Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Saya baru mendapat tahu seorang sahabat lama telah pulang ke Rahmatullah pada minggu yang lalu. Kami berhubungan dalam Whatsapp kumpulan sama sekolah menengah dan kami tamat sekolah menengah dalam tahun 1964. Zainal Mustaffa namanya. Beliau bertukar ke Maktab Lelaki Kuala Kangsar, sebuah sekolah Elite waktu itu. Kami berhubungan semula setelah kami bersara dalam tahun 2002/2003. Kini Zainal pergi dahulu.
Zainal merupakan ketua dalam kumpulan persaraan kami.
Sentiasa lucu apabila bersembang. Sangat disukai semua
dalam kumpulan kami. Kini kami rasa kehilangan.
Majoriti dalam kumpulan kami adalah dari keturunan Cina.
Amat sedikit waktu itu anak Melayu dalam kelas Sains. Saya turunkan foto
di atas sebahagian kekawan kami yang sering berjumpa.
Di tengah-tengah itu adalah antara cikgu kami yang selalu hadir
dalam majlis Makan Malam Tahunan.
Di musim Covid19 ini maka kami hanya berhubungan di alam maya.
Namun saya terkilan juga tidak dapat menziarahi beliau semasa beliau
di Hospital beberapa lama kerana SOP Covid 19. Apakan daya.
Allahyarham Zainal tetap dalam kenangan saya. Dalam kumpulan Whatsapp
saya sering kongsikan bahan-bahan dakwah yang sesuai mengenai Islam.
Ada beberapa ahli dalam
kumpulan kami yang rasa tidak selesa dengan tindakan saya.
Saya mendengari secara santai bahawa ada yang meminta Zainal
mengeluarkan nama saya dari kumpulan.
Zainal adalah Pentadbir kumpulan
tetapi Allahyarham buat tidak faham dan membiarkan saya berkongsi
apa sahaja walaupun amat sedikit yang memberi ulasan buat saya.
Saya meneruskan "dakwah" saya dengan sikap santai. Saya amat menghargai
sikap Allahyarham Zainal yang tidak mengeluarkan nama saya.
Semoga Allah terima sikap itu terhadap saya sebagai sikap positif
dan semoga Allah nilai tinggi sebagai sikap mahu berdakwah
walaupun secara santai.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa teman kami ini
dan semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Ruhnya.
Selamat tinggal teman, semoga kita berjumpa lagi di Syurga Firdaus
dengan Rahmat Allah swt jua.
Aamiin ya Rabb....
No comments:
Post a Comment