"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, August 13, 2018

Memberi apa sahaja.....







Alhamdulillah, setelah hampir 5 bulan luka di ibu jari kaki hampir sembuh. Namun demikian temujanji akhir (insyaAllah) dengan doktor pakar akan dibuat pada pertengahan September nanti. Sementara itu ia harus terus berhati-hati menjaga ubat-ubatan dan pemakanan.

Ada beberapa teman yang datang menziarahinya. Namun yang menyentuh hati ialah seorang kenalan biasa yang sekali dua datang membantu keluarga saya menyenggara rumah yang ada kerosakan kecil di sana sini. Bila dia tahu suami tidak sihat ia ziarah di Masjid baru-baru ini dengan membawa 2 bungkus kecil durian sebagai perkongsian ingatan. Kalau ikut kebiasaan kenalan sahabat seperti ini bukanlah seorang yang mewah hidupnya. Tetapi ia tetap mahu berkongsi rezki. Ia tetap memberi.



Dua hari dulu ia datang membetulkan kebocoran paip air dan membawa bersamanya 2 biji buah mempelam untuk suami saya. Alangkah mulia hatinya. Itu gerak rasa dihati saya.
Dia boleh sahaja memakan mempelam itu tetapi ia memilih untuk diberikan pada orang lain.
Demikian hidup manusia. Ada orang yang susah suka memberi dan suka menolong. Orang yang berada memilih apa yang hendak diberi dan berapa banyak yang ingin diberikan.
Akhirnya ia hilang peluang untuk memberi kerana banyak berfikir tentang kesesuaian. Wal hal Islam mengajarkan kita boleh memberi dan menolong orang dengan apa sahaja mengikut kemampuan.
Sejak dewasa tua ini saya sering berhati-hati berfikiran supaya sentiasa melihat keindahan Islam. Islam tidak menyusahkan. Apa jua perbuatan yang baik walau kecil sekalipun, Allah akan menerima amalan itu asalkan sahaja dari hati yang ikhlas.
Allah memudahkan hambanya untuk berbakti. Kita sahaja yang memikirkan itu dan ini dan membuat pertimbangan dalam membuat keputusan mengikut nilai hidup orang kebiasaan yang hidup mewah. Rasa malu kalu memberi sedikit. Akhirnya susah hendak berbakti pada saudara Islam yang lain.
Saya insaf dan kesal kerana saya pernah terjebak dengan kelemahan seperti itu dan kini mahu mengikisnya. Semoga Allah sentiasa memelihara hati dan menunjuki jalan yang termudah untuk mendapat redhaNya.


..........

No comments:

Related Posts with Thumbnails