkan 
dan dibesarkan. Saya ikuti aktiviti teteman dalam usaha saya
 membina jambatan (building Bridges) untuk menjemput mereka 
mengenali Islam. Saya lakukan secara santai supaya tidak
 menakutkan mereka dan menjadikan mereka renggang dengan saya.
Maklumlah kami semua "international" dalam satu sudut pemikiran dan jika 
mahu mengajak mereka ke Islam kita kenalah buat dengan penuh hikmah.
Beberapa teman dalam kumpulan ini  tidak tinggal di Malaysia pun. 
Tapi saya santuni dengan niat mengajak mereka pada Islam.

Kebelakangan ini ada pihak-pihak yang rasa pahit atas hakikat
 bahawa kerajaan BN sudah tidak berkuasa. 
Mereka kuat mengatakan kerajaan PH sudah termakan 
hasutan DAP dan menuduh  bahawa dasar-dasar
 kerajaan baru ini akan menindas hak-hak orang Melayu dan melunturkan
 status Agama Islam sebagai Agama rasmi di Malaysia.
Di sini saya cuma ingin mengingatkan mereka yang amat memusuhi ahli-ahli 
parti politik ini dalam PH yang sentiasa menuntut hak mereka walau pun 
mereka bukan beragama Islam, supaya bertenang. Saya rasa 
orang Melayu Islam tidak perlu bimbang teramat sangat kerana 
kepimpinan PH adalah  terdiri dari mereka yang berwibawa dan
 berintergriti  dan saya yakin  (in sha Allah) mereka boleh memelihara
kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Saya berpendapat kita sebagai individu Melayu dan Islam buatlah
 sahaja tanggong jawab kita ke atas agama yang dianuti.
 Saya mengingatkan diri saya begitu dan mencuba membuat sesuatu 
walau pun kecil untuk menawan hati teteman yang bukan Islam
 dengan harapan mereka satu hari nanti akan jadi Islam. 
Walaupun amat kecil usaha saya ini, 
saya berdoa semoga dapat mencontohi Rasulullah saw.
Marilah kita kurangkan menyalahkan pemimpin tetapi 
kita sendiri tidak berbuat apa-apa.
Janganlah kita hanya berdiri dan melihat.


Di atas ini adalah antara teteman seangkatan yang telah pergi 
mendahului saya.Di kiri mendiang Keng Feng dan di kanan
 Almarhum Ibrahim Kassim.
Yang duduk itu mendiang puan Tan Li Kiang. Dia guru kami 
di menengah 3 hingga menengah 5. Kami sayang padaya 
kerana beliau amat mengambil berat tentang kami
dan amat membantu kami dalam pembelajaran supaya kami berjaya.

Saya sering ikut meraikan Hari Jadinya bila sihat dan berkelapangan. 
Suatu ketika saya hadiahkan beliau AlQuran yang ada
 terjemahan bahasa Inggeris.
Katanya itu Quran ke 2 ia terima dari muridnya dan yang bagusnya
 dia berjanji hendak melihatnya.
Dia meninggal dunia 3 tahun yang lalu dan saya amat terkilan 
kerana 2 atau 3 minggu sebelum itu dia menalipon saya tetapi saya 
terlepas peluang menjawab dan selepas itu terus tidak menjawab. 
Manalah tahu dia hendak 
berkata sesuatu mengenai hidupnya dan alQuran.
Saya amat terkilan.....
Semoga Allah menunjuki jalan....
Aamiin ya Rabb.


......
Related Posts with Thumbnails